Letupan 901: Polis Perlu Kemuka Siasatan

SHAH ALAM, 18 JAN: Polis Di Raja Malaysia (PDRM) diminta mengemukakan hasil siasatan berhubung kejadian letupan bom yang berlaku pada hari pengumuman keputusan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (901) pada 9 Januari lalu.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard berkata, kecurigaan itu timbul kerana sehingga hari ini polis langsung tidak menyatakan apa-apa dan sedangkan kejadian tersebut merupakan satu isu besar.

“Antara bom tersebut diletakkan dibawah kon polis sedangkan polis sudah menutup kawasan tersebut. Siapa yang nak masuk polis akan monitor dan semua dibenarkan masuk selepas jam 6 pagi. Dan apabila bom itu meletup setentunya timbul kecuigaan. Pihak polis perlu tampil memberikan penjelasan terperinci,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pihak Perkasa Yang diketuai oleh Datuk Ibrahim Ali juga perlu tampil memberikan penjelasan berhubung tugas dan gerak kerja yang dilakukan oleh Unit Tindakan Khas (UTK) yang mereka tubuhkan untuk perhimpunan tersebut.

“Kedua adalah apabila Perkasa melalui Presidennya, Ibrahim Ali mengumumkan mereka telah menubuhkan Unit Tindakan Khas (UTK) pada hari tersebut dan ia perlukan penjelasan, apa tugas UTK yang Ibrahim Ali tubuhkan.

“Saya masih hormat kepada Perkasa yang boleh mobilise ahlinya. Takkan hari itu (9 Jan) UTK yang dinamakan Ibrahim Ali hanya 30 orang berbaju kuning akhirnya lari dan minta perlindungan daripada polis pada hari perhimpunan tersebut. Sudah tentu Ibrahim Ali juga harus tampil memberikan penjelasan dalam isu ini,” katanya.

Dalam kejadian tersebut, lima orang tercedera akibat terkena serpihan letupan selain mengakibatkan kerosakan beberapa buah kenderaan yang diletakkan berhampiran kawasan kejadian.

Selain itu, Chegu Bard turut meminta pihak polis menyiasat pihak Utusan Malaysia yang mendakwa bahawa bom tersebut dibuat oleh peserta-peserta perhimpunan sedangkan tidak ada laporan siasatan lengkap daripada pihak polis.

“Tidak masuk akal, kita berhimpun dan kita nak letupkan diri kita sendiri. Saya melihat ini lebih kepada unsur sabotaj supaya selepas ini digunakan dalil tidak boleh berhimpun kerana apa, kerana akan ada bom meletup. Saya yakin itu akan digunakan sebagai dalil untuk menghalang perhimpunan-perhimpunan aman selepas ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan kegusaran memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara aman sedangkan sebelum ini tidak pernah ada sebarang kekecohan dan kejadian letupan sebegini. Jika dibiarkan ianya akan menjadi trend tidak sihat kepada negara.

“Justeru itu saya tidak pasti, tanggapan masyarakat melihat secara kemungkinan akan wujud penglibatan polis secara tidak sengaja atau tidak.” kata beliau yang juga Ketua Cabang Rembau.

Sehubungan itu beliau meminta siasatan terperinci dilakukan sekiranya pihak polis ingin membersihkan nama baik institusi keselamatan tersebut.

Tegas beliau, mereka yang terlibat wajib didakwa dan dihadapkan ke muka pengadilan.

“Sekiranya pihak polis gagal mengemukakan hasil siasatan, polis tidak boleh menghalang tanggapan rakyat bahawa kejadian ini merupakan satu bentuk konspirasi dan sabotaj untuk menghalang perhimpunan aman di masa hadapan.” kata beliau ketika di hubungi TVSelangor.

Categories
NASIONAL

Tian Chua : Menconteng Bangunan Umno Usaha Memburukkan Imej Pakatan Rakyat

SHAH ALAM, 7 JAN : Insiden bangunan milik Umno Kedah yang diconteng kata-kata nista menggunakan cat tertera perkataan “Bebaskan Anwar” dan “Gerakan 901” awal pagi tadi dianggap sebagai taktik kotor untuk memburukkan imej Pakatan Rakyat.
Naib Presiden PKR Tian Chua meyifatkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu sebagai satu konspirasi untuk menjatuhkan nama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim selain mengaibkan Perhimpunan di depan mahkamah Jalan Duta yang akan berlangsung pada 9 Januari nanti.

Menurutnya, Pakatan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan untuk melakukan perbuatan tidak bermoral itu sekaligus menolak dakwaan bahawa kejadian itu mempunyai kaitan dengan Pakatan.

“Saya ingin mengingatkan semua pihak supaya jangan hilang fokus daripada isu pokok atau tujuan asal iaitu Perhimpunan 901 pada 9 Januari nanti.

Ini kerana, ia adalah hari yang akan menentukan imej negara kita dalam membuktikan sama ada institusi kehakiman di Malaysia adil atau tidak selain bakal menjadi hari yang akan mendedahkan konspirasi dalam usaha memfitnah dan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya yang juga Ahli Parlimen Batu.

Kejadian menconteng premis dan kenderaan di beberapa tempat di Kedah menggunakan semburan cat berwarna hitam itu dipercayai berlaku antara pukul 3.30 hingga 5 pagi dan hanya disedari pengawal keselamatan pada jam 5 pagi.

Premis perniagaan dan lebih 10 kenderaan di kawasan Kubang Pasu, Padang Terap dan Alor Setar turut diconteng dengan kata-kata yang mengaibkan “Perhimpunan 901”.

Selain itu, Pejabat Umno Padang Terap, pusat beli-belah Angsana dan restoran KFC, Kuala Nerang serta dua bas henti-henti dicat dengan kata-kata yang sama.

Ketika ditanya kemungkinan insiden-insiden tersebut merupakan usaha untuk sabotaj perhimpunan Pakatan, Tian berkata, ia terletak di bawah bidang pihak berkuasa untuk membuat siasatan terperinci ke atas insiden berkenaan.

“Itu saya serahkan kepada pihak polis untuk siasat. Kita sudah dimaklumkan, bahawa laporan polis telah dibuat. Kita tidak mahu lari daripada isu pokok di mana semua yang berlaku ini adalah sebahagian daripada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

Himpunan 100,000 Dapat Kebenaran Polis

PETALING JAYA, 6 JAN: Usaha mengadakan Himpunan Aman dengan mobalisasi 100,000 rakyat untuk memberi sokongan berhubung keputusan pembicaraan kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari ini mandapat kebenaran pihak polis.

Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali berkata pihak polis Kuala Lumpur memberi kebenaran untuk orang ramai berkumpul di tapak letak kereta di hadapan Mahkamah Jalan Duta dari jam 7.00 pagi pada tarikh tersebut.

Ikuti berita penuh dalam video berikutnya.

Categories
NASIONAL

PKR Selangor Sasar 20,000 Ahli Sertai 901

SHAH ALAM 5 JAN: Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei hari ini memberi jaminan untuk mengarahkan 20,000 ahli PKR negeri untuk menyertai himpunan Aman bermula sehari lebih awal dari tarikh 9 Januari ini.

“PKR Selangor dengan ini menyeru semua anggota parti untuk berhimpun dengan cara seaman yang boleh di Mahkamah Jalan Duta bermula dari 8 Januari depan. Komintmen KEADILAN Selangor ini diterjemahkan dengan cara mengerahkan sekurang kurangnya, 20,000 anggota parti dari Selangor duduk secara aman sejak awal pagi lagi di kawasan Mahkamah Jalan Duta.

Katanya perhimpunan rakyat pada 9 Januari ini bukanlah di atas niat untuk mencetus huru-hara ataupun revolusi sebagaimana yang diputarbelitkan oleh beberapa pihak termasuk PERKASA.

“Sebagai rakyat yang faham pada Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang Undang sudah tentu keamanan merupakan satu aset penting yang wajib dipertahankan oleh semua pihak termasuklah Polis, anggota parti dan orang awam.

“Hak untuk berhimpun secara aman adalah dijamin oleh undang undang dan Perlembagaan Negara ini tidak harus disempitkan oleh gesaan PERKASA dan mereka yang tidak matang.” jelas beliau yang juga Adun Sri Muda.

Ujar beliau,Perhimpunan 901 merupakan satu manifestasi sokongan rakyat kepada idealisma perjuangan yang dibawa oleh Dato Seri Anwar Ibrahim.

“Satu perkara yang sering dilupakan oleh pemfitnah beliau adalah merupakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang mewakili puluhan Ahli Parlimen Dewan Rakyat yang dipilih rakyat.

Dalam pada itu beliau menyambut baik usaha Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri untuk berbincang berhubung perhimpunan 9 Januari ini.

“Besar harapan rakyat negara ini jika kedua dua mereka bijak untuk menggunakan secebis keadilan yang tersisa ini bagi mencuci arang yang sekian lama terpalit di muka agensi keselamatan.

“Kepada anggota parti, inilah saatnya untuk menunjukkan disiplain tinggi anggota Parti Keadilan Rakyat.” tegas beliau lagi.

Categories
NASIONAL

Majlis Peguam: Himpunan 901 Dibenarkan Perlembagaan

SHAH ALAM, 3 JAN : Isu berhubung himpunan 901 sempena dengan pengumuman kes fitnah Liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sama sekali tidak bercanggah dengan undang-undang negara malah dibenarkan oleh Perlembagaan.

Ini kerana himpunan yang bakal diadakan itu sekadar perhimpunan untuk memberi sokongan kepada DSAI yang dibicarakan semenjak hampir 3 tahun lalu berhubung konspirasi untuk mengaibkan Anwar di mata rakyat oleh musuh-musuh politik beliau.

Menurut Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee tidak tertulis di mana-mana perlembagaan pun bahawa kehadiran sebagai tanda sokongan kepada tertuduh di mahkamah adalah satu kesalahan.

“Mahkamah adalah tempat terbuka kepada orang ramai untuk hadir mendengar perbicaraan.

“Malah orang ramai mempunyai hak untuk hadir ke mahkamah apa lagi untuk memberi sokongan kepada tertuduh selain mendengar keputusan yang akan diberikan,” ujar Lim memberi ketika dihubungi TV Selangor.

Lim turut memberitahu bahawa jumlah yang akan hadir ke perhimpunan itu nanti bukan satu isu untuk dijadikan alasan pihak berkuasa bahawa perkara tidak diingini akan berlaku.

“Sebaliknya jika pihak polis memberi kerjasama mengawal keadaan, saya tidak melihat sebarang masalah untuk rakyat yang prihatin berhimpun memberi sokongan kepada sesiapapun yang mereka ingini,” tegas Lim yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Berhubung dakwaan seorang menteri bahawa Majlis Peguam menjadi alat politik, Lim pantas menjelaskan itu bukan isu yang perlu dibangkitkan.

“Kami tidak menyebelahi mana-mana pihak atau individu. Sebagai pengamal dan penegak perundangan kami cuma berminat pada asas perundangan iaitu keadilan yang menjadi hak setiap manusia,” katanya lagi.

Lim turut membangkitkan sikap ‘Double Standard’ pihak berkuasa dalam menangani isu-isu seperti ini bilamana perhimpunan yang membabitkan PKR seringkali diprovokasi dengan isu keselamatan.

“Sikap double standard ini sangat mendukacitakan malah menjatuhkan karisma, keupayaan dan professionalisme pihak berkuasa polis dalam menjalankan tugas mereka.

“Sambutan Tahun Baru dihadiri oleh puluhan ribu rakyat dibolehkan dan dapat berlaku dengan baik hasil kerjasama pihak berkuasa juga. Tapi mengapa pula kes seperti ini yang tidak pun melanggar mana-mana undang-undang dijadikan isu?,” soal Lim kembali.

Lim dengan positif juga menyatakan bahawa mereka yang akan hadir 9 Januari ini pasti terdiri dari golongan yang cintakan perundangan yang adil dan tidak akan sesekali mencetuskan huru-hara walau apapun keputusan mahkamah seperti yang cuba digemburkan sesetengah pihak.

“Saya harap orang ramai akan hadir memberikan sokongan kepada DSAI. Himpunan ini penting bukan sekadar membela DSAI semata-mata sebaliknya penting kepada orang awam juga berkenaan sistem perundangan negara yang semakin parah.

“Hadirlah beramai-ramai untuk menunjukkan bahawa rakyat hari ini sudah bosan dan jemu dengan konspirasi dan fitnah seperti ini dan rakyat menolak sebarang ketidakadilan dan kezaliman yang berlaku,” ujar Lim lagi.