Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Ubah cara lama fahami perpaduan, hayati merdeka

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 10 OGOS: Rakyat Malaysia perlu mengubah pemahaman simplistik mengenai perpaduan untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan yang dikecapi negara sejak 63 tahun lalu.

Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata ini kerana nilai perpaduan bukan hanya diterjemahkan dalam “detik persamaan” sebaiknya turut dijelmakan dalam “detik perbezaan” yang diraikan masyarakat majmuk di negara ini.

Shamsul Amri yang juga Penasihat Perpaduan kepada Kementerian Perpaduan Negara merujuk kepada detik persamaan misalnya kebersamaan ditonjolkan rakyat Malaysia ketika jaguh badminton negara, Lee Chong Wei menentang Lin Dan dari China dan usaha menangani pandemik Covid-19 atau detik perbezaan masyarakat Malaysia dalam penerimaan isu tulisan khat dan Jawi di sekolah.

“Dalam detik persamaan dan perbezaan ini kita terus berjalan kerana kita ada kesepaduan ke arah proses perpaduan.

“Kesepaduan adalah apabila rakyat Malaysia bersetuju dengan dua bentuk persetujuan iaitu untuk hidup di Malaysia ini kita semua, perlu bersetuju untuk bersetuju dan bersetuju untuk tidak bersetuju.

“Kesepaduan adalah sebahagian perpaduan. Penyatupaduan pula adalah jalan ke arah perpaduan. Inilah kefahaman baharu dan jurang yang kita kena urus,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

Shamsul Amri, 69, yang juga Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (Kita) UKM adalah antara individu yang terbabit dengan usaha pemulihan pascaperbalahan kaum 13 Mei 1969 yang menyaksikan pelancaran Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 bagi menyatupadukan rakyat.

Bermula dengan penglibatannya dalam persembahan muzik semasa jamuan durian (majlis mengeratkan perpaduan) di Kuala Lumpur pascainsiden 13 Mei 1969, Shamsul Amri mengabdikan diri untuk memupuk dan menyebarluaskan kefahaman masyarakat mengenai perpaduan melalui Kita.

“Saya tidak bersetuju jika ada yang mengatakan kita gagal (dalam perpaduan). Saya pro-Malaysia dan saya akan cerita pada dunia, betapa bagusnya kita. Inilah kisah Malaysia iaitu keupayaan kita untuk mempertahankan perpaduan, demokrasi dan kebebasan.

“Kita suka berperang mulut tapi kita tidak akan mengangkat parang,” kata Shamsul Amri merujuk kepada norma masyarakat Malaysia yang sering bergaduh dalam isu sensitif, tetapi tidak pernah mengambil jalan keganasan atau menumpahkan darah sepertimana berlaku di negara lain.

Beliau memberi contoh bagaimana pertukaran kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018 yang berjalan dengan lancar tanpa insiden keganasan sekalipun lebih 60 tahun BN memerintah Malaysia.

Shamsul Amri menegaskan kematangan dan kefahaman rakyat terhadap pentingnya perpaduan dan keamanan negara, menjadikan kemerdekaan yang dicapai Malaysia sejak 31 Ogos 1957 lebih bermakna.

Merujuk kepada penubuhan Kementerian Perpaduan Negara oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak Mac lalu, Shamsul Amri berkata keputusan kerajaan mengembalikan perpaduan sebagai agenda negara adalah keputusan bijak dan bertepatan pada masanya seiring perkembangan semasa.

Katanya, negara tidak pernah gagal dalam proses penyatupaduan rakyat sebaliknya pemahaman awal mengenai perpaduan haruslah diubah daripada bersifat simplistik, mekanistik dan literal semata-mata.

“Simplistik ini bersifat fizikal contohnya majlis jamuan untuk erat perpaduan. Mekanistik pula contohnya sekolah wawasan (meletakkan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dalam satu kawasan) dan kita buat jambatan penghubung.

“Kefahaman literal pula merujuk perpaduan sebagai suatu yang padu macam batu bata, tetapi perpaduan di Malaysia bukan dalam bentuk solid tetapi fluid (berubah-ubah mengikut detik perbezaan). Bukan semuanya bersifat batu bata dan kerana itu ramai menyimpulkan belum wujudnya perpaduan,” kata Shamsul Amri.

Beliau berkata kefahaman awal mengenai perpaduan perlu berubah seiring perkembangan masyarakat di Malaysia yang turut mewarisi elemen perbezaan sejak negara merdeka daripada penjajah, sebagai contoh, sistem vernakular.

-BERNAMA