Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Sukma 2020: Atlet olahraga berlatih di Kenya

SHAH ALAM, 18 FEB: Atlet olahraga Selangor dihantar ke Kenya bagi menjalani latihan intensif sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, Julai ini.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata dua atlet lelaki ke sana sejak Januari lalu bagi meningkatkan prestasi di bawah kendalian jurulatih Kenya.

“Kita hantar atlet ke Kenya bagi melihat sendiri pusat latihan olahraga dilaksanakan. Kita (MSN) bayar tiket sahaja selebihnya ditanggung jurulatih tersebut.

“Kita pilih jurulatih Kenya kerana mereka melahirkan pelari jarak jauh yang sangat bagus di samping olahraga,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama SelangorKini di Kompleks Belia Negeri Selangor, di sini 10 Februari lalu.

Antara atlet olahraga yang berlatih di Kenya adalah Berchmans Aruldass dan Jeff Lim Zhe Yu.

Sementara itu, Rhaasrikanesh Kanavathi, Muhammad Afif Mohd Fathi dan Liyana Azizan Durisic bagi sukan golf menjalani latihan di Amerika Syarikat.

Adi Faizal berkata beberapa program sukan disusun menjelang Sukma selain penyertaan atlet dalam kejohanan di luar negara seperti berbasikal, renang dan tenis.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

#Selangor2020: MSNS harap perhatian khusus pembangunan sukan

SHAH ALAM, 17 OKT: Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) berharap Belanjawan Selangor 2020 yang bakal dibentangkan oleh Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada 1 November ini turut memberi perhatian khusus kepada pembangunan dan infrastruktur sukan di negeri itu.

Pengarah Eksekutifnya, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, ini kerana pihaknya memerlukan peruntukan tambahan untuk persiapan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang diadakan di Johor tahun hadapan.

“Selangor sudah bersedia menyertai SUKMA 2020, jadi kita mengharapkan peruntukan khusus untuk atlet dan MSNS bagi menghadapi temasya SUKMA.

“Selain itu, kita mengharapkan ia lebih bagi membolehkan atlet terbaik supaya mereka lebih bersedia untuk ke tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada Media Selangor.

Adi Faizal berkata, terdapat 24 teras sukan di negeri itu yang menyumbang pelbagai pingat antaranya bowling padang, bola sepak dan e-sukan.

Bagi 2019, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM400,000 bagi pembangunan dan penganjuran e-sukan.

Sebanyak RM12 juta juga diberi untuk tahun ini bagi pembangunan sukan Bola Sepak Selangor.

Pembentangan langsung Dato’ Menteri Besar pada petang Jumaat itu boleh dilayari menerusi www.selangortv.my atau laporan berita melalui portal www.selangorkini.my.

Berita dan perbincangan di internet mengenai peruntukan tahunan ini menggunakan tanda pagar #Selangor2020.

Perkembangan lanjut berhubung belanjawan ini dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui berita di dua portal ini dan juga media sosial rasmi Media Selangor.

Difahamkan, belanjawan negeri kali ini akan memberi tumpuan antaranya kepada pendidikan, keselamatan, belia dan memajukan lagi aspirasi Negeri Pintar, Smart Selangor.

Categories
SUKANKINI

Belia pelapis julang nama negara dalam sukan

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

KLANG, 6 JUN: Pembabitan belia dalam sukan diharap dapat menyediakan barisan pelapis bagi memastikan kesinambungan untuk menjulang nama negara di persada antarabangsa.

Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Selangor, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, sukan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kehidupan khususnya belia serta membantu mereka mempelajari nilai positif kehidupan supaya terus maju dalam dunia yang berdaya saing.

“Menerusi pelbagai penganjuran program sukan, usaha itu diharapkan mampu memenangi hati golongan muda untuk sertai dan aktif supaya kita dapat mengenal pasti pemain yang berpotensi ke peringkat lebih tinggi.

“Kita sentiasa memberi galakan kepada para pemain khususnya pelapis muda supaya mengorak langkah dan sentiasa kekal cemerlang dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program ‘Streetball 3ON3 Challenge’ 2019, di Galeri Jualan Gravit8, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN); Yang DiPertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan Timbalan Pengarah Eksekutif Mitraland Group, Chuah Theong Yee.

Terdahulu, seramai 600 peserta menyertai Gravit8 Streetball 3 On 3 Challenge anjuran Mitraland Group dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Program julung kali diadakan itu bermula 9.30 pagi sehingga 5.30 petang dan sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu B12, B14, B16, B18 dan Kategori Terbuka Lelaki; 200 slot pasukan dengan setiap pasukan terdiri daripada tiga pemain.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Haris dilantik Datuk Bandar Shah Alam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 MEI: Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dilantik sebagai Datuk Bandar Shah Alam yang baharu berkuatkuasa 10 Mei lalu.

Manakala, Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK) Adi Faizal Ahmad Tarmizi turut akan bertugas sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor berkuat kuasa 10 Mei.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya pada Majlis Penyampaian Amanat dan Surat Pelantikan kepada pegawai-pegawai kanan di Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Haris dilantik bagi mengantikan Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad ditugaskan ke Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) sebagai Ketua Pengarah atau Pesuruhjaya Tanah Persekutuan berkuatkuasa 7 Januari lalu.

Adi Faizal dilantik mengantikan Mohd Zubir Idrus.

 

Categories
SELANGOR

MPK kutip cukai taksiran RM82.12 juta

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 26 APR: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menerima kutipan cukai taksiran RM82.12 juta bagi tempoh sehingga 19 April lalu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, prestasi kutipan itu sekitar 87 peratus daripada jumlah patut kutip bernilai RM79.23 juta.

“Dari segi pecahan jumlah keseluruhan itu, tunggakan cukai taksiran berjaya dikutip berjumlah RM13.53 juta daripada RM41.64 juta yang patut dikutip pada kadar prestasi 33 peratus,” katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPK Bil.4/2017 hari ini.

ADI MPKMenurutnya, MPK dalam proses pengeluaran bil Cukai Taksiran Penggal 2/2017 dan dijangkakan orang awam akan menerimanya pada minggu kedua bulan Mei bagi memastikan pembayaran boleh dibuat awal.

Katanya, MPK akan mengadakan Kempen Pembayaran Cukai Taksiran di dua kawasan penduduk terpilih pada Mei ini.

Apartmen Prima Bayu akan menjadi lokasi pertama kempen selama dua hari pada 6 dan 7 Mei diikuti Pangsapuri Amazing Height pada 20 dan 21 Mei bermula jam 10 pagi hingga 2 petang.

-nR-