Categories
PERSONALITI RENCANA

Air mineral ‘talian hayat’ tiga pekerja resort hanyut

KUALA TERENGGANU, 4 OGOS: Tiga pekerja resort yang diselamatkan oleh nelayan laut dalam Thailand, semalam selepas tiga hari hanyut di laut hanya bergantung kepada air mineral botol sepanjang tempoh itu.

Fauzi Mohamad, 40, berkata sepanjang 72 jam terapung di laut, beliau bersama rakan-rakan Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, dan Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, hanya minum air mineral yang dibawa kerana bekalan makanan yang ada merupakan ayam, ikan dan daging mentah serta minyak masak.

Katanya, mereka terpaksa membuat catuan untuk menjimatkan bekalan air sementara menunggu untuk diselamatkan.

“Ketika sudah hampir sampai di pulau (Pulau Tenggol) kira-kira pukul 1 tengah hari Rabu lalu, bot kami tiba-tiba mati di tengah laut dan usaha menghidupkan semula enjin tidak berjaya. Mula-mula hanya satu enjin yang mati, tetapi selepas dipukul ombak kuat enjin kedua pula rosak menyebabkan kami terpaksa mengikut ke mana sahaja dibawa arus.

“Kami juga cuba menghubungi resort dan keluarga menggunakan telefon yang dibekalkan oleh syarikat malangnya tidak ada isyarat,” katanya ketika ditemui di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, di sini hari ini.

Rabu lalu, tiga pekerja resort di Pulau Tenggol itu dilapor hilang ketika dalam perjalanan dari Jeti Aking, Seberang Pintasan, di sini ke Pulau Tenggol untuk menghantar bekalan makanan dan keperluan.

Kesemua mereka ditemui selamat oleh nelayan Thailand awal pagi semalam, di lokasi kira-kira 150 batu nautika dari Kuala Dungun di Dungun.

Nelayan Thailand itu kemudian membawa mereka ke Pelantar Bunga Orkid Petronas yang kemudian memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

Ketiga-tiga pekerja resort itu dibawa pulang oleh APMM menaiki kapal KM Pekan yang tiba di Jeti APMM kira-kira 8.45 pagi tadi, dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk pemeriksaan lanjut.

Fauzi berkata beliau juga tidak tidur malam sepanjang tiga hari di laut kerana risau keselamatan diri dan dua lagi rakannya yang masih muda.

“Saya beri kata-kata semangat kepada Firdaus dan Hafiz dan suruh mereka berehat atau tidur sahaja kerana mereka nampak betul-betul penat.

“Pada hari kedua dan ketiga saya boleh nampak kehadiran bot polis, kapal APMM, bot pelancong serta helikopter dan cuba memanggil dengan mengibarkan kain serta menyalakan lampu tetapi semua usaha sia-sia belaka,” katanya yang sudah sembilan tahun bekerja secara sambilan sebagai pemandu bot di Coral Island Resort.

Katanya, jarak antara bot mereka dan bot penyelamat yang terdekat pada waktu itu antara empat hingga lima batu.

Sementara itu, Muhammad Firdaus yang baru tiga bulan bekerja di resort itu berkata pada hari pertama beliau menaruh harapan dan berdoa supaya diselamatkan, tetapi masuk hari kedua perkara yang terbayang di fikiran beliau hanyalah mati.

“Pada masa itu saya hanya ingat keluarga dan mati kerana sangat letih dan betul-betul putus harapan. Namun, ketika ditemui nelayan Thailand, saya rasa seperti hidup kembali dan selepas ini saya perlu masa untuk fikir sama ada mahu kembali bekerja di sana atau tidak,” katanya.

Pengarah APMM Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli menasihatkan supaya semua pihak termasuk nelayan atau operator bot pelancongan berhati-hati dan melengkapkan bot dengan peralatan keselamatan ketika turun ke laut, ekoran tiupan angin Tenggara yang kuat, cuaca berjerebu dan berkabus serta ombak kuat di perairan Terengganu pada masa ini.

“Saya minta semua operator bot pastikan kelengkapan seperti jaket keselamatan sentiasa dipakai dan alatan telekomunikasi juga berfungsi dalam keadaan baik. Dalam keadaan kecemasan perkara-perkara sebegini amat penting dan diperlukan,” katanya pada sidang media di Jeti APMM Terengganu hari ini.

— BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Tunku Azizah permaisuri bertakhta di hati rakyat

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Tanggal 30 Julai ini, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara rasminya menduduki singgahsana Istana Negara sebagai Raja Permaisuri Agong.

Selepas 33 tahun menjadi permata hati rakyat Pahang, baginda akan berada di samping suami tercinta Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang bakal ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 pada tarikh berkenaan.

Menjelang momen bersejarah itu, Tunku Azizah dalam wawancara pertama baginda sebagai Raja Permaisuri Agong berkongsi dengan Bernama tentang pelbagai perkara termasuk isi hati baginda mengenai pelantikan sebagai Wanita Utama negara.

Baginda turut berkongsi harapan serta kisah cinta baginda bersama Seri Paduka yang boleh dijadikan inspirasi oleh kalangan rakyat jelata.

Belum mencerna realiti

Santai memulakan bicara, Tunku Azizah yang dikenali ramai sebagai insan yang sentiasa merendah diri, mengakui realiti fasa kehidupan baharu baginda belum sepenuhnya dihayati kerana ia berlaku terlalu pantas.

Pemasyhuran Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Jan lepas disusuli dengan pemasyhuran Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Jan lalu sekali gus merubah kedudukan Tunku Azizah daripada Tengku Puan Pahang kepada Tunku Ampuan Pahang dan seterusnya Raja Permaisuri Agong hanya dalam masa beberapa hari sahaja.

“Semasa November, tidak ada bayangan pun Tuanku nak menjadi Sultan (Pahang) dan dalam dua minggu (kemudian), terus jadi Yang di-Pertuan Agong…sehingga kini, perkara ini (bahawasanya baginda kini adalah Raja Permaisuri Agong) belum ‘masuk’ atau bahasa Inggeris kata ‘has yet to sunk in me’ (belum dapat dihayatinya).

“Jadi, saya selalu ketawa…ada kalanya saya masih bahasakan diri saya sebagai Tengku Puan dan anak-anak saya pun bahasakan Tengku Puan,” titah Tunku Azizah yang merupakan adinda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mengenai kehidupan baginda sekeluarga di ibu negara, Permaisuri Agong yang berjiwa besar itu mengakui masih kekok berada di Istana Negara khususnya untuk menyesuaikan diri dengan protokol dan peraturan istana.

“It is totally a new life (Ia adalah suatu kehidupan baharu di Istana Negara). Dahulu di Pahang…walaupun saya Tengku Puan Pahang, saya bebas, boleh masak, pergi pantai, tetapi saya sedar tugas saya di sini (Istana Negara) lain, tugas saya di Pahang agak lain.

“Di sini agak ‘restricted’ (terhad) sedikit ‘movement’ (pergerakan)…mungkin sekarang tanggungjawabnya lebih kerana Tuanku now is representing the whole country (kini ketua negara),” titah baginda yang diputerikan pada 5 Ogos 1960.

Namun, Tunku Azizah menegaskan bahawa di sebalik tugas dan tanggungjawab baharu itu, secara peribadinya baginda masihlah insan seperti dahulu.

“I am still the same, I have not changed (Saya masih insan yang sama, saya tidak berubah pun)…tak adalah nak duduk melawa-lawa sahaja,” titah baginda dalam nada ceria.

Kisah cinta Tunku Azizah

Kasih suami membawa bahagia, kasih isteri membawa ke syurga. Keserasian dan kasih sayang antara puteri raja Johor yang disunting menjadi suri hati putera Pahang sejak 33 tahun lepas sering mendapat pujian rakyat jelata yang mengikuti kisah pasangan diraja ini.

Mengimbau kenangan awal perkenalan dengan Sultan Abdullah, Tunku Azizah mengakui tidak bercinta seperti pasangan lain kerana sebagai puteri yang dibesarkan dalam lingkungan istana, segala perlakuan baginda sentiasa dalam perhatian.

“Pertama kali jumpa Tuanku adalah waktu saya berumur 12 (tahun), Tuanku 13 (tahun)…(dan) 13 tahun kemudian baru kami melangsungkan perkahwinan. Ayahanda saya (Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail) cukup strict (tegas), ini kira orang lama betul. Jadi, tak ada dating (berjanji temu), tak ada keluar tengok wayang, have dinner (makan malam), tak ada langsung,” titah baginda.

Atas kekangan itu, hanya kiriman surat menjadi pengganti diri namun surat yang diterima itu juga harus melalui Almarhum ayahanda baginda sebelum sampai ke tangan Tunku Azizah.

Baginda bertitah bahawa Almarhum ayahanda baginda sentiasa mengingatkan anakanda-anakanda baginda supaya menjaga maruah sebagai anak raja. Tunku Azizah merupakan anakanda keempat daripada 10 beradik.

“Almarhum ayahanda berpesan, anak orang lain boleh. Di tepi jalan pun dia boleh buat (berjanji temu) sebab orang tak akan bercakap, tapi awak tu anak sultan dan cucu sultan. Apa yang awak buat, satu dunia Johor akan bercakap. Jadi awak kena jaga maruah awak sebagai anak raja,” titah Tunku Azizah yang berkongsi pesanan titah Almarhum ayahanda, yang masih diingatinya sehingga sekarang.

Ketegasan didikan yang diterima itu turut dipraktikkan kepada kesemua putera dan puteri baginda iaitu Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Puteri Iisha Ameera, Tengku Puteri Ilyana, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Hubungan dua keluarga diraja kembali erat

Walaupun perhubungan Seri Paduka berdua terjaga batasannya, namun keluarga Diraja Pahang dan Diraja Johor terutamanya nenenda Sultan Abdullah, Almarhum Sultan Abu Bakar dan nenenda baginda, Almarhum Sultan Ismail, amat mengharapkan pernikahan antara Tunku Azizah dan Sultan Abdullah dimeterai.

Ia bertujuan mengeratkan kembali hubungan persaudaraan antara keluarga Diraja Pahang dengan keluarga Diraja Johor, yang berasal dari jurai keturunan Sultan Abdul Jalil, yang kedua-dua anakanda baginda pernah menjadi Raja di Pahang dan Raja di Johor.

“Tok (Almarhum Sultan Ismail) tahu Almarhum ayahanda saya tegas dalam hal hubungan cinta dan tahu saya tidak boleh keluar dating (berjanji temu). Jadi, Tok suruh Tuanku yang ketika itu Tengku Mahkota Pahang turun ke Johor untuk bermain polo… ketika itu, kejap-kejap Tok titah suruh saya turun ke padang polo untuk memberi peluang saya berjumpa Tuanku,” titah baginda.

Tiga minggu sebelum kemangkatan Sultan Ismail, baginda bertanyakan kepada Tunku Azizah bila cucundanya itu ingin berkahwin.

“Masa itu, saya jawab, nak kahwin dengan siapa Tok, patik tak ada boyfriend (teman lelaki). Kemudian Tok saya cakap, you ada boyfriend (teman lelaki), saya tahu… itu Pahang (merujuk kepada Sultan Abdullah) boyfriend you (teman lelaki anda).

“Saya kata lagi, nak kahwin macam mana Tok, orang tak meminang. Ketika itu, saya baharu berusia 21 tahun dan Tuanku 22 tahun. Tapi Tok kata dia nak tengok saya kahwin ,” titah baginda yang sesekali kelihatan menyeka air mata.

Namun, tiga minggu kemudian, Almarhum Sultan Ismail mangkat tanpa sempat menyaksikan pernikahan cucundanya itu.

Sultan Abdullah di mata Tunku Azizah

Berkongsi keperibadian Sultan Abdullah, Tunku Azizah bertitah: “Seri Paduka adalah insan yang paling baik hati dalam dunia, murah hati, suka bersedekah…saya tidak pernah dengar Tuanku naik suara, tak garang, baik hati, tak pernah cakap pasal orang.”

Bagaimanapun, baginda mengakui Seri Paduka adalah seorang yang sangat tegas serta mengambil serius tentang tugas dan tanggungjawab yang digalas.

“Di Pahang dulu, Tuanku akan baca ‘Exco paper’ (kertas Exco)…one by one (satu per satu dibaca Tuanku) (manakala) di sini, setiap Rabu sebelum nak jumpa Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), Tuanku akan baca kabinet ‘paper’, semua sekali.

“Mungkin itu didikan daripada ayahanda dan ibunda kerana nak jadi raja adalah tanggungjawab besar. The moment (Apabila) Tuanku jadi Tengku Mahkota Pahang, hidup Tuanku bertukar…Tuanku tahu tanggungjawab baginda, Tuanku pergi melawat. He took it seriously, it is a life long job (Tuanku serius dalam melaksanakan tugas baginda, ia adalah tugas sepanjang hayat),” titah baginda.

Menyimpul harapan menjelang istiadat pertabalan itu, Tunku Azizah memanjatkan doa agar tugas berat yang diamanahkan oleh Raja-Raja Melayu, yang memilih Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16, dapat dilaksanakan Seri Paduka dengan sebaik mungkin mengikut landasan agama.

– BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

35 tahun: Roti Kumar terus laris

BALIK PULAU, 27 JUL: L.Muniandi, atau lebih mesra di kalangan penduduk di sini sebagai “Roti Man” atau “Roti Kumar”, cukup dikenali dengan jualan ‘Roti Bangla’ selama kira-kira 35 tahun, sehingga kini masih tidak berhasrat untuk ‘bersara’ dalam masa terdekat ini.

Biarpun di tengah hujan renyai-renyai di pagi Sabtu, penjual ‘Roti Kaya’ berumur 57 tahun ini boleh dilihat dengan baju hujannya berbasikal dengan tenang, sebelum meletakkannya di sebuah dinding yang dihiasi dengan lukisan mural yang memaparkan wajahnya itu.

Dalam temubual dengan Bernama, Muniandi berkata beliau akan terus bekerja menjuaI rotinya di sekitar Balik Pulai dan berjumpa dengan semua penduduk sekiitar sini yang mesra dengannya, walaupun sudah lanjut usia.

Walaupun perniagaannya kini tidak sekencang dahulu, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, katanya wajah mesra pelanggan serta tiga anaknya adalah motivasi terbesar dalam hidupnya untuk terus bekerja.

“Saya kenal ramai penduduk di sini, sering berbual dengan mereka, ramai yang saya lihat mereka bekerja keras walaupun umur sudah lanjut, bekerja sehingga tamat hayat. Sebenarnya saya berpuas hati melihat mereka terus bekerja sehingga akhir hayat, lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa sehingga akhir nyawa,” katanya kepada Bernama di sini.

Katanya setiap sen yang diperoleh dari hasil titik peluhnya itu dilaburkan untuk pendidikan anak-anak, dan hasilnya cukup membanggakan, apabila anak perempuan sulungnya yang berumur 29 tahun kini adalah seorang doktor, manakala anak perempuan keduanya, 25, adalah seorang peguam, dan anak lelaki bongsunya, 19, sedang melanjutkan -pelajaran dalam bindang kejuruteraan kimia di Universiti Teknologi Petronas (UTP) in Perak.

Noraini Yusof, petugas sekolah di SJK(C) Sacred Heart, berkata anak-anak Muniandi dihantar ke sekolah itu, dan beliau amat berbangga melihat anak-anak penjual roti itu membesar dengan cukup berjaya dalam bidang masing-masing.

“Saya kenal Kumar sejak kecil. dia selalu datang ke kampung ini tiap petang menjual roti. Dia kenal kami bagaikan sebahagian daripada keluarga, dan begitu jugalah layanan kami terhadapnya,” katanya kepada Bernama.

Pada 24 Julai Muniandi diberitahu bahawa anaknya ingin membawa beliau bersama isteri untuk bercuti,l sempena sambutan harijadinya, kerana beliau tidak pernah melancong sejak 30 tahun lepas lagi, namun beliau enggan dan sebaliknya bertegas mahukan wang itu digunakan untuk membantu ladang lembu abangnya di Pantai Acheh.

“Saya amat gembira dengan apa yang saya ada, dan di mana saya berada sekarang,” katanya.

Lukisan Mural yang memaparkan wajahnya yang dilukis bertentangan dengan SJK(C) Sacred Heart oleh artis Andhar A Samah, dinaungi oleh Jabatan Seni, Balai Seni Lukis Negara sempena Festival Balik Pulau 2019.

Muniandi berkata beliau masih ingat satu ketika dahulu betapa beliau amat mesra dengan artis grafiti Acit Raman Abdullah yang turut menyumbang kepada lukisan mural berkenaan.

“Semasa kecil, dia suka melukis di tengah jalan kampung ini sehingga saya sering beritahu dia supaya ketepi kerana saya bimbang nanti dia dilanggar basikal saya, tapi kini melihat dia sudah dewasa dan turut melukis wajah saya di dinding, saya sangat gembira,” katanya sambil tertawa.

Katanya beliau amat menghargai sumbagan artis-artis yang menjayakan lukisan mural itu, di samping berterima kasih kepada pelanggannya yang banyak menyokong beliau selama ini.

– BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Dogol ‘sado tapi jinak’

KUANTAN, 27 JUL: ‘Sado tapi jinak’ merupakan sifat lembu sado jenis Charolais bernama Dogol, sehingga menjadi ‘figura’ popular pada Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Pahang 2019 di Taman Bandar di sini, hari ini.

Pemiliknya Muhammad Taufiq Ramli, 27, berkata Dogol yang berusia dua tahun juga amat manja dan suka dibelai ‘peminat’ khususnya kanak-kanak yang lazimnya berasa teruja melihat kelibat lembu putih seberat 790 kilogram itu.

“Kanak-kanak memang suka memegang Dogol, sama ada di kandang atau di sini. Malah, tadi sempat saya membawa Dogol keluar dan ditambat di pokok supaya lebih dekat dengan mereka yang hendak membelainya.

“Jika di kandang, ada masanya anak rakan meminta untuk menunggang Dogol. Setakat ini, ia tidak pernah bersikap agresif dan saya juga akan memerhatikan keadaan supaya tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Muhammad Taufiq yang mengusahakan ternakan lembu di Kampung Pandan di sini sejak enam tahun lepas, mengakui sememangnya Dogol paling menonjol daripada 80 ekor ternakannya kerana saiznya yang luar biasa dan sifatnya yang jinak.

Lembu jantan yang dinobatkan sebagai King of Charolais pada program itu, menurut Muhammad Taufiq, tidak cerewet untuk dibela dan diberi makan sebanyak lima kilogram sehari terdiri daripada dedak makanan lembu dan rumput.

Walaupun Dogol dinilaikan pada harga RM15,000, Muhammad Taufiq berkata, setakat ini beliau belum bersedia untuk menjual lembu itu kerana masih seronok melihat gelagat manja Dogol.

Sementara itu, turut mengungguli carta lembu sado popular ialah Boboi yang berusia setahun lapan bulan seberat 578 kilogram milik Ahmad Rashidi Awang, 48, dari Felda Kota Gelanggi 3, Jerantut dekat sini.

Ahmad Rashidi yang sudah enam tahun mengusahakan ternakan itu, secara berseloroh berkata, Boboi adalah anak jati Pahang walaupun ‘bapanya’ berasal dari Perancis, merujuk kepada baka yang digunakan dalam kaedah permanian beradas dengan lembu tempatan.

“Tak sukar untuk menjaga Boboi kerana diletakkan di kandang… cuma sesekali saya bawa keluar untuk biarkan ia bermain tanah memandangkan kandang bersimen. Mudah menjaga lembu ini dan pulangannya juga tinggi.

“Boboi juga dimandikan dua kali sehari bagi menjaga kebersihannya dan lazimnya saya melakukannya sebelum memberi makan. Setiap hari, saya memperuntukkan enam kilogram makanan yang dibahagi pada pagi dan petang,” katanya.

Ahmad Rashidi juga berkata beliau menerima tawaran sebanyak RM12,000 untuk Boboi pada hari ini, namun masih belum membuat keputusan sama ada mahu menerimanya atau tidak.

– BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Permaisuri Agong suka memancing, selalu dapat ikan

KUANTAN, 25 JULAI: Minat Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada dunia jahitan dan masakan sememangnya sudah diketahui umum, tetapi ramai mungkin tidak tahu Raja Permaisuri Agong juga mempunyai hobi lain yang jarang menarik minat kaum wanita, iaitu memancing.

Di sebalik kelembutan perwatakan dan wajah putih kemerahan baginda, Tunku Azizah sebenarnya cekap memasang sendiri umpan pada mata kail dan tidak pernah pulang dengan tangan kosong setiap kali ‘melayan’ ikan di laut.

Sisi lain Raja Permaisuri Agong itu diceritakan rakan baginda, Datin Seri Tan Puay Ling, 58, yang berkata ​​​​​​hobi itu antara kegemaran baginda walaupun agak jarang dapat melakukannya.

“Kali terakhir kami memancing ialah tahun lalu di Pulau Redang (Terengganu) dan seperti biasa, baginda tidak perlu menunggu lama untuk mendapat ikan.

“Saya pun tidak tahu bagaimana…mungkin kerana bakat. Baginda juga begitu selesa berada di laut sedangkan saya sering mabuk laut walaupun kini semakin baik selepas beberapa kali mengikut baginda memancing,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Mengimbau perkenalan mereka, Tan berkata beliau sering melihat Tunku Azizah semasa anak bongsunya, Ti J-hhix dan anakanda baginda, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Sultan Abdullah belajar di tadika yang sama di sini sekitar 1999.

Bagaimanapun, ketika itu beliau hanya mampu memandang Tunku Azizah dari jauh setiap kali baginda mencemar duli menghadiri aktiviti tadika mahupun datang menghantar atau menjemput putera baginda itu.

“Biarpun Tunku Azizah nampak mesra dengan rakyat, namun saya hanya memerhati dari jauh sahaja sebab segan untuk menegur kerana baginda seorang yang berkedudukan tinggi. Kali pertama kami bercakap adalah semasa saya menemani anak perempuan saya ke hari sukan sekolah rendahnya.

“Ketika itu Tunku Azizah mencemar duli ke sekolah sama bagi memberi sokongan kepada anakanda baginda Tengku Amir Nasser Ibrahim dan baginda menegur cara saya memakai baju kurung Kedah bersama seluar panjang dengan mengatakan ia adalah cara yang menarik untuk menggayakan pakaian tradisional,” katanya.

Selepas itulah, katanya beliau mulai rapat dengan baginda ditambah lagi selepas suaminya Datuk Seri Ti Lian Ker aktif politik di Pahang.

Seperkara lagi yang dikagumi Tan mengenai Tunku Azizah ialah ‘kekuatan luar biasa’ yang dimiliki Tengku Ampuan Pahang itu setiap kali mencemar duli untuk menyantuni rakyat.

Tan yang sering menemani Tunku Azizah memasak di pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di Pahang mengakui hairan kerana Tunku Azizah tidak pernah kelihatan letih atau kedengaran merungut walaupun telah memasak di tiga atau empat PPS dalam sehari.

‘Kekuatan luar biasa’ yang dimiliki oleh baginda itu menyebabkan rakan-rakan rapat Tunku Azizah sering berseloroh dengan menyifatkan semangat baginda itu seperti bateri energizer atau ‘mempunyai tenaga solar selepas matahari terbenam’ kerana tidak pernah mengenal letih.

“Jika ada pertandingan memasak kotak misteri, Tunku Azizah pasti menang kerana baginda pasti boleh menghasilkan juadah yang enak… disebabkan baginda juga, saya kini boleh memasak hampir 100 resepi hanya menggunakan ikan sardin dan kobis,” katanya merujuk kepada dua bahan yang sering ada di PPS.

Tunku Azizah juga menurut Tan, amat prihatin dengan mereka yang akan disajikan juadah masakan baginda, seperti sering berpesan supaya masakan di PPS tidak terlalu pedas kerana ada anak kecil selain jangan bersantan bagi membolehkan makanan tahan lama dan rakyat boleh kerap mengulang makan.

Malah, Tan berkata baginda juga amat jarang beradu dalam kereta sebaliknya masih memastikan dirinya tetap aktif, sama ada mengait, menulis, melakukan crochet atau bermain ‘Candy Crush’, dan baginda tidak pernah hilang tumpuan walaupun melakukan aktiviti itu sambil berborak!

“Jika ditanya bila ‘me-time’ Tuanku, saya sendiri tidak tahu bila kerana kebanyakan masa ada sahaja yang hendak dilakukan. Saya sendiri lelah jika melihat aktiviti baginda tapi yang pasti saya belajar menjadi lebih baik kerana baginda.

“Semasa di awal saya mengikut baginda, pernah kami ke sebuah perkampungan dan saya tahu baginda dapat lihat keadaan lantai yang agak kotor, namun baginda tetap menghormati jemputan dan membuka kasut untuk masuk dan sudah pasti saya perlu masuk juga.

“Apabila saya melihat Tuanku memandang ke arah lain, saya mengesat kaki dengan kain baju kurung menyebabkan saya ditegur di dalam kereta. Rupanya baginda perasan dan menyifatkan perbuatan itu sebagai tidak baik dan memalukan baginda.

“Baginda berpesan kita perlu menjaga hati dan perasaan orang, lebih-lebih lagi tuan rumah. Begitu juga semasa kami ke kawasan yang agak banyak lalat. Tuanku tetap menjamah juadah dan tidak pernah cerewet walaupun hanya nasi dan ayam sahaja,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA PERSONALITI RENCANA

Agong tonggak keyakinan rakyat, ikon perpaduan negara

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Aspek perpaduan adalah antara perkara yang sentiasa diambil serius oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkuatkuasa 31 Januari lalu.

Bagi Seri Paduka, amat penting untuk rakyat negara ini menghargai keamanan, keselamatan serta keharmonian yang dinikmati hari ini.

Malah, mesej inilah antara intipati titah baginda ketika merasmikan Penggal Kedua Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada 11 Mac lepas.

Sultan Abdullah yang akan ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini mengingatkan rakyat jelata agar sentiasa memelihara keharmonian dan kerukunan hidup bermasyarakat.

Baginda turut mahu langkah tegas diambil untuk mengekang cubaan segelintir pihak yang mahu memainkan sentimen perkauman serta menyalahgunakan media sosial menyebar kandungan berbaur hasutan, fitnah dan fahaman ekstremis.

Tegas Seri Paduka, kelewatan bertindak terhadap isu yang melibatkan perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum boleh menyebabkan konflik dan perbalahan yang lebih besar.

Mengulas mengenai pendirian serius Seri Paduka itu, felo utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, Sultan Abdullah yang bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai ini menyedari usaha menyatupadukan rakyat dan memastikan keharmonian negara adalah antara keutamaan tertinggi dalam peranan selaku Ketua Utama Negara.

Atas kerana itulah, Seri Paduka dilihat amat meniktikberatkan perpaduan apabila tidak jemu-jemu menyeru rakyat semua kaum supaya memberi keutamaan dan perhatian serius kepada pemeliharaan khazanah perpaduan ini pada hampir setiap titah baginda.

Payung kedaulatan

“Sebagai masyarakat dan negara majmuk, Malaysia sangat perlu memelihara perpaduan yang sedia ada agar rakyatnya dapat terus hidup dalam suasana harmoni. Dan ini bukanlah satu tugas yang mudah untuk mengekalkannya kerana kita hidup dengan pelbagai bangsa, agama dan ideologi.

“Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara menyedari bahawa baginda mempunyai peranan penting mewujud dan melestarikan kerukunan dalam kalangan rakyat berbilang kaum antaranya dengan memastikan masyarakat negara ini bukan sahaja bantu-membantu antara satu sama lain dalam kehidupan seharian mereka.

“Lebih penting lagi ialah baginda ikut berperanan dalam memastikan rakyat Malaysia sokong-menyokong antara satu sama lain dalam kehidupan nasional,” kata Teo kepada Bernama baru-baru ini.

Sebagai tonggak kepada simbol perpaduan melangkaui kaum, Teo berkata Sultan Abdullah selaku Yang di-Pertuan Agong dianggap sebagai payung kedaulatan negara untuk memberi naungan, perlindungan dan pembelaan adil lagi saksama kepada setiap rakyat tanpa mengira kaum, asal keturunan, agama dan fahaman politik mereka.

Ia sejajar dengan sifat institusi raja itu sendiri yang terkecuali daripada ideologi politik demi memastikan apa jua yang dilakukan Seri Paduka dalam pemerintahannya adalah adil-seadilnya bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Hal ini sudah termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan akan tanggungjawab Seri Paduka untuk menjaga kepentingan semua kelompok masyarakat sebagai Ketua Negara Malaysia dan ia tidak pernah berubah sejak negara mula melaksanakan pemilihan Yang di-Pertuan Agong selepas negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Justeru, Sultan Abdullah mengambil berat akan aspek perpaduan yang dilihat sebagai remeh oleh sesetengah pihak. Faktor perpaduan sebenarnya adalah faktor utama mengapa Malaysia begitu stabil sehingga ke hari ini biar pun kesepaduan masyarakatnya sering kali diasak dengan pelbagai ujian.

“Kerukunan ini yang dituntun Seri Paduka dalam pemerintahan baginda pasti mempunyai dampak atau impak yang mempunyai banyak manfaat kepada kemajuan negara termasuk jaminan untuk rakyat terus menikmati akses pendidikan luas, kerjaya dan hidup dengan sempurna sebagai seorang manusia.

“Setiap kaum bebas mengamalkan pegangan agama masing-masing, menggunakan bahasa ibunda kaum tersendiri selain perpaduan utuh merupakan prasyarat utama bagi pihak pelabur untuk datang ke Malaysia. Kestabilan ini sudah tentu merupakan jaminan kepada para pelabur untuk melabur di negara ini,” jelas Teo.

Ikon perpaduan negara

Selain itu, Teo berpandangan ciri-ciri sahsiah atau perwatakan Sultan Abdullah yang terkenal mudah mesra dengan pelbagai lapisan masyarakat diyakini mampu merangsang rakyat agar lebih bermuafakat sekali gus mengukuhkan lagi penyatuan dan kerukunan sejati.

Ini kerana, perwatakan peribadi baginda itu dilihat akan memudahkan banyak hal pemerintahan negara dalam pelbagai perkara sekali gus menjamin kemajuan, kegemilangan dan keharmonian kepada Malaysia.

“Tidak dinafikan, setiap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong memiliki perwatakan berlainan dan mempunyai susuk kekuatan masing-masing.

“Bagi Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah boleh dijadikan contoh baik kepada rakyat pelbagai kaum dan lapisan masyarakat khususnya yang berkaitan dalam mewujudkan kemesraan sesama kita yang berbagai keturunan untuk memupuk persahabatan lebih akrab dan tulen dengan meneladani perwatakan baginda yang sangat peramah selain mudah bergaul dengan sesiapa sahaja.

“Sesungguhnya baginda adalah Ikon Perpaduan Negara,” katanya.

Di samping itu, tidak dapat dinafikan bahawa dengan adanya institusi Yang di-Pertuan Agong, ia merupakan pusat dan tempat kemuncak di peringkat negara untuk rakyat jelata memperlihatkan ketaatan kepada negara ini.

Malah, ketaatan ini dituntut daripada rakyat melalui Rukun Negara pada prinsip keduanya iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Dengan ini, rakyat sebenarnya memperlihatkan semangat cintakan negara apabila menyokong institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Semangat patriotik ini penting kerana dengan adanya semangat begini yang kuat lagi tidak berbelah-bahagi, ia bukan sahaja merupakan penegasan akan jati diri kita bahkan ia juga berupa rasa keterikatan yang kental seseorang individu itu kepada Malaysia.

“Ini antaranya dapat dilakukan terhadap institusi Raja, yakni taat kepada raja juga bererti setia kepada negara,” katanya.

Pengimbang keadaan

Selain itu, peranan baginda untuk sentiasa menjaga keselamatan, keamanan negara selaku Yang di-Pertuan Agong yakni kemuncak kedudukan dalam sesebuah negara dapat dilihat melalui tanggungjawab Seri Paduka dalam ketiga-tiga institusi kerajaan iaitu badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Menurut Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menyatakan secara jelas kuasa eksekutif iaitu kuasa berkaitan pentadbiran negara terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong walaupun secara umumnya ia dilaksanakan oleh penjawat awam dengan frasa Úrusan Seri Paduka Baginda’ pada setiap urusan rasmi.

Ini sekali gus menunjukkan peranan Yang di-Pertuan Agong amat besar dalam pentadbiran negara kerana segala urusan negara hendaklah diperakui di bawah kuasa yang terletak hak mengikut Perkara 39 tersebut.

“Cara paling penting seorang ketua negara menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya adalah dengan menurun kuasa kepada golongan tertentu dalam negara, biasanya kepada jemaah menteri. Kuasa jemaah menteri datangnya daripada kuasa Seri Paduka,” katanya.

Menurut Zainal, Yang di-Pertuan Agong dilihat sebagai pengimbang keadaan bagi memastikan penurunan kuasa kepada jemaah menteri itu tidak disalahgunakan atau dinodai sehingga mendatangkan impak negatif kepada rakyat.

Selain itu, Seri Paduka yang dilihat sebagai sumber kekuatan kepada kepelbagaian dan menjadi kemuncak kepada keadilan dan keseimbangan antara warga Malaysia turut dapat dilihat dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 153 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputra mana-mana negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum lain mengikut peruntukan Perkara tersebut.

“Perkara 153 melindungi semua orang, semua kaum tetapi orang tidak pernah sebut. Ramai mempersoalkan Perkara 153 hanya untuk orang Melayu sedangkan bangsa lain pun dilindungi Yang di-Pertuan Agong untuk mereka mendapat hak pendidikan, permit perniagaan dan sebagainya.

“Ia sering disalah anggap kerana Perkara 153 hanya dibaca sebahagiannya sahaja,” katanya.

Dalam konteks agama, kepentingan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri yang tidak mempunyai raja dan juga tiga buah Wilayah Persekutuan adalah amat bermakna bagi masyarakat beragama Islam kerana berperanan sebagai benteng mengekang usaha perpecahan keharmonian negara.

“Ketua agama ini penting diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi negeri yang tidak ada raja dan juga Wilayah Persekutuan supaya ulama-ulama tidak mempunyai pelbagai pemikiran. Kalau semua orang hendak jadi ulama dan keluarkan pelbagai fatwa, ia boleh menyebabkan masyarakat Islam berpecah-belah akibat perbezaan kepercayaan,” katanya.

Berkaitan hal ehwal kehakiman, Geostrategis dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Azmi Hassan berkata Yang di-Pertuan Agong mempunyai tanggungjawab sangat berat dalam isu perlantikan hakim di Mahkamah Tinggi demi memastikan hakim yang akan diperkenan setelah mendapat nasihat Perdana Menteri mewakili kepentingan negara dan rakyat.

Dalam kes yang ekstrem jika Seri Paduka merasakan calon hakim yang disyorkan Perdana Menteri tidak diperkenan oleh baginda dengan alasan kepentingan negara dan rakyat dicurigai tidak terjamin, maka menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong menolak percalonan tersebut.

“Walaupun senario ini belum tercetus di Malaysia, tetapi di Amerika Syarikat umpamanya pencalonan hakim Mahkamah Agong yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat sering menimbulkan kontroversi,” katanya.

Hakikatnya, ini hanya sebahagian peranan Yang di-Pertuan Agong yang dapat dihuraikan dalam memelihara kesejahteraan rakyat walhal sebenarnya banyak lagi tanggungjawab Seri Paduka yang termaktub jelas dan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan sekali gus menjadi tonggak keyakinan rakyat terhadap kestabilan negara.

– BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Rizalman manfaat Instagram bantu peniaga promosi produk

KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Walaupun berdepan kekangan waktu, pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim masih meluangkan masa membantu peniaga mempromosi produk mereka di laman sosial miliknya.

Tidak meletakkan sebarang bayaran, beliau menyifatkan usaha kecilnya memuat naik video berdurasi sekitar 15 saat di ruangan ‘instagram stories’ bagi mengetengahkan sesuatu produk mampu membantu peniaga tempatan menjana pendapatan lebih tinggi.

Beliau yang mula aktif melakukan promosi di Instagram miliknya, pada Ramadan lalu turut mengakui laman sosial itu adalah landasan terbaik dan cekap dalam mengembangkan perniagaan selain sebagai tanggungjawab sosial bagi membantu masyarakat.

“Saya tidak ambil sebarang bayaran, kita niat nak bantu kerana Allah dan tidak sangka semakin hari semakin bertambah barang yang dihantar. Saya percaya jika landasan ini digunakan dengan baik, ia akan memberi kebaikan kepada saya dan orang lain.

“Saya akan melakukan ‘review’ pada masa terluang. Sehari lebih daripada 10 barang dan makanan yang dihantar ke butik saya,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di butiknya di Jalan Imbi di sini.

Lebih selesa bertutur dalam loghat utara ketika membuat promosi, beliau berkata, antara produk yang diterima adalah barangan kaca, kosmetik dan makanan.

“Saya juga terpaksa menolak buat ‘review’ makanan basah macam kuih muih dan sebagainya sebab barang seperti ini kena buat ‘review’ cepat sebab ada tempoh luputnya, takut bila dah lapang makanan itu pula sudah tidak segar lagi,” katanya yang mempunyai lebih 660,000 pengikut Instagram.

Rizalman yang dilihat kreatif dalam penyampaian membuat promosi barangan yang diterima kini terpaksa menangguhkan sementara waktu aktiviti itu susulan kekangan masa.

Beliau kini terbabit dengan persiapan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Sekarang saya hentikan dulu membuat ‘review’ semua produk dan akan sambung semula selepas semua acara ini selesai,” katanya.

Berkongsi berkenaan perancangannya dalam masa terdekat, anak jati Pulau Pinang itu berkata, beliau akan melancarkan koleksi terbaharu beg tangannya melalui kolaborasi bersama satu jenama tempatan.

“Ini kali kedua kolaborasi saya bersama jenama berkenaan dan kali ini lebih banyak pilihan. Selain itu, saya dalam perancangan untuk mengeluarkan produk makanan tambahan jenama sendiri, kini saya masih lagi ‘test’ produk itu,” katanya.

-BERNAMA