Categories
NASIONAL

Dr Badrulamin: Dimana Ada Umno Di Situ Ada Fitnah

SHAH ALAM, 22 FEB : Umno dan fitnah sememangnya tidak dapat dipisahkan, ibarat irama dan lagu, menurut Pengarah Penerangan Pejabat Menteri Besar Selangor, Dr. Badrulamin Bahron.

Menurut Badrulamin, sejak kes Fitnah Liwat 1998, media Umno/BN sudah mula memainkan peranan menabur fitnah terhadap pimpinan parti-parti pembangkang.

“Permainan Umno sekarang ini adalah menggunakan media untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat.

“Soal betul atau tidak itu tidak penting bagi mereka tetapi rakyat harus percaya dengan cerita yang dibawa media mereka,” jelas Badrulamin.

Beliau turut membidas tindakan Umno/BN yang tidak berpuas hati dengan isu penyelewengan pasir di Selangor yang kononnya melibatkan dua orang Adun negeri ini.

“Kes pasir itu terang-terangan isu fitnah kerana kes ini sudah di bawa ke Peguam Negara namun kes itu sudah digugurkan dan tiada sebarang tindakan atau siasatan lanjutan diarahkan.

“Tetapi Umno masih ingin memainkan isu ini melalui media mereka kerana itulah sahaja senjata yang mereka ada,” tegas Badrulamin.

Sehubungan itu, Badrulamin menyeru rakyat untuk lebih celek dengan permainan media Umno/BN.

“Bijaksanalah dalam membaca, mendengar atau menonton media BN kerana media inilah saluran mereka untuk menabur fitnah, mengadu domba serta saluran menghina pimpinan pakatan.

“Umno dan fitnah merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan, di mana ada Umno, di situ ada fitnah. Bukan sahaja fitnah tetapi juga budaya rasuah, gangster, zalim dan sebagainya,” akhiri Badrulamin.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Badrulamin: RM2.71b Wang Rakyat Untuk UMNO Jatuhkan PR Selangor

SHAH ALAM, 21 FEB : Pemberian dana dari wang rakyat sebanyak RM2.71 billion oleh Kerajaan Pusat kepada Umno Selangor Disember lepas dilihat sebagai satu usaha bersungguh mereka untuk menawan Negeri Selangor, ulas Pengarah Penerangan Pejabat Menteri Besar, Dr. Badrulamin Bahron.

Tindakan terdesak itu dilihat sebagai satu usaha tidak bermoral pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak untuk ‘membeli’ undi rakyat Selangor pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

“Tindakan membeli rakyat dan memperkayakan pemimpin-pemimpin Umno ini saya anggap satu tindakan yang kolot, sombong dan angkuh sekali. Mereka anggap rakyat mudah dibeli dengan wang ringgit serta sogokan.

“Namun Najib lupa bahawa rakyat Selangor kini sudah bangkit bukan kerana kemiskinan atau mahukan duit tetapi rakyat bangkit kerana mereka sedar Umno itu zalim dengan segala penipuan dan pengkhianatan selama lebih 50 tahun memerintah,” ujar Badrulamin.

Bagaimanapun, Badrulamin menyatakan rakyat Selangor khususnya sudah mula membuka mata dan sedar kerajaan mana yang harus mereka beri kepercayaan mentadbir negeri ini.

“Rakyat boleh lihat tiga kejayaan besar Kerajaan Pakatan antaranya hutang negeri yang sudahpun dilunaskan sepenuhnya dan tabungan negeri yang kini hampir mencecah RM 2 billion.

“Malah, lebih RM1,000 juta sudah diagihkan kepada rakyat melalui Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dengan pemberian air percuma, khairat kematian, hadiah anak masuk IPT, Skim Kesihatan Wanita dan sebagainya yang diberikan secara berterusan dan bukan sekali bagi sahaja,” beritahu Badrulamin yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Selain itu, Badrulamin turut mempersoalkan sumber wang yang disalurkan kepada Umno Selangor itu.

“Dengan hutang isi rumah negara yang mencecah RM577 billion, saya kira ini merupakan wang hutang lagi yang mana perlu dibayar oleh rakyat seluruh negara, bukan sekadar rakyat Selangor.

“Bukan Umno yang akan melunaskan segala hutang ini sebaliknya rakyat dari muda sampai yang tua. Cukai, harga barang, tarif elektrik, minyak, tol semua ini akan naik untuk menampung beban hutang tersebut,” jelas Badrulamin sambil menambah rakyat perlu berhati-hati dengan permainan wang Umno.

 

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Di Cabar Hadir Sesi SELCAT

SHAH ALAM, 21 FEB : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dituntut untuk mengadakan sesi pendengaran awam atau mahkamah rakyat bagi membongkar penyelewengan dana NFC sekiranya beliau benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan ketelusan dalam sesuatu pentadbiran.

Bagaimanapun, Noh Omar terlebih dahulu dituntut Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin untuk hadir pada sesi pendengaran awam terhadap pengendalian pasir di Selangor yang melibatkan anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Yayasan Selangor dan dua anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Selangor (PKPS).

“Datuk Seri Noh Omar dijemput untuk menghadirkan diri sepanjang sesi pendengaran awam ini berlangsung supaya beliau dapat memberikan maklumat dan bukti apa yang didakwa penyelewengan dalam KSSB khususnya.

“Kehadiran beliau amat penting, selain dapat menunjukkan keikhlasan beliau dalam membenteras rasuah, beliau juga boleh mendapat idea, inspirasi dan semangat untuk melakukan perkara yang sama dalam pentadbiran Kerajaan Pusat BN,” ujar Faekah tegas.

Sementara itu, Faekah turut mengulas kesediaan Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membanteras segala bentuk penyelewengan dan salahguna kuasa.

“Usaha ini sejajar dengan aspirasi pentadbiran Kerajaan Pakatan yang mahukan pentadbiran kerajaan ini bersih daripada sebarang penyelewengan dan ketirisan dana awam.

“Ini penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran awam yang sebelum ini teruk tercemar disebabkan tindakan sesetengah pemimpin Umno/BN yang tamak dan mengamalkan kronisme,” jelas Faekah lagi.

Faekah juga menegaskan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab sekiranya terdapat bukti penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Selain itu, pendengaran SELCAT juga akan mampu menghapuskan reputasi buruk yang cuba dibayangkan sesetengah pihak terhadap anak-anak syarikat Kerajaan Negeri,” kata Faekah.

Categories
SELANGOR

4,000 Anak Pokok Bagi Memulihara Hutan Gambut

lim see kin tanah pokok hutan simpan raja musaBESTARI JAYA, 18 FEB : Kerajaan Selangor akan memulihara kawasan hutan simpan di sini yang telah diceroboh bagi memastikan kawasan tersebut dapat membekalkan air ke sawah-sawah dipersekitarannya dengan baik.

Usaha yang dijalankan di Hutan Simpan Raja Musa di sini adalah sebahagian dari komitmen pentadbiran Pakatan Rakyat terhadap pemuliharan alam sekitar semenjak mengambil alih tampuk pemerintahan Selangor.

Program pemuliharaan semula hutan simpan 80 ribu hektar itu merangkumi penanaman semula anak pokok bagi menghasilkan hutan gambut di kawasan yang telah ditebang dan pemantuan bagi mengelakkan pencerobohan.

Sebelum ini, hutan simpan itu diceroboh dan dibersihkan untuk menanam kelapa sawit.

Ini diucapkan Penolong Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Lee Kim Sin di dalam Majlis Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia 2012 yang diadakan di Hutan Simpan Raja Musa di sini pagi tadi.

“Sejak 2008, Kerajaan Negeri telah memastikan bahawa semua tanah yang diceroboh sebelum ini dikembalikan kepada kerajaan untuk tujuan pemuliharaan.

“Seperti hutan ini adalah bekas kawasan yang telah diceroboh sebelum ini. Namun dengan adanya kerjasama Kerajaan Negeri, badan-badan korporat dan NGO serta komuniti setempat saya pasti hutan gambut ini akan kembali,” tegas Lee, yang juga ADUN Kajang.

Menurut Lee, pemuliharaan semula hutan simpan gambut ini penting bukan sekadar untuk mengawal iklim global, tetapi juga untuk membekalkan air ke sawah-sawah serta mengawal ekosistem hidupan air tawar.

“Kebanyakan orang melihat hutan gambut sesuatu yang bermasalah kerana mereka menilainya melalui perspektif ekonomi.

“Tetapi sebenarnya hutan gambut ini sangat kaya dan merupakan kurniaan Tuhan yang tidak ternilai untuk kepentingan kita. Rugilah jika kita tidak menghargainya,” jelas bekas guru ini.

Beliau turut merasmikan Program Komuniti Sahabat Hutan Gambut dan Program Sekolah Renjer Hutan Tanah Gambut.

Lee turut menyempurnakan upacara penanaman pokok di kawasan tersebut bersama dengan 300 anggota sukarelawan dan sebanyak seribu anak pokok berjaya ditanam hari ini.

Usaha yang dijalankan oleh Kerajaan Selangor dengan kerjasama Pusat Persekitaran Global (GEC) dan badan korporat ini bermula sejak tahun 2008. Kini lebih daripada 40,000 anak pokok berjaya ditanam dengan penglibatan kira-kira 4,000 sukarelawan.

Program ini turut dijayakan oleh HSBC Bank Malaysia Berhad, Kesatuan Eropah dan 99 Speedmart Sdn Bhd.

Antara tetamu kehormat lain adalah Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Yusoff Muda, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor, Noraini Roslan, Pengarah Global Environment Centre (GEC), Faizal Parish serta Pengarah Korporat Bank HSBC, Koo Yi Lin.

 

ends

Categories
NASIONAL

PRU 13 : PKR Akan Kemuka Calon Hujung Februari

HULU KLANG, 17 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengemukakan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihanraya Umum ke-13 akan datang sebaik selesai jelajah temurapat PKR ke seluruh negara yang akan diadakan pada 22hb hingga 24hb Februari ini.

Demikian beritahu Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang ditemui selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Skim Mesra Usia Emas di Taman Melawati pagi tadi.

“Kita dalam fasa terakhir untuk meneliti persiapan menghadapi Pilihanraya yang ke-13.

“Temurapat itu nanti melibatkan pimpinan tertinggi parti termasuk Majlis Pimpinan Pusat, Ahli-ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Angkatan Muda dan Wanita serta cabang-cabang Keadilan di seluruh negara,” jelas Azmin.

Menurut Azmin lagi, program temurapat itu bertujuan untuk membincangkan persiapan terakhir parti termasuk strategi jentera dan gerak kerja selain mengemukakan calon-calon yang bakal bertanding mewakili PKR.

“Saya percaya selesai sahaja temurapat yang akan diadakan ini, Keadilan bersedia menghadapi Pilihanraya Umum yang akan datang,” tegas Azmin yang juga merupakan Ahli Parlimen Gombak.

Categories
SELANGOR

Azmin: Pemimpin Berkebajikan Tidak Akan Muflis

HULU KELANG, 17 FEB : Kerajaan yang melakukan kebajikan terhadap rakyatnya tidak akan sesekali dilanda muflis, sebaliknya kerajaan korup dan tidak amanah sahaja yang akan merugikan sesebuah negara atau negeri, ujar Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali.

“Ingin saya tegaskan negeri dan negara tidak akan bankrup jika kerajaan menolong rakyat.

“Tetapi ianya akan bankrup jika pemimpin mengamalkan rasuah, salahguna kuasa, zalim dan menekan rakyat. Itulah yang sebenarnya menghancurkan sesebuah kerajaan dan negara,” tegas Azmin.

Beliau turut memberitahu Negeri Selangor berjaya mencatatkan pertumbuhan ekonomi tertinggi dalam negara sebanyak RM 1.6 billion walaupun Kerajaan Pakatan melakukan pelbagai program kebajikan terhadap rakyat.

“Setelah empat tahun kerajaan memberikan air percuma dengan peruntukan sebanyak RM 150 juta setahun, bermakna sudah RM 600 juta dibelanjakan untuk air percuma ini.

“Tiada negeri yang memberikan air percuma melainkan Selangor namun negeri ini masih mencatatkan pertumbuhan memberansangkan dan tidak bankrup,” jelas Azmin yang juga merupakan Adun Bukit Antarabangsa.

Azmin berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya dalam Majlis Penyampaian Pembayaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Fasa Ke-dua peringkat Dun Gombak yang diadakan di Dewan Pusat Khidmat Rakyat Taman Melawati pagi tadi.

Salah seorang penerima bantuan SMUE, Bidasiah Sindin 67, berasa terharu hingga menitiskan airmata tatkala ditemubual wartawan TVSelangor.

“Saya berbesar hati menerima sumbangan ini dan akan menggunakan wang yang diberikan ini dengan sebaik mungkin.

“Saya ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Adun PKR Azmin Ali. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik beliau,” ujar ibu beranak tiga ini sebak.

Sementara itu, Mohd Anas Yosuf 27, yang baru kehilangan ayahanda tercinta berharap agar prgram-program kebajikan seumpama ini dapat diteruskan oleh Kerajaan Negeri.

“Alhamdulillah banyak pembangunan dan kebajikan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri setelah mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Mudah-mudahan PRU akan datang ini kerajaan yang ada sekarang ini beroleh kejayaan dan terus menerajui negeri,” ujar jejaka yang merupakan seorang penjawat awam ini.

Selain penyampaian sumbangan kepada 24 penerima SMUE, Azmin turut menyampaikan sumbangan wang kepada tujuh keluarga miskin bagi meringani beban mereka.

Categories
SELANGOR

Halimah: Isu Tapak SMK Sg. Ramal Selesai

SHAH ALAM, 16 FEB : Isu tapak pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Ramal di Hulu Langat selesai hasil perbincangan antara Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkaitan.

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, mesyuarat Exco semalam memutuskan untuk memberi kelulusan permohonan pemberi-milikan tanah kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk dijadikan tapak sekolah berkenaan.

“Keputusan ini dicapai hasil perbincangan bersama dengan wakil Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Pejabat Tanah pada 13hb lepas,” ujar Halimah.

Halimah turut memberitahu pihak MPKj bersetuju menarik balik Arahan Memberhentikan Kerja yang dikeluarkan ke atas kerja-kerja pembinaan di atas tapak berkenaan sebelum ini.

“Kini segala kerja-kerja berkenaan boleh diteruskan kembali kerana isu ini sudah selesai,” jelas Halimah ringkas.

Buat masa ini, hanya terdapat dua sekolah rendah di kawasan Sungai Ramal iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ramal Dalam dan SK Sungai Ramal Luar.

Categories
NASIONAL

DEB Gagal: Teguran Istana Takkan Dipeduli Umno/BN

SHAH ALAM 15 FEB : Kerajaan Umno/BN tidak akan sesekali beri perhatian terhadap sebarang teguran untuk penambahbaikan pentadbirannya biarpun teguran tersebut datangnya dari orang kuat istana,ujar Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat,Idris Ahmad.

Semalam, Raja Muda Negeri Perak, Raja Dr Nazrin Shah menegur kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal mencapai sasaran kerana kemungkinan terdapat penyelewengan di peringkat perlaksanaanya.

“Saya sifatkan teguran itu sangat bertepatan. Orang politik sudah lama tegur, Ketua Audit juga selalu dan sekarang orang istana pula yang memberi teguran kepada kerajaan.

“Kita berharap dengan teguran ini dapat membawa penambahbaikkan dalam perlaksanaan dasar kerajaan,” tegas Idris yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Bagaimanapun beliau meragui teguran ini akan diberi perhatian ekoran segala teguran yang berlandaskan fakta dan angka sekalipun tidak pernah diperduli oleh Umno/BN malah segala teguran itu sering diperlekehkan mereka.

“Sebaliknya kita memerlukan transformasi politik dan juga perubahan sikap di kalangan kepimpinan negara.

“Sebagai contoh pemimpin Pakatan Rakyat telah terbukti dan teruji mentadbir negeri yang diperintah dengan baik,” ujar Idris yang turut menjelaskan Pakatan berjaya mentadbir walaupun terdapat kekangan sumber kewangan daripada Kerajaan Pusat.

Idris turut bersetuju dengan kenyataan Raja Dr Nazrin bahawa kegagalan DEB merupakan kesan daripada pemimpin yang tidak amanah mentadbir dana yang seharusnya disalurkan untuk kebaikan dan keuntungan rakyat.

Katanya selain amalan rasuah, amalan kronisme, sogokan dan salah guna kuasa telah menjadi budaya dikalangan pemimpin dan pentadbiran Umno/BN sehingga tidak lagi mampu dibendung.

“Sejak dari RMK1 hingga ke RMK10, kerajaan sudah memperuntukkan kira-kira RM 1.2 trillion dan setiap RMK diberi dana besar untuk membela rakyat yang susah yang kebetulan majoritinya Melayu.

“Malangnya DEB sentiasa gagal akibat pemimpin yang korup. Mereka hanya ingat rakyat menjelang PRU dan selepas menang mereka lupa rakyat dan berpaling mengutamakan kroni-kroni mereka,” jelas Idris kesal.

Bagaimanapun, Idris yakin rakyat kini sudah mampu memilih antara pentadbiran yang telus membela rakyat dan kerajaan yang hanya bekerja mengikis harta dan khazanah milik rakyat.

“Kita lihat sahaja negeri Kelantan yang mana pada tahun 1990 berada di tangga ke-dua kedudukan negeri termiskin. Namun kini Kelantan sudah menurun kedudukannya dan menduduki tangga ke-enam.

“Sebaliknya Sabah menduduki tangga teratas diikuti Terengganu walaupun kedua-dua negeri pentadbiran Umno/BN ini kaya dengan sumber hasil bumi petroleumnya,” akhiri Idris.

Categories
NASIONAL

Malaysia Henti Bekal Minyak Sawit Ke Iran Kerana Ikut Telunjuk Israel

SHAH ALAM, 15 FEB : Keputusan kerajaan pusat menghentikan pembekalan minyak kelapa sawit kepada Iran disifatkan suatu tindakan pro-Zionis, ujar Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard.

Alasan penghentian ini adalah kononnya untuk menghalang program pembinaan senjata nuklear oleh Iran sedangkan perkara ini telah berulang kali dinafikan oleh Iran.

“Jika benar sekalipun Iran merancang untuk membina senjata nuklear, negara yang paling terancam ialah Israel kerana Iran pernah mengugut untuk memusnahkan negara haram tersebut.

“Jika bukan kerana Malaysia lebih mendahulukan Israel dari Iran yang merupakan negara Islam, mungkin juga minyak kelapa sawit keluaran Malaysia dikawal  pengedarannya oleh Israel,” jelas Chegu Bard.

Ini adalah berdasarkan kepada dakwaan Israel Funding Corperation bahawa mereka merupakan wakil yang dilantik untuk menjual dan membeli minyak kelapa sawit mentah berkuatkuasa dari 1 Januari 2005 hingga 1 Januari 2030 dan Malaysia tersenarai sebagai antara pembekal untuk pengedaran mereka.

“Sekiranya semua ini adalah benar, dan tiada penafian daripada pihak yang berwajib, maka sah lah rakyat Malaysia sekali lagi telah diperbodohkan oleh Kerajaan Umno/BN selama 54 tahun ini,”ujar Chegu Bard dalam kenyataan medianya.

Kenyataan ini dibuat ekoran dari laporan Reuters edisi US bahawa Malaysia telah menghentikan pembekalan minyak kelapa sawit kepada Iran yang melibatkan penghantaran sebanyak 30,000 tan minyak sawit.

Categories
NASIONAL

Halimah: Kesal Umno/BN Guna Sekolah Untuk Politik

SHAH ALAM, 15 FEB : Kerajaan Negeri membidas tindakan terdesak Umno/BN yang sanggup menggunakan premis institusi pendidikan untuk menyampaikan agenda politik mereka, demikian tegas Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

“Difahamkan sejak akhir-akhir ini terdapat sebilangan ahli politik yang mempolitikkan sekolah-sekolah.

“Kerajaan Selangor sama sekali tidak mahu premis sekolah ini disalahgunakan,” beritahu Halimah yang ditemui selepas Mesyuarat Exco di SUK siang tadi.

Halimah turut berkongsi aduan yang diterimanya pada hari ini bahawa Sekolah Menengah Sri Andalas menjadi sasaran Umno/BN untuk menyampaikan agenda politik mereka.

“Mereka mewajibkan kehadiran guru-guru manakala pelajar telah diarah untuk pulang lebih awal bagi memberi ruang kepada program mereka bersama guru-guru.

“Guru-guru juga seolah-olah diugut untuk wajib hadir,” ulas Halimah kesal.

Lebih mengecewakan menurut Halimah, keadaan ini akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran murid-murid di sekolah ekoran kelas-kelas yang terpaksa dibatalkan demi memenuhi tuntutan program Umno/BN itu.

“Kami sangat-sangat prihatin. Kerajaan Selangor menyediakan kelas-kelas tambahan melalui Program Tuisyen Rakyat Percuma.

“Tetapi kami tidak akan sesekali mengganggu proses yang telah berjadual di sekolah-sekolah,” tegas Halimah yang juga merupakan Adun Selat Klang.

Sehubungan itu, Halimah kesal dengan tindakan Umno/BN agar tidak menggunakan premis-premis sekolah lebih-lebih lagi ketika waktu persekolahan semata-mata untuk kepentingan politik mereka.

 

Categories
NASIONAL

Rumah Ketua AMK Rembau Diserbu

SHAH ALAM, 14 FEB : Ketua AMK Rembau, Sani Md Shah menggesa pihak yang menyamar di sebalik akaun twitter AMK Rembau yang selama ini sudah menimbulkan pelbagai masalah kepada pimpinan AMK Rembau agar tampil segera berhubung dengan beliau.

Gesaan ini dilakukan Sani berikutan serbuan yang dilakukan pihak polis ke rumah beliau di Senawang selain merampas komputer riba miliknya semalam.

Serbuan polis itu dipercayai berhubunng siasatan kes akaun twitter @AMK_Rembau yang didakwa menghina institusi raja.

“Boleh hubungi saya melalui email atau telefon. Jika tidak saya ‘terpaksa’ menyerahkan semua bukti dan maklumat berkaitan kamu kepada polis dengan membuat laporan polis ‘semula’ mengenai kes ini.

“Ketika kita perlu fokus berdepan Umno-BN dalam PRU yang semakin dekat kenapa perlu ada perangai busuk seperti ini?” soal Sani kembali.

Selain itu, Sani turut mempersoalkan tindakan pihak polis yang disifatkan tidak tahu menjalankan tugas.

“Saya terangkan mengenai twitter tersebut dan sedia tunjukkan beberapa bukti yang kaitkan beberapa suspek, malangnya ASP tersebut seperti tidak tahu langsung bagaimana twitter beroperasi.

“Polis dalam hal ini menunjukkan sikap berat sebelah, rasanya terlalu banyak laporan juga dibuat ke atas blogger – blogger atau ‘cybertroopers’ Umno namun semuanya kelihatan kebal dari tindakan,” ujar Sani kecewa.

Categories
NASIONAL

Mustafa: Malaysia Masih Guna Undang-Undang Lapok

SHAH ALAM, 9 FEB : Kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengubah undang-undang di Malaysia mengikut acuan barat terutamanya untuk mengembangkan konsep kebebasan seks adalah bersifat putar belit kenyataan semata-mata.

Sebaliknya kenyataan Anwar dalam satu wawancaranya bersama BBC Mumbai baru-baru ini menyentuh tentang undang-undang lapuk yang diamalkan di negara ini sememangnya benar.

Undang-undang lapuk yang masih diguna pakai hingga kesaat ini bertujuan demi kelangsungan survival politik kerajaan BN melalui undang-undang menghalang kebebasan hak rakyat.

Walaupun bergelar negara demokrasi, kerajaan BN masih menguatkuasakan undang-undang tertentu untuk mengekang kebebasan rakyat bersuara seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Akta Universiti dan Kolej (AUKU).

Pengarah Latihan PKR, Mustaffa Kamil Ayub berkata kenyataan Dr Mahathir tersebut melampau dan liar.

“Kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam persoalan undang-undang di Malaysia itu jauh dipesongkan daripada apa yang beliau maksudkan.

“Saya mencabar kerajaan Najib dan Mahathir untuk memberikan Anwar ruang di media arus perdana untuk menjelaskan apa yang beliau maksudkan dalam wawancara itu,” ujar Mustaffa.

Mustaffa turut membangkitkan fenomena media milik Umno/BN yang sering memutar-belitkan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Umum PKR itu.

“Untuk membalas segala serangan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mempunyai saluran media baru sebagai wadah untuk menjelaskan beberapa salah faham mahupun salah tafsir yang berlaku,” tambah Mustaffa lagi yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Jelas beliau tindakan Dr Mahathir tersebut disebabkan kebimbangan bekas perdana menteri tersebut terhadap kebangkitan Pakatan rakyat yang diterajui Anwar disaat menghadapi pilihanraya umum akan datang.                                                                                                                             
“Sudah cukup jelas dalam konteks Malaysia dan Pakatan Rakyat juga akan lebih tegas mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Islam sebagai agama persekutuan serta mempertahankan institusi raja-raja juga hak keistimewaan Melayu.

“Kesemua ini merupakan komitmen Pakatan Rakyat jika diberi kesempatan mengambil alih Putrajaya,” jelasnya lagi.

Mustaffa juga menjelaskan bahawa kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara itu jelas menggambarkan komitmen berterusan kepada institusi perkahwinan dan agama seperti termaktub dalam perlembagaan.

“Cuma pendekatan dan cara menangani masalah yang wujud dalam masyarakat itu perlu ditangani dengan cara yang berhemah dan mendidik untuk membawa masyarakat yang mungkin tersasar daripada tabiat yang berteraskan nilai agama,” kata Mustafa.