Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Enggan terima vaksin jadi sebab kebebasan tertentu disekat

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil pendekatan tidak membenarkan kebebasan tertentu dinikmati individu yang lengkap divaksin kepada kumpulan antivaksin, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kebebasan yang disekat itu hanya dituju kepada mereka yang enggan menerima vaksin Covid-19.

Beliau berkata terdapat dua kumpulan yang harus dibezakan iaitu mereka yang tidak boleh menerima vaksin disebabkan masalah kesihatan dan mereka yang enggan menerima vaksin.

“Dimaksudkan di sini bukan kita…kerajaan yang menyusahkan mereka (kumpulan antivaksin) tetapi sebenarnya pilihan mereka yang menyusahkan mereka sendiri iaitu mereka tidak mengambil vaksin, enggan menerima vaksin, tidak ingin mendengar hujah saintifik dan akhirnya tidak akan mendapat kebebasan yang sama seperti rakyat dan penduduk yang telah menerima vaksin.

“Kita akan teruskan pendekatan ini dan saya telah galakkan supaya ada sekatan di peringkat sektor maksudnya sektor perkhidmatan awam, swasta dan sebagainya sebelum kita memikirkan langkah yang lebih menyeluruh seperti mewajibkan dari segi undang-undang untuk menerima vaksin,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di sini hari ini.

Justeru, Khairy berharap dengan adanya sekatan kebebasan itu, ia adalah cara lebih berhemah daripada kerajaan meletakkan undang-undang memaksa kumpulan terbabit mengambil vaksin.

“Saya ingin melaporkan bahawa lebih 95 peratus daripada penduduk dewasa Malaysia telah sekurang-kurangya mendapat dos pertama (vaksin), maksudnya jumlah yang enggan menerima vaksin ini sangat kecil, namun demikian kita akan terus pujuk mereka untuk mendapat vaksinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi penjelasan kepada Senator Datuk Razali Idris yang mahu tahu cara berhemah digunakan kerajaan berdepan kumpulan antivaksin.

Sementara itu, berhubung cadangan supaya kad khusus vaksinasi diwujudkan bagi komuniti Orang Asli, Khairy berkata tiada keperluan untuk perkara itu kerana kad vaksin sedia ada boleh menjadi bukti sama seperti sijil vaksinasi digital untuk mereka masuk ke mana-mana premis.

“Semua penerima vaksin akan menerima kad vaksin mengikut jenis vaksin yang diterima semasa proses pemberian vaksin. Kad vaksin ini diberikan kepada semua penerima vaksin termasuk masyarakat Orang Asli serta kepada orang yang tidak memiliki akses kepada peranti digital atau Internet.

“Kad ini menyimpan maklumat yang sama seperti yang terdapat dalam sijil digital aplikasi MySejahtera. Maklumat yang didapati dalam kad vaksin adalah nama, identiti penerima vaksin, tarikh vaksinasi dos satu dan dua, nama vaksin, nombor kelompok dan tarikh luput vaksin,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM cadang bersemuka dengan kumpulan antivaksin

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang untuk bersemuka dengan kumpulan antivaksin bagi memberi fakta dan penerangan berhubung vaksin Covid-19 berdasarkan kajian klinikal yang sahih, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata beliau boleh mengatur perjumpaan itu dengan melibatkan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dr Noor Azmi berpendapat kumpulan terbabit perlu diberi penerangan yang sebetulnya berhubung vaksin Covid-19 kerana KKM tidak membuat sebarang keputusan secara semberono, malah berdasarkan kajian dalam dan luar negara.

Beliau berkata KKM sebelum ini sudah menyatakan bahawa vaksin Covid-19 bukanlah penyembuh tetapi bagi meningkatkan imuniti badan dan kajian juga menunjukkan terdapat kesan penurunan antibodi selepas enam bulan divaksin, lalu memerlukan individu berkenaan diberi dos penggalak.

“Jadi saya nak sarankan kalau ada kumpulan ini (antivaksin), kenapa tidak kita jumpa, kita boleh uruskan, saya boleh berbincang dengan Menteri Kesihatan. Kita bersemuka dan bercakap yang sebenar-benarnya.

“Jangan kita cakap sini sana dan menyebarkan berita palsu, kita bimbang juga. Nanti KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) akan ambil tindakan kerana penyebaran berita palsu pula,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Dr Noor Azmi menjawab soalan tambahan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff berhubung tindakan kerajaan supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan kumpulan antivaksin yang menggunakan data COVIDNOW bagi mempengaruhi mereka yang belum divaksin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PM: Sikap sendiri punca antivaksin hadapi kesukaran

BERA, 17 OKT: Kerajaan tidak akan secara sengaja menyukarkan kehidupan golongan yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19, tetapi perkara itu berpunca daripada sikap mereka sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata walaupun suntikan vaksin tidak diwajibkan buat masa ini, namun ia membantu mereka yang menerimanya untuk menjalani kehidupan lebih mudah, menerusi pelbagai kelonggaran yang diberikan termasuk kebenaran merentas negeri.

“Mereka yang tidak mengambil vaksin yang menyukarkan diri, bukan kerajaan yang sengaja menyusahkan…sebab itu saya menyeru mereka yang masih belum menerima vaksin untuk berbuat demikian, supaya semua kemudahan yang diberikan turut boleh dinikmati.

“Tambahan pula, sebagai manusia kita kena bertanggungjawab membantu melindungi orang lain, dengan mengurangkan risiko jangkitan dan mengurangkan keseriusan kesan penyakit jika dijangkiti, dengan mengambil vaksin Covid-19,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Upacara Pemakaian Pangkat kepada Ketua Polis Daerah Bera Supt Mansor Samsudin yang dinaikkan pangkat daripada DSP, di Dewan Sri Kempas Ibu Pejabat Polis Daerah Bera di sini hari ini.

Upacara disempurnakan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. Turut dinaikkan pangkat adalah Timbalan Ketua Polis Daerah Bera DSP N Kumaran yang sebelum ini memakai pangkat ASP.

Semalam Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata kerajaan akan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka yang enggan menerima vaksin, dengan ‘terus mengenakan pelbagai kesukaran’ terhadap mereka.

Kenyataan Khairy itu, menurut Perdana Menteri adalah merujuk kepada kesukaran yang terpaksa dilalui mereka yang tidak mahu menerima vaksin, memandangkan syarat lengkap vaksin Covid-19 bukan hanya dibuat kerajaan Malaysia, namun pelbagai pihak lain.

“… seperti hanya mereka yang lengkap vaksin dibenar mengerjakan umrah dan tahun hadapan boleh menunaikan ibadah haji. Ini syarat daripada kerajaan Arab Saudi yang sudah tentu menyusahkan diri mereka yang tidak divaksin,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada lengkap dua dos vaksin akan dijadikan syarat pengambilan baharu penjawat awam, Ismail Sabri berkata walaupun ia cadangan yang baik, ia memerlukan perincian dan kajian mendalam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Ia (cadangan itu) mungkin boleh dipertimbangkan, namun JPA kena lihat daripada pelbagai aspek termasuk perundangan. Setakat ini, tindakan hanya boleh diambil terhadap mereka yang sudah bekerja seperti yang ditetapkan tarikh akhir penjawat awam mengambil vaksin ialah 1 Nov ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM lapor polis antivaksin sebar maklumat palsu ancam kesihatan awam

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kementerian Kesihatan telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan maklumat palsu sehingga mengancam kesihatan awam.

Menterinya Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau berharap, tindakan susulan termasuk siasatan dan pendakwaan dapat disegerakan.

“Kumpulan ini (antivaksin) terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” kata Khairy sambil menyertakan pautan Twitter seorang pengamal perubatan Dr Sakinah Sulong.

Dr Sakinah dalam Twitter tersebut menulis : “Am I the only one yang rasa antivaccine group kat Malaysia ni kebal-sekebalnya?”.

Beliau turut melampirkan tangkap layar aplikasi Telegram yang didakwa sebagai kumpulan antivaksin.

Dalam satu lagi ciapan, Khairy memaklumkan sehingga semalam sejumlah 5,410 dos penggalak telah diberikan, terutamanya kepada petugas perubatan barisan hadapan.

“Warga emas akan mula menerima dos penggalak mereka di klinik GP (pengamal perubatan) tidak lama lagi,” katanya.

Pada Rabu Khairy berkata kementeriannya akan mula memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas barisan hadapan yang telah melengkapkan vaksinasi mereka sekurang-kurangnya enam bulan lepas.

Individu yang layak akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, sementara kepada mereka yang tidak mempunyai MySejahtera, pengumuman akan dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon daripada pusat vaksinasi.

Pemberian dos penggalak akan dijalankan secara sukarela dan ia percuma di bawah Program Imuniasasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan tempoh perlindungan yang optimum kepada penerimanya di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada SOP tambahan bagi aktiviti rentas negeri

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Tiada tatacara operasi piawai (SOP) tambahan bagi aktiviti rentas negeri sekiranya ia dibenarkan nanti, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, beliau berkata SOP sedia ada masih digunakan, dengan Op Patuh terus dijalankan pihak berkuasa dan tiada sekatan jalan raya bagi memeriksa sama ada orang ramai menjalani ujian kendiri ketika merentas negeri.

“Takkan kita nak ada sekatan jalan raya dan kita check (periksa) setiap orang yang keluar dan kalau dia tak vaksinasi kita suruh buat test (ujian) di situ? Saya rasa rakyat lebih marah kalau berlaku kesesakan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan rasmi ke Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata situasi itu tidak sama dengan Gelembung Pelancongan Langkawi memandangkan jumlah orang terlibat tidak seramai berbanding ketika aktiviti rentas negeri serta tidak sebanyak laluan keluar dan masuk di seluruh negara.

Sementara itu, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) telah berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menurunkan lagi harga kit ujian kendiri Covid-19 yang akan diumumkan kelak.

Beliau menjelaskan faktor masa peralihan perlu diambil kira bagi berlaku adil kepada pembekal yang sudah membuat pembelian awal kit itu.

“Kita akan ambil kira sedikit masa peralihan supaya pembekal yang sudah beli, dapat menjual supply (bekalan) yang ada.

Ada (pembekal) yang beri pandangan tak cukup masa untuk clearkan (habiskan) stok masa turunkan harga dulu. Kita bincang dengan KPDNHEP untuk harga siling ini dan biar ia adil kepada pengguna dan pembekal,” katanya.

Harga siling kit ujian kendiri Covid-19 ditetapkan pada harga RM16 secara borong dan RM19.90 bagi runcit.

Mengenai individu yang masih belum menerima tarikh janji temu vaksin, Khairy berkata satu ciri baharu di aplikasi MySejahtera akan diperkenalkan bagi orang ramai membuat tempahan seterusnya memperoleh janji temu vaksin.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: RM2.8 bilion dibelanja laksana program vaksin setakat Ogos

SHAH ALAM, 30 SEPTEMBER: Sejumlah RM2.8 bilion dibelanjakan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat Ogos lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perbelanjaan pelbagai agensi itu meliputi RM2.6 bilion bagi pembelian vaksin, RM210 juta kepada pengamal perubatan swasta dan RM19 juta meningkatkan aset Kementerian Kesihatan Malaysia

Menurutnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) yang menerima peruntukan RM1 bilion pula membelanjakan RM314 juta setakat ini bagi menjayakan PICK.

“Perbelanjaan membabitkan kos operasi seperti sewa, pembersihan, peralatan dan kebajikan petugas pusat pemberian vaksin yang diberikan sagu hati serta makanan.

“Mosti turut berbelanja bagi meningkatkan pendaftaran di semua kawasan parlimen membabitkan perbelanjaan RM4.4 juta, kita berterima kasih kepada semua ahli parlimen yang membantu,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memohon penjelasan berhubung perbelanjaan kerajaan bagi melaksanakan PICK.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Banyak kes Covid-19 masuk wad, kematian babit individu tidak divaksin

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Orang muda, namun tiba di hospital dengan jangkitan Covid-19 yang teruk, berstatus komorbid serta tidak divaksinasi – fenomena yang kini menjadi kelaziman di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dengan angka mereka mengatasi jumlah pesakit warga emas komorbid tetapi lengkap vaksinasi Covid-19.

Menyifatkan situasi itu ada kaitan dengan isu “keberatan menerima vaksin Covid-19”, doktor yang bertugas akan meningkatkan kewaspadaan terhadap pesakit muda terbabit kerana mereka dikategorikan sebagai amat berisiko.

Pakar Perunding Perubatan Kecemasan HTAR Dr Ahmad Tajuddin Mohamad Nor memberitahu Bernama bahawa kira-kira dua pertiga daripada pesakit yang diterima hospital itu adalah berusia bawah 60 tahun.

“(dan) … hampir kesemuanya tidak divaksinasi. Masih ada kelompok yang sedemikian,” katanya tatkala laporan menyebut lebih 55 peratus populasi Malaysia telah lengkap vaksinasi, dan di Lembah Klang sahaja lebih 80 peratus penduduk sudah melengkapkan vaksinasi mereka.

Dr Ahmad Tajuddin yang juga Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR, berkata trend itu mula dikesan pada permulaan gelombang keempat, penghujung Jun lepas.

Katanya ketika itu mereka tidak mengaitkan isu “keberatan untuk divaksinasi” sebagai penyumbang utama status vaksinasi pesakit berikutan pemvaksinan masih belum dilaksanakan secara meluas.

Bagaimanapun, mengambil kira program pemvaksinan tanpa janji temu sudah dilaksanakan sejak hampir dua bulan lepas, beliau kini berpendapat faktor “keberatan untuk divaksinasi” merupakan penyebab utama situasi itu.

“Baik yang pertengahan usia mahupun yang lebih muda, sesetengahnya hanya menerima satu dos manakala yang lain pula langsung tidak menerima sebarang dos vaksin,” katanya.

Golongan antivaksin yang turut digelar antivaxxer, kini menjadi kelompok yang mendominasi katil hospital dan juga penyumbang angka kematian akibat Covid-19 di negara-negara yang telah memulakan pemvaksinan lebih awal seperti Amerika Syarikat dan Israel.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat baru-baru ini melaporkan penduduk negara itu yang tidak divaksinasi didapati 10 kali ganda berkemungkinan dimasukkan ke hospital dan 11 kali ganda berkemungkinan maut berbanding mereka yang divaksinasi. Sementara di Malaysia pula, Kementerian Kesihatan (KKM) mendedahkan kumpulan yang tidak divaksinasi merangkumi hampir 80 peratus daripada pesakit yang dirawat di hospital sekarang.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Tajuddin berkata status vaksinasi pesakit mempunyai impak yang besar terhadap tahap pemulihan mereka.

“Kami dapati ada perbezaan umpama langit dengan bumi. Jika seseorang pesakit itu telah divaksinasi, keadaannya tidak mungkin merosot teruk.

“Namun, jika dia (tidak divaksinasi) dan tiba dalam keadaan tidak begitu teruk, keadaannya boleh berubah dan merosot dengan cepat. Andai kata seorang pesakit tiba dalam keadaan kategori 4, iaitu perlukan bantuan oksigen serta tidak divaksinasi, maka kami perlu tingkatkan kewaspadaan kerana dia adalah ‘red flag’ bagi kami,” katanya.

Menurutnya, kesemua pesakit Covid-19 yang diterima HTAR mempunyai lebih daripada satu penyakit atau kelompok komorbid.

Majoriti kemasukan ke wad babitkan yang tidak divaksinasi

Pengarah HTAR Dr Zulkarnain Mohd Rawi mengesahkan trend itu dan menganggarkan 70 peratus daripada kemasukan ke wad adalah golongan yang tidak divaksinasi yang turut menyumbang 80 peratus kepada angka kematian.

Katanya kebanyakan pesakit muda yang keadaannya merosot dengan teruk, turut didiagnosis dengan diabetes yang tidak dikesan lebih awal.

“Yang muda ada komorbiditi, obesiti, ada kencing manis, tak pernah menjalani pemeriksaan perubatan. Masa dia masuk ke hospital baru kita tahu dia ada kencing manis,” jelasnya.

Sementara itu, Dr Ahmad Tajuddin percaya sesetengah individu tidak mahu divaksinasi kerana menyangka faktor usia muda sudah memadai untuk melindungi mereka daripada dijangkiti virus maut tersebut.

“Asalnya (Covid-19) bermula sebagai penyakit yang hanya menjangkiti orang tua atau mereka yang berpenyakit. Saya fikir ini yang membuatkan golongan muda berasa mereka selamat,” katanya.

Beliau berkata golongan muda juga mungkin lebih berani untuk bersosial dan tidak begitu mematuhi garis panduan mencegah Covid-19.

Menurut KKM, kira-kira enam peratus penduduk di negara ini atau 1.46 juta orang tidak berdaftar untuk divaksinasi. Pada masa ini, semua individu dewasa yang berdaftar telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan tidak ada yang masih menunggu untuk suntikan pertama mereka. Sesetengah daripada yang tidak berdaftar itu mungkin antivaksin tegar manakala yang lain pula mungkin disebabkan kekangan akses, baik dari segi teknikal mahupun faktor geografi.

KKM, dengan bantuan badan bukan kerajaan termasuk MERCY Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia serta IMARET, berusaha memastikan mereka yang menghadapi kekangan tersebut, sama ada kerana tinggal jauh di pedalaman atau pekerja asing, mendapat akses kepada vaksin Covid-19.

“Pendaftaran bukan prasyarat untuk vaksinasi. Vaksinasi tanpa janji temu dilaksanakan hampir di semua tempat di negara ini. Selain itu, terdapat usaha outreach (menggunakan segala kemudahan yang ada – helikopter, bot dan lain-lain) untuk memberikan vaksin kepada golongan yang berdepan jurang digital,” kata Dr Mahesh Appannan, ketua data di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) dalam responsnya kepada Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming, menerusi Twitter.

Golongan antivaksin hanya mewakili segelintir daripada jumlah penduduk negara ini, namun itu tidak menghalang mereka daripada menggunakan media sosial untuk berkongsi maklumat salah selain aktif menghasut orang lain agar tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19. Ada juga yang menjual sijil vaksin palsu bagi membolehkan mereka menikmati “kebebasan” yang diberikan oleh pihak berkuasa kepada individu yang telah lengkap vaksinasi.

Pakar kesihatan awam serta kumpulan majikan turut menyatakan sokongan masing-masing sekiranya vaksinasi diwajibkan pada masa akan datang jika masih terdapat ramai penduduk yang enggan divaksinasi sekalipun telah didekati oleh pihak bertanggungjawab.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Perspektif: Propaganda antivaksin perlu ditangani secara berhati-hati, berterusan

Oleh Nina Muslim

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Kira-kira seminggu lepas, saya menerima perkhabaran bekas rakan sekerja saya di sebuah agensi akhbar berpangkalan di Dubai, meninggal dunia akibat Covid-19. Beliau merupakan individu pertama yang saya kenali menjadi korban virus itu.

Kematian lelaki itu amat saya rasai.

Menurut bekas rakan sekerja yang lain, lelaki itu pulang ke India pada April ketika krisis Covid-19 dan sistem kesihatan di negara tersebut sedang memuncak. Beliau tidak divaksinasi kerana beliau tidak percayakan vaksin Covid-19.

Saya berjumpa dan menemu bual ramai individu yang keberatan menerima vaksin atau golongan antivaksin sepanjang membuat liputan mengenai pandemik ini, namun beliau merupakan orang pertama yang saya boleh katakan maut akibat percaya maklumat yang salah daripada golongan antivaksin.

Di Malaysia, kita juga ada kelompok antivaksin ini. Sejak bermulanya pandemik, negara ini “memerangi” Covid-19 dari dua arah – penyakit itu sendiri dan penyebaran maklumat salah yang kini meragut nyawa.

Tatkala Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes baharu dengan jumlah tertinggi harian sebanyak 9,020 yang dilaporkan pada 29 Mei lepas, kumpulan antivaksin ini atau lebih dikenali ‘anti-vaxxers’, meneruskan ‘serangan’ mereka melalui media sosial, WhatsApp dan juga mulut ke mulut.

Beberapa penceramah di Kelantan misalnya, dikesan menyebarkan maklumat salah tentang vaksin, menyebabkan pihak berkuasa agama negeri itu mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan. Seorang doktor di Kedah pula didapati menggalakkan umat Islam agar tidak divaksinasi atas dakwaan vaksin itu mengandungi produk babi, justeru tidak halal.

(Semakan fakta: Tidak benar. Pfizer/BioNTech, Moderna dan AstraZeneca/Universiti Oxford menyatakan vaksin terbabit tidak mengandungi produk haiwan. Indonesia mengesahkan vaksin Sinovac sebagai halal. Ulama dari Malaysia dan Universiti Al Azhar di Mesir juga menyatakan isu itu tidak perlu dibahaskan kerana tidak divaksinasi akan menyebabkan kemudaratan lebih besar)

Golongan antivaksin juga memainkan isu kesan sampingan dengan menokok tambah atau berbohong tentang kesan vaksin bagi menakutkan orang ramai. Kaedah ini boleh mempengaruhi orang awam kerana kesan sampingan sememangnya menakutkan, apatah lagi ini melibatkan vaksin baharu bagi penyakit baharu dan belum ada lagi kajian jangka panjang.

Justeru, adakah memeranjatkan apabila ramai yang tidak hadir janji temu suntikan vaksin mereka?

Angka terkini menunjukkan ribuan individu hampir di semua negeri gagal menghadirkan diri pada tarikh janji temu, termasuk 14,144 di Johor; 10,827 di Kedah dan hampir 10,000 di Kelantan. Mungkin ada masalah pengangkutan, namun kemungkinan terpengaruh dengan propaganda antivaksin juga tidak boleh disangkal. Sebahagian besar merupakan warga emas.

Sekiranya anda fikir masalah ini merupakan isu generasi dan terhad kepada penduduk berusia, anda silap. Ramai individu Gen X (berusia 41-56 tahun) dan Milenial (25-40 tahun) juga enggan divaksin.

Antara contohnya ialah pada Mac lalu dilaporkan sebahagian anggota dan pegawai polis di Kelantan enggan divaksin. Data Kementerian Kesihatan juga menunjukkan kira-kira 20 peratus petugas di rumah jagaan warga tua menolak vaksinasi.

Ketua Pusat Kaunseling Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Siti Rozaina Kamsani berkata tiada siapa yang kebal terhadap maklumat salah pada era digital ini dan menyifatkannya sebagai “terlebih maklumat”.

“Manusia ni bila dia baca sesuatu maklumat, dia tak terus proses. Dia akan ambil, dia absorb (terima), dan dia perlukan seketika untuk proses apa yang dia baca sebenarnya. Ada sesetengah boleh baca dan proses. Tapi banyaknya antara kita, dalam keadaan hidup terkejar-kejar ini, banyak benda kita akan cepat absorb, absorb, absorb, tanpa kita fikir,” katanya.

Setakat 9 Jun lepas, kira-kira 54 peratus penduduk yang disasarkan telah mendaftar untuk suntikan vaksin. Masalah sekarang ialah memastikan mereka yang belum mendaftar, kebanyakannya mungkin terpengaruh dengan maklumat antivaksin, mendaftar dan menerima vaksin bagi merealisasikan pembentukan imunisasi kelompok.

Cara terbaik untuk meyakinkan mereka ialah dengan mendekati golongan ini secara langsung.

Dr Siti Rozaina berkata perkongsian daripada orang yang mereka kenali boleh membantu meyakinkan golongan yang keberatan untuk mengambil vaksin.

Namun, pada peringkat awal pemvaksinan, kisah-kisah sebegini dikongsikan menerusi video, memetik petugas barisan hadapan dan pemimpin kerajaan yang diutamakan dalam Fasa Satu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Kemudian keadaan berubah, ironinya perubahan berpunca daripada golongan antivaksin, apabila ramai penerima vaksin daripada segenap lapisan masyarakat tampil menceritakan pengalaman mereka selain menunjukkan keselamatan dan keberkesanan vaksin pada masa sebenar kepada orang kesayangan mereka.

Malaysia menggugurkan vaksin AstraZeneca daripada program itu pada 28 April disebabkan kebimbangan terhadap pembekuan darah yang dikaitkan dengan vaksin tersebut. Namun, kerajaan memutuskan untuk menawarkan vaksin tersebut kepada umum berdasarkan konsep “siapa datang dahulu” yang dijalankan seiring dengan program imunisasi, hingga Julai ini.

Sambutan yang diterima amat menggalakkan. Slot janji temu penuh dalam tempoh beberapa jam. Apabila pemvaksinan bermula, pengalaman peribadi juga mula dikongsikan.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata program secara sukarela itu dapat membantu menggalakkan penerimaan vaksin.

“Program itu berjaya mengubah sikap dan keyakinan terhadap vaksin, khususnya bagi populasi berusia 30-an ke atas,” katanya.

Cerita beliau: “Sebagai antara yang telah mendaftar dan menerima vaksin AstraZeneca, saya berjaya meyakinkan beberapa individu dalam kalangan rakan dan juga keluarga saya.

“Seorang daripada mereka ‘agak berminat’ dengan kesihatan saya selepas menerima suntikan itu, dia asyik bertanya tentang perkembangan saya, kesan sampingan dan apa yang saya rasa.

“Saya hanya alami kesan sampingan yang ringan. Walaupun saya juga terkena ‘Covid arm’, iaitu istilah yang diberi bagi menjelaskan kesan di sekitar kawasan suntikan, kesan tersebut hanya muncul kira-kira seminggu kemudian dan hilang tidak lama selepas itu,” katanya.

Wanita yang begitu “prihatin” terhadap kesihatannya itu, kemudian mengaku bahawa dia berbuat demikian bagi membantunya membuat keputusan sama ada mendapatkan vaksin sama atau yang lain.

“Apabila saya melepasi tempoh dua minggu selepas menerima suntikan tanpa sebarang masalah, dia mendaftar dan mendapatkan suntikan dos pertama. Kesan sampingan yang dialaminya sedikit serius berbanding saya, namun hilang dalam tempoh dua hari,” katanya.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, setakat 25 Mei lalu, tidak ada sebarang laporan mengenai kesan buruk yang dikaitkan dengan vaksin Covid-19 sehingga memerlukan rawatan perubatan berterusan.

Dalam pada itu, Dr Rozaina berkata bagi kawasan luar bandar, penggunaan mesej provaksin yang mampu menarik masyarakat setempat amat penting.

Satu caranya ialah dengan memberikan penekanan tentang kembali kepada kebiasaan sebelum pandemik, seperti menunjukkan bilik darjah yang dipenuhi murid dan guru yang telah divaksinasi bagi menarik pensyarah dan pelajar kolej, atau bagi golongan warga emas pula, yakinkan mereka dengan peluang dapat kembali mengerjakan haji.

“Kawan saya, mak dia memang tak nak ambil. Tapi dia cakap dekat mak dia, tak nak pergi haji ke? Tak nak pergi umrah? Kalau nak, kena ambil sebab kerajaan Arab Saudi wajibkan untuk mengambil vaksin. Okeylah, so dia pergi,” katanya.

Kaedah lain termasuk memanfaatkan pemimpin agama tempatan dalam usaha mempromosikan kesihatan awam. Di beberapa negeri, imam menyampaikan khutbah yang menggalakkan vaksinasi, menekankan tentang tanggungjawab setiap orang untuk memastikan diri mereka serta orang sekeliling selamat dan sihat.

Dr Rozaina berkata kawasan seperti di negeri-negeri di utara di mana agama memainkan peranan besar, inisiatif sebegini dapat membantu meyakinkan masyarakat untuk menerima vaksin. Tambah beliau, imam juga boleh menerajui kempen pendaftaran seperti yang dilakukan oleh seorang imam di Pusat Islam Al Abbas di United Kingdom.

Dalam keadaan sistem penjagaan kesihatan hampir lumpuh, ketakutan terhadap penyakit itu menyemarakkan minat orang ramai terhadap vaksinasi. Tentangan terhadap golongan antivaksin juga meningkat dengan sekurang-kurangnya dua individu didakwa kerana memuat naik hantaran berunsur pembohongan tentang vaksin dalam media sosial.

Akan tetapi, ada pandemik atau tidak, penularan salah maklumat daripada golongan antivaksin akan terus berlaku. Dr Zainal berkata orang ramai seharusnya membuat keputusan tentang vaksinasi berdasarkan sains dan fakta.

“Vaksin telah diberikan kepada jutaan individu (di seluruh dunia)… apa yang kita ketahui daripada maklumat terkini ialah keberkesanan melebihi 95 peratus dari segi melindungi orang ramai daripada jangkitan serius yang mungkin memerlukan rawatan di hospital dan kematian,” katanya.

Dalam kata lain, jangan pedulikan apa yang dikatakan oleh mak cik dan pak cik dalam Facebook atau sesiapa sahaja yang mendakwa mereka pakar tanpa memberikan bukti kepakaran. Sebaliknya, dengar kepada mereka yang telah menyaksikan serta memerangi penyakit itu secara langsung dan percaya apabila mereka kata Covid-19 merupakan satu risiko yang mesti dielak oleh semua orang.

Jika tidak, Malaysia mungkin akan menyaksikan akibat buruk susulan propaganda golongan antivaksin ini seperti yang menimpa bekas rakan sekerja saya — seseorang yang ditawarkan vaksin namun menolak kerana percaya kepada pembohongan dan berakhir dengan kematian beliau akibat penyakit itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan kaji tindakan pada geng antivaksin hasut orang ramai

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Kerajaan sedang mengkaji untuk mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin di negara ini jika golongan itu didapati menghasut orang ramai daripada menyokong Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga telah meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) mengkaji pelaksanaan program imunisasi secara wajib jika jumlah pendaftaran gagal mencapai sasaran imuniti kelompok.

“Kalau ikut perancangan kita, saya harap kita dapat percepat vaksinasi, yang penting jangan ada orang berkata jangan vaksin.

“Kita tidak mahu separuh daripada orang kita sudah dapat suntikan manakala sebahagian lagi tidak dapat, kerana ini akan membawa kesan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) yang turut disertai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin serta Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, setakat ini hampir 13 juta orang telah mendaftar dan angka itu hanya 50 peratus daripada jumlah keseluruhan yang sepatutnya berdaftar untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan mempercepat program imunisasi Covid-19 dalam misinya mencapai imuniti kelompok lebih awal daripada yang disasarkan, antaranya dengan menambah bilangan PPV, baik di bandar ataupun luar bandar.

“Kita juga minta supaya klinik-klinik swasta untuk bersedia bagi membantu kerajaan. Ada 8,000 klinik swasta di seluruh negara. Jadi, jika semua masuk dalam jadual kita, lebih banyak (orang) yang kita akan dapat (berikan vaksin),” katanya.

Selain itu, beliau berkata setakat ini tidak timbul isu ketiadaan stok vaksin di dalam negara memandangkan lebih 100 peratus daripada jumlah yang dirancang pada tahun lepas telah tiba di negara ini, dan jumlah itu dijangka terus bertambah dalam proses mempercepat pemvaksinan penduduk.

Terdahulu, Perdana Menteri dibawa meninjau operasi di PPV MITEC yang mula beroperasi pada 31 Mei lepas dan akan memulakan operasi pada skala besar dengan kapasiti hingga 8,000 penerima vaksin sehari bermula 7 Jun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya sebilangan kecil dalam kalangan guru agama antivaksin

LABUAN, 2 MEI: Hanya sejumlah kecil guru agama terlibat dalam kempen antivaksin dan usaha berterusan sedang diambil untuk mengatasi isu ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuq Shaary.

“Kami ada mendengar kakitangan agensi-agensi dan jabatan-jabatan tertentu di bawah Jabatan Perdana Menteri yang merupakan antivaksin dan kami akan memainkan peranan kami supaya semua kakitangan jabatan ini mengambil vaksin.

“Rakyat Malaysia yang tidak mengambil vaksin boleh membahayakan orang lain.

“Saya ingin menasihatkan warga Malaysia secara amnya perlu mematuhi gesaan kerajaan untuk mengambil vaksin, kerana pengambilan vaksin akan membantu mengurangkan jangkitan,” katanya semasa di Majlis Ramah Mesra Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf di Kompleks Darul Kifayah di sini semalam.

Ahmad Marzuq berkata peratusan pendaftaran di Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 yang masih rendah di negeri-negeri tertentu kerana faktor-faktor tertentu dan bukan semata-mata daripada guru agama.

“Bagi kami, risiko selepas mengambil vaksin sepertimana yang ditularkan dan dikongsi tidak tepat.

“Saya telah melengkapkan dos kedua dan saya rasa lebih sihat.

“Berhenti menyebarkan kenyataan tidak benar mengenai program pemvaksinan dengan mempengaruhi rakyat bagi tujuan menimbulkan kesangsian terhadap usaha kerajaan. Mereka yang enggan mengambil vaksin tidak perlu mempengaruhi orang lain,” katanya.

Ahmad Marzuq berkata mereka yang masih belum mendaftar untuk vaksinasi dinasihatkan berbuat demikian dengan segera dan bukan di saat-saat akhir bagi mengelakkan mereka perlu menunggu giliran dalam tempoh yang lama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam diperingat tidak terlibat dengan gerakan antivaksin

PUTRAJAYA, 1 APRIL: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengingatkan penjawat awam agar tidak terlibat dengan gerakan atau kumpulan antivaksin.

Beliau berkata mereka yang didapati berbuat demikian termasuk membuat, menerbit atau mengedar kenyataan, khabar angin atau berita berhubung antivaksin, boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata demikian pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 Jabatan Perdana Menteri di sini.

Pada masa sama, beliau turut mengajak penjawat awam mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

“Saya berharap dengan adanya program vaksinasi Covid-19 ini dapat membantu membasmi wabak ini, seterusnya membolehkan kita semua kembali kepada norma kehidupan yang lebih kondusif dan sejahtera,” katanya.

Mohd Zuki adalah antara penerima vaksin Covid-19 yang telah melengkapi dos beliau, dengan suntikan pertama vaksin keluaran Pfizer-BioNTech pada 25 Feb dan dos kedua pada 18 Mac.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan digesa tingkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 JAN: Gabungan Kesihatan Malaysia menggesa kerajaan untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin Covid-19, tatkala kurang sebulan proses rancangan pemvaksinan akan dijalankan di seluruh negara.

Gabungan itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan masih banyak perkara perlu dilakukan bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap vaksin berkenaan memandangkan kini terdapat banyak cerita mengenai antivaksin, teori konspirasi dan maklumat palsu yang berleluasa di media sosial serta dalam kumpulan sembang.

“Kerajaan perlu terlibat dengan semua lapisan masyarakat untuk meningkatkan pendidikan awam mengenai vaksin dan menangani maklumat salah.

“Kita juga mendesak pihak berkepentingan badan bukan kerajaan termasuk media, akademik, perniagaan, pihak berkuasa agama dan persatuan komuniti memainkan peranan dalam memastikan hanya maklumat berdasarkan bukti mengenai vaksin diterbitkan dan dikongsikan,” katanya.

Gabungan itu juga mencadangkan agar kerajaan memberi keutamaan terhadap golongan rentan dan membangunkan kemampuan pembuatan vaksin jangka panjang.

Menurut gabungan itu, penghuni rumah jagaan adalah antara golongan paling lemah dalam populasi, oleh itu, mereka perlu diberi keutamaan dalam jadual pemvaksinan.

Ini termasuk pekerja rumah jagaan, golongan rentan yang lain, golongan kurang upaya, pekerja migran dan pelarian.

Mengenai membangunkan kemampuan pembuatan vaksin jangka panjang, MHC mencadangkan agar kerajaan merebut peluang untuk mengembangkan infrastruktur berkenaan di Malaysia yang akan dibuat secara menyeluruh iaitu bermula daripada penyelidikan sainstifik bertaraf dunia hingga ke pembuatan dan pengedaran di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah cita-cita tinggi, namun ia dapat dicapai kerana Malaysia sudahpun dilengkapi dengan sumber manusia dan teknologi berkaliber tinggi.

“Faktor ini akan mengurangkan pergantungan Malaysia terhadap pengeluar asing. Lebih-lebih lagi, vaksin domestik dan infrastruktur farmaseutikal akan memberi impak positif yang besar terhadap ekonomi dan kedudukan global kita,” katanya.

– BERNAMA