Categories
AGENDA NASIONAL

ATM bantu kawalan, logistik kendali vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi koordinasi bantuan kawalan pergerakan dan logistik pengurusan serta pengendalian vaksin Covid-19 yang bakal diterima esok.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata ATM akan iring kawal pergerakan vaksin berkenaan dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

Wakil ATM juga ditempatkan bersama urusetia di peringkat pusat dan negeri bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) merancang pelaksanaan program imunisasi ini terutama koordinasi bantuan logistik di PSV dan PPV.

“Peranan ATM dari segi bantuan logistik adalah termasuk penstoran/penyimpanan, penghantaran dan juga pengagihan di samping kawalan keselamatan di setiap fasa pelaksanaan program.

“ATM juga telah merangka pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 peringkat ATM berdasarkan keutamaan yang diberikan kerajaan untuk warga ATM sebagai penerima vaksin berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata ini adalah berdasarkan ruang lingkup penugasan mereka yang berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

Beliau berkata pelaksanaan program ini dapat mengekalkan keupayaan serta kesiagaan ATM bagi memastikan kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara seterusnya mencapai objektif imuniti kelompok.

Sehubungan itu, melalui pelan tindakan dan pengurusan proses pengagihan serta penerimaan vaksin ini akan diselia secara berperingkat oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM.

“Pelan tindakan ini meliputi aspek strategi pemilihan kumpulan yang layak dengan mengambil kira tahap risiko kebolehjangkitan berdasarkan bidang penugasan serta kawasan berisiko di mana mereka ditempatkan.

“Selain itu, pelan tindakan ini juga termasuk koordinasi sumber manusia dan latihan anggota kesihatan ATM bagi memastikan proses pengurusan dan pemberian vaksin ini dapat dilaksanakan dengan efisien,” kata Affendi.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada anggota MALBATT terbabit dalam letupan di Lubnan – ATM

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Angkatan Tentera Malaysia mengesahkan tiada anggotanya yang bertugas di Lubnan terbabit dalam insiden letupan di Beirut pada petang Selasa.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan membabitkan 216 anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) yang menyertai Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan.

“Buat masa ini tiada anggota yang terbabit,” katanya ringkas selepas majlis perasmian penyerahan al-Quran wakaf dan pelancaran al-Quran corner di auditorium Hospital Angkatan Tentera Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata anggota dan misi pengaman ATM di Lubnan adalah di bawah arahan PBB dan setakat ini tiada arahan baharu dikeluarkan.

“Kami akan tunggu tanda arah daripada PBB, buat masa ini masih awal lagi tapi pihak ATM Malaysia sentiasa meneliti perkembangan terkini. Jika ada sesuatu yang mungkin boleh bahayakan misi, kita mungkin akan ambil tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Penugasan di Lubnan dilaksanakan pasukan pengaman MALBATT 850-7 yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama setahun sejak 1 Okt 2019.

Media antarabangsa hari ini melaporkan dua letupan besar menggegarkan Beirut, Lubnan pada Selasa, menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera.

Letupan berlaku di Pelabuhan Beirut lebih kurang 6.10 petang waktu tempatan, menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan banyak korban nyawa dan kerosakan.

Punca sebenar letupan masih belum diketahui, tetapi Menteri Dalam Negeri Mohammad Fahmi berkata ia mungkin disebabkan bahan kimia yang disimpan di gudang pelabuhan berkenaan meletup.

-BERNAMA