Categories
AGENSI SELANGOR

Empat sekolah tahfiz terjejas banjir Kuala Selangor terima bantuan asas

SHAH ALAM, 31 DIS: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan bantuan keperluan asas kepada empat sekolah tahfiz sekitar Kuala Selangor yang terjejas akibat banjir.

Agensi berkata bantuan beras, lapik tidur dan barangan makanan asas disalur kepada Akademi Shahadah Tahfiz Al Faizin Banat di Parit Mahang dan Maahad Tarbiah Gontory Banat Bukit Hijau, Jeram.

Turut menerima sumbangan tersebut ialah Maahad Tarbiah Islamiah Al-Ansar di Bestari Jaya dan Maahad Tahfiz Diniah Sungai Gulang-Gulang, Tanjong Karang.

“Semoga dengan usaha ini, dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan mangsa banjir,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Mais menambah kerja pembersihan sekolah Maahad Tarbiah Islamiyah Al Ansar turut dijalankan bersama Skuad Prihatin Mais, wakil sukarelawan dari agensi dan anak syarikat Mais terdiri Yayasan Islam Darul Ehsan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa serta Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd.

“Turut sama dalam program pembersihan ini ialah Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor dan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan yang dianggarkan lebih 50 orang terlibat,” katanya.