Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kargo udara catat permintaan tinggi pada Mac

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melaporkan bahawa permintaan global untuk kargo udara pada Mac 2021 terus mengatasi jumlah permintaan tahap sebelum pandemik Covid-19 dengan permintaan naik 4.4 peratus.

IATA berkata pada Mac permintaan mencapai paras tertinggi sejak data untuk siri pasaran kargo udara global bermula pada tahun 1990.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata kargo udara terus mencatatkan pertumbuhan positf bagi sektor penerbangan dan syarikat penerbangan mengambil pelbagai langkah untuk memenuhi kapasiti yang diperlukan.

“Krisis akibat pandemik telah menunjukkan bahawa kargo udara dapat memenuhi cabaran dengan menggunakan inovasi dengan pantas.

“Begitulah caranya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, walaupun sebahagian besar pesawat penumpang tersadai,” kata Walsh dalam satu kenyataan semalam.

Sektor itu perlu mengekalkan momentum pra-pandemik ini untuk mendorong kecekapan jangka panjang industri dengan digitalisasi.

IATA juga menyatakan bahawa kenaikan permintaan bulan ke bulan dengan jumlah melonjak 0.4 peratus pada Mac berbanding tahap pada Februari, 2021.

Bagaimanapun, pertumbuhannya lebih perlahan daripada bulan sebelumnya yang menyaksikan permintaan meningkat 9.2 peratus berbanding Februari, 2019.

“Prestasi lebih lemah dicatatkan syarikat penerbangan Asia-Pasifik dan Afrika menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih rendah pada bulan Mac,” kata IATA.

Sementara itu, IATA berkata pesanan eksport baharu adalah antara keadaan yang mendasari keadaan ekonomi, ia kekal menyokong kargo udara.

“Selain pesanan eksport, waktu pengiriman barang-barang buatan juga meningkat yang pada kebiasaannya menunjukkan peningkatan permintaan untuk kargo udara dalam usaha untuk mengurangi tempoh pengiriman.

“Perdagangan global meningkat 0.3 peratus pada Februari, kenaikan bulanan kesembilan berturut-turut dan pertumbuhan secara berterusan dicatatkan dalam tempoh lebih daripada dua dekad, ia juga menyokong permintaan untuk kargo udara,” katanya.

– BERNAMA