Categories
SASTERA

SURAT BUAT ANAK-ANAK SEMAI

(untuk Suku Semai & Kaum Asli)

Kutulis surat ini
Kala sungaimu masih menderas
Ketika kelajuan kota kian memeras.

Bagaimana khabarmu hari ini?
Apa kamu masih riang lari-lari,
Jika tanah pepohonmu bakal diganti batu dan besi?
Apa bapak-bapak ibu-ibumu masih rancak bersewang menari,
Jika tak ada alam yang harus dirai?
Jangan khuatir sayang
Tanah ini rumah kita
Lembah ini kita jaga.

Kutulis surat ini
Kala hutanmu menjadi saksi
Takkan menyerah diinjak mordenisasi.

Tidurlah anak-anak Semai
Bangkit nanti nikmati damai.
Kami janji,
Latar permainanmu tak lagi terabai
Merdu gelodak jeram kan terus membuai.

MOSYUKI BORHAN

Categories
SASTERA

Planet Hell

Oleh Zul Azlin Razali

5.30 AM. Bukan kerana azan berkumandang. Bukan juga kerana loceng jam berderang. Dia dikejutkan oleh hujan lebat yang sungguh garang. Air yang dilepaskan dari langit menghunjam dan menghentam apa sahaja di bumi. Begitulah titisan air yang lembut boleh bertukar menjadi ngeri. Bunyi di luar berdentang-dentang. Kadang-kadang seperti bergendang. Mata sudah terbuntang tetapi dia masih terkedang.

Cukup sudah bagasi-bagasi beban yang dipikulnya berbulan-bulan yang lalu. Sejak dua pekan tidur sukar untuk dimulai, bangunnya pula terlalu pagi. Igauan yang bukan-bukan, mainan syaitan di dalam mimpi. Yang dia semakin tertarik hati, mimpinya membunuh diri. Entah mengapa, seolah-olah itu sahaja saat yang boleh dinikmati. Murung, duka, sedih, gundah, pilu dan hiba. Beraneka ragam kata mencorak satu makna. Ada yang kata ini semua mengada-ada. Mainan jiwa orang yang kurang agama. Persetankan itu semua. Yang mengalami hanya dia bukan mereka.

7.30 am. Dua jam terbazir. Tanpa solat, tiada mandi, tanpa bersenam, hanya berfikir nasib diri. Bukan fikir sebaliknya mengulang tayang malang-malang yang menimpa. Memamah biak masalah-masalah yang mengisi pundak. Hanya ruminasi tiada usaha untuk cari jalan keluar. Bukan dia tidak mahu. Dia tidak mampu. Segala-galanya dia lihat berliku. Roda hidupnya semakin perlahan dan dia hilang tumpu. Logik akal sudah lepas ke langit biru. Satu persatu bala menerpa. Dia percaya dia dicipta untuk menadah segala malapetaka. “P*lat!” ungkapnya separuh berbisik. Bukan tasbih, bukan tahmid tetapi carutan sebagai pembuka hari.

7.45 am. Dia harus ke tempat kerja dengan segera. Tempat yang langsung tidak membina keyakinan dirinya. Masa suntuk. Kelam kabut hanya mengundang nahas. Tersepit jarinya di celah pintu. Sakit yang amat mengundang carutan kedua. Entah bagaimana hati melankolik berubah menjadi berang. Pintu ditendang. “Biar kau rasa” teriaknya. Carutan dan tendangan bersilih ganti hinggap pada pintu. Dia pasti pintu itu akan menyesal sepanjang hidup.  Aneh. Hidupnya sekarang ada dua emosi sahaja; hiba dan baran. Entah bagaimana dua emosi itu berharmoni dalam dirinya.

Suara lunak Tarja Turunen dalam merdu-mersik korusnya bergema timbul. Sekala-sekala butir-butir nyanyiannya berbancuh dengan deruan enjin-enjin lain di jalan macat ini. Dia meningkatkan julat volum radio kereta. Lirik Nightwish yang terkadang melankolia dan zulmat menggamit jiwa kosongnya. Gothic Metal, unsur yang subur di tanah Scandinavia. Seolah-olah pahlawan-pahlawan Viking berevolusi menjadi perwira-perwira moden bersenjatakan gitar, dram dan keyboard mengeksport muzik metal yang rencam. “It is the end of all hope, to lose the child, the faith, to end all the innocence, to be someone like me…” Dia membiarkan alunan muzik dan lirik tidak berkeimanan itu menghiburkan sukma lara.

Jalan macet. “Sial! Aku dah keluar sebelum pukul 8 pun stuck juga,” dia mengadu. Adu pada siapa? Pada Tarja Turunen mungkin. Tarja menjawap dengan lagu seterusnya “Planet Hell.” Kepala terhangguk-hangguk mengikut rentak. Jari bergemeretup di stereng persis dialah pemain dram kugiran itu. Agak pelik bagaimana muzik begini mampu memberi sedikit sinar padanya. Seperti satu daya ghaib hadir memberi kesaktian sementara untuk dia lupakan sengsara. “B*bi!!!” Carutan kali yang ke… ahh. Penulis pun sudah malas mahu mengira. Sumpah seranah dikurniakan kepada penunggang motor yang melanggar cermin sisi keretanya. “Anak h*ram!!” hamunnya lagi. Boleh jadi peristiwa boleh diundur dan diulang tayang jika lebih banyak makian dihamburkan. Mungkin si penunggang akan menerima nasib buruk jika tepat jenis carutan yang diucapkan. Mungkin juga penunggang yang sudah hampir satu kilometer di depannya boleh mendengar jika hasil kejian cukup ramuan dan sukatan.

9.40am. Masih lagi dalam kebantutan trafik. “Bodooooh!!!” Satu jeritan mungkin boleh mengurangkan skala stres. Melinggas dia memandang sekeliling. Penunggang-penunggang kapcai terus berlalu sambil sesekali membunyikan hon. Bukan. Hon bukan dibunyikan untuk meraikan teriakan protesnya. Kereta berjujut-jujutan. “Pergi mampus la kau Hassan. Kau nak menjerit ke. Kau nak mencarut ke seorang dalam tu, kami peduli apa. Kau jangan mati sekarang sudah. Jangan bunuh diri di sini. Payah kami. Lagi jammed jalan.” Dialog fantasi dia mainkan. Pandangannya tertancap pada pemandu kereta sebelah yang ralit mengunyah roti kapit telur. Sekurang-kurangnya pemandu ini bijak menggunakan masa yang terbuang.

“Kemurungan major adalah sejenis kesedihan yang lain daripada kesedihan biasa…. Ia adalah penyakit.” Terngiang-ngiang suara panelis rancangan bual-bicara di saluran televisyen kerajaan itu. “Penyakit ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan dan juga teknik psikologi tertentu.” Entah macam mana kotak memorinya boleh terdaftar isi-isi rancangan yang bosan yang entah bila dia menontonnya. Bagaimana serpihan memori ini pula yang menjengah di saat kesesakan jalan raya yang celaka ini? Apa jadahnya kalau orang sudah murung berjumpa doktor? Doktor apa, doktor jiwa? Ahh. Aku bukan gila.

9.55am. Akhirnya tiba jua. Dia melangkah longlai ke ruang lobi. Mindanya seperti tidak berpelincir. Kenikmatan dendangan Nightwish tadi ternyata sementara. Seolah-olah ia hanya menutup sekejap pentas murungnya yang maha besar ini. Rasa tidak berguna dan rasa mahu berhenti hidup kembali meraja. Dia menekan punat 36 di dinding sebelah kanan lif. Eh, bukankah pejabatnya di tingkat 2?

Jalan raya berturap di bawah nampak menarik untuk ditujah. Geram bercampur benci. Benci siapa? Benci diri. Semua tidak kena hari ini. Geram benci. Benci geram. Baik mati.  Sudah berpekan-pekan dia tertekan. Biar sahaja dia dikapan. Ayuh. Jalan berturap di bawah terus memanggil-manggil. Daya ghaib itu datang lagi membantunya melangkah ke birai tingkap. Satu langkah. Dua langkah. Selamat dia terjun. Mulanya desir angin hanya menyapa pipi. Sesaat kemudian semakin kuat tarikan graviti. Angin sudah menampar-nampar pipi. “Ya Allah, aku akan mati. Ya Allah. betul ke ni. Aku tak sempat bersyahadah lagi.” Dia sudah silap. Tidak boleh patah balik. Kali ini luar biasa ketakutan yang menjelma. “Celaka. Sial.” Cemas. Tangannya terkapai-kapai cuba mencapai.

“San…San.. Hassan….oiiii… bangun. Apa teruk benar kau mengigau”

Terkebil-kebil. Berbalam-balam wajah teman serumahnya. Astaghfirullah. Peluh mengucur, debar yang laju kendur, dari igauan ngeri itu dia undur. Astaghfirullah. Perlahan-lahan minda terjemahkan ini bukan alam kubur. Astaghfirullah. Panasnya hari, waktu sudah zuhur. Dia bingkas bangun, dibirai katil duduk menekur.

“Aku tidak mahu hidupku barai,” bisik Hassan. Di sujudnya yang akhir dia lama. Hati itu jadi pasrah. Gaya hidupnya harus berubah. Dalam sukar ada mudah. Pasti ada senang dalam susah. Itukan janji termaktub sudah. Manusia tidak boleh memilih masalah. Namun manusia boleh memilih bagaimana untuk menanggapi masalah. Allahkan penuh rahmah. Penuh kasih. Kad Klinik Pakar Dr Yeoh & Dr Hazli dipegang kejap.

Temu janji jam 2.30 pm.

Categories
SASTERA

PAGI DI KUALA LUMPUR

PAGI DI KUALA LUMPUR

 Sebatang jalan
sekedai kopi
pagi tidak berbungkus
raungan asap kenderaan cuma
merusuh ke hidung
tiada kabus
tiada dingin
cuma sebatang jalan untuk direnung
dan secawan kopi sebagai peneman.

Dari celah lubang nafas
dan liang roma pagi
terjengul keluar
sekujur kehidupan
menggigil dan tak terdaya
berdiang di sisi cawan
dedasan harum menggoda
sehingga kembali berdaya
dan menggigil gembira.

ABDULLAH HUSSAINI MOHD GHAZALI

 

Categories
SASTERA

Zhu di dalam zoo

Oleh  Ariff Mustaffa Hamzah

DI DALAM sebuah zoo, seekor babi hutan – setelah novel Animal Farm milik seorang pengunjung terjatuh ke dalam kandangnya dan setelah mengkhatamkannya berkali-kali – mampu bertutur bahasa Inggeris dengan lancar. Dia cuba berkomunikasi dengan kawan sebabi yang lain, malangnya mereka tidak memahami. Secara serta-merta bahasa ibundanya dilupakan, hilang seperti bau kentutnya di udara.

Sejak itu, si babi hutan mempelajari sekitar dan suasana. Dia berasakan lumpur, pokok, dinding batu, najis, makanan, pagar dan bulu-bulu yang gugur seakan ingin berbicara dengannya. Dia juga meneliti sifat dan tabiat sekalian kawan sekandangnya. Apakah yang ada di sebalik dinding batu dan pagar besi ini? Siapakah raja segala haiwan? Mengapakah langit berwarna biru? Pelbagai persoalan menderu masuk ke dalam kepala. Dia tidak tahu mengapa spesiesnya dibenci oleh semua manusia dan haiwan lain, lebih-lebih lagi monyet yang bebas berkeliaran di sekitar zoo pada waktu siang.

Setelah tidak mampu bertutur lagi dalam bahasa ibundanya, dia mulai jelik dengan kawan-kawan sendiri, lalu mengalihkan pandangan dan pemikiran jauh ke luar kandang. Dia tidak percaya dunia hanya sekecil itu. Tentu ada dunia yang lebih besar di sebalik kandang dan zoo itu. Barangkali ada spesiesnya yang pandai mengendalikan kenderaan, atau mahir menggunakan telefon pintar seperti pengunjung zoo. Berkali-kali dia cuba merancang untuk melompat keluar dari pagar besi kandang, tetapi gagal. Keempat-empat kakinya terlalu pendek. Kaum sejenisnya menjarakkan diri. Dia dipulau dan disisihkan. Mereka tidak suka dengan perubahan sikap itu, yang boleh menjejaskan keamanan seluruh kandang.

Dia mencuri dengar perbualan pelbagai spesies burung yang singgah di kandang. Segala maklumat dunia sekitar tumpah ke dalam kepalanya. Semakin hari dia bertambah bijak dan berintelektual tinggi. Dia mampu bercerita isu perang, politik, hiburan, sejarah dan kisah dongeng rakyat tanpa henti. Dia nekad. Dia harus keluar dari kurungan itu. Jiwa dan jasadnya terseksa. Tokoh sepertinya tidak boleh disekat kebebasan, dan meyakini bahawa tanggungjawabnya untuk membebaskan rakan-rakan haiwan lain.

Suatu malam, si babi hutan bermimpi bertemu dengan Major Tua yang kelihatan montel, muda dan cergas. Bukankah tuan sudah mati, soal si babi hutan kehairanan kepada Major Tua. Major Tua menerangkan mengenai hak kesamarataan antara haiwan dan manusia. Si babi hutan teruja dengan ideologi itu. Sungguh genius, pujinya. Apabila terjaga, dia kembali mendapat semangat dan kekuatan. Barangkali Major Tua ialah moyangnya, fikir si babi hutan, dan dia muncul untuk memandu keturunannya ke jalan yang benar.

INFO HADIAH SASTERASesudah berminggu-minggu menggali terowong rahsia berhampiran sebatang pokok di dalam kandangnya, si babi hutan berjaya meloloskan diri dari kurungan. Terowong itu tembus di tengah-tengah zoo, berhampiran rumah reptilia. Haiwan pertama yang ditujuinya ialah gajah. Ajaibnya, dia mampu bertutur bahasa gajah, malah semua haiwan di dalam zoo, kecuali bahasa asalnya. Melalui pertandingan teka-teki, dia berjaya mempengaruhi gajah agar menjadi pengikut setia.

Dengan tertunduknya gajah di kaki si babi hutan, seluruh penghuni zoo dikuasai satu demi satu; bermula daripada singa, antelop, unta, panda, tapir, penguin, beruang sehinggalah kepada kandau. Hanya koala yang gagal dikuasai kerana sering tertidur apabila si babi hutan membuat kunjungan ke sangkarnya, manakala anjing laut mengambil sikap berkecuali kerana tidak mahu dikaitkan dengan najis mughalazah.

Si babi hutan merancang untuk menggulingkan manusia, seterusnya menguasai keseluruhan zoo. Bermula dari penguasaan itu, dia boleh merangka pelan yang lebih besar, contohnya menguasai langit biru yang terbentang. Segala haiwan sudah bersiap sedia di posisi masing-masing untuk menyerang manusia apabila pekerja zoo terawal masuk bekerja pada waktu subuh.

Seekor gagak hinggap di dahan pokok berhampiran si babi hutan yang sedang berapi-api menyampaikan amanat terakhir. Perbuatan anda sia-sia, pesan gagak dengan serius, zoo ini tetap tidak menjadi tempat yang lebih baik dengan menggulingkan manusia, sambungnya lagi. Kau menghalang perubahan, tuduh si babi hutan lalu membaling batu ke arah burung hitam itu. Marah, si gagak melayang pergi, pulang semula ke tempat asalnya.

Masanya sudah tiba. Cahaya pagi lahir di Timur. Dua orang pekerja tiba di pintu masuk zoo. Tanpa menunggu lagi, sekalian haiwan pimpinan si babi hutan menyerbu ke arah mereka. Kedua-dua manusia malang itu mati di tempat kejadian. Serangan kita berjaya, jerit si babi hutan sambil menari-nari di atas mayat, lalu mengambil kunci pintu pagar dari poket salah seorang yang terkulai layu di tanah. Haiwan berpesta gembira, melompat dan melolong.

Kegembiraan cuma sebentar. Tidak lama kemudian, bingit kipas helikopter mencalar suasana. Lampunya menyuluh ke arah haiwan. Sekumpulan manusia bertopeng, berpakaian hitam serta lengkap bersenjata memecah masuk ke dalam kawasan zoo dari segenap arah. Senjata canggih import di tangan mereka menghamburkan peluru, menembus kulit dan daging para pejuang haiwan. Aku tidak menjangka keadaan ini, bisik si babi hutan, terkejut.

Dalam kekalutan, dan dalam ketewasan rakan-rakan haiwannya oleh serbuan itu, si babi hutan bertempiaran lari menuju ke terowong rahsia. Rancangan menggulingkan manusia telah tergulung. Manusia ternyata lebih cerdik dan licik. Dia turun ke medan perang tanpa mengkaji siapa musuhnya. Kali ini, dia perlu berundur dan merangka strategi baharu. Dari ekor mata, dia sempat menangkap imej si koala berpakaian celoreng hijau sedang menghisap cerut buatan Cuba, menghembus asap ke udara sambil tersengih.

Categories
SASTERA

GELANGGANG BERPINDAH TEKAD TIDAK BERUBAH

(dari BPMS ke BP@BSA)

Dari madrasah ke bumbung

kita terus melaung-laung

dari madrasah ke bumbung

semangat kita tidak terkepung

biarpun masalah yang itu

itu juga sebegitu juga

biarpun yang usang

mewalang tidak menghilang

 

Dari madrasah ke bumbung

kita tetap melaung-laung

dari madrasah ke bumbung

semangat kita tidak terpasung

meskipun 1MDB

lembaga yang tak boleh dihampiri

walaupun GST

tanpa silu terus menyakiti

jiwa tertekan pada belanjawan

hidup terus bimbang

pada hasil yang tumbang

 

Dari madrasah ke bumbung

harapan tetap menggunung

kita sentiasa melaung-laung

semangat kita tidak terpancung

dari madrasah ke bumbung

tanda kita tidak termenung

apa lagi yang perlu dibuat

agar langkah tidak tersekat?

 

RAJA YUSOF ARIFFIN

Taman Medan

 

Categories
SASTERA

Planet Hell

OLEH Zul Azlin Razali

 5.30 pagi. Bukan kerana azan berkumandang. Bukan juga kerana loceng jam berderang. Dia dikejutkan oleh hujan lebat yang sungguh garang. Air yang dilepaskan dari langit menghunjam dan menghentam apa sahaja di bumi. Begitulah titisan air yang lembut boleh bertukar menjadi ngeri. Bunyi di luar berdentang-dentang. Kadang-kadang seperti bergendang. Mata sudah terbuntang tetapi dia masih terkedang.

Cukup sudah bagasi-bagasi beban yang dipikulnya berbulan-bulan yang lalu. Sejak dua pekan tidur sukar untuk dimulai, bangunnya pula terlalu pagi. Igauan yang bukan-bukan, mainan syaitan di dalam mimpi. Yang dia semakin tertarik hati, mimpinya membunuh diri. Entah mengapa, seolah-olah itu sahaja saat yang boleh dinikmati. Murung, duka, sedih, gundah, pilu dan hiba. Beraneka ragam kata mencorak satu makna. Ada yang kata ini semua mengada-ada. Mainan jiwa orang yang kurang agama. Persetankan itu semua. Yang mengalami hanya dia bukan mereka.

7.30 pagi. Dua jam terbazir. Tanpa solat, tiada mandi, tanpa bersenam, hanya berfikir nasib diri. Bukan fikir sebaliknya mengulang tayang malang-malang yang menimpa. Memamah biak masalah-masalah yang mengisi pundak. Hanya ruminasi tiada usaha untuk cari jalan keluar. Bukan dia tidak mahu. Dia tidak mampu. Segala-galanya dia lihat berliku. Roda hidupnya semakin perlahan dan dia hilang tumpu. Logik akal sudah lepas ke langit biru. Satu persatu bala menerpa. Dia percaya dia dicipta untuk menadah segala malapetaka. “P*lat!” ungkapnya separuh berbisik. Bukan tasbih, bukan tahmid tetapi carutan sebagai pembuka hari.

7.45 pagi. Dia harus ke tempat kerja dengan segera. Tempat yang langsung tidak membina keyakinan dirinya. Masa suntuk. Kelam-kabut hanya mengundang nahas. Tersepit jarinya di celah pintu. Sakit yang amat mengundang carutan kedua. Entah bagaimana hati melankolik berubah menjadi berang. Pintu ditendang. “Biar kau rasa,” teriaknya. Carutan dan tendangan bersilih ganti hinggap pada pintu. Dia pasti pintu itu akan menyesal sepanjang hidup.  Aneh. Hidupnya sekarang ada dua emosi sahaja; hiba dan baran. Entah bagaimana dua emosi itu berharmoni dalam dirinya.

Suara lunak Tarja Turunen dalam merdu-mersik korusnya bergema timbul. Sekala-sekala butir-butir nyanyiannya berbancuh dengan deruan enjin-enjin lain di jalan macet ini. Dia meningkatkan julat volume radio kereta. Lirik Nightwish yang terkadang melankolia dan zulmat menggamit jiwa kosongnya. Gothic Metal, unsur yang subur di tanah Scandinavia. Seolah-olah pahlawan-pahlawan Viking berevolusi menjadi perwira-perwira moden bersenjatakan gitar, dram dan keyboard mengeksport muzik metal yang rencam. “It is the end of all hope, to lose the child, the faith, to end all the innocence, to be someone like me…” Dia membiarkan alunan muzik dan lirik tidak berkeimanan itu menghiburkan sukma lara.

Jalan macet. “Sial! Aku dah keluar sebelum pukul 8 pun stuck juga,” dia mengadu. Adu pada siapa? Pada Tarja Turunen mungkin. Tarja menjawab dengan lagu seterusnya “Planet Hell.” Kepala terhangguk-hangguk mengikut rentak. Jari bergemeretup di stereng persis dialah pemain dram kugiran itu. Agak pelik bagaimana muzik begini mampu memberi sedikit sinar padanya. Seperti satu daya ghaib hadir memberi kesaktian sementara untuk dia lupakan sengsara. “B*bi!!!” Carutan kali yang ke… Ahh, penulis inipun sudah malas mahu mengira.

Sumpah seranah dikurniakan kepada penunggang motor yang melanggar cermin sisi keretanya. “Anak haram!!” Hamunnya lagi. Boleh jadi peristiwa boleh diundur dan diulang tayang jika lebih banyak makian dihamburkan. Mungkin si penunggang akan menerima nasib buruk jika tepat jenis carutan yang diucapkan. Mungkin juga penunggang yang sudah hampir satu kilometer di depannya boleh mendengar jika hasil kejian cukup ramuan dan sukatan.

9.40 pagi. Masih lagi dalam kebantutan trafik. “Bodooooh!!!” Satu jeritan mungkin boleh mengurangkan skala stres. Melinggas dia memandang sekeliling. Penunggang-penunggang kapcai terus berlalu sambil sesekali membunyikan hon. Bukan. Hon bukan dibunyikan untuk meraikan teriakan protesnya. Kereta berjujut-jujutan.

“Pergi mampus la kau Hassan. Kau nak menjerit ke, kau nak mencarut ke, kami peduli apa? Kau jangan mati sekarang sudah! Jangan bunuh diri di sini. Payah kami. Lagi jammed jalan.” Dialog fantasi dia mainkan. Pandangannya tertancap pada pemandu kereta sebelah yang ralit mengunyah roti kapit telur. Sekurang-kurangnya pemandu ini bijak menggunakan masa yang terbuang.

“Kemurungan major adalah sejenis kesedihan yang lain daripada kesedihan biasa…. Ia adalah penyakit.” Terngiang-ngiang suara panelis rancangan bual-bicara di saluran televisyen kerajaan itu. “Penyakit ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan dan juga teknik psikologi tertentu.” Entah macam mana kotak memorinya boleh terdaftar isi rancangan yang bosan yang entah bila dia menontonnya. Bagaimana serpihan memori ini pula yang menjengah saat kesesakan jalan raya yang celaka ini?

Apa jadahnya kalau orang sudah murung berjumpa doktor? Doktor apa, doktor jiwa? Ahh. Aku bukan gila.

9.55 pagi. Akhirnya tiba jua. Dia melangkah longlai ke ruang lobi. Mindanya seperti tidak berpelincir. Kenikmatan dendangan Nightwish tadi ternyata sementara. Seolah-olah ia hanya menutup sekejap pentas murungnya yang maha besar ini. Rasa tidak berguna dan rasa mahu berhenti hidup kembali meraja. Dia menekan punat 36 di dinding sebelah kanan lif. Eh, bukankah pejabatnya di tingkat dua?

Jalan raya berturap di bawah nampak menarik untuk ditujah. Geram bercampur benci. Benci siapa? Benci diri. Semua tidak kena hari ini. Geram benci. Benci geram. Baik mati.  Sudah berpekan-pekan dia tertekan. Biar sahaja dia dikapan. Ayuh. Jalan berturap di bawah terus memanggil-manggil. Daya ghaib itu datang lagi membantunya melangkah ke birai tingkap. Satu langkah. Dua langkah. Selamat dia terjun. Mulanya desir angin hanya menyapa pipi.

Sesaat kemudian semakin kuat tarikan graviti. Angin sudah menampar-nampar pipi. “Ya Allah, aku akan mati. Ya Allah, betul ke ini. Aku tak sempat bersyahadah lagi.” Dia sudah silap. Tidak boleh patah balik. Kali ini luar biasa ketakutan yang menjelma. “Celaka. Sial.” Cemas. Tangannya terkapai-kapai cuba mencapai.

“San… San… Hassan… Oiiii… Bangun. Apa teruk benar kau mengigau?”

Terkebil-kebil. Berbalam-balam wajah teman serumahnya. Astagafirullah. Peluh mengucur, debar yang laju kendur, dari igauan ngeri itu dia undur. Astaghfirullah. Perlahan-lahan minda terjemahkan, ini bukan alam kubur. Astaghfirullah. Panasnya hari, waktu sudah Zuhur. Dia bingkas bangun, dibirai katil duduk menekur.

“Aku tidak mahu hidupku barai,” bisik Hassan. Di sujudnya yang akhir dia lama. Hati itu jadi pasrah. Gaya hidupnya harus berubah. Dalam sukar ada mudah. Pasti ada senang dalam susah. Itukan janji termaktub sudah. Manusia tidak boleh memilih masalah. Namun manusia boleh memilih bagaimana untuk menanggapi masalah. Allah ‘kan penuh rahmah. Penuh kasih.

Kad Klinik Pakar Dr Yeoh & Dr Hazli dipegang kejap.

Temu janji jam 2.30 petang.

 

 

Categories
SASTERA

Sebagai pemain kata-kata

OLEH Syafie Mahyani

JIKA ingin menjadi seorang penulis, pertama-tanya perlu membaca. Kedua, membaca. Ketiga, membaca. Keempat, membaca dan kelima barulah menulis. Begitulah pesan Datuk A Samad Said atau lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad. Ternyata nasihat Sasterawan Negara itu selari dengan ayat pertama diturunkan-Nya kepada Nabi Muhammad s.aw. iaitu surah Al-Alaq bermaksud baca.

Jadi, untuk menjadi seorang penulis itu tidak semudah yang disangka. Harus mempersiapkan segala macam ilmu bantu sebelum menyimpan hasrat untuk belajar menjahit kata-kata. Hal ini disentuh ZF Zamir, peneraju rumah penerbitan Thukul Cetak pada perhimpunan 1,000 penulis di PWTC 2017. Katanya, penulis yang tidak membaca adalah orang yang bermasalah.

Justeru, apakah dengan tersiarnya sesebuah karya dalam media massa, seseorang itu sudah boleh mengakui dirinya penulis? Sasterawan Negara Datuk Usman Awang ada berkata,  seseorang hanya layak digelar penulis apabila berani menyatakan sikap. Kalau tidak berani, tidak payah jadi penulis, begitu katanya.

Pandangan itu senada dengan penulis hebat Indonesia, Pramoedya Ananta Toer yang menyebut, “Menulis adalah sebuah keberanian.” Maknanya, seseorang penulis itu tidak harus menulis jika masih ada sifat tunduk dan dicucuk hidung oleh golongan berkepentingan. Seorang penulis harus berani menyatakan pendirian. Tidak gentar walau diugut atau disisihkan oleh manusia lain apabila kebenaran diluahkan lewat tulisannya. Seorang penulis itu harus ada prinsip diri yang teguh.

Kata Usman Awang lagi, “Tajam keris raja, tajam lagi pena pujangga.” Tajam yang bagaimana? Berbalik kepada asas menjadi seorang penulis. Sudah tentu ketajaman itu bukan dimaksudkan secara literal sebaliknya sebagai perlambangan. Ketajaman pena, jika tidak diasah dengan ilmu bacaan secukupnya, hanya menjadi bahan bacaan tanpa makna bererti.

Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara-Southest Asian Writers Award bagi negara Malaysia pada 2000, Dr Lim Swee Tin pula berkata, “Menjadi seorang pengarang mudah. Menjadi seorang penyajak sukar. Menjadi seorang sasterawan jauh lebih susah.”

Ternyata menjadi seorang penulis itu bukan calang-calang manusia.  Harus ada sifat dan jiwa serta peka dengan sekelilingnya. Harus ada sifat merendah diri. Bak kata pepatah, ikut resmi padi, semakin berisi semakin menunduk. Penulis bukanlah kerjaya bagi manusia biasa-biasa. Menjadi penulis, seseorang harus ada ketahanan mental yang kuat. Tidak mudah mengalah dengan setiap cabaran.

Pada zaman awal penulisan, penulis pasti melalui pengalaman karya yang dihantar ditolak berkali-kali oleh rumah penerbitan. Itu asam garam seorang penulis. Penolakan, jika dipandang dari sudut positif, membentuk daya tahan penulis. Nisah Haji Haron, penerima Anugerah Buku Negara 2017 melalui buku ‘Bagaimana Saya Menulis’ berkongsi kisah cerpennya, Pusaka Cendana.

Cerpen itu awalnya dihantar untuk sebuah sayembara. Namun setelah diumumkan senarai pemenang, namanya tidak ada kemudian dihantar ke Mingguan Malaysia. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu?

Karya itu menang hadiah penghargaan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2006. Lebih manis lagi, cerpen berkenaan dipilih sebagai judul antologi cerpen remaja pada tahun itu. Sudah tentu, hal ini berbalik kepada diri seseorang penulis. Jika penulis mudah mengalah, pasti karya itu terbiar sahaja. Hanya penulis berjiwa besar, akan menganggap setiap karya ada peluang kedua, untuk dihantar ke media lain.

Pak Samad dalam ‘Dari Salina Ke Langit Petang, Proses Mencipta Novel’ mengatakan, “Sebanyak manapun dia menulis — jika akar pengetahuan dan perbandingannya tidak ada —  dia tetap akan menggelonsor dan akhirnya tercicir. Penulis lain yang lebih muda, lebih membaca dan menelaah, akan mengatasinya.”

Membaca adalah kunci paling utama untuk mempersiapkan diri sebagai penulis. Membaca dan terus membaca. Seorang penulis yang banyak membaca itu umpama sebaldi air yang penuh. Semakin banyak menulis, seperti sebaldi air; isinya lama kelamaan akan berkurangan. Untuk memenuhkannya, penulis harus mengisi dengan kembali membaca.

Umumnya, semua orang boleh menulis tetapi bukan semua yang menulis itu, layak dipanggil penulis. Membaca adalah perkara utama yang akan memisahkan antara seorang penulis dengan penulis lain. Melalui karya, seseorang penulis boleh dinilai melalui tahap pembacaan, pemerhatian terhadap isu di sekelilingnya, ketajaman fikirannya dan penelitian dalam menyusun bait kata-kata.

Penulis yang memiliki kekuatan dalam penulisannya tidak dinilai dari segi umurnya. Pak Samad pada usia 23 tahun menulis novel pertama berjudul Gerhana yang kemudian ditukar judul menjadi Salina. Novel itu dianggap oleh sesetengah sarjana sebagai bertaraf antarabangsa.

Walaupun hanya memenangi hadiah penghargaan dalam Peraduan Penulisan Novel 1958 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), tema novel itu dianggap asing dalam kesusasteraan Melayu ketika itu. Namun kekuatan karya itu tahan diuji dan berupaya melangkaui zaman.

Menjadi seorang penulis secara tidak langsung menyerahkan bukan saja karyanya, malah keperibadiannya yang terheret sama dalam sesebuah karya. Pete Townshed, penulis lirik dan ahli kumpulan rock, The Who mengatakan, “Jika tidak mahu sesiapa tahu mengenai diri anda, jangan menulis langsung.”

Hermann Karl Hesse, seorang penulis dari Jerman menambah, “Kalau anda memasuki dunia sastera semata-mata mahu popular, anda telah tersalah pilih bidang; anda seharusnya memasuki dunia pop!” Seorang penulis bukanlah seorang artis. Penulis tidak mempunyai peminat. Penulis hanya ada pembaca.

Seorang penulis bertanggungjawab dengan setiap tulisannya. Surah Al-Baqarah ayat 282 bermaksud, “Dan hendaklah seorang penulis antara kamu menuliskannya dengan benar.” Menulis dengan niat memberi pendidikan, maklumat dan menghiburkan pembaca. Janganlah menulis untuk mendapat nama atau gelaran.

Bak kata A Samad Said, “Gelaran tidak membawa makna apa-apa, yang penting adalah sumbangan.”

Memetik kata penyair terkenal tanah air, T Alias Taib pula:  “Pengarang besar mengarang dengan tujuan, yang kecil mengarang memenuhi impian.”

Categories
SASTERA

Cerita kota tak bernama

CERITA KOTA TAK BERNAMA

Dalam ingarmu, sang kota
kau mendekap jiwa manusiawi
sekurangnya jasad masih wujud
mendukung kasad memaknakan hidup
atau paling tidak membakar sumbu harap
membunuh bujuk meneruskan lelap
dan hari-harimu tiada malap gelap

Kerana ini kota berselut hitam asap
nyata berpijak atas semu tindak jua kata
yakin ingin bebas tanpa landas
atau sekurangnya menghadang batas
asbab relung jiwa berdengung kosong
di bawah sedar, semuanya dimamah segregasi
mencantas mimpi, memancung hakiki
menukas rohani, menusuk maknawi
dan benak fikir selalu menggetar enkuiri
apakah hakikat erti cerita kota?

Cantumkan indera, sepatu meredah, ayuh
biar di pinggir mana pun kita
bersama mengenal kota, mendengar cerita
(tanpa perlu namanya)
– lahir batinnya, tawa tangisnya.

RADEN QURRATU’AINI

Categories
SASTERA

Kabel

Oleh Arafat Hambali

ENTAH, kaki terasa berat sekali langkahannya. Telapaknya seolah-olah membenci aspal. Ya, kebencian yang penuh amarah tanpa belas. Seperti kebencianku terhadap El Mars tapi beza antara kedua-dua hal itu sangat jauh jurangnya; mahu atau tidak, telapak kaki dan aspal berlubang ini harus bersapa biarpun mereka enggan memberi rasa yang tulus.

Langkahanku semakin lemah,  sesekali terhenti. Jalan raya ini setidak-tidaknya kali terakhir dibaiki mungkin satu dua musim pilihan raya lalu kerana lubang-lubangnya ada di serata tempat hingga ada yang menakung air; tambahan pula jadi laluan lori-lori besar sekaligus menambahkan lagi derita jalan beraspal itu.

Di langit cerah tanpa perlu kudongak, bahangnya terik benar. Cahayanya dengan kejam memanah tepat ke bebola mataku walaupun aku mengenakan sepasang cermin mata hitam tapi ternyata cermin mata murah yang kubeli di pasar raya itu gagal membantu.

Di bibir jalan yang penuh sisa-sisa puntung kretek bertaburan sana sini, ada yang masih berasap dan ada yang penyek digilis tayar, kulihat seorang lelaki dalam usia pertengahan dua puluhan sedang menjual air. Segera tekakku memberontak ingin dibasihi. Ya, barangkali terik matahari membuatkan tekakku menderita. Tetapi tanganku enggan menyelinap ke poket untuk mencapai dompet. Mungkin memahami dalam dompet hanya tinggal sisa-sisa syiling tambang pulang.

Dalam kesal, aku perlahan mengusap dada dan mengurut perlahan tekakku, memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan permintaannya. Rasa bersalahku seperti sedang menahan kepala di bawah wayar letrik dan menunggu dilepaskan tahi sekawan burung gagak sebagai hukuman.

Kucuba melangkah cepat. Pondok bas kira-kira 100 meter dari  lelaki si penjual air semakin kuhampiri. Keringat resahku mengalir cepat di serata pipi; meleleh hingga ke janggut.

“Zaman ini jika tidak punya sesiapa, kita tidak akan dapat apa-apa; sekeping tiket bas lagi berharga daripada sekeping ijazah ini!” bentakku sendirian dengan riak kecewa.

INFO HADIAH SASTERATeringat beberapa peristiwa sebelum ini; ketika menunggu ditemu duga, seorang pemuda tiba-tiba disapa oleh pegawai penemu duga. Kelihatan mereka agak mesra sambil ketawa terkekek-kekek. Manakala di sebuah tempat lain, terdengar perbualan beberapa staff pejabat sesama mereka, “Bos mahu ambil berapa orang? Bukan sudah ada calonnya?”
“Dengar-dengar sudah ada. Anak saudara Puan Khalsom seorang, sepupu Rizal pegawai N42 seorang dan seorang lagi kalau tak salah… anak Pak Cik Man, pemandu bos.”

Dan yang terakhir ketika ditemu duga di sebuah syarikat penyeliaan hospital, dengan tali leher dan kemeja kemas bersama kasut berkilat; ketika aku sedang menunggu dipanggil, datang dua pemuda dengan tujuan sama tetapi berbeza penampilan. Mereka kelihatan agak sedikit kasual dan muka tersenyum sejak mula. Tidak seperti aku yang sedikit cemas. Setelah itu, namaku dipanggil dan ditemu duga. Soalan terakhir mengenai kenalan. “Siapa yang kamu kenal di sini?”
“Tidak ada encik,” kataku, perlahan.

Tiga peristiwa kecil itu yang mulanya kurang kupeduli dahulu.

“Kertas adalah kertas, ijazah hanyalah angan-angan dan ia adalah sebuah objek masa depan yang penuh kejam!” keluhku sendirian.

Hari ini, entah kali keberapa aku ke sana ke mari dengan sebuah fail yang penuh tentang kepedulian dan harapan kecil. Ya,  harapan. Harapanku yang lebih besar adalah dua sosok yang menanti di muka pintu rumah mengharapkan khabar gembira.

Di bawah matahari penuh memancarkan cahayanya, ditambah pula hanya beberapa jarak sahaja lagi untuk sampai ke pondok bas, air di dalam balang yang dijual pemuda itu semakin menduga tekakku.

Perasaanku sedikit lega, setelah penat berjalan dari satu lorong ke lorong, dari satu pejabat ke pejabat dan menghadap pelbagai kerenah orang, aku melabuhkan punggungku di bangku pondok bas. Kubuka sedikit butang baju dan mengibas dengan fail sambil memerhati tulisan yang diconteng pada tiang pondok bas. “Antara tuhan dan nasib, kita adalah mangsa.” Termenung aku  melihat kata-kata tersebut. Apakah tuhan yang bersalah atau nasib yang bersalah? Dan yang selalu menjadi mangsa keadaan adalah manusia? Apakah aku sebahagiannya? Dan setiap tindakan yang aku buat, kenapa selalu diduga dengan hal-hal yang sering kali tak mampu kutempuhi? Bukankah di sekolah guru pernah berkata, Tuhan tidak akan meletakkan sesuatu ujian yang tidak mampu dipikul hamba-Nya? Tapi kenapa sekarang untuk segelas airpun aku tidak mampu mendapatkannya? Lalu, dugaan bagaimana lagi yang harus aku hadapi?

“Bang, mari la sini dulu! Basahkan tekak.” Suara kecil yang sedikit kasar menyapaku tiba-tiba.

Kutoleh ke tepi dan lelaki si penjual air tadi tersenyum dan melambai tangan kepadaku; aku membalas senyuman dan anggukan sebagai tanda balas. Kesalku semakin bertambah  mengenangkan ketul-ketul syiling di dalam poket seluarku.

“Tak mengapa bang, saya mahu rehat sekejap saja.” Aku membalas dan memberi sebuah lagi senyuman dari jauh.

“Marilah, saya belanja! Panas terik, awak mesti dahaga.”

Saat ini, aku tidak pasti kepada siapa aku mahu berterima kasih, adakah tuhan ataupun lelaki tersebut? Perlahan aku bangun lalu melangkah.

“Duduklah bang, mahu minum apa? Saya belanja, ada kelapa, tebu, cincau dan jagung…” Tuturnya teratur dan air di dalam balang tampak enak semuanya.

“Aduh, malu saya bang, untuk tekak sendiri pun tak mampu…”

Hadiah-sasteraHadiah“Tak mengapa, hidupkan untuk berkongsi rasa. Hari ini saya kongsi rasa dengan saudara; besoknya mungkin saudara  berkongsi dengan orang lain pula…”

Tangannya mencedok air kelapa.

“Harapnya begitulah.” balasku ringkas.

“Air kelapa? Boleh?”

“Wah, terima kasih. Inipun sudah lebih dari enak. Panas-panas terik dan segelas air kelapa sejuk. Nikmat bang!”

Jalan raya masih sibuk, asap kenderaan berawan-awan ke udara. Bunyi hon sambung menyambung adalah tanda manusia itu selalu pentingkan dirinya sendiri.

“Siapa nama abang?”

“Po A” kujawab ringkas.

“Cari kerja?”

“Ya”

“Kerja apa?”

“Apa-apa saja.”

“Bagaimana hasilnya?”

“Gagal.”

“Gagal?”

“Ya”

“Zaman sekarang bang, orang tak pandang kelayakan kita. Tak cukup semua itu. Abang kena ada sokongan.”

“Sokongan?”

“Ya, kabel!”

“Kabel?”

 

 

 

 

 

Categories
SASTERA

Suara bengkeng anak muda

Oleh Roslan Jomel

 Write something you’d never show your mother or father” – Lorrie Moore.

CERPEN Boksing yang memimpin dua belas cerpen dalam buku Debu Bidadari membentuk teras keperibadian penulisan Syafiq Ghazali. Cerpen itu menjadi gelatin dalam ingatan pembaca. Tidak dapat disangkal, cerpen Boksing adalah arah masa depan Shafiq Ghazali dengan prosa yang menentang sastera arus utama, bernuansa pinggiran dan pulp. Cerpen terbaik dalam buku itu mengingatkan saya kepada cerpen Batas-batas Perhitungan tulisan Norhisham Mustafa awal 1990-an. Kedua-dua penulis ini kelahiran Kelantan dan kebetulan menyentuh tema pembalasan dendam penuh emosi dengan kesudahan yang menterbalikkan jangkaan klise pembaca.

Cerpen-cerpen yang dihimpun dalam buku ini ditulis oleh penulis generasi baharu Malaysia, bakal dikenang suatu masa nanti dengan menerap pengaruh Denis Johnson dan Paul Auster. Terutamanya, cerpen Boksing yang menghantarkan saya kepada sebuah cerpen bertajuk Beverly Home, termuat dalam buku Jesus’s Son. Tanpa mengambil kira usia kematangan dalam penulisan, kualiti cerpen Boksing jauh mengatasi sebahagian cerpen-cerpen yang disiarkan dalam akhbar-akhbar arus utama. Benar, situasi dan pokok cerita dalam kedua-dua cerpen tersebut berbeza. Yang saya maksudkan ialah pembinaan subject matter atau perspektif unik mereka berdua sebelum dibentuk menjadi karya fiksyen.

Jika anda pernah membaca kumpulan cerpen Dongeng Pasca Merdeka karya Azman Hussein, maka kumpulan cerpen tulisan Shafiq Ghazali ini turut menyerlahkan semangat anak muda. Suka saya untuk mencantumkan kedua-dua nama penulis ini apabila melihat kepada attitude dan revolusi yang dicipta dalam karya fiksyen. Bahasa digunakan lebih realistik dengan metafora-metafora yang kedengaran lebih moden. Azman Hussein menerima penghargaan paling berprestij dalam posisi kesusasteraan nasional apabila buku kumpulan cerpen Dongeng Pasca Merdeka dipilih sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada usia 25 tahun. Ketika itu, Azman Hussein memfokuskan persoalan-persoalan yang lebih kompleks pada setiap cerpennya. Mengangkat isu-isu sosial, politik kenegaraan dan falsafah serta psikologi persendirian anak muda untuk Dongeng Pasca Merdeka.

Namun berbeza dengan kompas penulisan Shafiq Ghazali. Debu Bidadari ditulis bertujuan menumpukan perhatian kepada karakter semasa anak muda dan konflik-konflik mereka. Bakat penulisan Shafiq Ghazali menyusuri lorong kisah yang lebih gelap dan berkumuh. Cerpen Boh Biru, Debu Bidadari, Orang Kuala Lumpur, Tikus-tikus Kota dan Bra Na, misalnya. Cerpen-cerpen eksentrik ini mencerminkan gelora fantasi, halusinasi dan kenakalan anak muda serta kenaifan. Wilayah seksual, payudara wanita dan kenikmatan sensasi dadah diterokai sejernih mungkin. Ketaksuban kepada organ tubuh yang menjadi sumber untuk melampias nafsu, pembunuhan atas desakan bodoh demi kesucian agama dan kisah detektif ala Roberto Bolano melengkapkan kumpulan cerpen terbitan Roman Buku. Terima kasih diucapkan kepada Sufian Abas atas usahanya mengumpul penulis-penulis muda berpotensi.

debu bidadariSebuah karya sastera yang bagus ialah apabila pengarang berjaya menarik pembaca berasa dekat dengan aksi para wataknya. Abaikan pesanan klasik pengajar bengkel penulisan yang terkenal dengan slogan show, dont tell. Sekurang-kurangnya Shafiq Ghazali menyedari tuntutan asas fiksyen tersebut. Buku Debu Bidadari bukan karya beraliran eksperimental, namun cerpen-cerpen Shafiq Ghazali mencabar kepura-puraan sesetengah pengarang dalam menurunkan kisah masyarakat. Dalam filem awal Christopher Nolan, The Following, dua watak protagonis menyelongkar sebuah rumah ke sebuah rumah tanpa motif jelas dan lebih kepada aktiviti keseronokan. Suasana sedemikian boleh ditemui dalam cerpen Sistem Tuan Rumah. Obses kepada sistem teater yang canggih dengan lagu-lagu dari negara Jepun ini sememangnya janggal. Ini kisah cinta bertepuk sebelah tangan. Tidaklah memadai sesebuah karya sastera sekadar menekankan isu-isu gah semata-mata tetapi menyingkirkan hal-hal remeh seperti digambarkan dalam cerpen Sistem Teater Rumah, misalnya.

Cerpen kedua terbaik dalam buku Debu Bidadari berpihak kepada Eksposisi. Buat anda yang akrab dengan naratif dan pengembaraan pelik karya Haruki Murakami, kesan serupa dirasai dalam cerpen tersebut. Sebagaimana menarik dan kemasnya Shafiq Ghazali menjalin alur cerita dalam Boksing, demikian juga impak yang ditunjukkan dalam cerpen Eksposisi.  Inilah kelebihan seseorang pengkarya jika cerdik meluaskan saiz imaginasi. Pada usia relatif muda, keupayaan pengarang ini menyajikan cerita dengan lebih baik daripada yang biasa ditemui dalam media-media lain, sangatlah membanggakan kepada saya. Bahkan perkenalan pengarang ini dengan nama-nama penting dunia dalam bidang fiksyen membantu skill penulisan terampil berbanding yang seusia dengannya.

Suatu kredibiliti kepada Shafiq Ghazali ialah dia menghidupkan hero-hero fiksyen daripada orang-orang biasa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, misalnya. Status pekerjaan yang jarang dipandang tinggi oleh masyarakat sedangkan seribu kisah menakjubkan bakal ditemui dalam kalangan orang-orang marhaen. Watak-watak diperan dalam Debu Bidadari lebih intim kepada pembaca dan berkarisma daripada ahli politik yang saban tahun membina jambatan ke langit kepada penyokong-penyokong. Secara jujurnya, teknik yang diaplikasikan dalam kesemua cerpen untuk buku Debu Bidadari mudah untuk difahami oleh audiens biasa.

Selepas era SM Zakir dan Azman Hussein yang merombak dan memperbaharu gaya penceritaan, kini legasi kecemerlangan sastera Kelantan dan Malaysia, terletak kepada penulis bernama Shafiq Ghazali. Setakat yang saya maklum, buku ini adalah karya ketiganya. Dengan bakat, kelancaran dan penguasaan bahasa yang baik, Shafiq Ghazali mempelbagaikan lagi bacaan alternatif di Malaysia. Jika anda penulis muda dan berlagak dengan kisah-kisah dewasa, lebih baik lupakan sahaja niat anda.  Debu Bidadari tidak ditulis untuk memasuki sayembara dan tidak pula dikirimkan kepada editor-editor yang mempertahankan kemurnian dan ketinggian tatasastera.

 

Categories
SASTERA

SEBAB HARI INI KITA BICARA TENTANG DOA

SEBAB HARI INI KITA BICARA TENTANG DOA

Sebetulnya kawan, semua orang punya doa.
orang sihat, orang sengau, orang capik.
malah si bisu dan si buta huruf.

Kawan, doa punya bermacam ragam.
mungkin tentang perut yang perlu diikat,
atau usus yang rosak.
mungkin juga tentang tanah, air, angin
dan api yang sedang memerah,
lalu buat orang marah2.

Agaknya kawan, doa dan marah itu akrab. seperti
pelita dan minyak. di sumbunya adalah api
yang menelan gelap. tapi boleh juga menjilat
apa2 yang kita sayang.
kawan, doa adalah untuk orang
yang berharap. bukan untuk memijak tuhan
di kasut nafsu.

NAJMUDDIN YUSOFF
Puncak Jalil

Categories
SASTERA

Imaginasi dan ruang-ruang falsafah

Oleh Mohd Hasnul Mohd Sani

FALSAFAH adalah satu bidang yang amat sukar malahan ada orang yang menganggap falsafah sebagai satu bidang yang amat tinggi ientelektualnya. Ijazah tertinggi dalam pendidikan juga digelar dengan doktor falsafah. Tetapi adakah penulis tidak boleh berfalsafah dalam penulisannya?

Hidup ini ada kelembutan dan ini boleh didapati dari sastera. Dengan permainan bahasa, sastera boleh menjadi satu benda yang mengasyikkan atau menjelekkan. Semuanya terpulang kepada pemain bahasa iaitu penulis. Sastera yang baik adalah sastera yang bermakna dan membawa perubahan pada masyarakat. Tidak guna menghafal Sonnet 18 oleh Shakespeare jika puisi ini hanya digunakan untuk memikat gadis manja. Lebih baik menghafal The Road Not Taken oleh Robert Frost yang lebih mudah tetapi banyak pengajaran. Tetapi sebagai rakyat Malaysia, bait sajak Usman Awang ini harus direnungi “suatu bangsa tidak akan manjadi besar, tanpa memiliki sifat kurang ajar.” Sastera adalah cerminan bagi kekuatan peradaban sesuatu bangsa. Bangsa yang besar maka makin besarlah aktiviti kesusasteraan. Jika sains memudahkan kehidupan manusia dengan penciptaan pelbagai jenis peralatan, sastera pula menciptakan perasaan dan hati nurani manusia.

Esei ini saya tulis sambil berpegang dengan pepatah dan falsafah “Mata Pena Lebih Tajam Dari Mata Pedang.” Pepatah ini sudah klise kerana sudah diambil guna untuk ribuan kali untuk menyatakan yang kata-kata adalah lebih hebat kesannya dari kekerasan. Mata pena sudah semakin kurang digunakan untuk menulis dan kini komputer telah mengambil kegunaan mata pena untuk menyampaikan kata-kata. Kata-kata yang datang dari fikiran akan mengambil tempat di jemari atau di mulut. Kata-kata yang keluar dari mulut, kesannya kurang didingati tetapi bisanya melekat di hati. Ada satu pepatah yang berkaitan iaitu “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Penulisan yang baik adalah penulisan yang berfalsafah. Falsafah tidaklah memerlukan tahap intelektual sehebat Aristotle atau Plato. Falsafah sendiri bermaksud suka kepada hikmah (love of wisdom) maka manusia yang suka berfikir memang seorang ahli falsafah. Saya tidak berminat untuk mengisahkan sejarah hidup sesiapa dalam esei ini kerana bukanlah tujuan utama tulisan ini untuk bercerita tentang ahli falsafah yang telah lama pergi tetapi masih disebut-sebut sehingga kini. Apabila menyebut mengenai falsafah, ramai penulis sebolehnya mengelakkan untuk berfalsafah dalam penulisan. Antara falsafah penulisan yang terkenal adalah yang dipegang oleh ASAS 50 iaitu Sastera Untuk Masyarakat. Alasan penulis menolak falsafah dalam penulisan demi untuk mengelakkan diri terjerat dalam sastera propaganda. Ini menyebabkan kebanyakan hasil sastera yang ada sekarang adalah sastera yang bercorak pengalaman individu dan tidak menyumbang kepada penambahan kebijaksanaan pada masyarakat. Saya menafsirkan sastera propaganda adalah seperti tulisan George Orwell yang terkenal iaitu Animal Farm. Dalam buku ini secara jelas Orwell menolak kuasa diktator dan komunis ketika Amerika dan Soviet sedang berkecamuk dalam Perang Dingin.

Penulis yang berpegang pada falsafah dalam penulisan akan mempunyai suatu tujuan dalam karyanya. Tulisannya bukanlah bermaksud untuk suka-suka mengikut ilham penulis. Memang mengubah orang lain lebih sukar dari mengubah diri sendiri tetapi penulisan saja cara yang sesuai untuk memberitahui idea atau penindasan yang dihadapi oleh masyarakat dan mengajak masyarakat untuk merenung bersama ketempangan yang terjadi dalam masyarakat. Sastera bukan berperanan untuk merekod perjuangan bangsa tetapi turut berperanan untuk menyalakan percik-percik api perubahan. Sastera yang baik akan menyedarkan masyarakat tentang situasi masyarakat. Dalam keadaan masyarakat yang tertindas dan ada juga masyarakat yang masih tercari-cari lorong cahaya dalam kegelapan, peranan sastera bukanlah hanya untuk bercerita tentang kereta kesayangan, hantu di asrama atapun kisah masyarakat kampong. Sastera mempunyai peranan lebih penting dari ini.

Dalam kesedaran masyarakat yang menampakkan munculnya penulis-penulis muda yang prolifik, agak mendukacitakan apabila ramai penulis yang lahir lebih selesa dengan penulisan yang bercorak sendiri. Ini bukannya matlamat sebenar penulisan. Penulis harus muhasabah diri untuk mengetahui apakah matlamat meraka dalam penulisan. Adakah hanya untuk mendapatkan royalti ataupun beperanan lebih daripada itu. Menjadi satu kekecewaan apabila penulisan digunakan untuk mendirikan menara nama dari mendirikan menara pemikiran.

Saya terbaca satu tafsiran yang penulis ialah orang yang mengurung dirinya di dalam bilik untuk hanyut dalam khayalan untuk menghasilkan penulisan. Sebagai seorang penulis, yang paling utama adalah untuk memahami masyarakat dan menulis kisah masyarakat untuk tatapan orang ramai. Senjata penulis adalah kata-kata tajam yang dapat menembus jantung sang penindas. Benarkah penulis hanya perlu terkurung dalam bilik bersama imaginasi? Bagaimana penulis mahu mengajak masyarakat membaca dan meningkatkan kepintaran masyarakat jika penulis sendiri hanyut dalam imaginasi dan lari dari realiti? Ini tidak ada bezanya dengan sang penagih dalam dalam dunianya khayalan imaginasi. Penulis harus turun ke kancah masyarakat untuk mengambil pengajaran (kata Arabnya Ibrah) dan dari pengajaran ini barulah penulis menggunakan imaginasi untuk menarik minat masyarakat membacanya. Inilah baru bergunanya imaginasi. Jika sesebuah kisah hanyalah imaginasi semata-mata, maka cerita ini akan terkenal serata dunia tetapi tidak memberi impak pada masyarakat. Sebagai contoh novel karangan Paulo Coelho iaitu The Alchemist. Novel ini bukan sahaja mengilhamkan pembacanya untuk mengejar impian tetapi membawa pembaca untuk mengenal ilmu alkimia. Bandingkan pula dengan novel Harry Potter yang membawa pembaca ke dalam dunia fantasi yang tidak akan membawa apa perubahan kecuali mengajak kanak-kanak memasang impian untuk menjadi ahli sihir. Mengajak kanak-kanak untuk menunggang penyapu untuk dijadikan kenderaan dan berkhayalkan tongkat ajaib.

Shahnon Ahmad dalam buku Gubahan Novel mengatakan yang penulis tidak boleh dicipta. Ada benarnya pendapat ini. Seorang penulis tidak mungkin akan dapat membentuk seseorang menjadi penulis jika minat tidak wujud dalam diri orang itu. Wan Nor Azriq pula berkata yang penulis perlu mencipta ruang. Setiap manusia mempunyai dunia dan ruang yang tersendiri. Dalam ruang, penulis boleh penuhkan dengan apa saja. Boleh dipenuhkan dengan fantasi mengembara ke alam angkasa seperti Star Trek ataupun mengembara ke alam magik fantasi seperti The Wizard Of Oz. Dalam ruang inilah pengarang akan membuka dan menutup, menconteng dan melukis, menulis dan mengarang atau apa saja yang menarik.

Memetik kata-kata Einstein, “imaginasi boleh mengelilingi dunia” maka seorang penulis tidak harus hanya terbatas dalam ruang lingkup yang sama dalam menggunakan imaginasi. Ruang penulis tidak harus sempit dengan idea-idea dari penulis lain sehingga menenggelamkan identiti diri sendiri dalam ruang penulisan. Penulis perlu bijak dalam mencipta dan mengemas ruangan mereka supaya sentiasa menarik perhatian. Ruang ini perlu dipenuhi dengan idea-idea yang dapat membangunkan masyarakat kerana tanggungjawab penulis bukan sekadar menulis tetapi menyampaikan kebenaran.