Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

EXCO: Aplikasi parkir digital mudahkan pengguna, tidak terikat sempadan PBT

Hampir dua juta pengguna memuat naik aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) sekali gus menunjukkan pelaksanaan e-kupon SSP yang dibangunkan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) mendapat sambutan.

Mulai April sistem e-kupon dikuat kuasa melibatkan 10 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) menggantikan kaedah kupon parkir bergores.

Wartawan Selangorkini ALANG BENDAHARA, SHEEDA FATHIL dan PAN LI TING serta jurugambar MOHAMAD RAHEEMIE ARIFIN mendapatkan penjelasan EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berhubung aplikasi itu pada 11 Februari lalu.

Sejak Kerajaan Negeri mengumumkan pelaksanaan sistem e-kupon, berapa ramai pengguna memuat naik aplikasi sistem ini?

Setakat semalam (10 Februari) seramai 1.89 juta pengguna memuat naik aplikasi Smart Selangor Parking (SSP). Ini bermakna kita akan mencapai dua juta pengguna tidak lama lagi. Saya yakin SSP merupakan aplikasi (parkir) nombor satu di Malaysia, paling ramai pengguna setakat ini. Peningkatan ini menunjukkan sambutan orang ramai terhadap SSP amat menggalakkan dan sangat baik.

Adakah ada rungutan memandangkan tinggal satu bulan setengah lagi untuk pelaksanaan penuh sistem parkir digital ini?

Sambutan amat menggalakkan, hanya terdapat segelintir pihak sahaja mengadu mengalami kesukaran mengguna aplikasi ini. Mereka mungkin kurang faham tetapi kita sudah menjelaskan bayaran parkir secara digital lebih mudah dan menjimatkan masa terutama bagi warga emas, individu yang tiada telefon pintar atau mereka dari luar Selangor.

Bagi mereka yang tiada telefon pintar boleh dapatkan e-kupon menerusi e-ejen berhampiran. Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SSDU bercadang untuk melaksanakan kempen kesedaran bagi menggalakkan lebih ramai memuat turun aplikasi SSP dalam masa terdekat.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han menunjukkan aplikasi Smart Selangor Parking ketika temu bual bersama Selangorkini di Bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam pada 11 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI

Mengapa Kerajaan Negeri memberi tempoh hingga hujung Mac untuk orang ramai terus menggunakan kupon bergores?

Sebenarnya penggunaan kupon parkir bergores sudah berakhir 31 Disember 2021 tetapi disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai belum sempat habiskan kupon mereka. Justeru, kita ambil keputusan untuk melanjutkan sehingga hujung Mac.

Sekiranya Mac ini mereka belum sempat habiskan kupon kertas itu, Kerajaan Negeri dan SSDU akan memikirkan alternatif untuk tukar ke dalam bentuk kredit dalam SSP. Kaedah ini akan diumum kemudian sebab masih dalam kajian. Kita juga mungkin akan menyediakan kaunter penukaran dalam tempoh sebulan lagi.

Bagaimanakah mekanisme pelaksanaan sistem parkir digital ini di kawasan luar bandar seperti Sabak Bernam dan Hulu Selangor?

Buat masa ini, di Sabak Bernam dan Hulu Selangor belum diwujudkan sistem parkir digital. Dua kawasan ini parkirnya masih percuma. Kita bercadang akan melaksanakan sistem parkir digital di dua daerah ini pada masa akan datang.

Setakat ini, hanya 10 PBT sahaja mengguna pakai SSP iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang.

Boleh terangkan manfaat pelaksanaan e-kupon SSP. Apakah kebaikan penggunaannya melalui aplikasi ini?

Banyak manfaat (diperoleh) sejak melaksanakan sistem parkir digital antaranya menjimatkan penggunaan kertas, jimat masa, mudah dan lebih cepat. Sejak wujudnya aplikasi ini, kita menjimatkan penggunaan kertas sebanyak 981,159 kilogram (kg) iaitu mencecah hampir 1,000 tan kertas.

Kebaikan kepada pengguna pula ia memudahkan mereka. Tidak perlu lagi bersusah payah mencari kupon parkir kertas. Sebagai contoh, kupon parkir kertas perlu mengikut PBT, sekiranya seseorang itu tinggal di Sepang dan bekerja di Ampang Jaya, banyak kupon parkir mereka perlu beli mengikut di kawasan PBT di lokasi mereka berada.

Bagaimanakan bentuk dan pelaksanaan penguatkuasaan PBT di kawasan yang menggunakan sistem e-kupon?

Penguatkuasaan jadi lebih mudah. Penguat kuasa pun ada aplikasi sendiri. Mereka imbas nombor plat kenderaan untuk ketahui sama ada individu itu sudah bayar caj parkir secara digital atau tidak. Cara ini lebih mudah. Sekiranya tiada sistem ini individu itu perlu keluar daripada kenderaan dan membeli kupon kertas, mungkin dalam tempoh keluar mahu beli kupon kertas mereka boleh disaman. Sekiranya melalui digital, ia dapat dibayar secara terus. Penggunaan e-kupon juga menjimatkan kos tenaga kerja.

Berapa unjuran hasil atau pendapatan yang diperoleh melalui sistem e-kupon?

Jumlah terkini belum lagi diterima tetapi jika dibandingkan dua tiga tahun sebelum kita melaksanakan SSP, maklum balas daripada PBT sangat positif. Berdasarkan kajian kira-kira 30 hingga 50 peratus peningkatan pengguna bayar (caj) parkir, sebelum ini orang bukan tidak mahu bayar tetapi kaedah lama menyukarkan seperti adakalanya mesin rosak, tiket tidak keluar atau susah mahu membeli kupon mengikut PBT.

Apabila adanya sistem parkir digital, pengurusan parkir jauh lebih mudah. PBT tidak perlu melantik mana-mana syarikat kontraktor untuk menjaga penyelenggaraan mesin kerana ia melibatkan kos yang tinggi. PBT hanya perlu memastikan semua petak parkir dicat sekurang-kurangnya setahun dua kali. Aplikasi pula diselenggara SSDU.

Adakah sistem ini meningkatkan kesedaran orang ramai untuk membayar caj parkir manakala kadar saman atau kompaun dapat dikurangkan?

Kadar saman kompaun masih sama, bergantung kepada tawaran dibuat PBT. Menariknya, orang ramai boleh membayar kompaun menerusi aplikasi SSP.

Pengawai Penyelaras Projek Smart Selangor Syaridan Abu Samah (kiri) bersama Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Smart Selangor Fazuin Mohd Yusoff menunjukkan aplikasi Smart Selangor Parking pada Majlis Pelancaran Pemakluman Penggunaan e-kupon Menerusi Aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) Menggantikan Kupon Parking Kertas Bermula 3 Januari 2022 di Auditorium Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 18 Disember 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Boleh jelaskan mekanisme ejen e-kupon untuk orang ramai membuat bayaran parkir? Berapa banyak ejen dilantik dan lokasinya?

Kerajaan Negeri turut mempelawa lebih ramai menjadi e-ejen. Setakat ini, 80 permohonan menjadi e-ejen sudah dilulus manakala 25 lagi masih dalam proses permohonan. Mereka yang berminat boleh memohon menerusi aplikasi SSP, komisyen turut disediakan. Kerajaan negeri merancang memperluas ejen e-kupon di kedai serbaneka di seluruh Selangor.

Apa perancangan Kerajaan Negeri berkaitan sistem parkir pada masa akan datang?

Kerajaan Negeri merancang untuk melaksanakan kawasan parkir terhad atau sistem parkir dua jam di kawasan tumpuan atau komersial. Dengan kaedah ini, kita dapat memberi kesaksamaan kepada semua. Sebagai contoh, di kawasan tumpuan tempat parkir dipenuhi dengan kenderaan pekerja berhampiran kawasan terbabit sehingga sukar untuk pengguna lain.

Justeru, kita bercadang untuk PBT menentukan lot parkir yang sesuai seperti di bank atau restoran popular. Bukan semua lot dihadkan, mungkin hanya beberapa lot sahaja. Ini bukan kaedah baharu, banyak negara luar sudah melaksanakannya. Di Malaysia ada di Kuala Lumpur. Selangor bakal laksana tidak lama lagi.

Apakah data raya (big data) diperoleh Kerajaan Negeri daripada pelaksanaan SSP?

Kita dapat kesan di mana tempat yang menjadi tumpuan. Daripada data itu, kita mungkin boleh merancang untuk membina tempat parkir bertingkat atau pelbagai kemudahan.

Mengenai isu banjir pula, bagaimana proses pembersihan pasca banjir yang dilaksanakan setakat ini. Sejauh mana kelancaran fasa dua pembersihan?

Pembersihan fasa pertama semuanya sudah selesai. Kini masuk fasa kedua. Sebagai contoh di kawasan Taman Sri Muda aduan agak tinggi kerana kawasan itu paling terjejas teruk. Justeru, Kerajaan Negeri melalui KDEB Waste Management (KDEBWM) dan PBT mengadakan pelbagai program termasuk gotong-royong besar-besaran di kawasan terjejas di Taman Sri Muda dan seluruh Selangor. Sekarang tempoh pembersihan fasa kedua, kita jangka selesai hujung Mac ini.

Boleh kongsi data proses pembersihan fasa satu dan dua melibatkan PBT dan KEDBWM? Berapakah kos yang dibelanjakan?

Kos pembersihan disediakan Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM20 juta untuk fasa satu dan dua. Namun, kita belum tahu berapa banyak sudah dibelanjakan setakat ini, kemungkinan hampir RM20 juta sudah digunakan termasuk yang akan diberikan kepada KDEBWM, PBT dan Worldwide Holdings.

Kita bayar juga kepada Worldwide Holdings kerana sejak pembersihan banjir mereka terpaksa mewujudkan satu kawasan khas di Jeram untuk meletakkan sisa sampah banjir sahaja.

Sejauh mana proses pembersihan longkang tersumbat untuk elak kejadian banjir masa akan datang?

Proses pembersihan longkang masih diteruskan meskipun selesai operasi pembersihan banjir fasa kedua nanti. Kerajaan Negeri rancang untuk menangani isu banjir dengan memperluaskan longkang dan tinggikan ban. Ini melibatkan banyak agensi dan perbelanjaan yang besar.

Adakah pembersihan banjir ini menganggu kutipan sampah harian di kawasan tidak terjejas?

Perkara ini cabaran besar buat KDEBWM untuk memastikan kutipan sampah tidak terganggu tetapi mereka dapat melaksanakan sebaik-baiknya. Kutipan sampah normal di kawasan tidak terjejas di seluruh
Selangor dapat dijalankan seperti biasa, aduan ada cuma tidak banyak. Ini bermakna kita berjaya menangani masalah pembersihan banjir dan pada masa sama dapat menjalankan tugas kutipan harian seperti biasa.

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pakar: Awasi trend jelik media sosial, elak terpengaruh

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Bermula sebagai jaringan sosial, media sosial kini menjadi sebahagian daripada norma kehidupan masyarakat, baik untuk kegiatan sosial mahupun ekonomi.

Malaysia antara negara yang rakyatnya paling ramai menggunakan medium itu, dan menurut Digital Business Lab.com, setakat Januari 2021, kira-kira 86 peratus rakyat di negara ini menggunakan media sosial, iaitu peningkatan 24 peratus berbanding 2016.

Bukan itu sahaja, penyedia data pasaran dan pengguna Statista pula menunjukkan rakyat Malaysia menghabiskan masa secara purata tiga jam sehari melayari media sosial.

Malah, sikap proaktif netizen Malaysia khususnya dalam mempertahankan kedaulatan negara turut mendapat perhatian dunia, antaranya bersatu melakukan “serangan” ke atas media sosial milik pihak tertentu seperti yang dialami oleh netizen Israel tahun lepas, yang mana rangkap kata “koyak to you too” menjadi sohor kini.

Begitu juga “serangan” netizen Malaysia terhadap sebuah laman sosial pro-Israel pada 2019 sehingga menyebabkan akaun yang mempunyai kira-kira sejuta pengikut itu ditutup.

Sisi gelap media sosial

Namun, di sebalik apa yang digelar sebagai “kuasa membawang netizen Malaysia” itu, media sosial juga mempunyai sisi gelap yang tidak kurang hebatnya dalam mempengaruhi pengguna platform berkenaan, khususnya golongan muda dan remaja.

Taksub dengan budaya “suka” atau “Like” selain ingin mempunyai “follower” yang ramai, pemilik akaun media sosial dilihat tidak teragak-agak mencetuskan trend yang boleh membahayakan kesihatan fizikal dan mental yang kemudian tular dengan pantas dan menjadi ikutan ramai.

Lebih merisaukan, golongan yang mudah terjebak dengan trend begini adalah anak muda dan remaja, yang mana menurut pakar berpunca daripada keinginan mereka untuk diterima oleh rakan sebaya.

Paparan skrin menujukkan antara aplikasi media sosial popular yang digunakan oleh rakyat Malaysia. Foto ARKIB SELANGORKINI

“Berdasarkan perspektif psikologi perkembangan manusia, peringkat remaja dan belia adalah satu tempoh kritikal, yang mana mereka mempunyai keinginan yang kuat untuk diterima dalam kelompok sosial termasuk rakan sebaya,” jelas pakar psikologi Dr Salina Nen kepada Bernama.

Menurut pensyarah kanan di Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia itu, jika remaja disajikan dengan pelbagai trend popular yang walaupun jelas tidak sihat untuk perkembangan mental dan fizikal, kemungkinan besar mereka akan terpengaruh.

“Disebabkan trend itu popular dan ramai yang melakukannya sekalipun jelas bertentangan dengan norma ketimuran, maka mereka juga ingin menjadi sebahagian daripada trend tersebut,” kata Dr Salina, menambah perkara berkenaan mudah dibuktikan, iaitu hanya dengan memantau “trending” atau sohor kini.

Menurutnya lagi, kebanyakan belia dan remaja menganggap jumlah tanda “suka” yang diterima pada hantaran media sosial masing-masing sebagai amat penting kerana hal itu adalah simbolik penerimaan dan pengiktirafan kelompok sosial mereka.

Cenderung menjadi ekstrem

Jelas beliau, sebelum wujudnya Internet, pembentukan identiti remaja dan belia adalah berdasarkan interaksi dengan dunia sebenar serta daripada pergaulan dengan ahli keluarga, rakan serta pihak berkuasa.

Namun kewujudan Internet dan media sosial menyebabkan pembentukan jati diri golongan itu turut dipengaruhi oleh masyarakat luar yang mempunyai latar belakang berbeza, katanya.

Dr Salina memetik kajian barat bertajuk The cyber effect: A Pioneering Cyber Psychologist Explains How Human Behavior Changes Online pada 2016 yang mendapati tingkah laku individu cenderung menjadi lebih ekstrem di media sosial berbanding ketika di dunia realiti.

“Media sosial adalah lapangan baharu untuk remaja bereksperimen, belajar, bersosial dan mengambil risiko. Sifat alam siber yang pelbagai, malah cenderung bertentangan dengan norma masyarakat sudah pasti akan sedikit-sebanyak memberi pengaruh kepada pembentukan identiti remaja,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sifat ruang siber yang merentas sempadan, kelompangan autoriti selain membolehkan pengguna melindungi identiti diri, memberi ruang kepada kelakuan ekstrem.

“Kriteria ruang siber boleh menyebabkan seseorang boleh bertindak secara impulsif tanpa memikirkan kesan dan akibatnya. Situasi ini boleh mewujudkan sikap agresif dan tingkah laku berisiko yang lain,” ulas beliau.

Dr Salina memberi contoh trend tular “choking game” yang boleh mengundang maut jika tersalah langkah, namun kerana ingin “menjadi sebahagian daripada mereka yang popular”, golongan terdedah sanggup mengambil risiko itu.

Perlu cakna

Ujar beliau, bagi memastikan si anak berkembang secara positif, ibu bapa perlu cakna dengan memantau pengaruh alam siber ke atas anak masing-masing.

Ini katanya boleh dilakukan dengan mengawasi penggunaan Internet si anak termasuk menyekat aktiviti alam siber pada waktu tertentu yang boleh membentuk tabiat penggunaan Internet yang lebih sihat, mencegah ketagihan sosial media dan mengawal kandungan laman web yang dilawati anak-anak mereka.

 

Masyarakat diminta menyemak dahulu kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi dalam media sosial bagi mengelak penyebaran berita palsu dan maklumat tidak tepat. Foto BERNAMA

“Tanpa pemantauan dan panduan daripada orang sekeliling, remaja berisiko terjerumus dalam pembentukan diri yang tidak sihat, kekeliruan peranan, pembentukan personaliti yang bermasalah, masalah pemakanan, masalah kesihatan (kesan daripada tabiat tidak sihat kerana mengikut trend) atau mungkin masalah kesihatan mental seperti personaliti narsistik, kemurungan dan kebimbangan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga perlu lebih proaktif dalam meningkatkan kuasa dan penguatkuasaan undang-undang bagi mengekang aktiviti alam siber yang tidak sihat.

Jaga maruah keluarga

Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Dr Mohd Shahid Mohd Noh pula berpandangan trend jelik boleh berubah menjadi norma kehidupan jika ramai yang terpengaruh melakukannya.

Namun, apabila perkara buruk berubah menjadi norma kebiasaan, ini adalah petanda kegagalan fungsi ejen-ejen pendidikan seperti keluarga, institusi pendidikan formal, masyarakat malah kerajaan, tegasnya.

“Trend ‘unboxing wife’ yang baru-baru ini tular di negara ini misalnya mungkin dilihat sebagai perkara biasa oleh sesetengah budaya dan tempat, namun trend itu tidak mencerminkan budaya ketimuran apatah lagi agama Islam yang menekankan kepentingan aspek malu dan menjaga maruah,” tegas beliau.

Sehubungan itu katanya, respons negatif netizen terhadap perkara sedemikian harus dilihat sebagai perkara yang positif kerana masih ramai yang sedar akan tugas mereka menegur dan membetulkan kepincangan dalam masyarakat.

“Bermula dari penutupan aurat, adab dalam pergaulan dan bermasyarakat sehinggalah kepada adab-adab ketika menggunakan media sosial, semua ini harus dijaga sebaik-baiknya. Ini kerana maruah amat berbeza dengan harta. Harta yang hilang atau rosak mudah dicari ganti, sebaliknya maruah yang telah tercalar sukar dibaik pulih,” nasihat beliau.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Gamitan lembah, pesona tropika Selangor Fruit Valley

SHAH ALAM, 13 FEB: Selangor Fruit Valley (SFV) adalah ladang buah-buahan tropika berkeluasan 946 hektar. Terletak di Bestari Jaya, Kuala Selangor, ia mengeluarkan pelbagai hasil tanaman pilihan seperti belimbing, jambu batu, rambutan, pulasan dan betik, selain sayur-sayuran.

Mula dibuka pada 2007 sebagai Taman Buah-buahan Tropika Selangor, ladang ini dimajukan sebagai lokasi pelancongan tani pada 2017 bagi memodenkan sektor pertanian selaras dengan wawasan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Lokasi pelancongan itu semakin mendapat tempat di hati pengunjung yang melakukan aktiviti seperti berbasikal, menaiki trem mengelilingi ladang, memetik buah, bermain dengan arnab, memberi rusa makan dan membuat telur masin.

Jurugambar AHMAD ZAKKI JILAN merakam aktiviti pengunjung pada 6 Februari. Keterangan gambar dibantu AMIN RIDZUAN ISHAK.

Payung berwarna warni dijadikan perhiasan bagi menambah keceriaan di tempat pengunjung menunggu trem di Ecobridge Courtyard, ruang santai dalam taman dengan kemudahan kafeteria

 

Buat julung kalinya, persembahan tarian singa ditampilkan di Selangor Fruit Valley sempena Tahun Baharu Cina pada 6 Februari

 

Aktiviti memberi rusa makan antara tarikan utama di SFV. Sebanyak 30 ekor rusa jenis bintik dan spesies Cervus timorensis dipelihara di taman pertanian ini

 

Pengunjung berpeluang membelai lebih 100 ekor arnab yang terdiri daripada jenis ‘teddy bear’ dan anggora

 

Sesi menangkap anak ikan tarikan baharu tahun ini dengan bayaran RM3. Pengunjung dibenarkan membawa balik ikan hiasan yang ditangkap

 

Sekumpulan kanak-kanak teruja mengejar itik di kandang haiwan itu yang terletak di perhentian keempat ladang berkenaan. Aktiviti membuat telur masin juga disediakan dengan bayaran RM10

 

Kehadiran maskot watak Bumblebee daripada siri filem Transformers menceriakan pengunjung kanak-kanak ke Selangor Fruit Valley Foto Facebook Selangor Fruit Valley

 

Trem disediakan untuk menikmati pemandangan di ladang seluas 946 hektar itu. Kenderaan itu melalui denai sepanjang 10 kilometer, membolehkan pengunjung melihat sendiri pelbagai jenis tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran

 

Pengunjung berpeluang menikmati hidangan unik ‘nangcem’, atau cempedak nangka, yang jarang dijual secara umum. Rasanya seperti cempedak tetapi ulasnya lebih besar

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ingin berkarya? Tonjolkan kreativiti di lima pusat seni di Selangor

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM, 12 FEB: Tahukah anda, penyertaan dalam bengkel atau kelas seni merupakan satu cara yang efektif untuk menerapkan sikap fokus dan menjadi lebih kreatif tanpa mengira umur?

Pembentukan minda yang kreatif juga penting untuk perkembangan saraf otak yang lebih optimum bermula dari peringkat kanak-kanak. Tourism Selangor berkongsikan lima pusat seni untuk berkarya.

1. Clay Expression, USJ 1

Terdiri daripada tenaga pengajar berpengalaman dalam seni tanah liat untuk membantu pelajar menerokai nilai seni yang subjektif dan dimaterialisasikan kepada sebuah objek.

Jangan risau, teknik pembuatan juga akan diajar supaya pelajar lebih mudah untuk membentuk sesuatu okjek yang ingin dihasilkan. Harga kelas ditawarkan bermula dari RM 250 seorang untuk dua jam setengah dan anda boleh membawa pulang hasil tangan sendiri.

2. Sewing World Gallery, Subang Jaya

Mula ditubuhkan pada 1989, organisasi ini menjalankan ratusan bengkel atau kelas jahitan dengan tujuan memelihara dan mewarisi seni jahitan dalam perkembangan fesyen masa kini.

Antara kelas yang ditawarkan ialah Colorful Patchwork Blanket Online Workshop dan Boxy Pouch Online Workshop dengan harga dari RM175 khusus buat mereka yang ingin belajar menjahit.

3. The Artsy Craftsy, Shah Alam

Tentunya daya kreativiti seseorang boleh diasah menerusi pendedahan dalam dunia seni dan penyertaan dalam kelas dan bengkel seni kreatif.

Hanya dengan RM 100, anda boleh sertai kelas yang ditawarkan di sini selain mengasah kreativiti dalam penghasilan seni lukisan dengan lebih mendalam.

4. Craft No 7, Petaling Jaya

Menyediakan tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang kesenian, Craft No 7 yang terletak di Petaling Jaya menawarkan pelbagai bengkel yang bersesesuaian untuk semua peringkat.

Jadi, jangan risau sekiranya anda adalah seorang ‘beginner’ kerana di sini tempat yang tepat untuk mengasah bakat seni. Bermula dari harga RM180, antara bengkel yang boleh disertai ialah penghasilan
lilin, lulur badan dan corak bunga atas tanah liat.

5. A Space to ___, Damansara

Antara organisasi yang menawarkan bengkel dan kelas seni yang pelbagai, bermula dari seni lukisan sehingga teknik penjilidan buku jepun moden, bengkel bru kombucha dan mengait Amigurumi.

Anda boleh layari laman web A Space to ___ untuk ketahui lebih banyak tentang bengkel yang ditawarkan. Kos bengkel juga amat berpatutan, bermula dari RM130.

 

Di sebalik keterujaan menyertai kelas dan bengkel seni dinyatakan, anda diingatkan untuk sentiasa
mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ketika melakukan aktiviti.

Layari media sosial Tourism Selangor di Instagram, Facebook, Twitter dan TikTok serta laman web www.selangor.travel untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang kunjungan ke Selangor. #PusingSelangorDulu

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Dijangkiti Covid-19, kuarantin di rumah atau ke CAC?

SHAH ALAM, 12 FEB: Pesakit Covid-19 dibahagikan kepada lima tahap jangkitan, termasuk tiada gejala (kategori 1). Paling teruk, pesakit perlu dimasukkan ke unit rawatan rapi (kategori 5).

Kategori 2 pula pesakit yang bergejala ringan tetapi tiada radang paru-paru. Sejak kejayaan vaksinasi, kira-kira 99 peratus pesakit dalam kategori 1 dan 2 sahaja.

Namun kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membahagi kategori 2 kepada 2A (ringan) dan 2B (sederhana) bagi menghadapi gelombang varian Omicron.

Kategori 1 dan 2A tidak perlu ke pusat penilaian Covid-19 (CAC) jika keadaan tidak bertukar teruk. Pesakit hanya perlu mengemas kini tahap kesihatan menggunakan kit penilaian di rumah (HAT) di aplikasi MySejahtera.

Namun pesakit kategori 2A mestilah tidak berisiko tinggi, bawah 60 tahun dan tidak mempunyai lebih satu penyakit (comorbid). Pesakit kategori 2B hingga 5 mesti merujuk CAC walau tidak berisiko tinggi.

Bagaimana kita bezakan kategori 2A dengan 2B? Wartawan NADIAH ZAMLUS menjelaskan simptom yang dialami pesakit berdasarkan pecahan kategori 2 seperti ditetapkan KKM.

Kategori 2A

  • Sakit tekak atau selesema tanpa demam atau sesak nafas
  • Batuk tanpa demam atau sesak nafas
  • Hilang deria rasa tetapi masih ada selera makan
  • Hilang deria bau
  • Cirit-birit dua kali (atau kurang) dalam masa 24 jam
  • Loya dan muntah
  • Keletihan tetapi boleh melakukan aktviti harian
  • Sakit otot tetapi boleh melakukan aktiviti harian

Kategori 2B

  • Demam berpanjangan selama dua hari (dan lebih) atau baru demam
  • Sukar bernafas apabila melakukan aktiviti
  • Sakit dada
  • Hilang selera makan
  • Berasa letih terutamanya semasa melakukan aktiviti harian atau semasa baru bangun tidur
  • Perlu berjalan dengan bantuan
  • Gejala semakin teruk seperti batuk, loya, muntah atau cirit-birit yang berterusan
  • Tahap kesedaran berkurangan
  • Semakin kurang kencing dalam tempoh 24 jam

 

Sumber Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia, 7 Februari 2022 I ‘5 Tahap Jangkitan Covid-19’, infosihat.gov.my

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ibu bapa perlu risau kepada jangkitan Covid-19, bukan vaksin

Oleh Nurqalby Mohd Reda

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Sejak pelaksanaannya pada 3 Feb lepas, program pemvaksinan Covid-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun atau PICKids, dilihat masih “bertatih” dengan kebanyakan ibu bapa mengambil sikap tunggu dan lihat sebelum mendaftarkan anak mereka di bawah program itu.

Menjengah ke laman sosial khususnya Facebook rasmi Kementerian Kesihatan (KKM), rata-rata ibu bapa yang meninggalkan komen memberi alasan tidak mahu anak mereka diperlakukan seperti “tikus makmal” selain berpandangan si anak masih terlalu kecil untuk menerima vaksin “sekuat” itu.

Sikap sedemikian boleh menjejaskan matlamat kerajaan untuk memastikan 80 peratus daripada kanak-kanak yang disasarkan menerima dos pertama dalam tempoh setahun dan 60 peratus lengkap dua dos dalam tempoh enam bulan.

Mengulas permasalahan itu, kebanyakan pakar kesihatan berpendapat ibu bapa yang berkenaan menyempitkan tumpuan mereka kepada vaksin dan gagal melihat keseluruhan isu jangkitan SARS-CoV-2 yang boleh menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19.

Perjudi nyawa anak 

Bercakap kepada Bernama, Pakar Perunding Klinikal Imunologi Klinikal dan Alergi Pediatrik di Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Intan Hakimah Ismail berkata fahaman ibu bapa bahawa antibodi anak sekecil itu masih kuat sebenarnya mengundang risiko si anak mendapat jangkitan Covid-19 yang serius berbanding kesan advers vaksinasi.

“Berdasarkan data sejarah vaksin sedia ada, kebanyakan kesan buruk vaksin berlaku dalam tempoh enam minggu pertama selepas suntikan dan kesan jangka panjang yang negatif selalunya tiada.

“Dua dos vaksin Covid-19 lengkap boleh menjana tindak balas imun yang kuat kepada kumpulan kanak-kanak terbabit dan mampu mencegah kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19,” jelasnya.

Malah kata beliau pengambilan vaksin juga akan melindungi kanak-kanak daripada sindrom multisistem radang pada kanak-kanak atau MIS-C, iaitu komplikasi Covid-19.

MIS-C ini jarang berlaku, namun jika berlaku ia membawa akibat yang sangat serius dan boleh membawa kematian, jelas Dr Intan Hakimah.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini dilaporkan berkata sejak Januari lepas, terdapat 9,413 kes Covid-19 membabitkan kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun direkodkan di negara ini.

“Walaupun jumlah ini tidak banyak berbanding orang dewasa, kanak-kanak yang dijangkiti berisiko mendapat MIS-C serta Long Covid yang kita tidak tahu kesan sebenar,” kata Khairy yang dipetik oleh laporan media itu.

Utamakan kerisauan jangkitan virus

Sementara itu, pakar virologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim berkata ibu bapa sebenarnya tidak mempunyai alasan untuk bimbang tentang keselamatan vaksin tersebut yang telah melepasi fasa ujian.

Katanya kesan yang berlaku selepas pengambilan vaksin adalah perkara normal yang secara tidak langsung menunjukkan tubuh penerima memberi tindak balas terhadap vaksin.

“Apa yang perlu dirisaukan adalah kesan teruk apabila berlaku jangkitan (Covid-19) yang sebenar kerana apabila keadaan itu berlaku ia lebih sukar ditangani.

“Dua dos vaksin ini cukup untuk kurangkan risiko kanak-kanak (dijangkiti Covid-19) dan respons imun ini juga boleh menangani varian Omicron yang sekali gus mengurangkan kadar kebolehjangkitan virus Covid-19 kepada kanak-kanak,’’ katanya yang menyarankan pihak berwajib memberi pencerahan sebaik mungkin bagi menangani kekhuatiran ibu bapa tentang vaksin.

Beliau turut menyarankan ibu bapa yang masih berbolak-balik tentang pemvaksinan anak mereka agar memahami maklumat kandungan vaksin serta kesan sampingan yang mungkin terjadi dalam aplikasi MySejahtera.

Menerusi PICKids, kanak-kanak akan diberikan dua dos vaksin Cominarty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection keluaran Pfizer-BioNTech dengan dos kedua diberikan selepas lapan minggu disuntik dos pertama.

Comirnaty selamat untuk kanak-kanak 

Sementara itu, Dr Adli Ali pula berkata vaksin keluaran Pfizer-BioNTech itu selamat dan berkesan untuk kanak-kanak.

Menurut Pensyarah Kanan Klinikal dan Pakar Perunding Imunologi Kanak-Kanak Hospital Canselor Tuanku Muhriz itu, laporan The New England Journal of Medicine menerusi artikel bertajuk ‘Evaluation of the ‘BNT162b2 Covid-19 Vaccine in Children 5 to 11 years of Age’ menunjukkan vaksin tersebut berupaya menghasilkan imuniti yang mencukupi bagi melawan jangkitan SARS-CoV-2.

“Kajian ini menunjukkan vaksin Pfizer 10 mcg yang diberikan dengan jarak 21 hari di antara dua dos adalah selamat.

“Pemberian vaksin ini juga berfungsi secara serampang tiga mata, iaitu selain mencegah daripada mendapat jangkitan (Covid-19), individu yang mendapat jangkitan juga hanya mengalami gejala ringan dan secara tidak langsung mengurangkan kadar jangkitan kepada individu lain,” katanya

Vaksin adalah ikhtiar 

Sementara itu, Balkish Awang, 40, berpandangan pengambilan vaksin tersebut adalah ikhtiar untuk melindungi anaknya daripada virus maut berkenaan.

“Memang ada kerisauan namun bagi saya ini adalah ikhtiar untuk melindungi mereka,” katanya, menambah dua anaknya yang berusia 11 dan sembilan tahun telah menerima dos pertama masing-masing pada 5 Feb lepas.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, kedua-dua anaknya juga tidak menunjukkan kesan sampingan yang teruk.

Sementara itu, bagi penerima cilik Haziq Danial Shahrul Azlan, 11, dia kini berasa lebih selamat untuk ke sekolah dan juga bermain dengan rakan.

“Walaupun ada rakan yang belum daftar (untuk ambil vaksin), saya tidak takut untuk disuntik vaksin. Malah tak sakit pun ketika disuntik,” katanya, menambah dia juga tidak mengalami demam dan lain-lain kesan sampingan.

Haziq Danial dan adiknya Rania Zara, sembilan, menerima dos pertama masing-masing di Dewan Orang Ramai Ampang Mewah pada 5 Feb lepas.

Setakat 9 Feb lalu, seramai 62,809 orang atau 1.7 peratus daripada kanak-kanak yang layak telah menerima dos pertama mereka, sementara pendaftaran pula mencecah 670,000 orang.

Dalam pada itu, sekalipun kerajaan memberikan komitmen yang tinggi untuk melindungi rakyat pelbagai peringkat usia daripada dijangkiti Covid-19, pelaksanaan PICKids adalah secara sukarela dan tidak ada sekatan akan dikenakan terhadap kanak-kanak yang tidak menyertai program pemvaksinan tersebut.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Wakil rakyat bingkas hulur bantuan, cekal hadapi rintangan di lokasi bah

Banjir besar tahun lalu bukan sahaja meninggalkan pelbagai kisah duka tetapi turut menzahirkan kesungguhan wakil rakyat membantu orang ramai.

Kipas bot nyaris patah ketika menyelamat. Ada yang hampir menjadi bidan sewaktu membantu wanita hamil.

Selangorkini membawakan pengalaman Ahli Dewan Negeri (ADN) dalam tiga bahagian;

Bahagian pertama: Wakil rakyat bersengkang mata selamat mangsa bah, terpaksa tidur tepi jalan

Bahagian kedua: Bot tersangkut, batal lawatan kerja, wakil rakyat segera bantu mangsa bah

Kali ini, tujuh lagi ADN berkongsi pengalaman mereka berdepan bah besar 18 Disember lalu kepada wartawan ZAREEF MUZAMMIL, SHEEDA FATHIL, AMIN RIDZUAN ISHAK dan MUSTAKIM RAMLI

EXCO Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman hanya tidur-tidur ayam sepanjang berkampung di Hulu Langat, lokasi banjir paling buruk di negeri ini.

Sepanjang dua minggu berbakti di sana sejurus air surut, waktu tidurnya tidak menentu, sekadar beberapa jam. Belum puas melelapkan mata, beliau perlu segera bangun bagi menyelaras pelbagai perkara termasuk bantuan.

“Dalam 24 jam selama dua minggu saya di sana, sehingga jam 3 pagi belum tidur lagi kerana masih memantau. Saya jaga semua pengurusan sampah, pembersihan lumpur hingga ke bantuan makanan.

“Sejujurnya, ini pengalaman yang cukup bermakna. Saya tidak pernah terbayang kejadian seperti ini berlaku depan mata. Kereta terbalik di sana sini, rumah habis musnah,” katanya kepada Selangorkini pada 6 Februari.

ADN Paya Jaras Mohd. Khairuddin Othman menyampaikan bantuan barangan elektrik daripada Pekawanis untuk ibu tunggal mangsa banjir di Kampung Paya Jaras Hilir pada Januari 2022. Foto Facebook Pejabat Wakil Rakyat DUN Paya Jaras

Mohd Khairuddin juga menyifatkan operasi menyelamat dan huluran bantuan berdepan kesukaran berikutan faktor bentuk muka bumi di Hulu Langat. Situasi itu menjadi cabaran kepada pasukan penyelamat dan sukarelawan. Namun, mereka tidak pula berputus asa.

“Kawasan lain air naik dari bawah tetapi di Hulu Langat air turun dari atas menyebabkan kerosakannya lebih serius berbanding lokasi lain. Muka bumi di sini tidak mendatar seperti digambarkan.

“Kita ada hantar bomba, tentera, sukarelawan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang terpaksa berjalan tiga jam untuk hantar 1,500 makanan ke kawasan kampung Orang Asli,” katanya.

Walau sibuk menguruskan suasana bah di Hulu Langat, Mohd Khairuddin tetap memastikan penduduk kawasannya di Paya Jaras yang turut terjejas banjir senantiasa dibantu.

“Lebih 1,500 mangsa banjir di kawasan saya, cuma terkawal kerana setiap ketua kampung segera bertindak. Jadi penyaluran bantuan seperti makanan kepada mangsa cepat dilakukan,” katanya.

Lambakan sumbangan

Wakil rakyat Seri Serdang yang juga EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud pula dihimpit rasa tidak tenteram sebaik sahaja menerima laporan Sungai Klang melimpah ke jalan raya pada jam 4 petang 18 Disember tahun lepas.

Mengenang nasib bakal menimpa penduduk jika rumah mereka dinaiki air, beliau segera mengarahkan ketua kampung dan ahli majlis untuk mengemas kini situasi kawasan masing-masing.

“Selepas terima laporan Sungai Klang melimpah, ketua kampung segera menguar-uar agar mereka yang berisiko seperti warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) untuk berpindah ke tempat selamat.

“Lori tiga tan milik penduduk turut digunakan untuk mengalihkan mangsa yang masih boleh diselamatkan menggunakan kenderaan darat,” kata Dr Siti Mariah.

Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di DUN Seri Serdang pada 5 Januari 2022. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Seri Serdang – Dr Siti Mariah Mahmud

Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Puchong Indah, Dewan PU 7 Puchong Utama dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puchong Permai bagi menempatkan penduduk terjejas.

Dr Siti Mariah juga mewujudkan pusat sehenti bagi menyelaras bantuan berikutan lambakan barangan sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu perseorangan. Terletak di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pasir, pusat itu mengumpul bantuan dan diagih mengikut keperluan.

“Kita dapati sumbangan pihak berkaitan tertumpu kepada beberapa barangan. Misalnya di PPS Puchong Permai terlalu banyak air mineral dan biskut kering, manakala lambakan lampin pakai buang serta bantal di PPS SMK 23 Subang Jaya.

“Dengan adanya pusat sehenti dan pasukan logistik yang diketuai Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (SUKA) serta Majlis Perwakilan Zon 14, agihan dibuat menyeluruh selain mengelak pembaziran,” katanya.

Sebaik banjir melanda pada 17 dan 18 Disember, barisan pemimpin Selangor termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tidak dapat melelapkan mata apabila air terus melimpah.

Wakil rakyat kawasan masing-masing, dibantu ADN yang tidak terjejas banjir, berganding bahu menyelamatkan penduduk, selain menyelaras bantuan agar cepat sampai kepada pihak memerlukan.

Mereka bertarung meringankan beban penduduk sejak hari pertama. Begitu juga ADN lain yang kawasannya tidak terjejas seperti Chua Wei Kiat (Rawang) dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) yang turun padang membantu rakan sejawat di kawasan dinaiki air.

Malah, kipas bot wakil rakyat Pandan Indah Ir Izham Hashim hampir patah akibat berlanggar kenderaan yang ditenggelami air. EXCO Pelaburan yang juga ADN Bandar Baru Klang Dato’ Teng Chang Khim membatalkan misi pelaburan ke luar negara demi membantu penduduk.

Selain mereka, EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail, EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau dan EXCO Hal Ehwal Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni bingkas membantu mangsa banjir.

Begitu juga wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Eddy Yusof yang nyaris menjadi bidan, manakala ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyewa beberapa lori bagi menyelamatkan penduduk.

Stadium jadi PPS

Tempoh banjir selama 12 hari bermula 20 Disember di Bukit Melawati, Kuala Selangor akibat fenomena air termenung antara cabaran buat wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli menyerahkan sumbangan kepada mangsa banjir di salah sebuah pusat pemindahan sementara. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli

Jika di kawasan lain air surut selepas tiga hari banjir, di Bukit Melawati, sekitar 5,000 penduduk terpaksa tinggal lebih lama di PPS atau rumah sanak-saudara berhampiran.

Jadual Juwairiya berubah sama sekali. Sepanjang tempoh itu, beliau keluar rumah seawal jam 7 pagi dan pulang sekitar jam 2 pagi keesokannya. Beliau menghabis masa dan tenaga bagi memastikan keselesaan mangsa.

Beliau yang juga setiausaha politik kepada Dato’ Menteri Besar mengambil inisiatif menyelaraskan bantuan dan membuka PPS termasuk Stadium Tertutup Kuala Selangor yang awalnya tidak digazet sebagai PPS.

“Sepatutnya PPS di SMK Kuala Selangor tetapi tempat itu tidak dapat menampung mangsa yang semakin ramai. Hati saya pilu lihat pesakit kronik, warga tua dan bayi berada di dataran menunggu dalam keadaan sejuk serta gelap.

“Saya terus selaraskan mesyuarat dengan agensi lain dan putuskan untuk jadikan stadium sebagai PPS. Kami bergerak cepat termasuk bawa mangsa banjir supaya mereka dapat berteduh dengan selesa,” jelasnya.

Wakil rakyat Sentosa Dr G Gunarajah pula tidak teragak-agak meninggalkan majlis perkahwinan anak sulungnya pada 18 Disember demi menyelamatkan mangsa banjir.

Wakil rakyat Sentosa Dr G Gunarajah menghulurkan pek makanan kepada mangsa terjejas banjir. Foto Facebook ADUN Sentosa YB Gunaraj

Memikirkan nyawa rakyat lebih penting, beliau menghabiskan masa hampir sehari suntuk bersama Skuad DUN Sentosa untuk menyelamatkan mangsa terperangkap menggunakan enam kenderaan pacuan empat roda.

“Pengalaman paling tidak boleh saya lupa apabila perlu meredah banjir mencari mangsa yang terperangkap di Taman Seri Wangi yang kebanyakannya didiami warga emas,” katanya.

Namun, beliau gembira berikutan pengurusan kuil, masjid dan NGO tidak putus-putus mengedar bungkusan makanan kepada orang ramai di pusat pemindahan.

Mengenai pembersihan pascabanjir pula, Dr G Gunarajah bersama 50 ahli skuad DUN Sentosa turun padang hampir setiap hari sebaik air surut bagi membantu bersihkan rumah penduduk terutama warga emas.

Wakil rakyat Subang Jaya bersama pasukannya pula melalui detik cemas apabila berdepan lelaki berparang yang melepaskan kemarahan kepada mereka.

Michelle Ng Mei Sze diherdik ketika keluar kenderaan semasa mereka terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika menuju ke Kampung Bukit Lanchong, 12 kilometer tenggara Taman Sri Muda, untuk misi bantuan pascabanjir.

Wakil rakyat Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze bersama pasukannya membantu membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir. Foto Facebook Michelle Ng Mei Sze

“Saya terkejut lalu kembali ke kereta. Difahamkan, individu itu penduduk tempatan dan berkelakuan demikian kerana beremosi akibat banjir,” katanya, mengimbau pengalaman beberapa hari selepas bencana itu.

Namun kejadian tersebut tidak melunturkan semangat Michelle untuk terus menyalur sumbangan. Pasukannya gigih menghulur pelitup muka, kit ujian kendiri, cecair pembasmi kuman dan kewangan, bahkan sebanyak 23,800 unit bahan makanan diagih demi meringankan beban mangsa banjir.

Tersentuh hati

ADN Morib Hasnul Baharuddin pula ada pengalaman tersendiri ketika menghadapi bah besar meskipun banjir melanda Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib tidak seburuk kawasan lain.

Perasaan timbalan speaker Dewan Negeri itu tersentuh apabila mendapat tahu seorang ibu yang baharu lima hari melahirkan anak terpaksa berpantang di PPS. Malah, wanita tersebut terpaksa mengharung air paras paha sejauh 50 meter berikutan rumahnya di Kampung Kelanang dilanda banjir.

“Mulanya, saya tidak tahu pun ada wanita berpantang di PPS. Kebetulan saya melawat terjumpa dia. Sedih melihat dia dan bayi terpaksa berpantang di PPS.

ADN Morib Hasnul Baharuddin menyampaikan barang keperluan kepada mangsa banjir. Foto Facebook Pusat Khidmat Masyarakat Dun Morib -YB Hasnul

“Namun, siapa sangka wanita ini kelihatan sangat kuat dan tenang meskipun diuji sebegini,” katanya.

Hasnul yang mulanya bimbang berikutan kawasan yang diwakili kerap dilanda fenomena air pasang besar sedikit lega berikutan banjir di Morib tidak seteruk kawasan lain. Hanya 100 keluarga berpindah ke lima PPS yang dibuka melibatkan lebih 300 orang.

Bagi ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri, bah sedemikian besar pertama kali dilaluinya sepanjang 48 tahun mendiami kawasan itu.

Ketika banjir melanda pada 18 Disember, beliau bersengkang mata menguruskan pelbagai perkara khususnya membantu penduduk setempat hingga tidak sempat tidur walau jarum menunjukkan 8 pagi keesokannya.

Sebanyak sembilan PPS dibuka antaranya Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Sekolah Rendah Agama Pulau Indah dan Masjid Al-Ubudiah Kampung Telok Gong berikutan peningkatan jumlah penduduk yang keluar dalam tempoh 72 jam sejak air mula naik.

“Saya terharu tengok semua penduduk bertungkus lumus membantu tidak kira ketika mereka berada di jalan raya atau kawasan kediaman. Semua memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Usaha pemulihan pascabanjir giat dilakukan pihak berkuasa negeri dengan pemberian tunai dan pembersihan kawasan terjejas banjir.

Azmizam Zaman Huri bersama wakil Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) menyantuni dan menziarahi penduduk yang terjejas banjir. Foto Facebook Azmizam Zaman Huri

Setakat 9 Februari, seramai 61,282 isi rumah menerima RM1,000 menerusi inisiatif Bantuan Selangor Bangkit manakala 13 waris korban pula mendapat RM10,000, menjadikan keseluruhan bantuan RM61.4 juta.

Selain itu, setakat 7 Januari, proses pembersihan sisa banjir fasa pertama yang membabitkan pelbagai agensi negeri membuang 148,187 tan metrik sampah. Kerja pembersihan fasa seterusnya sedang giat dijalankan.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Tahun Baharu Cina: Rai kelahiran Maharaja Jed dalam norma baharu

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Sambutan Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan tahun baharu dalam kalendar lunar Cina dan disambut selama 15 hari oleh masyarakat Cina di seluruh dunia.

Bermula dengan hari pertama sehinggalah hari ke-15, masyarakat Cina akan menyambutnya dengan penuh adat dan tradisi serta pantang-larang, mengikut dialek masing-masing, yang mempunyai makna tersendiri.

Lazimnya, hari pertama dan kedua tahun baharu adalah sambutan terbesar buat masyarakat Cina di seluruh dunia, bermula dengan makan besar sehari sebelumnya sehinggalah aktiviti kunjung-mengunjung dan upacara penyembahan nenek moyang di rumah pada hari keduanya.

Namun, lain pula dengan masyarakat Cina berdialek Hokkien yang menyambut Tahun Baharu mereka pada hari kesembilan iaitu bersamaan dengan Hari Kelahiran Maharaja Jed, ataupun dikenali dengan ‘Ti Gong Dan’.

(Maharaja Jed adalah ketua dewa tertinggi yang memimpin semua dewa-dewi dan makhluk yang berada di tiga alam iaitu Alam Syurga, Manusia dan Neraka)

Persediaan untuk ‘Ti Gong Dan’

Suri rumah berdialek Hokkien, Lim Cheng Gek, 69, turut tidak melepaskan peluang untuk mengadakan upacara sembahyang Maharaja Jed yang merupakan acara wajib buat keluarganya yang tinggal di Jalan Ipoh (Kuala Lumpur), setiap tahun.

Bagi Lim, hari kesembilan merupakan sambutan terbesar dan lebih penting daripada hari pertama tahun baharu, yang turut dikenali dengan ‘Tahun Baharu Hokkien’.

Kebiasaannya, Lim sekeluarga akan membuat persediaan, sehari sebelumnya, iaitu dari segi barang-barang keperluan dan makanan untuk upacara sembahyang, antaranya babi panggang, ayam rebus, itik panggang, ikan dan pohon tebu.

Menurut beliau, bagi keluarga Hokkien, mereka sanggup berbelanja besar bagi sambutan ‘Ti Gong Dan’ kerana ia mempunyai kisah bermakna di sebalik sambutan itu, selain mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga dan berdoa untuk kesejahteraan hidup.

“Oleh kerana pada tahun ini kami meraikan Tahun Baharu dalam suasana pandemik, kami tidak boleh mengadakannya secara besar-besaran, berbanding sebelumnya, hanya keluarga terdekat sahaja bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), ” katanya kepada Bernama.

Legend ‘Ti Gong Dan’

Menurut Lim, sambutan ‘Ti Gong Dan’ adalah untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada Maharaja Jed yang memberikan perlindungan kepada masyarakat Hokkien di Wilayah Fujian yang ketika itu diserang oleh lanun sewaktu pemerintahan Dinasti Ming.

“Kejadian itu berlaku pada tahun baharu dalam kalendar lunar. Penduduk yang ketakutan melarikan diri daripada serangan lanun dengan menyembunyikan diri mereka di ladang tebu selama sembilan hari.

“Pada hari kesembilan, mereka mendapati kesemua lanun sudah beredar, maka terselamatlah mereka. Kebetulan pula hari itu adalah Hari Kelahiran Maharaja Jed.

“Sejak daripada itu, masyarakat Cina Hokkien percaya mereka dilindungi oleh Maharaja Jed yang membolehkan mereka bersembunyi di ladang tebu. Sebab itulah pada setiap sambutan ini, wajib untuk kami mempunya pohon tebu di rumah sebagai simbolik untuk memperingati peristiwa itu,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Lim, Penny Kwek, 46, berkata, acara kemuncak bagi sambutan ‘Ti Gong Dan’ adalah pada pukul 11 malam yang mana upacara sembahyang akan bermula, iaitu bermula pukul 11 mlm Selasa hari ke 8, sehingga awal pagi Rabu, hari kesembilan)

“Bagi masyarakat Cina, kami percaya bahawa setiap permulaan hari baharu adalah pada pukul 11 malam, jadi upacara penyembahan Maharaja Jed akan dilakukan tepat pada pukul 11 malam sehinggalah ke awal pagi, keesokan harinya.

“Sebelum menyertai upacara sembahyang, seisi keluarga akan memakai pakaian baharu selepas mandi. Pelbagai jenis makanan serta barang pemujaan diletakkan di atas meja di hadapan rumah dengan pohon tebu dipacak di kiri dan kanan meja berkenaan,” jelasnya.

Menurut Kwek, terdapat sedikit kelainan cara penyembahan Maharaja Jed masyarakat Cina Hokkien di utara Malaysia, khasnya di Pulau Pinang dan Selatan, iaitu di Klang (Selangor) dan Johor.

“Oleh kerana kami adalah masyarakat Cina Hokkien dari Pulau Pinang, kami akan menyediakan dua buah meja dengan meja tinggi diletakkan dengan makanan bukan daging, dan meja rendah untuk lauk-pauk berdaging serta colok besar di hadapannya.

“Namun di kawasan lain seperti Klang dan Johor, mereka hanya menggunakan satu meja sahaja dengan meletakkan kesemua lauk-pauk di atas meja dan colok di hadapannya dengan satu pondok kecil yang diperbuat daripada kertas sebagai simbol Maharaja Jed,” katanya.

Cara sembahyang dan pantang larang 

Kwek menambah, upacara bermula dengan ahli keluarga yang tertua dalam keluarga memberi penghormatan kepada Maharaja Jed dengan colok dan arak, diikuti dengan giliran ahli keluarga yang lebih muda.

Upacara berkenaan berakhir dengan mereka membakar longgokan duit kertas yang dilipat dalam bentuk wang kuno yang dikenali dengan nama ‘Yuan Bao’. Mercun dan bunga api juga dibakar bagi memeriahkan suasana.

“Selain itu, bagi keluarga yang berkemampuan, mereka akan menjemput kumpulan tarian singa untuk menambahkan lagi suasana meriah.

“Selepas acara penyembahan, kami seisi keluarga biasanya menikmati makanan penyembahan kerana kami percaya menikmati makanan yang melalui upacara sembahyang akan membawa keberkatan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Kwek, walaupun upacara penyembahan itu adalah wajib untuk disertai oleh seisi keluarga, namun ia ada pengecualian dan pantang larangnya.

Sebagai contoh, jika ada dalam kalangan ahli keluarga meninggal dunia dalam tempoh tiga tahun, mereka tidak boleh menyambut ‘Ti Gong Dan’ dan perlu berkabung dalam tempoh 100 hari hingga tiga tahun, bergantung kepada keluarga masing-masing.

“Jika mana-mana ahli keluarga wanita yang datang haid ataupun sedang berpantang, mereka juga tidak dibenarkan untuk menyertai upacara penyembahan kerana dikatakan kotor dan tidak suci.

“Semua ahli keluarga yang terlibat digalakkan memakai pakaian berwarna ceria seperti kuning dan merah, dan tidak dibenarkan memakai pakaian berwarna suram dan gelap kerana ia melambangkan kesedihan,” katanya.

Menurut beliau, dalam keadaan negara masih diancam wabak COVID-19, beliau sekeluarga cuba mengehadkan kunjungan sanak-saudara dan sahabat handai sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina.

“Kami terpaksa menyambutnya secara sederhana dan tidak menjemput terlalu ramai tetamu kerana mahu menjaga SOP. Meskipun begitu, kami tetap akan meneruskan tradisi dan warisan ini.

“Semoga dengan sambutan Hari Lahir Maharaja Jed, hidup kami akan sejahtera dan makmur. Kami mendoakan agar pandemik Covid-19 akan berakhir dan kita akan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala,” katanya.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ahli ekonomi unjur bonus Tabung Haji tiga peratus di balik pasaran mencabar

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Selepas pengumuman dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 pada akhir tahun lepas, tumpuan kini terarah kepada agihan keuntungan Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijangka diumumkan pada suku pertama tahun ini.

Persoalan yang berlegar dalam kalangan penyimpan ialah sama ada kadar agihan keuntungan selepas zakat kali ini lebih baik atau tidak jauh berbeza dengan 2019 dan 2020, iaitu sekitar 3.0 peratus.

“Agihan keuntungan TH sentiasa menjadi tumpuan penyimpan kerana sebelum 2018, TH sentiasa memberikan kadar agihan keuntungan yang tinggi terutama sejak 2007, iaitu 5.0 hingga 8.25 peratus, satu kadar yang jarang dapat ditandingi oleh pelaburan tetap lain kecuali ASB, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Rakyat.

“Namun bermula 2018, peratusan agihan keuntungan hanya sekitar 1.25 dan 3.1 peratus disebabkan isu rosot nilai dan tadbir urus. Bagaimanapun itu tidak menghalang penyimpan daripada berharap agihan keuntungan TH kembali seperti dulu,” kata penganalisis ekonomi Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff kepada Bernama.

Selain itu katanya penyimpan tertunggu-tunggu pengumuman tersebut kerana simpanan TH boleh dikeluarkan pada bila-bila masa dan tanpa had, sekali gus dapat membantu pendeposit yang berdepan masalah kewangan pada kadar segera.

Jelas beliau, ini berbeza dengan KWSP yang hanya boleh dikeluarkan selepas pencarum bersara sementara pengeluaran ASB pula hanya boleh dibuat pada waktu pejabat, sama ada di pejabat KWSP, bank tertentu atau pejabat pos.

Di sebalik keadaan ekonomi semasa yang masih belum memberangsangkan, ada yang percaya TH akan memberikan agihan keuntungan lebih tinggi tahun ini mengambil kira institusi itu tidak menghantar jemaah haji pada musim lepas.

Terima hakikat

Merungkai persoalan itu, pakar ekonomi daripada Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Prof Dr Barjoyai Bardai berkata pendeposit perlu menerima hakikat bahawa simpanan mereka yang juga berbentuk pelaburan, terdedah kepada persekitaran yang kekal mencabar sepanjang tahun lepas akibat Covid-19.

“Saya jangka TH akan cuba sedaya upaya untuk mengisytiharkan kadar agihan keuntungan dalam lingkungan tiga peratus berbanding 3.10 pada 2020.

“Jika kita bernasib baik TH mungkin boleh mengekalkan kadar agihan keuntungan pada 3.10 peratus seperti tahun lepas dan ini boleh dianggap sebagai prestasi terbaik yang boleh dijangkakan.

“Tetapi saya tidak hairan sekiranya TH hanya berupaya mengisytiharkan kadar agihan keuntungan lebih rendah antara 2.7 dan 2.9 peratus untuk 2021,” katanya.

Jelas beliau, ini berdasarkan prestasi TH yang mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 2.2 peratus kepada RM1.22 bilion dalam tempoh enam bulan pertama 2021, berbanding RM1.25 bilion bagi tempoh sama pada 2020.

Penurunan keuntungan itu berikutan keadaan pasaran dunia yang mencabar, sekali gus memberikan impak kepada aktiviti pelaburan TH dalam sektor antaranya hartanah, pasaran ekuiti dan perladangan kelapa sawit, kata beliau, menambah pelaburan dalam hartanah kekal malap akibat Covid-19 dan penutupan ekonomi.

Menurut Barjoyai, sekalipun separuh tahun pertama 2021 menunjukkan persekitaran ekonomi yang baik dengan ekonomi negara tumbuh 6.1 peratus pada Mac, 39.7 peratus pada April dan 19.3 peratus pada Mei, negara mencatatkan perkembangan negatif bermula Jun.

“Pertengahan tahun kedua, ekonomi terus menurun dengan mencatatkan pertumbuhan negatif 7.8 peratus pada Julai, -4.7 peratus (Ogos) dan -2.1 peratus (September). Ekonomi dianggarkan meningkat sedikit pada November tetapi turun kembali pada Disember,” katanya.

Barjoyai berkata secara keseluruhan, persekitaran ekonomi negara pada 2021 adalah lebih mencabar, khususnya pada separuh kedua dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara 1,534 dan 1,543 mata, membayangkan jajaran pasaran yang sempit serta tidak aktif berbanding setengah tahun pertama.

Jimat subsidi haji?

Walaupun ramai mengetahui akan kesan pandemik itu, masih ada yang berpendapat TH mampu memberikan kadar keuntungan yang tinggi memandangkan agensi pengurus dana haji rakyat Malaysia tersebut tidak menghantar jemaah mengerjakan haji pada musim 2021 yang lalu.

Bersandarkan laporan media bahawa TH membelanjakan sekitar RM400 juta setahun dalam bentuk subsidi haji, mereka berhujah TH boleh menggunakan penjimatan untuk 2021 tersebut bagi membayar agihan keuntungan yang lebih baik.

“Penjimatan RM400 juta itu sebenarnya merupakan penjimatan kasar berasaskan pada kos melepas. Sebenarnya, TH juga mengalami kerugian disebabkan penangguhan sesi haji untuk 2021 kerana TH sudah membayar komitmen dan deposit untuk persiapan haji bagi tahun berkenaan.

“Angka kerugian ini adalah besar berbanding dengan kos mengerjakan haji. Katakanlah TH menikmati penjimatan bersih RM200 juta daripada penangguhan musim haji 2021, angka itu hanya akan menyumbang kira-kira 0.24 peratus kepada pendapatan tambahan,” jelas Bardoyai.

Pandangan serupa turut dinyatakan oleh Ahmed Razman yang berkata sekalipun ada penjimatan subsidi haji, majoriti pelaburan TH adalah dalam pasaran domestik sama ada ekuiti ataupun hartanah.

Ditambah pula FBM KLCI pada 2021 tidak mencatatkan pertumbuhan positif dan ini sedikit-sebanyak merencatkan pulangan ke atas pelaburan TH, sekali gus memberi kesan terhadap agihan keuntungan, jelas penganalisis ekonomi daripada Putra Business School itu.

“Saya jangkakan kadar agihan keuntungannya sekitar 3.10 peratus, sama seperti 2020 yang mana TH mungkin memerlukan sekitar RM2.3 bilion bagi tujuan tersebut. Jangkaan ini atas pelbagai faktor seperti kadar simpanan tetap yang merosot pada 2021 hingga bawah dua peratus berbanding purata tiga peratus pada 2020, dan ini memberi impak besar kerana 52 peratus pelaburan TH adalah daripada pendapatan tetap.

Keadaan di Madinah tenang ketika menunggu jemaah haji dari seluruh dunia tiba ketika tinjauan pada 10 Julai 2019. Foto BERNAMA

“Selain itu, prestasi pasaran ekuiti yang merudum juga menyebabkan TH menjadi lebih konservatif dalam mencatatkan rosot nilai ke atas asetnya, tertakluk kepada piawaian pelaporan kewangan antarabangsa,” hujah beliau.

Biarpun TH turut mempunyai pelaburan luar negara yang kebiasaannya memberi pulangan lebih tinggi, Ahmed Razman berkata peratusan pelaburan TH untuk segmen itu hanyalah sekitar lima peratus, sekali gus tidak mampu memberi lonjakan yang tinggi kepada prestasi keseluruhan institusi.

Pelaburan legasi lama

Pemerhati ekonomi daripada Universiti Kuala Lumpur Business School Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut mengunjurkan kadar agihan keuntungan selepas zakat pada 3.10 peratus, iaitu menyamai kadar pada 2020.

“Unjuran ini berdasarkan pencapaian pendapatan TH untuk enam bulan pertama 2021 yang sedikit rendah (menguncup 1.4 peratus) berbanding (tempoh sama) 2020.

“Namun, pembukaan ekonomi pada suku keempat 2021 dan kenaikan harga minyak sawit melebihi RM5,000 satu tan memberikan kesan positif dan boleh memberi suntikan peningkatan kepada TH bagi tempoh enam bulan kedua. Ini dijangka mengimbangi prestasi enam bulan pertama dan kembali ke paras pulangan tahun 2020,” jelas beliau.

Aimi Zulhazmi juga berkata penjimatan sebanyak RM400 juta daripada penangguhan penghantaran jemaah haji hanyalah jumlah yang kecil, iaitu 0.46 peratus daripada jumlah aset TH, justeru tidak memberi kesan langsung yang besar kepada pulangan aset institusi tersebut.

Selain itu, beliau juga mendasari unjurannya pada keseluruhan aset TH bernilai RM85.92 bilion, melebihi liabiliti yang bernilai RM83.73 bilion pada 30 Jun 2021, sementara kos operasi juga hampir sama dengan kos tahun sebelumnya.

Jelas beliau lagi, sekalipun TH menstrukturkan semula portfolio pelaburannya pada 2018 dengan memindahkan pelaburan tidak memuaskan bernilai RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, TH tetap bertanggungjawab terhadap pelaburan legasi lama tersebut.

Fahami tujuan asal

Sementara itu, pensyarah kanan di Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Mohd Ali Muhamad Don berkata masyarakat Islam perlu memahami bahawa tujuan utama penubuhan TH bukanlah sebagai institusi kewangan atau pelaburan.

Sebaliknya ia bermatlamat menyediakan kemudahan menyimpan wang untuk menunaikan haji, menyediakan perkhidmatan kepada jemaah haji selain melibatkan umat Islam dalam penanaman modal dan penjanaan keuntungan untuk manfaat bersama.

“Keuntungan pelaburan TH dalam bidang pertanian, hartanah dan lain-lain akan dipulangkan semula kepada pendeposit untuk membiayai sebahagian kos pelaksanaan haji secara muassasah, meliputi kos penerbangan, pengangkutan, penginapan, makanan, kaunter kewangan, perubatan, khemah ibadat masyair, bimbingan haji, petugas haji, mutawif dan perkhidmatan kaunseling di tanah suci Makkah dan Madinah dengan kadar pengurangan berjumlah RM9,980 berbanding jumlah asal RM22,900 untuk yang pertama kali menunaikan haji,” katanya.

Justeru, beliau berkata amat penting untuk umat Islam memahami tujuan penubuhan TH dan mengikhlaskan niat menyimpan di TH untuk ke Tanah Suci serta tidak mengharapkan keuntungan duniawi semata-mata.

Katanya, pendeposit juga perlu memahami bahawa agihan keuntungan TH bukanlah satu kemestian kerana dalam konteks TH, agihan keuntungan merujuk kepada agihan sebahagian atau keseluruhan keuntungan yang boleh diagihkan kepada pemilik dana dan merupakan hadiah yang tidak disyaratkan.

Ini termaktub dalam kontrak simpanan wakalah (perwakilan), iaitu TH adalah wakil untuk menguruskan dana pendeposit bagi tujuan aktiviti pelaburan dan pengurusan haji, sementara keuntungan daripada pelaburan tersebut akan diagihkan kepada pendeposit setelah mengambil kira kos haji, zakat dan kos pengurusan TH.

“Dengan memahami konsep agihan keuntungan TH, diharapkan pendeposit tidak hanya mengharapkan pulangan berbentuk agihan keuntungan sahaja tetapi lebih daripada itu, iaitu berharap untuk terlibat sama membayar zakat wang simpanan yang akan diagihkan kepada golongan asnaf selain dapat membantu sesama penyimpan untuk ke Tanah Suci.

“Moga-moga dengan cara ini dapat meningkatkan ekonomi ummah selain menyelesaikan kewajipan Rukun Islam yang kelima,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Bot tersangkut, batal lawatan kerja, wakil rakyat segera bantu mangsa bah

Kesungguhan wakil rakyat bersengkang mata membantu mangsa banjir dipapar pada edisi 20-26 Januari 2022. Kali ini, wartawan Zareef MuzamMil, Norrasyidah Arshad, Amin Ridzuan Ishak dan Siti Rohaizah Zainal memaparkan kisah empat Ahli Dewan Negeri menyelamatkan penduduk. Pengalaman beberapa lagi wakil rakyat disiar pada minggu depan

Bot yang dinaiki EXCO infrastruktur dan kemudahan awam ketika berusaha menyelamat mangsa banjir beberapa kali berlanggar dengan kenderaan yang ditenggelami air.

Malah, kipas bot hampir patah akibat pelanggaran tersebut. Kejadian mencemaskan itu berlaku ketika Ir Izham Hashim menyertai operasi menyelamat penduduk Taman Sri Muda, Shah Alam pada awal pagi 19 Disember.

Menaiki bot Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, beliau antara pemimpin terawal ke sana sebaik sahaja menerima laporan kawasan itu teruk terjejas.

Mulanya, beliau menyangka sekitar 20 hingga 30 keluarga perlu diselamatkan tetapi tekaannya jauh meleset. Ribuan keluarga terkandas, sebahagian besar terpaksa naik ke atas bumbung rumah masing-masing. Suasana pula gelap gelita selepas bekalan elektrik terputus.

“Ketika saya tiba di Taman Sri Muda, ada seorang wanita minta tolong untuk keluarkan ayah dan anak saudara beliau berumur dua tahun yang terkandas di rumah sejak hari Sabtu.

Paparan video menunjukkan Ir Izham Hashim membantu penduduk yang terkandas di Taman Sri Muda, Shah Alam pada dini hari 19 Disember 2021. Foto Facebook Izham Hashim

“Ketika sedang membantu keluarga wanita tersebut, saya dapat makluman ada jiran beliau yang sedang sarat mengandung juga terkandas di rumah. Saya ambil keputusan untuk segera keluarkan ibu mengandung dari Taman Sri Muda,” katanya.

Ir Izham bertekad untuk menyelamatkan mereka. Meski bukan kawasan yang diwakilinya, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah tetap berasa bertanggungjawab untuk membantu. Walau bukan semua, beliau berhasil menyelamatkan wanita hampir bersalin, warga emas dan beberapa keluarga yang terperangkap.

“Ketika melalui kawasan berkenaan, kereta ada di merata-rata tempat sebab arus tolak kenderaan sehinggakan bot yang kami naiki beberapa kali berlanggar, mujur propeller (kipas) tidak pecah.

“Saya tersentuh hati apabila makanan dan minuman yang kita bawa tidak mencukupi dan sukar pula nak pindahkan semua kerana ia memakan masa,” katanya.

Selepas dua hari berkampung di lokasi yang menjejaskan lebih 10,000 keluarga itu, Ir Izham meneruskan misi bantuan ke daerah lain antaranya Klang, Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat.

ADN Bandar Baru Klang Dato’ Teng Chang Khim gelisah ketika berada dalam pesawat pulang dari Pulau Pinang selepas menghadiri pemukiman agensi negeri pada pagi 18 Disember.

Sebelum menaiki pesawat, beliau dimaklumkan beberapa kawasan di Selangor dinaiki air. Sangka beliau hanya banjir kilat seperti biasa. Hatinya mula tidak keruan apabila mendapati hujan berterusan sepanjang perjalanan.

Pesawat sukar mendarat

Tempoh sejam penerbangan terasa panjang. Malah, ketika hampir mendarat, pesawat terpaksa naik semula lantaran lebatnya hujan. Mereka terpaksa berlegar selama 45 minit sebelum mendarat.

Ketika menjengah tingkap, Chang Khim mendapati Kampung Melayu Subang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah ditenggelami air. Beliau mula khuatir nasib penduduk Bandar Baru Klang yang diwakilinya.

Keluar dari perut pesawat, wakil rakyat enam penggal itu bergegas ke kawasannya. Chang Khim terkesima melihat jalan ditenggelami air akibat limpahan Sungai Damansara sekali gus menyukarkan perjalanannya.

Dato’ Teng Chang Khim menyampaikan bantuan kepada penduduk Taman Klang Utama, Klang pada 26 Disember 2021. Foto Dato’ Teng Chang Khim

“Sampai rumah, saya letak beg dan bergegas ke pusat pemindahan sementara (PPS). Sekali lagi saya terkandas, hanya selepas dua jam setengah baharu sampai.

“Masa itu PPS sudah ada 400 mangsa. Saya diberitahu banyak lagi sedang dalam proses dibuka, susah hati mengenangkan nasib penduduk yang terperangkap,” katanya mengimbau kejadian bah pada 18 Disember tahun lalu.

Menyifatkan banjir itu pengalaman tidak pernah ditempuhinya, beliau yang menjadi wakil rakyat pada 1995 kagum menyaksikan semangat kebersamaan masyarakat. Pemilik kenderaan pacuan empat roda yang boleh meredah banjir meminjamkan kenderaan untuk membawa mangsa banjir ke PPS secara sukarela.

“Kita dapat bantuan badan bukan kerajaan. Bila kami sebarkan permohonan bantuan, ramai tampil. Syukur beban mangsa banjir diringankan,” katanya.

Turut membatal misi pelaburan ke Turki dan Dubai yang dijadual pada 25 Disember bagi membantu mangsa bah, Chang Khim yang juga EXCO pelaburan, industri dan perdagangan menyifatkan bah itu banyak membawa pengajaran.

Dalam keadaan rumit itu, barisan pemimpin Selangor termasuk Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari tidak dapat melelapkan mata apabila air terus melimpah pada petang 18 Disember.

Wakil rakyat kawasan masing-masing, dibantu ADN yang tidak terjejas banjir, berganding bahu menyelamatkan penduduk, selain menyelaras bantuan agar cepat sampai ke pihak memerlukan.

Pelabuhan Klang yang diwakili Azmizam Zaman Huri, Juwairiya Zulkifli (Bukit Melawati) dan Gunarajah George (Sentosa) antara kawasan yang terjejas. Mereka terus bertarung meringankan beban penduduk sejak hari pertama.

Begitu juga ADN lain yang kawasannya tidak terjejas tetapi turun padang membantu rakan sejawat di kawasan dinaiki air seperti Michelle Ng Mei Sze (Subang Jaya), Chua Wei Kiat (Rawang) dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama).

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail, EXCO Kebajikan Masyarakat V Ganabatirau dan EXCO Hal Ehwal Islam Mohd Zawawi Ahmad Mughni turut bingkas membantu mangsa banjir.

Begitu juga wakil rakyat Dusun Tua Edry Faizal Yusof yang nyaris menjadi bidan, manakala ADN Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar menyewa lori bagi menyelamatkan penduduk.

Patah balik dari JB

ADN Kota Anggerik Najwan Halimi pula membatal percutian bersama keluarga demi membantu penduduk di kawasannya yang teruk terjejas banjir.

Najwan Halimi bermesra dengan mangsa banjir Padang Jawa yang ditempatkan di PPS Dewan Kiambang Seksyen 7, Shah Alam pada 20 Disember 2021, Foto Facebook Najwan Halimi

Meski telah tiba di Johor Bahru pada malam kejadian, beliau berpatah balik ke Selangor keesokan pagi.

Najwan juga mengarahkan pegawai pusat khidmat masyarakatnya memantau keadaan dan menghulur bantuan termasuk bekalan makanan seberapa segera.

Sejurus tiba, beliau pilu menyaksikan suasana bandar raya Shah Alam seumpama lautan. Kawasan Kota Anggerik yang terjejas teruk antaranya Seksyen 13, Shah Alam dan Mutiara Bukit Raja, Klang. Ribuan penduduk terperangkap di rumah masing-masing.

Lebih menyayat hati Najwan saat bertemu seorang mangsa yang tinggal sehelai sepinggang berikutan rumahnya dinaiki air. Penduduk itu termenung dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan kerana kediaman bapanya di Meru juga tenggelam.

“Sebelum banjir, ibunya meninggal dunia akibat Covid-19 dan belum hilang perasaan sedih, kini diduga pula dengan musibah banjir. Dalam sekelip mata hilang segalanya.

“Sesungguhnya kejadian ini sangat menginsafkan. Namun, kita cuba membantunya supaya dapat meringankan bebannya,” katanya.

Najwan menyifatkan bencana itu memberi pengalaman baharu kepadanya sebagai wakil rakyat. Namun, beliau bersyukur berikutan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) membantu dalam setiap aspek.

Selain Sukarelawan Selangor (SERVE), Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan Wanita Berdaya Selangor (WBS), badan bukan kerajaan seperti Arus Anak Muda dan sukarelawan surau berganding bahu membantu kawasan Kota Anggerik.

Mengepam air

ADN Pandamaran Tony Leong Tuck Chee pula berasa gusar apabila mendapati hujan lebat beberapa jam pada petang 17 Disember. Berdasar pengalamannya, hujan tanpa henti boleh menyebabkan beberapa lokasi di kawasan yang diwakilinya dinaiki air.

Telahannya tepat. Tidak lama kemudian, beliau menerima panggilan bertalu-talu kira-kira jam 8 malam yang memaklumkan air parit sekitar Pandamaran dan Taman Chi Liung melimpah.

Unit Tindak DAP Pandamaran membantu membersihkan kawasan Taman Sri Muda yang terjejas bah pada 26 Disember 2021. Foto Facebook Tony Leong Tuck Chee

“Saya terus ke kunci air di Jalan Papan, Pandamaran. Saya juga maklumkan JPS minta mereka turun dan pantau,” katanya.

Banjir akibat hujan lebat luar biasa diburukkan lagi dengan air laut pasang besar.

Menurut Tuck Chee, hujan sehingga jam 11 malam hari berkenaan menyebabkan beberapa rumah dimasuki air. Beliau dan penduduk setempat menggunakan pam bagi menyedut keluar limpahan air parit.

Usaha mereka berjaya membantu lapan keluarga. Ia diteruskan hingga jam 1 pagi 18 Disember. Namun, hujan kembali lebat menyebabkan mereka terpaksa menghentikan kerja mengepam.

“Empat kawasan iaitu Pandamaran, Taman Chi Liung, Taman Melawis dan Bayu Perdana dinaiki air hampir satu kaki. Nasib baik air mula surut pada petang Sabtu (18 Disember). Pada Ahad, saya membantu di Taman Sri Muda kerana keadaan di sana yang teruk,” katanya.

Walaupun kawasannya tidak teruk seperti Shah Alam dan Hulu Langat tetapi beliau sedar banjir itu tetap menjejaskan kehidupan penduduk.

“Lepas banjir surut, kerja pembersihan pascabanjir dijalankan. Ramai yang bantu penduduk bersihkan rumah antaranya NGO SERVE dan Team Selangor. Saya anggar lebih 3,000 rumah terkesan banjir,” katanya.

“Sehingga kini, bantuan masih diperlukan penduduk ekoran harta benda termasuk barangan keperluan harian rosak.

“Masih ada mangsa yang minta tilam dan bantal. Saya sudah beri 200 tilam, 400 bantal bagi meringankan beban mereka.”

Susulan itu, pengendali sisa pepejal KDEB Waste Management bersama empat pihak berkuasa tempatan dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) membersihkan 148,186.84 tan metrik sampah setakat awal bulan lepas.

Sejumlah RM55,425 juta Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dihulurkan kepada 55,425 ketua isi rumah setakat 3 Februari.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Pakar: Melampau guna gajet antara punca kanak-kanak lambat cakap

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Kes gejala anak kecil lambat bertutur menunjukkan peningkatan ketara pada tahun-tahun kebelakangan ini, terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kata seorang pakar pediatrik.

Tanpa menyatakan statistik, Dr Kenneth Looi Chia Chuin menjelaskan trend itu dikesan berdasarkan pemantauannya terhadap kes yang diterima, dan antara penyebab utama gejala ialah keterdedahan kepada peranti secara melampau.

“Ketika PKP, kebanyakan ibu bapa terpaksa bekerja dari rumah dan bagi mengelakkan si anak mengganggu mereka ketika bekerja, si anak dibekalkan peranti agar mereka leka dengan permainan dalam talian, video dan sebagainya.

“Ini adalah satu kesilapan yang biasa dilakukan oleh ibu bapa terutama membabitkan anak berusia bawah 18 bulan, sedangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan anak semuda itu langsung tidak boleh diberikan akses kepada peranti pintar,” kongsi pakar perunding pediatrik di Hospital Columbia Asia Cheras itu kepada Bernama.

Intervensi pantas

Mengulas lanjut, beliau berkata pada peringkat usia itu, kemahiran komunikasi si anak sedang berkembang dan mereka biasanya sudah boleh menutur dan memahami sekurang-kurangnya 10 patah perkataan selain mengenali objek dan lain-lain.

“Jika pada usia itu si anak hanya boleh menuturkan satu atau dua perkataan, maka langkah proaktif perlu diambil segera. Jangan anggap perkara ini normal dan si anak akan lancar bertutur dengan sendiri,” katanya.

Pengalaman itu dilalui oleh seorang penjawat awam, Mohd Khirul Mudarikah apabila anak lelakinya Muhammad Adwa Rizqi hanya boleh menyebut beberapa patah perkataan semasa mencapai usia 18 bulan.

“Saya mula perasan dia ada masalah bercakap apabila hanya boleh menyebut dua, tiga perkataan mudah seperti papa dan mama. Bimbang dengan perkara ini, kami bawa dia ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan.

“Mujurlah kami cepat sedar, dan dengan intervensi pantas termasuk sesi terapi bercakap di hospital, masalah dapat ditangani. Kini pada usia tujuh tahun, dia boleh bertutur dengan baik seperti kanak-kanak seusianya,” cerita Mohd Khirul.

Pantau perkembangan

Mengulas lebih lanjut, Dr Kenneth berkata tempoh penggunaan peranti bagi kanak-kanak yang lebih tua pula harus dihadkan – saranan WHO ialah hanya sejam sehari bagi kelompok usia dua hingga tiga tahun.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu mainkan peranan dengan memantau selain menggalakkan si anak beri perhatian kepada perkara lain melalui aktiviti bersama keluarga,” katanya.

Pada masa sama katanya ibu bapa harus mengikuti perkembangan kemahiran komunikasi si anak.

Ketika berusia 24 bulan, si anak sepatutnya sudah boleh menguasai antara 20 dan 50 patah perkataan selain mampu menggabungkan dua perkataan menjadi ayat mudah seperti “sayang ayah”, sementara anak berusia dua hingga tiga tahun pula sepatutnya sudah boleh menuturkan lebih 50 patah perkataan serta membina ayat yang lebih panjang.

“Masalahnya, ramai ibu bapa yang berdepan masalah ini menganggap perkara itu normal dan yakin si anak akan dapat bercakap dengan lancar seiring dengan masa. Mereka tidak tahu bahawa lagi lambat mereka mendapatkan intervensi untuk si anak, lagi jauh si anak ketinggalan dalam aspek komunikasi selain terlepas tempoh kritikal untuk rawatan,” jelas Dr Kenneth.

Gambar hiasan kanak-kanak menggunakan gajet. Foto ihsan Astro Radio News


Faktor lain

Menurut beliau, selain keterdedahan kepada peranti, ada beberapa lagi faktor yang menyumbang kepada gejala anak lambat bercakap, termasuk masalah kesihatan seperti hilang pendengaran, gangguan perkembangan otak seperti palsi serebral atau masalah pergerakan artikulator seperti lidah terikat (ankiloglosia).

“Mungkin juga kerana keturunan, iaitu ada ahli keluarga yang pernah ada masalah lambat bercakap atau gangguan komunikasi atau mengalami sindrom perkembangan seperti gangguan spektrum autisme (ASD) atau Sindrom Down.

Dr Kenneth juga menjelaskan ada perbezaan di antara lambat bercakap dengan masalah bahasa.

Masalah bahasa bermakna si anak sukar menzahirkan atau memahami bukan sahaja percakapan tetapi juga bahasa isyarat dan bahasa tubuh, jelasnya, menambah kedua-dua masalah itu bagaimanapun saling berkait.

Statistik Institut Kebangsaan mengenai Pekak dan Gangguan Komunikasi Lain (NIDCD) pada 2015 menunjukkan prevalens lambat bercakap dalam kalangan kanak-kanak di negara ini ialah antara lapan dan sembilan peratus.

Terapi

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Perunding Juruterapi Pekerjaan di Well Rehab Centre, Lee Wei Qing berkata masalah lambat bercakap kanak-kanak boleh dirawat dengan kaedah praktikal.

Jelasnya, terapi dimulakan dengan sesi penilaian bagi membolehkan pakar terapi pertuturan mengenal pasti kekuatan dan kelemahan si anak sebelum mewujudkan garis asas untuk mengukur perkembangan mereka sepanjang terapi.

“Semasa penilaian, komunikasi lisan, nombor serta jenis perkataan dan bunyi yang digunakan oleh si anak akan dinilai. Kemudian, juruterapi akan menyediakan pelan pengurusan terapi untuk ibu bapa bagi mengenal pasti matlamat yang perlu diberi tumpuan dalam program itu,” jelasnya.

Menurutnya, setiap pelan disusun berdasarkan kemampuan si anak seperti meluaskan kosa kata dan meningkatkan kefahaman mereka menerusi beberapa kaedah termasuk membaca.

“Kami juga akan membantu menyelesaikan sebarang masalah pendengaran yang berkemungkinan,” kata Lee.

Latihan di rumah

Bagaimanapun kata Lee, sesi dengan juruterapi sahaja tidak memadai jika ibu bapa tidak membuat latihan bercakap dengan anak di rumah.

“Contohnya, jika anak anda bermasalah untuk menyebut bunyi tertentu seperti ‘f’, galakkan mereka untuk mengeluarkan bunyi itu dengan sendiri. Apabila bunyi itu sudah dapat dikeluarkan dengan mudah, anda boleh gemblengkan menjadi suku kata seperti ‘fi-fi-fi’ sebelum membentuk perkataan.

“Ibu bapa juga harus menumpukan pada apa yang boleh dilakukan oleh si anak kerana hal itu juga sepenting tumpuan terhadap perkembangan pertuturan mereka. Puji mereka jika mereka berjaya lakukan sesuatu seperti menyimpan barang mainan atau menggunakan tandas dengan baik,” katanya.

Namun kata Lee, kebimbangan utama sekarang ialah kebanyakan ibu bapa didapati kurang bercakap dengan anak-anak sedangkan si anak akan dapat belajar bertutur dengan baik apabila sentiasa diajak bercakap.

“Selain memastikan gangguan ‘bunyi digital’ pada tahap paling minimum, membacakan buku kegemaran kepada si anak dan kemudian minta mereka bacakan semula kepada anda juga boleh mengukuhkan lagi kemahiran komunikasi. Kaedah ini juga boleh digunakan untuk anak yang belum boleh membaca, iaitu dengan meminta mereka menerangkan apa yang mereka lihat di dalam buku,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Rai kemeriahan Tahun Harimau di lima pusat beli-belah di Selangor

OLEH TOURISM SELANGOR

SHAH ALAM 2 FEB: Dekorasi di pusat beli-belah seluruh negara termasuk Selangor bukanlah sesuatu yang asing, khususnya menjelang musim perayaan.

Sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022, beberapa pusat beli-belah di Selangor tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan suasana dengan pelbagai hiasan menarik.

Tourism Selangor menyenaraikan lima lokasi untuk dikunjungi bersama rakan-rakan dan ahli keluarga sesuai dengan slogan Pusing Selangor Dulu.

1 Utama Shopping Centre

Masuki tahun harimau dengan menghasilkan cerita anda yang tersendiri berlatarkan “Teochew Town” di Centre Court, Tingkat G, 1 Utama Shopping Centre.

Diinspirasikan oleh seni bina dari Guangdong, China, astana bercirikan oriental dengan ketinggian 30 kaki ini pasti akan membangkitkan mood “xin nian” anda. Nikmati saat ini dengan mengabadikan seleksi gambar di sini.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.facebook.com/1Utama/

Sunway Pyramid

Lion, ikon Sunway Pyramid, menyambut perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini dengan #100Blessings! Dengan tahun harimau, Lion kembali berpegang kepada nilai kekeluargaan dengan elemen 福 (Fú).

Temui Lion sekarang di Sunway Pyramid dan jangan lupa untuk adakan sesi fotografi di sini.
Untuk maklumat lanjut, layari https://www.facebook.com/sunwaypyramid

Setia City Mall

Langkah masuk ke taman yang serba mempesona; “Garden of Dreams” di Setia City Mall. Terdapat juga menara Pagoda setinggi lapan kaki dikelilingi pohon bunga sakura yang mekar hingga ke kawasan penempatan “harimau”.

Jangan lupa untuk ambil gambar di sini dan sertakan tandapagar #SCMCNY2022 untuk peluang disiarkan di laman media sosial rasmi mereka.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.facebook.com/setiacitymall/

Central I-City

Central i-City bersedia untuk “mengaum” dengan pengenalan “The Great Tiger Power” sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2022.

Dengan dekorasi yang diinspirasikan oleh artis/pelukis ilustrasi dari Thailand, Phannapast – tekan sahaja butang kamera anda.

Hadir ke Tingkat G, Central i-City bersama rakan dan keluarga anda sekarang. Untuk makluma lanjut, layari https://www.facebook.com/centralicity

Mitsui Outlet Park KLIA Sepang

Berkumpullah bersama rakan dan keluarga dengan dimeriahkan oleh dekorasi “Blooming Prosperity” di Mitsui Outlet Park KLIA Sepang sempena Tahun Baharu Cina ini.

Dengan deretan outlet jenama mewah menawarkan diskaun yang sangat menarik, apa kata anda singgah dan ‘cuci mata’ semasa kunjungan anda ke sini.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.facebook.com/MOPKLIA

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.