Categories
PERSONALITI PILIHAN MINGGUAN RENCANA

Selangor utamakan golongan kurang mampu

Berikut adalah ucapan penuh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Selangor 2019 di perkarangan Pusat Pemborong GM Klang pada 14 Disember 2019.

Assalamualaikum and good evening to all of you!

Saya rasa bersyukur dan bertuah dapat berada bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan pada malam ini. Saya pasti di musim cuti sekolah ini, ramai yang berpeluang untuk bertemu jiran-jiran, rakan taulan dan sanak saudara untuk beramah mesra, meluangkan masa berkualiti malah membeli-belah bersama seperti di GM Klang ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Ribuan tahun dahulu, seorang insan istimewa telah lahir di Nazareth dan membawa mesej keamanan, persaudaraan dan cinta. Kehidupan baginda mencetuskan perubahan yang tidak sedikit malahan ia menyentuh banyak sendi kehidupan kita: seni rupa, seni muzik, malahan budaya secara amnya.

Pesan-pesan Jesus Christ atau Isa A.S untuk sentiasa menjaga yang sakit, memberi makan pada yang lapar, dan mengalu-alukan tetamu tanpa mengira latar belakang memberi kesan yang besar kepada perjalanan sejarah dan kemanusiaan seluruhnya. Seperti yang dinukil dalam Injil Matthew 7:12 dan juga Luke 6:31, pesan untuk “melayan seseorang seperti mana kita ingin dilayani” ini menjadi tema besar apa yang dipanggil sebagai Golden Rule dalam perkembangan moral dan etika.

Untuk umat di Malaysia yang rata-ratanya Muslim, tidaklah janggal nasihat sebegitu. Ia seiring dengan nasihat Junjungan Besar Muhammad S.A.W yang bersabda:

ال يؤمن أحدكم حتى يحب ِلخيه ما يحب لنفسه

(La Yukminu Ahadukum Hatta Yuhibbu Li Aakhihi Ma Yuhibbu Li Nafsih) yang bermaksud “Tidaklah beriman seseorang daripada kamu sehinggalah ia mencintai saudaranya seperti mana ia mencinta dirinya sendiri” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Lain-lain pesanan kemanusiaan seperti dialog Cain dan Abel (atau Habil dan Qabil dalam tradisi Islam) tentang “I am my brother’s keeper” dan juga “love thy neighbour” turut mendapat gemanya dalam tradisi Muslim bahawa “barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, hendaklah ia menghormati jirannya”.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya percaya itulah antara mesej serta pesan yang cuba dibawa pada musim perayaan Krismas ini. Masing-masing bercuti dan meluangkan masa untuk merapatkan hubungan sesama adik-beradik, sanak famili juga jiran tetangga dalam rasa persaudaraan, kasih sayang dan keharmonian. Kerukunan inilah yang menjadi resipi kejayaan Malaysia selama lebih 62 tahun. Kedamaian yang kita capai ini haruslah dipertahankan, seperti titah baginda Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-74 baru-baru ini.

Tidak dinafikan, kesenjangan ekonomi yang berjaya dirapatkan sangat membantu dalam pembinaan bangsa. Untuk itu, penting untuk digerakkan langkah-langkah yang perlu di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri dalam mengekalkan kestabilan politik dan ekonomi bagi membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Untuk tahun 2020 yang akan kita alami beberapa hari lagi, kita di Selangor terus mengorak langkah dengan menginstitusikan beberapa polisi pro ekonomi seperti Dasar Kelulusan 100 Hari yang bakal mempermudah urusan merancang dan membangunkan tanah. Pentadbiran ini berani mengambil langkah proaktif dengan pengenalan program Inisiatif Roda Darul Ehsan atau RiDE bagi menyemarakkan lagi “gig economy” buat anak muda yang mahu menceburi bidang ini.

Untuk yang baru mahupun yang sudah berniaga, banyak peluang serta wahana disediakan bagi mereka mempertingkatkan kemahiran melalui program-program TVET seperti IKTISASS di Kolej INPENS serta memperkembang perniagaan mereka melalui kemudahan modal mikrokredit daripada Yayasan HIJRAH. Ini semua bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memberi yang terbaik buat rakyatnya.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Selain daripada kestabilan ekonomi dan ‘ease of doing business’, Kerajaan Negeri turut memberikan perhatian kepada aspek keselamatan. Seperti yang telah dibentangkan dalam Belanjawan Selangor 2020, pentadbiran ini bakal mengupayakan pengawasan yang lebih baik dengan pemasangan 5,000 unit CCTV di seluruh Selangor. Barisan penguatkuasa kita di PBT turut dipertingkatkan kualitinya menjadi Polis Bantuan seramai 180 anggota buat permulaan. Tidak dinafikan rasa aman damai dan sejahtera menjadi impian seluruh rakyat Selangor.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Seperti apa yang selalu disebut sebagai “miracle of Christmas” atau keajaiban Hari Natal, Kerajaan Negeri tidak pernah lupa kepada mereka yang kurang upaya dan juga kepedulian kepada alam sekitar. Banyak lagi polisi lain seperti penubuhan Majlis Tindakan OKU Selangor, program Anak Istimewa Selangor atau AnIS dan juga program-program mesra warga emas berjumlah RM20 juta. Selain itu, turut dianjurkan kesukarelawan hijau atau ‘green volunteerism’ juga “Friends of River”—keseluruhannya dalam rangka meraikan semua pihak agar tiada golongan yang tertinggal selari dengan tema Selangor Maju Bersama. Ini sudah pasti akan menjadikan negeri ini unggul dan kehidupan rakyatnya bermartabat.

Akhir kata, saya mahu mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada penganjur pihak GM Klang dan juga Persatuan Belia Kristian Malaysia (MCYA) yang bersungguh-sungguh menjadikan program malamini suatu realiti.

Buat para penganut agama Kristian: Merry Christmas! Semoga diberkati semua hendaknya.

Wabillahi taufiq wal hidayah. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Categories
PERSONALITI RENCANA

M Chandran permata berharga Selangor, Malaysia

Pemergian pemain legenda, Datuk M Chandran, meninggalkan kesan mendalam terhadap lipatan sejarah bola sepak negara yang pernah mengharungi ranjau suka duka, di era 70an.

Sebagai seorang pemain pertahanan tengah terbaik Asia yang pernah dilahirkan, M Chandran juga seorang jurulatih hebat apabila berjaya memimpin Selangor memenangi beberapa kejuaraan Piala Malaysia.

Menyingkap perjalanan sukan bola sepak anak kelahiran Sungai Siput, Perak itu, beliau memulakan karier bermain dengan Persatuan India Selangor (SIA) sebelum dipanggil beraksi bersama Selangor.

Bermula dari situ, beliau menempa nama sebagai pemain pertahanan tengah kental dan pernah memakai lilitan kapten bersama Selangor selama lima tahun dan Malaysia tiga tahun.

M Chandran membentuk gandingan mantap bersama Dato’ Soh Chin Aun ketika membantu Malaysia layak beraksi di Sukan Olimpik buat kali pertama pada 1972 di Munich, Jerman.

Keampuhan itu dibuktikan apabila gawang Malaysia tidak dibolosi sebarang gol pada aksi kelayakan Olimpik, pada 1971.

Ketika itu, Malaysia adalah sebuah pasukan digeruni di peringkat Asia apabila menang ke atas Korea Selatan (1-0), Jepun (3-0), China (3-0) dan Filipina (5-0), hasil kepimpinan hebat M Chandran.

Aksi di pentas Olimpik menyaksikan Malaysia tewas 3-0 ke atas Jerman walaupun berjaya mengikat tuan rumah tanpa jaringan pada babak pertama.

Bagaimanapun, Malaysia berjaya melakar kemenangan pertama pada perlawanan seterusnya apabila membelasah Amerika Syarikat 3-0 sebelum mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan kekalahan 6-0 di tangan Morocco pada perlawanan terakhir.

Skuad negara ketika itu terdiri daripada Namat Abdullah, M Chandran, Othman Abdullah, Chin Aun, Khoo Huan Khen, Hamzah Hussain, Shahruddin Abdullah, Wan Zawawi Wan Yusof, V Krishnasami, Ibrahim Salleh, Harun Jusoh, Wong Kam Fook, Ali Bakar dan Lim Fung Kee.

Selain aksi di Munich, M Chandran turut memainkan peranan besar dalam pasukan Malaysia yang berjaya memenangi pingat gangsa pada Sukan Asian 1974 di Tehran, Iran.

Salah seorang jurulatih berjaya bersama Selangor dengan beberapa kejuaraan Piala Malaysia, beliau juga pernah membimbing skuad kebangsaan dari tahun 1982 hingga 1988.

Atas sumbangan dan jasa dalam sukan bola sepak, beliau dianugerahkan pangkat Datuk oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Pahang, Almarhum Sultan Ahmad Shah pada tahun 2000 dan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (2010).

M Chandran, 77, yang meninggal dunia pada 28 September 2019 akibat penyakit motor neuron (MND) meninggalkan isteri, Datin A Pushpalatha serta dua anak lelaki berusia 38 dan 36 tahun.

Categories
PERSONALITI RENCANA

Penternakan: Tak glamour, tapi lumayan

PEKAN, 27 SEPT: Bergelumang dengan bau lembu dan kambing dilihat sebagai pekerjaan tidak glamour, namun jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh boleh mendatangkan pulangan lumayan.

Generasi kedua Felda Chini 3 di sini, Hasjikiman Othman, 35, mula membela ternakan dalam ladang kelapa sawit sejak lima tahun lepas, dan setakat ini mempunyai 85 ekor lembu selain 20 ekor kambing.

Bapa kepada tiga orang anak berusia antara satu dan enam tahun itu mengakui bidang ternakan yang sebelum ini dilakukan secara ‘suka-suka’, kini amat membantu terutamanya semasa berdepan kejatuhan harga komoditi itu.

“Sekurang-kurangnya dua ekor lembu dapat dijual setiap bulan dengan harga sekitar RM22 sekilo manakala pada Aidiladha lepas, saya menjual lapan ekor lembu dengan harga RM3,800 seekor.

“Jualan kambing pula lebih stabil kerana hampir 20 ekor ditempah setiap bulan yang dijual antara RM900 ke RM950 seekor mengikut berat,” katanya semasa ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Hasjikiman berkata, beliau mengeluarkan modal sekitar RM30,000 untuk membeli 15 ekor lembu bagi dijadikan induk pada awal pembabitan dalam industri penternakan, manakala RM10,000 dijadikan modal permulaan kambing.

Menjaga ternakan itu juga, menurut Hasjikiman tidak begitu sukar kerana kedudukan kandang di ladang membolehkan beliau ‘mencuri masa’ untuk melihat dan memberi makan pada waktu pagi sebelum masuk ke kebun.

Selepas tamat bekerja di kebun pada waktu tengah hari, beliau sekali lagi kembali ke kandang selepas selesai menunaikan solat asar untuk memberi makan dan memeriksa haiwan ternakannya, jika ada yang sakit.

“Makan pun mudah kerana saya memberi rumput napier yang ditanam berhampiran kawasan ladang…cuma setiap bulan kena belanja juga beberapa ratus ringgit untuk membeli pallet makanan lembu dan kambing,” katanya.

Sebagai nilai tambah kepada dirinya, Hasjikiman juga mengikuti kursus sembelihan dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) selain kursus oleh Jabatan Veterinar bagi mendalami ilmu penternakan dengan lebih mendalam.

Bagi pasangan suami isteri Felda Chini 4 di sini, Rusman Diron, 65, dan Jamaliah Roslan, 60, masa terluang mereka diisi dengan menternak kelulut di perkarangan belakang rumah sejak awal tahun 2015.

Jamaliah berkata minat untuk menternak kelulut timbul selepas mengikuti kursus dengan permulaan dua buah sarang, bagi tujuan mendapatkan madu memandangkan suaminya menjadikan meminum madu sebagai amalan harian.

“…daripada untuk kegunaan sendiri, kami berkembang sehingga mempunyai 26 sarang kelulut dan mula menjual madu menerusi media sosial yang diuruskan oleh anak selain menjual secara terus kepada mereka yang datang ke rumah.

“Memang tak sangka boleh terjebak dalam perusahaan madu kelulut tapi selepas difikirkan, sayang jika tanah di belakang rumah dibiarkan sahaja. Tambahan pula, saya banyak menanam bunga yang mana menurut pengajar kursus sesuai dijadikan makanan kelulut,” katanya.

Jamaliah berkata proses mengambil madu dilakukan tiga minggu sekali dan pada kali terakhir beliau melakukannya, berjaya memperoleh 30 kilogram madu yang dijual pada harga RM250 untuk sekilogram.

Katanya, proses ‘menuai’ madu boleh mengambil masa selama dua hari sebelum diproses termasuk proses sejatan bagi mengurangkan kandungan air supaya rasa madunya kurang masam dan dibotolkan untuk dihantar kepada pembeli.

Beliau juga bersyukur kerana telah mempunyai pelanggan tetap selain terpaksa menolak beberapa permintaan untuk membekalkan madu kelulut kepada pemborong kerana bimbang jika tidak dapat melakukannya secara konsisten.

“Maklum sahajalah, jumlah madu yang dihasilkan berkurangan pada musim hujan kerana kelulut tidak boleh keluar untuk mencari makan. Selain itu, ada masanya kelulut juga terkena serangan musuh seperti lalat buah, semut dan cicak,” katanya.

– BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Kelainan batik bermotif tema adiwira

KOTA BAHARU, 4 SEPT: Dalam kalangan pembatik di Pantai Timur, Amir Harith Mat Kashim pernah dilabelkan sebagai seorang yang ‘gila’ kerana mahu menampil kelainan pada motif batik, dengan ramai menganggapnya sebagai corak yang tidak boleh diterima akal.

Masakan tidak, anak kelima daripada sembilan beradik itu cuba lari daripada konsep kebiasaan pembatik apabila beliau memilih tema watak adiwira seperti Superman, Batman dan Spider-Man serta adiwira global komik terkenal sebagai motif rekaan batiknya.

Walhal, seperti diketahui umum, corak batik negara tidak pernah lari daripada lingkaran motif bertunjangkan alam semula jadi meliputi kepelbagaian flora, fauna mahupun rekaan kontemporari masa kini seperti abstrak serta konsep geometri yang sering menjadi pilihan pengusaha batik.

Justeru, keputusan Amir Harith, 30, yang mahu membawa pendekatan motif adiwira dalam penghasilan batik menerusi jenama Bujins dilihat seolah-olah menjejaskan reputasi kraf tekstil itu, yang sinonim dengan nilai eksklusif dan juga lambang kemegahan warisan tempatan.

Sekumpulan wakil media yang mengunjungi bengkel pembatik itu di Jalan Kuala Krai sempena program ‘Kisah Kejayaan’ Bekas Graduan Institut Kraf Negara (IKN) di negeri Pantai Timur anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) pada 22 dan 23 Julai lepas, turut berkongsi pandangan yang sama, pada awalnya.

“Datang jauh-jauh dari KL (Kuala Lumpur) semata-mata nak tengok batik bertema superhero yang sesuai untuk budak-budak sahaja” getus hati kecil penulis ketika diberitahu mengenai kelainan motif batik Amir Harith.

Namun, persepsi kebanyakan wakil media berubah sejurus melihat hasil karya anak jati Kota Baharu itu.

Motif adiwira

Watak adiwira Hulk yang dicantingkan pada paparan kain sutera berona putih bukanlah sebarangan tetapi ia persis lukisan mahal yang diolah penuh kreativiti sehingga menampakkan hasil yang eksklusif dan mewah.

Tidak hairanlah batik yang dihasilkannya ada yang boleh dijual sehingga mencecah ribuan ringgit.

“Ramai yang kata idea saya mengarut dan orang tidak mungkin beli batik saya. Sekiranya pun ada, hanyalah kanak-kanak yang berminat…tetapi saya suka cabar diri untuk buat perkara yang dianggap tidak logik. Akhirnya ia diterima ramai.

“Misalnya, bila kita sebut tema watak adiwira Batman pada baju, ramai golongan 40-an tertanya-tanya bolehkah mereka pakai baju bercorak adiwira pada usia itu.

“Tetapi, selepas melihat hasilnya mereka terus berminat. Ramai pembeli adalah dari kalangan yang berumur 30-an dan ke atas,” kata pemilik Bujins L Batik Sdn Bhd itu kepada Bernama.

Dan, para pelanggannya bukanlah calang-calang.

Batik koleksi bertema adiwira Amir Harith mendapat sambutan sangat menggalakkan khususnya dari kalangan orang kenamaan serta selebriti daripada pelbagai peringkat usia dan kaum sejak ia mula dipasarkan tahun lalu.

Batik keluarannya dijual pada harga antara RM200 dan ada yang mencecah beberapa ribu ringgit namun, itu tidak menjadi halangan untuk peminat batik memilikinya.

Amir Harith Mat Kashim, pemilik Bujins L Batik Sdn Bhd. Foto BERNAMA

Malah, motif idea yang dianggap ‘gila’ oleh kebanyakan pengusaha batik sebelum ini habis terjual dalam masa singkat sahaja.

“Saya memilih motif superhero sebagai motif untuk membuktikan bahawa pembatik boleh berinovasi dalam seni rekaan kraf tekstil ini. Tidak semestinya batik hanya rekaan berasaskan geometri dan alam semula jadi. Saya harap pembatik lain juga berfikir di luar kelaziman.

“Sebelum ini, saya sama juga seperti mereka dengan menghasilkan rekaan batik berunsurkan alam semula jadi sejak Bujins beroperasi pada 2009. Tetapi, kerana ingin memajukan perniagaan batik dan mahu membuat kelainan, saya tampil dengan motif superhero,” katanya.

Pahlawan tempatan

Berikutan sambutan yang amat menggalakkan, Amir Harith dan pasukan Bujins memperluaskan lagi konsep motif batik dengan memperkenalkan pula tema adiwira atau tokoh tempatan sebagai corak batik terbaharu keluaran mereka.

Sebagai permulaan, Bujins memilih Laksamana Hang Tuah yang menjadi legenda dalam abad ke-15 semasa pemerintahan Kesultanan Melaka bersama-sama empat saudaranya – Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu – sebagai corak batik keluarannya.

Dihasilkan dalam edisi terhad, koleksi pahlawan Melayu itu ditampilkan pada baju kemeja lelaki dan dijangka dipasarkan di butik Bujins di pasar raya GM Bukit Bintang serta di laman sesawangnya, www.bujins.com pada September ini.

“Selain baju kemeja lelaki koleksi pahlawan, kami juga menjual busana batik wanita seperti blaus, jubah, baju kaftan dan kain ela yang menampilkan rekaan corak moden, minimalis serta kontemporari tetapi pada masa sama mengekalkan ciri-ciri klasik,” katanya yang mempunyai 12 pekerja.

Beliau memberitahu bahawa bukan mudah untuk mengenal pasti figura Laksamana Hang Tuah dan rakan-rakannya.

Amir Harith dan pasukan Bujins mengambil masa hampir setahun melakukan penyelidikan dan melakar motif berlandaskan fakta sejarah daripada muzium, pembacaan buku dan berdiskusi dengan beberapa pakar sejarah.

“Koleksi pendekar ini merupakan versi permulaan. Perancangan bagi edisi seterusnya, Bujins akan mempelbagaikan tokoh atau pejuang negara dari pelbagai etnik termasuk di Sabah dan Sarawak yang telah berkorban demi menuntut kemerdekaan.

“Selepas ini, mungkin ada siri khas seperti kisah Bukit Kepong dan sebagainya kerana saya mahu jadikan Bujins sebagai platform penceritaan sejarah menerusi motif batik. Apabila orang tengok fesyen Bujins, mereka akan tahu sejarah,” katanya.

Beliau menjelaskan Bujins turut menyelitkan penceritaan motif mengenai tokoh atau pahlawan pada label setiap koleksi baju batik yang dihasilkan.

Koleksi pendekar itu sudahpun mendapat permintaan awal khususnya daripada pelanggan setia Bujins walaupun ia belum dipasarkan, dengan kebanyakannya adalah dari kalangan bukan Melayu.

Jasa IKN

Kelainan yang ditampilkan Amir Harith, yang pernah menerima anugerah Pertandingan Rekaan Batik Piala Seri Endon 2013 dan 2014 serta Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2009, dalam setiap hasil batiknya adalah cara beliau mempamerkan rasa cinta dan semangat patriotik kepada negara.

“Generasi muda selalu dipersalahkan kerana dikatakan tidak patriotik sedangkan kami mempunyai cara tersendiri untuk mengekspresikannya.

“Misalnya, saya mempamerkan motif pahlawan, tokoh pejuang negara menerusi gabungan rekaan kontemporari dan elemen tradisional sebagai corak batik bagi memastikan kraf ini terus diminati dan pada masa sama mengingati kembali sejarah negara,” katanya.

Beliau yang mempelajari kemahiran batik sejak berusia 15 tahun berkata IKN banyak membantunya memperluaskan lagi ilmu kraf warisan itu sehingga berjaya mempunyai bengkel dan butiknya sendiri.

“Saya bukanlah dari keluarga yang ada perusahaan batik. Namun, minat terhadap dunia seni ini membuatkan saya bekerja secara separuh masa dengan usahawan batik selepas waktu sekolah sebelum melanjutkan pelajaran di IKN pada 2007 hingga 2011,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

‘Pocket Rocketman’ bawa ‘Bahasa Malaysia’ ke Melbourne

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Menerapkan unsur kemerdekaan dalam diri anak muda bukan satu perkara mudah memandangkan generasi kini sering dipengaruhi budaya barat, terutama bagi mereka yang dibesarkan di luar Malaysia.

Tidak ketinggalan jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang berusaha memupuk nilai ketimuran dalam diri anak-anaknya yang kini menetap di Melbourne, Australia.

Seiring dengan 62 tahun sambutan kemerdekaan yang bakal disambut tidak lama lagi, Azizulhasni turut berkongsi cerita pahit manis serta kesukaran memberi didikan dan memupuk semangat sayangkan Malaysia dalam diri dua puterinya.

Walaupun sudah merantau di negara orang hampir 12 tahun atas tuntutan kerjaya, namun pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio itu mengakui ia bukan penghalang buat dirinya dan isteri, Athiah Ilyana Abd Samat, untuk memastikan Amna Mariyam, 7 dan Amna Khadeeja, 4 tidak melupakan asal usul mereka yang berasal dari Malaysia.

“Saya di rumah memang akan sentiasa bercakap dalam Bahasa Malaysia dengan mereka sebab kami duduk di Australia sudah lama, anak-anak semua sekolah di sana.

“Jadi, kami suami isteri akan cuba untuk terapkan nilai Malaysia dalam diri mereka supaya tidak lupa asal usul walaupun berada di perantauan.

“Saya juga selalu ajar mereka berhubung geografi dan sejarah Malaysia, buat aktiviti mewarna bendera dan tampal di dinding rumah. Saya tunjuk iklan atau cerita berkisar kemerdekaan untuk beri mereka lebih kefahaman walaupun mereka masih kecil,” katanya kepada Bernama.

Azizulhasni sebelum ini mengikuti pengajian dalam bidang sains sukan di Victoria University di Melbourne dan beliau atlet bukan warganegara Australia pertama menerima Blue Award daripada universiti itu, pada 2015.

Isterinya, Athiah Ilyana pula adalah lulusan Deakin, Geelong University dalam bidang seni bina, seorang suri rumah, menemani Azizulhasni yang berpangkalan di Melbourne sejak 2007.

Menceritakan detik paling bermakna buat dirinya selaku atlet kebangsaan, bekas juara dunia keirin itu berbangga apabila mampu menghadiahkan kejayaan meraih pingat emas acara pecut individu bersempena Hari Kebangsaan yang ke-61 di Sukan Asia, Jakarta-Palembang tahun lalu.

Beliau yang dikenali dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’ itu mengakui sukan menjadi medium terbaik dalam usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Beliau sendiri gemar bergaul dengan rakan-rakan yang berlainan kaum dan agama, seperti kehidupan yang diamalkan di negara ini sejak sekian lamanya.

“Atlet kita terdiri daripada berbilang kaum dan agama, jadi saya memang suka duduk satu meja dengan mereka semua, namun ada sesetengah atlet duduk mengikut kaum atau sukan tertentu, tapi saya tidak. Saya akan pergi ke meja atlet lain untuk mewujudkan suasana sukan yang lebih harmoni,” katanya.

Atlet berasal dari Dungun, Terengganu itu berharap seluruh rakyat Malaysia mampu mengekalkan konsep hidup aman damai dan bersatu padu seperti yang telah diamalkan sejak bertahun lamanya agar keharmonian sejagat dapat dicapai tanpa perlu ada perbalahan kaum.

“Sebenarnya tiada sebab untuk kita berpecah belah. Kita duduk dalam satu negara, pelbagai kaum dan bangsa jadi kita kena hidup saling memahami dan melengkapi antara satu sama lain. Jangan disebabkan ada sesetengah individu yang mencucuh api cakap itu ini (isu perkauman), kita senang sahaja ikut.

“Kita perlu tahu hala tuju hidup dan negara kita kerana Malaysia memang dari dulu hidup tiada masalah. Saya masih ingat datuk saya cerita, dulu satu kampung ada Melayu, Cina dan India semua boleh duduk sekali minum di kedai kopi.

“Malah, saya sendiri pernah dijaga oleh keluarga Cina sewaktu kecil apabila ibu dan opah saya berniaga di kedai makan dulu,” katanya menutup bicara.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Jahit pakaian Jalur Gemilang jadi rutin wajib

MELAKA, 20 OGOS: Bermula dengan sekadar ingin mencuba dan menguji kreativiti diri sendiri menjahit pakaian menggunakan Jalur Gemilang lapan tahun lalu, aktiviti itu kini menjadi rutin wajib bagi seorang tukang jahit, Mardhiah Nasir, terutama ketika menjelang sambutan kemerdekaan.

Ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, idea menjahit pakaian Jalur Gemilang tercetus ketika menjahit pakaian berkenaan untuk anaknya dan berasa bangga apabila ia diperagakan sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Pada mulanya, saya menjahit pakaian Jalur Gemilang hanya untuk tiga orang dan mereka kelihatan sangat comel ketika memperagakannya.

“Tambahan pula, minat saya mendapat sokongan daripada suami, mak dan ayah. Jadi bermula sejak itu, setiap tahun saya tidak akan menolak tempahan untuk menjahit pakaian Jalur Gemilang.

“Selain dapat meningkatkan rasa cinta kepada Jalur Gemilang dan memupuk semangat patriotik dalam diri anak-anak terutama pada bulan kemerdekaan, pakaian itu juga membuka laluan untuk mereka menyertai pertandingan pakaian yang sering diadakan setiap bulan Ogos,” katanya.

Mardhiah, 32, yang menjahit pakaian Jalur Gemilang di rumahnya di Balik Bukit, Tambak Bugis di sini berkata, kreativiti itu juga kini menjadi salah satu sumber pendapatannya kerana beliau akan menerima sekurang-kurangnya 10 tempahan pakaian Jalur Gemilang menjelang bulan Ogos.

Katanya, untuk menjahit ‘dress’ kanak-kanak, sekurang-kurangnya enam hingga 12 Jalur Gemilang bersaiz 0.6 meter x 1.2 meter diperlukan, manakala untuk pakaian dewasa sekurang-kurangnya empat Jalur Gemilang bersaiz 0.9 meter x 1.8 meter dan harga tempahan adalah antara RM60 dan RM150.

Beliau yang lebih mesra disapa dengan panggilan Along berkata, selain menerima tempahan, beliau juga menyewakan pakaian Jalur Gemilang pelbagai saiz lebih 50 helai untuk lelaki dan perempuan termasuk aksesori seperti tudung, tanjak dan topi dengan harga bermula RM60.

Katanya, menjahit pakaian Jalur Gemilang bukan hanya sekadar menggabungkan beberapa bendera, sebaliknya perlu mematuhi sensitiviti kerana ia adalah simbol penghormatan, martabat dan kedaulatan bagi sesebuah negara.

“Pada saya, bila menjahit pakaian menggunakan Jalur Gemilang, kita perlu lebih berhati-hati terutama kedudukan bulan dan bintang. Biasanya saya akan pastikan elemen bulan dan bintang pada Jalur Gemilang akan diletakkan di atas paras pinggang atau di bahagian dada.

“Kain atau seluar juga pada saya ia tidak boleh meleret sehingga mencecah tanah. Prinsip itu kena ada kerana selalu juga nampak orang jahit pakaian Jalur Gemilang semberono sahaja,” katanya mewarisi kemahiran menjahit daripada ibunya, Mariam Aman sejak berusia 10 tahun.

Katanya, bekalan Jalur Gemilang yang dijual di kedai atau pasar raya terutama pada bulan kemerdekaan sering kehabisan kerana mendapat permintaan yang tinggi bagi meraikan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat di negara ini.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Sayangi Malaysiaku: 45 minit berbalas tembakan dengan komunis

KUCHING, 15 OGOS: “Saya bersama-sama (Datuk Temenggong) Kanang anak Langkau serta pasukan pernah berbalas tembakan dengan komunis selama hampir 45 minit di kawasan Gunung Korbu, Perak.”

Demikian kata Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral, Datuk Toh Choon Siang ketika mengungkap kembali pengalaman getirnya dalam mempertahankan tanah air tercinta.

Choon Siang, 59, sukar dicari ganti, beliau yang bakal bersara pada 16 September ini, adalah pegawai kanan berbangsa Cina yang pertama berkhidmat paling lama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu 42 tahun, sembilan bulan dan lapan hari.

Darah kesatria yang mengalir dalam diri beliau diwarisi daripada bapanya yang berkhidmat sebagai tentera udara British semasa Perang Dunia Kedua.

Menceritakan pengalamannya sewaktu berdepan musuh dalam mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi negara, beliau berkata, tahap kejayaan mereka apabila dapat membunuh dan menangkap lebih ramai komunis.

“Kalau balik tangan kosong dianggap tidak berjaya, kalau saya kata tidak takut, itu bohonglah. Kejayaan kami dapat mengalahkan ideologi komunis, ia adalah kejayaan pasukan kami.

“Zaman itu, kejayaan mengusung keluar mayat komunis adalah suatu kejayaan bagi kami yang amat dibanggakan,” kata pejuang yang dilahirkan di Johor dan dibesarkan di Pulau Pinang itu kepada Bernama.

Antara pencapaian sepanjang bertugas sebagai pegawai tentera, beliau menyelesaikan 97 kes termasuk melakukan tangkapan seramai 177 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dengan nilai rampasan RM1.2 juta.

Dalam pada itu, Choon Siang yang merupakan lepasan ijazah pengurusan di Australia pada 1992 dan memperoleh sarjana di UKM dalam jurusan pertahanan berpendapat usaha yang berterusan diperlukan untuk mengubah persepsi kerjaya dalam tentera khususnya bagi kaum Cina.

“Persatuan Veteran Cina ATM perlu berusaha meningkatkan publisiti dan memacu perekrutan seperti menyiarkan lebih banyak berita dalam akhbar Cina dan masuk ke kampung Cina untuk menjalankan promosi,” katanya.

Sementara itu, bagi Lt Kol (B) Nartono Tungal, 62, yang berkhidmat dalam Rejimen Renjer Diraja dan Kor Risik Diraja pula, pengalaman memimpin pasukan dalam pertempuran dengan gerombolan komunis di Kampung Batu Lapan, Tanjung Pari di Baling, Kedah akan terpahat dalam sanubarinya.

“Ia pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Dalam insiden tersebut tiga pengganas komunis didapati cedera parah berdasarkan kesan darah,” katanya yang pernah berkhidmat di Bosnia Herzegovina suatu ketika dahulu.

Beliau menasihati generasi muda supaya bersatu tanpa mengira latar belakang kaum dan agama agar dapat mempertahankan kemerdekaan yang dinikmati sekarang.

Antara pasukan yang pernah menerima khidmat Nartono ialah pasukan 1 Renjer Melaka, Markas 6 Briged Sungai Petani, 6 Renjer Bau Sarawak, Yunif 413 Solo Indonesia, Batalion 303 Temenggor Grik Perak, Markas 10 Briged Para Melaka, MIO Sibu Sarawak, MIO Miri Sarawak.

Selain itu, Markas 1 Division Kuching, Bosnia Herzegovina, Kompeni Pertama Risik Medan Kuching Sarawak, 165 Batalion Risik Penang, TMBCO Songkhla Selatan Thailand dan Markas Medan Tentera Darat Kuala Lumpur.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Kesan, fahami anak disleksia

KUALA TERENGGANU, 13 OGOS: Usahkan ingin membaca suku kata, adakala memandang huruf ‘b’ bagaikan ‘d’ dan ‘p’ umpama ‘q’.

Ciri-ciri demikian sering dihadapi mereka dengan masalah disleksia namun ia lebih mencabar apabila masalah itu tidak difahami oleh keluarga terdekat malah tidak dikesan oleh guru di sekolah.

Pakar kanak-kanak di sebuah hospital swasta di sini, Dr Salehuddin Sulaiman berkata, pengesanan atau diagnosis awal mampu membantu kanak-kanak itu mengatasi masalah yang dihadapi mereka.

Ibu bapa adalah mereka yang perlu memainkan peranan utama dalam mengesan kelewatan penguasaan pelajaran anak-anak manakala guru boleh melaporkan perkembangan mereka dari semasa ke semasa untuk dinilai sebelum dihantar ke kelas khas dengan kaedah pembelajaran sepatutnya.

“Apa yang paling ketara pada kanak-kanak disleksia adalah pembacaan dan sekiranya pelajar normal membaca secara automatik, mereka (disleksia) pula membaca secara perlahan kerana mereka mengeja di dalam minda.

“Ini kerana otak mereka menumpukan banyak tenaga untuk mengeja, maka aspek pembacaan yang lebih penting, iaitu kefahaman akan terjejas,” katanya kepada Bernama.

Menurut Dr Salehuddin, mereka dilihat seolah-olah boleh membaca, tetapi sebenarnya tahap kefahaman mereka rendah dan apabila otak banyak menghabiskan tenaga untuk mengeja, mereka akan cepat penat dan bosan untuk membaca.

Jadi, mereka akan mula membuat benda lain, seperti mengganggu kawan, atau berbuat bising untuk menarik perhatian.

Dr Salehuddin berkata, disebabkan masalah membaca, pelajar disleksia juga selalunya dilabel sebagai murid bermasalah atau nakal oleh guru yang tidak faham masalah mereka sedangkan mereka sebenarnya boleh dibentuk dengan cara tersendiri.

Dalam menghuraikan secara ringkas keadaan kanak-kanak disleksia itu, beliau berkata, bagi kanak-kanak normal, otak mereka mungkin mengambil masa setengah saat untuk menutur ‘baca’ tetapi kanak-kanak disleksia mungkin memerlukan dua saat untuk menghasilkan bunyi ‘ba’ dan dua saat lagi untuk ‘ca’.

Pada masa sama otak disleksia yang berjaya menghasilkan bunyi ‘ca’, mungkin sudah lupa bunyi ‘ba’ dan ini menyebabkan mereka tidak memahami apa yang dibaca.

“Mereka bagaikan perlu ‘berjuang’ untuk membaca dan biasanya dalam tulisan mereka, akan ada huruf yang tertinggal atau salah. Contohnya, ‘mengayuh’ jadi ‘megayuh’ dan ‘ cacat’ jadi ‘cacak’.

“Bagaimanapun, lama kelamaan, dengan adanya latihan khas dan tunjuk ajar, lebih mudah untuk mereka membaca dua suku kata,” katanya.

Ditanya bilakah masalah disleksia akan berakhir, Dr Salehuddin berkata, ia akan kekal sampai hujung hayat namun mereka boleh belajar cara dan strategi untuk mengatasi masalah disleksia mengikut tahap atau pembelajaran yang mereka hadapi.

Tambahnya, disleksia adalah masalah neurobiologi atau berkaitan fungsi saraf otak, bukan struktur otak.

“Masalah kanak-kanak disleksia ialah dalam fonetik (berkaitan pertuturan). Bahagian otak yang mengawal sistem fonetik, neuronnya tak berfungsi,” katanya.

Selain itu, mereka juga mengalami kesukaran dengan konsep dimensi, contohnya tentang dalam, atas, bawah, luar, kiri dan kanan.

Ada sesetengah penghidap disleksia, katanya, yang melihat huruf bergerak-gerak dan ada juga huruf yang seolah-olah ‘berlari’ di sekeliling kertas, menyebabkan kanak-kanak itu mengambil masa yang lama untuk membaca.

“Dan atas sebab itu juga, mereka lambat menyalin tulisan guru atau menyalin nota. Terdapat satu mitos bahawa pelajar disleksia adalah genius. Sebenarnya, tahap kecerdikan mereka adalah sama dengan populasi murid yang normal. Maknanya, kalau dalam populasi pelajar normal, ada 10 hingga 15 peratus yang genius, maka dalam populasi pelajar disleksia juga begitu. Ada yang genius, ada yang sederhana, dan ada yang kurang cerdik,” katanya.

Susulan itu, beliau menasihatkan ibu bapa yang mengesyaki anak-anak mempunyai ciri-ciri disleksia supaya segera membawa mereka berjumpa doktor terutama untuk diagnosis mereka supaya boleh diletakkan dalam program khas disleksia yang disediakan di beberapa sekolah.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Beruk bersarapan di warung sebelum kerja panjat pokok

KOTA BHARU, 12 OGOS: Selalu kita dengar orang minum di kedai kopi, tetapi jarang kita melihat sekumpulan beruk bersarapan dengan makan nasi digaul bersama telur mentah, kuih dan minum susu atau air bergas sebelum memulakan ‘kerja’ memanjat kelapa.

Kelainan tersebut boleh dilihat di sebuah warung yang dikenali penduduk setempat sebagai “Warung Kopitiam Beruk” yang terletak di Kampung Melor Lama, Melor di sini sejak hampir 10 tahun lepas apabila kedai kopi berkenaan menjadi tumpuan penternak beruk di kawasan sekitar.

Tidak segan kedai kopinya dikaitkan dengan beruk, pemilik kopitiam tersebut, Rohaida Ibrahim, 40, berkata, satu suasana yang seronok apabila seawal jam 7 pagi, penternak beruk seolah-olah berjanji untuk bertemu, berkongsi maklumat dan masalah mengenai beruk di kedai makan berkenaan.

“Melihat gelagat beruk-beruk makan sangat menyeronokkan apabila pembela ini datang membawa haiwan kesayangan mereka, malah lebih menggembirakan beruk mereka bermanja dengan perlu disuap kuih seperti ‘Cik Mek’ dan donat serta minuman seperti susu atau milo.

“Kebetulan suami saya pun minat kepada hobi membela beruk, jadi kedai ini menjadi seperti ‘One Stop Centre’ untuk perniagaan anak beruk dan beruk dewasa, jual beli berlaku, malah di sinilah penternak veteran banyak menurunkan ilmu kepada peminat baru,” katanya kepada Bernama semasa ditemui di warung tersebut di Kampung Melor Lama di sini.

Menjadi generasi muda kepada penternak beruk yang ada sekitar Melor dan Alor Bakat, Bachok, suami Rohaida, Mohd Saiful Mohd Sori, 45, berkata, dia menternak beruk sejak lebih 20 tahun lepas dan pendapatannya bergantung kepada tenaga beruk untuk mengambil upah memanjat kelapa.

“Kebiasaannya beruk ini makan sama seperti apa yang tuannya makan, kalau tuan makan nasi, ia pun makan nasi, kalau tuannya minum milo, ia akan mengikuti minum air yang sama.

“Tempat ini dianggap ‘legend’ kerana di sinilah kami berbincang mengenai beruk peliharaan, malah sudah beberapa kali pertandingan memetik kelapa dianjurkan oleh kumpulan kami yang membawa minat ramai golongan termasuk pelancong dari luar negara,” katanya.

Menjinak dan melatih beruk yang dinamakan “Dolah” berusia 15 tahun, Mohd Saiful berkata, dia tidak pernah putus menternak haiwan itu yang dibela secara bersilih ganti setelah beruk lama mati atau dijual.

Katanya, apabila beruk lain datang kedai tersebut, sekurang-kurangnya Dolah mempunyai ‘kawan-kawan’ seperti “Mamat” berusia dua tahun milik Mat Zain Hamzah, 80, ”Din’ berusia empat tahun yang dimiliki oleh Mohd Yusoff Yaacob, 66 dari Kampung Alor Bakat dan beruk cilik betina dinamakan ”Saripah’ berusia setahun dibela oleh Aznan Mohamad, 32.

Sangat mengujakan apabila Zaidi Zakaria, 50, tinggal di Kampung Pondok, Jambu Merah, Melor di sini mampu menternak beruk paling garang, iaitu ‘Kechik’ yang kini berusia enam tahun.

“Kechik ini seberat 10 kilogram dan namanya digelar Kechik sebab bela ia masa masih kecil lagi, tetapi sampai sekarang kami belum mesra sepenuhnya, malah sudah tiga kali ia gigit saya hingga tinggal parut di jari kelingking.

“Peristiwa ini terjadi kerana saya bergerak mengambil upah bersama Mohd Saiful dan peliknya Kechik hanya takut kepada Mohd Saiful seorang, sebaliknya kalau dengan saya dia terkam terutama semasa memanjat kelapa, jadi sampai hari ini saya letak dia dalam sangkar khas.

“Semasa beruk memetik kelapa pula, hanya dua perkataan sahaja boleh digunakan, contohnya “Ish Ambil”, “Eh atas” (arahan untuk petik kelapa muda), “Yak” (arahan untuk larang). Kalau ajar panjang-panjang beruk ini susah faham,” katanya.

Bagi penternak beruk, Yasin Awang Puteh, 72 dari Kampung Merbau, di sini berkata, lima tahun menjaga ‘Mat Soyok’ (koyak) banyak memberi pulangan kepadanya kerana haiwan tersebut rajin memetik buah kelapa sehari kira-kira 200 hingga 300 dari jam 7 pagi hingga 11 tengah hari.

“Kita perlu kenali sifat beruk jantan iaitu terlalu cemburu dengan orang perempuan… ia boleh mengamuk, jadi petua menjinakkannya, pujuklah semula dengan menggosok badan atau memberi makanan atau minuman bagi meredakan perasaan marah itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Ibu tunggal besarkan 6 anak berkat niaga pokok bunga

TAMPARULI, 12 OGOS: Kegigihan dan minat Monica Nain dalam perniagaan tapak semaian menjadi faktor kepada Anika Nursery yang terletak di Lakang Ria, Jalan Tamparuli di sini dikenali peminat tumbuh-tumbuhan terutama bunga-bungaan.

Monica, 57, seorang ibu tunggal, memulakan Anika Nursery sejak tujuh tahun lepas kerana minatnya terhadap bunga, dan menjadi sumber pendapatan untuk membesarkan enam anaknya, seorang daripadanya berjaya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam jurusan sumber manusia.

“Saya memulakan perusahaan Anika Nursery dengan modal kecil iaitu RM350 dan 10 pokok bunga pada 2012, sebelum berkembang secara perlahan-lahan sehingga dikenali pelanggan dari seluruh pelosok Sabah, Sarawak, Semenanjung dan Brunei.

“Kini, selepas hampir lapan tahun diusahakan, Anika Nursery berupaya memasarkan lebih 300 pokok pelbagai jenis tumbuhan terutama bunga kertas setiap bulan,” katanya di sini.

Sepanjang tempoh perusahaan itu beroperasi, Anika Nursery sudah menjual lebih 10,000 pelbagai jenis pokok bunga kepada pelanggan.

Selain menjual benih bunga, baja dan tanah hitam, Anika Nursery juga mengambil tempahan membina landskap halaman rumah, taman perumahan, hotel dan sekolah di daerah ini serta sekitarnya.

“Kerana kebolehan membina landskap yang berjaya memenuhi kehendak pelanggan, Anika Nursery pernah menerima bayaran tertinggi RM15,000 hingga RM40,000 hasil kerja dijalankan,” katanya.

Monica berkata, walaupun baru berjinak-jinak dalam pembinaan landskap, pihaknya mampu menyiapkan tugasan itu dalam tempoh 10 hingga 15 hari dengan bantuan tiga pekerja.

Katanya, sebahagian besar benih bunga yang disemai di Anika Nursery diperoleh dari Kota Marudu, daerah pengeluaran bunga terbesar di Sabah.

“Saya turut memperoleh benih bunga dikenali Gelombang Cinta dari Indonesia dan Kemboja Cina dari Thailand sebelum dibiakkan di tapak semaian ini,” katanya.

Sehubungan itu, dia yang tidak mendapat pembiayaan mana-mana pihak dalam membangunkan perusahaan itu mahu memberikan tumpuan dalam menerima tempahan membina landskap sebagai tugasan utama akan datang.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Bulan kemerdekaan tambah rezeki ibu tunggal

GEORGE TOWN, 8 OGOS: Bulan merdeka menjadi rezeki tambahan kepada seorang tukang jahit, Mahani Udit, di sini yang menerima banyak tempahan baju diperbuat daripada bendera Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

Ibu tunggal tiga anak itu berkata, semuanya bermula apabila beliau menjahit dua pasang baju Jalur Gemilang untuk dipakai anak kembarnya dalam pertandingan baju patriotik tercantik di tadika anaknya, pada 2015.

Katanya, sejak dari tahun itu, tempahan membuat baju Jalur Gemilang mula meningkat setiap tahun.

“Namun, setelah anak kembar saya memakainya, ramai ibu pelajar dan guru tadika yang tertarik dengan baju berkenaan dan ingin menempah pakaian Jalur Gemilang untuk dipakai pada sambutan bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

“Pada mulanya saya bukan tukang jahit sepenuh masa, hanya menjahit pakaian untuk anak-anak sahaja,” kata wanita berusia 30 tahun itu kepada Bernama.

Mahani berkata, beliau kini menjadi tukang jahit sepenuh masa sejak lima tahun lalu ekoran tempahan baju semakin banyak selain baju Jalur Gemilang.

Kini beliau membuka sebuah butik Anggerik Rimba Alteration pada 2016 di sebuah pusat membeli-belah di Bukit Jambul yang beroperasi dari 11 pagi hingga 9.30 malam setiap hari.

Baju Jalur Gemilang yang dijahit dijual dengan harga RM70 hingga RM250 sepasang mengikut saiz dan corak baju berkenaan.

Ibu tunggal yang kini belajar Pengajian Jarak Jauh (PJJ) di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengurusan sibuk menyiapkan baju Jalur Gemilang sebanyak 30 pasang dalam sehari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya mula mengambil tempahan pada bulan Julai hingga September bagi baju Jalur Gemilang, sebab pelanggan saya akan memakai baju berkenaan pada Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” kata Mahani.

Katanya, sebanyak 1,000 pasang baju Jalur Gemilang dijual pada tahun lepas dan beliau berharap angka berkenaan akan kekal atau bertambah pada tahun ini.

Kebanyakan pelanggannya adalah guru sekolah yang menempah baju Jalur Gemilang untuk pelajar.

-BERNAMA

Categories
PERSONALITI RENCANA

Milymaryam penuhi citarasa Muslimah moden

Rekaan yang kian menarik dengan penggunaan rona pelbagai menjadikan ramai Muslimah hari ini semakin selesa bergaya dengan hanya menyarung jubah.

Selain sopan dan menutup aurat, jubah memberi keselesaan serta memudahkan pergerakan si pemakai ketika melakukan aktiviti seharian.

Berani mengambil peluang, Milymaryam, sebuah jenama baru dalam industri fesyen memperkenalkan busana Muslimah yang direka mengikut kehendak serta keperluan masa kini.

Walaupun masih hijau, Milymaryam berjaya menonjolkan kelainan apabila memperkenalkan rekaan menggabungkan blaus, jubah dan telekung bagi memudahkan wanita menunaikan rukun Islam kedua.

Mula dikenali melalui penjualan ‘shawl’ secara kecil-kecilan kira-kira empat tahun lalu, pengasas dan pemiliknya, Nik Zaleha Ismail, 41, kemudian mengembangkan empayar melalui penghasilan telekung blaus.

Katanya, produk itu dihasilkan atas permintaan pelanggan setianya yang mahukan pakaian selesa, menutup aurat serta mudah dipakai ketika mengembara atau bersiar-siar.

“Milymaryam mula menghasilkan telekung blaus yang dijahit sekali dengan tudung untuk digunakan pelanggan ketika menunaikan umrah.

“Daripada situ, kita banyak menerima tempahan terutama pelanggan dari Singapura sebelum kita tambah baik sedikit demi sedikit berdasarkan maklum balas mereka.

“Selepas mengambil kira semua aspek, maka kita perkenalkan pula telekung jubah yang mula mendapat tempat di hati pelanggan terutama dari negara luar,” katanya.

‘Trademark’ fabrik berkualiti

Fabrik berkualiti dan tahan lasak antara faktor utama pelanggan memilih untuk menggayakan koleksi Milymaryam, selain tampil dengan rekaan moden eksklusif.

Menggunakan material ‘moscrep’e pada bahagian tudung dan tangan jubah, fabrik yang mempunyai permukaan lembut itu, sekali gus menjadikan busana digayakan nampak mewah.

Teksturnya yang unik dengan tarikan tersendiri menjadikan material itu digemari pelanggan, malahan ia ringan dan tidak mudah kedut.

Tetap mengikut trend semasa, kebanyakan koleksi yang dijual menampilkan rona ‘nude’ dan ‘pastel’ bersesuaian dengan tona kulit wanita Asia.

Nik Zaleha berkata, rekaan yang pada mulanya disasarkan untuk golongan pertengahan turut menarik minat wanita berusia dalam lingkungan 20-an.

“Saya tidak sangka rekaan telekung blaus dan jubah ini menarik minat golongan muda kerana pada fikiran kita, ia hanya diminati oleh ‘makcik-makcik’.

“Menariknya, setiap rekaan yang dihasilkan mempunyai zip di bahagian dada yang memudahkan pemakai membukanya untuk mengambil wudhuk atau bagi ibu yang ingin menyusukan anak,” katanya.

Tembusi pasaran antarabangsa

Milymaryam yang tercetus hasil gabungan nama dua puteri Nik Zaleha, iaitu Emily dan Maryam memikat hati pelanggan dari negara jiran seperti Brunei juga Singapura.

Katanya, bagi menjalankan promosi secara meluas, Milymaryam turut menyertai Brunei Islamic Fashion Week selain menyertai beberapa pameran di Singapura dan Malaysia.

Memiliki pengikut sendiri dari kedua-dua negara itu, namun figura yang berasal dari Terengganu itu mengakui pasaran di Malaysia masih kecil dan kurang permintaan berbanding negara luar.

“Di Singapura misalnya, kita sudah ada stokis dan pelanggan tetap yang mahukan busana dari Milymaryam untuk digayakan, manakala di Brunei telekung jubah ini digunakan ketika majlis agama atau solat tarawih.

“Tetapi di Malaysia saya akui masih belum meluas dan kita sedang perhebatkan pasukan pemasaran untuk memastikan ia diterima baik masyarakat di sini,” katanya.

Mahu terus gah cipta nama

Menanam hasrat untuk memasarkan produknya di Indonesia, Nik Zaleha berharap nama Milymaryam setanding jenama Muslimah lain yang sudah mencipta nama di negara ini.

Berani mencuba dan tidak berputus asa, beliau yakin Milymaryam akan diterima ramai lebih-lebih lagi jenama itu antara pelopor telekung jubah, rekaan yang belum pernah dihasilkan sebelum ini.

Bagi telekung blaus, ia dijual pada harga RM140 (Malaysia) dan RM145 bagi Singapura dan Brunei, manakala telekung jubah yang boleh memuatkan sehingga saiz XXL dijual pada harga RM198 (RM180 harga promosi).

Untuk pembelian:

MILYMARYAM

6-1 Jalan Putra Mahkota 7/6A
Putra Heights, 47650 Subang Jaya, Selangor
Nombor telefon: 03-56144484/013-9380608
Facebook: milymaryamhijab
Instagram: mili_maryam