Categories
RENCANA WAWANCARA

Lubuk rezeki semasa PKP, bekal benih udang kara

Oleh Noorazlina Jindeh

KOTA KINABALU, 19 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu pastinya menyebabkan sesetengah peniaga mahupun individu terjejas kerana terpaksa mengehadkan waktu operasi atau memberhentikan sementara perniagaan masing-masing.

Namun, di sebalik dugaan itu, terselit hikmah yang membawa manfaat yang tidak diduga bagi sesetengah pihak.

Itulah yang dialami pasangan suami isteri, Susanti Aziz, 45, dan suaminya Shahrul Hanif Mohd Hamid, 46, yang mengusahakan penternakan dan pembekalan pembenihan udang kara atau lobster air tawar (LAT) di kampung Kiulu, kira-kira 45km dari sini.

“Dua minggu pertama semasa PKP, memang kurang permintaan (benih udang kara) tetapi selepas itu, hampir setiap hari ada permintaan dan sentiasa bertambah, malah dalam seminggu pendapatan dianggarkan mencecah sebanyak RM2,000,” kata Susanti kepada Bernama, baru-baru ini.

Susanti anak jati Sabah dari Tawau dan suaminya dari Terengganu menjalankan perniagaan membekalkan benih udang kara air tawar cherax quadricarinatus atau redclaw crayfish dari Australia, melalui syarikat Fastharvest Aquaculture Enterprise yang ditubuhkan mereka pada 2008.

Rezeki bertambah

Susanti yang juga pengurus syarikat berkata, dalam tempoh PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) perniagaan membekalkan benih udang kara dibuat melalui tempahan secara dalam talian seperti Facebook atau aplikasi WhatsApps.

Tempahan diterima setiap hari daripada pelanggan di sekitar kawasan ternakan udang termasuk dari Kota Kinabalu, Tuaran, Tamparuli dan daerah lain.

“Permintaan terhadap benih meningkat disebabkan pelanggan mahu memanfaatkan waktu berkurung semasa PKP, selain dijadikan hobi baharu dan ramai mula melihat ternakan LAT ini mampu memberikan pulangan lumayan sekiranya dilakukan bersungguh-sungguh,” kata ibu kepada enam cahaya mata ini.

Setiap hari dalam tempoh PKP ini, antara 30 hingga 100 ekor benih udang kara air tawar dalam pelbagai saiz menjadi permintaan pelanggan.

Bagi satu set induk yang mengandungi seekor jantan dan tiga ekor betina, beliau menjualnya pada harga RM350 satu set.

Susanti berkata, harga jualan benih udang ditetapkan berdasar saiz dan kuantiti. Bagi pembelian pukal melebihi 100 ekor harga dikenakan antara RM4 dan RM20 seekor, sementara bagi jumlah bawah 100 ekor, harga antara RM5 hingga RM25 seekor.

“Pelanggan banyak yang membeli benih udang kara bersaiz antara tujuh dan 10 sentimeter (tiga hingga empat inci) kerana dalam tempoh satu atau dua bulan diternak, udang sudah boleh bertelur,” katanya menambah, biasanya suaminya sendiri akan menghantar tempahan.

Selain benih, katanya, terdapat juga pelanggan yang membeli udang kara untuk dijadikan hidangan berbuka puasa sepanjang Ramadan ini. Harga jualan LAT ialah RM120 sekilogram dan jika membeli secara borong, harga ditetapkan antara RM60 dan RM80 sekilogram.

Menurut Susanti, pendapatan hasil jualan benih udang kara itu mampu menampung kos penyelenggaraan kolam termasuk keperluan harian keluarga mereka meskipun pergerakan penghantaran dihadkan semasa tempoh PKP dan PKPB.

“Walaupun dalam tempoh PKP, proses penghantaran tetap lancar kerana kami diberikan surat pelepasan oleh pihak berkuasa,” katanya sambil berterima kasih kepada kerajaan kerana syarikatnya masih dapat beroperasi.

Usahawan ternakan udang kara

Berkongsi cerita penglibatan dalam sektor perikanan ikan air tawar dan perniagaan membekalkan benih udang kara air tawar, Susanti berkata, sebelum ini mereka pernah mengalami kerugian lebih RM180,000, setelah ternakan ikan tilapia dan keli yang diusahakan dalam kolam, di Kiulu, mati kesemuanya pada akhir 2008.

Namun, berbekalkan semangat jitu, pasangan suami-isteri itu tidak berputus-asa malah mula beralih menternak udang kara air tawar kerana percaya jika dilakukan secara bersungguh-sungguh ia mampu membawa pulangan yang lumayan.

“Perusahaan benih LAT ini mempunyai prospek yang lumayan, kurang berisiko dan mudah untuk dikendalikan,” kata Susanti yang pernah mengikuti kursus penternakan ikan air tawar dan udang kara di Jabatan Pertanian Sabah sekitar tahun 2008.

Apa yang membanggakan, Susanti yang merupakan antara usahawan Jabatan Perikanan Sabah, kini mempunyai sebanyak 100,000 ekor udang kara air tawar di empat kolam dan tangki pengasingan bagi pembenihan di Kiulu.

Mengimbau penglibatan dalam perniagaan membekalkan udang kara air tawar, Susanti berkata pada awalnya mereka membeli sebanyak 1,000 benih udang kara dari pembekal di Sarawak.

“Meskipun tidak semua benih itu hidup, namun bermula dari situlah kami membiak dan menternak udang kara dan melakukan kajian terhadap spesies udang kara spesies cherax quadricarinatus di dalam dan luar negara pada tahun 2009,” kata Shahrul Hanif sambil menambah usaha pembenihan secara skala besar hanya bermula pada 2012.

Sharul Hanif dan isterinya yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1 hingga 3 dan layak sebagai penyelia akuakultur berkata menternak udang kara air tawar tidaklah susah sebagaimana menternak ikan air tawar kerana makanan udang kara hanyalah biji-bijian, ubi kentang, pallet, tumbuh-tumbuhan dan sayur-sayuran seperti taugeh.

“Bagi udang yang diternak di dalam kolam, ia boleh memakan tumbuhan kolam seperti keladi bunting atau hydrilia,” katanya sambil menambah udang kara betina mampu bertelur empat hingga enam kali setahun.

Setiap kali bertelur, udang kara betina yang berumur enam hingga tujuh bulan mampu bertelur antara 100 hingga 200 telur manakala udang yang berusia lebih setahun mampu menghasilkan antara 800 hingga 1,000 telur, katanya.

Penjagaan udang kara

Berkongsi lanjut mengenai tip mengenali udang kara jantan, Susanti berkata udang kara jantan mempunyai sepit berwarna merah, bersaiz lebih besar manakala udang kara betina mempunyai sepit berwarna biru dan bersaiz agak kecil.

Udang kara air tawar boleh membesar sehingga 50 sentimeter dengan berat antara 500 gram sehingga satu kilogram dan boleh hidup pada suhu optimal antara 23 dan 28 darjah Celsius serta boleh mencapai jangka hayat melebihi lima tahun.

Bagaimanapun, katanya hampir 30 peratus udang kara yang diternak mereka akan mati ketika melalui proses salin kulit (molting) kerana beberapa faktor antaranya ketidakseragaman kadar hormon dalam badan udang berkenaan.

“Antara tanda proses salin kulit berlaku ialah LAT akan menjadi lemah, tidak aktif selama kira-kira enam hingga 24 jam, warna cengkerang bertukar agak gelap, cengkerang kepala mula kelihatan terbuka dan bagi udang kara jantan, warna merah pada sepitnya akan lebih menyerlah (terang),” katanya.

Oleh itu, penggunaan cecair iodin diperlukan bagi membantu proses salin kulit LAT berjalan lancar, tetapi kaedah ini hanya dapat dilakukan untuk ternakan yang berada di dalam tangki sahaja, katanya.

Susanti berkata, udang kara akan mengalami proses penggantian kulit lebih 11 kali sebelum mencapai tahap matang untuk bertelur ataupun mengawan.

Meskipun penjagaan udang kara ini agak mudah kerana bersifat omnivor dan proses pembiakan tidak melalui proses larva namun ia tidak terlepas daripada haiwan pemangsa iaitu belut selain diserang jangkitan seperti patogen (agen yang menyebabkan penyakit, terutamanya organisma seni seperti bakteri dan virus).

Kerjasama kerajaan negeri dan agensi

Mengulas lanjut mengenai perkembangan syarikatnya, Susanti berkata Fastharvest Aquaculture diberi kepercayaan untuk menjadi konsultan selama lima tahun (2020-2025) dalam Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera Sabah bagi projek Freshwater Lobster Production-Green Aquaponics Parennial System bermula Februari 2020.

Projek berkenaan melibatkan kerjasama antara Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Universiti Teknologi MARA cawangan Sabah melibatkan nilai RM3.5 juta yang bakal memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan (B40) di enam buah kampung terpilih di Sabah.

“Menerusi program ini, kami akan membantu dan melatih lima usahawan dari setiap kampung terpilih itu untuk mengusahakan aktiviti penternakan sepanjang tempoh berkenaan,” kata Susanti yang juga Setiausaha Persatuan Industri Kecil Sederhana Bumiputera Sabah (IKSNITA).

Selain menganjurkan kursus sejak 2009, syarikat Fastharvest Aquaculture turut menjadi tempat latihan industri bagi beberapa agensi kerajaan dan pelajar dari Pusat Latihan Pertanian Penampang, Kolej Vokasional Lahad Datu dan Politeknik Sandakan.

Kerjasama dalam melakukan kajian ternakan pula pernah dilaksanakan syarikat dengan Universiti Putra Malaysia cawangan Bintulu di Kuching dan Jabatan Veterina Negara Oman (2016-2019).

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Norma baharu belanja sambut Aidilfitri

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Berbaki kurang seminggu, umat Islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan 1 Syawal yang dijangka diraikan hujung minggu ini, pada 24 Mei.

Kebiasaanya, inilah waktu paling sibuk bagi masyarakat Islam di Malaysia untuk membuat segala persiapan akhir menjelang Aidilfitri.

Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India di ibu negara antara lokasi wajib yang dikunjungi untuk berbelanja, membeli segala persiapan Aidilfitri sama ada pakaian, kuih-muih, biskut raya mahupun perhiasan rumah.

Bagaimanapun, senario tahun ini ternyata berbeza. Lokasi tumpuan di Kuala Lumpur agak lengang walaupun ada premis yang menjual barangan persiapan hari raya beroperasi semenjak kelonggaran diberikan kerajaan melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei lalu.

Menariknya, normal baharu dalam masyarakat membolehkan rakyat Malaysia berjimat ketika menyambut perayaan. Apa yang lebih penting, senario sebegini turut mengubah corak perbelanjaan dan penggunaan individu isi rumah berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pensyarah kanan Fakulti Ekonomi Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Norlin Khalid berkata, berdasarkan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) baru-baru ini mendapati dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac hingga 3 Mei lalu, gaya perbelanjaan rata-rata individu isi rumah telah berubah secara keseluruhannya dengan tumpuan kepada hanya barangan perlu dan penting.

Bercakap kepada Bernama, Norlin berkata perbelanjaan barang makanan dan minuman yang meliputi bahan mentah masakan meningkat sebanyak 27 peratus kepada purata RM924 per individu isi rumah berbanding RM726, sebelum penguatkuasaan PKP.

Perbelanjaan untuk bahan tahan lama seperti pakaian dan peralatan rumah pula menurun dengan drastik masing-masing kepada 95 peratus dan 58 peratus.

Sementara itu, perbelanjaan pengangkutan awam dan persendirian turut menyaksikan penurunan drastik sebanyak 89 peratus iaitu dari RM553 per individu isi rumah kepada RM61 berbanding sebelum PKP.

Keadaan ini, menurut beliau, bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandangkan PKP menyebabkan ramai memilih duduk di rumah dan bekerja dari rumah, ditambah pula sekatan perjalanan rentas negeri dan daerah.

Norma baharu berbelanja

Malah, kesan pandemik Covid-19 menyebabkan individu isi rumah banyak berbelanja bagi pembelian barangan kesihatan seperti pelitup muka serta produk sanitasi pencegah kuman.

Ketiadaan bazar Ramadan, bufet Ramadan di hotel-hotel dan restoran menyebabkan kebanyakan umat Islam memilih untuk memasak sendiri juadah berbuka puasa di rumah.

Meskipun, ketika tempoh PKP dan PKPB menyaksikan semakin banyak wujudnya khidmat penghantaran makanan seperti e-bazar yang semakin popular dalam kalangan pengguna kini, namun isi rumah didapati tetap mengutamakan pembelian barangan makanan perlu sahaja.

Suasana lengang dua buah gerai pakaian yang menjual tudung sempena sambutan Aidilfitri walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan ketika tinjauan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman pada 12 Mei 2020. Foto BERNAMA

“Jika dahulu orang ramai banyak berbelanja membeli juadah berbuka di bazar-bazar Ramadan sehingga ada yang berbelanja secara berlebih-lebihan sehingga berlakunya pembaziran makanan. Kini situasi itu tidak berlaku,” katanya.

Memandangkan sambutan hari raya kali ini akan berlangsung dalam keterbatasan PKPB ditambah pula larangan pergerakan rentas negeri yang tidak membenarkan umat Islam pulang ke kampung menyambut Aidilfitri, ia sekali gus akan memberi kesan positif terhadap corak perbelanjaan isi rumah.

“Sudah tentu dengan sambutan norma baharu ini, ada yang dapat menjimatkan wang kerana tidak perlu membuat perbelanjaan persiapan yang biasanya sangat tinggi pada musim perayaan seperti membeli baju raya, memberi duit raya, penyediaan masakan dan kuih raya untuk tetamu mahupun membeli perabot baharu serta barangan menghias rumah,” katanya.

Justeru, katanya pengguna harus bijak menggunakan duit lebihan yang ada untuk keperluan yang lebih penting berbanding persiapan bermusim bagi menyambut Aidilfitri.

“Dalam situasi Covid-19 kini yang belum diketahui penamatnya, amatlah penting individu isi rumah membuat perancangan simpanan kecemasan untuk masa hadapan,” katanya menambah krisis Covid-19 tidak diketahui berapa lama ia akan berlanjutan dan sejauhmana ekonomi boleh bertahan.

Rancang kewangan dengan baik

Menurut Norlin langkah Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan moratorium automatik selama enam bulan bagi semua pembayaran semula pinjaman, berupaya untuk meningkatkan kecairan bagi peminjam individu isi rumah.

Orang ramai mematuhi jarak selamat satu meter ketika membeli barangan keperluan harian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal Covid-19 di Pasaraya Harian Bhuiyen, Bandar Tun Razak, Cheras pada 24 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Apabila adanya simpanan atau lebihan pendapatan boleh guna, individu isi rumah dapat membuat perancangan kewangan semula agar dapat mengurangkan beban hutang, katanya.

“Dengan menyelesaikan hutang-hutang yang mempunyai kadar faedah yang secara relatifnya lebih tinggi seperti hutang kad kredit dan hutang peribadi….individu dapat mengurangkan komitmen hutang bulanan yang perlu dibayar selepas berakhirnya moratorium nanti,” katanya.

Bukan itu sahaja, kecairan wang tersebut boleh dijadikan modal untuk perniagaan, pelaburan atau membeli eset yang dapat memberikan jangkaan pulangan masa depan yang lebih tinggi.

Keadaan ini sangat bersesuaian rentetan penurunan Kadar Dasar Semalam (OPR) terendah dalam tempoh 10 tahun oleh BNM iaitu ke paras 2 peratus baru-baru, sekali gus menggambarkan kos pinjaman kini semakin berkurang, katanya.

Sambil menasihatkan pengguna agar bijak menguruskan kewangan agar mempunyai simpanan kecemasan, Norlin berkata data terkini DOS menunjukkan bahawa kadar pengangguran telah meningkat kepada 3.9 peratus pada April lalu berbanding 3.3 peratus pada Mac 2020.

“Ini jelas menunjukkan mengapa perlunya setiap individu isi rumah berbelanja mengikut keperluan dan sentiasa cakna serta bijak dalam perancangan dan pengurusan kewangan,” katanya

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Belia pemangkin kehidupan norma baharu

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Belia sering digolongkan sebagai pemacu penting pembangunan negara, namun sambutan Hari Belia Negara yang jatuh pada hari ini agak sedikit suram berbanding dengan Hari Jururawat dan Hari Ibu yang turut diraikan dalam bulan Mei.

Malah, beberapa individu yang ditemubual Bernama berkenaan hari tersebut, turut mengakui ada antara mereka langsung tidak menyedari bahawa 15 Mei adalah hari yang begitu bermakna buat golongan penentu masa depan negara ini.

Entahlah di mana silapnya! Apa pun, peranan golongan ini sebenarnya tidak boleh dipandang ringan memandangkan mereka juga “tulang belakang” keutuhan dan kekuatan ekonomi sesebuah negara.

Maka, sumbangan golongan belia perlu dihargai dan diterjemahkan menerusi sambutan Hari Belia. Cuma untuk tahun ini, acara sambutan terpaksa ditangguhkan berikutan pandemik wabak Covid-19.

Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam satu temuramah bersama Bernama melalui telefon berkata MBM mencadangkan sambutan hari belia 2020 diadakan pada 12 Ogos bersempena dengan Hari Belia Antarabangsa yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Tema 2020

Bertemakan “Dekad ini, Dekad anda”, Timbalan Presiden MBM, Muhammad Fadzli Hasan berkata ia melambangkan 2020 sebagai tahun untuk para belia negara meneruskan kesinambungan dalam memainkan peranan memacu pembangunan negara dalam normal baharu.

Sejajar dengan tema itu, sama ada kita sedar ataupun tidak, sepanjang perjalanan menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mahupun Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ternyata peranan golongan ini dalam mengadaptasi kehidupan normal baharu begitu terserlah.

Boleh diklasifikasikan sebagai ‘pemangkin normal baharu’ mereka menggunakan pengetahuan teknologi dengan kepakaran dimiliki bukan sahaja untuk menjana pendapatan bahkan juga membantu golongan yang memerlukan.

Selain menggunakan kepakaran dimiliki untuk menyebarluaskan mesej wabak Covid-19 menggunakan kreativiti tersendiri bagi memastikan maklumat berkenaan sampai kepada golongan sasar walau apa sahaja peringkat umur.

Guna Animasi

Paling menarik, adalah inisiatif yang dibawa oleh syarikat Animonsta Studios Sdn Bhd dalam melaksanakan tanggungjawab sosial mereka kepada negara. Siapa yang tidak kenal dengan animasi popular BoBoiBoy dan Papa Pipi hasil seratus peratus kepakaran belia tempatan di bawah syarikat berkenaan?

BoBoiBoy yang mengisahkan seorang budak lelaki berumur 11 tahun bernama BoBoiBoy bersama kawan-kawannya melindungi bumi dengan menewaskan makhluk jahat yang mula disiarkan sejak 2011, bukan sahaja diminati kalangan kanak-kanak dan ibu bapa negara ini.

Bahkan juga kejayaan penghasilan karya anak tempatan ini yang turut mencatatkan kejayaan memberangsangkan pada 2019, menerusi BoBoiBoy Movie 2 dengan kutipan RM30 juta sepanjang dua bulan tayangan dalam negara. Ia juga turut diminati negara luar seperti Indonesia dan Brunei.

Begitu juga Papa Pipi, rancangan animasi kekeluargaan yang mengisahkan tentang Papa Zola dan anak perempuannya, Pipi Zola.

“Dengan kepakaran teknologi animasi yang kami ada, kami menggunakan populariti kedua-dua animasi berkenaan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial sebagai rakyat Malaysia dengan melancarkan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) menerusi segmen khas berkaitan Covid-19.

“Ini susulan pengalaman saya yang sukar menerangkan kepada anak bongsu berumur enam tahun mengenai bahaya Covid-19, mengapa tidak boleh keluar rumah. Begitu juga beberapa rakan yang berkongsi status di media sosial mereka mengenai perkara sama.

“Jadi, kami menggunakan platform ini untuk memberikan sesuatu yang berfaedah kepada masyarakat dengan membantu pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia untuk menyampaikan mesej menerusi animasi akan bahaya Covid-19 serta kepentingan duduk di rumah.

“Lagipun, animasi merupakan satu medium terkini disukai ramai, tidak kira peringkat umur dan boleh menyampaikan mesej sangat serius dengan nada lebih ringan tetapi berkesan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios Nizam Abdul Razak kepada Bernama melalui telefon.

Memberangsangkan

Menggunakan beberapa kaedah penyampaian mesej berkenaan, beliau berkata pemilihan medium PSA itu adalah berdasarkan kepada sasaran umur. Misalnya, untuk Papa Pipi ia dihasilkan dalam bentuk video animasi berdurasi 3 minit untuk disesuaikan dengan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah.

Manakala, BoBoiBoy untuk PSA Covid-19 menggunakan medium komik digital yang dimuat naikkan di media sosial Animonsta Studios, disasarkan kepada golongan kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun kerana mereka sudah boleh membaca.

Menyedari bahawa peminat mereka juga turut meliputi golongan dewasa, syarikat animasi ini menggunakan teknik ‘meme’ iaitu lakaran animasi Papa Zola, antara satu watak siri animasi Papa Pipi, berbentuk seperti poster dengan dialog menarik.

“Selain kami memuat naikkan semua kaedah ini di laman sosial syarikat, kami turut menyalurkan secara percuma siri animasi Covid-19 Papa Pipi kepada stesen televisyen untuk disiarkan. Sambutannya bukan sahaja memberangsangkan malah kami mendapat respons kanak-kanak mula takut untuk keluar rumah.

“Selain Covid-19, kami turut membuat siri khas Papa Pipi berkaitan dengan denggi yang turut menyerang. Secara keseluruhannya, sambutan untuk animasi Papa Pipi sahaja sejak ia dimuat naikkan di saluran digital telah meraih 200 juta penonton sehingga hari ini (14 Mei).

“Itu belum termasuk lagi BoBoiBoy dan Papa Zola. Kami harap dengan apa dilakukan ini dapat membuktikan bahawa belia tidak ketinggalan turut sama membantu kerajaan semasa Covid-19 dengan kepakaran dimiliki menerusi normal baharu,” katanya.

Tonggak Utama

Selain kepakaran profesional ini, jangan pandang sebelah mata pula kepada golongan bekas mat rempit. Khairul Anuar Abdullah, 33 tahun, yang bersara dari dunia merempit sejak tahun 2012, kini aktif bersama rakan bekas mat rempit lain membantu golongan memerlukan menggunakan teknologi digital sepanjang Covid-19.

Platform media sosial seperti Facebook, Telegram, WhatsApp, Instagram digunakan sebaiknya oleh lelaki ini bertujuan menghubungkan kumpulan mat motor dari seluruh semenanjung bagi merealisasikan tujuan tersebut.

“Orang selalu pandang hina bekas mat rempit. Kami sering dianggap tidak berguna, peragut, penagih dadah sedangkan bukan semua mat rempit begitu.

“Jadi, saya gunakan teknologi ini untuk sedarkan masyarakat kami sudah berubah. Kerja kebajikan ini sudah dibuat empat tahun lepas tetapi orang masih tak nampak.

“Antara kerja kebajikan dilakukan adalah menggunakan platform media sosial yang menghubungkan kumpulan motor pelbagai negeri untuk kumpulkan dana dan serahkan kepada golongan susah seperti membeli barangan keperluan dan sebagainya.

“Tetapi, semuanya berubah semasa Covid-19. Ada hikmahnya di situ apabila golongan kami ini dilihat sangat berperanan penting membantu memudahkan urusan mereka seperti runner kebanyakannya dari bekas mat rempit,” katanya.

Mengulas mengenai ini, Setiausaha Agung Federasi Kebangsaan Pekerja Belia Malaysia Mohammad Rizan Hassan berkata belia adalah tonggak utama serta pemangkin normal baharu sepanjang Covid-19 berikutan teknologi digital hari ini kebanyakannya sudah dimonopoli golongan tersebut.

“(Menggunakan kepakaran masing-masing menerusi teknologi sedia ada pada negara)…Ini yang dikatakan salah satu inovasi sosial yang merupakan pendekatan inovatif dan kreatif bagi menangani perihal masyarakat dan sosial yang lebih efektif dan efisyen.

“Ia menyerlahkan bakat dan potensi anak muda bagi menggalakkan penglibatan aktif belia dalam pembangunan negara dari sudut ekonomi dan sosial,” jelasnya menerusi e-mel.

MYYouthFair

Sejajar dengan normal baharu yang menggunakan teknologi digital, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MBM akan menganjurkan Karnival Jualan Mega atas talian melalui platform digital Cashback, yang menggabungkan pelbagai kategori platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, Zalora dan lain-lain.

Menurut Muhammad Fadzli yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sambutan Hari Belia MBM program selama dua hari bermula 16 Mei ini mensasarkan golongan belia Malaysia berumur 15 hingga 40 tahun.

“MYYouthfair mempunyai beberapa objektif iaitu menggalakkan dan meningkatkan budaya membeli-belah atas talian dalam kalangan belia; merangsang ekonomi domestik semasa, terutamanya ketika pandemik Covid-19; dan memberi rasa ‘istimewa’ kepada belia sempena sambutan Hari Belia Negara.

“Insentif kempen MYYouthFair adalah melalui pemberian baucar ke atas transaksi pembelian atas talian di platform Cashback.

“Setiap belia yang membuat pembelian di atas platform tersebut layak mendapat baucar RM10, RM20 dan RM 30.

“Sebagai inisiatif tanggungjawab sosial terhadap krisis semasa pandemik Covid-19, adalah dicadangkan RM1 daripada setiap transaksi MYYouthFair disumbangkan untuk tabung bantuan Covid-19,” katanya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

PKP Bersyarat: Imbangi aspek kesihatan, ekonomi demi rakyat

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KUALA LUMPUR, 7 MEI: Keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan sosial dibuka semula sejak Isnin lalu, menerima pelbagai reaksi daripada rakyat.

Langkah kerajaan mendapat reaksi positif kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk kembali bekerja dan menjana pendapatan, sekali gus merancakkan semula ekonomi negara yang terjejas susulan PKP sejak 18 Mac yang memaksa sebahagian besar penduduk di negara ini berada di rumah bagi mengekang wabak Covid-19.

Bagaimanapun, wujud perasaan bimbang dalam kalangan masyarakat terhadap penularan Covid-19 walaupun PKP terbukti berjaya mengurangkan wabak itu di negara ini.

Pakar ekonomi bebas Dr Baayah Baba berkata keputusan kerajaan membenarkan sektor ekonomi tertentu beroperasi semula secara terkawal dapat membantu rakyat di akar umbi memulihkan semula mata pencarian mereka yang terjejas akibat Covid-19 dan PKP.

Beliau berkata sekiranya kerajaan tidak membuka sektor ekonomi, kesan jangka panjang banyak pihak akan terjejas antaranya rakyat kemungkinan kehabisan wang simpanan, syarikat tidak lagi dapat menjana pendapatan kerana kehilangan sumber dan golongan peniaga kehilangan modal.

“Malah kerajaan juga tidak lagi berupaya memberi bantuan yang sewajarnya kepada rakyat kerana peruntukan yang boleh dikeluarkan mungkin turut terjejas akibat pembangunan ekonomi yang lemah,” katanya kepada Bernama.

Malah Baayah berkata keputusan membuka sektor ekonomi secara beransur-ansur juga dapat membantu kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengawal penularan Covid-19 yang tidak dijangka di kemudian hari.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Hari Pekerja 2020 pada 1 Mei berkata Malaysia kerugian sekitar RM2.4 bilion setiap hari sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Muhyiddin berkata jumlah kerugian ketika itu dianggarkan sekitar RM63 bilion dan jika PKP berterusan untuk tempoh sebulan lagi, negara akan kerugian RM35 bilion lagi menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM98 bilion.

Hakikatnya, walaupun banyak sektor ekonomi dan sosial telah dibuka, bukan bermakna kerajaan tidak melihat kepada kepentingan untuk turut melindungi rakyat dalam aspek kesihatan ketika Covid-19 masih lagi menjadi wabak yang cukup digeruni di peringkat global.

Oleh itu, pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) KKM amat penting dan rakyat perlu mengamalkan normal baharu dalam kehidupan mereka ketika ini dengan penekanan penting adalah mengelakkan perhimpunan besar-besaran dan duduk di rumah jika tiada keperluan untuk keluar.

Dalam mengimbangi aspek kesihatan dan ekonomi, Pakar Kesihatan Pekerjaan dan Doktor Kesihatan Am Hospital Kasih Cyberjaya, Dr Hanafiah Bashirun berkata orang ramai yang tidak mempunyai keperluan berada di luar, perlu terus duduk di rumah kerana tujuan kelonggaran diberikan ketika ini adalah untuk memulihkan serta menjana ekonomi dan bukan tujuan bersosial.

Katanya rakyat perlu memainkan peranan penting dalam memastikan SOP yang ditetapkan KKM dipatuhi sepenuhnya dan perlu berdisiplin selain berusaha melindungi diri dalam tempoh PKPB ini dengan mengamalkan penjarakan sosial, kerap membasuh tangan dan memakai pelitup muka ketika berada di tempat kerja seperti dinasihati KKM.

Malah majikan perlu berusaha menyediakan tempat kerja yang bersih dan dilengkapi dengan cecair pembasmi kuman di kawasan yang sering disentuh termasuk di pemegang pintu, tangga, kaunter dan lif.

Dr Hanafiah turut mencadangkan waktu kerja anjal kepada kakitangan selain mengadaptasi bekerja dari rumah yang menjadi normal baharu sejak PKP dilaksanakan.

“Majikan perlu kurangkan jumlah kakitangan kepada hanya separuh daripada mereka dibenarkan datang ke pejabat dan separuh bekerja dari rumah atau bergilir. Adaptasi normal baharu ini dapat membantu ekonomi terus pulih secara beransur-ansur tanpa mengabaikan kesihatan pekerja secara keseluruhannya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

PKP: Serah tugasan kepada wakil, pelajar pedalaman tetap semangat

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Google Classroom, Zoom mahupun Google Meet, merupakan antara wahana alternatif Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian yang semakin popular dalam dunia pendidikan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.

Kaedah yang bergantung sepenuhnya kepada capaian internet ini menjadi pilihan tenaga pengajar termasuk guru dan pensyarah bagi memastikan golongan pelajar mampu meneruskan pelajaran dari kediaman masing-masing.

Ianya bertepatan dengan arahan kerajaan untuk semua duduk di rumah sepanjang tempoh PKP bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan ibu bapa serta pelajar yang mengeluh berikutan kekangan serta keterbatasan untuk menjayakannya PdP kerana capaian internet yang lemah serta tiada peranti elektronik khusus bagi keluarga yang kurang berkemampuan.

Namun begitu, bagi kebanyakan pelajar yang tinggal di bandar mahupun luar bandar, yang tidak begitu jauh dari kawasan pedalaman, guru masih boleh menghubungi mereka dengan telefon bimbit untuk diberi tugasan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Tidak kisahlah, sekiranya telefon itu hanya mempunyai fungsi asas sahaja, sekadar terima dan jawab panggilan, sekurang-kurangnya masih ada jaringan perhubungan.

Bagaimana pula halnya dengan pelajar yang tinggal jauh di pedalaman, apatah lagi dikelilingi hutan belantara tebal. Bukan sahaja mereka tidak mempunyai capaian internet, malah tidak juga mempunyai sebarang rangkaian talian komunikasi!

Berkemungkinan pelajar di kawasan berkenaan tidak dapat mengikuit sebarang program PdP berbanding rakan-rakan mereka yang tinggal di bandar atau luar bandar, yang masih mampu mendapat capaian internet.

Perkara ini bermain-main dalam pemikiran saya sepanjang PKP ini ketika ingatan singgah kepada sebuah kawasan pedalaman di Sarawak yang pernah saya kunjungi pada akhir 2018 untuk Misi Klinik Bergerak anjuran UMW Corporation Sdn Bhd (UMW) dengan kerjasama Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia).

Hutan belantara

Terdapat sebuah rumah panjang, Anthony Bau, di kawasan pedalaman yang saya maksudkan itu yang didiami masyarakat suku kaum Iban. Ia terletak di daerah Julau, bahagian Sarikei.

Selain langsung tidak ada talian komunikasi, bukan mudah untuk sampai ke penempatan masyarakat Iban itu.

Rumah Panjang Anthony Bau itu sememangnya sangat ‘terpisah’ dengan dunia luar kerana hutan belantara yang tebal. Bagi membolehkan penduduk rumah panjang mendapatkan rangkaian komunikasi, mereka perlu ke pekan Julau yang memakan masa berjam-jam lamanya. Itu pun bergantung kepada pengangkutan, sama ada melalui sungai, jalan balak atau udara sahaja.

Sekiranya ke pekan Julau menerusi sungai dengan perahu panjang enjin sangkut , perjalanan mengambil masa kira-kira lima hingga enam jam, dan mungkin lebih, bergantung kepada keadaan sungai untuk sampai ke Jeti Nanga Entabai yang terletak di Julau.

Dari jeti, untuk sampai ke Pekan Julau, perlu mengambil pengangkutan van dan jarak perjalanan kira-kira 45 minit.

Jika menggunakan jalan balak, perjalanan agak singkat iaitu kira-kira empat jam. Bolehlah menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD) dan motosikal lasak namun berdepan pelbagai cabaran seperti ancaman binatang buas, jalan licin disebabkan hujan serta berisiko kenderaan rosak.

Dengan segala kesukaran untuk mendapatkan ‘talian komunikasi’ ini serta terdedah kepada tragedi perahu karam mahupun terkandas di hutan belantara tebal serta kos perjalanan melebihi RM500 ke atas, apakah semuanya ini boleh mematahkan semangat anak pedalaman ini untuk belajar semasa PKP?

Semangat jitu

Untuk mengetahui jawapan kepada persoalan ini, penulis menghubungi Guru Penolong Kanan, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju, Julaihi Mahdi, 51, baru-baru ini.

Meskipun belajar jauh di pedalaman dikelilingi hutan belantara tebal, murid-murid sekolah di kawasan berkenaan maklum tentang Google Classroom serta Google Meet .

“Pada awal tahun, guru sudah memberi penerangan serta penjelasan kepada mereka. Namun, praktikalnya tidak dapat dilakukan pada masa itu termasuklah ketika ini disebabkan masalah talian komunikasi dan capaian internet. Jadi, apabila adanya PKP yang menuntut semua sekolah ditutup, keadaan ini memberi cabaran besar buat para guru.

“Bagaimana kami hendak memastikan murid tidak ketinggalan dalam pembelajaran tambahan ketika ini semua guru berada di kediaman masing-masing dan tidak ada seorang pun di asrama sekolah,” kataJulaihi.

Beliau yang dihubungi melalui telefon dan e-mel berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Ju yang mempunyai 23 orang murid dari Rumah Panjang Lepong Bilat (Rumah Nyalih) dan Rumah Panjang Nanga Ju (Rumah Gerasi) adalah sekolah paling jauh berbanding tiga sekolah lain.

Dari jeti Nanga Entabai, terdapat tiga buah lagi sekolah sebelum sampai ke SK Nanga Ju iaitu SK Nanga Entabai, SK Lubok Asam dan SK Nanga Maong. SK Nanga Ju adalah sekolah paling jauh di laluan ini. Difahamkan kira-kira sejam perjalanan dari rumah panjang Anthony Bau.

Sekolah pedalaman ini ada dibekalkan dengan alat komunikasi iaitu internet yang menggunakan parabola bagi membolehkan perhubungan secara terus kepada satelit.

Namun begitu, Julaihi yang hampir tujuh tahun mengajar di sekolah tersebut berkata, kemudahan yang diberikan itu mengalami kerosakan pada awal tahun ini dan menyukarkan lagi melaksanakan PdP dalam talian.

“Pelaksanaan PKP menjejaskan perancangan para guru khususnya untuk pelajar yang menghadapi UPSR. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan membatalkan peperiksaan tersebut.

“Namun, itu bukanlah bermakna kami para guru seramai 10 orang dan 6 orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) menjadikan kesukaran komunikasi sebagai alasan membiarkan sahaja murid begitu sahaja.

”Kami ada cara tersendiri untuk memastikan mereka tidak tercicir,” jelasnya yang kini berada di rumah keluarganya di Bintangor, Sarawak.

Cara kreatif

Menjelaskan lebih lanjut apa yang dinyatakan oleh Julaihi, Guru prasekolah SK Nanga Ju, Muhamad Fadheruhisham Daud, 29, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan memberitahu Bernama, terdapat beberapa cara, antaranya menyampaikan tugasan kepada wakil ibu bapa.

Menurut beliau, seorang wakil ibu bapa murid secara sukarela ke pekan Julau seminggu sekali untuk menghubungi guru menerusi telefon bagi mendapatkan tugasan murid selain membeli barangan keperluan.

Sebaik sahaja dapat dihubungi, guru yang sudah menyediakan bahan untuk latih tubi, lebaran kerja, aktiviti kuiz dalam bentuk salinan digital, mahupun gambar, akan memberikannya menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdapat juga latihan berpandukan buku teks kerana sudah mempunyai banyak maklumat dan lengkap, cuma perlu memberitahu muka surat sahaja.

“Sekembalinya wakil ibu bapa ini ke rumah panjang, ibu bapa murid lain akan bertemu dengannya, dan mengambil gambar tugasan tersebut menggunakan telefon bimbit masing-masing daripada telefon wakil berkenaan.

“Mesej tugasan tidak dapat dihantar kepada semua kerana mereka tidak ada talian,” katanya yang sudah hampir enam tahun mengajar di sekolah tersebut.

Selain itu, guru juga menggunakan khidmat Apai Lovy, 38, salah seorang kakitangan sekolah yang tinggal di Sarikei untuk menghantar tugasan yang sudah dicetak kepada wakil ibu bapa berkenaan di pekan Julau.

Bagaimanapun, sekiranya guru tidak dapat menghubungi mana-mana wakil ibu bapa selepas dua minggu, Apai Lovy akan ke rumah panjang berkenaan menggunakan jalan balak iaitu kira-kira lapan jam perjalanan (pergi balik) dari Sarikei untuk menghantar tugasan kepada mereka.

“Kebanyakan guru termasuk saya berada di Sarikei bersama keluarga dan ini memudahkan kami kumpul bahan dan berikan kepada Apai Lovy.

“Kami cuba pastikan mereka tidak tercicir pelajaran. Bagaimanapun, segala tugasan itu akan diperiksa guru selepas berakhirnya PKP nanti,” kata Muhamad Fadheruhisham ketika dihubungi menerusi telefon.

Puncak bukit

Murid-murid sekolah juga mempunyai cara tersendiri sekiranya mereka tidak faham akan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru mereka.

Menurut Apai Lovy, individu penting yang menghantar tugasan tersebut ke rumah panjang, ibu bapa murid akan membawa anak mereka ke puncak bukit untuk cuba menghubungi guru sekolah.

“Bolehlah dapat talian tapi nyawa-nyawa ikan. Ada juga yang akan menghubungi cikgu mereka mengenai latihan ketika berpeluang mengikuti ibu atau ayah mereka ke pekan,” katanya.

Istimewanya, biarpun mereka tidak ada sebarang talian komunikasi namun kebanyakan rumah panjang di situ mempunyai televisyen yang dilengkapi dengan Astro Njoi.

Ini bukan sahaja membantu mereka mendapatkan informasi semasa mengenai COVID-19 bahkan juga program TV pendidikan menerusi saluran baharu RTM, TV Okey.

Bersiaran selama dua jam, pada pukul 9 hingga 10 pagi dan 1 tengah hari sehingga 2 petang setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, program itu sedikit sebanyak membantu murid di kawasan pedalaman.

“Mereka walaupun kurang kemudahan, saya perhatikan semangat belajar anak-anak ini kuat. Ibu bapa serta tuai rumah (ketua rumah panjang) pun sangat menitikberatkan pelajaran buat anak-anak ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Diskriminasi jejaskan mental pesakit Covid-19

Oleh Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Setiap kali terbaca mengenai identiti pesakit Covid-19 yang didedah dan ditularkan menerusi media sosial, Ching (bukan nama sebenar) bekas pesakit Covid-19, sememangnya amat terkesan dan memahami perasaan mangsa.

Manakan tidak, beliau pernah melalui detik hitam itu, apabila dirinya disahkan positif Covid-19, kira-kira dua bulan lalu.

Perkara yang amat ditakuti dan membebankan beliau ketika itu, bukan sahaja keadaan kesihatan dirinya, tetapi persepsi masyarakat terhadap beliau dan keluarga.

Meskipun kini sudah pulih sepenuhnya dan kembali menjalani kehidupan normal, Ching, 33, masih trauma tatkala mengenangkan pengalaman pahit sebagai pesakit Covid-19 yang pernah menjadi mangsa cemuhan warga maya.

“Warga maya bertindak mencaci, menghina dan memarahi pesakit (Covid-19) seolah-olah pesakit melakukan kesalahan besar. Apa salah kami sampai dihukum begitu?” soal Ching setiap kali membaca cemuhan terhadap pesakit Covid-19 di media sosial.

Trauma berita ditularkan

Ching, seorang eksekutif pemasaran tidak menyangka kepulangannya dari China untuk menyambut Tahun Baharu Cina pada 1 Februari lalu, bertukar menjadi mimpi ngeri.

Beliau mula mengalami sakit tekak dan demam dua hari selepas pulang ke tanah air dan demam tidak kebah-kebah selama lima hari sehingga menyebabkan beliau menjalani ujian saringan di sebuah hospital di Selangor.

“Keesokan harinya pada 7 Februari, saya disahkan positif Covid-19,” katanya kepada Bernama sambil menambah berita itu begitu cepat tersebar dalam kalangan kawan-kawan sebelum sempat beliau memberitahu anggota keluarga sendiri.

Sungguh tidak disangka, sepatutnya sokongan dan kata semangat yang diharapkan daripada kawan-kawan, sebaliknya cemuhan dan kata-kata sinis yang diterima beliau.

“Kau dah kena Covid-19?”, itu antara mesej WhatsApp yang diterima ketika beliau dibawa menaiki ambulans ke Hospital Sungai Buloh. Mesej berkenaan membuatkan beliau terkedu, kecewa dan tidak mampu membalasnya.

Menurut Ching, sepanjang menerima rawatan di hospital, ada kawan yang menghubunginya untuk bertanyakan khabar dan ada juga memaklumkan bahawa kes beliau itu ditularkan warga maya termasuk mendedahkan identiti beliau dan keluarga di media sosial.

“Saya cuba untuk tidak melayari Facebook (FB), namun semua itu bukannya mudah, saya sering terkejut dari tidur, trauma dengan apa yang terjadi terhadap diri ini, dan pernah terfikir untuk melarikan diri daripada wad,” katanya yang turut risau akan keadaan ibu bapanya di kampung ketika itu.

Namun, katanya beliau berusaha mengawal perasaan dan berfikiran waras kerana bukan sahaja sedang berperang dengan virus Covid-19, malah berusaha melawan persepsi negatif dan stigma masyarakat terhadap pesakit Covid-19.

Menyedari betapa ‘berkuasanya” fitnah dan tohmahan yang dilontarkan oleh warga maya terutamanya ketika penularan pandemik ini, beliau bertekad untuk pulih mengharungi dugaan ini.

Beliau juga bernasib baik kerana sentiasa mendapat dorongan dan kata-kata semangat daripada petugas-petugas hospital yang membuatkan beliau lebih cekal.

“Meskipun saya kini sudah sembuh, namun masih ada jiran dan orang kampung melabelkan saya sebagai ‘pesakit yang pulang dari China’, @ super spreader Covid-19′,” katanya menambah ada juga rakan-rakan bergurau agar jangan mendekati beliau.

Stigma mudaratkan keadaan

Mengulas mengenai stigma berkaitan Covid-19, pakar khidmat kaunseling dan psikologi bebas Dr Wong Kok Fye berkata budaya diskriminasi terhadap pesakit boleh memburukkan lagi keadaan termasuk menjejaskan tahap kesihatan mental mereka.

Menurut beliau, kebanyakan warga maya yang bertindak menular atau mendedahkan identiti pesakit Covid-19 adalah kerana rata-ratanya tidak dapat mengawal emosi dan perasaan marah.

“Ia secara tidak langsung menyebabkab berlakunya kejadian buli siber terhadap pesakit Covid-19 dan pesakit bukan sahaja derita dengan penyakit tetapi turut menghadapi tekanan perasaan dan mental.

“Apabila keadaan mental pesakit semakin serius, ada yang mungkin sanggup membunuh diri ataupun mempunyai kecenderungan ‘membalas dendam’ dan menjadi seorang ‘pembuli siber kerana mahu orang lain turut merasai bagaimana sengsaranya dibuli,” katanya.

Jelas beliau, hakikatnya, pesakit Covud-19 amat memerlukan sokongan moral bagi memulihkan kesihatan fizikal dan mental mereka, selain bergantung kepada ubat-ubatan.

Menurut Dr Wong, stigma terhadap penyakit Covid-19 juga menyebabkan ada dalam kalangan pesakit yang bergejala, tidak mahu menjalani ujian saringan kesihatan kerana khuatir akan didiskriminasi masyarakat.

“Jika dibiarkan berlarutan, situasi ini bukan sahaja memburukkan keadaan malah turut menyukarkan usaha membendung penularan wabak Covid-19 kerana pesakit enggan memberi kerjasama dengan ‘frontliners’ seperti tidak mahu dikuarantin ataupun berjumpa dengan doktor akibat stigma itu,” tambah beliau.

Justeru, katanya, penting untuk media melaporkan berita yang dapat memberi motivasi kepada pesakit Covid-19 ataupun pesakit dalam siasatan (PUI) yang sedang dikuarantin.

“Misalnya, berita bekas pesakit Covid-19 yang mendermakan plasma darah bagi membantu menghasilkan vaksin wabak itu, begitu mendapat reaksi positif masyarakat.

“Berita seperti ini bukan sahaja dapat memotivasikan pesakit malah mereka akan sudi bekerjasama dan seterusnya menggalakkan bekas pesakit menyumbang semula kepada masyarakat,” katanya.

Talian kaunseling pesakit Covid-19

Seterusnya, Dr Wong turut mencadangkan individu yang mempunyai gejala wabak Covid-19 agar tidak segan untuk mendapatkan rawatan.

“Jangan fikir mengenai persepsi masyarakat, yang penting mereka perlu menjalani rawatan bagi membantu mengekang dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini,” katanya.

Menurut beliau, beberapa talian utama sokongan emosi dan psikososial disediakan bagi membantu individu yang mengalami gangguan emosi atau tekanan perasaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PKP yang pertama kali dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, kini memasuki fasa keempat bermula 29 April dan dijadual berakhir pada 12 Mei depan.

Antara talian berkenaan ialah Mercy Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di talian 03-29359935; talian utama Kasih, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di 15999 atau WhatsApp 019-261 5999; talian utama Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di 03-79563488 atau WhatApp 018-9888058.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

PKP ‘didik’ guru berjinak dengan pengajaran maya

Oleh Muhammad Basir Roslan

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Antara hikmah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah golongan guru yang sedikit sebanyak dapat melihat betapa perlunya memanfaatkan teknologi untuk mendidik anak murid dalam tempoh sementara waktu ini.

Yang Dipertua Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Pulau Pinang Mohamad Syafiq Mohamad Sulaiman, berkata banyak kelebihan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) secara maya ini, dengan platform yang dominan adalah Google Classroom (GC) dan Microsoft Teams.

“Kedua-duanya menjadi platform pemudahcara yang sangat baik buat guru dan murid untuk terus mengadakan P&P terutama ketika tempoh PKP ini,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai status Malaysia yang direkod sebagai tertinggi di dunia bagi carian frasa ‘Google Classroom’ seperti yang dilaporkan sebuah portal berita, baru-baru ini.

GC merupakan perisian pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian yang dikendalikan oleh Google yang menjadi platform digunakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam pembelajaran digital ketika tempoh PKP.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Matematik di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, Maisurah Amir, pula berkata perisian GC sangat mesra pengguna dan mudah dikendalikan selain banyak membantu memudahkan tugasnya sebagai guru.

“Sebagai contoh, GC dapat merekodkan kehadiran serta markah tugasan atau kuiz yang dijalankan kepada pelajar secara digital. Guru juga tidak perlu menyemak sama ada pelajar sudah menghantar tugasan atau tidak kerana sistem GC akan memantaunya dengan menghantar status kepada guru.

Beliau turut berkata rata-rata pelajarnya berpuas hati dengan perisian itu kerana sistem itu akan memberikan notifikasi segera kepada mereka sekiranya terdapat tugasan baharu yang dimuat naik oleh guru, oleh itu tiada alasan untuk mereka tertinggal dari melaksanakan tugasan yang diberi.

Sementara itu, Presiden iGuru Mohd Azizee Hasan, berharap kerajaan dapat segera menaik taraf kepantasan capaian talian internet terutama di kawasan luar bandar kerana antara masalah utama GC adalah ia bergantung kepada kekuatan pelayan internet.

“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu meneliti perkara ini, kita merasa kasihan dengan pelajar luar bandar khususnya kerana capaian internet di sana agak rendah. Apa yang penting adalah peningkatan kualiti pelayan internet itu sendiri,” katanya.

Beliau turut berharap kerajaan dapat melaksanakan sebuah skim khas berbentuk wakaf alat peranti pintar kepada pelajar yang memerlukan, terutama pelajar miskin dan pelajar luar bandar.

“Kita sering dapat aduan, ada keluarga yang tidak mampu menyediakan telefon pintar, komputer ataupun internet untuk digunakan anak-anak mereka.

Oleh itu, KPM mungkin boleh bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk melaksanakan skim wakaf ini dalam usaha merapatkan jurang penggunaan digital antara pelajar yang mampu dan tidak mampu,” jelasnya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Dulu meriah, kini Bukit Bintang ‘tidur’

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang kini memasuki fasa ketiga menyebabkan kawasan metropolitan paling sibuk dan paling ramai di negara ini – Bukit Bintang, lengang dan sunyi, seperti sebuah bandar yang ditinggalkan, menjadikan ia satu pemandangan yang jarang-jarang berlaku dalam sejarah negara.

Berdasarkan pemerhatian Bernama, yang meninjau jalan-jalan kosong di Bukit Bintang yang sunyi, melewati waktu larangan pergerakan pada waktu malam PKP, membawa perasaan tenang tetapi hiba, terutama tatkala melihat bagaimana pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap penutupan banyak kedai di kawasan itu.

Namun, jika dilihat dari sudut positif, lengangnya Bukit Bintang menunjukkan bahawa masyarakat telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan mematuhi perintah tersebut, kerana ini merupakan langkah penting dalam memutuskan rantaian penularan jangkitan wabak Covid-19.

Seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Inspektor Mohamad Kushairy, 37, berkata ketika beliau bertugas di sekatan jalan raya di kawasan itu, beliau sendiri tidak pernah melihat Bukit Bintang berada dalam keadaan seperti itu, seumpama filem apokaliptik ekoran kawasan ditinggalkan.

“Saya berada di sini sejak PKP fasa pertama bermula, kenderaan yang datang ke sini terutama pada setiap malam semakin berkurang, ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia memandang serius PKP ini dan juga kerana hukuman yang lebih ketat dikenakan kepada mereka yang didapati melanggar perintah.

“Biasanya walaupun pada jam 4 pagi, kawasan ini masih penuh dengan orang, tidak pernah anda melihat sesuatu seperti ini berlaku, (kawasan lengang dan kosong) kecuali ketika ini. Ia benar-benar sesuatu yang dalam sejarah, dan selepas jam 10 malam, anda boleh berbaring di tengah-tengah persimpangan jalan tanpa perlu risau dengan kenderaan yang datang,” katanya kepada Bernama.

Walaupun tiada kelibat orang ramai, jalan-jalan di Bukit Bintang kelihatan ‘masih hidup’ apabila lampu-lampu berwarna-warni menyinari jalan-jalan kosong, dan lampu itu terus menyala sehingga subuh dari bangunan Pavillion Kuala Lumpur, termasuk paparan iklan digital dan lampu jalan, yang menerangi jalan-jalan sekitar ibu negara.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan sebuah hotel tempatan, Mustafa Ibrahim, 56, meluahkan rasa sedih melihat semua kedai dan perniagaan ditutup, dan tempat-tempat lain dikosongkan kerana virus Covid-19.

“Tempat ini selalu penuh dengan orang dan hiburan, akan ada pemuzik jalanan yang menyanyikan lagu pada waktu malam dan orang ramai akan berkumpul, agak sedih memikirkan betapa meriahnya tempat ini, kini ia sepi,” katanya.

Mustafa menambah sebagai rakyat Malaysia, kita tidak boleh melupakan peristiwa ini kerana ia adalah peringatan yang baik untuk semua orang, bahawa dalam kesusahan, rakyat tetap tenang dan melaluinya bersama-sama sebagai sebuah bangsa yang bersatu.

Bukit Bintang terkenal sebagai salah satu pusat metropolitan yang paling sibuk di Kuala Lumpur yang tidak pernah ‘tidur’, ia selalu menarik ramai pembeli, pelancong dan pekerja perniagaan ke pusat membeli-belah modennya, hotel-hotel lima bintang, restoran dan pusat serta lokasi tumpuan pada waktu malam.

Wabak Covid-19 telah memberi kesan kepada lebih daripada dua juta orang di ibu kota dan menyebabkan lebih 150,000 kematian di seluruh dunia, dan di Malaysia, lebih daripada 5,000 orang telah dijangkiti dengan 88 kematian direkodkan.

Baru-baru ini, PKP telah dilanjutkan sehingga 28 April, yang meletakkan Malaysia dalam tempoh kritikal untuk memutuskan rantaian penularan Covid-19 dan pihak berkuasa juga melaksanakan tindakan lebih ketat terhadap mereka yang melanggar PKP.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Lima tahap gejala Covid-19, ramai sebar virus tanpa sedar

Mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ada lima tahap gejala dialami pesakit Covid-19 termasuk ada antara mereka tidak menunjukkan tanda-tanda awal sehingga saringan dibuat.

Kajian menunjukkan individu yang juga digelar ‘asymptomatic’ berupaya menjadi pembawa virus tanpa disedari.

Di Malaysia, 88 peratus pesakit berada pada tahap satu dan dua, tujuh peratus (tahap tiga dan empat) dan hanya lima peratus (tahap lima).

Wartawan NAZLI IBRAHIM menemu bual Dr Abdul Mueez Ahmad Shahbuddin yang bertugas di pejabat kesihatan KKM, Kuala Pilah, Negeri Sembilan bagi menghuraikan lima tahap berkenaan.

Tahap 1

  • Tidak menunjukkan sebarang gejala dijangkiti virus
  • Memiliki antibodi kuat antara faktor tiada gejala. Mereka termasuk kanak-kanak dan golongan muda
  • Kelihatan sihat dan mampu membuat aktiviti harian termasuk bekerja dan bersukan
  • Pembawa virus Covid-19 tanpa disedari. Kelompok paling berisiko menyebarkan virus terutama ahli keluarga dan kontak rapat
  • Jangkitan sukar dikesan kecuali terlibat saringan
  • Ada kes mereka sembuh sendiri tanpa mengambil ubat

Tahap 2

  • Ada gejala ringan seperti demam, batuk, sakit tekak
  • Mampu melakukan aktiviti ringan tetapi cepat letih
  • Sukar dibezakan mereka dijangkiti virus atau sakit lain kecuali saringan
  • Berisiko menyebarkan virus kepada ahli keluarga atau kontak rapat
  • Berbanding tahap satu, individu ini lebih mudah dikesan

Tahap 3

  • Alami radang paru-paru (pneumonia)
  • Rasa sakit dan ‘ketat’ di dada ketika menarik nafas
  • Boleh berjalan tetapi tidak mampu membuat aktiviti harian
  • Bernafas tanpa bantuan sebarang alat

Tahap 4

  • Alami radang paru-paru, perlu bantuan pernafasan terapi oksigen
  • Tidak mampu menjalankan aktiviti tetapi boleh bercakap
  • Alami sesak nafas lebih teruk daripada tahap tiga
  • Kurang selera makan

Tahap 5

  • Sesak nafas, perlu bantuan alat pernafasan (ventilator)
  • Hanya baring
  • Lazimnya tidak sedarkan diri kerana dibius penuh
  • Berpotensi mati jika bantuan pernafasan dihentikan
Categories
RENCANA WAWANCARA

Rakyat tidak lagi ‘mati akal’, makin terima norma baharu

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Malaysia kini berada dalam fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Ketika fasa pertama PKP bermula iaitu pada 18 Mac hingga 31 Mac lepas, ramai yang berkongsi di media sosial tentang rasa kurang selesa, bosan, rimas dan seolah-olah ‘mati akal’ apabila secara tiba-tiba arahan dikeluarkan untuk semua supaya “duduk di rumah”, “stay at home”!

Ramai juga yang merungut kerana perlu berhadapan dengan perubahan drastik ‘corak kehidupan baru’ ini.

Antaranya, termasuklah mereka yang perlu bekerja dari rumah bahkan ‘menghadiri’ mesyuarat secara dalam talian.

Pelajar sekolah dan penuntut universiti juga tidak ketinggalan perlu mengikuti kelas secara e-pembelajaran atau pembelajaran elektronik yang dikendalikan oleh tenaga pengajar masing-masing.

Bukan itu sahaja, disebabkan PKP dan kerisauan dijangkiti wabak Covid-19, ramai yang hanya ‘terperuk’ di dalam rumah dan langsung tidak keluar selain melakukan pembelian makanan dan barang-barang keperluan lain secara dalam talian atau menggunakan khidmat runner.

Proses sesuaikan diri

Kini selepas hampir sebulan melalui PKP, adakah rakyat semakin menerima dan lebih selesa mengadaptasi perubahan ini?

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr Ahmad Shamsuri bin Muhamad berkata rakyat dijangka akan lebih memahami dan bersedia untuk melalui PKP fasa ketiga berdasarkan pengalaman sebelum ini.

“Awal-awal PKP dilaksanakan kebanyakan rakyat masih dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu ini. Ketika itu mungkin ramai yang berhadapan masalah untuk mengurus masa, keadaan diri, cara kerja dan belajar serta pelbagai lagi perkara.

“Ianya adalah sesuatu yang normal kerana penyesuaian diri terhadap sesuatu yang baharu sememangnya memerlukan tempoh masa dan ia juga bergantung kepada tahap penerimaan seseorang individu.

“Namun begitu, proses penyesuaian ini bersifat berterusan dan lama-kelamaan, sedikit demi sedikit majoriti rakyat akan dapat menerima sekaligus lebih memahami keperluan PKP ini dilaksanakan,” katanya kepada Bernama.

Hobi baharu

Mengulas lanjut, Ahmad Shamsuri berkata sebelum ini mungkin ada golongan yang mengeluh kerana tidak biasa bekerja dari rumah antaranya termasuklah golongan ibu berkerjaya yang berhadapan kesukaran mengurus masa antara kerja pejabat dan tanggungjawab menguruskan anak-anak.

Bagi golongan extrovert (suka bergaul dan bersosial) pula sebagai contoh, arahan PKP termasuk penjarakan sosial pastinya sesuatu yang amat bertentangan dengan norma kehidupan mereka.

“Tempoh sebulan PKP tanpa disedari turut menambah ‘coping skill’ individu untuk beradaptasi dengan situasi baharu. Mereka yang bekerja dari rumah menjadi semakin positif, ibu-ibu sudah menyusun jadual bekerja, mengajar dan bermain dengan anak-anak.

“Rakyat juga mungkin sudah ada yang mendapat hobi baru seperti mencuba pelbagai resipi masakan, bercucuk tanam dan menghias rumah. Jika sebelum ini ada yang berhadapan kesukaran menggunakan aplikasi tertentu seperti Skype dan Zoom, tidak mustahil akan menjadi semakin mahir kerana tuntutan keadaan membuatkan mereka ‘terpaksa’ tahu,” katanya.

Menurut Ahmad Shamsuri, setiap rakyat di negara ini perlu memanfaatkan peluang disebalik cabaran krisis ini.

Beliau menambah, meneroka perkara baharu, lebih-lebih lagi yang berkaitan teknologi terkini dapat membantu meningkatkan kemahiran diri, mengurangkan jurang digital dalam masyarakat sekaligus menjadikan diri lebih cekap dan kehadapan.

Peranan kerajaan

Ahmad Shamsuri pada masa yang sama turut menambah, inisiatif kerajaan mengadakan pengumuman berhubung beberapa perkara sepanjang krisis Covid-19, turut menyumbang kepada kesediaan rakyat untuk sama-sama ‘berjuang dan berkorban’ mengharungi situasi ini.

Penerangan dan penjelasan antaranya daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah melalui sidang media yang dijalankan, banyak membantu meningkatkan kefahaman rakyat berhubung keadaan semasa yang sedang dilalui negara.

“Insya-Allah, secara perlahan-lahan rakyat juga akan dapat menerima hakikat termasuk untuk perkara yang lebih besar yang perlu dikorbankan seperti kemungkinan tiada Bazar Ramadan dan Solat Tarawih berjemaah di masjid pada tahun ini berikutan usaha mengekang penularan pandemik ini,” katanya.

Beliau turut menambah, dalam tempoh ketidaktentuan pandemik ini, setiap anggota masyarakat perlu bertenang, mematuhi arahan pihak berkuasa dan tidak terlalu memikirkan sesuatu yang di luar kawalan mereka.

“Terlalu berfikir mengenai perkara yang tidak pasti akan hanya mengundang tekanan dan boleh menjejaskan kesihatan mental dan fizikal. Berikanlah tumpuan kepada perkara yang berfaedah dan boleh mengurangkan ketegangan ketika berhadapan krisis COVID-19 ini,” katanya.

Semakin mahir, tenang

Sementara itu, bagi penuntut Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Muhammad Hareez Mohd Zaki, 23, meskipun kaedah e-pembelajaran pada mulanya agak sukar untuk diikuti ditambah pula menggunakan pelbagai platform yang berbeza, namun dari sehari ke sehari, masalah itu kini dapat diatasi.

Penuntut tahun empat Fakulti Kejuruteraan Elektrik yang berasal dari Terengganu itu berkata, kaedah tersebut memerlukan beliau lebih peka dan fokus agar tidak ketinggalan mengikuti jadual yang ditetapkan pensyarah termasuk tarikh akhir penghantaran tugasan.

“Secara peribadi saya berpendapat e-pembelajaran memanglah tidak sebagus kaedah pembelajaran secara bersemuka bersama pensyarah dan rakan-rakan. Namun dalam keadaan sekarang, tidak boleh dinafikan ia banyak membantu kami meneruskan pengajian meskipun ketika kekangan PKP,” kataya sambil menambah antara aplikasi dan laman web yang digunakan termasuklah Zoom, Google Classroom, Whatsapp dan easyclass.com.

Bagi Noraznida Daud, 47, yang bekerja sebagai pegawai insurans di sebuah bank terkemuka di ibu negara, memasuki fasa ketiga PKP, beliau lebih menerima situasi yang berlaku dan lebih tenang mengatur jadual hariannya sebagai wanita berkerjaya yang perlu bekerja dari rumah.

“Mula-mula dulu kelam kabut juga dan sedikit stres bila bekerja dari rumah. Maklumlah kita perempuan lebih-lebih lagi sebagai ibu kepada empat orang cahaya mata, boleh jadi serabut dan sakit kepala bila tengok keadaan rumah tak berkemas, fikir nak masak, menyiapkan kerja dan mesyuarat melalui aplikasi Zoom.

“Emosi saya juga sebenarnya terkesan kerana amat merindui ibu dan ayah di kampung (Negeri Sembilan) kerana sebelum ini boleh dikatakan setiap minggu saya akan pulang menjenguk mereka.

“Perlahan-lahan saya cuba menerima keadaan ini. Selain suami dan anak-anak memberi sokongan moral dan membantu saya melakukan kerja rumah, adik beradik juga memainkan peranan apabila membuat panggilan video beramai-ramai yang turut disertai ibu dan ayah. Terubat sedikit rasa rindu apabila masih boleh berhubung dan melihat wajah-wajah insan tersayang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Covid-19: Psikologi kanak-kanak turut terkesan

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: “Bosannya! Tak tahu nak buat apa. Nak jumpa kawan tak boleh, nak main di luar pun tak boleh. Asyik duduk dalam rumah je”.

“Anak aku dah melalak (menangis) ajak keluar. Dia dah bosan sangat dalam rumah”.

“Anak aku menghadap handphone dan main games je. Nak dilarang kita pun kesian sebab faham diaorang pun bosan kena berkurung macam ni. Jangankan budak-budak, kita yang tua ni pun dah ‘mati kutu’ sebenarnya tak boleh keluar”

Peringkat umur

Itu antara perkongsian ramai ibu bapa baik dalam perbualan ‘Whatsapp group’ dan di media sosial Facebook berhubung aktiviti ‘terkini’ anak-anak mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac dan dilanjutkan sehingga 28 April.

Kata kuncinya satu, BOSAN!

Lumrah kanak-kanak memang suka bermain, berseronok, ke sekolah dan meneroka pelbagai perkara bersama kawan-kawan.

Namun disebabkan krisis Covid-19 dan arahan PKP ini, aktiviti harian mereka boleh dikatakan banyak berubah dan pergerakan menjadi terhad.

Mungkin ada ibu bapa yang tertanya-tanya sejauh mana keadaan ini boleh memberi kesan terhadap emosi dan psikologi anak-anak mereka?

Menurut Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Profesor Datin Dr Mariani Md Nor, sikap kanak-kanak berbeza mengikut peringkat umur.

“Bagi kanak-kanak yang berumur antara tiga hingga lima tahun tidak kira sama ada yang memang tinggal di rumah atau di hantar ke taska, mereka mungkin tidak terlalu terasa perbezaan rutin harian mereka. Malah mereka yang sebelum ini di hantar ke taska atau pusat jagaan harian, mungkin lebih seronok dapat berada di rumah.

“Namun berbeza dengan kanak kanak yang di peringkat pra-sekolah dan sekolah rendah. Tempoh PKP ini lama-kelamaan akan membuatkan mereka berasa bosan dan gelisah akibat terlalu lama ‘terperuk’ di rumah. Tidak dapat ke sekolah dan bermain dengan kawan-kawan.

“Emosi mereka boleh terjejas. Rasa bosan dan tidak puas hati akibat terkongkong boleh menyebabkan jiwa memberontak jika tidak difahami dengan baik oleh ibu bapa,” katanya kepada Bernama.

Fahami minat

Mengulas lanjut Mariani yang juga Timbalan Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Majlis ECCE) berkata untuk itu adalah penting bagi ibu bapa merancang dan mengisi masa anak-anak dengan pelbagai aktiviti sepanjang tempoh PKP.

Masa anak-anak akan menjadi lebih bermanfaat dan dapat mengelakkan mereka bosan sekiranya ibu bapa menyediakan jadual di rumah iaitu peruntukan masa untuk bermain, belajar dan melakukan aktiviti sampingan.

Mariani berkata, dalam dunia teknologi hari ini ibu bapa juga perlu menjadi lebih kreatif dalam memastikan anak-anak seronok dan teruja untuk melakukan aktiviti yang dirancang.

“Boleh fokus kepada perkara yang menjadi minat mereka dan dalam masa sama selitkan juga aktiviti sampingan lain atau ilmu dalam subjek yang mereka kurang minat bagi menambah pengetahuan.

“Ibu bapa juga boleh menyediakan ruang khas untuk anak-anak melakukan aktiviti di rumah seperti melukis, mewarna, membuat kerja seni, aktiviti berkhemah secara indoor dan bermain permainan tradisional seperti congkak dan batu seremban serta board games,” katanya.

Beliau menambah, selain kerja sekolah yang dibekalkan dan proses pembelajaran dalam talian (e-learning) yang dijalankan oleh sesetengah guru, ibu bapa juga boleh mengikuti saranan serta panduan daripada laman web berkaitan bagi memenuhi aktiviti ‘cuti sekolah’ anak-anak dengan lebih bermanfaat.

“Anak-anak juga boleh dididik untuk membantu ibu bapa membuat kerja rumah seperti mencuba resipi baharu, mengatur pinggan mangkuk, menghias rumah, menyiram pokok bunga dan berkebun.

“Pada masa yang sama, mereka turut diberi peluang untuk menonton rancangan televisyen kegemaran mereka,” kata Mariani.

Kanak-kanak ‘Covid’

Mariani pada masa sama turut ditanya bagaimana pula jika kanak-kanak itu sendiri yang disahkan positif Covid-19? Apakah kesannya kepada emosi dan diri mereka?

Selain laporan media tempatan, turut tular di media sosial mengenai beberapa orang kanak-kanak yang menjadi mangsa penyakit ini.

Antara yang paling menyentuh hati ialah kisah seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang menghidap kanser darah dan merupakan mangsa termuda positif Covid-19 di Kelantan.

Muhammad Fateh Aqil Mohd Nazmee sepatutnya menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) namun terpaksa ditangguhkan selepas ujian darah yang dilakukan mendapati kanak-kanak itu positif Covid-19.

Terdapat juga video beberapa orang kanak-kanak dalam kejadian berasingan yang dijemput petugas kesihatan di rumah masing-masing. Mereka ini menaiki ambulans tanpa ditemani keluarga dan dibawa ke hospital kerana merupakan suspek malah ada yang disahkan positif Covid-19.

Seorang daripada kanak-kanak itu dipercayai mengikut ahli keluarganya ke majlis ilmu yang turut disertai peserta jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Seri Petaling.

Rakaman kanak-kanak itu dijemput petugas kesihatan yang lengkap berpakaian Peralatan Perlindungan Diri (PPE) menjadi tular di Twitter dan mengundang pelbagai reaksi netizen yang bersimpati dengannya.

“Sedih tengok”.

“This breaks my heart… imagining he’s my own little brother”.

“Kau imagine apa perasaan mak bapak dia bila anak sekolah rendah positif covid, ambulans dtg ambik, dia sorang je di kt hosp parents takleh teman”.

“Kesiannya. Amiklah pengajaran ye ibu bapa. Never bring any of your family ke any events or gathering walaupun penting ya amat. We never know apa2 yg jadi. Masih ada saki baki tabligh yg belum menjalani pemeriksaan covid 19”. Itu antara komen netizen di Twitter.

Sokongan moral

Mengulas perkara itu, Mariani berkata, emosi seorang kanak-kanak pastinya akan terganggu apabila perlu berpisah dengan ibu bapa atau ahli keluarga yang selama ini menjadi pelindung mereka.

“Rasa bimbang, takut dan macam-macam lagi sudah semestinya. Dalam keadaan diri yang masih kecil, tidak pasti sakit apa dan perlu melaluinya seorang diri tanpa ditemani ibu ayah dan ahli keluarga… Ia pastinya sesuatu yang amat menyakitkan bagi emosi seorang kanak-kanak.

“Sebelum ini semua ibu bapa yang buat, ke tandas dan nak tidur pun berteman. Ia sudah tentu sesuatu yang membimbangkan bagi mereka untuk melalui situasi ini sendirian. Pelbagai perasaan celaru dan rasa tertekan boleh timbul.

“Namun begitu, dengan sokongan dari aspek moral, kerohanian dan juga sosial daripada para petugas kesihatan yang merawat anak-anak yang terlibat ini, insya-Allah ia sedikit sebanyak akan membantu menenangkan keadaan bagi memastikan emosi mereka berada dalam keadaan stabil di samping mengelak berlakunya trauma,” katanya.

Beliau juga pada masa yang sama turut menambah, bagi kanak-kanak yang dibekalkan telefon bimbit oleh ibu bapa mereka digalakkan berhubung setiap hari bagi bertanyakan perkembangan kesihatan anak. Ini juga memastikan mereka tidak rasa terpinggir dan terus mendapat sokongan daripada aspek emosi serta mental daripada keluarga.

Peranan guru, ibu bapa

Sementara itu, berkongsi pandangan, guru Sekolah Kebangsaan Parit Lapis, Batu Pahat, Johor, Muhamad Fizri Jamal berkata beliau mengambil inisiatif mengadakan sesi pembelajaran bersama murid-murid melalui aplikasi Whatsapp sepanjang peraturan PKP.

Selain ianya mudah dan pantas, kaedah itu katanya turut dibantu dengan pihak pentadbiran sekolah dan pejabat pendidikan daerah yang menyediakan sumber bahan pembelajaran kepada guru-guru.

“Inisiatif pembelajaran melalui Whatsapp ini termasuklah rakaman audio dan video. Selain memudahkan murid-murid (kebanyakan telefon mempunyai aplikasi Whatsapp ) kaedah ini juga membolehkan mereka belajar atau mengulangkaji pelajaran mengikut waktu masing-masing serta boleh diulang semula sekiranya tidak faham.

“Ia juga lebih fleksibel kerana ibu bapa boleh menyusun masa untuk anak-anak menggunakan telefon kerana mungkin terdapat keluarga yang bergantung pada hanya satu telefon bimbit untuk digunakan oleh beberapa orang anak,” katanya.

Muhamad Fizri yang berpengalaman selama 10 tahun sebagai guru Bahasa Inggeris pada masa yang sama berpendapat peranan ibu bapa amat penting dalam memastikan anak-anak memanfaatkan masa mereka sepanjang sesi persekolahan ditutup.

Walaupun terdapat majoriti ibu bapa memberi kerjasama termasuk sering bertanya dan memantau aktiviti pembelajaran anak-anak mereka namun terdapat juga segelintir yang kurang mengambil berat dan membuat keputusan meninggalkan ‘group Whatsapp’ yang diwujudkan oleh guru.

“Sebagai guru kami mahu memastikan anak-anak murid masih tidak tercicir dalam pembelajaran mereka walaupun sudah lama tidak ke sekolah.

“Kita mahu mereka tetap berfikir tentang sekolah, belajar dan pelajaran. Walaupun guru mungkin tak dapat mengajar sepenuhnya seperti di dalam kelas, tapi sekurang-kurangnya dengan inisiatif sebegini murid-murid masih dipantau termasuk memastikan mereka membuat kerja sekolah yang diberi oleh guru atau tidak.

“Cara ini juga secara tidak langsung boleh membuatkan mereka tak sempat berasa bosan, mengelak berasa lesu dan tidak bermaya lebih-lebih lagi apabila hanya menghadap gajet kerana sentiasa ada tugasan yang diberikan oleh guru,” katanya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

PKP: Pembelajaran secara maya semakin popular

Oleh Lizawati Bahanan

KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Sejak Perintah kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lepas, pembelajaran secara maya atau digital menjadi semakin popular.

Kaedah ini bukan sahaja begitu sohor kini dalam kalangan pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi, malah turut diperluaskan kepada pelajar sekolah menengah dan rendah.

Tidak ketinggalan memanfaatkan kaedah pembelajaran ini ialah Pusat Kecemerlangan Hatimurni (Hatimurni), iaitu sekolah Islam swasta bagi pengajaran kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang telah memulakan pengajian KAFA menggunakan platform digital sejak 19 Mac lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Hatimurni Siti Khadijah Mohni, 41, berkata kelas secara digital dijalankan bagi mengelak pelajar pusat itu tercicir sukatan pelajaran yang sepatutnya diajar selepas cuti penggal persekolahan Mac lalu, namun sekolah terpaksa ditutup akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

“Kelas digital untuk pelajar di Hatimurni telah lama dirancang namun tertangguh disebabkan beberapa faktor, bagaimanapun selepas pengumuman PKP pada 16 Mac lepas, pihak kami mengambil peluang melaksanakan kelas tersebut bagi manfaat para pelajar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya, guru-guru akan membuat pengumuman melalui aplikasi whatsapp kepada ibu bapa mengenai topik yang akan diajar dan waktu video berkenaan akan dimuat naik ke platform media sosial Facebook.

Menurut Siti Khadijah, pada peringkat awal pelaksanaan kelas digital, ia dijalankan secara komunikasi sehala dengan tenaga pengajar akan merakam video dalam durasi 50 minit mengenai tajuk sesuatu mata pelajaran sebelum ia dimuat naik ke laman Facebook.

Video pengajaran dan pembelajaran itu akan disiarkan pada pukul 10 pagi pada hari yang telah ditetapkan untuk diakses pelajar.

Hatimurni merupakan sekolah Islam swasta yang ditubuhkan pada 2007, mengkhususkan kepada perkhidmatan kelas KAFA iaitu kelas mengaji (qiraat dan al-Quran), hafazan dan fardhu ain kepada pelajar dari usia tujuh hingga 13 tahun. Pusat itu juga menyediakan kemudahan transit serta pengangkutan kepada pelajar.

Kini, terdapat seramai 810 pelajar dengan 45 orang tenaga pengajar di tiga cawangan pusat berkenaan di Wangsa Maju, Setiawangsa di ibu negara dan Bandar Bukit Mahkota, di Bangi, Selangor.

TAMBAH BAIK KAEDAH PENGAJARAN & PEMBELAJARAN

Mulai 1 April lepas, pihak pengurusan Hatimurni menambah baik kaedah pengajaran dengan mengendalikan kelas digital menggunakan aplikasi zoom iaitu panggilan video secara beramai-ramai, bagi memudahkan interaksi antara guru dan pelajar.

“Buat permulaan, ia digunakan untuk kelas mengaji qiraat dan al-Qur’an selama 45 minit. Pautan aplikasi itu diberikan kepada ibu bapa sebelum kelas bermula,” katanya menambah kaedah ini mendapat sambutan positif daripada ibu bapa.

Kelas mengaji itu akan diadakan tiga kali seminggu iaitu pada Rabu, Khamis dan Jumaat bermula dari pukul 2 petang hingga 4.45 petang, melibatkan tiga mata pelajaran.

Beliau berkata kelas digital di Hatimurni ini merupakan satu daripada inisiatif pihaknya yang sedang dalam fasa untuk membuka francais pusat berkenaan di Shah Alam.

Menurut Siti Khadijah kelas digital di pusat itu akan diteruskan walaupun berakhirnya PKP kelak dan akan ditambah baik mengikut kesesuaian dari segi penyampaian.

“Pada masa akan datang, kaedah pengajaran dan pembelajaran akan dijalankan secara komunikasi dua hala, ia akan lebih bermanfaat kepada pelajar dan guru,” katanya.

KELEMAHAN & KELEBIHAN KELAS DIGITAL

Setiap perkara baharu, pasti ada kelemahan. Begitu jugalah bagi kelas digital KAFA ini. Antara kelemahannya ialah gangguan liputan ataupun pelajar tidak mempunyai akses Internet.

Menjelas lanjut, Siti Khadijah berkata, bagi kelas yang dijalankan secara komunikasi sehala, tenaga pengajar tidak dapat mengetahui sama ada pelajar faham atau tidak topik yang diajar.

“Pelajar juga tidak boleh bertanya sekiranya mereka mempunyai kemusykilan,” katanya menambah ada ketikanya terdapat masalah teknikal dan kelas terpaksa ditangguh atau dibatalkan terus.

Namun, kesulitan yang berlaku itu ditangani dengan segera dan sebaik mungkin dengan pihak pengurusan Hatimurni sentiasa mengambil maklum setiap kelemahan dan akan memperbaikinya dari semasa ke semasa untuk faedah bersama, katanya.

Di sebalik kelemahan kaedah pengajaran melalui platform digital, beliau mengakui terdapat kelebihan iaitu kelas secara digital ini iaitu dapat menjimatkan kos operasi dan tidak memerlukan ramai tenaga pengajar.

Justeru, guru mestilah kreatif dan dapat menarik minat pelajar untuk terus konsisten mengikuti setiap sesi pembelajaran yang diadakan.

“Guru tidak perlu ramai, rakaman biasanya hanya seorang atau dua orang guru dan boleh buat untuk banyak topik. Setiap guru dibekalkan dengan modul yang ditetapkan,” katanya.

INISIATIF BAIK DISOKONG IBU BAPA

Bagi kebanyakan ibu bapa, kelas digital KAFA yang diadakan sepanjang tempoh PKP ini merupakan inisiatif yang baik dan perlu diteruskan walaupun setelah tamat tempoh PKP.

Selain dapat meningkatkan kemahiran menggunakan teknologi maklumat dalam kalangan pelajar sekolah rendah khususnya, kelas digital ini juga mampu mengeratkan hubungan antara anak dan ibu bapa.

Ini kerana sepanjang pelajar menggunakan komputer riba, komputer atau telefon pintar mereka memerlukan bimbingan daripada ibu bapa.

Menurut eksekutif akauntan Farahshila Razali, 37, inisiatif kelas digital ini bukan sahaja dapat mendisiplin pelajar mengenai kepentingan ilmu, malah mereka dapat menggunakan komputer dengan tujuan bermanfaat.

“Inisiatif ini sangat sesuai kerana pelajar tidak perlu berada di sekolah untuk meneruskan latihan atau membuat ulang kaji,” katanya menambah penambahbaikan dari segi format penyediaan latihan atau nota perlu diberi perhatian agar ia lebih mudah diakses.

Sementara itu, wartawan Siti Azielah Wahi, 34, turut memuji usaha guru-guru Hatimurni yang menjayakan kelas digital sepanjang tempoh PKP ini kerana pelajar dapat meneruskan pembelajaran mengikut perancangan.

“Walaupun bukan wajib, tetapi inisiatif semasa PKP ini patut dipuji. Alternatif ini juga membuatkan anak-anak seronok mengulang kaji dan membuat latihan sebab menggunakan alat komputer,” katanya mengakhiri perbualan.

 

– BERNAMA