Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kargo udara catat permintaan tinggi pada Mac

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melaporkan bahawa permintaan global untuk kargo udara pada Mac 2021 terus mengatasi jumlah permintaan tahap sebelum pandemik Covid-19 dengan permintaan naik 4.4 peratus.

IATA berkata pada Mac permintaan mencapai paras tertinggi sejak data untuk siri pasaran kargo udara global bermula pada tahun 1990.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata kargo udara terus mencatatkan pertumbuhan positf bagi sektor penerbangan dan syarikat penerbangan mengambil pelbagai langkah untuk memenuhi kapasiti yang diperlukan.

“Krisis akibat pandemik telah menunjukkan bahawa kargo udara dapat memenuhi cabaran dengan menggunakan inovasi dengan pantas.

“Begitulah caranya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, walaupun sebahagian besar pesawat penumpang tersadai,” kata Walsh dalam satu kenyataan semalam.

Sektor itu perlu mengekalkan momentum pra-pandemik ini untuk mendorong kecekapan jangka panjang industri dengan digitalisasi.

IATA juga menyatakan bahawa kenaikan permintaan bulan ke bulan dengan jumlah melonjak 0.4 peratus pada Mac berbanding tahap pada Februari, 2021.

Bagaimanapun, pertumbuhannya lebih perlahan daripada bulan sebelumnya yang menyaksikan permintaan meningkat 9.2 peratus berbanding Februari, 2019.

“Prestasi lebih lemah dicatatkan syarikat penerbangan Asia-Pasifik dan Afrika menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih rendah pada bulan Mac,” kata IATA.

Sementara itu, IATA berkata pesanan eksport baharu adalah antara keadaan yang mendasari keadaan ekonomi, ia kekal menyokong kargo udara.

“Selain pesanan eksport, waktu pengiriman barang-barang buatan juga meningkat yang pada kebiasaannya menunjukkan peningkatan permintaan untuk kargo udara dalam usaha untuk mengurangi tempoh pengiriman.

“Perdagangan global meningkat 0.3 peratus pada Februari, kenaikan bulanan kesembilan berturut-turut dan pertumbuhan secara berterusan dicatatkan dalam tempoh lebih daripada dua dekad, ia juga menyokong permintaan untuk kargo udara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

2020 tahun paling buruk sejarah penerbangan, trafik susut 75.6 peratus: IATA

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Permintaan trafik penumpang syarikat penerbangan antarabangsa mencatatkan penurunan 75.6 peratus pada 2020 berbanding tahun sebelumnya, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ia berkata keputusan trafik penumpang global untuk 2020 menunjukkan penurunan paling ketara dalam sejarah bagi hasil penumpang setiap kilometer (RPK) yang menyusut 65.9 peratus berbanding tahun penuh 2019.

“Kapasiti tempat duduk setiap kilometer (ASK) turun 68.1 peratus dan faktor muatan jatuh 19.2 mata peratusan menjadi 62.8 peratus.

“Permintaan domestik pada tahun 2020 merosot 48.8 peratus berbanding 2019. Kapasiti menguncup sebanyak 35.7 peratus dan faktor muatan turun 17 mata peratusan kepada 66.6 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac berkata: “Tahun lepas merupakan tahun bencana. Tidak ada cara lain untuk menggambarkannya”.

Sementara itu, menurut IATA, unjuran awal untuk 2021 ialah mencatat peningkatan 50.4 peratus ke atas permintaan 2020 yang akan membawa industri ke 50.6 peratus paras tahun 2019.

“Walaupun jangkaan ini tetap tidak berubah, terdapatnya risiko penurunan yang teruk sekiranya sekatan pergerakan lebih ketat dikenakan ekoran kemunculan varian baharu.

“Sekiranya senario seperti ini wujud, peningkatan permintaan mungkin tersekat kepada hanya 13 peratus berbanding paras 2020, menyaksikan industri itu berada pada tahap 38 peratus di paras 2019,” tambahnya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkhidmatan udara mulai pulih selepas prestasi terendah pada April

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Permintaan terhadap perkhidmatan udara mulai pulih selepas mengalami prestasi terendah pada April, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ia berkata permintaan penumpang pada April (diukur berdasarkan perolehan daripada penumpang mengikut kilometer atau RPK) merosot 94.3 peratus berbanding pada April 2019, disebabkan sekatan perjalanan berikutan Covid-19 yang hampir menghentikan perjalanan udara domestik dan antarabangsa.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif, Alexandre de Juniac berkata kadar penurunan itu tidak pernah berlaku dalam sejarah siri trafik IATA, yang bermula pada 1990.

“Baru-baru ini, angka menunjukkan jumlah penerbangan harian meningkat 30 peratus di antara titik rendah pada 21 April dan 27 Mei. Ini terutama dalam dan luar operasi domestik daripada asas yang sangat rendah (5.7 peratus daripada permintaan 2019).

“Walaupun kenaikan ini tidak ketara bagi dimensi industri pengangkutan udara global namun ia menunjukkan industri telah menyaksikan prestasi terendah akibat krisis ini, sekiranya tidak berulang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata di samping itu, ia juga merupakan isyarat pertama penerbangan yang memulakan semula proses yang panjang untuk menawarkan kembali kesalinghubungan.

Tempoh April adalah bencana bagi penerbangan kerana perjalanan udara hampir sepenuhnya dihentikan, namun bulan itu juga menunjukkan krisis semakin reda dengan jumlah penerbangan semakin meningkat, katanya.

“Negara-negara mula menarik balik sekatan pergerakan dan keyakinan perniagaan dilihat semakin baik di pasaran utama seperti China, Jerman, dan Amerika Syarikat (AS).

“Ini adalah tanda-tanda positif memandangkan kita mula membangunkan kembali industri. Pertumbuhan baharu akan mengambil masa – mungkin bertahun-tahun – untuk mencapai kematangan,” katanya.

IATA berkata pada minggu pertama April, kerajaan di 75 peratus pasaran yang dipantaunya menyekat kemasukan sepenuhnya manakala 19 peratus lagi mengenakan sekatan perjalanan terhad atau keperluan kuarantin wajib bagi ketibaan antarabangsa, dengan kenaikan penerbangan awal tertumpu di pasaran domestik.

Ia berkata permintaan penumpang antarabangsa April jatuh 98.4 peratus berbanding April 2019, kemerosotan daripada penurunan 58.1 peratus yang dicatatkan pada Mac. Kapasiti pula jatuh 95.1 peratus, dan faktor bebanan susut 55.3 mata peratusan kepada 27.5 peratus.

Trafik penerbangan Asia-Pasifik pada April merosot 98.0 peratus berbanding dengan tempoh tahun lepas, lebih buruk daripada penurunan 70.2 peratus pada Mac manakala kapasiti turun 94.9 peratus dan faktor bebanan jatuh 49.9 mata peratusan kepada 31.3 peratus, kata persatuan itu.

Dalam pada itu, trafik domestik turun 86,9 peratus pada April, dengan penurunan paling tinggi dicatat di Australia (-96.8 peratus), Brazil (-93.1 peratus) dan AS (-95.7 peratus).

Prestasi itu adalah kemerosotan ketara berbanding penurunan 51.0 peratus pada Mac. Kapasiti domestik turun 72.1 peratus dan faktor muatan kurang 44.3 mata peratusan kepada 39.5 peratus.

de Juniac berkata bagi penerbangan, April adalah tempoh paling buruk kerana kerajaan mengambil tindakan drastik untuk memperlahankan penularan wabak itu namun terpaksa menanggung kerugian ekonomi daripada kemelesetan global.

“Syarikat penerbangan akan menjadi kunci kepada pemulihan ekonomi. Penting untuk industri penerbangan bersiap siaga dengan langkah-langkah keselamatan bio yang diyakini oleh penumpang dan pekerja pengangkutan udara. Itulah sebabnya pelaksanaan garis panduan global Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk memulakan semula penerbangan dengan selamat menjadi keutamaan teratas,” katanya.

‘Takeoff: Guidance for Air Travel through the Covid-19 Public Health Crisis’ (Pelepasan: Garis Panduan bagi Perjalanan Udara semasa Krisis Kesihatan Awan Covid-19) oleh Majlis ICAO adalah rangka kerja autoritatif dan komprehensif mengenai tindakan sementara berdasarkan risiko untuk operasi pengangkutan udara semasa krisis Covid-19.

Ia dirangka menerusi perundingan secara meluas dengan kerajaan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dan dengan nasihat utama daripada kumpulan industri penerbangan termasuk IATA, Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI), Pertubuhan Perkhidmatan Pandu Arah Udara Awam (CANSO) serta Majlis Penyelarasan Antarabangsa bagi Persatuan Industri Aeroangkasa (ICCAIA).

“Kami menyokong sepenuhnya syor tersebut dan berharap dapat bekerja dengan kerajaan-kerajaan untuk pelaksanaan penyelarasan yang baik. Dunia tidak dapat menangguhkannya,” kata de Juniac.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI GLOBAL

Mac bulan bencana sektor penerbangan, jatuh 52.9 peratus – IATA

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyifatkan Mac sebagai bulan bencana kepada industri penerbangan berikutan permintaan yang diukur daripada penumpang mengikut kilometer (RPK) jatuh mendadak 52.9 peratus berbanding tahun lepas.

Ini merupakan penurunan yang terbesar dalam sejarah, mencerminkan impak daripada langkah kerajaan untuk memperlahankan penularan Covid-19, kata IATA yang mewakili 290 syarikat penerbangan yang terdiri daripada 82 peratus trafik udara global.

Bagi data pelarasan musim, jumlah penumpang global kembali kepada paras yang kali terakhir dilihat pada 2006.

Kapasiti Mac (tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK) susut 36.2 peratus dan faktor muatan jatuh mendadak 21.4 mata peratusan kepada 60.6 peratus, kata IATA dalam kenyataan hari ini.

“Mac merupakan bulan bencana bagi penerbangan. Syarikat penerbangan secara progresif merasakan peningkatan impak daripada penutupan sempadan dan sekatan pergerakan berikutan Covid-19, termasuk di pasaran domestik.

“Permintaan berada pada paras yang sama seperti 2006, namun kami mempunyai pesawat dan pekerja untuk menggandakannya. Lebih memburukkan apabila kita tahu keadaan semakin merosot pada April dan kebanyakan isyarat menuju ke arah pemulihan yang perlahan,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac.

Permintaan penumpang antarabangsa bagi Mac 2020 menguncup 55.8 peratus berbanding Mac 2019.

Ia lebih buruk berbanding penurunan 10.3 peratus tahun ke tahun pada Februari. Semua rantau merekodkan penyusutan peratusan trafik dua angka. Kapasiti merosot 42.8 peratus dan faktor muatan menjunam 18.4 mata peratusan kepada 62.5 peratus, jelas IATA.

“Syarikat penerbangan Asia Pasifik mendahului penurunan itu memandangkan trafik Mac jatuh 65.5 peratus berbanding tahun lepas, iaitu melebihi dua kali ganda penurunan 30.7 peratus pada Februari. Kapasiti turun 51.4 peratus dan faktor muatan jatuh 23.4 mata peratusan kepada 57.1 peratus,” katanya.

Permintaan bagi perjalanan domestik menguncup 47.8 peratus pada Mac berbanding Mac 2019 dengan peratusan penurunan dua angka di seluruh pasaran. Ia berbanding kejatuhan 21. 3 peratus tahun ke tahun pada Februari. Kapasiti susut 24.5 peratus dan faktor muatan menjunam 26.0 mata peratusan kepada 58.1 peratus.

Menurut IATA, syarikat penerbangan China terus menyaksikan penyusutan tertinggi dengan permintaan domestik jatuh 65.5 peratus pada Mac 2020 berbanding Mac 2019. Bagaimanapun, ia adalah penambahbaikan melebihi 85 peratus bagi penurunan tahun ke tahun pada Februari berikutan langkah negara untuk membuka semula penerbangan udara domestik.

Syarikat penerbangan Jepun mencatat pengurangan 55.8 peratus tahun ke tahun bagi RPK domestik walaupun tidak mengenakan sebarang sekatan keluar masuk yang meluas.

“Industri ini dalam keadaan merosot dan kita belum jatuh ke paras terendah. Namun, masanya akan tiba tidak lama lagi, saya harap — apabila pihak berkuasa bersedia melonggarkan sekatan pergerakan dan membuka sempadan. Adalah penting untuk kerajaan bekerjasama dengan industri pada masa ini untuk membuat persiapan menghadapinya,” kata de Juniac.

Beliau berkata ia adalah satu-satunya jalan bagi memastikan industri penerbangan mempunyai kaedah untuk mengekalkan keselamatan penumpang ketika perjalanan dan memberi keyakinan kepada kerajaan bahawa sektor penerbangan tidak akan menjadi vektor dalam penularan penyakit ini.

“Kita juga perlu mengelakkan kekeliruan dan kerumitan setelah 9.11. Piawaian global yang dipersetujui bersama dan boleh dipraktikkan akan menjadi misi kritikal untuk mencapainya. Satu-satunya kaedah untuk mencapai hasrat itu adalah menerusi kerjasama,” kata beliau.

-BERNAMA