Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri zahir tahniah Azizulhasni raih perak di Tokyo

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan tahniah kepada pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020, hari ini.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Mohd Azizulhasni membawa pulang pingat itu buat kontinjen negara dalam kejohanan sukan terbesar dunia itu, sekali gus melakar sejarah buat sukan lumba basikal trek negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda berdua menyifatkan pencapaian Datuk Azizulhasni ini sebagai pencapaian yang amat bermakna kepada Malaysia.

“Semestinya seluruh rakyat Malaysia amat berbangga dengan aksi dan semangat tidak mudah mengalah yang ditunjukkan oleh Datuk Azizulhasni,” menurut catatan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Seri Paduka berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta barisan kejurulatihan pasukan basikal trek negara dan seluruh kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Seri Paduka berdua turut mendoakan semua atlet negara memperoleh kejayaan cemerlang dan mengharumkan nama negara pada kejohanan-kejohanan mendatang.

-BERNAMA