Categories
AGENDA NASIONAL

30,000 buku diagih kepada pelajar, bantu ulang kaji sepanjang PKP

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri mengagihkan 30,000 buku modul pembelajaran bercetak secara percuma bermula April lalu menerusi program Tuisyen Rakyat Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu diberikan kepada pelajar tahun enam dan tingkatan lima untuk membantu mereka belajar sepanjang tempoh penutupan sekolah.

“Melalui program Tuisyen Rakyat Selangor, jumlah agihan sebanyak 20,000 naskah untuk pelajar tingkatan lima dan 10,000 naskah untuk pelajar tahun enam.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima buku ini dimanfaatkan sepenuhnya pelajar dalam tempoh penutupan sekolah. la membantu pelajar terus melatih tubi meskipun ada masalah internet dan peranti untuk belajar,” katanya.

Amirudin menjawab soalan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berhubung program bantuan pelajar di sekolah rendah dan menengah pada Sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Berhubung Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor (SEPINTAS), Amirudin berkata program itu adaptasi pengubahsuaian program dilaksana Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

“Kita jadikan ini sebagai program Kerajaan Negeri untuk dinaik taraf kepada beberapa kemudahan memiliki seperti komputer dan peranti yang diberikan kepada pelajar terutama kelompok B40.

“Tiada perbincangan rasmi diadakan bersama Kerajaan Pusat berhubung keperluan peranti tetapi kita ada sampaikan kepada ahli Parlimen dalam pertemuan tidak rasmi,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

7,000 peserta tuisyen Selangor terima internet percuma mulai Oktober

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kira-kira 7,000 peserta Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) bakal menikmati kemudahan data internet percuma selama setahun bermula Oktober ini.

Ketua tanggungjawab sosial korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata program Data Internet Selangor menawarkan pakej Life dikuasakan Digi dan Celcom dengan kuota sebanyak 15 gigabit serta Unifi (45 gb) sebulan.

“Kita beri keutamaan kepada peserta PTRS, jadi sekarang dalam proses mengumpul data dan mendaftar nama mereka. Peserta boleh memilih salah satu daripada tiga penyedia telekomunikasi (Telco) tanpa perlu menukar nombor sedia ada.

“Yuran langganan data dibiayai sepenuhnya MBI Bisnes Amal dan caj akan dikenakan jika penggunaan melebihi kuota diperuntukkan pada bulan semasa,” kata Ahmad Azri Zainal Nor.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan tablet kepada pelajar Sekolah Agama Menengah (SAM) Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Seksyen 11 di sini hari ini.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, Dato’ Menteri Besar mengumumkan program Data Internet Selangor yang akan memanfaatkan 70,000 golongan sasar termasuk penjaja kecil, pelajar, ibu tunggal, pemandu teksi, warga emas dan pekerja ekonomi sampingan.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengumumkan Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) membabitkan kerjasama MBI dan Telekom Malaysia (TM) selepas menyedari kesulitan dihadapi rakyat negeri ini dalam mendepani cabaran Covid-19.

 

Categories
ADN SELANGOR

PPKK Subang Jaya manfaat 3,500 kanak-kanak

SUBANG JAYA, 24 OGOS: Kira-kira 3,500 kanak-kanak menerima manfaat menerusi penubuhan Pusat Peduli Kanak-kanak (PPKK) di Pangsapuri Angsana di sini, kata Ahli Dewan Negeri(ADN) Subang Jaya.

Michelle Ng Mei Sze berkata PPKK yang diselaras Pertubuhan Peduli Kanak-Kanak Subang Jaya memberi peluang kepada golongan itu menyertai aktiviti seperti kelas tuisyen, muzik, tarian dan komputer.

“Bagaimanapun, buat masa ini PPKK hanya dibuka untuk kelas tuisyen berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang mengehadkan tempoh operasi dan kanak-kanak mengikuti kelas tersebut mengikut slot ditetapkan.

“Pada masa sama, kita khuatir jika terlalu ramai dalam pusat ini dalam satu-satu masa menyebabkan penyelaras sukar menyesuaikan diri, jadi kita tidak mahu langgar tatacara operasi piawai (SOP),” katanya selepas Majlis Pelancaran PPKK semalam.

ADN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze (dua dari kanan) ketika Majlis Pelancaran PPKK pada 23 Ogos 2020. Foto: Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Subang Jaya

Menurut Michelle pusat itu juga menyediakan khidmat kaunseling, kursus pengasuhan serta perkembangan kanak-kanak.

Mengulas perancangan masa depan, katanya, berhasrat menjadikan tempat itu sebagai Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) memandangkan ia sudah memenuhi kriteria Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

“Sebelum ini, kita memang mahu berdaftar di bawah PAKK namun difahamkan tiada peruntukan, jadi apabila ada masa sesuai kita akan buat permohonan sewajarnya.

“Tambahan pula, PPKK mempunyai rekod prestasi yang membuktikan jawatankuasa penyelaras daripada badan bukan kerajaan (NGO) pernah terlibat dalam aktiviti kanak-kanak.

“Malah, kita ada fasiliti yang sesuai untuk melaksanakan aktiviti kanak-kanak maka kita berharap lot ini memenuhi keperluan mereka (JKM).”

Categories
AGENDA NASIONAL

Kebenaran pusat tuisyen swasta, surau sekolah diputuskan Jumaat

SHAH ALAM, 24 JUN: Pembukaan semula pusat tuisyen swasta dan surau sekolah diputuskan Jumaat ini selepas garis panduannya dibentangkan Kementerian Pendidikan.

“Menteri Pendidikan (Dr Mohd Radzi Md Jidin) bentangkan (garis panduan) bukan setakat tuisyen tetapi surau di sekolah kerana apabila (sekolah) dibuka, surau perlu digunakan,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sesi persekolahan membabitkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam dimulakan semula hari ini selepas hampir tiga bulan ditutup susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

Sebanyak 2,444 sekolah menengah dan ratusan sekolah antarabangsa dibuka di seluruh negara membabitkan 500,444 pelajar.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Peserta tuisyen percuma ditingkatkan ke 10,000

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 12 APR: Perubahan angin politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 jelas memberi pelbagai manfaat kepada rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, antaranya membabitkan usaha dalam sektor pendidikan apabila terjalinnya kerjasama dan persefahaman antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

“Ekoran perubahan politik pada 9 Mei lalu, kita mula berupaya bekerja rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan dapat melaksanakan program tuisyen, di sekolah terpilih.

“Kita berjaya mengangkat dan menambah jumlah jumlah peserta yang layak daripada 6,000 orang kepada 10,000 pada tahun 2019,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada Perhimpunan Dato’ Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Daerah Kuala Langat, di Dewan Sri Jugra, Telok Datok, di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri juga meningkatkan usaha pengupayaan rakyat negeri termaju itu untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

Sebelum ini, program Pusat Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang dijalankan Kerajaan Negeri menghadapi beberapa kekangan daripada peringkat persekutuan ekoran perbezaan fahaman politik.