Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

7,000 peserta tuisyen Selangor terima internet percuma mulai Oktober

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kira-kira 7,000 peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bakal menikmati kemudahan data internet percuma selama setahun bermula Oktober ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata program Data Internet Selangor menawarkan pakej Life dikuasakan Digi dan Celcom dengan kuota sebanyak 15 gigabit serta Unifi (45 gb) sebulan.

“Kita beri keutamaan kepada peserta PTRS, jadi sekarang dalam proses mengumpul data dan mendaftar nama mereka. Peserta boleh memilih salah satu daripada tiga penyedia telekomunikasi (Telco) tanpa perlu menukar nombor sedia ada.

“Yuran langganan data dibiayai sepenuhnya MBI Bisnes Amal dan caj akan dikenakan jika penggunaan melebihi kuota diperuntukkan pada bulan semasa,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan tablet kepada pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11 di sini hari ini.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, Dato’ Menteri Besar mengumumkan program Data Internet Selangor yang akan memanfaatkan 70,000 golongan sasar termasuk penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) membabitkan kerjasama MBI dan Telekom Malaysia (TM) selepas menyedari kesulitan dihadapi rakyat negeri ini dalam mendepani cabaran Covid-19.