Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kargo udara catat permintaan tinggi pada Mac

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melaporkan bahawa permintaan global untuk kargo udara pada Mac 2021 terus mengatasi jumlah permintaan tahap sebelum pandemik Covid-19 dengan permintaan naik 4.4 peratus.

IATA berkata pada Mac permintaan mencapai paras tertinggi sejak data untuk siri pasaran kargo udara global bermula pada tahun 1990.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata kargo udara terus mencatatkan pertumbuhan positf bagi sektor penerbangan dan syarikat penerbangan mengambil pelbagai langkah untuk memenuhi kapasiti yang diperlukan.

“Krisis akibat pandemik telah menunjukkan bahawa kargo udara dapat memenuhi cabaran dengan menggunakan inovasi dengan pantas.

“Begitulah caranya untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, walaupun sebahagian besar pesawat penumpang tersadai,” kata Walsh dalam satu kenyataan semalam.

Sektor itu perlu mengekalkan momentum pra-pandemik ini untuk mendorong kecekapan jangka panjang industri dengan digitalisasi.

IATA juga menyatakan bahawa kenaikan permintaan bulan ke bulan dengan jumlah melonjak 0.4 peratus pada Mac berbanding tahap pada Februari, 2021.

Bagaimanapun, pertumbuhannya lebih perlahan daripada bulan sebelumnya yang menyaksikan permintaan meningkat 9.2 peratus berbanding Februari, 2019.

“Prestasi lebih lemah dicatatkan syarikat penerbangan Asia-Pasifik dan Afrika menyumbang kepada pertumbuhan yang lebih rendah pada bulan Mac,” kata IATA.

Sementara itu, IATA berkata pesanan eksport baharu adalah antara keadaan yang mendasari keadaan ekonomi, ia kekal menyokong kargo udara.

“Selain pesanan eksport, waktu pengiriman barang-barang buatan juga meningkat yang pada kebiasaannya menunjukkan peningkatan permintaan untuk kargo udara dalam usaha untuk mengurangi tempoh pengiriman.

“Perdagangan global meningkat 0.3 peratus pada Februari, kenaikan bulanan kesembilan berturut-turut dan pertumbuhan secara berterusan dicatatkan dalam tempoh lebih daripada dua dekad, ia juga menyokong permintaan untuk kargo udara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Aksi pekerja kargo campak bungkusan penumpang dihentam nitizen

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 MAC: Aksi dua kakitangan kargo di sebuah lapangan terbang mengendalikan bungkusan barangan dengan tidak berhati-hati di sebuah lapangan terbangmengundang kemarahan nitizen di laman sosial facebook, baru-baru ini.

Kejadian yang sempat dirakam menerusi tingkap tempat duduk penumpang oleh seorang penumpang penerbangan yang berada di situ ditonton 151,400 kali dan dikongsi 5,890 nitizen.

Video dimuat naik di laman New Malaysian Post itu memaparkan bagaimana dua pekerja yang sedang memunggah barang-barang kiriman secara tidak berhati-hati dengan mencampakkan barang berkenaan sebelum proses seterusnya.

kargoRakaman video berdurasi 20 saat dengan berlatarkan suara wanita beristighfar kerana melihat perlakuan pekerja itu turut disertakan kapsyen “Macam mana barang tak rosak. Untuk info ini bukan pekerja Air Asia.”

Adengan itu menimbulkan perasaan marah dalam kalangan pengguna facebook dan menyeru supaya pihak bertanggungjawab mengambil langkah sewajarnya.

“Mcm jilakakan, tak kira lah pekerja Air Asia ke apa? Siapa yang kena pantau dia orang ini? Ini dah ada bukti apa tindakan yang berkenaan? Bukan pekerja Air Asia, jadi sampai bila nak macam ini,” tulis Siti Nurihan Mohd Salim.

“Patutlah barang kita banyak rosak di airport, ini dia orang hati jahat punya kerja buang barang,” tulis Joey Jo.

“Patutlah beg aku koyak rabak padahal dah letak ‘sticker fragile’ dekat beg tu.. Kepala bana dia orang ni..cihh,” tulis Shaimi Shane pula.

Namun, lebih menarik dan melucukan apabila salah seorang komentar mengaitkan kejadian itu dengan gaya pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam menyantuni rakyat.

“Macam inilah Najib dan kroni buat pada rakyat. Dicampak-campakkan, dilempar, dibuangkan bila dah dapat tapi masa meraih simpati, sama juga macam syarikat ini buat promosi. Macam-macam benda ditawarkan, itu percuma, ini percuma, berebut orang pilih.

“Bila dah pilih, masing-masing dah masuk perangkap. Nak bising-bising pun dah tak guna lagi, redha sahajalah. Kita tunggu PRU akan datang, mesti ada ‘promosi’ baru kau orang dapat… hahaha,” tulis pengguna facebook yang menamakan dirinya Autopart Zoomers.

-NFN-