Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk gembira Kerajaan Negeri sedia pengangkutan awam ke PPV

SHAH ALAM, 8 JULAI: Orang ramai gembira dengan inisiatif Kerajaan Selangor yang menyediakan pengangkutan awam untuk memudahkan mereka ke pusat pemberian vaksin (PPV).

Penerima vaksin, Izaruddin Osman, 50, berkata beliau menyambut baik inisiatif itu kerana tidak semua orang mempunyai kenderaan sendiri.

Izaruddin Osman

“Saya memilih pergi PPV menaiki Bas Smart Selangor kerana stesen bas berhampiran dengan rumah. Pengangkutan awam ini memudahkan terutama untuk warga emas yang mana anak tinggal berjauhan.

“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana menyediakan kemudahan kepada rakyat yang mahu pergi ke PPV,” katanya ketika ditemui di PPV Pusat Konvensyen Sunway Pyramid semalam.

Sementara itu, Nurkiah Jusoh, 31, memuji inisiatif yang menurutnya amat membantu terutama golongan seperti beliau yang bergantung kepada pengangkutan awam kerana tidak memiliki kenderaan sendiri.

Nurkiah Jusoh

“Menaiki kenderaan awam ke PPV satu langkah yang amat bagus kerana saya khuatir sekiranya selepas divaksin akan ada kesan sampingan sama ada mengantuk atau tidak larat untuk memandu. Ia juga membantu golongan warga emas atau mereka yang berada di luar bandar untuk pergi PPV,” katanya.

Manakala, Muhammad Azizan Alias, 27, ketika ditemui di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pula berpendapat beliau memilih untuk menaiki Grab ke PPV kerana mudah dan tidak perlu fikir untuk mencari parkir.

Muhammad Azizan Alias

“Saya tidak tahu pula mengenai rebat perjalanan Grab tetapi Insya-Allah dos kedua nanti saya akan daftar manfaat ini untuk menaiki Grab ke PPV,” jelasnya.

Selain itu, Viki Too, 34, memuji inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan pengangkutan awam ke PPV dan berharap diperluaskan ke semua kawasan.

Viki Too

“Hari ini suami ambil cuti kerja untuk hantar saya ke PPV kerana bimbang keadaan selepas divaksin. Selepas dimaklum adanya inisiatif Kerajaan Selangor ini saya akan memilih untuk menaiki pengangkutan awam itu bagi dos kedua nanti,” katanya ketika ditemui di IDCC.

Kerajaan Selangor menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan laluan perkhidmatan Bas Smart Selangor termasuk tawaran rebat perjalanan ke PPV menggunakan Grab berjumlah RM20 dibuka kepada semua rakyat negeri ini tanpa mengira usia.