Categories
RENCANA WAWANCARA

Bekerja dari rumah sepanjang PKP perlu disiplin tinggi

Oleh Ali Imran Mohd Noordin

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan di seluruh negara sudah masuk ke fasa kedua dan pihak yang menerima kesan besar daripada perintah ini adalah golongan pekerja.

Pelaksanaan PKP bukanlah bermaksud mereka mendapat cuti percuma. Kerja tetap harus dibuat tetapi prlaksanaannya adalah secara bekerja dari rumah (BDR) dan ia adalah tidak mudah.

Ada beberapa perkara yang perlu difahami dan diselesaikan sebelum seseorang itu boleh bekerja dengan cekap di luar pejabat.

Bekerja dari rumah bererti perlu bijak menguruskan tuntutan kerja di pejabat dan di rumah pada waktu yang sama. Ramai pekerja memakai ‘topi’ yang pelbagai dalam satu masa sebagai pekerja, ibu, anak, dan suami.

BDR PENJAWAT AWAM

Bagi pegawai kerajaan, arahan bekerja dari rumah yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dalam surat bertarikh 17 Mac 2020 menetapkan, setiap pegawai kerajaan yang bekerja dari rumah mestilah mematuhi tiga syarat.

Syarat pertama adalah sentiasa berada di dalam rumah dalam tempoh waktu bekerja yang ditetapkan kerajaan; kedua adalah sentiasa bersedia sekiranya diarah ketua jabatan untuk hadir ke pejabat atau mana-mana lokasi lain dan ketiga memastikan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh waktu bekerja.

Surat tersebut turut menyatakan tindakan tatatertib boleh diambil terhadap pegawai yang gagal mematuhi tiga perkara di atas melainkan mendapat kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing.

Pegawai kerajaan juga tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan peraturan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

BDR boleh dikatakan satu perkara baharu terutamanya bagi sektor awam. Apakah cara yang boleh dilakukan supaya kaedah kerja ini boleh dilaksanakan dengan jayanya?

Bernama menemu bual beberapa orang individu yang sudah biasa dengan amalan BDR ini dan berkongsi pengalaman mereka yang boleh dijadikan panduan.

KEKALKAN IMBANGAN

Pengarah Sumber Manusia Shell Malaysia, Shazmi Ali berkongsi beberapa panduan bagaimana beliau bekerja dari rumah menerusi video yang dihasilkan sendiri. Video itu setakat ini meraih hampir 10,000 tatapan.

“Apa yang sesuai untuk saya dan yang sesuai dengan anda, mungkin berbeza, tetapi bagi saya, langkah nombor satu, jangan tukar rutin anda. Lakukan apa yang anda biasa lakukan sebelum ke tempat kerja, “ katanya kepada Bernama, sambil merujuk kepada rutin pagi seperti mandi dan minum secawan kopi.

Bagi Shazmi, terpulanglah kepada pilihan individu hendak pakai apa ketika bekerja dari rumah. Cuma yang penting, beliau mencadangkan supaya tukarlah pakaian tidur dan pakai yang selesa untuk sepanjang hari.

Mempunyai ruang kerja yang khusus juga faktor penting untuk BDR yang cekap. Kecil atau besar ruang kerja bukanlah menjadi isu, selagi cukup untuk letak komputer riba, dokumen atau perkakas lain yang diperlukan supaya kerja boleh disiapkan.

Shazmi turut mencadangkan supaya sesekali berehat seketika di samping meluangkan masa untuk keluarga. Bangun dari tempat duduk dan buat regangan, boleh juga bermain dengan anak-anak untuk mengimbangkan kerja dengan kehidupan anda.

“Dalam keadaan yang serba mencabar sekarang, bukan mudah bekerja dari rumah. Kita fikir senang tetapi tidak ….keadaan mungkin menjadi sukar. Saya ada anak kecil. Saya perlu sesuaikan keadaan dan ini adalah langkah nombor dua.

“Perlu jelaskan kepada isteri anda, anak-anak anda atau ibu bapa anda yang anda akan bekerja dari rumah, anda perlu membuat panggilan telefon, saya ada di rumah bukan bercuti, Mereka akan faham.

“Pagi ni saya ada mesyuarat dalam talian dan anak-anak saya ada dengan saya. Bukan saya nak mereka di samping saya dan mereka pun buat bising, sesekali jerit, semua orang boleh dengar. Oklah macam tu kan? Nama pun bekerja dari rumah, “ kata Shazmi.

SASAR KPI BUKAN JUMLAH JAM

Bagi seorang digital nomad Faiz Najmi, beliau menjadikan sasaran (KPI) kerja harian sebagai kayu ukur nilai kerja harian yang dilakukan. Menurut beliau dengan cara ini seseorang boleh bekerja dengan lebih fleksibel namun tetap berkesan menyiapkan tugasan.

“Instead of buat jadual yang impossible, saya buat KPI seperti tiga muka surat tesis setiap hari. Kalau nak tidur, tidur sahaja asalkan kerja siap. Kalau terasa nak tangguhkan kerja, duduk depan laptop atau kira sampai 20 dan mulakan kerja,” kata beliau.

Beliau turut menekankan soal penjagaan kesihatan fizikal dan mental. Pengambilan makanan, amalan senaman serta mengawal tekanan emosi adalah perkara yang perlu dititikberatkan.

“Satu kali suap kunyah 50 kali pun tak apa…buatlah senaman naik turun tangga, yoga, tekan tubi dan sit up. Media sosial juga akan membuat kita resah gelisah dengan isu Covid-19 jadi hadkan penggunaan kepada setengah jam di waktu pagi dan setengah jam di waktu petang,” pesan beliau yang juga pernah bertugas sebagai doktor.

Istilah digital nomad merujuk kepada seseorang yang melakukan kerja tanpa batasan masa atau geografi. Faiz yang juga merupakan seorang pengembara memilih jenis kerja yang membolehkan beliau bekerja dari pelbagai lokasi di seluruh dunia.

JANGAN ROSAKKAN KEPERCAYAAN

Sementara itu, bagi Muhammad Aizat Abdul Razak, 35, pengalaman bekerja dari rumah sejak setahun lalu mengajar beliau pentingnya kriteria saling percaya antara ketua dan pasukan sebagai kunci menjayakan BDR.

“Kurangkan andaian, berikan kepercayaan. Itulah kuncinya. Ketua atau pengurus yang kali pertama melalui BDR usah takut memberi kepercayaan kepada team kita. Buatlah panduan asas. Istighfar banyak-banyak kalau asyik fikir team buat kerja atau tidak. Untuk team pula usah ambil kesempatan dan usah pecahkan rasa kepercayaan yang diberi,” kata beliau yang menguruskan pengiklanan klien melalui laman Facebook.

Kaedah yang digunakan pasukannya adalah mengadakan senarai kerja setiap pagi mengikut waktu pejabat. Lebih baik lagi jika dapat diadakan mesyuarat dalam talian agar setiap orang dapat memaklumkan rancangan pekerjaan harian.

Aizat berkata komunikasi memainkan peranan penting untuk menjayakan BDR. Pasukan beliau meletakkan panduan ‘mesti respons mesej dalam tempoh 30 minit’ dan bagi sesiapa yang perlu meninggalkan kerja untuk urusan peribadi perlu memaklumkan kepada ketua.

Selepas waktu bekerja tamat, setiap ahli pasukan berkongsi senarai tugasan yang berjaya dilakukan. Rutin ini berlaku secara harian.

PENGALAMAN BAHARU

Bagi penulis sendiri walaupun sudah biasa bekerja dari luar pejabat, pengalaman bekerja dari rumah dalam tempoh PKP mengajar beberapa perkara baharu dalam membina budaya kerja yang stabil.

Dua perkara penting bagi penulis adalah jadual harian yang ‘adil’ bagi diri sendiri serta ruang kerja yang teratur dan lengkap.

Jadual penulis tidak banyak diubah berbanding jadual harian sewaktu bekerja di pejabat. Bangun tidur, mandi dan masuk ke ‘pejabat’ tetap berjalan seperti biasa walaupun ‘pejabat’ hanyalah beberapa langkah dari bilik tidur sahaja!

Tidak dinafikan ‘keseronokan’ bekerja tidaklah seperti yang biasa kerana sebagai wartawan berjalan ke sana ke sini bertemu pelbagai orang adalah lumrah setiap hari. Ia diganti dengan panggilan telefon dan menghantar emel kepada pihak yang ingin ditemu bual sambil memantau trend di media sosial.

Penulis turut meluangkan masa yang cukup untuk memasak dan keluar membeli barang keperluan. Waktu memasak paling ditunggu setiap hari kerana ia memberi ruang untuk tidak memikirkan tentang hal kerja buat sementara waktu.

TAMBAHKAN ILMU

Bagi pengurus atau pekerja yang baru mahu membiasakan diri dengan budaya kerja dari luar pejabat, ada baiknya jika mereka mengambil sedikit masa untuk menambah ilmu berkaitan perkara ini.

Laman sosial kerjaya LinkedIn menerusi blog mereka ada berkongsi pautan video pendek meliputi topik seperti memaksimumkan produktiviti dan tahap kecekapan kerja, pengurusan stres, pengurusan pasukan secara jarak jauh dan laman sesawang yang menyediakan kemudahan mesyuarat secara maya.

Semua maklumat ini boleh didapati di pautan https://learning.linkedin.com/blog/productivity-tips/new-to-working-remotely–these-resources-can-help.

Bahan bacaan lain seperti dari majalah Time juga menarik dengan penekanan kepada sistem ‘buddy’ https://time.com/5801725/work-from-home-remote-tips/.

Arikel dari laman sesawang Entrepreneur.com pula berkongsi cara bekerja yang lebih santai seperti amalan walking meeting dan menikmati waktu kerja https://www.entrepreneur.com/article/347479.

Pendek kata, ada banyak cara untuk menjayakan usaha BDR. Pilihlah cara yang paling sesuai untuk diri sendiri dan organisasi anda. Apa yang penting kualiti kerja tetap dapat dicapai.

Siapa tahu selepas ini semakin banyak syarikat dan bos yang lebih terbuka memberi pelepasan bekerja dari rumah kepada warga kerja mereka.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Covid-19: Cabaran ibu berkerjaya sepanjang perintah kawalan

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: “Saya rasa dah jadi macam tarzan sepanjang kerja dari rumah sebab tak berhenti menjerit. Kita baru buka laptop, anak-anak mulalah berebut nak tekan itulah, nak tekan inilah, macam mana nak habiskan.

“Saya tahu budak-budak manalah faham. Lebih-lebih lagi kalau benda seperti laptop mereka sukalah. Cakap baik-baik pun, datang kacau. Suruh main dengan ayah, mereka pergi tapi sekejap saja mereka dengar.

“Sekali dua, cubalah bersabar sebab faham mereka inginkan perhatian. Tapi, lama-kelamaan saya pun mulalah naik angin sebab banyak kertas cadangan nak kena siapkan awal tahun ni,” cerita penjawat awam bernama Nurul Iman Zarif, 37, dalam perbualan telefon dengan Bernama.

Berkongsi pengalaman pertama kali bekerja dari rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, ibu kepada dua orang, masing-masing berumur 8 dan tiga tahun, mengeluh agak sukar untuk dirinya untuk fokus menyiapkan tugasan pejabat.

Ini kerana Nurul Iman juga perlu memasak lebih kerap dan dalam masa yang sama, perlu melakukan kerja rumah yang lain. Bertambah lagi dengan kehadiran anak-anaknya kerana sekolah dan tadika ditutup.

“Perlu fokus betul-betul untuk siapkan kertas cadangan ini kerana ia berkaitan strategi penguatkuasaan. Secara jujur, konsentrasi buat kerja pejabat di rumah hanya 1 hingga 2 jam saja kemudian memang kena berhenti sekejap.

“Anak yang seorang datang kata lapar. Seorang lagi minta susu, minta buah. Mereka ni sekejap-sekejap makan, mungkin tengah membesar,” katanya, jelas kedengaran keriuhan suara anak-anaknya itu.

Memang memeningkan kepala apabila kedua-dua orang anaknya bergaduh dan masing-masing akan datang mengadu kepada Nurul Iman, sekali gus betul-betul menguji kesabarannya.

“Kerja dari rumah lagi letih sebab hendak uruskan banyak perkara. Ayahnya membantu tetapi budak-budak tetap nak berkepit dengan ibunya.

“Mereka yang ada orang gaji mungkin tak ada masalah. Tetapi, dengan keadaan sekarang bahaya Covid-19, kenalah belajar sesuaikan diri bekerja dari rumah,” katanya.

Seorang suri rumah Nurrabia’tul Adawiyah Mohd Bistamim meluangkan masa bersama anak-anaknya ketika tinjauan suasana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di ibu kota pada 20 Mac 2020. Foto BERNAMA

MENCABAR, TEKANAN

Hakikatnya, situasi yang dialami Nurul Iman ini bukanlah dihadapi wanita kelahiran Tapah, Perak ini sahaja. Bahkan, ia mungkin turut menjadi dilema sebahagian besar golongan ibu berkerjaya yang ketika ini bekerja dari rumah susulan penguatkuasaan PKP, antara lain bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Menyemak halaman Facebook sendiri, penulius mendapati ada rakan yang mempunyai anak kecil memuat naikkan status dan memberi komen seperti “sekarang dah jadi zombie, agak lagi dua minggu sis jadi tak pontianak”, “ni lagi kena extend, mak pun boleh jadi naga kuasa 7 nanti”, sejurus pengumuman PKP dilanjutkkan sehingga 14 April depan.

Tidak dinafikan, bekerja dari rumah sangat mencabar terutamanya bagi golongan pekerja yang juga bergelar ibu dan mempunyai anak kecil.

Ini kerana ia berpotensi menimbulkan tekanan kepada mereka sekiranya gagal menanganinya secara baik.

Menurut Prof Dr Intan Hashimah Mohd Hashim, Pakar Psikologi Sosial/Positif, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), ini kerana golongan itu berhadapan dengan lebih banyak permintaan, sama ada daripada majikan, anak-anak mahupun suami mereka sendiri.

Paling memberi kesan, apabila para suami tidak saling membantu dan tanggungjawab itu semua dipikul sendirian oleh isteri. Keadaan ini, pastinya akan menambahkan tekanan berikutan faktor keletihan fizikal, mental mahupun emosi.

“Dalam keadaan biasa, kedua-dua tugas ini boleh diselesaikan dalam masa berbeza tetapi pada masa sekarang, ibu-ibu ini perlu menjalankan kedua-dua tugas tersebut secara serentak. Hal ini, pastinya memerlukan banyak tenaga dan penumpuan lebih yang tentunya akan memberikan tekanan berat buat mereka.

“Cabaran juga boleh timbul memandangkan PKP merupakan perkara baharu dan kebanyakan kita belum biasa bekerja dari rumah. Ditambah lagi dengan kebimbangan terhadap situasi semasa yang tidak menentu serta kerisauan mengenai kesihatan dan keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

MAJIKAN PERLU FAHAM

Keadaan sebegini mungkin berlaku adalah disebabkan anak-anak menganggap keberadaan ibunya di rumah ditafsirkan sebagai hari cuti seperti sebelumnya dan kerana itu perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada mereka.

Bagi anak-anak yang masih kecil ini, mereka belum lagi memahami dengan jelas mengenai budaya kerja dari rumah, PKP, Covid-19 dan pastinya situasi ini menyukarkan para ibu untuk memberi fokus sepenuhnya kepada tugas pejabat.

“Mungkin golongan ibu perlu mencuri masa atau menunggu hingga anak tidur sebelum boleh fokus bekerja tetapi hal ini akan mengganggu pula waktu tidur ibu. Lebih buruk lagi, apabila ibu menjadi terlalu penat dan boleh melakukan kesilapan sehingga berisiko kepada keselamatan diri dan anak-anak,” jelasnya.

Mengulas mengenai isu ini, Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nazariah Shar’ie Janon berkata peringkat umur anak paling mencabar golongan ibu bekerja dari rumah ialah di bawah lima tahun sekiranya suami tidak memberi sokongan dan majikan tidak memahami keadaan yang dihadapi.

Menurut beliau, kanak-kanak dalam lingkungan umur tersebut terutamanya yang berumur tiga tahun begitu menguji kesabaran kerana mereka hanya tidur sekali sahaja sebelah siang, aktif dan suka mencuba benda baharu.

“Umur apa pun anak kita, mereka akan tetap mencari ruang untuk mendapatkan perhatian ibu. Cuma, yang membezakan ialah yang berumur bawah 2 tahun, tidak faham kenapa dia tidak boleh bersama ibu dan memerlukan pemerhatian berterusan serta akan menangis jika berseorangan.

“Mereka ini bagaimanapun memerlukan tidur agak panjang, dua kali sehari. Jadi, ibu boleh mencuri masa bekerja ketika anak tidur,” katanya.

Dalam keadaan sebegini, beliau berkata majikan juga perlu mengambil maklum mengenai keadaan pekerja yang berkeluarga dengan lebih menitikberatkan hasil kerja berbanding pemantauan kakitangan sepanjang masa.

PERANAN SUAMI

Bagi menjayakan konsep bekerja dari rumah, peranan suami juga sangat penting dan tidak boleh dikecualikan untuk sama-sama menguruskan rumah sepanjang tempoh PKP,” kata Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling/Psikologi), Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lt Kdr Dr Abu Yazid Abu Bakar TLDM (B).

Persepsi bahawa kerja rumah adalah 100 peratus di bahu isteri merupakan anggapan konservatif dan sudah tidak boleh diterima lagi pada masa kini. Ini kerana ada isteri bukan suri rumah sepenuh masa tetapi juga bekerja untuk bagi membantu keluarga.

Menurut beliau, pasangan yang melaksanakan tanggungjawab rumahtangga secara keseorangan sama ada suami mahupun isteri secara berterusan akan mengalami keletihan fizikal, mental dan emosi bukan kepalang.

Apabila tahap keletihan memuncak sehingga mencetuskan tekanan yang tidak mampu diuruskan, komunikasi akan terganggu dan pertengkaran antara keduanya lambat-laun pasti akan berlaku.

“Rumahtangga adalah satu institusi kekeluargaan yang menuntut persefahaman, perkongsian, serta sifat tolak ansur daripada semua ahli yang membentuk strukturnya. Pandangan si suami yang menolak tanggungjawab melaksanakan kerja rumah atas tiket sebagai ketua keluarga bukanlah satu pandangan boleh diterima.

“Lagipun, dalam waktu sukar seperti tempoh PKP, semua ahli keluarga -suami, isteri, anak-anak mesti saling menyokong, bekerjasama dan bersatu hati dalam semua urusan rumahtangga bagi memastikan keharmonian institusi dapat dikekalkan,” katanya.

TIPS RUMAHTANGGA

Bagi menangani permasalahan ini, Dr Ku Suhaila Ku Johari, pensyarah kanan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, berkata antara strategi yang boleh dilakukan adalah membuat jadual perkongsian kerja antara suami dan isteri bagi memastikan semua rutin tugas pejabat dan rumah berjalan lancar.

Selain itu, perlu juga dibuat jadual anak seperti jam berapa makan, waktu rehat yang memerlukan semua anak tidur, masa menonton televisyen, bermain di samping turut mempunyai ruang kerja yang selesa.

“Terdapat beberapa cara boleh dilakukan bagi memahamkan anak mengenai situasi sekarang dengan mengajak mereka sekali menonton berita, menonton filem yang menceritakan tentang penularan virus misalnya. Ketika menonton, kaitkan ia dengan keadaan yang berlaku sekarang.

“Jelaskan juga kepada anak mengapa ibu perlu bekerja dari rumah dan ibu memiliki masa sangat terhad dan mereka perlu memahami.

“Mengambil peluang mengeratkan hubungan bersama keluarga merupakan salah satu saranan atau pun hikmah yang dapat diperolehi sepanjang tempoh ini dan untuk itu ia memerlukan usaha ke arah tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, semua ini hanya boleh dilakukan sekiranya mempunyai pemikiran positif, tegas Pengarah Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa’ad.

Menurut beliau, individu pada asasnya dilahirkan dengan potensi untuk menjadi seorang yang rasional atau sebaliknya.

Ini bermakna, manusia boleh menentukan sama ada untuk gembira, menyayangi, disayangi dan mendapat kesempurnaan kendiri atau boleh memilih untuk memusnahkan diri mahupun mengelak daripada berkembang.

“Justeru, dalam konteks ini ialah sejauh mana mereka boleh menerima arahan PKP tersebut. Jika mereka menerima secara negatif, maka negatiflah, tetapi, sekiranya positif, maka positiflah jadinya,” jelasnya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Cabaran mengajar dalam talian semasa PKP

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Penutupan sekolah dan pusat pengajian tinggi yang dilanjutkan selaras dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan memberi cabaran baharu kepada warga pendidik untuk memastikan pelajar mereka terus dapat belajar.

Pembelajaran dalam talian terutama google classroom yang diamalkan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terbukti cukup membantu guru dan pensyarah selain aplikasi zoom bagi membolehkan interaksi secara terus dengan pelajar dapat dilakukan.

Para guru dan pensyarah turut memanfaatkan media sosial seperti whatsapp dan telegram dengan sebaik-baiknya untuk menyampaikan pelbagai maklumat, arahan dan latihan.

Semuanya ini untuk memastikan pembelajaran pelajar tetap lancar walaupun mereka tidak berada di dalam kelas dan bilik kuliah.

Bagaimanapun, tidak semua mendapat manfaat tersebut kerana pembelajaran dalam talian hanya berkesan sekiranya capaian internet dapat dinikmati secara meluas bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar dan kawasan pedalaman.

Ini adalah antara cabaran utama dalam usaha kerajaan mengoptimumkan sepenuhnya pembelajaran dalam talian dalam sistem pendidikan negara, lebih-lebih lagi sepanjang tempoh PKP ini.

Belum bersedia sepenuhnya

Apa yang ketara sekarang ialah ada hikmahnya di sebalik krisis akibat penularan penyakit Covid-19 ini. Pihak yang berkenaan boleh melihat sendiri bahawa bidang pembelajaran dalam talian masih belum mencapai tahap yang memuaskan dan mereka perlu lebih fokus dalam hal berkenaan.

Menurut Pensyarah Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, jika sebelum ini pembelajaran dalam talian hanyalah satu pilihan, tetapi dengan penguatkuasaan PKP, ia menjadi suatu keperluan.

Beliau menjelaskan, apabila kerajaan melanjutkan tempoh PKP yang sepatutnya berakhir pada 31 Mac kepada 14 April, pembelajaran dalam talian adalah pilihan terbaik kerana kebanyakan pelajar masih berada di rumah masing-masing.

“Cuma pensyarah kena bersedia dengan bahan mengajar sebelum melaksanakan pembelajaran dalam talian. Mereka perlukan sedikit masa untuk menyediakannya.

“Selain tu pensyarah juga harus meningkatkan kemahiran dalam teknologi maklumat, pegagogi dan penilaian dalam talian,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Anuar, semua universiti mempunyai platform pembelajaran dalam talian namun isu utama yang dihadapi ialah capaian internet dalam kalangan pelajar.

“Tidak semua pelajar ada capaian internet yang baik di kediaman masing-masing khususnya di kampung dan pedalaman. Jadi pembelajaran dalam talian secara terus seperti aplikasi zoom mungkin pilihan kedua.

“Pilihan yang baik ialah dalam talian yang bukan real time seperti menggunakan google classroom, telegram dan sebagainya,” katanya, sambil menambah, jika melihat keadaan semasa, Malaysia belum bersedia sepenuhnya menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian berikutan kekurangan prasarana, internet terutama di luar bandar.

Masih belum optimum

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran mengakui penggunaan pembelajaran dalam talian di peringkat universiti belum lagi sampai ke tahap maksimum.

Ini memandangkan kaedah bersemuka dengan pelajar tetap menjadi pilihan.

Menurut beliau, apabila berlaku krisis yang dialami sekarang, adalah baik sekali untuk untuk melihat semula sistem yang kita ada dan bagaimana untuk meningkatkan lagi keberkesanannya.

“Sudah tiba masanya untuk kita memantapkan lagi proses pembelajaran dalam talian di negara kita, sama seperti yang dilaksanakan di beberapa buat negara maju.

“Walaupun mereka tidak mempunyai Covid -19 ketika itu tetapi mereka sudah pun merealisasikan dan mengaplikasikan pembelajaran dalam talian. Walaupun tidak 100 peratus tetapi dibina sistem sedemkian,” katanya.

Universiti di Malaysia, tambah beliau, tidak mempunyai masalah untuk mengaplikasikan pembelajaran dalam talian kerana jaringan internet yang baik.

Jika ada pun yang bermasalah, jelas beliau, ia mungkin hanya lima peratus atau kurang.

Bagaimanapun, pembelajaran dalam talian masih boleh dilakukan melalui cara lain, antaranya melalui rakaman video yang boleh dihantar kepada pelajar melalui WhatsApp atau Telegram.

“Ini juga masih boleh dilaksanakan (pengajaran melalui video) sekiranya pembelajaran dalam talian tidak boleh dilaksanakan kepada pelajar disebabkan jaringan internet yang bermasalah,” katanya.

Menurut Mohammad Shatar, pembelajaran dalam talian bukan perkara baharu di universiti terutama bagi pengajaran di luar kampus dan di pesisir yang mana pelajar tidak perlu datang ke pusat kampus.

“Semua pembelajaran dilakukan secara dalam talian termasuk persidangan dan sebagainya. Di UPSI sendiri ada beberapa pelajar pesisir seperti di Sibu, Tawau, Kota Kinabalu dan Indonesia. Kini UPSI merancang untuk menambah lagi kampus di beberapa negara seperti di Asia Barat dan China.

“Pastinya kalau tidak ada pembelajaran secara dalam talian ini, ia menjadi satu perkara yang amat mendatangkan masalah dan meningkatkan logistik kepada pensyarah dan sebagainya,” katanya.

Perlu capaian internet lebih baik

Sementara itu, Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia, Cheras, Haslindar Nor Ismail berkata tempoh PKP yang dilanjutkan memberi kesan kepada pengajaran di sekolah terutama silibus yang ditetapkan KPM.

Bagi memastikan pelajarnya tidak ketinggalan, beliau memulakan pembelajaran dalam talian menggunakan google classroom sejak PKP mula dilaksanakan 18 Mac lalu.

Sayangnya, tidak semua pelajar masuk ke dalam kelas maya itu, kata Haslindar yang berpengalaman mengajar hampir 20 tahun.

“Terdapat banyak kekangan dalam kalangan murid. Mereka masih belum dapat menyesuaikan diri memasuki kelas maya seperti ini kerana suasananya yang berbeza daripada kelas harian biasa,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, halangan lain yang menyebabkan mereka tidak dapat turut serta dalam kelas maya disebabkan tiada kemudahan internet dan peralatan.

Menurut beliau, ramai dalam kalangan pelajar berasal daripada keluarga miskin bandar yang mana mereka tidak mempunyai telefon pintar, komputer riba atau komputer di rumah.

“Mereka juga tidak mempuyai capaian internet. Jadi sukar untuk mengoptimumkan pengajaran dan pembelajaran dalam talian ini,” katanya.

Beliau berkata tidak hanya murid, guru yang tinggal di luar bandar terutamanya juga berhadapan dengan masalah pengajaran di alam maya disebabkan capaian internet yang lemah.

Selain itu menurut beliau, masih ramai lagi guru yang kurang berkemahiran dalam penggunaan teknologi maklumat bagi membolehkan mereka menyampaikan bahan pengajaran dalam talian.

“KPM memperkenalkan pelbagai kaedah pengajaran dalam talian. Jika sebelum ini pengajaran dalam talian hanya sebagai bahan bantu mengajar bukan dikira kaedah utama pembelajaran.

“Tetapi apabila berlaku krisis dan PKP dikuatkuasakan, pengajaran dalam talian sudah dikira sebagai kaedah utama pembelajaran. Jadi sudah tiba masanya untuk kita mantapkan lagi pembelajaran dan pengajaran dalam talian ini terutamanya untuk kegunaan pada masa akan datang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Covid-19: Tiba masa rakyat patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 17 MAC: Keputusan kerajaan mengisytihar Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari dari 18 hingga 31 Mac merupakan langkah tepat untuk mencegah penularan baharu wabak Covid-19 di negara ini, kata seorang pakar sains politik.

Justeru, Prof Datuk Dr Nasarudin Mohammed menegaskan tiba masa masyarakat melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing terutama mematuhi semua arahan serta larangan yang ditetapkan sepanjang tempoh sekatan itu berkuat kuasa.

Jelasnya, rakyat perlu faham larangan bersifat sementara itu bertujuan mengawal orang awam daripada bergerak bebas sehingga memungkinkan berlaku jangkitan wabak yang lebih teruk.

“Pertama sekali, masyarakat jangan berasa panik sebaliknya perlu tenang dan ikut semua arahan yang telah dan akan dimaklumkan. Ini bukan Perintah Berkurung, kita cuma dibataskan pergerakan keluar masuk.

“Cuma perlu duduk dalam rumah saja dan keluar bila dibolehkan. Mesej jelas, kurangkan pergerakan seminimum mungkin untuk menyahaktifkan Covid-19,” katanya kepada Bernama.

Pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi antaranya melarang secara menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Orang ramai melakukan pembelian panik di Pasaraya Hero di Putrajaya susulan tular berita palsu bahawa kerajaan akan melaksanakan perintah berkurung bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19. Foto BERNAMA

Turut berkuat kuasa sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara; sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara; penutupan semua institusi pendidikan seperti taska, sekolah kerajaan dan sekolah berasrama penuh.

Penutupan turut membabitkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara antaranya air, elektrik, tenaga dan telekomunikasi.

Bagaimanapun, Nasruddin berkata sekiranya masyarakat masih terus dengan sikap tidak berdisiplin dan tidak mengambil berat, langkah perintah kawalan pergerakan itu mungkin tidak berkesan sepenuhnya.

“Saya bimbang, disiplin ini boleh dianggap sangat rendah…mungkin pada tahap satu yang memerlukan hukuman berat dan keras untuk mendisiplinkan diri,” tambahnya.

Mengulas lanjut, katanya, di peringkat pentadbiran, kerajaan juga menerusi media massa mesti menyediakan maklumat dan panduan kepenggunaan, kesihatan, keselamatan isirumah dan kesiapsiagaan kepada rakyat ketika tempoh larangan itu.

Mengambil contoh negara lain yang berdepan wabak sama, Nasaruddin berkata kerajaan juga harus menyediakan bantuan atau insentif dalam bentuk perkhidmatan dan kewangan seperti elaun, diskaun pembelian runcit, pengagihan ubat-ubatan dan makanan.

“Aspek logistik, barangan keperluan asas perlu diperluas bagi mengelakkan insiden kehabisan barangan dapur akibat ‘belian panik’ serta untuk golongan sasar kesempitan wang. Setakat ini diskaun caj elektrik sudah pun diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi.

“Perkara lain yang boleh dipertimbangkan kerajaan termasuk subsidi gas memasak, penangguhan pembayaran utiliti dan cukai lain yang pembayarannya dalam tempoh sekatan, malah gaji dan pencen bulan Mac seeloknya dibayar segera,” katanya.

Selain itu, kerajaan juga perlu menyediakan pelan pemulihan bagi membantu golongan pekerja yang terjejas sepanjang tempoh larangan itu berkuat kuasa, tambahnya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

IBDE terjemah buku adikarya dunia

Sejak empat tahun lalu, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) gigih menghasilkan terjemahan karya klasik dunia termasuk kitab ulama tersohor yang dikarang hampir seribu tahun lalu.

Ini termasuk tulisan Imam al-Ghazali berjudul Perihal Kesederhanaan Dalam Beriktikad, Ciri Pemisah Antara Islam dan Zindik dan Penyelamat Daripada Kesesatan, ketiga-tiganya berusia kira-kira 900 tahun. Tiga karya itu menyentuh topik berkaitan takfir, ilmu kalam dan perkembangan kerohanian imam itu.

Kitab Huraian Al-Aqaid Al-Nasafiyyah, sebuah teks klasik yang meluas digunakan dalam menjelaskan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah, karangan Imam Sa’duddin al-Taftazani (630 tahun) juga diterjemah. Begitu juga Imam di Kota Paris (140 tahun) karya Rifa’a Al-Tahtawi yang mencatat kembara lima tahun beliau di ibu negara Perancis.

Terjemahan Republic Plato yang berusia 2,300 tahun, Tiga Cerita Falsafah: Zadiq, Micromegas dan Candide (240 tahun), Renungan Metafizik (370 tahun) dan Voltaire: Satu Karangan Tentang Tolenrasi (240 tahun) juga dibuat.

Selain itu, buku yang memuatkan kajian kitab kuning, pegangan masyarakat Islam tradisional dan dianggap aliran tertua di rantau ini turut dijelmakan sebagai Islam di Nusantara: Kitab Kuning, Pesantren dan Tarekat.

Ketua pengarangnya, Al-Mustaqeem M Radhi berkata IBDE mementingkan terjemahan adikarya atau buku yang menerima pengiktirafan antarabangsa.

“Apabila kita terjemah biografi Abraham Lincoln, kita pilih biografi terbaik yang pernah menang anugerah walaupun ada buku lain dengan topik sama. Begitu juga buku lain.

“Kita juga terjemah buku daripada bahasa asal. Misalnya buku Imam al-Ghazali, kita tidak terjemah daripada bahasa Inggeris atau Indonesia tetapi terus sumber asal bahasa Arab,” katanya.

Hak cipta

Namun, usaha itu bukan mudah, lebih-lebih lagi masalah mendapatkan keizinan hak cipta. IBDE perlu menghubungi penerbit asal selain membayar pada kadar tertentu. Sesetengah penerbit asal pula sudah tutup atau dibeli syarikat lain.

“Prosesnya agak rumit. Buku yang kita terjemahkan adalah buku lama yang biasanya susah untuk pemegang hak cipta nak buka fail. Jadi ambil masa lama untuk dapat jawapan.

“Mereka kena periksa kerana kadang-kadang isu ini tak berapa jelas adakah pengarang atau penerbit yang pegang hak cipta. Kemudian kalau pengarang sudah meninggal dunia, siapa yang pegang hak cipta?” kata Al-Mustaqeem.

Proses itu mengambil masa dua hingga enam bulan. Malah, ada buku terpaksa dibatalkan apabila penerbit asal tidak memberi kebenaran. Namun, IBDE setakat ini berjaya menerbitkan 39 buku meliputi falsafah, agama, sejarah dan biografi.

Rancakkan terjemahan

Al-Mustaqeem percaya kesungguhan IBDE yang lahir melalui program Pencerahan Selangor mampu mencetuskan kembali kegemilangan penerbitan buku terjemahan, mengulangi era 70-an yang menyaksikan kegiatan itu rancak; dari tokoh bahasa hingga sasterawan negara, giat menggulati buku pelbagai genre.

Antara mereka Pendeta Za’ba, Rustam A Sani, Datuk Abdullah Hussain dan Dr Siti Zainon Ismail. Apatah lagi, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ketika itu Datuk Dr Hassan Ahmad banyak memberi dorongan. Namun, menjelang era 90-an, kegiatan itu meski ada tetapi suram. Sekitar awal tahun 2000, Institut Kajian Dasar yang diterajui Datuk Khalid Jaafar mula membuat kerja penterjemahan buku berkualiti.

“Bila kita dah terjemah buku, akan ada pihak lain berminat membuat terjemahan, bukan buku serius sahaja tetapi juga seperti sajak, cerpen dan bacaan serius lain,” kata Al-Mustaqeem.

Proses terbit buku

Namun, proses penterjemahan sentiasa berdepan cabaran. Bukan mudah memperoleh penterjemah yang betul-betul berkebolehan menterjemah karya besar.

“Ada juga yang mengaku sebagai penterjemah. Memang betul dia penterjemah profesional tetapi sebenarnya dia menterjemah dokumen undang-undang atau risalah perubatan. Untuk buku kita, belum tentu berguna,” katanya.

Sepanjang proses penterjemahan, IBDE sedaya upaya mengekalkan bahasa Melayu sejati dan mengelak istilah bahasa Inggeris yang “dimelayukan”. Proses suntingan kemudian dibuat, diikuti semakan beberapa kali termasuk membaca pruf.

“Bila manuskrip siap, kita hantar untuk susun atur. Bila dah siap kita periksa sekali lagi untuk semak ejaan, susunan dan sebagainya oleh pembaca pruf sebelum dihantar kepada jurureka grafik dan selepas itu diperiksa sekali lagi untuk pastikan tiada silap. Memang banyak proses semakan,” katanya.

Dari segi reka bentuk termasuk muka depan, IBDE mulanya cuba memenuhi selera anak muda tetapi golongan itu tetap tidak membeli. Justeru, mereka menukarnya kepada rekaan yang mencerminkan bacaan serius.

“Pada tahun kedua kita buat keputusan gunakan reka bentuk mencerminkan buku ini buku yang serius tetapi bukan bermaksud reka bentuk membosankan dan kosong. Serius tetapi tidak membosankan, malah cantik,” katanya.

IBDE juga menggunakan kertas berkualiti tinggi dengan mengambil kira ketebalan dan warna kertas berkualiti serta lambat kuning. Proses keseluruhan memakan masa empat hingga 10 bulan untuk menyiapkan sebuah buku. Untuk promosi, IBDE bekerjasama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Categories
RENCANA WAWANCARA

Ibu bapa sambil lewa, anak-anak ligat melepak

Oleh Shanika Abdullatib dan Anasathia Anak Jenis

PUTRAJAYA, 4 MAC: Isu lepak dan berpelesiran membabitkan kanak-kanak di negara ini dilihat tidak berkesudahan, malah sering dikaitkan dengan pelbagai permasalahan termasuk menunggang basikal lasak yang dikategorikan sebagai bahaya dan sukar diambil tindakan undang-undang.

Saban tahun, purata 100 kes kanak-kanak berpelesiran berjaya diselamatkan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), sekali gus menunjukkan langkah proaktif diambil bagi membela nasib kanak-kanak ini.

Menerusi temu bual eksklusif wartawan Bernama, Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM Arfan Sulaiman mengupas isu kanak-kanak melepak dan berpelesiran dengan lebih mendalam.

BERNAMA: Dengan kajian dan pemantauan yang dilakukan oleh JKM, boleh huraikan faktor utama penyebab kanak-kanak ini berpelesiran?

ARFAN: Saya percaya isu ini berlaku disebabkan pelbagai faktor dan paling menonjol adalah ibu bapa terlalu percaya dan mengambil mudah apabila anak mereka berada di luar. Ini dapat dapat dilihat apabila saban tahun lebih 100 aduan diterima mengenai kanak-kanak ini berpelesiran dan JKM sentiasa tampil dengan pelbagai kaedah untuk membantu dan menyelamatkan kanak-kanak ini.

Melalui pemerhatian kami juga, tidak dinafikan sikap ibu bapa yang ambil mudah serta terlalu mempercayai anak mereka menyebabkan kanak-kanak ini ‘berani’ berpelesiran sehingga lewat malam.

Tidak terkecuali apabila ibu bapa menganggap kawasan perumahan yang didiami selamat serta umur anak yang berusia sembilan hingga 15 tahun adalah sudah besar juga mendorong kanak-kanak ini berada di luar rumah tanpa pengawasan yang sewajarnya.

Kami melihat trend ini amat membimbangkan walaupun secara purata ia hanya 100 kes setahun yang dilaporkan. Jadi bagaimana dengan yang tidak dilaporkan?

Bagaimanapun, melihat jumlah aduan yang diterima kita dapat simpulkan masyarakat semakin berani membuat aduan terutama di Talian Kasih 15999. Ini secara tidak langsung menunjukkan sensitiviti masyarakat terhadap kes melibatkan kanak-kanak semakin meningkat.

BERNAMA: Ada ibu bapa yang terlalu percayakan anak-anak mereka dan disebabkan itu mendorong ‘membenarkan’ anak mereka berpelesiran hingga dinihari. Adakah ini boleh dianggap kecuaian?

ARFAN: Kita tidak boleh menyamaratakan kerana setiap kes berbeza daripada pelbagai faktor. Sebagai contoh, anak memberitahu pergi tuisyen atau ada kelas tambahan dan sudah tentu ibu bapa percaya.

Begitu juga dengan keadaan sosioekonomi sesebuah keluarga yang ‘memaksa’ ibu bapa meletakkan kepercayaan kepada kanak-kanak. Sebagai contoh, ada ibu bapa yang terpaksa bekerja syif dan tiada kemampuan menyediakan pembantu rumah atau penjaga. Jadi mahu tidak mahu, mereka terpaksa ‘membiarkan’ anak menjaga diri sendiri.

Jika ada yang mendakwa faktor saiz rumah yang kecil membuatkan kanak-kanak itu tidak selesa berada di rumah, ia juga tidak tepat kerana ada kes berpelesiran yang membabitkan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan mewah.

Bagaimanapun, jika terdapat aduan terutama daripada jiran terdekat kami akan siasat dan lakukan yang terbaik untuk membantu mencari jalan penyelesaian. Kita juga percaya, peranan ibu bapa dalam proses mendidik dan mencegah itu lebih penting dalam mengekang anak-anak daripada berpelesiran.

BERNAMA: Isu kanak-kanak berpelesiran/ lepak ini juga sering dikaitkan dengan aktiviti basikal lajak. Apa pandangan pihak tuan?

ARFAN: Persoalan paling penting di sini adalah siapa yang sediakan basikal, dan jika diubah suai siapa yang membenarkannya? Bagi saya, jika pencegahan awal oleh ibu bapa sudah diambil, sudah tentu aktiviti basikal lajak ini dapat dikekang.

BERNAMA: Selain daripada cadangan peraturan ‘waktu perintah berkurung’, apakah antara solusi lain yang boleh diguna pakai dalam usaha mengekang kanak-kanak ini daripada berpelesiran, sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko keselamatan.

ARFAN: Saya kira, usaha terbaik adalah membudayakan semula ‘jaga tepi kain orang’ yang selama ini diketepikan atas pelbagai alasan. Saya percaya, jiran adalah jaringan sokongan yang perlu diperkukuhkan terutama di kejiranan yang mempunyai kes-kes kanak-kanak berpelesiran ini.

Di samping itu, kefungsian ibu bapa juga perlu diberi perhatian. Maksud saya, sistem kekeluargaan yang kondusif perlu diwujudkan seperti kemahiran menguruskan rumah tangga dan ini secara tidak langsung mengurangkan kebarangkalian anak-anak berpelesiran.

Di samping itu, ibu bapa juga perlu belajar menerima hakikat jika anak mereka bermasalah termasuk suka berpelesiran. Terima teguran yang diberikan oleh jiran kerana mereka mungkin mata dan telinga keselamatan anak anda ketika anda tiada di rumah.

BERNAMA: Difahamkan, JKM sendiri mempunyai pasukan khas untuk membantu masyarakat menangani gejala sosial, terutama yang melibatkan kanak-kanak. Boleh terangkan lebih lanjut mengenai pasukan ini?

ARFAN: JKM telah menubuhkan Pasukan Pelindungan Kanak-kanak yang mempunyai 132 Pelindung Kanak-kanak dan 149 Pusat Aktiviti Kanak-kanak. Mereka ini terdiri daripada masyarakat atau individu di kawasan penempatan yang kami pilih dan akan menggerakkan pelbagai program atau mengambil tahu isu-isu yang berlaku di kawasan mereka.

Penubuhan pasukan ini difokuskan di kawasan yang kadar jenayah kanak-kanak tinggi, kawasan berkepadatan tinggi atau kawasan yang mempunyai masalah sosial yang tinggi.

Kami tubuhkan pasukan ini bagi mengekang kecenderungan perilaku kanak-kanak ke arah negatif dengan mengadakan aktiviti yang bergantung kepada keperluan tempat atau lokasi.

Selain itu, dalam akta kanak-kanak sendiri, JKM mempunyai peranan iaitu pegawai kami diwartakan sebagai Pelindung/Pegawai Akhlak. Ini bermaksud, Pelindung/Pegawai Akhlak yang diberi kuasa ini menyelamat kanak-kanak bagi kes melibatkan pengabaian kanak-kanak, pembuangan bayi malah berpelesiran.

Namun dalam menjalankan fungsi itu, JKM mempunyai garis panduan dan tertakluk kepada akta dan kategori kanak-kanak yang perlu diselamatkan.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Pengguna tidak hargai air

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Tidak perlu sampai sehari ! Satu jam sahaja tanpa bekalan air bersih sudah cukup untuk membuatkan pengguna resah kerana rutin kehidupan harian yang terganggu apabila tiada bekalan air atau dicatu.

Ada yang sehinggakan terpaksa mengambil cuti untuk menunggu bekalan air daripada lori tangki, ada yang menumpang di rumah saudara mara yang tidak terjejas atau yang berkemampuan memilih untuk menginap di hotel.

Namun, berapa ramai daripada kita yang meletakkan nilai serta menghargai air ketika bekalan mencukupi? Boleh dikatakan tidak ramai memandangkan pembaziran air masih berleluasa!

Rumusan ini berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) iaitu purata penggunaan air rakyat Malaysia adalah 201 liter sehari yang bersamaan dengan 134 botol ( 1.5 liter botol air).

Jumlah tersebut melebihi syor Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu 165 liter sehari.

Di Singapura, purata penggunaan air dalam kalangan penduduknya hanya sekitar 151 liter sehari manakala rakyat Thailand pula menggunakan 193 liter sehari.

Sewajarnyalah pengguna di Malaysia perlu dididik untuk mengurangkan penggunaan air seperti sasaran SPAN bagi menurunkan penggunaan air kepada 181 liter sehari pada tahun ini (2020).

HARGA AIR TERLALU MURAH

Untuk memastikan air sampai kepada pengguna, ia perlu melalui proses yang kompleks dengan pelbagai cabaran dan hakikat ini mungkin ramai yang tidak tahu.

Antara perkara yang perlu ditangani ialah kawasan tadahan dan simpanan air semula jadi cabaran di sungai yang merupakan sumber utama bekalan air mentah, loji rawatan air, sistem paip agihan sehinggalah cabaran memenuhi kehendak pengguna.

Timbul persoalan, adakah disebabkan harga air yang murah menyebabkan pengguna kurang mengambil berat kuantiti penggunaan air setiap hari? Ini ada kebenarannya apabila melihat negeri yang mempunyai tarif air yang rendah lebih tinggi penggunaan airnya.

Malaysian Water Industry Guide 2018 menunjukkan penggunaan air paling tinggi adalah di Pulau Pinang iaitu purata setiap penduduk menggunakan 277 liter sehari.

Ini diikuti Perlis, 245 liter, Melaka 228 liter, Perak 227, Selangor dan Negeri Sembilan 222 liter, Kedah 217 liter, Terengganu 204 liter, Johor 200 liter, Pahang 190 liter, Sarawak 165 liter, Wilayah Persekutuan Labuan, 161 liter, Kelantan 141 liter dan Sabah 108 liter.

Kadar tarif air adalah berbeza-beza mengikut harga yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Melalui laman sesawang SPAN, tarif air di Pulau Pinang adalah paling rendah sekali dengan hanya 22 sen setiap meter padu untuk penggunaan kurang 20 meter padu air, penggunaan 20 hingga 40 meter padu adalah 46 sen dan penggunaan melebihi 200 meter padu pula dikenakan caj RM1.30.

Perlis pula mengenakan caj 40 sen bagi 15 meter padu pertama dan untuk penggunaan 40 meter padu ke atas dikenakan RM1.10. Melaka menetapkan tarif dengan harga 60 sen untuk 20 meter padu pertama dan untuk 35 meter padu keatas ditetapkan pada harga RM1.45.

Perak pula menetapkan 30 sen untuk 10 meter padu awal dan 20 meter padu ke atas adalah RM1.03 manakala Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menetapkan harga untuk 20 meter padu pertama 57 sen dan untuk 35 meter padu ke atas ditetapkan RM2.00 . Sementara itu, Negeri Sembilan menetapkan 55 sen untuk 20 meter padu pertama dan untuk 35 meter padu ke atas RM1.40.

KOS AIR TERAWAT

Mengenai air terawat, menurut SPAN kos purata air terawat untuk 1,000 liter adalah RM2.31 namun tarif yang dikenakan kepada isi rumah untuk 1,000 liter hanyalah 52 sen.

Majoriti pengguna menggunakan 20,000 liter dengan bil bulanan RM10.40 sedangkan kos sebenar adalah RM46.20.

Jika dibandingkan dengan Singapura, selain perlu membayar air yang digunakan mereka juga perlu membayar cukai konservasi air.

Bagi 40 meter padu pertama caj yang dikenakan adalah S$1.21 dan 50 peratus cukai konservasi air. Jika melebihi 40 meter padu air caj yang ditetapkan kepada pengguna adalah S$1.52 dan 65 peratus cukai konservasi air.

Harga yang mahal antara sebab penduduk di Singapura cukup menghargai dan berhemah menggunakan air dengan kadar penggunaan hanya 151 liter sehari bagi setiap pengguna.

Mungkin langkah menaikkan tarif air seperti yang dicadangkan kerajaan masa ini boleh menjadi pendekatan yang mampu mengubah sikap pengguna di Malaysia untuk lebih menghargai air.

SIKAP SAMBIL LEWA PENGGUNA

Presiden Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WEMAC) T. Saravanan turut bersetuju bahawa kadar harga air yang murah di negara ini menyebabkan pengguna mengambil kesempatan dan bersikap sambil lewa.

Air terawat yang sepatutnya dimanfaatkan untuk keperluan isi rumah digunakan untuk tujuan yang tidak sepatutnya seperti membasuh kereta, menyiram tanaman dan kegiatan lain yang menyebabkan pembaziran berlaku.

Beliau memberitahu Bernama, keperluan sumber air terawat dalam kalangan pengguna sentiasa meningkat sedangkan dalam masa yang sama negara menghadapi pelbagai cabaran seperti faktor cuaca panas sejak kebelakangan ini yang menyebabkan sumber air berkurangan.

“Kekurangan air mungkin boleh berlaku lebih kerap dengan perubahan iklim yang berlaku ketika ini.

“Selain itu keselamatan jaminan air untuk masyarakat Malaysia juga semakin terjejas terutama dengan isu pencemaran yang kerap berlaku di sungai yang menjadi sumber utama air negara ” tambahnya.

Menurut beliau, sekiranya keadaan ini berterusan terutama isu pencemaran dan kawasan tadahan yang semakin digondolkan untuk pembangunan, masyarakat perlu bersedia untuk membayar air terawat yang lebih tinggi kerana kos rawatan air yang tercemar sangat tinggi.

Cadangan kenaikan kadar tarif air dengan keadaan semasa hari ini mungkin boleh membantu memperbaiki mutu perkhidmatan bekalan air terawat kepada pengguna.

Namun tegasnya, mesti ada jaminan untuk pengguna mendapat perkhidmatan bekalan yang lebih baik tanpa perlu lagi mengalami gangguan bekalan air termasuk catuan.

JAMINAN AIR KEPADA PENGGUNA

Sementara itu pakar kualiti air, Dr Zaki Zainudin pula berkata negara maju seperti Singapura dan Amerika Syarikat sudah mempunyai undang-undang yang menjamin air yang disalurkan kepada rakyat adalah selamat.

Meskipun Malaysia belum mencapai status negara maju, perlu ada titik permulaan untuk memperbaiki dan menambah baik perkhidmatan bekalan air bersih negara.

Sekiranya tarif air dinaikkan, apa jaminan kualiti bekalan dan perkhidmatan air kepada pengguna?

“Persoalan ini perlu difikirkan. Begitu juga dengan persoalan, adakah kita bersedia untuk mempunyai undang-undang kawalan pencemaran yang lebih holistik dan ketat?

“Kemungkinan nanti akan ada pihak yang menyatakan mereka belum bersedia untuk undang-undang macam ni pula. Adakah ini bermakna pencemaran akan terus dibenarkan berlaku? “soalnya sambil menambah sistem rawatan termaju adalah langkah terbaik untuk merawat air tercemar namun memerlukan kos yang tinggi.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Tinggal episod hitam jadi ahli tinju profesional

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Peluang kedua untuk berubah tidak pernah tertutup selagi kita membuka ruang dan percaya terhadap potensi diri untuk menjadi lebih baik.

Nampak klise, tetapi itulah yang banyak berlaku kepada individu yang berjaya meninggalkan segala episod hitam yang pernah tercalit dalam kehidupan mereka demi mencari sinar baharu dengan melibatkan diri dalam aktiviti sihat serta bermanfaat.

Mohd Irwan Noor Rashid, 22, berjaya membuktikan bahawa penglibatan dalam sukan Muay Thai berjaya mengubah hidupnya daripada remaja yang pernah terpesong dan tercicir dalam pelajaran suatu ketika dahulu untuk menjadi seorang ahli tinju profesional di gelanggang.

Anak muda dari Teluk Intan ini, sedang digilap dan dilatih sejak dua tahun lalu untuk bergelar ahli tinju Muay Thai bertaraf dunia oleh Kelab Dragon Muay Thai, yang terletak di Jalan Alor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Kejayaan bergelar juara sebanyak lapan kali dalam sembilan pertandingan Muay Thai yang disertainya di sekitar Kuala Lumpur dan Thailand sejak 2018, Mohd Irwan dilihat sebagai bakat muda yang berpotensi cerah dalam sukan Muay Thai.

Muay Thai atau tinju Siam merupakan ilmu bela diri sofistikated yang wujud lebih daripada 2000 tahun di Thailand akibat konflik dan peperangan. Asal usul Muay Thai, yang bermakna ‘seni lapan anggota’ melatih peninju menggunakan tumbukan, sepakan, serangan dengan siku dan lutut yang kadang kala boleh membawa maut.

TERCICIR DALAM PELAJARAN

Mengimbau keterlibatannya dalam sukan Muay Thai, Mohd Irwan berkata seperti kebanyakan remaja lain yang berjiwa ‘panas’, beliau mudah memberontak dan tidak suka dikongkong.

“Ketika di sekolah menengah, saya berkawan dan melepak dengan orang dewasa. Sejak berusia 14 tahun, saya suka bergaduh. pantang diganggu atau dicabar, memang akan bergaduhlah.

“Kalau tidak silap, lebih lapan kali saya keluar masuk lokap balai disebabkan bergaduh,” katanya yang pernah berhenti sekolah ketika berada di tingkatan tiga.

Selepas berhenti sekolah, kehidupannya bertambah bebas sehingga beliau menyertai satu kumpulan gengster dan bekerja sebagai penjaga pusat hiburan di Teluk Intan dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Ketika itu, baru berusia 15 tahun, saya memang tak ingat langsung dengan sekolah…rasa terlalu seronok dengan apa yang saya buat,” katanya menambah, namun atas berkat doa dan pujukan ibunya, beliau akhirnya kembali ke alam persekolahan dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2015.

Kata Mohd Irwan, ibu dan bapanya tidak pernah mengetahui kegiatan jahat yang dilakukan beliau ketika itu.

EPISOD BAHARU

Titik perubahan pada diri Mohd Irwan hadir selepas beberapa tahun menamatkan alam persekolahan dan masih terlibat dapat aktiviti kumpulan gengster.

Pada suatu hari sekitar 2018, beliau dihubungi ibu saudaranya (mak su) yang tinggal di Petaling Jaya untuk mendaftarkanya dalam sebuah akademi Muay Thai di ibu negara.

Mohd Irwan, anak bongsu daripada enam beradik berkata umpama orang mengantuk disorongkan bantal, beliau lantas bersetuju kerana sememangnya meminati sukan Muay Thai dan pernah mempelajari asas Muay Thai di Teluk Intan.

“Keputusan untuk mengikuti Akademi Discover Muay Thai pada 2018 adalah keputusan terbaik yang pernah dibuat dalam hidup saya. Saya tidak menyangka dapat keluar dari daerah kelahiran di Teluk Intan dan membina kerjaya sebagai peninju Muay Thai,” katanya kepada Bernama ketika ditemu bual, baru-baru ini.

Selama empat bulan di akademi Muay Thai, bermulalah episod baharu dalam hidup beliau bersama tujuh orang peserta lain berusia antara 16 dan 25 tahun. Mereka perlu mengikuti jadual harian asrama yang ketat — bermula seawal pukul 6 pagi sehigga 11 malam.

“Mulanya saya fikir sekadar belajar Muay Thai, rupa-rupanya disiplin sangat diutamakan selain perlu mengikuti kelas agama, bahasa Inggeris dan keusahawanan,” katanya sambil menambah latihan tinju Muay Thai di gelanggang hanya dijalankan mulai 3 petang.

Bercerita lanjut mengenai sukan Muay Thai, Mohd Irwan menjelaskan Muay Thai amat mementingkan rasa hormat pada pihak lawan dan orang lain. Disiplin yang diterapkan dalam sukan Muay Thai jugalah menghilangkan sikap panas barannya.

“Semua teknik yang dipelajari kita lepaskan ketika di dalam gelanggang dengan cara yang betul. Keinginan bergaduh hilang, seni bela diri ini juga membentuk peribadi yang baik,” katanya yang bercita-cita mengharumkan nama Malaysia dalam sukan Muay Thai suatu hari nanti.

KONGSI PENGALAMAN SAMA

Perubahan dan pengalaman Mohd Irwan itu turut dirasakan Muhammad Shahmi Ismail, 22 tahun, bekas pelajar senior Akademi Discover Muay yang kini menjadi jurulatih kecergasan di Puchong.

Bagi Muhammad Shahmi. latihan empat bulan yang dijalani di Akademi Muay Thai membentuk perwatakan diri untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan dimanfaatkan dalam kerjaya beliau.

“Muay Thai tidak boleh digunakan sesuka hati di luar. Ia menerapkan rasa hormat walaupun dalam gelanggang. Selepas kita berlawan kita harus berkawan semula,” katanya yang pernah tiga kali dibuang dari sekolah dan merupakan kumpulan pertama pelajar menyertai Akademi Discover Muay Thai, pada 2015.

Setelah meninggalkan akademi berkenaan banyak perubahan berlaku dalam hidup anak muda ini terutama aspek disiplin, pengurusan masa dan paling penting dapat membuang sikap panas baran.

Cabaran beliau kini apabila ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk mempergunakan kebolehannya dalam Muay Thai, bagi menyelesaikan masalah dengan pihak lain.

“Kita kena pandai tepis dan elak berkawan dengan orang seperti ini. Apabila semakin dewasa, pemikiran juga semakin matang, kita tahu mana baik dan buruk,” katanya yang kini sudah berumah tangga dan mempunyai seorang anak perempuan berusia kira-kira dua tahun.

AKADEMI BANTU BELIA BERMASALAH

Akademi Discover Muay Thai diasaskan oleh Imran Harith, 30, dan Khairul Azri Mohamad Halid, 32, yang merupakan penaung bersama keusahawanan sosial itu sejak ditubuhkan pada 2015.

Kedua-dua mereka yang pernah bergerak aktif dalam badan bukan kerajaan (NGO) myHarapan diberikan tanggungjawab untuk mewujudkan sebuah program yang unik dan memberi kesan dengan memfokuskan belia bermasalah di negara ini.

Menurut Imran, beliau yang meminati sukan bela diri khususnya Muay Thai mendapat idea menubuhkan akademi ini setelah melihat konsep kem Muay Thai di Thailand.

“Saya tinggal berbulan-bulan di Thailand untuk mempelajari seni Muay Thai. Di sana, saya dapati mereka wujudkan kem berkonsepkan asrama sebagai pusat melatih anak-anak terbiar, mangsa pemerdagangan manusia dan anak-anak yatim.

“Kami ambil idea itu bawa ke sini untuk membantu belia yang tercicir, bermasalah, belia gelandangan dan dilatih dengan seni bela diri Muay Thai,” katanya.

Dengan kerjasama pusat latihan Dragon Muay Thai yang menyediakan tempat latihan dan asrama, mereka merangka program latihan khusus bagi melatih belia yang bermasalah dalam pelajaran dan miskin.

MODEL LATIHAN KECERDASAN MENTAL & KEROHANIAN

Menurut Khairul Azri, model latihan yang diajar di akademi berkenaan tidak hanya tertumpu kepada fizikal semata-mata tetapi lebih kepada membentuk perwatakan peserta dengan menyeimbangkan antara kecerdasan mental dan kerohanian.

Selepas solat subuh, peserta akan menjalani latihan fizikal dengan berlari sekurang-kurangnya tujuh kilometer setiap hari.

Selepas waktu rehat, pelatih akan mengikuti kelas bahasa Inggeris atau agama sebelum menjalani latihan sesi petang bersama Ketua jurulatih Discover Muay Thai dari Thailand, Kru Slatan yang juga bekas juara dunia dua kali Muay Thai.

Pada sebelah malam pula, peserta akan menjadi pembantu jurulatih di pusat latihan Dragon Muay Thai.

“Ini pendedahan awal peserta untuk menjadi jurulatih fizikal dan mereka dibayar gaji untuk khidmat yang diberikan itu.

“Selepas tamat latihan, peserta akan diberikan kebebasan memilih haluan masing-masing dan akademi juga akan membantu mencari peluang kerjaya untuk bekas pelajarnya,” kata Khairul Azri.

Yang pasti, katanya, selepas mengikuti program di akademi tersebut, terdapat peserta sama ada kembali ke alam persekolahan, melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran atau memilih meneruskan kerjaya sebagai ahli tinju atau menjadi jurulatih kecerdasan.

Lebih menarik, seorang daripada peserta akademi iaitu Awangku Abdul Rahman, merupakan atlet kebangsaan dan memenangi pingat perak dalam acara kick boxing Sukan SEA Filipina tahun lepas.

Menurut Khairul Azri disebabkan akademi tersebut semakin dikenali, permohonan untuk menjadi peserta semakin mendapat sambutan dan pengambilan sesi ke-5 yang bermula awal Febuari lepas, lebih 100 permohonan diterima, namun hanya lapan orang peserta dipilih.

“Kita berharap akan mendapat lokasi yang sesuai bagi membesarkan akademi ini untuk kita menerima lebih ramai peserta.

“Fokus kita tetap kepada belia tercicir dan bermasalah bagi memberi peluang kedua mereka memperbaiki kehidupan masa silam dan menjadi insan yang boleh memberi sumbangan kepada negara,” katanya.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

‘Jual beli’ bayi ribuan ringgit dalam talian

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Sima (bukan nama sebenar) ditawarkan seorang bayi untuk dijadikan anak angkat tetapi perlu membayar pelbagai kos sehingga mencecah RM15,000.

Wanita berusia 35 tahun itu berkata dia mencari anak angkat melalui laman sosial sejak awal tahun lalu dan nyaris ditipu ibu kandung bayi yang dikenalinya apabila wanita terbabit mengarahkannya membuat transaksi wang melalui bank.

“… tetapi saya bertegas mahu bersemuka dengannya bersama bayi itu… dia paksa saya masukkan duit dalam akaunnya… bila saya bertegas saya disekat daripada menghubungi ibu kandung itu,” katanya yang nyaris rugi ribuan ringgit.

Selain kes itu, terdapat juga orang tengah atau pihak tertentu menawarkan bayi untuk dijadikan anak angkat dengan bayaran tertentu.

Kebanyakan mereka beroperasi melalui media sosial dan hasil carian Bernama selama lebih sebulan mendapati terdapat pelbagai akaun yang menggunakan kata kunci ‘anak angkat’ dengan rata-rata kos yang perlu ditanggung bakal ibu bapa angkat mencecah RM10,000 hingga RM20,000.

Prosesnya juga mudah iaitu mereka yang ingin mendapatkan anak angkat hanya perlu mengisi butiran peribadi seperti pekerjaan, tempat tinggal, sebab untuk mengambil anak angkat dan yang paling penting perlu bersedia menanggung kos yang mencecah RM10,000 sehingga RM20,000.

Ada juga yang meletakkan harga bayi mengikut warganegara dan bukan warganegara serta yang sah taraf dan tidak sah taraf.

‘Pelanggan’ juga perlu membayar wang deposit antara RM2,000 hingga RM7,000 dengan alasan wang itu adalah untuk kegunaan pembayaran kos bersalin di hospital swasta dan sagu hati kepada ibu kandung untuk meneruskan kehidupan.

Menceritakan pengalamannya, Sima berkata: “Saya pernah ditawarkan bayi tetapi perlu membayar RM15,000 untuk kos bersalin di hospital swasta dan sagu hati kepada ibu kandung. Urusan penawaran itu dilakukan oleh seorang individu yang menjadi orang tengah kepada ibu kandung bayi berkenaan”.

Berkongsi pengalaman urusan ‘jual beli’ bayi di media sosial, seorang lagi wanita, Fizah (bukan nama sebenar) berusia 30 tahun, menceritakan pengalamanya yang telah dua kali berunding dengan dua ibu kandung menerusi laman sosial untuk mengambil bayi mereka sebagai anak angkat.

“Sudah dua kali saya hampir nak dapatkan anak angkat tetapi ibu kandung batalkan kerana mendapat tawaran yang lebih (tinggi) daripada orang lain.

“Saya jadi tertekan kerana semua barang keperluan bayi sudah dibeli tetapi akhirnya ibu kandung enggan menyerahkan anaknya kepada saya kerana ada pasangan lain yang menjanjikan tawaran wang yang lebih tinggi,” katanya yang sudah lima tahun berkahwin dan belum dikurniakan cahaya mata.

Katanya sehingga kini dia masih menerima mesej menerusi laman sosial daripada pihak tertentu menawarkan bayi mereka untuk dijadikan anak angkat.

Kedua-dua wanita itu sehingga kini gagal mendapatkan anak angkat melalui dalam talian.

Ditanya mengapa tidak mendapatkan anak angkat menerusi saluran yang betul seperti mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, tanggapan mereka adalah sama iaitu prosesnya lambat dan perlu melalui beberapa tapisan serta tidak boleh memilih jantina bayi yang mereka mahu.

Persoalannya adakah cara untuk mendapatkan anak angkat yang seolah-olah ‘urusan jual beli bayi’ itu sah di sisi undang-undang dan sejauh mana jaminan pasangan yang berurusan itu akan mendapat anak yang diidam-idamkan.

Sebuah akaun yang menawarkan perkhidmatan mencari anak angkat di laman sosial mendakwa mereka adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang membantu ibu kandung mencari keluarga angkat untuk anak mereka.

Hasil perbualan Bernama bersama wakil NGO itu menjelaskan kebanyakan golongan ibu yang menggunakan khidmat organisasi itu mengalami pelbagai masalah peribadi termasuk melibatkan wang.

“Mereka (ibu kandung) ini datang dengan pelbagai masalah dan minta RM12,000 hingga RM14,000… apabila diselidik memang mereka berdepan dengan masalah hutang dan rancang jual anak untuk selesaikan hutang,” katanya yang menganggap perkara itu sebagai situasi menang-menang apabila kedua-dua pihak mendapat apa yang mereka mahukan.

Beliau berkata pihaknya akan mengenakan bayaran perkhidmatan antara RM200 dan RM500 bagi setiap keluarga angkat yang mahukan perkhidmatan mereka dan duit itu akan digunakan untuk rumah anak-anak yatim di bawah pengurusan mereka.

Bagaimanapun, urusan yang boleh diibaratkan sebagai ‘jual beli’ bayi di media sosial menimbulkan kerisauan mengenai nasib bayi itu.

Pengerusi Pelindung Kanak-Kanak Wilayah Persekutuan Syed Azmi Alhabshi berkata bayi berkenaan tidak boleh dipantau dan butiran lengkap ibu bapa angkat juga tidak direkod untuk tindakan seterusnya.

“Jika menerusi JKM, butiran ibu bapa direkod dan keadaan bayi dapat dipantau bagi memastikan nasibnya terbela…yang menjadi kerisauan saya adalah apa nasib bayi selepas dijaga ibu bapa angkat menerusi laman sosial ini.

“Perkara yang dibimbangkan adalah jika bayi itu tidak mempunyai sijil kelahiran dan tiada warganegara,” katanya yang pernah berdepan dengan masalah ibu kandung menghilangkan diri selepas menyerahkan bayi mereka kepada keluarga angkat.

-BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Thanabalasingam tekad lahir juara dunia sukan angkat berat

Oleh Nur Adila Abdul Wahab

BUKIT MERTAJAM, 7 FEB: M. Thanabalasingam cukup bersemangat ketika bercerita mengenai sukan angkat berat dan impian beliau hanya satu iaitu melahirkan juara dunia untuk Malaysia.

Bagi beliau, Malaysia mampu melahirkan juara dunia angkat berat jika atlet diberikan latihan intensif yang betul selain mengamalkan makanan yang sihat dan seimbang.

Thanabalasingam merupakan jurulatih sambilan sukan angkat berat di Majlis Sukan Negara (MSN) Pulau Pinang sejak 2002.

Atas keyakinan tinggi terhadap kebolehan atlet negara, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Thanabalasingam, 47, giat melatih secara intensif individu termasuk dua anak perempuannya untuk mencipta pelbagai kejayaan sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).

Menurut beliau, anak perempuannya, Logassree, 17, dan Thurgashree, 13 tahun dilatih secara intensif untuk mencipta rekod MBOR dan menyertai sukan angkat berat, sejak usia kanak-kanak.

Anak lelaki sulungnya T. Thirilohgan, 21, juga dilatih untuk sukan angkat berat, namun terpaksa memberi fokus kepada kerjayanya sebagai jurutera.

“Walaupun gaji sebagai jurulatih sambilan MSN hanya RM450, tapi saya melatih atlet bukan untuk gaji sebaliknya mahu melahirkan seorang juara dunia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Wisma Angkat Berat, Bukit D.O., di Bukit Mertajam baru-baru ini.

LATIH ANAK PEREMPUAN DALAM SUKAN ANGKAT BERAT

Mengimbau kejayaan anak-anaknya, Thanabalasingam berkata pada tahun 2007 ketika berusia lima tahun Logassree berjaya mencatat rekod larian terpantas sejauh 5.1 kilometer dalam tempoh 31 minit.

Thurgashree pula ketika berusia tiga tahun berjaya mencipta rekod MBOR dengan melakukan sebanyak 1,111 kali bangkit tubi dalam tempoh 31 minit.

“Anak-anak saya ini menjalani latihan intensif selama lapan bulan untuk mencipta rekod ini. Saya tak boleh latih anak orang lain atau atlet yang tidak mampu kerana latihan ini sememangnya dilakukan secara bermati-matian,” kata Thanabalasingam yang mendapat latihan sukan angkat berat daripada Master Ng Chau Seng yang juga pemenang empat kali pingat emas Kejohanan Angkat Berat World Masters.

Berpegang pada keyakinan tinggi, anak perempuan beliau kini menjadi atlet angkat berat mewakili Pulau Pinang dalam pelbagai pertandingan.

Logassree juga pernah merangkul pingat emas dalam acara clean and jerk pada Kejohanan Angkat Berat Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak dan menang pingat gangsa dalam acara sama pada Sukma 2018 di Perak.

Beliau berkata, Logassree juga pernah menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa seperti Youth Commenwealth Games pada tahun 2016 dan Singapore World Championship pada tahun 2019.

Kini, Logassree sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukma 2020 di Johor, Julai depan.

Isteri beliau, S. Kali, 40 merupakan tulang belakang kedua-dua anak perempuannya dan sentiasa memberi sokongan padu untuk anak-anak mereka melibatkan diri dalam sukan angkat berat.

“Ïsteri saya menjadi orang penting dalam mengawal pemakanan anak-anak dan sentiasa memastikan mereka mengambil makanan berkhasiat sebelum menyertai pertandingan,” jelas Thanabalasingam yang mula mengikuti latihan kejurulatihan bagi sukan angkat berat pada 1999.

SALAH TANGGAPAN

Mengakui sukan angkat berat kurang popular berbanding bola sepak dan badminton, Thanabalasingam berkata di Malaysia sukan angkat berat sukar mendapat atlet pelapis disebabkan persepsi bahawa sukan ini boleh menyebabkan ketinggian atlet terbantut (menjadi pendek), kerdil dan badan akan berubah bentuk dan sebagainya.

Penglibatan wanita dalam sukan angkat berat juga masih kurang kerana ia dikatakan sukan berbahaya, sukar dan sukan membina badan.

Berikutan itu, ramai ibu bapa kurang memberi galakan kepada anak-anak mereka terutamanya wanita kerana bimbang bentuk tubuh anak perempuan mereka akan berubah seperti lelaki.

“Banyak orang dapat konsep yang salah dan pencarian bakat baharu di sekolah, kadang-kadang dapat maklum balas yang bagus dan kadang-kadang tiada sambutan,” katanya sambil mengakui bahawa publisiti mengenai sukan angkat berat juga kurang.

LATIH IKUT RUSIA & BULGARIA

Menurut Thanabalasingam, beliau banyak mengaplikasikan sistem latihan angkat berat dari Rusia dan Bulgaria yang melatih atlet menjadi lebih kuat dan tahan lasak.

“Latihan angkat berat dari dua negara ini, paling susah berbanding negara lain. Kaedah latihan fizikalnya akan menjadikan atlet lebih kuat dan tahan lasak,” katanya yang bekerja sepenuh masa sebagai penyelia sebuah syarikat logistik di Butterworth.

Menurut Thanabalasingam, walaupun latihan melibatkan kekuatan fizikal sepenuhnya, namun dengan teknik yang betul ia dapat mengelakkan atlet angkat berat daripada mengalami kecederaan.

“Sejak dari awal, sistem latihan kena betul. Kita latih atlet dengan cara yang sukar agar badan mereka selesa. Kemudian atlet perlu lakukan banyak latihan fizikal sebelum berlatih angkat bebanan,” katanya sambil menambah selepas fasa ini, latihan mengangkat bebanan dimulai dengan bebanan dua kilogram, kemudian meningkat ke empat kilogram dan seterusnya bebanan yang lebih berat.

“Sukan ini memang berbahaya, begitu juga dengan sukan lain. Tapi dengan kaedah latihan yang betul, kecederaan pada atlet dapat dielakkan,” katanya.

TERUSKAN LEGASI KELUARGA

Thanabalasingam yang membesar dalam keluarga atlet, menjadikan abang sulungnya mendiang M. Saundarajan, sebagai idola kerana banyak memberi dorongan, nasihat dan sokongan padanya.

Beliau juga sering mengikuti latihan angkat berat yang dijalankan oleh mendiang yang juga seorang anggota polis.

“Keluarga saya memang mempunyai latar belakang sukan. Bapa, abang dan adik-beradik semua terlibat dalam sukan seperti angkat berat, tinju, gusti dan bina badan.

“Sejak dari kecil, saya sudah berlatih dalam sukan angkat berat, tetapi zaman itu tiada pertandingan angkat berat untuk kanak-kanak dan remaja, jadi saya sertai sukan karate,” katanya.

Namun, pada 1999 barulah Thanabalasingam mula serius dalam latihan angkat berat dan belajar untuk menjadi jurulatih angkat berat, lebih-lebih lagi selepas bertemu dengan sahabat baik mendiang abangnya yang terus memberikan dorongan.

Selain angkat berat, Thanabalasingam turut menjalankan latihan kecerdasan kepada belia di Pulau Pinang. Pada Julai 2019, tiga daripada belia terbabit berjaya mencipta rekod baharu dalam MBOR.

G. Omprekash, 24, berjaya mencipta dua rekod dalam acara Tarik Kenderaan Jarak Jauh Dengan Jari Kelingking (Lelaki) sejauh 86.5 meter dan Angkat Berat Menggunakan Dua Jari Tengah (Lelaki) seberat 91kg.

Dua lagi rekod baharu berjaya dicipta ialah menerusi Boo Chai Yee, 24, dan Seah Zhang Yu, 23, masing-masing dalam senaman ‘burpees’ Terbanyak Dalam Satu Minit (Wanita) dengan jumlah 33 ‘burpees’ dan acara Lompat Katak 400 Meter Terpantas (Lelaki) dalam masa enam minit 53 saat.

Justeru, Thanabalasingam berkata beliau bersedia untuk melatih atlet angkat berat negara bagi mendapat tempat di peringkat dunia sekali gus menjadi juara dunia.

“Kalau nak mencari juara dunia kita tak boleh melatih ramai atlet, kena fokus pada seorang atlet yang benar-benar ada potensi.

“Contohnya seperti pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David,” katanya sambil menambah juara dunia ini dilatih secara berasingan dan jurulatih hanya fokus pada mereka sehingga bergelar juara dunia.

– BERNAMA

Categories
RENCANA WAWANCARA

Koronavirus: Langkah awal pencegahan mampu lindungi kanak-kanak

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Masyarakat khususnya ibu bapa perlu menerapkan nilai kebersihan termasuk langkah pencegahan bagi melindungi anak-anak mereka lebih-lebih lagi ketika Malaysia berdepan dengan isu penularan jangkitan koronavirus 2019.

Pakar perunding penyakit berjangkit Datuk Dr Christopher Lee berkata langkah berjaga-jaga boleh diambil bagi mempersiapkan diri untuk sebarang kemungkinan.

“Risiko untuk kanak-kanak mendapat jangkitan koronavirus sama seperti golongan dewasa dan untuk itu langkah pencegahan yang sama turut terpakai kepada mereka.

“Dalam hal ini, ibu bapa dan pihak sekolah sebagai contoh boleh mengingatkan anak-anak supaya sentiasa basuh tangan menggunakan pembasmi kuman, jangan menyentuh bahagian mata, hidung dan mulut tanpa mencuci tangan terlebih dahulu.

“Usaha sebegini lama-kelamaan akan menjadi amalan dan budaya. Ini dapat membantu mengelak sebarang jangkitan kuman atau penyakit dalam kalangan kanak-kanak. Sekurang-kurangnya kita juga lebih bersedia (jika berlaku penularan penyakit berjangkit),” katanya kepada kepada Bernama.

Dr Lee sebelum ini merupakan Ketua Perkhidmatan bagi Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh dan bertanggungjawab mengetuai pasukan klinikal semasa Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), virus Influenza A H1N1, Ebola dan wabak Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Koronavirus 2019 mula dikesan pada Disember 2019 di Wuhan, China yang boleh menyebabkan radang paru-paru. Gejala penyakit ini adalah demam, batuk dan kesukaran bernafas.

Pegawai kesihatan Malaysia ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada 21 Januari 2020 apabila pihak berkuasa meningkatkan kawalan untuk mencegah koronavirus. Foto AFP

Sehingga 4 Februari Malaysia mencatat 10 kes jangkitan yang disahkan dengan seorang daripadanya merupakan warganegara Malaysia.

Seorang kanak-kanak perempuan warga China yang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah bagi koronavirus 2019 malam tadi (4 Februari) dibenarkan pulang setelah sembuh dengan hasil ujian pengesanan ulangan bagi virus itu didapati negatif.

IMUNITI RENDAH

Pakar Pediatrik Hospital Pakar KPJ Selangor, Datuk Dr Zulkifli Ismail yang turut berkongsi pandangan mengenai penyakit koronavirus ini berkata langkah pencegahan untuk kanak-kanak juga boleh dijalankan sama seperti langkah pencegahan untuk influenza atau penyakit pernafasan yang lain.

“Sehingga kini tiada kes kematian disebabkan koronavirus dalam kalangan kanak-kanak namun memandangkan sistem imuniti mereka rendah berbanding orang dewasa yang normal, kita menjangkakan risiko komplikasi penyakit yang bakal dihadapi mungkin lebih teruk terutama jika mereka menghidap pneumonia.

“Selain menggalakkan anak-anak mencuci tangan menggunakan sabun, mereka juga perlu dielakkan daripada individu yang kurang sihat dan tidak dibawa ke tempat yang sesak dan ramai orang. Janganlah sengaja mendedahkan kanak-kanak kepada penyakit yang kita sebenarnya sudah tahu risiko serta puncanya,” katanya.

Menjawab persoalan adakah masyarakat khususnya ibu bapa perlu bimbang akan jangkitan koronavirus terhadap kanak-kanak, Dr Zulkifli yang juga Setiausaha Agung Persatuan Pediatrik Asia Pasifik berkata: “Jika berlaku penularan virus dalam masyarakat kita, maka kita memang perlu risau. Seperti SARS dahulu, kanak-kanak jarang dijangkiti tetapi apabila ‘terkena’ risikonya lebih besar kerana faktor imuniti di samping saiz paru-paru yang lebih kecil.

“Secara amnya penyusuan susu ibu dan vaksinasi amat digalakkan sebagai kombinasi terbaik bagi peringkat bayi. Untuk kanak-kanak pula, mereka perlu diberi makanan seimbang supaya sistem pertahanan badan mereka kuat dan mampu melawan jangkitan kuman atau penyakit,” katanya.

Dr Zulkifli menambah orang dewasa yang mempunyai penyakit seperti diabetes, hipertensi, obesiti dan lain-lain, lebih berisiko untuk mendapat komplikasi penyakit yang lebih teruk termasuk maut, disebabkan jangkitan koronavirus.

PATUHI NASIHAT

Dalam pada itu, menyentuh mengenai pemakaian topeng muka sebagai antara langkah pencegahan, Dr Lee yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan) berkata meskipun tiada keperluan bagi orang ramai untuk menggunakannya ketika ini namun ia dapat membantu dalam situasi tertentu.

Pemandu menungga bas untuk memindahkan warga Bagladesh keluar dari Wilayah Wuhan yang dilanda wabak koronavirus 2019 pada 1 Februari 2020. Foto AFP

“Jika tiada penularan wabak dalam kalangan masyarakat tempatan, tak perlu pakai topeng muka. Namun begitu, pemakaian topeng muka mungkin perlu bagi mereka yang mempunyai masalah berkaitan sistem respiratori termasuk demam, batuk dan terpaksa keluar rumah dan berada di tempat yang sesak dengan orang ramai,” katanya.

Dr Lee menambah sistem pengurusan kesihatan di negara ini berada pada tahap yang baik dengan Kementerian Kesihatan berpengalaman dalam mengendalikan wabak berbahaya seperti SARS, virus Nipah serta Ebola sebelum ini.

“Kementerian Kesihatan mematuhi semua syor yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di samping agensi terlibat turut menyediakan perkhidmatan yang diperlukan bagi menangani penularan jangkitan koronavirus.

“Masyarakat perlu maklum perkara ini bukan mudah. Untuk itu amatlah penting bagi semua pihak bekerjasama dalam menghadapi situasi ini termasuk mematuhi nasihat dan saranan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Sentiasa peka dengan keadaan dan laporan dari semasa ke semasa dan paling utama jangan mudah percaya berita tidak benar yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kerana ia hanya akan memburukkan keadaan,” katanya.

PERLU KAJIAN LANJUT

Meskipun tempoh kuarantin bagi pesakit yang disahkan menghidap virus berkenaan lazimnya mengambil masa kira-kira dua minggu, beliau bagaimanapun berkata jangka masa untuk pesakit sembuh adalah berbeza, bergantung kepada jenis dan tahap komplikasi yang dihadapi.

Pegawai kesihatan memeriksa penumpang dari China dengan mesin pengimbas di lapangan terbang antarabangsa Changi di Singapura pada 22 Januari 2020 ketika pihak berkuasa meningkatkan langkah mencegah koronavirus. Foto AFP

“Untuk memastikan sama ada mereka yang sembuh daripada virus berkenaan akan bebas sepenuhnya daripada jangkitan sama pada masa akan datang, ia memerlukan lebih banyak kajian bagi mendapatkan data yang tepat.

“Wabak yang berlaku di China dijangka sekurang-kurangnya berterusan selama beberapa bulan lagi, jika mereka boleh mengawal penyakit itu. Impak penuh kesihatan hanya dapat diketahui apabila kita menerima butiran lanjut, termasuk apakah kadar kematian yang sebenar kerana banyak kes ringan atau kes tanpa gejala tidak diuji di China kerana jumlah yang banyak (berlaku serentak).

“Pada masa ini, dengan data semasa yang ada, penyakit ini nampaknya lebih berjangkit tetapi kurang teruk daripada SARS. Keadaan ini akan bertambah jelas apabila kami memperolehi lebih banyak data, “ katanya.

Ditanya berhubung penggunaan dos nelfinavir yang dikatakan mampu mengubati wabak koronavirus, beliau berkata masih belum ada kepastian mengenai perkara itu.

“Mereka yang terlibat cuba merawat pesakit menggunakan ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat HIV, yang sebelum ini turut digunakan semasa SARS termasuklah lopinavir. Ia bagaimanapun bukanlah rawatan yang diiktiraf kerana masih dalam kajian dan penyelidikan,” katanya.

ISYTIHAR DARURAT

– WHO pada 30 Januari lepas mengisytiharkan darurat kesihatan awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan koronavirus 2019.

– Pengisytiharan itu dibuat dalam sidang media mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan yang berlangsung di Geneva.

– Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata perkara yang amat membimbangkan adalah potensi virus itu merebak ke negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah dan tidak bersedia menghadapinya.

– Awal pagi semalam (4 Februari) pesawat AirAsia AK8264 yang terlibat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) selamat membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China yang menjadi punca merebaknya wabak koronavirus 2019.

– Dilaporkan serama 133 orang berada dalam pesawat berkenaan. Daripada jumlah itu, 107 orang (88 rakyat Malaysia dan 19 orang pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara) adalah individu yang terkandas di wilayah Hubei.

– Turut serta dalam penerbangan itu adalah enam orang pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, lapan petugas misi dan 12 kru penerbangan.

– Sebaik sahaja mendarat di KLIA, mereka dibawa menaiki bas ke Unit Kecemasan Udara (ADU) untuk melalui tapisan kesihatan. Daripada 107 yang dibawa pulang dari Wuhan, dua orang tidak melepasi tapisan kesihatan itu, dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Categories
RENCANA WAWANCARA

OKU ulang sejarah daki Gunung Kinabalu mengundur

KOTA KINABALU, 29 JAN: Setelah mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records dengan mendaki Gunung Kinabalu secara mengundur pada 1992, Edward Taning, 58, sekali lagi akan melakukan aksi serupa tahun ini dalam usahanya mencipta nama dengan rekod baharu.

Projek yang dinamakan sebagai Edward Gostaning (Summit Kinabalu Jasamu Dikenang) akan diadakan pada 8 Mac ini bagi membantu mengumpul dana untuk kebajikan.

Penyelaras projek, Richard Soibi berkata program anjuran bersama Persatuan Malim Gunung Kinabalu yang menyasarkan kutipan lebih RM500,000 juga untuk mendapatkan dana bagi membina dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Bundu Tuhan, Ranau.

“Dana berkenaan juga bagi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Ranau yang masih kekurangan kelengkapan. Kami difahamkan PPDK berkenaan memerlukan sebuah bas untuk pengangkutan pelajar tersebut.

“Dana itu juga bagi mengisi tabung malim untuk membeli peralatan di asrama di Gunung Kinabalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini semalam.

Richard berkata semasa kunjungan hormat itu, Mohd Shafie setuju untuk menjadi penaung projek berkenaan dan beliau secara peribadi turut menyumbangkan sebanyak RM95,000 ke dalam tabung yang diwujudkan.

Sementara itu, Edward berkata walaupun memegang kad OKU, beliau tidak pernah menjadikannya alasan untuk tidak menyumbang kepada masyarakat termasuk mencari dana melalui aktiviti kebajikan.

“Sebelum ini pernah saya pernah mencipta sejarah sebagai rakyat Malaysia pertama mendaki Gunung Kinabalu secara mengundur pada 1992,” katanya.

Selepas 17 tahun, Edward yang merupakan anak tempatan Inanam kembali dengan membawa misi yang sama, namun laluan yang berbeza pada 2009 apabila berjaya menghasilkan rekod berjalan mengundur sejauh 342 kilometer dari Sandakan ke Kota Kinabalu.

Bapa kepada empat cahaya mata yang mengalami kecacatan melibatkan otot di kaki kanannya sejak berusia sembilan tahun, kembali mencipta nama dengan rekod berjalan sejauh 404 km dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu pada 2012.

“Apa yang saya lakukan ini bukan untuk mencari populariti, saya mahu buktikan golongan OKU juga mampu mencipta kejayaan. Saya akan buktikan umur juga bukan penghalang untuk kita mencapai satu kejayaan,” katanya.

Edward berkata beliau tidak mempunyai jurulatih dan hanya menjalani latihan sendiri dengan berjalan, berjoging dan berlari di kawasan sekitar kampungnya di Kiulu, Tamparuli sebagai persediaan untuk program itu.

“Kemungkinan kami mahu cadangkan Malaysia Book of Record pergi (ke peringkat) dunia kali ini, terpulang kepada pegawai untuk urus Guiness World Record, kalau tidak, setakat Malaysia Book Of Record sahaja,” katanya.

-BERNAMA