Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor bantu negeri lain, pinjamkan stok 500,000 vaksin kepada CITF

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Dalam sidang media secara maya hari ini, Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan pelalian ketika ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan antara negeri yang bakal menerima bekalan tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

“Kita setuju untuk menyalurkan vaksin ini kepada CITF yang akan diberi dalam bentuk pinjaman dan dipulang dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.

“Saya sudah berbincang dengan ketua pengarah kesihatan dan beliau minta sokongan gunakan dos Selangor untuk dibawa ke negeri lain,” katanya menambah vaksin juga akan dijual kepada syarikat swasta di negeri berkenaan.

Selain itu, Amirudin berkata Selangor bersedia menawarkan khidmat petugas kesihatan untuk membantu proses suntikan vaksin di beberapa negeri.

“Kita bersedia menawarkan petugas kesihatan Selgate dan Selcare untuk membantu proses pemberian vaksin di beberapa negeri lain…ia melibatkan sedikit kos, ini tawaran kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata vaksin yang dipulangkan akan digunakan untuk suntikan pelalian ketiga, dijangka pada awal atau pertengahan tahun depan.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin secara percuma bagi mempercepatkan vaksin terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.

Sebanyak dua juta dos vaksin turut disediakan kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta pekerja negeri ini termasuk warga asing.

Categories
AGENDA NASIONAL

CITF pertimbang PPV khusus untuk warga asing

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mempertimbangkan keperluan untuk mengkhususkan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) untuk warga asing mengikut bahasa agar proses vaksinasi dapat dilakukan dengan lancar.

CITF dalam kenyataan memaklumkan ia bagi membolehkan sumber-sumber diperlukan seperti penterjemah atau sukarelawan, dapat ditempatkan di situ sekali gus mengatasi masalah kesesakan di PPV yang berpunca daripada kehadiran dalam bilangan yang ramai kumpulan itu, menyebabkan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP).

“Kegagalan pekerja asing dalam mengisi borang dan memuat turun aplikasi MySejahtera menyebabkan proses tersebut mengambil masa yang lama.

“Setiap pekerja asing memerlukan lebih lima minit untuk mengisi borang dan menyebabkan kesesakan di kaunter pendaftaran. Terdapat jurubahasa yang membantu, tetapi proses tersebut masih memakan masa,” menurut kenyataan itu sebagai mengulas kesesakan yang berlaku di kebanyakan PPV di Lembah Klang semalam.

Kenyataan itu memaklumkan, kesesakan semalam juga terjadi apabila sebilangan besar daripada penerima vaksin hadir tidak mengikut waktu janji temu yang diberikan dengan datang pada waktu pagi sedangkan waktu janji temu adalah di sebelah petang.

Bagi mengelakkan masalah sama berulang, badan bertindak itu turut bekerjasama dengan pihak polis untuk menyekat perjalanan sebarang kenderaan seperti bas dari luar Lembah Klang yang membawa sama ada pekerja asing atau rakyat Malaysia secara beramai-ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin di Lembah Klang.

Pada masa sama CITF juga meminda tarikh janji temu bagi sesetengah penerima vaksin untuk mengurangkan jumlah kehadiran agar kesesakan daripada masalah komunikasi melibatkan warga asing itu dapat dielakkan.

“Hasil daripada tindakan CITF ini, kesesakan di PPV yang terlibat terutamanya di waktu petang, dapat dikurangkan hari ini dan perkara berkenaan akan terus dipantau bagi membolehkan tindakan bersesuaian diambil dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CITF: Petugas PPV beri suntikan kosong kena tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sedang menyiasat dakwaan mengenai beberapa individu disuntik dengan picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) Covid-19 di Kedah, Kuala Lumpur dan Selangor, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menerusi kenyataan hari ini, CITF berkata siasatan dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

Tegas CITF, petugas vaksinasi yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang, malah perkhidmatan petugas yang terlibat boleh ditamatkan.

“Mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan, setiap petugas vaksinasi perlu menunjukkan picagari yang berisi vaksin kepada penerima vaksin sebelum suntikan dilakukan.

Orang ramai juga disarankan untuk melihat picagari tersebut sebelum dan selepas proses vaksinasi bagi menambah keyakinan bahawa dos dan suntikan vaksin telah diberikan seperti yang sepatutnya,” menurut kenyataan itu.

Menurut CITF, kes di Kedah dilaporkan pada Sabtu lepas di PPV pandu lalu di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani yang dikhaskan untuk anggota ATM dan ahli keluarga.

Proses vaksinasi di PPV berkenaan dilaksanakan oleh petugas daripada Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) di kem itu.

“ATM telah membuat siasatan mengenai kejadian tersebut dan individu terlibat telah dipanggil untuk memberi penjelasan. Tindakan tatatertib telah diambil ke atas petugas vaksinasi tersebut,” katanya.

Selain itu, dua lagi dakwaan kes sama turut dilaporkan masing-masing di PPV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini pada Sabtu lepas dan PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) di Selangor semalam.

Menurut CITF, kes berkenaan dalam siasatan polis dan perkembangan mengenai perkara itu akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir setengah juta rakyat Selangor lengkap terima vaksin

SHAH ALAM, 12 JULAI: Hampir setengah juta dos kedua vaksin telah diberikan kepada warga Selangor setakat semalam.

Berdasarkan data Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) jumlah 497,708 itu adalah daripada 3,526,676 dos telah diberikan kepada rakyat di seluruh negara.

Perkongsian di Twitter itu juga menyatakan pemberian dos kedua di Selangor adalah 7.6 peratus daripada populasi negeri dengan 10.5 peratus adalah dalam kalangan dewasa.

Bagi pemberian dos pertama, CITF memaklumkan 1,497,345 dos atau 22.9 peratus telah diberikan daripada 7,840,034 untuk seluruh Malaysia dengan 31.5 peratus adalah orang dewasa.

Secara keseluruhan sebanyak 1,995,053 dos pertama dan kedua telah diberikan kepada warga Selangor setakat semalam.

Semalam dilaporkan negeri ini mencatat jumlah pemberian vaksin tertinggi iaitu 1.756 juta dos setakat 8 Julai lalu menerusi kerjasama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan vaksin Selangor (Selvax).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 4.21 juta rakyat telah menyertai program itu dalam tempoh berkenaan dan ia menepati 88.35 peratus sasaran warga dewasa yang layak mendaftar.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO gesa pusat vaksin skala kecil diwujudkan di Puchong

SERI KEMBANGAN, 25 JUN: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) diminta mewujudkan pusat pemberian vaksin (PPV) berskala kecil di Puchong bagi memudahkan penduduk mendapatkan suntikan pelalian.

EXCO kesihatan awam berkata ramai penduduk sekitar khususnya warga emas gagal menghadiri janji temu kerana kawasan ditetapkan jauh dari kediaman masing-masing.

“Kita terima laporan golongan tersebut yang mendapat tarikh suntikan tidak hadir susulan mereka perlu ke PPV mega seperti di Sunway Pyramid, Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam serta Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC).

“Justeru, kita mohon CITF adakan satu PPV kecil di Puchong bagi menampung kepadatan penduduk,” kata Dr Siti Mariah Mahmud selepas meninjau saringan Covid-19 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang di Stadium MBSJ Serdang Jaya dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Negeri Seri Serdang itu berkata pihaknya menawarkan insentif RM200 kepada individu positif yang berjaya melengkapkan tempoh kuarantin wajib selama 10 hari.

Menurutnya, ia sebagai galakan untuk kekal berada di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) selain meringankan beban kewangan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka hanya perlu mengemukakan surat tamat kuarantin kepada pejabat pusat khidmat dan potong gelang pink Covid-19 di klinik kesihatan,” katanya menambah kira-kira 300 individu telah mendapat manfaat sejak dilaksana awal PKP tahun lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Badan bertindak Covid-19 giat kesan warga emas belum daftar vaksin

SHAH ALAM, 15 JUN: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) giat mengesan warga emas di Selangor yang belum mendaftar suntikan vaksin.

Setakat ini Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat Selangor fasa kedua mencapai 88 peratus pendaftaran daripada jumlah keseluruhan warga emas berdaftar.

Menurut kenyataan bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin dan Pengerusi CITF Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, usaha itu turut melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU) serta mempunyai sejarah penyakit tanpa mengetepikan kepentingan warga lain.

“PICK juga tidak mengetepikan petugas sektor industri dan perkilangan memandangkan peningkatan kes serta kluster tempat kerja di Selangor yang turut berlaku di Negeri Sembilan dan Johor.

“Selain itu CITF peringkat persekutuan mengalu-alukan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Program Vaksinasi COVID-19 Negeri Selangor (SCVP) sebagai pelengkap kepada PICK,” katanya.

Kedua-dua pihak juga menyatakan komitmen untuk bersama-sama mempermudah dan menambah bilangan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini.

“Selain itu, mesyuarat turut bersetuju untuk memperkemas dan menambah tenaga kerja serta sukarelawan bagi memastikan kelancaran pengoperasian PPV.

“Usaha ini melibatkan kerjasama Selgate Healthcare Sdn Bhd dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd selain menambah unit PPV bergerak, bagi mempercepatkan imuniti kelompok,” katanya.

Terdahulu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi mempengerusikan Mesyuarat CITF Kebangsaan peringkat negeri bersama Dato’ Menteri Besar Selangor di Bangunan Annex di sini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

CITF akui silap, bekalan vaksin untuk Selangor bukan 2.9 juta

SHAH ALAM, 5 JUN: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengakui kesilapan mereka apabila menyebut Kerajaan Selangor menerima 2.9 juta bekalan vaksin.

Mengikut portal CodeBlue yang memetik kenyataan CITF kepada mereka pada hari ini, hanya 615,210 dos vaksin diberi kepada negeri berkenaan setakat 1 Jun.

“Statistik kepada CodeBlue sebelum ini termasuk jumlah stok dalam premis kerajaan yang masih tersimpan di gudang pengedar yang terletak di Selangor sebelum diedar ke seluruh negara,” menurut kenyataan sama.

Kenyataan berkenaan juga menyebut Selangor negeri tertinggi menerima vaksin iaitu 615,210 dos diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (578,130) serta Johor (370,680).

Laporan CodeBlue juga ada menyebut CITF kesal atas kesilapan data itu kepada portal berkenaan.

Khamis lalu, Dr Siti Mariah menjelaskan Selangor cuma menerima sekitar 615,000 bekalan dos vaksin setakat 1 Jun membabitkan 434,070 vaksin Pfizer BioNTech selain Sinovac (146,440) dan AstraZeneca (34,700).

Kenyataan tersebut bertujuan menyangkal laporan CodeBlue bertajuk ‘Selangor Received 2.9 Million Covid-19 Vaccine Doses: Mosti’.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB temu Khairy esok, bincang isu salah faham tempahan vaksin

SHAH ALAM, 29 MEI: Dato’ Menteri Besar dan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bertemu esok bagi  berbincang pelbagai isu termasuk salah faham berkaitan tempahan vaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Badan bertindak siasat dakwaan vaksin tidak cukup dos

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang menyiasat secara terperinci berhubung dakwaan kes pemberian vaksin AstraZeneca kurang daripada dos yang sepatutnya, iaitu kurang daripada 0.5 mililitet (mL).

CITF dalam satu kenyataan memaklumkan insiden berkenaan didakwa berlaku di Pusat Pemberian Vaksin AstraZeneca (PPV AZ) World Trade Centre Kuala Lumpur kelmarin.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua penerima vaksin yang terlibat dalam insiden itu telah dikenal pasti.

“CITF tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada mereka yang tidak memenuhi mutu yang kami tetapkan atau melanggar sebarang peraturan,” katanya.

CITF turut menegaskan, pihaknya sentiasa mementingkan mutu perkhidmatan semua pakar perubatan yang terlibat di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan , termasuklah pakar perubatan swasta yang diuruskan oleh ProtectHealth Corporation Sdn Bhd yang terlibat dengan program imunisasi itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Hanya janji temu, tiada pendaftaran terbuka dapat vaksin

PUTRAJAYA, 12 MEI: Pemberian vaksin secara pendaftaran terbuka (walk in) tidak dibenarkan di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara, kata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menunggu di mana-mana PPV termasuklah di PPV AstraZeneca (AZ) dengan harapan untuk mendapatkan vaksin yang tidak digunakan akibat ketidakhadiran penerima vaksin berjadual di pada hari yang ditetapkan.

CITF berkata ia telah membangunkan satu mekanisme untuk menghindari pembaziran vaksin tanpa menganggu perancangan logistik di PPV selain dapat mengelakkan kesesakan terutama ketika kes Covid-19 harian meningkat.

CITF dalam satu kenyataan semalam berkata secara amnya, semua PPV akan mempunyai senarai individu daripada pangkalan data yang akan mereka hubungi melalui pesanan ringkas atau telefon.

“Individu yang dihubungi akan ditanya sama ada mereka berminat untuk mendapatkan vaksin dan sama ada mereka dapat hadir ke PPV pada hari itu juga,” katanya.

CITF berkata bagi PPV AZ pula satu senarai menunggu, iaitu senarai nama mereka yang telah menempah slot menunggu sewaktu penempahan untuk suntikan vaksin AstraZeneca digunakan sebagai asas.

“Mereka yang dipilih di bawah senarai ini akan dimaklumkan melalui notifikasi di MySejahtera, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon.

“Oleh itu, CITF ingin menggesa orang ramai agar tidak hadir di PPV tanpa sebarang urusan dan temu janji serta tidak perlu untuk berlegar atau menunggu di PPV bagi mendapatkan vaksin tanpa janji temu,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial orang ramai bersesak di hadapan pintu pagar PPV Dewan Sri Guchil, Kuala Krai, di Kelantan yang berpunca daripada mereka yang sedang menunggu giliran bagi mendapatkan suntikan vaksin secara hadir terus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM bantu kawalan, logistik kendali vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi koordinasi bantuan kawalan pergerakan dan logistik pengurusan serta pengendalian vaksin Covid-19 yang bakal diterima esok.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata ATM akan iring kawal pergerakan vaksin berkenaan dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

Wakil ATM juga ditempatkan bersama urusetia di peringkat pusat dan negeri bagi membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) merancang pelaksanaan program imunisasi ini terutama koordinasi bantuan logistik di PSV dan PPV.

“Peranan ATM dari segi bantuan logistik adalah termasuk penstoran/penyimpanan, penghantaran dan juga pengagihan di samping kawalan keselamatan di setiap fasa pelaksanaan program.

“ATM juga telah merangka pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 peringkat ATM berdasarkan keutamaan yang diberikan kerajaan untuk warga ATM sebagai penerima vaksin berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata ini adalah berdasarkan ruang lingkup penugasan mereka yang berisiko dijangkiti wabak berkenaan.

Beliau berkata pelaksanaan program ini dapat mengekalkan keupayaan serta kesiagaan ATM bagi memastikan kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara seterusnya mencapai objektif imuniti kelompok.

Sehubungan itu, melalui pelan tindakan dan pengurusan proses pengagihan serta penerimaan vaksin ini akan diselia secara berperingkat oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan ATM.

“Pelan tindakan ini meliputi aspek strategi pemilihan kumpulan yang layak dengan mengambil kira tahap risiko kebolehjangkitan berdasarkan bidang penugasan serta kawasan berisiko di mana mereka ditempatkan.

“Selain itu, pelan tindakan ini juga termasuk koordinasi sumber manusia dan latihan anggota kesihatan ATM bagi memastikan proses pengurusan dan pemberian vaksin ini dapat dilaksanakan dengan efisien,” kata Affendi.

– BERNAMA