Categories
SELANGOR

Segerakan Bantuan Mangsa Ribut Di Bukit Subang

SHAH ALAM, 9 FEB : Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menggesa tindakan segera Kerajaan Negeri bagi menyediakan peruntukan khas dan mempercepatkan proses bantuan meringankan beban mangsa-mangsa ribut taufan yang berlaku di Bukit Subang dua hari lepas.

“Saya berharap agar Kerajaan Negeri mengambil perhatian serius bencana yang menimpa ini demi membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan sememangnya prihatin dan mampu menyelesaikan masalah dengan kadar cepat dan cekap.

“Kerajaan boleh memantau proses bantuan yang boleh disalurkan melalui agensi-agensinya seperti Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat mahupun pejabat kerajaan negeri sendiri,” ujar Khalid.

Menurut Khalid, kerja-kerja pembaikpulihan bangunan-bangunan yang terjejas itu mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya tiga minggu.

“Bagaimanapun saya percaya ini boleh disiapkan dengan kadar segera memandangkan kejadian ini merupakan kecemasan yang sangat memerlukan tindakan pantas.

“Banyak keluarga yang terjejas, mereka perlu dibantu. Jadi saya mohon kerjasama pihak JKR untuk berunding dengan pihak kontraktor untuk selesaikan masalah ini dengan segera,” tegas Khalid lagi.

Khalid turut menyampaikan ucapan tahniahnya kepada badan-badan yang menjalankan tugas dengan cekap membantu mangsa-mangsa sejurus kejadian tersebut berlaku.

“Alhamdulillah ramai yang turun membantu seperti pihak polis, bomba, MBSA, Pertahanan Awam, Jabatan Kebajikan, Unit Amal, Pejabat Adun dan sebagainya,” ucap Khalid dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya pagi tadi.

Dalam kejadian yang berlaku Isnin lalu, sebanyak 145 keluarga terjejas dan ditempatkan di dewan berhampiran. Namun kini jumlahnya sudah berkurangan.

Antara kawasan yang teruk terjejas ialah Blok Teratai dengan 13 rumah di tingkat atas yang kini tidak berbumbung serta penduduk di Pangsapuri Melur dan Pangsapuri Kiambang yang juga kehilangan atap akibat diterbangkan angin kuat.

 

Categories
NASIONAL

PR Berbakti Pada Setiap Waktu

IJOK, 6 FEB : Kerajaan Pakatan Rakyat mengamalkan dasar bekerja untuk rakyat tanpa mengira waktu dan bukan sekadar mengambil hati sempena Pilihanraya Umum sepertimana yang diamalkan oleh Kerajaan Umno-BN.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu bahawa peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan PR bukan sekadar memancing undi sebaliknya dilakukan sejak memegang tampuk negeri pada tahun 2008.

“Setiap tahun semenjak 2008, kita memperuntukkan dana lebih daripada RM16 juta kepada sekolah persendirian Cina, Tamil dan Agama Rakyat yang sebelum ini tidak dihiraukan oleh Barisan Nasional selama berpuluh-puluh tahun.

“Ini bukti bahawa kita telah dapat jalankan tugas dan menunaikan janji-janji kita kepada rakyat,” ujar Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian dalam satu Majlis Sambutan Pesta Ponggal Peringkat DUN Ijok yang diadakan di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yuk Chi Batang Berjuntai petang tadi.

Selain itu, Khalid turut memberitahu bahwa kerajaan PR turut membawa banyak perubahan dalam pentadbiran negeri antaranya dari segi ekonomi dan sosial.

“Sebelum ini tidak pernah kita berpeluang menggunakan Sekolah Tiong Hua untuk sambutan perayaan Ponggal. Tapi kini kita sudah berpeluang.

“Inilah antara bukti bahawa kita telah bawa perubahan dalam minda tiap-tiap rakyat,” jelas Khalid lagi.

Majlis yang bermula pada pukul 5 petang itu dihadiri lebih 500 orang pengunjung selain kehadiran tetamu-tetamu kehormat yang lain iaitu EXCO Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

Categories
SELANGOR

MB Gesa Masyarakat Sokong PBT Kutip Sampah

PETALING JAYA, 5 FEB : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa masyarakat setempat supaya bersama-sama berganding bahu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat didiami.
Beliau menyampaikan amanat itu dalam ucapannya di Majlis Mesra Gong Xi Fa Cai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2012 yang diadakan di perkarangan parkir Dewan Sivik MBPJ malam tadi.

“Saya mahu semua memberi sokongan tentang usaha membersihkan sampah kerana ia sekarang di bawah bidang kuasa majlis bandaraya.

“Ini kerana kamu semualah pemilik kepada bandaraya ini. Duit yang dibelanjakan bagi usaha ini juga hak rakyat. Maka kita mahu penglibatan semua masyarakat menjayakannya,” tegas Abdul Khalid.

Sebelum ini, kerja-kerja pengutipan sampah dilakukan oleh syarikat Alam Flora Sdn Bhd sebelum diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) pada September tahun lepas.

Usaha ini bagaimanapun diganggu pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan kerja pembersihan sampah-sampah oleh PBT dengan mengugut kontraktor kutipan sampah dan membuang longgokan sampah di kawasan perumahan.

Pada majlis yang sama, MBPJ merealisasikan konsep hijau selaras dengan hasratnya menjadikan Petaling Jaya sebuah bandaraya hijau berkarbon rendah.

Majlis malam tadi mengaplikasikan penggunaan bekas makanan yang berasaskan bahan bio-degaradable serta kehadiran maskot kitar semula 3R dan pameran hijau.

Disamping kehadiran dua ribu pengunjung, majlis turut diserikan dengan kehadiran EXCO Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Haji Mohamad Roslan Sakiman serta ahli-ahli majlis MBPJ.