Categories
AGENDA NASIONAL

Kaut hasil laut, RM700 juta aset nelayan asing dirampas

PASIR PUTEH, 4 OKT: Hampir RM700 juta aset nelayan asing yang digunakan bagi mengaut hasil laut negara ini dirampas oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak tahun 2019 hingga September lepas.

Ketua Pengarahnya Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata jumlah rampasan itu melibatkan nilai bot, lelongan hasil tangkapan, denda serta kompaun yang dilaksanakan melalui Op Naga dan Op Kuda Laut di seluruh negara.

“Menerusi Op Naga, Maritim merampas 303 bot dengan nilai rampasan berjumlah RM445 juta termasuk bot dan hasil lelongan, selain 2,000 kru bot nelayan terdiri daripada warga Vietnam dan Indonesia ditahan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan rasmi ke Pusat Tahanan Vesel Maritim Malaysia Kelantan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman.

Mohd Zubil berkata menerusi Ops Kuda Laut pula sebanyak 149 bot dirampas dengan nilai keseluruhan RM224 juta sementara 1,516 kru nelayan asing ditahan.

“Sejak penubuhan Maritim Malaysia, saya anggarkan sudah berbilion nilai rampasan melibatkan aset nelayan asing ini dilakukan. Apa yang boleh saya rumuskan 90 peratus bot yang menceroboh masuk ke perairan negara ini adalah milik nelayan Vietnam,” tambahnya.

— BERNAMA