Categories
AGENDA NASIONAL

CAP terima aduan hospital swasta kenakan caj SOP Covid-19

GEORGE TOWN, 17 SEPT: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima aduan terdapat hospital swasta mengenakan caj perkhidmatan bagi tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 ke atas pesakit.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata tindakan sedemikian tidak seharusnya dikenakan ke atas pesakit kerana prosedur tersebut disifatkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak hospital walaupun SOP dikuatkuasakan di mana-mana termasuk di hospital dan klinik.

“CAP telah menerima aduan sesetengah hospital mengenakan caj RM5 kepada pesakit mereka bagi pelaksanaan SOP itu dan kami tertanya-tanya kenapa mereka berbuat demikian.

“Ini nampaknya hanya pesakit dikenakan caj kerana terdapat bil untuk dimasukkan kos.. Justeru, kami menggesa pihak hospital supaya mempertimbangkan peruntukan perkhidmatan seperti pemeriksaan suhu badan dan peruntukan pembersih tangan kerana ia menjadi sebahagian daripada CSR mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, jika caj tersebut dihujahkan bahawa ia adalah kos tambahan, perkara itu turut sama dilaksanakan dalam semua industri namun masih mampu untuk mematuhi SOP dan perlu ada sifat pemurah dalam keadaan seperti masa kini.

“Kami menggesa semua hospital dan klinik yang mengenakan caj bagi pelaksanaan SOP supaya berhenti segera daripada berbuat demikian.

“Alasannya ialah jika tiada keperluan bagi memenuhi SOP, adakah hospital atau klinik mengambil risiko membenarkan pesakit Covid-19 memasuki premisnya?” katanya.

-BERNAMA