Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: RM2.8 bilion dibelanja laksana program vaksin setakat Ogos

SHAH ALAM, 30 SEPTEMBER: Sejumlah RM2.8 bilion dibelanjakan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat Ogos lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perbelanjaan pelbagai agensi itu meliputi RM2.6 bilion bagi pembelian vaksin, RM210 juta kepada pengamal perubatan swasta dan RM19 juta meningkatkan aset Kementerian Kesihatan Malaysia

Menurutnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang menerima peruntukan RM1 bilion pula membelanjakan RM314 juta setakat ini bagi menjayakan PICK.

“Perbelanjaan membabitkan kos operasi seperti sewa, pembersihan, peralatan dan kebajikan petugas pusat pemberian vaksin yang diberikan sagu hati serta makanan.

“Mosti turut berbelanja bagi meningkatkan pendaftaran di semua kawasan parlimen membabitkan perbelanjaan RM4.4 juta, kita berterima kasih kepada semua ahli parlimen yang membantu,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memohon penjelasan berhubung perbelanjaan kerajaan bagi melaksanakan PICK.