Categories
AGENDA GLOBAL

Letupan di Beirut: Pasukan MALLBATT sedia beri bantuan kemanusiaan

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Pasukan pengaman Batalion Malaysia (MALLBATT) 850-7 di Lubnan bersedia memberi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) jika komitmen itu diperlukan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), susulan insiden letupan di Beirut pada petang Selasa, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata pasukan berkenaan yang menyertai misi UNIFIL di Selatan Lubnan sejak Oktober tahun lepas, ketika ini masih meneruskan rutin operasi di bawah Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Pasukan MALLBATT 850-7 sentiasa komited dan bersiap-siaga terhadap pelaksanaan tugas serta tanggungjawab dalam membantu memelihara keamanan di negara tersebut.

Kesemua anggota juga berada dalam keadaan selamat, bersemangat tinggi dan tidak terlibat dalam insiden yang berlaku di negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Affendi berkata ATM sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan bersiap sedia dalam apa jua kemungkinan yang memerlukan tindakan lanjut dilaksanakan oleh pasukan MALBATT itu.

Beliau berkata ATM juga menzahirkan ucapan takziah kepada rakyat Lubnan yang terkesan dengan insiden berkenaan.

Media antarabangsa melaporkan dua letupan besar menggegarkan Beirut, Lubnan pada Selasa, menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera.

Letupan berlaku di Pelabuhan Beirut lebih kurang 6.10 petang waktu tempatan, menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan banyak kerosakan.

Punca sebenar letupan masih belum diketahui, tetapi Menteri Dalam Negeri Mohammad Fahmi berkata ia mungkin disebabkan bahan kimia yang disimpan di gudang pelabuhan berkenaan meletup.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada anggota MALBATT terbabit dalam letupan di Lubnan – ATM

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Angkatan Tentera Malaysia mengesahkan tiada anggotanya yang bertugas di Lubnan terbabit dalam insiden letupan di Beirut pada petang Selasa.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan membabitkan 216 anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (MALBATT 850-7) yang menyertai Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) di Lubnan.

“Buat masa ini tiada anggota yang terbabit,” katanya ringkas selepas majlis perasmian penyerahan al-Quran wakaf dan pelancaran al-Quran corner di auditorium Hospital Angkatan Tentera Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata anggota dan misi pengaman ATM di Lubnan adalah di bawah arahan PBB dan setakat ini tiada arahan baharu dikeluarkan.

“Kami akan tunggu tanda arah daripada PBB, buat masa ini masih awal lagi tapi pihak ATM Malaysia sentiasa meneliti perkembangan terkini. Jika ada sesuatu yang mungkin boleh bahayakan misi, kita mungkin akan ambil tindakan selanjutnya,” kata beliau.

Penugasan di Lubnan dilaksanakan pasukan pengaman MALBATT 850-7 yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNIFIL) selama setahun sejak 1 Okt 2019.

Media antarabangsa hari ini melaporkan dua letupan besar menggegarkan Beirut, Lubnan pada Selasa, menyebabkan sekurang-kurangnya 73 orang terbunuh dan 3,000 yang lain cedera.

Letupan berlaku di Pelabuhan Beirut lebih kurang 6.10 petang waktu tempatan, menggegarkan hampir kesemua bangunan di seluruh bandar selain menyebabkan banyak korban nyawa dan kerosakan.

Punca sebenar letupan masih belum diketahui, tetapi Menteri Dalam Negeri Mohammad Fahmi berkata ia mungkin disebabkan bahan kimia yang disimpan di gudang pelabuhan berkenaan meletup.

-BERNAMA