Categories
BUDAYA RENCANA

Terali

Oleh Lokman Hakim

 

TUHAN, hari ini ada seorang bayi ditinggalkan di beranda. Aku pergi memanjat beranda itu, dengan sepuntung rokok di bibirku. Dia tidak menangis. Cuma merangkak-rangkak, sesekali cuba menyelit di antara lubang-lubang pada terali beranda, cuba menggapai sesuatu yang tidak pasti.

Aku tidak memahami mengapa aku terus menyedut rokok itu, diiringi tindakan persis pelagak ngeri dan juga teriakan jiran-jiran yang mengharap bayi itu tidak jatuh dari celah terali beranda. Fokus, aku terus memanjat, melupakan yang aku gayat. Mencari tempat berpaut itu sukar juga, tetapi aku gagahkan.

Bagaimana bayi itu boleh berada dalam keadaan itu, tidaklah aku tahu. Ketika aku tiba di beranda, bayi itu elok sahaja berbaring dan tidak lagi berusaha hendak keluar melalui terali. Sebaik sahaja aku mendukung bayi itu, seseorang dari dalam rumah berteriak, lalu meluru ke arah kami.

Barangkali ibu kepada bayi itu, tetapi dia agak androgini. Sikapnya macam ibu-ibu, perwatakan agak jantan. Tuhan, aku yakin, itu bukan urusan aku untuk tahu. Dia agak cuai, tapi aku enggan menegur apatah lagi memaki. Puntung rokok sudah jatuh ketika aku menyambar bayi, mengotori sedikit pasu di beranda.

Tuhan, aku amat pentingkan jumlah rokok yang aku hisap setiap hari. Ia mengiringi doaku. Ia mengingatkan aku pada apa yang berlaku dalam suatu hari. Aku menyelamatkan bayi itu ketika menyedut rokok yang keempat hari ini. Dan aku menyedut puntung rokok yang kelima ketika aku dipelawa tuan rumah untuk duduk menenangkan diri setelah menyelamatkan bayinya.

Aku tidak berkata apa-apa. Sekadar isyarat tangan menandakan “Tidak apa.” Orang bersorak ketika aku berjaya menyelamatkan bayi itu, tetapi ia pantas berakhir. Di atas meja terhidang kopi. Aku terhidu sesuatu yang wangi. Rumah ini, berselerak. Tidak menghairankan kerana rumah yang ada budak kecil memang begitu kebiasaannya. Aku hanya mahu meneguk kopi ini dan balik.

“Terima kasih sebab selamatkan anak saya!”

Aku angguk. Kelelahan, aku enggan berkata. Aku teguk kopi itu lalu bangkit, menuju ke pintu. Hati aku masih panas ketika itu, mengenangkan kecuaian tuan rumah menguruskan bayinya. Pintu berkunci.

“Saya harap kamu boleh maafkan saya atas kecuaian itu. Saya dah susahkan kamu.”

“Lagi susah kalau saya tak boleh balik dengan segera.”

Aku tuding ke arah pintu yang berkunci. Menyedari hal itu, lekas-lekas tuan rumah mencapai kunci lalu memohon maaf. Ia tidak berakhir di situ. Tuan rumah bergerak ke beranda lalu mencampakkan kunci itu ke bawah. Bayi menangis.

Tuhan, aku keluarkan rokok yang keenam. Aku tenung muka tuan rumah lama-lama. Aku pergi ke beranda lalu cengkam terali. Aku fikir nak panjat terali itu dan turun ke bawah. Tapi gayat pula.

“Kamu fikir kenapa baby ada di beranda?”

Perlahan-lahan tuan rumah meletakkan bayinya ke atas lantai. Dibiarkan menangis begitu saja. Aku sedar tuan rumah mungkin gila. Dan aku enggan menyuap kegilaannya itu lagi. Provokasi mungkin menyelamatkan situasi. Atau membuatkan ia lebih parah.

“Sebab ada Tuhan di luar sini, bukan begitu?”

“Eh, jadi dalam rumah ini tiada Tuhan?”

Aku terpaksa melangkah masuk ke dalam rumah. Tuan rumah sekadar berpeluk tubuh melihatku mendukung kembali bayi tersebut. Aku bawa bayi itu ke beranda. Aku cucuh rokok yang aku hisap separuh ke dalam pasu bunga di beranda. Aku tarik pintu gelangsar. Tuan rumah menyeringai. Dia sedang berkata sesuatu tetapi aku tak dapat mendengarnya. Aku enggan mendengarnya.

Kenapa aku harus berdepan dengan orang gila sesudah menyelamatkan bayi ini? Perlahan-lahan tuan rumah menarik langsir menutupi pandanganku daripada melihat apa yang berlaku dalam rumah.

Tuhan, seingatku, tuan rumah ini jelas warasnya pada awal dia mendepaniku. Barangkali dia didepani masalah terutamanya tohmahan masyarakat ke atas golongan sepertinya. Dia androgynous – tidak diketahui sama ada lelaki ataupun perempuan. Membesarkan seorang anak dalam keadaan sebegitu mungkin agak payah. Siapa bapa, siapa ibu? Dia hanya seorang manusia yang mahu membesarkan anaknya, biarpun sekarang aku tidak pasti mengenai hal itu.

Dia mengunci pintu gelangsar dari dalam. Langsir sudah diselak ke tepi lalu diikat. Aku nampak apa yang dia mahu lakukan. Dia sedang mengikat tali rafia pada kipas siling. Bangku tempatnya berpijak pula tidak rapuh. Aku ketuk berulang-kali pada pintu gelangsar. Aku capai poketku dan teringat aku tidak membawa telefon bimbit.

Aku berpaling lalu menghadap setiap unit apartmen yang mendepani unit rumah ini. Aku mengharap mereka yang menyaksi tahu apa yang terjadi dan menghubungi pihak berkuasa.

Tiada respons. Aku berteriak meminta orang memanggilkan bomba ataupun polis. Tuan rumah mahu membunuh diri. Dia sudah melilitkan tali pada lehernya. Bayi terus menangis seolah-olah mengerti dirinya bakal ditinggalkan penjaganya.

Aku tendang pintu gelangsar sekuat hati, tetapi tidak berjaya. Hendak dirempuh jarak tak mencukupi untukku kumpul tenaga memecahkannya.

Tuhan, ketika pintu masuk ke rumahnya dipecahkan, aku sekadar berdiri dengan bayi di pangkuanku, melihat bagaimana pihak bomba menurunkan mayat tuan rumah yang terkulai layu di ruang tamu. Cengkamanku pada terali amat kuat, sehinggakan tanganku kebas.

Kerana itu Tuhan, aku enggan menghisap rokok seterusnya. Aku harap bayi itu kenal gendernya kemudian hari dan tidak merokok.