Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: CAP ingatkan pengguna jangan pergi pasar setiap hari

GEORGE TOWN, 14 MEI: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) hari ini meminta semua pengguna Malaysia untuk berhenti pergi ke pasar setiap hari ketika negara sedang berperang dengan pandemik Covid-19.

Sebaliknya, Pegawai Pendidikan CAP N V Subbarow meminta pengguna untuk membiasakan diri dalam merancang pembelian barangan yang boleh disimpan supaya tidak perlu ke pasar atau pasar raya setiap hari.

“Pengguna harus merancang barangan kegunaan selama tiga atau empat hari berikutnya setelah dibeli. Ratusan pengguna pergi ke pasar dan pasar raya setiap hari. Insiden Covid-19 kemungkinan akan berkurang jika ini dihentikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tinjauan CAP mendapati pengguna khususnya yang pergi ke pasar setiap hari untuk membeli sayur-sayuran dan bahan-bahan lain akan menghabiskan masa berjam-jam di pasar.

CAP ingin mengingatkan pengguna Malaysia bahawa pengguna perlu membiasakan diri untuk menghentikan budaya membeli harian ini.

Katanya, rakyat Malaysia harus berdisiplin dan kawal diri untuk bersama-sama dengan kerajaan dalam menyekat penularan wabak pandemik Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CAP gesa pantau harga saringan Covid-19 di klinik swasta

GEORGE TOWN, 7 FEB: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengawal harga ujian saringan Covid-19 di klinik swasta supaya ia berpatutan.

Pegawai Pendidikan CAP N V Subbarow berkata harga ujian RT-PCR dan RTK-Antigen di klinik swasta ketika ini antara RM220 hingga RM388 (RT-PCR) dan RM90 hingga RM170 (RTK-Antigen).

“CAP bimbang jika ia tidak dikawal caj yang dikenakan oleh klinik swasta untuk ujian saringan Covid-19 dikenakan lebih tinggi daripada sepatutnya.

“Kami (CAP) mengalu-alukan kenyataan daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengenai kawalan harga untuk ujian saringan Covid-19 di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga meminta KKM dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap klinik swasta yang mengenakan caj tinggi bagi ujian saringan tersebut.

Katanya jika harga ujian saringan itu tidak dikawal pengguna akan terbeban dengan caj berlebihan yang dikenakan oleh klinik swasta seperti isu pelitup muka yang pernah berdepan dengan masalah harga apabila terdapat peniaga menaikkan harga pelitup muka tanpa kawalan.

Sebelum ini, KKM memaklumkan dalam peringkat kajian untuk mengawal harga ujian saringan RT-PCR di hospital dan klinik swasta serta pengawalan harga itu boleh dilaksanakan menerusi Ordinan Darurat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CAP nasihat waspada beli peranti ketika pandemik, elak ditipu

GEORGE TOWN, 3 FEB: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihati orang ramai untuk berhati-hati ketika membeli peranti seperti komputer riba atau komputer ketika pandemik Covid-19, bagi mengelakkan berlakunya penipuan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, permintaan tinggi terhadap penggunaan kedua-dua peranti itu untuk keperluan perniagaan dan pembelajaran dalam talian mendorong peningkatan aktiviti penipuan.

Beliau berkata, sekiranya pengguna memilih untuk mendapatkan peralatan terpakai atau yang diperbaharui, mereka perlu membelinya daripada sumber yang boleh dipercayai dengan penjual yang tinggal berdekatan serta mengelakkan melakukan pembelian daripada sumber yang tidak diketahui di media sosial.

“Sekiranya ada sesuatu yang tidak kena (dengan produk), pengguna dengan mudah dapat menemui penjual itu berbanding penjual yang tinggal jauh. Terdapat kes pembeli membeli barang elektronik dari negeri lain dan mendapati peralatannya rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati pengguna agar tidak membuat keputusan terburu-buru ketika membeli peralatan yang diperlukan, dan meminta nasihat daripada seseorang yang berpengetahuan dalam bidang berkaitan, sebelum membuat sebarang perjanjian pembelian.

“Penipu atau mereka yang suka mengambil kesempatan menyasarkan orang yang membuat keputusan terburu-buru sebagai mangsanya. Oleh itu, kami sekali lagi mengulangi gesaan kepada pengguna agar lebih berhati-hati, apabila membeli komputer riba atau komputer,” tambahnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Masyarakat perlu lebih sedar risiko diabetes, amal gaya hidup sihat

GEORGE TOWN, 14 NOV: Sempena Hari Diabetes Sedunia hari ini, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa rakyat agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko diabetes yang kini berada di tahap yang membimbangkan.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata Malaysia berada di tangga teratas dalam Asia Tenggara yang mempunyai paling ramai penghidap diabetes dan tangga keenam di rantau Pasifik Barat.

“Di Malaysia, di sebalik pelbagai kempen mencegah kelaziman diabetes terutama diabetes jenis dua, kes diabetes telah meningkat ke tahap epidemik (wabak). Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 (NHMS 2019), seorang dalam lima orang dewasa atau sekitar 3.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas menderita penyakit diabetes. Kelaziman diabetes di Malaysia telah meningkat kepada 18.3 peratus, berbanding cuma satu sehingga dua peratus pada 1960.

“Menurut Buletin Perangkaan Sosial Malaysia 2019, diabetes merupakan satu daripada 10 penyebab kematian utama pada 2018. Ia adalah penyakit kronik yang boleh dicegah dan bagi mereka yang sudah menghidapinya, diabetes boleh diurus, diperlahankan atau dicegah komplikasinya dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan memilih makanan yang berkhasiat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, diabetes di Malaysia dijangka berterusan dan naik pada kadar yang tinggi disebabkan gaya hidup tidak sihat seperti tabiat makan terlalu banyak, makan makanan tidak berkhasiat, kurang bersenam, mengambil gula dan garam secara berlebihan setiap hari, pengambilan daging berlebihan dan kekurangan tidur dan rehat yang mencukupi.

Dalam pada itu, CAP menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pihak-pihak yang bertanggungjawab supaya meningkatkan usaha untuk mendidik rakyat mengenai bahaya obesiti dan diabetes serta makanan yang tidak berkhasiat.

Serta menyediakan kemudahan rekreasi yang mencukupi, mewajibkan pengeluar makanan supaya melabel jumlah natrium dan kandungan lemak dalam produk, mengharamkan mesin minuman di sekolah, hospital dan lain-lain tempat awam serta mengadakan kempen untuk mendidik ibu bapa dan anak-anak mengenai bahaya obesiti dan diabetes.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

CAP terima aduan hospital swasta kenakan caj SOP Covid-19

GEORGE TOWN, 17 SEPT: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima aduan terdapat hospital swasta mengenakan caj perkhidmatan bagi tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 ke atas pesakit.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata tindakan sedemikian tidak seharusnya dikenakan ke atas pesakit kerana prosedur tersebut disifatkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak hospital walaupun SOP dikuatkuasakan di mana-mana termasuk di hospital dan klinik.

“CAP telah menerima aduan sesetengah hospital mengenakan caj RM5 kepada pesakit mereka bagi pelaksanaan SOP itu dan kami tertanya-tanya kenapa mereka berbuat demikian.

“Ini nampaknya hanya pesakit dikenakan caj kerana terdapat bil untuk dimasukkan kos.. Justeru, kami menggesa pihak hospital supaya mempertimbangkan peruntukan perkhidmatan seperti pemeriksaan suhu badan dan peruntukan pembersih tangan kerana ia menjadi sebahagian daripada CSR mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, jika caj tersebut dihujahkan bahawa ia adalah kos tambahan, perkara itu turut sama dilaksanakan dalam semua industri namun masih mampu untuk mematuhi SOP dan perlu ada sifat pemurah dalam keadaan seperti masa kini.

“Kami menggesa semua hospital dan klinik yang mengenakan caj bagi pelaksanaan SOP supaya berhenti segera daripada berbuat demikian.

“Alasannya ialah jika tiada keperluan bagi memenuhi SOP, adakah hospital atau klinik mengambil risiko membenarkan pesakit Covid-19 memasuki premisnya?” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang ramai diseru tanam sayur secara organik di rumah

GEORGE TOWN, 26 JULAI: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru rakyat untuk menanam sayur secara organik di rumah, termasuk mereka yang tinggal di perumahan strata atau kawasan halaman yang terhad, ketika penularan pandemik Covid-19 kini.

Pegawai Pendidikan CAP N.V.Subbarow berkata, ini kerana rakyat negara ini dilihat kurang mendapatkan sayur-sayuran untuk pemakanan harian, sebaliknya membeli makanan tahan lama seperti makanan dalam tin, makanan kering dan makanan segera.

“Untuk mengatasi masalah ini, kami (CAP) mahu mendidik sesiapa yang berminat, terutamanya suri rumah untuk tanam sayur sendiri di rumah. Tinjauan CAP mendapati orang ramai tidak mahu tanam apa-apa.

“CAP juga mendapati ada beberapa jenis bahan kimia pada sayur-sayuran yang dijual di pasaran, sama ada keluaran Malaysia atau diimport dari luar negara,” katanya kepada pemberita pada program Pertanian Dalam Bandar anjuran CAP dekat sini semalam.

Subarrow berkata, menanam sayur-sayuran organik adalah mudah dan tidak menelan belanja yang besar. Selain itu CAP juga menyediakan khidmat nasihat, tunjuk ajar, kelas, malah menjual peralatan, benih dan pasu, bagi memudahkan pengguna memulakan aktiviti penanaman sayur di rumah sendiri.

Katanya, CAP mengadakan kelas percuma pada Sabtu setiap bulan kepada mereka yang berminat mempelajari kaedah pertanian organik.

“Banyak petani mempelajari kaedah pertanian organik, bagi mengelak penggunaan bahan kimia daripada CAP, namun ia akan memakan masa kerana bahan kimia yang telah digunakan pada tanah itu, telah membunuh kandungan mikroorganisma,” katanya.

-BERNAMA