Categories
PENDAPAT RENCANA

Lima pelakon kung fu Hong Kong terkenal, tarik peminat rentas benua

LAYAR perak aksi Hong Kong telah melahirkan ramai pelakon seni bela diri yang berbakat besar. Aksi mereka mempertahankan diri daripada antagonis memukau peminat filem seluruh dunia.

Antaranya Bruce Lee, Jackie Chan dan Jet Li yang filem-filem aksi mempertahankan diri mereka yang berjaya menembusi dominasi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat.

Wartawan FARIDZWAN ABDUL GHAFAR menyusun lima aktor seni bela diri Hong Kong yang dikenali seluruh dunia.

Bruce Lee. Foto brucelee.com

1. Bruce Lee

Dilahirkan dengan nama Lee Jun Fan pada 1940, beliau adalah pelakon yang dianggap sebagai legenda seni bela diri Jeet Kune Do. Bruce pada asalnya merupakan pengamal pencak Wing Chun dan bertanggungjawab memperkenalkan seni bela diri itu di Amerika Syarikat selain mempopularkannya menerusi aksi layar perak.

Sepanjang hidupnya, Bruce hanya berlakon empat filem seni bela diri iaitu The Big Boss (1971), Fist of Fury (1972), Way of the Dragon (1972) dan Enter the Dragon (1973). Namun empat filem itu memberi impak yang cukup besar, khususnya peminat filem aksi Hong Kong.

Malangnya, Bruce yang meraih status ikon mati secara mengejut pada usia 32 tahun ketika dalam proses menyiapkan filem The Game of Death. Beliau disemadikan di Seattle, Amerika Syarikat pada 1973. Pemergiannya meninggalkan legasi yang amat besar kepada dunia bela diri dan diratapi peminat filem kung fu sehingga hari ini.

Jackie Chan. Foto theindianwire.com

2. Jackie Chan

Terkenal dengan lakonan komedi kung fu, Jackie Chan memulakan karier lakonannya sebagai pelakon lagak ngeri untuk filem-filem Bruce Lee. Dikatakan sebagai anak murid kepada legenda berkenaan, Jackie atau nama sebenar Chan Kong San mula dikenali peminat menerusi filem Snake in the Eagle’s Shadow pada 1978.

Aksi akrobatik bersahaja dalam lebih 100 filem lakonan sepanjang tempoh 40 tahun telah menambat hati ramai peminat di seluruh dunia. Antaranya siri filem Drunken Master (1978 dan 1994), siri filem Police Story (1985 hingga 2013), Who Am I (1998) dan lain-lain. Kini berusia 67 tahun, Jackie masih lagi aktif dalam dunia seni filem aksi dan belum menunjukkan tanda persaraan.

Jet Li. Foto blackbeltmag.com

3. Jet Li

Anak kelahiran Beijing, China pada 1963 ini adalah pengamal seni bela diri wushu yang paling terkenal di seluruh dunia. Beliau mula masyhur menerusi filem Shaolin Temple pada 1982. Bagaimanapun, peminat paling mengingatinya melalui filem Once Upon Time in China (1991) dan Fong Sai Yuk (1993).

Seperti Bruce Lee dan Jackie Chan, kelincahan Jet Li memperagakan seni wushu menyebabkan beliau menjadi rebutan pembikin filem Barat. Antara filem Hollywood lakonannya ialah Romeo Must Die (2000), The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor (2008), The Expendables (2010).

Donnie Yen. Foto action-flix.com

4. Donnie Yen

Lakonannya dalam siri filem Ip Man telah meletakkan nama Donnie sebaris dengan legenda perfileman bela diri Hong Kong. Anak kelahiran Guangzhou, China pada 1963 ini adalah anak kepada wanita bernama Bow sim Mark yang merupakan guru tai chi.

Donnie juga adalah rakan seperguruan aktor wushu Jet Li ketika berada di bawah bimbingan mahaguru seni bela diri iaitu Wu Bin.

Antara filem lain lakonan Donnie yang terkenal ialah The Saint of Gamblers (1995), Shanghai Affairs (1998) dan City of Darkness (1999).

Michelle Yeoh. Foto audioboom.com

5. Michelle Yeoh

Dilahirkan pada 6 Ogos 1963, anak kelahiran Ipoh, Perak ini adalah satu-satunya pelakon wanita paling menonjol dalam filem seni bela diri. Hasil kerja Tan Sri Michelle Yeoh yang paling diingati ialah Crouching Tiger Hidden Dragon, yang banyak mendapat pujian pengkritik filem.

Beliau yang juga bekas ratu cantik Malaysia pada 1983 melakonkan banyak filem aksi malar segar seperti Police Story 3: Supercop (1992) selain pernah terpilih sebagai gadis Bond menerusi filem Tomorrow Never Dies (1998).

Michelle diingati sebagai pelakon wanita yang berani melakukan aksi lagak ngerinya sendiri sama seperti rakannya dalam dunia perfileman, Jackie Chan.

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

15 hari patuhi pantang larang, Tahun Baharu Cina bawa tuah dan kemakmuran

TAHUN Baharu Cina atau perayaan musim bunga, menandakan permulaan tahun baharu mengikut kalendar lunar Cina.

Bersilih ganti setiap tahun, simbolnya diwakili satu daripada 12 haiwan zodiak etnik ini. Tahun ini dikenali tahun harimau, atau lebih tepat harimau dengan unsur air, yang melambangkan kekuatan dan keberanian.

Disambut di seluruh negara, perayaan kedua terbesar selepas Aidilfitri ini, menurut riwayat orang tua-tua, bagi mengenang pertempuran menentang nian, makhluk menakutkan yang menyerang manusia dan memakan kanak-kanak. Penduduk menggunakan bunyi yang kuat untuk menghalau binatang itu.

Secara tradisi, sambutan ini memberi peluang petani berehat selepas bekerja keras selama setahun sebelum kembali bercucuk tanam dalam keadaan lebih segar.

Wartawan AFIX REDZUAN menyusun maklumat penting mengenai tradisi dan pantang larang sambutan Tahun Baharu Cina.

Tempoh sambutan

Seminggu sebelum
– bersihkan rumah
– membeli belah

Sehari menjelang
– lekat bait dua rangkap di pintu atau dinding
– makan malam bersama keluarga
– beri angpau kepada kanak-kanak
– selalu tidur lewat

Hari pertama
– bermain bunga api dan mercun
– persembah korban kepada moyang

Hari kedua hingga ketujuh
– ziarah sanak saudara, rakan taulan

Hari kelapan
– kebanyakan orang kembali bekerja

Hari ke-15: Pesta Tanglung (Chap Goh Mei)
– hari terakhir sambutan
– menghiasi dan menghidup tanglung merah
– bermain bunga api

Pengunjung terpukau melihat paparan skrin besar memaparkan visual tiga dimensi (3D) seolah-olah seekor harimau keluar dari skrin besar yang menutup hampir keseluruhan bangunan sempena Tahun Baru Cina ketika tinjauan di hadapan pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur pada 29 Januari 2022. Foto BERNAMA

Pantang larang

Elak makan ubat
– tidak boleh bancuh jamu atau makan ubat pada hari pertama kerana dipercayai akan jatuh sakit selama setahun
– selepas masuk tahun baharu, orang yang sakit pecahkan periuk ubat agar tiada penyakit setahun mendatang

Jangan sapu atau buang sampah
– lambang menyapu atau membuang tuah

Elak sebut perkataan tidak baik
– jangan sebut perkataan negatif, misalnya berkaitan mati, sakit, miskin atau hantu contoh, guna ungkapan “seseorang telah pergi” jika bercakap tentang topik kematian

Jangan makan bubur dan daging KETIKA sarapan
– bubur dianggap sarapan orang miskin
– daging tidak diambil sebagai simbol hormat pada dewa, dijangka keluar ziarah dan ucapkan selamat Tahun Baharu

Elak cuci, gunting rambut pada hari pertama
– dalam Mandarin, ejaan rambut (fa) mempunyai sebutan dan simbol menjadi kaya (facai) jadi tidak baik “basuh keberuntungan”
– gunting rambut dianggap bawa malang kepada bapa saudara
– makin popular gunting atau menggaya rambut baharu sebelum Tahun Baharu

Jangan basuh pakaian pada hari pertama dan kedua
– dua hari ini disambut sebagai hari lahir dewa air
– cuci pakaian dianggap tidak menghormati dewa air
– orang dahulu percaya air lambang kekayaan, jadi buang air basuhan ibarat mencurah kekayaan

Dilarang menjahit (hari pertama hingga kelima)
– zaman dahulu, wanita tidak jahit walau sebiji butang dalam tempoh ini
– mereka bimbang tahun berikutnya akan menjadi “tahun yang susah” jika banyak jahitan

Jangan guna gunting atau pisau
– bilah gunting ibarat mulut lancang ketika bertengkar
– guna gunting pada hari pertama dianggap membangkitkan pergaduhan
– elak guna pisau untuk hindar kemalangan
– dianggap bawa perkara yang tidak menguntungkan masa depan

Beri wang angpau dalam jumlah genap
– jangan beri dalam jumlah ganjil
– nombor genap dipercayai bawa tuah berganda
– elak nombor malang seperti 4 dan 40 kerana sebutan 4 berbunyi seperti kematian dalam bahasa Cina

Jangan beri hadiah tertentu
– seperti jam yang bawa maksud nasib malang, gunting (putuskan hubungan), kasut (kejahatan), gubahan bunga (hadiah di hari pengebumian) atau lilin wangi (untuk ingatan si mati)

Elak pecahkan pinggan, mangkuk atau gelas
– dianggap bawa nasib malang, kerugian kewangan atau perpecahan keluarga
– jika objek ini pecah tidak sengaja, kertas merah digunakan untuk balut serpihan dengan menyebut “sui sui ping’an” (maksud “sepanjang tahun selamat dan sejahtera”)

Isteri tidak dibenarkan kunjungi rumah ibu bapa sendiri pada hari pertama
– dipercayai bawa malang kepada ibu bapa sehingga timbul masalah ekonomi
– selalunya, anak perempuan yang sudah berkahwin ziarah orang tua pada hari kedua

Elak kanak-kanak menangis
– tangisan kanak-kanak dipercayai bawa malang kepada keluarga

Tidak lawat hospital
– kecuali dalam kes kecemasan, lawatan dalam tempoh ini dipercayai bawa penyakit kepada pelawat

Elak berhutang atau memberi pinjam wang
– tidak boleh pinjam wang pada hari tahun baharu
– semua hutang perlu dibayar menjelang sambutan tahun baharu
– jangan pergi ke rumah peminjam untuk tuntut hutang, dikatakan akan bernasib malang sepanjang tahun

Jangan pakai pakaian rosak
– dikatakan membawa nasib malang

Jangan pakai putih atau hitam
– secara tadisi, warna hitam atau putih dikaitkan dengan berkabung
– merah warna simbol tuah semasa Tahun Baharu Cina

Elak pembunuhan
– dielakkan dari hari pertama hingga ke-15
– darah dianggap petanda buruk
– haiwan disediakan sebelum tahun baharu

Lebuhraya Pantai Timur di Plaza Tol Gombak menuju Genting Sempah sesak berikutan orang ramai mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman sempena cuti Tahun Baharu Cina 2022 ketika tinjauan pada 29 Januari 2022. Foto BERNAMA

Hiasan

Tanglung merah
– sebagai hiasan, digantung di luar pintu sebagai lambang kebahagiaan dan mengusir nasib malang
– banyak digunakan semasa perayaan tanglung

Mercun papan
– dinyalakan di hadapan rumah dan kedai, tengah malam atau pagi tahun baharu
– lambang kegembiraan dan kemeriahan perayaan
– secara tradisi, dentumannya dipercayai dapat halau roh jahat

Kertas merah BERLOREK
– reka bentuk dipotong di atas kertas merah
– corak ini lambang umur panjang, maruah, kekayaan dan kemakmuran
– biasanya dilekatkan pada tingkap
– rekaan atau imej yang bawa tuah seperti limau, ikan emas atau haiwan zodiak tahun itu

Bait dua rangkap di atas kertas merah
– diletak pada pintu depan sebagai simbol nasib baik, kesihatan dan kemakmuran
– biasanya dilekat di dalam rumah seperti ruang tamu tetapi boleh ditemui di pintu masuk ke rumah dan premis perniagaan

Perkataan ‘fuk’ yang diterbalikkan
– tulisan ‘fuk’ membawa maksud nasib baik
– diterbalikkan agar tuah itu jatuh ke atas orangnya
– biasanya ditulis di atas kertas merah berbentuk seakan-akan berlian
– diletak di pintu masuk rumah dan perniagaan

Sampul merah (angpau)
– berisi duit yang diberikan mereka yang sudah berkahwin kepada yang masih bujang atau kanak-kanak
– simbol tuah dan kejayaan
– dihias pada pokok limau sebagai lambang kekayaan bertambah

Pokok oren, limau Mandarin atau kumquat
– kumquat, dalam loghat Kantonis, berbunyi “emas” dan “tuah”
– diletak di rumah sebagai menyambut tuah dan kekayaan

Bunga TAOHUA, plum dan anggerik
– taohua, plum (meihua), dan orkid
– berkembang selepas musim sejuk, tanda musim bunga
– ranting atau tangkai bunga yang panjang lambang panjang umur

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Timba ilmu luar bilik darjah, enam lokasi tawar pengalaman berharga

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 29 JAN: Rombongan lawatan sambil belajar merupakan aktiviti menyeronokkan dan paling ditunggu-tunggu oleh para pelajar. Program seperti ini membantu mereka menimba ilmu pengetahuan.

Selangor sememangnya terkenal dengan pelbagai tempat menarik yang tentunya memberi pengalaman pembelajaran yang tidak akan dilupakan.

Susulan pembukaan semula sesi persekolahan bagi tahun 2022, Tourism Selangor menyenaraikan enam lokasi menarik yang sesuai untuk diterokai.

Muzium Coklat, Kota Damansara

Beroperasi sejak 2013, muzium ini mengalu-alukan kedatanga pelajar untuk lawatan dan yang turut memberi didikan asas mengenai koko dan coklat, proses pembuatan dan pembelian coklat tempatan.
Paling menyeronokkan, pihak muzium akan membuat demonstrasi pembuatan coklat secara langsung dan para pelajar dapat merasai coklat yang dihasilkan.

Zoo Negara

Pastinya semua orang tahu mengenai Zoo Negara dan pernah melawatinya. Zoo Negara menyediakan sesi seminar dan pembelajaran melibatkan aktiviti pemuliharaan dan pengurusan hidupan liar.

Lawatan ini dapat memberi pengetahuan tentang tingkah laku haiwan, cara pengendalian haiwan dan keselamatan awam. Ini adalah selaras matlamat utama Zoo Negara iaitu pemuliharaan hidupan liar.
Selain itu, pihak zoo turut menyediakan program Zoo Camp Programme yang merangkumi aktiviti Night Walk, Wildlife Enrichment Programme dan Campfire.

Selangor Fruit Valley

Terletak di Bestari Jaya, kawasan yang terbentang luas dengan pelbagai daya tarikan membolehkan pelajar untuk mengalami aktiviti pertanian dan merasai pelbagai jenis buah dan sayuran tempatan.

Pelbagai aktiviti menarik terkandung dalam program lawatan tersebut termasuk memetik sayur dan menoreh getah, lawatan ke taman haiwan dan rumah kampung serta pelbagai lagi.

Kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang dan Kampung Haji Dorani, Sungai Besar

Lawatan ke Kampung Sungai Sireh dan Kampung Haji Dorani akan memberi pengalaman yang sangat memuaskan dan menggembirakan kepada pelajar.

Di sini, mereka dapat merasai suasana kampung dan mempelajari sendiri kehidupan orang kampung. Aktiviti seperti menggagau ikan dan menganyam daun kelapa serta lawatan ke sawah padi dan rumah tradisional turut ditawarkan.

Institusi Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong

Mempunyai keluasan 600 hektar dan dikelilingi oleh Hutan Simpan Bukit Lagong, ia menawarkan
pelbagai aktiviti alam semula jadi kepada pelajar.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah berjoging di Rover Track, berkelah, berbasikal serta dapat mempelajari mengenai keunikan alam semula jadi.

Taman Botani Negara Shah Alam

Mula dibangunkan pada 24 April 1986, Taman Botani Negara telah menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pemuliharaan bagi pembangunan botani.

Ia sebuah lokasi yang sesuai untuk membawa pelajar mempelajari proses penanaman bunga, lawatan ke taman haiwan, nature walk dan penjagaan alam sekitar. Kemudahan tram menjadikan lawatan lebih menyeronokkan.

Layari laman web www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang lawatan ke Selangor atau terus ikuti Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan YouTube bagi kemas kini.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Bermula dengan ‘ketagihan’, kini kerepek ngaku jadi sumber pendapatan

PUTRAJAYA, 29 JAN: Keunikan rasa kerepek ngaku atau arrowhead yang berlemak mampu membuatkan mereka yang pertama kali mencuba jajan itu jatuh cinta dan “ketagih” untuk terus menikmatinya.

Hanya didapati ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina, kerepek ngaku yang turut dipanggil sengkuang cina adalah antara juadah wajib kaum Tionghoa ketika sambutan itu, justeru tidak hairanlah snek berkenaan masih kurang dikenali masyarakat Melayu.

Menyedari potensi pasaran kudapan berkenaan dalam kalangan komuniti Islam, Nurul Farah Hamizah, 27, memutuskan untuk membuat dan menjual kerepek yang menjadi kegemarannya itu.

“Rasa ingin tahu saya tentang rasa kerepek ini tercetus selepas melihat iklan dalam media sosial pada 2017. Ketika itu saya sedang hamil anak pertama dan jadi mengidam untuk merasa kerepek tersebut,” ceritanya kepada Bernama.

Nurul Farah Hamizah, 27 yang terpikat pada keenakan kerepek ngaku apabila pertama kali merasai sendiri pada 2017 bertekad untuk membuat sendiri kerepek berkenaan kerana harga agak mahal berbanding kerepek lain. Foto BERNAMA

Menurutnya, selepas pertama kali mencuba dia terus terpikat, namun disebabkan harga yang agak mahal iaitu boleh mencecah RM20 untuk 200 gram, dia memutuskan membuat sendiri snek itu dengan belajar daripada video yang banyak dikongsikan di laman sosial.

Hanya setahun sekali 

Ujar Nurul Farah lagi, dia mula menjual kerepek itu pada 2018 dan menerima sambutan yang amat menggalakkan, khususnya daripada orang Melayu.

“Tidak sangka rasa kerepek ngaku ini diterima baik oleh orang Melayu, mungkin kerana rasa lemak-lemaknya yang lain daripada kerepek ubi biasa. Malah, ramai yang mula bertanya tentang kerepek ini selepas Tahun Baharu Cina, namun saya jelaskan ubi ini hanya ada semasa raya Cina, iaitu setahun sekali,” katanya yang menggunakan platform perniagaan dalam talian untuk memasarkan kerepek ngakunya.

Menurut wanita itu, harga arrowhead mentah di pasaran boleh mencecah RM10 sekilogram dan dia menjual kerepek tersebut pada harga RM30 untuk balang bersaiz 450 gram.

“Selain harga sengkuang cina ini yang agak mahal, proses membuat kerepek juga renyah,” jelasnya, menambah pada tahun lepas dia berjaya menjual hampir 200 balang kerepek ngaku menggunakan 170 kg ubi berkenaan.

Kupas, sagat dan goreng 

Bercerita tentang proses membuat kerepek itu, Nurul Farah berkata ubi perlu dikupas sebelum disagat terus ke dalam kuali berisi minyak yang sudah panas.

“Bayangkan, untuk mengupas 10 kg ngaku saya ambil masa tiga jam, dan untuk menggoreng pula lima jam. Ini kerana proses menggoreng perlu dilakukan secara hati-hati dengan api yang perlahan kerana ubi ini jenis berair dan mengambil masa untuk benar-benar garing. Kena api perlahan agar kerepek tidak hangus dan warna pula kuning keemasan,” jelasnya dan mengakui pernah melecur terkena percikan minyak panas.

Nurul Farah Hamizah, 27, beliau berjaya menjual kerepek ngaku atau arrowhead hampir 200 balang kerepek ngaku. Foto BERNAMA

Menurut wanita itu lagi, pada peringkat awal dia mencampurkan garam pada kerepek namun pemerhatiannya mendapati kaum Cina tidak berbuat demikian, sebaliknya digoreng begitu sahaja.

“Saya cuba buat begitu dan bila diberi kepada jiran-jiran, mereka kata mereka lebih gemar kerepek tanpa garam sebab rasa lemak ngaku yang lebih asli,” ujarnya.

Kongsi ibu kepada dua cahaya mata itu dia juga bertuah kerana suaminya Ahmad Munzir Shahril, 41, yang juga seorang peniaga, banyak membantunya dari segi strategi perniagaan selain turut “mengkritik” kerepek yang dihasilkan.

“Saya akan tambah baik berdasarkan komen suami kerana dia berniaga cakoi, jadi dia lebih tahu cita rasa pelanggan,” kata Nurul Farah yang telah melakukan persediaan awal untuk menyediakan kerepek itu bersempena sambutan Tahun Baharu Cina kali ini.

Arrowhead dan Tahun Baharu Cina 

Arrowhead merupakan sejenis tumbuhan akuatik bermusim yang hanya boleh ditemukan semasa perayaan Tahun Baharu Cina. Ubinya berbentuk seakan bawang dan bersaiz kecil, sementara isi pula berwarna putih.

Bagi masyarakat Cina, ubi ngaku atau arrowhead atau sengkuang cina ini melambangkan kemajuan yang berterusan kerana daunnya yang seakan pokok bunga lili itu tumbuh menegak ke langit.

Justeru kata mereka, sambutan Tahun Baharu Cina tidak akan lengkap tanpa kerepek ngaku ini.

Lazimnya, sengkuang cina yang ada di pasaran negara ini diimport dari China.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Selangor sedia pelan tangani perubahan iklim, pemanasan dunia

Berikut teks ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Shah Alam pada 24 Januari 2022.

Bahagian pertama: MB: Perlu cepat sesuaikan dengan perubahan, kuasa tidak lagi berpusat

Bahagian kedua: MB: Bukan masa tunjuk kuasa, yakinkan rakyat perkara betul kita lakukan

Kalau semua orang memerhati kita, saya sebutkan, tidak ada lagi perkara yang boleh kita sembunyikan. Tidak ada lagi perkara yang kita boleh sapu ke bawah karpet, sapu di bawah tikar, yang kita mahu sembunyikan sebab inilah realiti yang kita hadapi: Dunia makin terbuka, kehidupan terbuka dan perjalanan pentadbiran juga terbuka.

Untuk barisan pemimpin, ketua-ketua jabatan sudah pasti keadaan ini lebih terdedah. Dalam realitinya, semua kehidupan individu sudah terdedah. Adakah kita hendak berpatah balik ke dunia dahulu yang tidak ada media sosial? Terpulanglah kalau ada yang memilih begitu. Namun kita juga ada pilihan, pilihan untuk beradaptasi dan berubah dengan realiti baharu.

Saudara dan sahabat sekalian,

Sebab itu kita semua tidak boleh bergerak bersendirian dan kena ajak seramai mungkin, rakyat dan masyarakat, walau tugas ini mengambil masa panjang dan ruang yang rumit.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari membantu membersihkan kawasan perumahan yang dipenuhi lumpur akibat banjir di Taman Sri Nanding, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Kalau dulu arahan Yang Berhormat, EXCO atau pegawai daerah semuanya akan ikut, akan patuh, akan buat. Hari ini, arahan daripada siapa pun ada suara yang akan bercakap (melalui media sosial). Suara itu mungkin seorang sahaja tetapi ia boleh mempengaruh lapan orang yang lagi. Itulah yang kita kena hadapi dan kena lakukan.

Kalau kita boleh lakukan seperti itu, kitalah yang disebutkan leadership (kepemimpinan), barisan pemimpin dan ketua jabatan yang tahan uji, berkemampuan dengan segala ujian, sebagai kepemimpinan yang responsif.

Pada hari ini, sewajarnya kita menangani dan menanggapi global warming (kepanasan dunia) dan climate change (perubahan iklim); pengajaran penting setelah kita ditimpa beberapa musibah walau tanda-tandanya bukan baharu. Sebelum itu, ada kejadian tanah runtuh atau ribut di sana sini.

Sepanjang pentadbiran saya sebagai Menteri Besar sahaja, dalam beberapa waktu seperti malam tahun baharu atau malam sambutan Aidiladha, kadang-kadang kita harus menangani bencana ribut, banjir atau tanah runtuh yang berlaku mendadak.

Bagi berdepan perubahan iklim dan kepanasan dunia, kita akan melaksanakan dasar dengan menubuhkan Jawatankuasa Tetap di bawah Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar dengan memasukkan elemen Perubahan Iklim yang telah memberikan kesan kepada kehidupan kita.

Kesan iklim ini bukan hanya akan menekan kita untuk berdepan soal tanah runtuh dan banjir tetapi aspek kehidupan yang lain. Harga barangan, contohnya, akan terjejas sebab ladang musnah akibat banjir, ladang rosak akibat tanah runtuh. Dalam masa sama, perubahan iklim mendadak ini mengubah struktur tanah dan suasana persekitaran. Mungkin kita akan berdepan krisis lain, contohnya tadi bekalan makanan.

Sebab itu dalam Pakej Kita Selangor 1.0 dan Belanjawan, kita titikberatkan jaminan bekalan makanan untuk memastikan kelangsungan hidup kita dapat dipertahankan. Bukan hanya pertahanan emosi, bukan hanya mental, bukan hanya mampu bertahan dengan kecekalan, tetapi kita kena bersedia dari sudut fizikal.

Maknanya makanan, struktur kerja dan bangunan. Kerajaan Negeri baru-baru ini mengumumkan skim perumahan pekerja. Alhamdulillah, tidak lama lagi kita buat di Kajang. Tahniah! Kita cepat lakukan. Bulan Januari kita sudah buat skim perumahan pekerja pertama di Selangor. Itu kedudukan yang perlu kita lakukan pada hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi amanat kepada penjawat awam sempena Tahun Baharu 2022 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz pada 24 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sebab itu perubahan-perubahan yang saya sebut ini bukan hanya satu lapis tetapi ia memberi kesan panjang pada kehidupan kita. Untuk itu, kita akan pastikan perubahan iklim atau kepanasan dunia ini sebagai satu agenda di semua peringkat, daripada barisan kepemimpinan negeri sampai ke bawah supaya perkara ini diambil kira dalam perancangan kita.

Sebelum ini, kita ada Kerangka Kerja Rendah Karbon di Bandar (LCCF) di peringkat pihak berkuasa tempatan. Kita juga ada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Sekarang kita kena melihat aspek kepanasan dunia ini — bukan hanya bercakap di luar sana tetapi realiti yang kita kena hadapi dan, yang paling jelas, kejadian banjir besar yang melanda kita.

Dan sebab itu Kerajaan Negeri juga dalam segenap aspek perubahan ini, dalam 2022 kita siapkan dan sediakan dengan SIAP (Selangor Implementation and Performance Monitoring Unit). SIAP adalah sebuah institusi yang akan melihat kepada integriti, pencapaian, pelaksanaan program dilakukan, projek supaya aspek persediaan yang saya sebut tadi, mental fizikal kita bersiap siaga termasuk bagaimana kita mampu menyedut dan menyerap setiap rintangan dan cabaran yang berlaku di 2022.

Saudara saudari dikasihi sekalian.

Bagi tahun 2022, bukannya semuanya yang saya sebut tadi susah atau perubahan mendadak tetapi hal ini yang perlu kita hadapi. Kalau kita hadapi dengan baik, kita akan dapat lahirkan sesuatu yang baik untuk negeri kita.

Alhamdulillah sudah dua tahun berturut-turut, pada 2020 dan juga 2021. Semua orang fikir sukarnya PKP, PKPD. Ekonomi tidak berjalan, perniagaan tidak berlangsung, pelaburan sukar mendarat. Alhamdulillah dalam dua tahun berturut-turut kita mampu melebihi sasaran pungutan hasil kita. Dua tahun berturut-turut.

Tahun 2021 saat paling sukar itupun kita berjaya capai sesuatu yang lebih daripada kita sasarkan. Maknanya kadang kala kita berada dalam tekanan dan sedikit terdesak, kita akan mempunyai keupayan dan kemampuan yang lebih. Momentum kerja itu harus kita kekalkan. Suasana berubah, bersedia beradaptasi dan bersedia anjal, tangkas, tahan uji, bersabar.

Inilah ciri-ciri baharu yang harus kita pertahankan, kekalkan, di samping mempertahankan integriti, profesionalisme penjawat awam dan juga yang terakhir bagaimana kita melayan dan mendekati pemegang taruh — yakni rakyat — yang selalu bertanya dan menimbulkan pelbagai persoalan kepada kita.

Kereta terkandas akibat banjir di stesen minyak ketika tinjauan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam pada 21 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Justeru, untuk menjadi sebuah negeri yang terbuka, kita kena yakin untuk mengakui kesilapan, yakin mengakui kita akan perbetulkan, yakin mengakui kita berdepan masalah ini. Keyakinan ini perlu ditanamkan dari peringkat kepemimpinan tertinggi dan pegawai bawah.

Dengan keyakinan kita ini, kita tidak cuba sembunyikan atau menyorok. Kalau kita menyorok, kita tutup, amalan ini tidak boleh lagi berlaku waktu ini. Insya-Allah dengan doa dan kecekalan dan kesabaran semua kita, inilah perkara yang kita patut lakukan pada 2022.

Kita fokus, kita laksanakan. Insya-Allah kita boleh berdepan cabaran dan perubahan yang berlaku. Belajar daripada kesilapan. Kenali kelemahan. Kuatkan dan pertahankan pentadbiran ini. Kerajaan Negeri ini mampu berdepan krisis apa yang datang, krisis politik, krisis pentadbiran, krisis pandemik, tragedi banjir — semua ini menjdi satu platform yang harus menunjukkan kita kena bangkit, bukan melemahkan kita.

Ketika krisis, ketika keadan mendesak, saya selalu sebutkan kerajaan menjadi nadi penting. Kalau kita tumbang, “koyak”, tidak mampu bertahan dan amarah, tuding pula pada orang lain, semua orang akan melakukan lebih ekstrem daripada kita lakukan.

So waktu krisis seperti ini, kerajaan, pimpinan dan ketua jabatan akan menjadi nadi penting untuk memandu komuniti, masyarakat dan negara; untuk memandu rakyat apakah jalan dan laluan yang betul.

Kalau tidak, istilah “kita jaga kita” itu akan dibengkokkan kepada perkara lain, akan menimbulkan suasana pertempuran macam di Hong Kong, peristiwa yang berlaku di Ukraine atau Kazakhstan ketika ini di mana ada perubahan dalam pimpinan negara disebabkan rakyat tidak teratur dan gagal diatur. Kerana pada waktu-waktu tertentu pentadbiran dan kepimpinan sudah “koyak” dan tidak mampu bertahan dan berdiri walaupun berdepan kritikan dan pelbagai perkara.

Kepada saya, kepada semua yang ada di sini, ahli majlis PBT, Ahli Dewan Negeri, EXCO dan ketua jabatan: Kita kena beringat-ingat hal ini kerana ia sentiasa datang, tidak boleh kita elakkan. Yang boleh kita lakukan, kita kena bertahan dan bersabar serta kukuhkan dengan kecekalan untuk menjadi dan membangun sebuah Negeri Tahan Uji.

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA RENCANA

Gubah potongan kertas jadi karya seni, harap tuah lorekan harimau

Pesara guru tekun melukis gabungan bentuk harimau dan jenis bunga yang sesuai bagi memastikan ia membawa makna.

Melukis pada hamparan kertas merah, Lim Cheng Hock, 64, sedar kerja itu perlu teliti. Imaginasi mesti utuh. Barulah corak menarik terhasil.

Memang rumit. Terherot sedikit, lain jadinya. Jika tersilap, beliau perlu kembali kepada proses awal. Hanya setelah berpuas hati, barulah kertas itu dilipat beberapa kali sebelum dipotong menggunakan gunting atau pisau.

Peringkat itu memakan masa, bergantung kepada saiz kertas. Makin besar, makin panjang waktu ditagih. Ada kalanya tiga hingga empat jam sehari hanya untuk melakar satu corak.

Corak gabungan harimau dengan bunga teratai siap selepas empat hari Cheng Hock bertungkus-lumus pada Oktober tahun lalu lagi.

Seni potongan kertas tradisional Cina atau jianzhi itu dijadikan hiasan rumah sempena Tahun Baharu Cina.

Lim Cheng Hock, 64, menunjukkan sebahagian karya seni lorekan kertas atau dikenali jianzhi di rumahnya di Taman Bayu Perdana, Klang pada 13 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mengikut kalendar kaum Cina berdasarkan 12 haiwan zodiak, Tahun Baharu Cina 2022 adalah giliran untuk simbol harimau dengan unsur air.

Setiap haiwan zodiak terbahagi kepada lima unsur iaitu emas, air, kayu, tanah dan api. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, harimau air dianggap mempengaruhi perjalanan manusia tahun ini.

Bekas guru sekolah Cina itu mengabdikan diri di ruang khas rumahnya di Taman Bayu Perdana, Klang sejak 16 tahun lalu untuk menyiapkan jianzhi beberapa bulan sebelum perayaan.

Lim Cheng Hock, 64, menggunting kertas mengikut lakaran zodiak haiwan seperti harimau bagi menghasilkan karya lukisan jianzhi sempena Tahun Baru Cina 2022 di rumahnya di Taman Bayu Perdana, Klang pada 13 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Bagi tahun ini, beliau hanya menghasilkan kira-kira 70 rekaan berunsur harimau air, zodiak dalam kalendar Cina. Berbeza tahun-tahun sebelumnya, Cheng Hock menghasilkan hampir 300 rekaan.

Bagaimanapun, faktor usia membataskan kudratnya. Kesungguhannya bukan demi wang ringgit. Sebaliknya semata-mata kecintaan kepada tradisi yang dikatakan bermula sejak Dinasti Han, kira-kira 1,000 tahun lalu.

Simbol tuah

Jianzhi lazimnya ditampal pada pintu atau tingkap rumah sebagai simbol tuah dan kebahagiaan. Ia juga dijadikan hadiah kepada keluarga dan rakan taulan.

“Kalau jual mungkin boleh mencecah sehingga RM1,000 setiap satu kerana dihasilkan secara tradisional. Yang banyak di pasaran banyak jenis bercetak dan murah.

“Saya hadiahkan sahaja dan kongsi tuah. Tetapi, penerimanya pun saya pilih. Hanya yang mereka benar-benar menghargainya sahaja,” kata bekas guru yang bersara pada 2006.

Beliau juga ada menghadiahkan hiasan itu kepada rakannya yang menghidap penyakit kronik bagi memberi semangat untuk melawan kesakitan.

Malah, Cheng Hock menghasilkan jianzhi yang menggabungkan corak jururawat dan doktor, Jalur Gemilang selain diselitkan kata-kata semangat. Semua itu sebagai menghargai peranan petugas barisan hadapan ketika berdepan penularan Covid-19.

Namun, karya yang dihasilkan ketika perintah kawalan dikuat kuasa hanya tersimpan di rumah. Beliau berharap benar rekaannya itu digantung di premis Kementerian Kesihatan.

Lim Cheng Hock, 64, memotong lorekan kertas menggunakan pisau dengan teliti bagi menghasilkan lukisan mengikut lakaran zodiak haiwan sempena Tahun Baharu Cina di rumahnya di Taman Bayu Perdana, Klang pada 13 Januari 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Mula mengenali seni itu sejak berusia 15 tahun, Cheng Hock ketika menginjak ke alam pekerjaan pada 1984 baharulah beliau mengembangkan bakatnya.

Pada tahun itu, beliau tertarik dengan keunikan pelbagai jenis jianzhi di sebuah premis ketika mengunjungi Taipei, ibu negeri Taiwan. Di situ, beliau bertemu seorang wanita yang pakar menghasilkan jianzhi. Beliau juga sempat berguru walau sekadar beberapa hari.

Sekembalinya ke tanah air, beliau berlatih sendirian hingga mahir. Pada masa sama, Cheng Hock cuba memupuk minat dalam kalangan anak muridnya supaya tradisi itu tidak pupus ditelan zaman.

Menjangkau usia 64 tahun, Cheng Hock yang berasal dari Kulim, Kedah belum mahu berhenti sebaliknya gigih menghasilkan jianzhi dan berusaha memupuk minat generasi muda.

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

MB: Bukan masa tunjuk kuasa, yakinkan rakyat perkara betul kita lakukan

Berikut teks ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Shah Alam pada 24 Januari 2022.

Bahagian pertama: MB: Perlu cepat sesuaikan dengan perubahan, kuasa tidak lagi berpusat

Bahagian ketiga: Selangor sedia pelan tangani perubahan iklim, pemanasan dunia

Kalau hari ini kita sebut pasal Hanafi. Semua di sini tahu, bukan? Itu sekadar contoh. Kalau dahulu, hanya sampai berita di kedai kopi, (kita di kampung) tunggu orang balik dari Kuala Lumpur. Ingatkan Hanafi mana, ingatkan jiran tetapi sekarang semua orang tahu bercakap mengenainya.

Saudara dan sahabat dikasihi sekalian,

Inilah yang saya sebutkan sebagai VUCA – dunia yang volatile, uncertain, complex and ambigious (tidak menentu, tidak pasti, ruwet dan samar-samar).

Untuk jadi sebuah negeri yang tahan uji, menjadi pentadbiran yang tahan uji, pegawai dan penjawat awam, pemimpin yang tahan uji, kita kena sedia beradaptasi dengan perubahan ini. Kita berdiri tegak untuk mempertahankan apa yang kita lakukan. Untuk melaksanakan dengan betul apa yang kita lakukan, dilihat membuat benda yang betul kita lakukan.

Tidak boleh lagi sikap “biarlah apa mereka hendak kata; yang penting, kita buat benda betul”. Maknanya setiap jabatan, agensi, anak syarikat, institusi dan unit harus mempunyai saluran untuk kita lakukan yang betul dan kita lakukan penjelasan terhadap apa yang kita lakukan. Ini dalam dunia yang perlukan kaedah menjelaskan, dunia yang memerlukan kita meyakinkan rakyat.

It’s not about your authority. Bukan lagi masa untuk menunjukkan siapa lebih berkuasa. Kedudukan sebagai menteri besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), pegawai daerah, pengerusi bencana, pengerusi antidadah, pengerusi kewangan atau pengerusi-pengerusi lain.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memeriksa perbarisan Unit Keselamatan dan Unit Pengurusan Bencana Kerajaan Negeri Selangor pada Majlis Amanat Tahun Baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz pada 24 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bukan lagi masa kita menunjukkan siapa lebih berkuasa. Masanya untuk kita jelaskan dan yakinkan rakyat apa perkara betul yang kita buat. Bagaimana anda meyakinkan orang dengan apa yang kita hendak buat dan sudah lakukan.

Ia bukan bererti bahawa kita harus kembali kepada dunia yang authoritarian (pentadbiran keras) sebab bantahan rakyat di bawah terlalu kuat. Kalau kita hendak berpatah balik kepada pentadbiran otoritarian, kembali kepada kedudukan yang penuh pemusatan kuasa (di tangan pemimpin politik), yang kita semua tidak boleh berbuat apa-apa, kita juga yang akan memberontak. Ramai juga yang akan memberontak.

Lihatlah di seluruh dunia — Hong Kong, Eropah dan beberapa tempat lain. Ada sahaja bantahan yang keluar dengan cara dan kaedah yang keras kerana sudah tiada keterbukaan. Sebab itu, kita kena beradaptasi dengan perubahan-perubahan ini.

Kita tidak hanya boleh mengeluh; tidak boleh putus asa apatah lagi kita amarah. Kita banyak lakukan, sebagai contoh ketika banjir.

Alhamdulillah saya dapat laporan kita sudah mulakan mesyuarat bulan September, mulakan pertemuan pada Oktober. Kita ada latihan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) November tahun lepas. Kita bersiap sedia untuk 5,000 mangsa banjir kerana selalunya banjir di Selangor sekitar 2,000 hingga 3,000 orang. Paling ramai 4,500 hingga 5,000 orang dipindahkan.

Tetapi sekarang realiti baharu saya sebutkan, tentang perubahan iklim yang mendadak. Maknanya ada penyebaran berita dan pengedaran fitnah yang pantas; ada juga perubahan kehidupan yang pantas. Kita berdepan dengan perubahan fizikal yang pantas seperti perubahan cuaca akibat perubahan iklim.

Sekali lagi kehidupan kita semakin pantas, gelombang demi gelombang berubah semakin pantas. Kalau kita tidak bersiap siaga, kita tidak bersedia dari segi mental, emosi dan gerak kerja kesiapsiagaan, kita akan patah, kita akan tumpas.

Bayangkan, kita berada di kemuncak krisis iaitu pandemik; kita berdepan pula banjir dan mungkin ribut. Ini realiti baharu yang kita kena siap siaga bagaimana kita berdepan dengan pelbagai krisis yang kita tidak jangkakan.

Pada tahun 2020 dan 2021, pihak pengurusan dan pentadbiran negeri ini berdepan dengan rintangan krisis politik dan pandemik, diikuti dengan krisis ekonomi. Kita dengan tabah laksanakan Pakej Bantuan Selangor Prihatin 1 dan Prihatin 2; kita laksanakan Kita Selangor 1 dan Kita Selangor 2.

Itu semua kaedah dan cara kita berdepan dengan rintangan. Sebab itu dengan penuh yakin saya sebut kita boleh jadi sebuah negeri yang tahan uji. Namun teras kepada tahan uji itu bukannya kertas dasar yang panjang lebar, bukan hanya strategi yang nampak kemas dan cantik di atas kertas atau ketika pembentangan tetapi kemampuan kita, keupayaan kita semua yang ada di sini; baik yang di bawah (pentas), di atas atau yang dengar dalam talian untuk mengerah keupayaan kita: agile, tangkas dan bingkas.

Agile ini bukan hanya bingkas tetapi beradaptasi dengan segala perubahan dan kekal dengan keupayaan dan kemampuan dengan perubahan tersebut.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri’ Amirudin Shari membantu penduduk membersihkan kawasan terlibat banjir di Kampung Cemperai, Dengkil pada 28 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Saya hendak ucapkan terima kasih banyak-banyak walaupun ada pihak kritik kita. Dia tidak boleh selesaikan masalah, dia salahkan tempat lain, salahkan negeri lain, salahkan daerah lain. Apabila dia tidak boleh beri arahan, bukan hendak perbetulkan, tetapi salahkan pihak lain.

Bukan kerja saya salahkan pihak lain. Kita ada masalah, kita hadap. Kita akui macam saya akui. Kita bersedia atau tidak untuk hadapi banjir? Kita bersedia. Adakah kita bersedia hadapi mangsa 100,000 orang? Tidak. Kita bersedia hadapi 5,000 mangsa. Sebab apa? Sebab asasnya, tiap-tiap tahun berlaku begitu.

Tidak juga amaran diberikan. Amaran meteorologi pada awal hari 18 Disember, ketika hujan sudah lama lebat, masih tidak anggap Selangor dalam kawasan merah. Itu semua fakta. Jelas, dokumennya semua ada.

Tetapi kita perbetulkan. Pada 19 Disember, kita perbetulkan, kita laksanakan. Sebab itu, menjelang 20 haribulan sampailah sekarang, segala apa yang dirancang selepas banjir, pakej bantuan Selangor Bangkit, berjalan baik dan pantas.

Dalam tempoh tiga minggu kita keluarkan 150,000 tan sampah. Rakan sejawatan saya di Negeri Sembilan menyebut mereka memerlukan lebih seminggu untuk keluarkan 1,000 tan sampah.

Itulah yang kita buat, kita laksanakan, kita percepatkan kerana kita beradaptasi dengan agile (bingkas dengan tangkas) terhadap perubahan-perubahan itu.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pegawai daerah yang bekerja keras, tidak tidur, menerima kritikan, mendapat bantahan tetapi masih terus bekerja. Mereka pertahankan integriti laksanakan perubahan tetapi kita kena percepatkan lagi dan mesti bersedia tiap masa. Suasana perubahan seumpama ini pada masa akan datang lebih kerap berlaku. Mungkin.

Kita ada pengalaman ketika menghadapi Covid-19. Tidak cukup dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita buat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Kita buat saringan, kita buat vaksinasi — semua ini contoh, manifestasi kita buat bagi mendepani perubahan.

Baru-baru ini banjir. Sebab kita sudah dilatih dengan perubahan-perubahan (menghadapi Covid-19) itu, saya lihat kita pantas bergerak. Kita beradaptasi, kita berubah.

Sebelum krisis politik 2020, pada 2018 atau 2019, semuanya kita nampak macam tenang, tidak perlu kita bersilang-silang dengan pentadbiran di peringkat lain. Datang perubahan politik, kita menyesuaikan diri, kita kawal dengan memastikan kepentingan negeri dijaga dan dipelihara untuk kepentingan semua.

Saudara dan sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian,

Sebab itu pada hari ini bukan sahaja kita kena beradaptasi dengan segera, bukan sahaja perlu menjelaskan dan menerangkan dengan tekun, menerangkan dengan sabar dan konsisten apa yang kita lakukan, laksanakan, dengan baik; kita juga perlu melaksanakan urusan tadbir kita dengan penuh berintegriti.

Ini asas (pentadbiran negeri) yang kita telah bangunkan dengan kuat; inilah budaya yang sedang dan telah kita umumkan, yang kita laungkan sejak 2008 (sewaktu perubahan pentadbiran). Ini asas dan budaya yang menjadi tiang seri pentadbiran, yang perlu kita pertahankan walaupun ada orang pertikaikan. Pertikaian ini juga satu lagi cabarannya.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

MB: Perlu cepat sesuaikan dengan perubahan, kuasa tidak lagi berpusat

Berikut teks ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam majlis Amanat Tahun Baharu 2022 di Shah Alam pada 24 Januari 2022.

Bahagian kedua: MB: Bukan masa tunjuk kuasa, yakinkan rakyat perkara betul kita lakukan

Bahagian ketiga: Selangor sedia pelan tangani perubahan iklim, pemanasan dunia

Pagi ini dapat kita bersama-sama sekali lagi sebagai mana lazimnya tiap-tahun tahun baharu.

Kita dapat bersama-sama berkumpul untuk melihat kembali beberapa perjalanan kita pada tahun sebelum ini dan menjengah apakah kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku pada tahun yang bakal kita lalui, tahun ini dan tahun-tahun mendatang.

Kalau kita amat-amati, saya sebutkan pada tiap-tiap kali pertemuan bulanan sebelum ini, dan juga pertemuan penting sebagai mana yang dipaparkan dalam montaj yang kita lihat pagi tadi, saya selalu mengingatkan kepada semua terutama kepada saya dan seluruh tenaga kerja penjawat awam Selangor untuk melaksanakan tugas secara berjemaah dan berkumpulan; tidak laksanakan secara in silo (dalam kumpulan sendiri sahaja).

Dalam masa sama kita segera beradaptasi dengan perubahan dan juga menerima perubahan sebagai suatu realiti. Dengan cara itu juga kita dapat lahirkan sebuah pentadbiran dan pengurusan yang tahan uji dan menjaga kepentingan semua pihak dalam dunia yang bergerak pantas, dalam aliran berita yang bergerak pantas dan perubahan-perubahan yang kita lalui secara fizikal dan emosi juga berlaku dengan sangat pantas.

Saudara dan tuan-tuan dikasihi sekalian,

Kita berada dalam realiti baru. Kita berada dalam dunia baharu. Kita patut juga melihat apa yang kita lalui sepanjang 2021 dan 2020 di mana kita berdepan dengan Covid-19. Di sana selalu ditekankan tentang norma baharu dan itulah juga semangat yang selalu saya sebutkan, agar kita berubah dan bersedia menerima perubahan-perubahan yang berlaku.

Kalau tidak, kita akan tertinggal dan jadi tidak relevan. Apa pencapaian yang kita lakukan, apa yang kita laksanakan sebelum ini hanya dianggap sebagai sejarah yang hanya akan diulang-ulang; yang gagal untuk kita kecapi kalau kita gagal menerima perubahan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi amanat kepada penjawat awam sempena Tahun Baharu 2022 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz pada 24 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Saudara-saudara dan sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian.

Seluruh dunia pada ketika ini, seluruh kehidupan ketika ini, sudah semakin terpencar-pencar atau decentralised. Kita suka atau tidak, tidak ada lagi unikuasa (kuasa tunggal), tidak ada lagi pengumpulan maklumat kuasa dan juga (pusat) pengaruh kepada mana-mana institusi.

Kedudukan sebaliknya semakin decentralised, ia semakin terpisah-pisah dan pemisahan ini berlaku dalam pelbagai lapisan, bidang, subjek dan landasan yang kita lalui.

Kalau kita lihat tentang pelaporan media. Hari ini tidak ada siapa boleh mendabik dada sebagai media arus perdana. Semua orang mempunyai WhatsApp. Semua orang mempunyai media mereka sendiri yang dipanggil sebagai sosial media.

Dengan keadaan ini, berita dan maklumat tidak lagi boleh dikawal; tidak sama seperti sebelum ini. Ada kisah di negeri lain, bukan negeri ini, mereka pernah sengaja mematikan talian elektrik untuk mengelakkan aliran berita keluar esok pagi. Itu semua tidak akan berlaku lagi pada waktu ini.

Dan hari ini kita mendengar noise, atau kebisingan, (di media sosial) itu semakin kuat. Sebelum ini kebisingan, sok-sek sok-sek, cakap sana cakap sini, mungkin kita dengar secara kecil-kecilan, di kedai kopi misalnya.

Sebab itu, kalau di Kelantan dahulu ada orang sebut politik kedai kopi. Sebab di sana akan ada bertebaran berita, propaganda dan analisa yang akan mempengaruhi watak-watak serta perjalanan politik.

Siapa yang rajin pergi kedai kopi dia boleh mempengaruhi, mendapat informasi, dia boleh melakukan sesuatu untuk mempengaruhi orang lain. Tetapi sekarang perkara itu tidak lagi berlaku di kedai kopi, ia berlaku di semua tempat.

Di sini pun ada, ketika ini, sedang WhatsApp, sedang bergosip, sedang membawang, sedang menyampaikan maklumat, sedang berkongsi hadis, sedang berkongsi selamat pagi dengan doa-doa yang sering diulang.

Saudara dan sahabat dikasihi sekalian,

Sebab itu kita tidak boleh lagi beranggapan (kerja pentadbiran) dulu lebih mudah, dulu lebih senang, dulu kita buat instruction, kita buat arahan, (kerja) boleh berjalan. Sekarang bukan masanya kita merungut tentang itu. Kita kena beradaptasi dan bersedia dengan perubahan-perubahan yang berlaku. (Gejala yang disebut tadi) itu dalam media, dalam kehidupan, dalam perjalanan kerja dan sebagainya.

Pegawai Operasi, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir mengetuai bacaan ikrar pada Majlis Amanat Tahun Baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz pada 24 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam struktur ekonomi juga bergerak dalam sedemikian rupa. Pada 2014 atau 2015 wujud perbincangan tentang cryptocurrency (mata wang digital) atau Bitcoin. Kertas konsepnya hanyalah sepanjang tujuh muka surat sahaja; yang sampai sekarang kita tidak tahu siapa yang menyediakan kertas itu tetapi sekarang meluas penggunaannya (jika dibanding tempoh awal pada 2010).

Bermula 2013 atau 2014, ada orang memandang remeh tetapi sekarang menjadi satu ledakan sampai merebak kepada non-fungible tokens (NFT) kepada bidang-bidang seperti hasil seni dan karya yang tidak boleh dipegang secara fizikal tetapi boleh dijual beli.

Baru-baru ini di Indonesia. Seorang remaja menjual wajah swafotonya tiap-tiap tahun berjumlah jutaan ringgit Malaysia. Kadang-kadang kita tidak faham. Saya pun sukar untuk berikan kefahaman tetapi itulah realiti yang sedang menerpa, menyerang dan datang bagai ombak kuat sebagaimana kepala air di Sungai Lui, Batu 16, Batu 23 (di Hulu Langat) ketika kejadian banjir yang lepas. Terjahan air yang meranapkan tebing sungai dan beberapa rumah yang memberikan kerosakan sangat luar biasa ketika kejadian banjir baru-baru ini.

Maknanya, perubahan struktur yang besar sedang datang kalau kita tidak bersedia dengan perubahan itu walaupun Kerajaan Negeri sudah mengingatkan. Saya berulang kali di sini menyebutkan kita kena bersedia dengan itu.

Makanya kita akan jadi orang yang kecewa. Kita akan putus asa. Kenapa ini? Kita sudah buat banyak kerja tetapi orang masih menyerang (pentadbiran negeri). Kita sudah penat, kita tidak tidur jaga pusat pemindahan sementara (PPS), buka PPS dan beri bantuan. Tetapi ada lagi orang kritik, orang marah.

Inilah perkara yang berlaku. Bukan hanya pada ketika krisis bencana banjir baru-baru ini, sebaliknya ia akan datang hari-hari, ia akan datang setiap waktu. Keadaan itu adalah kehidupan realiti baharu atau kehidupan dunia baharu yang kita lalui dan hadapi.

Dan ada pula dunia bayangan yang lain; macam saya sebut tadi. Kita ada sistem kewangan atau perbankan yang dibangunkan dengan cukup lama dengan bersandarkan kepada emas. Sekarang kita ada cryptocurrency, yang kemudian merebak kepada NFT.

Selepas ini, ada gejala baharu lagi. Sebelum ini kita ada kejohanan Piala Dunia dalam bola sepak, Piala Thomas dalam badminton. Kita ada Olimpik. Kita ada Komanwel atau Sukan Asean.

Sekarang ada sukan siber yang kita tidak tahu bagaimana pergerakan (masa depannya) tetapi anak kita begitu giat terlibat. Malam-malam, kadang-kadang dia menjerit seorang diri. Kita ingat dia mengigau, rupa-rupanya bercakap dengan kawan dia yang sama-sama bermain PUBG.

Itu antara realiti baharu. Kalau kita ingat, itulah yang terbayang dalam filem seperti Matrix, dalam cerita seperti Avatar. Itulah dia.

Ketika kita makan malam, ketika kita sambut kenduri-kendara, ketika kita datang bertamu bersama sahabat-sahabat, anak-anak kita ada dunia mereka sendiri. Di Facebook, di WhatsApp dan sebagainya.

Itu adalah bayang-bayangan yang tergambar, yang mungkin kita tidak perasan tetapi itulah realiti baharu yang bukan kita tidak mahu ikut serta tetapi kita memang sudah ada dalamnya! Kalau kita tidak beradaptasi, kita akan tertinggal, kita akan dilupakan atau jadi orang yang tidak tahu apa-apa.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Masalah jantung terhenti, undang maut tiba-tiba walau sihat

JANTUNG terhenti (cardiac arrest) tidak sama dengan serangan jantung (heart attack). Jantung terhenti boleh dialami mereka yang aktif bersukan, sementara serangan pula akibat saluran darah tersumbat.

Insiden pemain bola sepak Denmark, Christian Eriksen rebah tiba-tiba dan tidak sedarkan diri kira-kira 15 minit di atas padang dalam Kejohanan Eropah 2020 pada Jun tahun lepas antara kejadian jantung terhenti yang paling mengejutkan.

Masalah jantung menyebabkan beberapa bintang sukan bersara awal, malah ada meninggal dunia, ketika masih muda.

Wartawan AFIX REDZUAN menyusun maklumat mengenai penyakit jantung terhenti dan serangan jantung yang menjadi punca utama kematian.

Jantung Terhenti
– gangguan sistem elektrik jantung
– tiada tanda amaran
– jantung tiba-tiba berhenti berdenyut, darah tidak dipam ke seluruh badan akibatnya, pesakit tiada denyutan nadi

Kesan jantung terhenti
– pesakit tidak sedarkan diri, tidak bernafas atau tercungap-cungap
– kematian berlaku dalam beberapa minit jika mangsa tidak menerima rawatan

Serangan Jantung
– gangguan aliran darah
– ada tanda-tanda awal
– darah ke jantung berkurangan atau tersekat akibat saluran arteri tersumbat tetapi masih berdegup
– pesakit ada denyutan nadi kecuali serangan menyebabkan jantung terhenti

Gejala serangan jantung
– serangan serta-merta
– sangat tidak selesa di dada atau bahagian atas badan
sesak nafas
– berpeluh sejuk
– loya atau muntah

*gejala boleh berlaku perlahan selama beberapa jam, hari atau minggu sebelum serangan jantung

Sumber:
1. ‘Cardiac Arrest vs Heart Attack’, portal cpr.heart.org
2. ‘Fahami Jantung Terhenti dan Serangan Jantung’, Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, 24 Oktober 2021

Categories
PENDAPAT RENCANA

Buta, namun cekap kilatkan rim dan tayar kenderaan

Oleh Nur Natasha Aida Ismail

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Alah bisa tegal biasa. Dia kurang upaya penglihatan, namun dek sudah biasa Muhammed Rosli Asamari mampu mengilatkan tayar dan rim kereta – tugas yang memerlukan deria penglihatan – dengan sempurna.

Malah kerana kemahirannya itu juga pemuda berusia 29 tahun ini kekal bekerja di pusat cuci kenderaan Mie Car Wash & Services di Taman Samudera, Gombak, Selangor, sejak 10 tahun lepas.

Perihal pekerja buta ini tular di laman media sosial selepas pelanggan yang berpuas hati dengan mutu kerjanya memuat naik klip video tentang hasil kerja Muhammed Rosli yang menurut mereka lebih baik berbanding sesetengah individu sempurna penglihatan.

Berkongsi kisah hidupnya dengan Bernama baru-baru ini, Muhammed Rosli berkata walaupun mempunyai anggota badan lain yang sempurna di samping masih mampu melihat secara terhad pada ketika itu, usahanya untuk mendapatkan pekerjaan sentiasa bertemu kegagalan.

Ditolak kerana status

“Saya ada kaki, tangan serta deria pendengaran dan rasa yang sempurna untuk bekerja, namun permohonan kerja saya tidak diterima,” ceritanya, menambah dia pernah memohon kerja di sebuah kedai serbaneka tetapi ditolak atas alasan dia buta.

Walaupun buta, tidak bermakna Muhammed Rosli Asamari tidak mampu melakukan kerja yang perlu menggunakan penglihatan. Foto Facebook Bernama

Muhammed Rosli dilahirkan sebagai pasangan kembar. Saudara kembarnya sempurna, namun dia dilahirkan buta mata kiri, sementara mata kanan pula berpenglihatan terhad. Bagaimanapun, sejak dua tahun lepas mata kanannya juga sudah buta sepenuhnya.

Bercerita lanjut, pemuda itu berkata sekalipun ditolak oleh kedai serbaneka berkenaan, dia tidak patah semangat dan kerana tidak mahu membebankan ibu bapa – Maina Sayadi, 62 dan Asamari Sainal, 69 – dia tetap memburu pekerjaan sehinggalah berjaya mendapat kerja di sebuah pusat cuci kenderaan.

“Bagaimanapun saya tidak lama bekerja di situ. Rakan sekerja mengambil kesempatan daripada kekurangan saya dengan meminjam wang daripada majikan menggunakan nama saya, menyebabkan gaji saya dipotong.

“Masuk bulan ketiga dan keempat bekerja, gaji saya terus berkurangan, kadang-kadang RM200 atau RM300 sahaja yang dapat. Bila tanya bos baru tahu apa sebenarnya yang berlaku. Memang kecewa sangat, kerja penat-penat tetapi diperlakukan begini,” katanya.

Majikan prihatin 

Muhammed Rosli berkata ibunya kemudian membantunya mencari pekerjaan lain.

“… dan Alhamdulillah, saya diterima bekerja di pusat mencuci kenderaan ini oleh majikan yang terbuka untuk terima pekerja seperti saya. Kini sudah cecah 10 tahun saya bekerja di sini,” katanya.

Muhammed Rosli Asamari sedang mengilatkan kenderaan pelanggan. Foto Facebook Bernama

Berkongsi pengalaman kerjanya, Muhammed Rosli mengakui dia mengambil masa yang agak lama untuk mahir, namun majikan serta rakan sekerja sentiasa membantu, sekali gus memudahkan dia untuk belajar dan menambah baik kemahiran.

“Awal-awal kerja saya kena meraba-raba bahagian tayar dan rim yang hendak dikilatkan… lebih kurang dua hingga tiga tahun juga sebelum saya dapat biasakan diri. Namun selepas itu saya semakin cekap. Kawan-kawan banyak tolong, mereka periksa semula kerja saya dan kalau ada yang salah mereka tolong betulkan.

“Bos pula memang bagi saya ruang untuk memahirkan diri. Pernah ketika bekerja saya terlanggar pelanggan, tapi kawan-kawan tolong jelaskan kepada pelanggan dan mereka biasanya faham,” ujarnya.

Anak bongsu daripada lima beradik itu tidak menghadiri sekolah pendidikan khas, sebaliknya belajar di Sekolah Kebangsaan Usaha Ehsan di Taman Samudera sebelum menyambung pendidikan di Sekolah Menengah Taman Sri Gombak hingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia.

Bercerita lanjut, pemuda itu berkata dia berasa sangat gembira setiap kali dapat menghulurkan belanja bulanan kepada ibu bapanya dan berkongsi mengurangkan beban mereka yang sudah semakin berusia.

Mengulas mengenai klip videonya yang tular dan mendapat lebih 170,000 tontonan berserta pelbagai komen positif netizen, Muhammed Rosli berkata dia menganggap kesemua itu sebagai penghargaan.

“Saya tidak terfikir pun pasal perkara-perkara begini, saya cuma fikirkan pasal kerja,” ujarnya ketika ditanya tentang perasaannya dipuji pelanggan atas hasil kerja yang kemas dan memuaskan.

Majikan perlu tolak diskriminasi OKU 

Sementara itu, pemilik Mie Car Wash & Services Suhaimi Abdullah, 50, berkata insan istimewa seperti Muhammed Rosli perlu diberi peluang bekerja agar mereka dapat menyara hidup seperti individu sempurna fizikal yang lain.

“Muhammed Rosli bukan pekerja OKU (Orang Kurang Upaya) pertama yang saya gajikan, sebelum ini saya juga ada pekerja OKU berbangsa India yang cacat kaki,” katanya.

Jelasnya, beliau juga sedar Muhammed Rosli perlukan masa untuk memahirkan diri kerana tugas itu sepatutnya dilakukan oleh mereka yang sempurna penglihatan.

“(Jika tidak) Bagaimana untuk dia pastikan dia sudah betul-betul kilatkan dan bersihkan tayar kenderaan pelanggan? Kerana itulah saya bagi dia masa, tidak kira berapa lama yang dia perlukan untuk dia mahir. Inilah yang majikan kena faham dan beri peluang kerana jika tidak, mereka (OKU) akan terus dianggap tidak boleh bekerja.

“Muhammed Rosli pekerja yang baik, tidak pernah timbulkan masalah… melihat pada kesungguhannya, saya tidak ada masalah untuk gajikan pekerja OKU lain pada masa akan datang,” kata Suhaimi yang turut menggesa majikan lain agar membuka peluang kepada OKU untuk berdikari.

“… bantulah golongan ini dengan beri peluang yang luas untuk mereka bekerja mencari rezeki dan berdikari. Berilah mereka kerja mengikut kemampuan mereka, itulah cara kita tolong golongan OKU ini,” katanya.

Sementara itu, pelanggan tetap pusat cuci kenderaan tersebut Wahidin Abdullah, 35, berkata pada mulaya dia tidak tahu Muhammed Rosli seorang OKU penglihatan.

“Saya perhatikan dia buat kerja, memang cekap dan teliti. Satu bahagian demi satu bahagian dia sentuh untuk pastikan bersih sepenuhnya.

“Walaupun dia berjalan dalam keadaan meraba-raba kereta dan dinding, dia kelihatan selesa ketika bekerja. Selepas itu baru saya tahu dia buta, tetapi bila tengok hasil kerjanya memang sangat puas hati,” kata Wahidin.

Abang jadi tulang belakang 

Tugas menghantar dan menjemput Muhammed Rosli dilakukan oleh abangnya Rofi Arisandi, 37.

“(Hantar dia) Pergi (kerja) 8.30 pagi, kemudian saya terus masuk kerja dan bila balik kerja pada 8 malam, saya akan singgah di tempat kerja dia untuk jemput dia,” katanya.

Menurutnya, menjadi tugas dia dan kembar Muhammed Rosli membantu adik mereka itu apabila dia berada di luar, khususnya di tempat yang dia tidak biasa.

Muhammed Rosli Asamari sedang tekun bekerja di sebuah pusat cuci kenderaan di Gombak. Foto Facebook Bernama

Rofi berkata dia juga berbangga melihat adiknya mampu berdikari dan menyara diri sendiri.

“Harapan saya sebagai abang, walaupun dia macam ini, saya harap sangat dia tidak cepat putus asa. Kekurangan bukan penghalang untuk berusaha lebih. Kalau ada rezeki lebih ingat orang tua yang penting solat dan doa,” katanya.

Beri peluang pekerja OKU 

Sementara itu, Presiden Persatuan OKU Sentral yang juga Ahli Dewan Negara mewakili OKU, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berharap majikan, baik sektor awam mahupun swasta, terus memberi peluang kepada golongan OKU untuk bekerja selain menyediakan infrastruktur mesra golongan tersebut.

“Beri kami peluang agar dapat berdikari dan bersama-sama menjana ekonomi negara… kami akan bekerja 100 hingga 200 kali ganda lebih kuat berbanding orang bukan OKU kerana kami mempunyai semangat juang yang tinggi dan rajin. Namun begitu, peluang mestilah diberikan kepada kami.

“Berikanlah kami peluang, anda tidak tahu keupayaan kami sehinggalah kami bersama kalian,” ujar beliau.

Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkata berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan 15 peratus daripada populasi sesebuah negara adalah OKU.

Katanya ini bermakna di Malaysia terdapat lebih kurang 4.9 juta OKU, namun yang berdaftar hanya sekitar 600,000 orang.

Tambahnya, di Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat Latihan Kesaksamaan Kecacatan (DET) yang boleh diikuti oleh OKU dan bukan OKU, bertujuan meningkatkan kesedaran tentang golongan kurang upaya.

“Sebenarnya yang kurang upaya bukan kami, sebaliknya ketidakupayaan di sekeliling kami seperti persepsi dan stigma masyarakat, kemudahan. Sebagai contoh, hari ini laluan yang biasa digunakan sahabat saya yang buta tiada lubang, esoknya tiba-tiba ada lubang sehingga dia terjatuh dan hilang beberapa hari tidak ditemukan.

“Ada juga dalam kalangan sahabat saya yang dibuli oleh rakan sekerja, (dia) minta tolong (rakan sekerja) keluarkan duit (daripada ATM) kerana dia kerdil, tetapi duit tidak diberikan dengan alasan duitnya tiada, sedangkan duit itu telahpun diambil (rakan sekerja),” katanya.

Ras Adiba juga berterima kepada majikan yang berfikiran terbuka dan menggaji golongan OKU seperti Muhammed Rosli dan berharap lebih ramai lagi majikan dapat tampil memberikan pekerjaan bersesuaian dengan kemampuan, pendidikan serta pengalaman OKU yang berkenaan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Tahun Baharu Cina: Meraikan Harimau Malaya di ‘Lorong Hantu Kecil’

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 20 JAN: ‘Kwai Chai Hong’ dalam bahasa Kantonis pasar bermaksud ‘Lorong Hantu Kecil’ tetapi lorong yang ada di hadapan saya sedikit pun tidak menimbulkan rasa seram, malah, suasana sekeliling begitu cantik, sejuk mata memandang.

Sebenarnya saya pernah menelusuri lorong sepanjang kira-kira 36 meter itu tidak lama dahulu dan sudah tentu saya begitu terpegun tatkala kaki melangkah menghampiri lokasi berkenaan baru-baru ini.

Terletak antara Lorong Panggung dan Jalan Petaling, di kota metropolitan Kuala Lumpur, lorong ini semakin menjadi tarikan ramai menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang akan diraikan pada 1 dan 2 Februari 2022.

Tahun Baru Cina 2022 adalah Tahun Harimau, (haiwan ke3 dalam kitaran 12 haiwan dalam Zodiak Cina), dan tentunya arca Keluarga Harimau Malaya yang dibina di bahagian tengah lorong menambat hati sesiapa sahaja yang melewati lorong ini.

Keluarga Harimau Malaya yang terdiri daripada si bapa sedang menggonggong si anak dengan diperhatikan oleh si ibu, secara simboliknya memaparkan rasa kasih sayang, harapan, perlindungan serta bantuan, menghidupkan lagi suasana meriah menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

Ada satu lagi tarikan di lorong ini iaitu jambatan kayu berwarna merah dengan hiasan gantungan tanglung berwarna warni serta potongan fabrik merah dan putih mengikut seni tradisional kuno Cina seakan memayungi arca Keluarga Harimau Malaya itu.

Kwai Chai Hong’ dalam bahasa Kantonis pasar bermaksud ‘Lorong Hantu Kecil’ menjadi tarikan ramai menjelang sambutan Tahun Baharu Cina. Foto Facebook Kwai Chai Hong

Bertemakan ‘Live Wild and Prosper’, arca Keluarga Harimau Malaya hasil rekaan artis tempatan, Alice Chang dan seni fabrik ‘Stretch Out’ oleh DJ Muzik, Fadzil Huzaire atau lebih dikenali sebagai Odd ini, dipamerkan setiap hari, bermula 14 Januari sehingga 20 Februari depan.

Waktu pameran adalah dari pukul 9:00 pagi hingga 10 malam, setiap hari dan masuk adalah percuma. Pemilik projek Kwai Chai Hong adalah Bai Chuan Management Sdn Bhd.

Menurut Pengarah Urusan syarikat ini, Zeen Chang, projek berkenaan mahu memberi kesedaran kepada masyarakat di negara ini akan kepentingan menyelamatkan Harimau Malaya yang semakin pupus.

“Sebagai menyokong usaha pemuliharaan Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF)-Malaysia, arca Harimau Malaya ini akan dijual dengan harga minimum tawaran bermula RM18,000. Hasil jualan ini sepenuhnya akan disumbangkan untuk membantu menyelamatkan spesies Harimau Malaya yang hampir pupus ini.

“Selain itu, kami akan terus menggalakkan orang terutama generasi muda untuk datang ke ‘Kwai Chai Hong’ untuk melihat sendiri usaha menghidupkan semula kegemilangan seni serta warisan Cina, ” Zeen Chang memberitahu Bernama ketika diwawancara selepas pelancaran pameran seni bertemakan ‘Live Wild & Prosper’ di Kwai Chai Hong pada 13 Januari lepas.

Kempen ‘selamatkan Harimau Malaya’

Menurut Zeen Chang, populasi Harimau Malaya dilaporkan kurang daripada 200 ekor dan sering menjadi mangsa pemburu haram dan aktiviti penggondolan hutan yang menyebabkan kemusnahan kepada habitat haiwan itu.

“Boleh dikatakan kita bernasib baik kerana Malaysia adalah salah sebuah daripada beberapa buah negara sahaja di Asia Tenggara yang masih mempunyai Harimau Malaya tetapi spesies ini semakin pupus. Setiap bahagian harimau ini dijual dan haiwan ini dibunuh oleh mereka yang mahu membuat keuntungan.

“Seruan kami untuk selamatkan Harimau Malaya ini bukan perkara baru tetapi inilah kenyataannya dan keadaan semakin meruncing, ” kata beliau, sambil menambah, projek pemasangan sei itu diharap dapat mengumpul dana sehingga sebanyak RM38,000 bagi menampung usaha pemuliharaan.

Harimau Malaya atau Harimau Belang merupakan hidupan liar yang terancam dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716]. Tiga (3) kawasan habitat utama harimau di Malaysia iaitu di Kompleks Taman Negara, Endau-Rompin dan Belum-Temengor.

Kerjasama dengan artis tempatan 

Projek Kwai Chai Hong mendapat gandingan kerjasama dengan ramai artis tempatan dan bagi Zeen Chang, pihaknya amat bangga dengan peluang kerjasama itu.

“Golongan artis turut berkongsi minat mendalam kami untuk mengekalkan warisan serta budaya zaman silam sejak projek ini dilancarkan pada tahun 2019.

“Melaksanakan projek ini adalah satu cabaran untuk kami semua daripada peringkat perancangan sehingga pelaksanaan, semuanya perlu dibuat dengan cepat tetapi masing-masing komited untuk menjadikannya satu kenyataan dan melihat impak positif projek ini, ” katanya.

Zeen Chang menambah, pihaknya berharap dapat menggunakan platform berkenaan untuk mengalu-alukan lebih ramai artis daripada berbilang kaum serta latar belakang untuk bekerjasama dan memaparkan hasil seni mereka … Warisan serta kebudayaan Cina bukan sahaja untuk orang Cina tetapi untuk semua rakyat Malaysia.

Projek Kwai Chai Hong, katanya lagi, bukan sahaja menjadi pusat tumpuan artis, jurugambar dan ‘Instagrammers’ tetapi juga tarikan pelancong.

Arca Keluarga Harimau Malaya yang dibina di bahagian tengah lorong menambat hati sesiapa sahaja yang melewati lorong ini. Foto Facebook Kwai Chai Hong

“Justeru usaha untuk mengekalkan kewujudan serta sejarah tempat ini telah berjaya dan kami akan meneruskan usaha ini dengan lebih banyak perayaan serta sejarah untuk orang ramai menikmatinya pada masa hadapan, ” katanya.

Inspirasi ciptaan 

Sementara itu, artis Alice Chang memberitahu Bernama, arca keluarga Harimau Malaya yang dihasilkan itu juga sebagai tanda peringatan bahawa di sebalik kegagahan haiwan itu, tanpa penjagaan dan perlindungan, haiwan itu juga diancam kepupusan.

“Keadaan ini memberi inspirasi kepada saya untuk menghasilkan keluarga harimau tiga beranak ini dengan si bapa harimau menggonggong anaknya sementara si ibu harimau secara santai memerhatikan, ” kata beliau yang juga pemilik Lai Lai Art Studio.

Berkongsi pengalaman membuat arca harimau, Chang berkata beliau mengambil masa sekitar tiga bulan untuk menyiapkan arca berkenaan, daripada menyediakan reka bentuk sehingga kepada pemasangannya.

“Bila sebut Tahun Harimau, fokus saya terus kepada ‘Selamatkan Harimau Malaya’, dan saya berkongsi perkara ini dengan pasukan kami (Bai Chuan), kami bincang bagaimana mahu menjadikannya projek yang lebih berkesan dan menyebarkan kesedaran tentang haiwan liar yang hampir pupus ini.

“Selepas berbincang, saya mulakan kerja membuat arca harimau itu menggunakan wayar, simen dan cat di studio saya. Semuanya ini mengambi masa hampir dua bulan dari Oktober hingga penghujung Disember 2021, ” katanya.

Menurut beliau lagi, perkara paling mencabar dalam membuat arca 3D keluarga harimau ini ialah membuat frame anak harimau secara terbalik ketika anak ini digonggong si bapa harimau.

“Saya mendapat bantuan dua rakan kerja saya untuk membantu membalikkan rangka ini dan menyiapkan arca anak harimau ini.

“Rakan sepasukan juga membantu membawa Keluarga Harimau Malaya ini ke Kwai Chai Hong untuk pameran ini, ” katanya, sambil melahirkan harapan Keluarga Harimau Malaya secara simboliknya akan membawa kesihatan yang baik, daya tahan, kegembiraan dan ikatan kekeluargaan yang erat untuk semua.

Hasil seni ‘stretch out’ 

Arca Keluarga Harimau di Kwai Chai Hong dilengkapkan dengan hasil seni Odd (Fadzil Huzaire) yang memaparkan keindahan seni potongan kertas purba Cina, menggunakan potongan fabrik, Stretch Fabric.

Menurut Odd, apa yang cuba disampaikannya ialah supaya semua orang daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berkunjung ke Kwai Chai Hong untuk berkongsi, belajar dan meraikan kebudayaan Cina.

“Mempamerkan hasil karya saya di lorong ini membolehkan saya berinteraksi dengan struktur yang ada, serta pepohon dan kawasan di sini. Saya suka mencampurkan teknik lama dan baharu – ukiran kertas kuno Cina di atas fabrik yang diregangkan.

“Saya bangga dapat bekerjasama dengan Bai Chuan dan menyumbang kepada industri seni tempatan, terutamanya untuk mempamerkan warisan kita yang unggul serta Keluarga Malaysia dengan pelbagai budaya sewaktu sambutan Tahun Baru Cina.

“Saya tak ada masalah belajar kemahiran tradisional ini yang berbeza daripada kraftangan Cina. Belajar kemahiran baharu dan mencari jalan untuk mengetengahkan seni yang semakin dilupakan ini dengan cara yang kreatif,” katanya.

Seni memotong kertas Cina dikesan dari Dinasti Han (206BC-220AD). Dengan corak buatan tangan yang rumit, hasil seni ini pada asalnya digunakan semasa sambutan perayaan untuk menghias pagar dan tingkap. Potongan yang rumit ini simbol kepada keberuntungan dan kebahagian.

Pada tahun 2009, seni potongan kertas Cina ini dimasukkan dalam senarai kraf rakyat Warisan Kebudayaan Tidak Ketara, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Nanas MD2 tawar pendapatan hingga RM80,000 seekar – usahawan tani

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Berpotensi menghasilkan pendapatan hingga RM80,000 bagi setiap ekar (0.4 hektar), perladangan nanas MD2 sememangnya berbaloi diteroka, dan Hasnul Amri Jamaluddin dari Johol, Negeri Sembilan antara yang sanggup meninggalkan kerjaya berpejabat dan menceburi bidang itu.

Hasnul Amri, 27, menukar kawasan bertanah mineral di lereng bukit seluas lapan ekar miliknya kepada ladang nanas MD2 yang dijangka mengeluarkan hasil pertama pada Mei ini.

Menurut usahawan muda itu, selain pulangan lumayan, tanaman nanas juga tidak banyak “kerenah” dan buah pula boleh menghasilkan pelbagai produk lain seperti jus yang semakin popular dalam kalangan masyarakat.

Potensi pasaran buah nanas segar juga besar di negara ini dan tidak putus, katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Minat perniagaan tani 

Hasnul Amri berkata sebelum menjadi usahawan tani, beliau adalah penyelidik di Kementerian Kesihatan selepas menamatkan pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia pada 2018.

“… namun hati saya sebenarnya lebih meminati bidang perniagaan dan pertanian. Maka saya ambil keputusan menceburi bidang pertanian nanas,” katanya, menambah usaha beliau dibantu oleh bapa saudaranya.

Bagaimanapun katanya, sebelum membuka ladang nanas tersebut, beliau terlebih dahulu mempelajari ilmu tentang pertanian dan juga tanaman berkenaan.

Menurutnya, beliau memperoleh 24,000 benih nanas daripada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan memulakan penanaman fasa pertama pada Mac 2021, membabitkan 13,000 pokok berbekalkan modal RM45,000 bagi setiap ekar.

“Pokok nanas mencapai tempoh matang pada usia sembilan bulan, iaitu tempoh sesuai untuk menjalankan aktiviti aruhan pendebungaan.

“Proses ini dijalankan secara berperingkat bagi mengawal jadual pengeluaran hasil. Secara keseluruhan, tanaman nanas boleh dituai hasil dalam tempoh 14 bulan selepas penanaman,” katanya yang merancang memperluas ladang hingga 100,000 pokok dalam masa terdekat.

Berinovasi 

Sementara menunggu hasil ladang sendiri, Hasnul Amri tidak berpeluk tubuh, sebaliknya mengusahakan kilang jus nanas yang beroperasi di Shah Alam, Selangor.

Menurutnya, beliau mendapatkan bekalan nanas berkualiti tinggi daripada pengusaha ladang nanas lain yang menyaksikan jus jenama Johol Pine mula dipasarkan secara dalam talian pada penghujung Jun tahun lepas.

“Hingga kini kami berjaya menjual kira-kira 8,000 botol jus segar dengan pendapatan keseluruhan sekitar RM24,000,” katanya, menambah beliau hanya menggunakan buah premium AA, iaitu dengan berat dua kilogram ke atas.

Menurutnya, pemilihan buah juga harus dilakukan secara berhati-hati bagi mengekalkan kesegaran jus dan rasa manis buah asli.

“Saya tidak menggunakan sebarang perisa tambahan apatah lagi perisa tiruan dalam jus ini,” katanya, menambah beliau bercadang untuk mengeluarkan produk sambal hitam nanas dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, Hasnul Amri yang berdaftar sebagai usahawan nanas dengan LPNM, menasihati mereka yang berminat menceburi bidang itu agar mematuhi kaedah penanaman mengikut teknologi yang disyorkan oleh LPNM, bagi memastikan penghasilan buah berkualiti dan mengikut tempoh yang sewajarnya.

Terus hulur bantuan 

Sementara itu, Pengarah LPNM Negeri Sembilan dan Melaka Siti Hajar Ramlee berkata terdapat pelbagai bantuan yang disediakan untuk pengusaha nanas mengikut program yang ditetapkan oleh lembaga itu.

Antaranya ialah Program Pengukuhan Tanaman Nanas Bernilai Tinggi yang menyalurkan bantuan berupa 42,000 sulur nanas – mencukupi untuk sehektar, serta bantuan input pertanian berupa baja sebatian nitrogen, fosforus dan kalium (NPK) mengikut keluasan ladang.

“Syarat permohonan pula ialah peserta mestilah warganegara Malaysia dan tanaman nanas yang dimiliki ialah secara tunggal, mempunyai pemilikan tanah yang sah serta keluasan minimum adalah seekar,” jelasnya.

Bagi peserta Program Integrasi Tanaman pula, mereka akan menerima bantuan berupa 8,000 hingga 10,000 sulur nanas setiap ekar, manakala untuk peserta Program Agropreneur Muda, bantuan geran akan diberikan dalam bentuk barangan (dengan nilai maksimum RM20,000 setiap individu).

“Syarat permohonan untuk program ini ialah individu berumur 18 hingga 40 tahun dan baru memulakan projek tanaman. Mereka juga wajib mengikuti latihan teknikal yang dianjurkan oleh jabatan/agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan atau yang diiktiraf kementerian,” jelasnya.

Menurut Siti Hajar, LPNM sentiasa mengadakan kursus secara teori dan juga amali kepada pengusaha dan maklumat lanjut boleh didapati daripada laman sesawang LPNM (www.mpib.gov.my) atau media sosial rasmi Facebook LPNM.

Potensi industri 

Berkongsi mengenai potensi industri nanas untuk pasaran di dalam dan luar negara, Siti Hajar berkata pasaran dalam negara mempunyai ruang untuk berkembang dengan lebih luas kerana kekurangan saingan dari luar negara.

“Untuk pasaran luar negara, permintaan nanas segar daripada negara China sahaja sebanyak 100 kontena sebulan. Industri nanas juga telah menguasai beberapa pasaran utama seperti di negara Timur Tengah, Singapura dan Jepun, selain penerokaan pasaran baharu seperti di Eropah yang akan membantu meningkatkan lagi kecemerlangan industri nanas Malaysia.

“Ini kerana pelbagai produk dapat dihasilkan daripada sebiji nanas. Antaranya ialah produk berasaskan makanan seperti kerepek nanas, sos nanas, kopi nanas, jus/minuman, jem dan tart nanas, manakala produk bukan makanan adalah seperti kertas, silaj, kosmetik dan benang serat nanas.

“Perlu kita tahu buah nanas penuh dengan khasiat seperti vitamin C, B, dan enzim bromelin. Nanas MD2 pula memiliki lebih kemanisan, pulpanya lebih manis, kurang serat dan mengandungi empat kali lebih banyak vitamin C daripada nanas jenis lain. Sebab itu kita jangkakan industri nanas, terutamanya MD2, mempunyai potensi besar dan perlu terus diteroka dari semasa ke semasa,” ujarnya.

– BERNAMA