Categories
SASTERA

Cermin Jari

Oleh Abdullah Hussaini Mohd Ghazali

ISTERINYA sudah keluar untuk bekerja dan anaknya ke sekolah. Tinggallah dia berseorangan di rumah, di meja makan sambil menyapu mentega kacang pada roti putihnya. Dia menggigit roti itu dan mengunyah perlahan sambil tangan kirinya sibuk meneliti peti mel elektronik dalam telefon pintarnya. Ada beberapa mel yang baru sampai dan dibukanya dengan perasaan serba galau.

Yang pertama daripada editor sebuah surat khabar.

Salam, maaf ditolak. Harap maklum.

Dia merengus marah. Giginya berlaga dalam mulut yang dipenuhi cebisan roti putih. Air teh kosong diteguknya sekali terus.

Apa ini? Sekadar penolakan tanpa alasan. Ini tidak masuk akal. Dia arif benar dengan surat khabar itu. Saban hujung minggu karya yang disiarkan adalah hasilan daripada orang yang sama saja. Orang itu, orang ini dan mereka-mereka jugalah yang pada hujung tahun akan naik ke pentas, menjulang hadiah sastera. Pada waktu tertentu dalam surat khabar yang sama beberapa pengkritik akan menulis mengenai karya-karya yang monotoni, jemu dan tiada sebarang angin perubahan. Heh, dia mencebik bibir, menyampah dengan kebiasaan itu. Bertitik-tolak daripada kejelikannya terhadap pengulangan realiti itu dia dengan bersungguh mengarang sekian banyak sajak dan menghantarnya ke setiap surat khabar di dalam negara ini. Tapi tidak pernah penghantaran sajaknya melalui peti mel elektonik itu mendapat balasan. Dan kali ini ia berbalas, berupa satu penolakan yang terlalu ringkas. Dia tidak dapat terima itu.

Tidak mengapa, fikirnya. Dia masih ada surat khabar lain yang belum memberi ulasan berkenaan karyanya. Lagi pula dia bukan takat menulis puisi saja. Dia juga menulis beberapa manuskrip novel dan sudah dihantar. Dia membuka satu mel elektronik. Ia daripada editor syarikat penerbitan novel.

Hai, berkenaan manuskrip yang dihantar, elok andai encik memberi perhatian pada pembinaan watak yang pada pandangan saya, celaru karakternya. Begitu juga dengan perkembangan plot yang lemah dan terlalu banyak sub-plot yang terkeluar daripada naratif cerita. Diharap encik dapat menambah baik manuskrip itu dan hantar semula.

Dia menghela nafas kasar. Kemarahan bersimbah pada perasaan kecewanya. Apa ini? Editor ini sangat tolol. Manuskrip novelnya adalah karya agung dan sempurna. Semua struktur ayatnya satu hari kelak, pada masa hadapan, pastinya menjadi fragmen yang akan dikenang segenap umat. Bait yang ditulis sudah cukup sempurna dan jalan ceritanya mengesankan. Mana mungkin dia akan mengubahnya. Adakah editor ini meletakkan mata di kepala lututnya? Mungkin editor ini masih hingusan dan buta seni. Mungkin dia perlu bersemuka dengannya dan menghamburkan satu pidato sastera padanya.

Beberapa minit kemudian tekanan mulai menggunung, di kepala dan pundak benaknya yang berseribat rancu. Mel elektronik yang lain semuanya memberitakan hal yang sama, penolakan karya-karyanya. Dia marah, dia sedih dan gelojak perasaan itu berombak dalam dadanya yang bidang. Cicak-cicak yang sering bercerit pun diam melihat kemarahan matanya yang memerah, tikus-tikus yang acap berdecit pun lari masuk semula ke lubang gerun melihat tona wajahnya yang tegang.

Dia menghubungi semua syarikat penerbitan dan surat khabar yang menolak karyanya dan memberitahu supaya diaturkan pertemuan dengan editornya. Dia sudah tidak tahan lagi. Dia akan menemui setiap satu daripada mereka.

  • Ya, ha? Oh jadi mereka orang yang sama? Semua editornya satu orang saja? Oh. Biar betul? Esok? Rumah saya? Ya, boleh. Baiklah, terima kasih.

Aneh. Sangat aneh. Semua karyanya selama ini dinilai dan disunting oleh orang yang sama. Lebih anehnya nama mereka berdua pun sama. Perlahan-lahan semacam air jernih yang mengalir perlahan melalui anak sungai yang kecil, dilatari paya yang ditumbuhi rumput segar, ratusan burung layang-layang yang meluncur laju dan suasana pagi yang damai, perasaan tenteram mendakap jiwanya. Esok dia akan bertemu editor bernama sepertinya. Esok segalanya akan terlerai.

**

Pertengahan pagi yang tenang dan dia dengan perasaan tidak sabar, menunggu di ruang tamu. Kemudian pintu diketuk dan salam diberi.

  • Saya di sini, kata suara itu.

Wah suara pun sama, fikirnya.

  • Masuk, dia membalas.

Di ruang tamu, di atas kerusi rotan dia terbeliak mata ketika berdiri dan menyalami editor. Wajahnya saling tak tumpah, pakaiannya dan perwatakannya tiada yang berbeza. Dia memandang editor itu dengan cermat. Matanya, jari-jemarinya, kedut di wajahnya dan kuku kakinya, semuanya sama. Tidak ada perbezaan antara mereka berdua.

  • Saya hendak cakap, cukuplah, jangan tulis langsung apa-apa. Awak fikir awak bijak? Janganlah, awak hanya seorang lelaki yang bercita-cita tetapi ianya tak akan berlaku. Awak tak pernah ke kelas sastera, awak pandai membaca tetapi penulisan bukanlah bidang awak. Kan awak dah kerja bagus sebelum ni? Mengapa gatal-gatal berkeinginan menjadi penulis? Ianya bukan bidang awak. Tengok tulisan awak, buruk dan tidak kena. Canggung dan bercempera. Andai diterbitkan pun, saya tahu, pasti tidak akan laku. Tidak akan ada orang baca pun. Rugi saja. Buat malu. Cukuplah. Berhentilah.

Usai mengucapkannya, editor itu terus meninggalkannya seorang diri dengan matanya terkebil-kebil. Kata-katanya pahit tapi dia semacam mahu mengakui kebenaran kata-kata itu. Lama dia berhadapan dengan komputer peribadinya tanpa berbuat apa-apa. Dia termenung dan melopong. Fikirannya kosong. Satu jam kemudian alarm pagi berdering lagi. Dia lekas-lekas melihat paparan skrin komputer. Baharulah dia tersedar yang dia belum menulis apa-apa lagi sejak dia mengatakan pada dirinya yang dia mahu menjadi penulis.

Categories
SASTERA

CATATAN YANG DILIPAT MENJADI KAPAL TERBANG KERTAS LALU DILUNCUR DARI TINGKAT LAPAN SEBUAH PANGSAPURI

CATATAN YANG DILIPAT MENJADI KAPAL TERBANG KERTAS

LALU DILUNCUR DARI TINGKAT LAPAN SEBUAH PANGSAPURI

(dan ia tidak mahu dijumpai lagi)

 

Cita-cita memintas matahari setiap pagi. Di kota ini

ia mahu menjadi fajar. Menepis burung dari sarang.

Menyalakan mentol kamar dan meredupkan lampu jalan.

 

Ia mengejutkan semua dari tidur, tetapi  tak pernah

menunggu sesiapa. Di kaki lima mimpi-mimpi

kecil belum sempat dikucup dan dilipat.

Gegas pedestrian memijak, sebelum dihabisi

oleh petugas bandaran.

 

Kota adalah desa-desa yang bersembunyi

di dalam uniform kerja. Dalam poketku masih ada

anak kecil yang tidak mahu meninggalkan

zaman nakal (juga tiga keping not seringgit

untuk mengejar tren jam enam). Ketika kemarau

menjilati dahi kota, luka dan debunya bertompokan

di keningku. Dalam dada, hujan dari ciuman ibu

belum reda.

 

Aku membesar dari mata ibu. Dan menjadi

kanak-kanak di dada ayah. Memilih kota adalah

sebatang kara. Seperti jam yang enggan menjadi masa.

Ia terlalu berdosa apabila trafik celupar

dan tergesa-gesa. Nostalgia tercicir, digilis

dan mengotorkan, serupa lecah di jalan raya.

 

Menjadi kota adalah sepucuk surat tanpa dari

atau kepada; biografi yang telah selesai

sebelum sempat dituliskan. Uh! Bagaimana

membezakan tangis dan ketawa ketika ia

hanya suara yang mendendami cerita.

 

Kebisingan kota ialah telur-telur yang mengeramkan

kesunyian. Menetaskan aku. Setinggi-tinggi

pencakar langit hanya souvenir kaca

dalam glob salji di tapak tanganku.

 

FAHD RAZY

Bandar Baru Bangi

Categories
SASTERA

Tribut buat dustamu di bulan April

Tiada yang berdiri di pentas ini
benar-benar bersendirian
mereka bertongkatkan emosi
ambisi juga harapan
pentas ini membogelkan segalanya
segala cuit angan dan juga idaman

Bagai suria musim sejuk
yang malap membakar
suluhannya tidak lagi menyengat
tubuh yang rapuh itu tetap berdiri
dengan segala pengharapan
agar melodinya tetap menyentuh

Segala gemuruh
amarah
resah
telah dibawa lari oleh riuhnya penonton
bait-bait irama piano menjadi penunggu setia
pendamping yang tidak pernah curang.

Biolanya bertenggek di atas bahu
doa dari sebuah mulut yang terkunci diucap
dia yang bertongkat
dia yang membakar
biolanya digesek
lalu musik pun bermula.

KAMIL NAIM HASSAN

Categories
SASTERA

Uda dan Dara: Perlawanan anak tani

OLEH HAIZIR OTHMAN

TAHUN lalu apabila Dinsman mempersembahkan Teater Atas Pokok di Shah Alam, ia telah memecahkan kepompong kebiasaan bahawa teater harus di “pentas”kan di atas pentas – sepetak lantai yang ditinggikan sedikit daripada tempat duduk penonton, dalam satu bilik berdinding dan berbumbung. Bermain teater sekitar sebatang pokok di atas sebidang tanah lapang sambil bergayut dengan tali, berbuai atas buaian, duduk sahaja di atas dahannya atau bermain di perdu dan banirnya, selain merupakan satu bentuk kreativiti yang baru dan segar, ia juga satu cara berlepas diri dari cengkaman yang dikhuatiri mula kejap dalam bidang seni – namakan ia banal, mediocrity, kapitalis dan siapa tahu satu hari nanti, agama institusian.

Pekerjaan yang dilakukan Dinsman bersangkut dengan kemerdekaan seni; bukan sahaja soal keperluan untuk bebas berkarya. Seni perlu keluar dari kokun yang memerangkapnya agar keindahannya dapat dinikmati khalayak terbanyak. Bangunan agam bertaraf istana yang menempatkan pentas teater raksasa juga kadang kala tidak dapat memainkan peranan menyebarkan keindahan seni itu lantaran “bumbung” dan “dinding” yang ia bangunkan sendiri. Bumbung dan dinding itu bukan sahaja simen, besi dan batu bahkan mungkin sahaja
ringgit dan darjat.

“Ringgit” dan “darjat” inilah yang sering diulang-ulang dalam persembahan teater Dinsman seterusnya, Teater di Sawah Padi Muzika Uda dan Dara yang berlangsung pada 12 dan 13 Ogos 2017 di petak sawah Parit Dua Barat, Sungai Besar. Mungkin tiada naskhah lebih baik yang boleh digunakan untuk mengangkat persoalan tersebut selain karya klasik Sasterawan Negara Usman Awang, Uda dan Dara yang pertama kali dipentaskan pada tahun 1972.

Uda dan Dara mengangkat persoalan ini walaupun ia disulami kisah cinta romantis perkasihan ala Romeo dan Juliet mahupun Laila Majnun. Uda, seorang pemuda tani kebanyakan bercinta dengan Dara, seorang anak gadis dari keturunan bangsawan dan cinta mereka terhalang oleh perbezaan darjat. Ia kisah biasa dalam mana-mana budaya, malah turut tersiar secara lambak lewat drama-drama Melayu adaptasi novel popular saban petang. Tetapi yang membezakan Uda dan Dara dengan kisah-kisah cinta lain adalah perlawanan. Perlawanan yang dimaksudkan Usman Awang bukan sahaja untuk merebut cinta perempuan tetapi untuk merobohkan dinding dan bumbung dari rumah peraturan yang selama ini melindungi dan menyamankan orang kaya yang sedikit, sebaliknya menghalang orang miskin yang ramai daripada memasukinya; membiarkan mereka berpanas, berembun, berhujan di luar bahkan kelaparan.

sawah1Uda dan Dara garapan Usman mahu mengeluarkan orang Melayu daripada kongkongan kaum borjuis yang kadang kala kita sendiri kenali,mencekak tengkuk kita dengan sistem-sistem yang bernama muluk – pinjaman, pertolongan dan janji. Usman tidak segan sewaktu menyebut “biar mati adat, jangan mati anak”, walau ia mungkin satu pengisytiharan perang kepada budaya dan tradisi bangsa kita yang sudah lama berakar. Usman melanjutkan perbicaraan cinta dan kasih sayang antara lelaki dengan perempuan kepada satu aras lagi iaitu persoalan benci kepada penindasan dan pemerasan.

Di sana muncul Utih dan Malim, dua watak pelawan yang lahir dari kematian Uda akibat cuba mencabar status quo Alang Bakhil, memimpin orang kampung untuk bangkit melawan kaum penindas yang berleluasa
kezalimannya. Kata Utih, “Dan di situ terbaring mayat siapa? Bukan hanya mayat Uda. Mayat kita yang dibunuhnya. Satu demi satu. Dan mereka akan terus membunuh!”

Watak-watak Pak Long, Mak Long, Diman, ibu Uda, Dayang, dan lain- lain yang sebelum ini dipaparkan sebagai beriang-ria, gembira berpantun, menyanyi dan menari di batas sawah desa yang aman permai kemudiannya di bawah pimpinan Malim bergerak menyusun langkah silat, menghunus parang dan bersatu tenaga untuk melawan kuasa penindas dengan jalan perang. Ibu Uda malah turut berpencak, Mak Long menyertai suaminya. Katanya kepada Malim, “Kalau boleh memegang antan, kenapa tak boleh memegang parang!”

Di sebalik kebangkitan ini adalah Utih yang sejak dari awal, lewat kata- kata falsafahnya telah menyedar dan menyegarkan orang kampung agar mencintai alam, tempat lahir dan tanah tumpah darah. “Sawah itu adalah aku, lumpur itu adalah aku, angin itu adalah aku, sungai itu adalah aku,” kata Utih, bermadah. Utihlah yang pertama bersemuka dengan Alang Bakhil, membidas dan menghalau Alang Bakhil dan
orang-orangnya dari rumah ibu Uda, di sebalik sifat gila-gila dan anehnya itu.

sawah 2Perlawanan Utih dan Malim adalah untuk menghapuskan peraturan yang membeza-bezakan manusia dari ringgit dan darjat yang mereka punyai – semangat yang diambil Dinsman semasa mementaskan teater ini. Semangat karya Uda dan Dara pertama sekali dapat dihayati apabila ia dipersembahkan di sawah padi. Bau lumpur, remah jerami, angin bendang, nyamuk dan agas, tanah sawah yang lembut dipijak adalah suasana sebenar yang dapat dirasai semasa menonton teater ini secara langsung. Ini semua pengalaman pertama sebelum kita melihat pentas yang dibina ringkas, orang-orang, jamung, dan mendengar dendangan lagu-lagu latarnya. Suasana real ini barang pasti tidak dapat dirasai di pentas dalam bangunan atau dewan berhawa dingin.

Kedua, barang kali inilah pentas terbesar pernah digunakan untuk persembahan teater. Sawah yang luas membolehkan Utih berlari sepuas-puasnya meluahkan ekspresinya yang melimpah-ruah. Orang-orang pula dicacak jauh ke tengah sawah. Pada satu babak, kelihatan penduduk kampung muncul dari kegelapan membawa jamung masing-masing, perlahan-lahan bergerak ke depan. Mereka meraikan kemenangan menewaskan Alang Bakhil. Ruang sebesar itu pastinya tidak dapat ditawarkan hatta Istana Budaya sekalipun.

Dan ketiga, paling penting adalah tiada perbezaan kasta di sini. Para penonton duduk bersila di kanvas atau menggunakan kerusi plastik yang disediakan. Selebihnya sama ada bersidai di tepi parit atau cukup
menonton dari atas motosikal masing-masing. Tiada pembahagian tempat duduk orang kenamaan (VIP) dengan orang biasa atau pemegang tiket mahal dengan murah. Tiada etika pakaian yang melarang memakai selipar. Kamu boleh bergambar atau merakam sesuka hati, tiada pegawai pentas yang akan menyuluh-nyuluh dari
belakang untuk melarang.

Melalui Teater di Sawah Padi, di pentas alam, Dinsman menghubungkan karya Usman Awang dengan rakyat secara horizontal tanpa dihijab sebarang dinding ringgit atau darjat. Sesuailah dengan tulisannya “Dengan teater kudekati Tuhan”, Dinsman cuba menghubungkan dirinya (dan pembaca atau penonton) secara vertikal dengan Tuhan. Dan rasanya – melalui teater ini, beliau berjaya.

Categories
SASTERA

Teriak untuk Iwan Fals

Benar sekali lagumu berkata-kata

mengajarku apa tak diajar guru sekolah

pak, apa boleh kita duduk

barang sebentar

mahu kutanyakan lagu mana

paling kau suka

dan kali ini biar kunyanyikan

atau kuteriakkan dengan suara

paling senyap

tiap kali kudengar

denting tali gitarmu

atau setelah membaca

-surat untuk wakil rakyat

 

Pak, di negeriku banyak juga nyanyian politikus

lagu-lagu marhean terlupakan

sesekali kuingat kata M Nasir begini:

‘Selamatkan anak kita dari order baru politikus usang’

atau ‘jaga-jaga anak kita jangan sampai jadi hamba’

 

Dan akhirnya aku bingung

di antara ribuan ilham penyair lain

dan kerja-kerja seni makin diam tak melawan

atau menanti rindu tertunda

ketika kejahatan menjadi hidangan seharian

kami telan, makan dan muntahkan.

 

Suatu hari nanti, kami akan menyanyi terus

lagu-lagu pembohongan penguasa angkuh

dan teriak sepuitis lagu-lagumu, pak.

 

N FAIZAL GHAZALI

Jalan Tandang, Petaling Jaya.

Categories
SASTERA

Dunia saya ialah sebuah bilik

OLEH HANIFF YUSOFF

 

SAYA tidak seperti remaja lelaki lain yang dunianya asyik bermain bola sepak pada waktu petang. Saya tidak tahu akan segala perihal yang berkaitan dengan bola sepak, apatah lagi menghafal nama-nama pemain berserta posisi masing-masing. Memang saya bukan jenis begitu.

Sejujurnya saya tidak berminat untuk meletakkan diri saya berada dalam khalayak. Bersendiri tanpa rasa keseorangan (sebenarnya saya juga mempunyai sahabat tetapi bukan dalam kalangan manusia) adalah keterujaan yang tidak dapat ditafsirkan dengan puitis kata-kata.

Cukuplah saya seorang merasainya. Saya tidak seperti rakan sebaya yang lain kerana saya begitu mencintai dunia yang saya cipta sendiri iaitu dunia di dalam bilik saya sendiri. Mungkin kehidupan yang saya jalani ini ada unsur-unsur keanehan yang tidak dapat diterima logik fikiran oleh manusia sejagat. Saya tidak peduli, menjalani kehidupan yang luar biasa, yakni lain daripada orang lain itu lebih baik sebenarnya daripada menghadap sesuatu klise!

Menjadi bahan ejekan, kutukan dan pernah juga dicemuh setiap kali melangkah keluar dari dunia saya adalah perkara biasa yang selalu saya alami. Kendatipun saya disifatkan sebagai seorang yang pendiam dan adakala dilabel sebagai manusia pelik, saya tidak pernah memikirkannya pun. Tiada sebarang faedah pun untuk saya memikirkan kata-kata orang sedangkan banyak lagi perihal keseronokan yang patut saya utamakan.

Awal-awal lagi kata-kata yang tidak memberikan motivasi pada saya atau saya kira serangan kata-kata tanpa pernah saya undang, lekas-lekas saya buangnya ke dalam tong sampah. Selesai masalah.

Ketika di sekolah, saya menjadi seorang yang sangat pendiam apabila berhadapan dengan rakan sebaya dan guru-guru. Saya tidak mengendahkan segala yang dituturkan mereka (selalunya herdikan). Saya pernah dipukul di tapak tangan kerana menjawab soalan matematik dengan salah di hadapan kelas. Saya menangis menahan sakit tetapi tiada sesiapa pun yang mengendahkan tangisan saya, manusia paling pelik di sekolah.

Saya lebih selesa berbual mesra dengan tumbuh-tumbuhan, serangga dan haiwan yang merayap-rayap di kawasan sekolah saya. Saya kongsikan kisah hidup dan masalah saya dengan tumbuh-tumbuhan, serangga dan haiwan yang mendampingi saya. Saya meluahkan segala-galanya tentang perasaan, keperitan dan nasib hidup yang saya jalani kepada entiti-entiti ini. Kadang kala saya tergelak-gelak mendengar perkongsian cerita sang serangga tentang kisah keluarganya yang sungguh lucu.

Alangkah bahagianya keluarga sang serangga, sendirian saya berbisik dalam hati. Persahabatan antara kami begitu akrab. Selalu juga saya membawa pulang serangga selepas waktu persekolahan untuk dijadikan teman bicara di dalam dunia saya iaitu di dalam bilik saya sendiri.

Bilik saya ialah dunia saya yang tidak boleh dirasai oleh sesiapa waima orang yang berkongsi leluhur dengan saya. Sebaik sahaja saya melangkah masuk ke dalamnya dan menutup pintu serapatnya, bilik ini berubah menjadi dunia saya yang hanya difahami oleh saya sahaja. Ya, dunia saya ialah sebuah bilik yang berbentuk petak, tidaklah sebesar mana tetapi cukuplah sekadarnya untuk saya seorang sebagai warga tetap yang mendiaminya.

Televisyen yang berada di dalam bilik akan mula berterbangan tanpa pelepah sayap seolah-olah gembira menyambut kepulangan saya daripada sekolah pada setiap hari. Seperti di angkasa lepas, televisyen terapung-apung menjelajah segenap ruang di dalam bilik saya. Langsir yang tergantung di jendela pula seolah-olah menari berirama membuat persembahan, menghiburkan saya yang begitu lelah dengan dunia luar dari bilik saya-sebuah dunia yang begitu kejam!

Bilik saya ialah sebuah dunia yang aman-damai, cuma peperangan selalu juga berlaku di luar bilik saya tanpa pernah saya merelakan. Saya benci dengan peperangan yang tidak pernah menemui kedamaian di luar bilik saya. Saya sendiri tidak mempunyai kuasa veto yang diberikan oleh mana-mana badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk mencampuri urusan dunia luar daripada bilik saya. Peperangan ini memang sukar menemui pendamaian memandangkan masing-masing menggunakan meriam egois.

Mujur dunia saya meraikan kedamaian dan kerana itu sahabat-sahabat saya seperti pepatung serta rama-rama suka bertandang. Sahabat-sahabat saya juga gemar menonton televisyen sebenarnya. Kami bercanda sehingga terlupa di luar bilik saya ada peperangan yang begitu menakutkan.

Suatu malam, belalang datang ke bilik saya dengan keadaan yang tercungap-cungap. Mengekorinya juga ialah rama-rama, pepatung dan beberapa ekor serangga yang bersayap. Beberapa minit juga saya menantikan butir perkataan pertama keluar dari mulutnya.

“Saya sebenarnya baru balik dari negeri Beringin Rendang. Ada perkhabaran penting yang akan disampaikan melalui saluran berita di televisyen.”

Saya tahu belalang tidak pernah menipu, lalu segera saya mengejutkan televisyen yang sudah lama tidur nyenyak sebelum kedatangan belalang dan yang lain.

Penyampai berita menyampaikan berita bahawa sastera sudah pupus dari dunia ini. Berita itu disampaikan dengan nada penuh sayu oleh pembaca berita sehingga beliau sendiri menitiskan air mata. Kami yang menontonnya juga seperti diayun-ayun perasaan dan semua yang hidup dalam dunia saya iaitu di dalam bilik saya ini tidak dapat menyeka air mata yang berjuraian. Jauh kami merenung tentang nasib sastera kami pada malam itu. Terlalu jauh.

Categories
SASTERA

TUN MINUM ARAK

OLEH Syafiq Ghazali

TIADA siapa yang tahu bahawa, saya, Syafiq Ghazali, penulis cerita ini, pernah satu ketika dahulu diculik makhluk asing. Jujurnya saya mahu pendamkan cerita ini kerana, sekalipun ia realiti, pada skala logiknya ia absurd. Tapi akhirnya saya buat keputusan untuk ceritakannya kerana seseorang perlu tahu kebenaran bahawa mereka wujud, dan juga kerana saya kini mempunyai sedikit reputasi untuk buat orang percaya pada apa-apa yang saya tulis.

Waktu itu umur saya lapan tahun, dan pada satu petang, ketika bermain sorok-sorok, saya telah menemui segumpal kertas di tempat persembunyian saya—sebuah tanah terbiar yang dipenuhi semak-samun. Saya tidak sepatutnya bersembunyi di situ kerana ia jauh dari lokasi permainan kami, tapi saya memilihnya kerana rumput di situ sangat panjang, hingga melebihi ketinggian saya panjangnya, dan saya fikir ia tempat ideal untuk saya tidak ditemui oleh rakan yang sedang mengira hingga ke angka 50 saat itu.

Saya buka gumpalannya dan mendapati ia adalah kertas A4 yang mengandungi fotokopi keratan surat khabar. Saya sudah pandai membaca waktu itu, jadi saya membaca apa yang tertulis padanya serupa seorang budak yang berbangga dengan kemampuan membacanya—lancar dan tanpa tersekat-sekat.  Tajuknya, dicetak dengan huruf besar seolah-olah ia adalah luahan yang serius, tertulis TUN MINUM ARAK, dan di bawah tulisan itu adalah foto kurang jelas yang memaparkan Tun berada di dalam sebuah dewan hotel, sedang duduk di meja makan mewah bersama beberapa orang yang memakai kemeja kot. Di hadapan setiap mereka tersedia gelas berisi cecair yang berbentuk langsing pada pemegangnya dan bulat telur di atasnya. Di tepi foto itu dan memanjang hingga ke bawah adalah huraian berita yang sudah tidak lekat dalam ingatan saya kerana bertahun-tahun sudah berlalu.

Saya jadi lupa pada permainan sorok-sorok itu dan terus pulang ke rumah, membawa sekali kertas itu. Saya hulurkannya kepada ibu yang sedang menonton berita di tivi. Selesai dia membacanya, saya bertanya jika ia benar, bahawa Tun minum arak? Ibu memandang saya dengan kerut di dahi dan bertanya, dengan suara sarat autoriti, di mana saya dapatkan kertas itu.

Saya beritahu dari mana saya dapatkannya, dan bertanya sekali lagi jika ia benar. Masih dengan kerut di dahi, ibu arahkan saya supaya letakkan balik kertas itu di tempat asalnya.

Saya tak buat begitu. Sebaliknya saya simpan kertas itu di dalam beg dan membawanya ke sekolah keesokannya. Saya tunjukkan kertas itu kepada cikgu matematik saya kerana dia merupakan cikgu paling baik yang pernah mengajar saya waktu itu (dia tidak pernah marah walau kelas kami bising). Namun jawapan yang saya harapkan daripadanya ternyata hanyalah pengulangan soalan ibu pada hari sebelumnya. Saya beritahu dari mana saya dapatkannya dan bertanya tentang kesahihan berita itu. Mengusap-ngusap kepala saya sambil tersenyum, cikgu meminta saya meletakkan kembali kertas itu di lokasi asalnya.

Dan itulah yang saya lakukan: selepas sekolah saya terus ke tanah terbiar itu dan menyusup antara celah rumputnya yang panjang. Sampai di tempat yang saya kira adalah lokasinya, saya terkejut apabila mendapati terdapat lebih banyak kertas yang serupa, kali ini bertimbun dalam sususan yang rapi.

Pada ketika itulah, pada ketika saya menghampiri timbunan kertas itu, satu cahaya menyeluruhi tubuh saya dari atas. Saya hanya mendongak waktu cahaya itu menarik tubuh saya perlahan-lahan ke udara. Kemudian saya terhidu bau gas. Beberapa detik selepas itu kesedaran saya hilang.

Sebaik terjaga dan otak saya bekerja semula, saya dapati saya sedang terbaring di atas sesuatu yang menyerupai katil empat segi, cuma ia berwarna kelabu dan solid. Saya cuba bangun tapi tak mampu seolah-olah tubuh saya telah dibius anestetik. Jadi saya sekadar mampu menoleh ke kanan dan ke kiri, dan apa yang saya lihat adalah apa yang selalu kita lihat di dalam tivi: sebuah ruang dalaman kapal angkasa yang dipenuhi konsol, skrin, butang, punat, dail.

Kemudian kedengaran satu suara entah dari mana. Selamat datang ke kapal angkasa kami, kata suara itu lembut. Kami adalah penduduk dari planet Tralfamadore, kata satu suara lagi, juga lembut tapi sedikit berbeza tona suaranya dari yang sebelum itu. Saya menoleh ke kiri kanan untuk mencari punca suara, dan bagaikan mengerti kelakuan saya itu, suara di permulaan tadi memberitahu bahawa saya boleh mendengar suara mereka namun tidak tubuh mereka. Itu kerana tubuh mereka berada di dimensi keempat (hanya setelah dewasa baru saya mengerti maksudnya).

Suara mereka lembut, betul, tapi saya tetap berasa takut, dan perlahan-lahan tubuh pegun saya menggigil-gigil dan air mata saya mula mengalir. Air mata ketakutan.

Suara yang satu lagi berkata bahawa saya telah dipilih mereka secara rawak untuk dibawa ke Tralfamadore dan dimasukkan ke dalam zoo bagi dipamerkan kepada penduduk di sana. Penduduk Tralfamodore, menurutnya lagi, sangat sukakan manusia kerana kepelbagaian emosi mereka. Mereka juga suka melihat manusia kencing dan berak, dua sifat alami yang mereka tidak miliki.

Pada ketika itulah saya mula menangis kerana terbayangkan rupa zoo yang kotor dan rasa diperhatikan ketika berak. Saya tidak pasti berapa lama saya menangis namun ia cukup lama untuk membuatkan dua suara itu merasa serabut.

Setelah satu jeda yang panjang (seolah-olah mereka sedang berbincang), salah satu suara itu beritahu bahawa saya akan dihantar semula ke Bumi kerana tidak menepati piawaian emosi yang telah ditetapkan mereka.  Namun sebelum itu, mungkin sebagai satu bentuk hukuman, mereka beritahu bahawa mereka telah lihat ke masa hadapan dan menyatakan bahawa suatu hari nanti saya akan mati kerana sakit jantung. Saya percayakannya.

Selepas itu sekali lagi saya tercium bau gas. Bila saya terjaga saya dapati saya sedang terbaring di celah-celah rumput panjang, di tanah terbiar itu. Saya bangkit dan melihat sekeliling. Timbunan kertas A4 itu tidak lagi kelihatan. Masih dihurung ketakutan, saya lantas melarikan diri ke rumah. Saya demam untuk beberapa hari, tanpa sesiapa pun tahu puncanya.

Bertahun kemudian, setelah dewasa, saya temui semula nama Tralfamadore di dalam sebuah novel—Slaughterhouse-Five. Membacanya, ia buat saya percaya bahawa Kurt Vonnegut juga pernah diculik makhluk planet itu pada suatu ketika dalam hidupnya. Dan boleh jadi dia juga menangis seperti saya.

Soal Tun minum arak, ibu dan cikgu saya tidak pernah lagi bertanya tentangnya, seolah-olah berita itu hanya saya baca di dalam kepala saya sendiri. Tapi saya tak lagi peduli, pada saat itu dan bertahun-tahun kemudiannya. Apabila kau diculik makhluk asing, apa-apa yang datang sebelum dan selepas itu tidak lagi penting. Cuma sesetengah orang menulis tentangnya untuk dibaca orang lain.

Categories
SASTERA

HARI-HARI BERLALU TANPA NAMAMU DI AWAN

Dering telefon dan telinga bertemu; suaraku tersekat di hujung talian

di hadapan halkummu — getarnya membuatkan aku tergamam

kerana mengingati hari-hari yang berlalu tanpa namamu di awan.

 

Keinginan terhadap hidup seumpama dosa-dosa kelam yang melekat

pada dinding gua yang berlumut — aku jatuh dipermukaan kulitmu

yang lembut, berpeluh pada pangkal roma yang basah sempurna; bergelut.

 

Ingatan memang sebuah masa silam yang tak menyenangkan;

janji-janji ditabur hanya sebagai penyedap hati, oleh mereka yang

tak pernah mengerti apa-apa tentang bagaimana mahu menjadi musuhmu.

 

Aku ini umpama duri semalu, menguncup ketika sedang ingin disentuh

tetapi cukup bersedia untuk mencucuk pada ketika yang sama. Kerana itulah

aku memilih untuk meninggalkanmu pada malam hening menuju purnama hiba.

 

Ia datang untuk memelukku kembali masuk ke dalam dadanya. Aku jadi lupa

kepadamu sejak itu. Aku hanya mengingat kejahatan-kejahatanmu. Dan tak

ingin melihat keras perasaanmu kian meluluh, berkecai seperti kaca terhempas.

 

Ada hati untuk mengajar aku untuk merenung mimpi — di dalam mimpiku

yang sedang bermimpi tentang mimpimu yang pernah kau ceritakan dulu

dari balik cermin mimpi yang kini telah lama tewas ditanganku dengan dusta.

 

Tak banyak perkara yang boleh aku perkatakan kepadamu pagi ini.

Suaraku tenggelam bersama ingatan kabur. Melihat ke dalam

matamu melalui diriku yang penuh dengan niat telanjang dan polos;

 

Jangan lagi ditanya tentang aku yang memilih diam.

HAFIZ HAMZAH

Setiawan

Categories
SASTERA

Perempuan II

PEREMPUAN II

Sesekali dadanya

bagai ombak yang bergulung

aku antara pelaut itu ditelan

ke alam lahapnya

Perempuan

bagai kembang api di angkasa

memercikkan warna warni nan memukau

Wanita itu kekadang umpama api

terbakar hati bila tersentuh atmanya

 

Mamu MK Hasny

Seri Manjung,

Perak

Categories
SASTERA

Enigma

OLEH Shahril  Anuar

PERCAYALAH, aku bukan penulis cereka. Dan ini juga bukanlah cerita tentang aku. Tetapi tentang Fath, kawan serumahku, penulis sepenuh masa yang telah menerbitkan beberapa buah buku. Tetapi  aku tak tahu adakah itu sekadar nama penanya. Seperti mana aku  tak pernah tahu nama sebenarnya;  Fatah atau Fathi. Dulu, waktu mula tinggal serumah, hanya sekali aku membaca ceritanya. Tidak seperti Fath, sastera sangat asing buat aku. Sesekali berselisih, kami lebih senang berbual soal lain.

Kami tinggal berdua; menyewa apartmen dua bilik di pinggir ibu kota. Aku tak tahu sejauh mana kerja menulis dapat menampung hidupnya. Setakat ini, tidak pernah pula dia mengeluh soal kewangan. Sebagai kawan sebumbung; yang menjalani kehidupan masing-masing, kami tiada sebarang masalah.

Tetapi semalam, tanpa sebab yang pasti, dia meminta aku membaca manuskrip cerpen terbarunya. Awalnya, aku bersikap dingin, meminta dia menceritakannya sahaja, tanpa perlu aku membaca. Cerita ini untuk dibaca, bukan untuk diceritakan, jawab Fath.

“Aku manalah tahu pasal sastera semua ini.” Mengingatkan pengalaman pertama membaca ceritanya yang gagal aku fahami, aku terus berdalih.

Bukan itu masalahnya, sanggah  Fath. Apa masalahnya? Cerita  yang aku tulis dah jadi ganjil. Dah kau tulis yang ganjil-ganjil,  memanglah jadi ganjil. Bukan itu maksud aku. Habis? Entahlah,  tiap-tiap kali aku cuba ulang baca, aku cuma berani baca muka surat pertama, ceritanya semakin berubah. Dah kau ubah, berubahlah cerita kau. Aku tak ubah  apa-apa. Dan apa pula maksudnya:  ‘kau  cuma  berani’? soalku. Ceritanya menakutkan.  Cerita hantu? Bukan, cerita tentang aku. Dah kau tulis pasal diri  kau, jadilah cerita pasal kau. Bukan, aku tak pernah tulis pasal aku.

“Kau tak faham!” Fath seperti sedang bergelut mengulum kemarahannya. Gelisah melanjutkan:

Asalnya, dia menulis cerita tentang penulis yang mencipta watak yang memberontak terhadap penulisnya; dengan cara menjadi penulis  – yang kemudian mencipta watak lain yang memberontak kepadanya pula. Sehinggakan watak penulis di dalam cerita Fath,  tidak dapat mengawal wataknya lagi. Begitu juga watak ciptaannya,  tidak dapat mengawal ceritanya. Masing-masing mahu menentukan haluan sendiri, membuatkan cerita di dalam cerita itu terus berubah.

Anehnya, cerita Fath sendiri turut berubah.

“Seolah-olah,” tokok Fath lagi, “watak yang aku tulis itu pula sedang  memberontak kepada aku.”

“Cerita apa macam itu? Apa penamatnya?”

“Itulah yang aku takutkan. Siapa yang berani tahu penamatnya, kalau itu cerita dirinya sendiri?”

Aku mula keliru. Bukan dengan cerita Fath.

Fath mengeluh lagi. “Masalahnya, bukan itu yang aku tulis.”

Semakin sukar aku memahaminya, malah Fath juga mengaku, dia  sendiri bingung. Percayalah, jika aku tahu apa yang bakal terjadi, aku juga tidak akan berganjak dengan pendirianku. Tetapi Fath terus  mendesak.

Nantilah, sebelum tidur, aku baca, kataku. Lebih kerana mahu mengalihkan perbualan dari terus berbelit.

Fath menyuguhkan tiga keping kertas A4 bersih ditaip sebelum mengurungkan diri dalam  bilik. Memang tingkahnya ganjil, tapi aku harap dia masih siuman.

Malamnya, aku cuba membaca cerita Fath: Permulaannya menceritakan watak aku yang tertidur ketika membaca cerita lalu bermimpi membaca cerita itu, hingga kesiangan esoknya.

Tetapi aku terlelap sebelum usai membaca muka surat pertama.

Dan aku bermimpi membaca cerita: Tentang aku yang tertidur ketika  membaca cerita: Kisah aku yang tertidur ketika membaca cerita  sebelum bermimpi membaca cerita itu. Deskripsi watak-watak tunggal cerita-cerita itu seperti aku.

Semalaman, sukar sekali tidurku pulas.

Pagi.

Aku telat. Sempat juga aku menyalahkan Fath kerana meminta aku  membaca ceritanya sebelum meluru ke kakus.

Bedebuk! Aku tersembam di muka pintu.

Aku terjaga. Terlewat seperti watak cerita Fath. Bukan, seperti watak  cerita Fath yang aku baca dalam mimpi. Bukan, mungkin sebenarnya  aku masih membaca cerita itu dalam mimpi. Bukan, mungkin aku masih menjadi aku di dalam cerita yang aku baca dalam mimpi.

Bukan, aku sudah benar-benar terlewat ke pejabat!

Dalam kegapahan melangkah, aku tertumus.

Beberapa  saat aku termanggu di muka pintu. Adakah aku masih  bermimpi? Atau sebenarnya, aku hanya hidup dalam dunia cereka?

Sekali lagi aku membaca cerita  Fath. Permulaannya: Watak aku  terlewat bangun kerana membaca cerita sebelum bermimpi membaca cerita. Mengulang baca cerita itu semula, sebelum terlelap lagi untuk bermimpi membaca cerita. Semakin bingung setelah terjaga.

Lalu aku terlelap dan bermimpi membaca cerita.

Tidak, tak mungkin aku hanya hidup dalam dunia cerita!

Teriakku sebaik terjaga.

Aku mesti bersemuka dengan Fath untuk menentang cerita yang  ditulisnya. Ini satu pencabulan yang tidak dapat dimaafkan! Apa  perlunya dia menulis cerita mengarut tentang penulis yang mahu wataknya sendiri menentangnya. Mengapa pula mesti aku dilibatkan? Tapi, bukankah itu seperti pemberontakan terang-terangan kepadanya, seperti yang dia mahu? Mungkin aku harus berdiam diri. Bagaimana pula kalau mendiamkan diri itulah pemberontakan senyap yang dimahukan si keparat itu?

Sedetik, aku tersentak.

Aku seperti watak ciptaan penulis dalam cerita Fath, yang mahu memberontak; dan aku juga seperti Fath, yang membaca cerita dirinya yang terus berubah.

Siapakah aku?

Aku sendiri bahkan mula curiga dengan suara yang bergema dalam kepalaku sekarang. Mungkin itu juga bukan suara aku.

Malah, sedari awal, cerita ini juga sepatutnya bukanlah cerita tentang aku. Tetapi cerita telah berubah. Sedangkan aku bukanlah penulis cereka. Tidakkah kaupercaya?

Benar…  hidup adalah penjara enigma.

Categories
SASTERA

Sasterawala

SASTERAWALA

 

Sebuah cakerawala

termampat dalam

sehelai sajak tersimpan

di dalam kepala seorang

penyair pemalu

 

Sekian lama

kepalanya semakin sesak

dengan sajak-sajak baru

pelanggaran kosmik berlaku

kepalanya meletup

sasterawalanya tak sempat

dicerap sesiapa.

 

MD FARIQ KHIR

Categories
SASTERA

Seriat Darah

OLEH AKIF JEBAT

DI SINI satu-satunya tempat yang tiada tuhan dan tiada setan. Syurga dan neraka tidak laku diperdagangkan waima semurah maruah pelacur. Aku berdiri berseorangan menghadap kekosongan ruang yang melangit di hadapanku. Seperti di gurun padang pasir yang tiada tumbuhan sudi menghadirkan diri. Masa di sini tidak mengikut waktu bumi. Ada kalanya lebih lama dari 24 jam dan ada kalanya kurang dari satu saat.

Di sini aku berpeluang membuat apa sahaja yang aku suka. Tiada siapa yang mampu menyuruh dan melarang aku untuk melakukan apa sahaja yang aku suka. Boleh saja aku merogol siapa sahaja yang aku mahu walaupun kaum sejenis denganku. Malah, kepada ibuku sendiri juga mampu kulakukannya. Namun, itu tidak mungkin terjadi. Tanpa tuhan dan setan pun aku mampu melarang diriku daripada melakukan perkara terkutuk itu. Aku masih berfikir apakah perkara yang mahu aku lakukan selama ini tanpa tuhan dan setan melibatkan diri.

Tiba-tiba ada seorang wanita mampir ke arah diriku. Berpurdah litup namun matanya persona memugar keterujaanku.

“Abang, sudah lama Hawa menanti abang, ke manakah abang menghilang? Marilah ikut Hawa pulang ke rumah.”

“Siapa kamu?”

“Astaghfirullahalzim, inikan Hawa, isterimu yang sah di dunia dan akhirat.”

“Tapi di sini bukanlah dunia mahupun akhirat. Jadi, kamu bukanlah isteriku. Dan kalau di dunia sekalipun kamu menjadi isteriku yang sah, belum tentu di akhirat nanti kamu ialah isteriku yang sah.”

“Sampai hati abang berkata begitu. Bukankah kita sudah berjanji untuk sehidup semati hingga ke syurga.”

“Kamu barang kali dipinjamkan oleh tuhan untukku bergurau senda denganmu di dunia. Tapi di akhirat aku belum pasti lagi. Kerana di sana telah disediakan bidadari yang lebih cantik daripada dirimu sebagai manusia. Dan aku juga berpeluang  melunaskan impianku untuk bersenggama dengan wanita-wanita yang aku gagal menikahinya di bumi. Cukuplah di dunia kita saling dipinjamkan antara satu sama lain. Sudah, berambuslah kamu dari sini!”

“Tidak! Hawa akan setia bersama Abang sampai hujung nyawa Hawa.”

Wanita berpurdah ini melutut di depanku. Aku tidak hiraukannya. Namun, tingkahnya melahirkan kerimasan kepadaku.  Lantas kakiku mencium wajahnya lalu terlentanglah wanita berpurdah itu tidak bermaya. Aku keluarkan pisau yang terselit di pinggangku. Perlahan-lahan kulapah tubuh wanita berpurdah itu. Kepalanya dipenggalkan. Matanya dikorek lalu aku kunyah perlahan-lahan. Kenyal tapi berlemak. Kulitnya disiat-siat dan perutnya ditikam lumat.

Tubuhnya terbit segala darah.

Tubuhku hadir seriat darah.

Aku terus berjalan meninggalkan wanita itu tanpa mempedulikannya lagi. Langkahku masih tiada arah tuju. Berjalan dan terus berjalan meneliti apa yang ada di tempat yang tiada tuhan dan setan ini. Pada sudut jauh di hadapan sana, berdiri enam orang memanggilku dari jauh seakan-akan menyuruhku merapati mereka. Kepala mereka tidak seperti kepala manusia biasa. Tiada mata untuk mereka melihat. Tiada hidung untuk mereka menghidu. Tiada telinga untuk  mereka mendengar. Yang ada hanya sebuah buku segi empat yang terletak elok di atas tubuh menjadi kepala mereka. Satu persamaan kepala mereka dengan kepala manusia biasa ialah mereka mempunyai mulut dan lidah untuk berkata-kata. Aku merapati mereka. Tanpa sempat aku berkata apa-apa mereka memperkenalkan diri. Bermula dari kiri, seorang demi seorang bersuara.

“Namaku I-Ching.”

“Namaku Tipitaka.”

“Namaku Veda.”

“Namaku Talmud.”

“Namaku Bible.”

“Namaku Quran.”

Aku pernah mendengar  nama-nama manusia berkepala buku ini di dunia. Dan aku tahu salah satu daripada mereka sudah menjadi sahabatku di dunia dan mungkin juga di akhirat nanti. Di dunia, tuhanku juga telah mendoktrinkan diriku untuk mencintai salah satu daripada mereka. Atau mungkin juga setiap manusia di dunia telah didoktrinkan oleh tuhan masing-masing untuk mencintai salah seorang daripada mereka.

“Cintailah aku.” Kata I-Ching.

“Cintailah aku.” Kata Tipitaka.

“Cintailah aku.” Kata Veda.

“Cintailah aku.” Kata Talmud

“Cintailah aku.” Kata Bible.

“Cintailah aku.” Kata Quran.

Di tempat ini, tuhan dan setan tidak terlibat untuk mendoktrinkan aku agar mencintai salah seorang daripada mereka berenam. Tanpa doktrin tuhan, aku perlu memilih salah seorang daripada mereka untuk aku cintai. Boleh saja aku memilih salah seorang daripada mereka yang telah aku cintai di dunia. Dan mungkin aku mahu saja berubah selera untuk memilih mereka yang lain atau mungkin juga aku memilih kesemua daripada mereka untuk meraikan perbezaan ini yang tiada di dunia. Namun, tidak mustahil juga untuk aku bunuh mereka semua seperti yang telah aku lakukan terhadap wanita berpurdah yang mengaku dirinya ialah isteriku tadi. Jika aku bunuh mereka, barang kali akan hadir kembali perasaan seriat darah seperti mana telah aku rasai ketika aku membunuh dan melapah tubuh wanita berpurdah yang mengaku dirinya isteriku tadi. Apatah lagi jika enam orang berkepala buku ini hendakku bunuh dan melapah tubuh mereka tentunya akan menghadirkan rasa maha seriat darah terhadap tubuhku sendiri. Atau mungkin aku perlu membunuh dan melapah diriku sendiri supaya terbit segala darah lalu akan menghadirkan perasaan seriat darah pada tubuh mereka pula. Tanpa memberikan sebarang jawapan dan keputusan, aku meninggalkan keenam-enam manusia berkepala buku ini dengan persoalan-persoalan tersebut lalu terus melangkah cuba meneroka seluruh tempat yang tiada tuhan dan setan ini.

Dari kejauhan ketika aku berjalan, kelihatan sebuah pohon merimbun dan daunnya melambai-lambai seakan-seakan memanggilku mendekati pohon tersebut. Aku berjalan mendekati pohon yang berbuah ini. Buahnya tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil. Barang kali sebiji buahnya cukup-cukup melepasi kerongkong seorang lelaki biasa. Buahnya yang gugur akan pecah lalu menerbitkan darah. Darah kotor. Namun perkara itu tidak menghadirkan rasa seriat darah pada tubuhku cuma sedikit rasa jijik bergelumang di jiwaku.

Kata orang, pohon inilah yang menunjukkan jalan keluar kepada manusia pertama yang mendiami syurga lalu dicampakkan oleh tuhan ke bumi. Namun aku tahu, pohon ini tidak pernah menjentik pesona mana-mana lelaki yang diciptakan tuhan waima aku mahupun lelaki pertama yang diciptakan oleh tuhan itu. Buah pohon ini hanya berjaya menambat hati manusia wanita pertama yang diciptakan oleh tuhan. Dan kuasa wanita sangatlah dahsyat sehingga berjaya memujuk hati lelaki supaya mengikut kemahuannya. Oleh sebab itulah bersepahlah manusia hidup di bumi hanya kerana pujukan seorang wanita kepada lelaki.

Tidak seperti manusia pertama yang diciptakan oleh tuhan itu, barang kali aku telah membuat keputusan yang tepat untuk membunuh wanita pertama yang hadir di dalam tempat yang tiada tuhan dan setan ini. Maka sekarang tiada siapa yang mampu memujukku untuk diperdayakan oleh sebuah pohon yang buahnya menerbitkan darah apabila gugur ini. Tanpa berfikir panjang, aku mengambil sebilah kapak yang terletak di perdu pohon itu lalu menebang pohon tersebut sehingga tumbang. Batang pohon yang tumbang itu menghempap tanah lalu membelah permukaan tanah di tempat yang tiada tuhan dan setan ini. Belahan tanah ini menjadi semakin luas lalu menarikku ke dalam tanah sehingga tenggelam. Aku telah dicampakkan kembali ke dunia nyata di mana tuhan dan setan sentiasa ada. Lalu aku bingkas bangun dan melihat di sebelah kananku turut dicampak bersama ialah salah seorang daripada enam lelaki yang berkepala buku itu. Dan di sebelah kiriku pula berdiri seorang wanita berpurdah yang telah kubunuh sewaktu berada di tempat yang tiada tuhan dan setan itu.

Aku mula memeluk lelaki berkepala buku yang dicampak bersamaku itu lalu menciumnya. Setelah puas aku memeluknya, aku beralih pula kepada perempuan berpurdah yang telah kubunuhnya ketika di tempat yang tiada tuhan dan setan itu lalu aku menciumnya dan kami bergurau senda sehingga ke lewat malam.