Categories
ADN SELANGOR

Hasrat jadikan nurseri Pusat Kusta tarikan pelancong

SHAH ALAM – Ahli Dewan Negeri Paya Jaras berhasrat menjadikan nurseri di tapak bekas Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN), Sungai Buloh sebagai destinasi tumpuan pelancong.

Mohd Khairuddin Othman bercadang menjalin kerjasama dengan pihak berkaitan di lokasi berkenaan yang ingin diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, agensi pendidikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Saya akan cadangkan kerjasama ini dengan EXCO pelancongan dan pertanian. Bagaimanapun, buat masa ini idea lanjut belum ada kerana kita perlu membuat perancangan sebaik mungkin.

“Kita akan menaik taraf logistik termasuk landskap di kawasan nurseri (di PKKN) dan mengisi kawasan terbabit dengan acara bunga tahunan,” katanya yang juga EXCO pembangunan generasi muda, sukan dan pembangunan modal insan negeri.

Sungai Buloh selama ini dikenali sebagai pusat pengagihan tanaman hiasan dan juga dipenuhi dengan tapak-tapak nurseri yang menjual pelbagai jenis bunga dan anak pokok.

Categories
BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Roboh rumah haram Paya Jaras demi atasi banjir

SHAH ALAM, 19 SEPT: Perobohan 82 struktur kediaman haram di atas tanah rizab di pinggir Sungai Kedondong, dekat sini, semalam dijalankan bagi mengatasi masalah banjir di empat kampung di Paya Jaras.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras menjelaskan tindakan itu bertujuan menjayakan projek rancangan tebatan banjir yang tertangguh sejak kira-kira empat tahun lalu.

Mohd Khairuddin Othman berkata, masalah banjir terpaksa terus diharungi penduduk Kampung Paya Jaras Hilir, Paya Jaras Dalam, Paya Jaras Tengah dan Paya Jaras Hulu akibat kelewatan projek tersebut.

“Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong ini membabitkan kos RM5.93 juta dirancang sejak 2008. Ia bermula pada 2 Disember 2015 dan sepatutnya disiapkan pada 31 Mei 2017.

“Bagaimanapun, sehingga kini ia diberi dua kali lanjutan masa (EOT) iaitu dari 1 Julai 2017 hingga 25 Julai 2018 dan EOT kedua bermula 26 Julai 2018 hingga 18 September lalu.

“Lanjutan ini disebabkan keengganan penduduk yang mendiami struktur kediaman secara haram terbabit untuk berpindah,” katanya kepada SelangorKini.

Rumah di pinggir Sungai Kedondong, Paya Jaras dirobohkan dalam operasi pihak berkuasa Selangor pada 18 September. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Susulan itu, Selangor menanggung kerugian kira-kira RM2,125.02 sehari. Manakala kerugian lain sekitar RM715,574.20 yang membabitkan bahan binaan seperti geotekstil, selimut kawalan hakisan dan sistem tembok mekanikal penstabil bumi yang telah lama berada di tapak menjadi rosak kerana terbiar serta tidak digunakan.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata, kelewatan projek itu dimuatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 dan dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember tahun lalu.

“Tindakan meroboh ini adalah mematuhi semua prosedur dan undang-undang ditetapkan,” katanya, dengan menambah Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif dengan menawarkan Rumah Selangorku kepada penduduk terbabit.

 

Berikut kronologi berhubung isu itu yang kini menarik lebih perhatian susulan perobohan tersebut:

Awal 1980-an: Masyarakat pendatang asing mula mendiami pinggir Sungai Kedondong. Selepas tahun 2000, jumlah itu bertambah dengan lebih ketara sehingga, pada masa ini, terdapat 82 rumah.

2008: Kerajaan Negeri memulakan kajian dan perancangan bagi mengatasi isu banjir di Paya Jaras.

2 Disember 2015: Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong membabitkan komponen utama sepanjang 1.15 kilometer bernilai RM5.93 juta dimulakan. Ia dijadualkan siap pada 31 Mei 2017.

12 Mei 2016: Penyerahan notis bagi bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara bagi kesalahan menduduki tanah Kerajaan tanpa kebenaran sah.

20 Julai 2016: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan penangguhan penguatkuasaan bagi mencari penyelesaian berhubung keengganan pemilik berpindah.

21 Julai 2016: Bancian semula jumlah struktur binaan di situ dijalankan oleh Unit Penguatkuasa PDT Petaling.

Kediaman penduduk di kawasan rizab Sungai Kedondong, Paya Jaras yang dibina secara tidak sah. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

22 Februari 2017: Taklimat isu penempatan di Sungai Kedondong dan Sungai Pelempas untuk mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dipengerusikan YB Haji Zaidy Abdul Talib di Pejabat YB Dato’ Iskandar Abdul Samad di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).

1 Julai 2017: EOT pertama diperolehi, bermula 1 Julai 2017 hingga 25 Julai 2018.

26 Julai 2018: EOT kedua diperolehi, dari 26 Julai 2018 hingga 18 September 2019.

3 Disember 2018: Jabatan Audit Negara membentangkan laporannya di Parlimen berhubung kelewatan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong.

5 Ogos 2019: Hasil libat urus Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, ADN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman dan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor, yang dimulai 3 Ogos, seramai 82 pemilik struktur haram itu ditawarkan pembelian Rumah Selangorku.

5 Ogos 2019: PDT Petaling telah menyampaikan notis bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kepada semua penduduk yang terlibat.

4 September 2019: Sekumpulan penduduk terbabit mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan pentadbiran kerajaan negeri (SSAAS) di Shah Alam.

17 September 2019: Unit Penguatkuasa PDT Petaling telah turun membuat bancian struktur di plot C dan D.

18 September 2019: Kerja merobohkan struktur kediaman haram atas plot C dan D di pinggir Sungai Kedondong dijalankan. Ada sebahagian struktur tidak dirobohkan kerana anak mereka sedang mengambil peperiksaan UPKK dan PT3.

Operasi penguatkuasaan ini dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah kerajaan.

Categories
SELANGOR

Kejohanan Bola Sepak Piala Adun Paya Jaras edisi ke-10 kembali

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 5 FEB: Program untuk generasi muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras terus dirancakkan dengan pengisian pelbagai aktiviti yang mampu menarik minat golongan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, antara aktiviti terbabit adalah Kejohanan Liga Bola Sepak Piala Adun Paya Jaras 2019 yang akan membuka tirainya pada 9 Mac 2019.

“Kejohanan bola sepak di DUN Paya Jaras yang memasuki edisi ke-10 ini dimulakan sejak saya masih lagi sebagai Penyelaras DUN dengan format agak berbeza dengan mengikut zon, namun selepas saya menyandang kerusi ADN pada 2013, beberapa penambahbaikan dilakukan termasuk menjenamakan semula kejohanan ini kepada Piala Adun Paya Jaras.

“Antara objektif utama kejohanan ini supaya golongan muda di Paya Jaras merasa diri mereka didekati, tidak dipinggirkan dan dapat mengisi masa mereka dengan aktiviti berfaedah dan sihat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga merupakan EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan itu berkata, kejohanan ini juga menjadi landasan kepada anak muda di Paya Jaras mengembangkan bakat mereka dalam sukan bola sepak.

Sementara itu, sebanyak 32 buah pasukan akan bertarung pada Kejohanan Liga Bola Sepak Piala Adun Paya Jaras kali ini.

Pendaftaran penyertaaan bagi pasukan berminat masih lagi dibuka sehingga 16 Febuari 2019, manakala undian dan mesyuarat pengurus pasukan akan diadakan pada jam 5.00 petang, 3 Mac 2019.

Categories
SELANGOR

Kumpulan belia jalani latihan intensif sebelum tawan Gunung Kinabalu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BATU CAVES, 31 DIS: Seiring dengan matlamat mendekati dan membudayakan anak muda, seramai 15 belia dan beliawanis Paya Jaras bakal dibawa menawan puncak Kinabalu yang dijangka, pada Februari tahun hadapan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, demi melaksanakan misi mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara itu, beliau bersama kumpulan belia sedang giat menjalani latihan intensif bagi memastikan stamina dan kecergasan berada pada tahap terbaik.

“Sekarang kita sedang menjalani proses latihan bersama peserta yang akan turut serta menjayakan ekspedisi ini dan lokasi yang dipilih itu juga sudah ditempah sejak enam bulan lalu.

“Ini termasuk mempelajari kemahiran pendakian selamat dengan mendaki beberapa lokasi seperti Gunung Angsi, Gunung Kutu, Gunung Datuk dan terbaharu Gunung Ledang, pada Khamis lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Festival Belia Ekstrem Antarabangsa Selangor 2018 (#SIYEF2018), di Taman Ekstrem Gua Damai, di sini, semalam.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin yang juga EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan berkata, aktiviti pendakian seumpama itu sememangnya memberi ketenangan sambil berpeluang menikmati keindahan khazanah alam semula jadi.

“Ia juga memberi kesan positif kepada kekuatan fizikal dan mental kita yang mana akhirnya melahirkan modal insan berjiwa kental dan cekal.

“Tambahan pula, saya yakin bahawa aktiviti sukan yang lebih ekstrem seperti ‘hiking’ ini semakin mendapat sambutan menggalakkan khasnya belia dan beliawanis.

Categories
SELANGOR

Khairuddin gigih tingkat taraf hidup masyarakat Paya Jaras

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 11 SEPT: Usaha meningkatkan taraf hidup rakyat Paya Jaras diperhebatkan lagi dengan pelbagai program khasnya melibatkan golongan berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, antaranya menambahbaik tapak-tapak penjaja sekitar Paya Jaras bagi memastikan lebih ramai belia berpeluang berniaga bagi menambah pendapatan keluarga.

“Banyak usaha telah dan sedang dijalankan untuk kepentingan masyarakat setempat seperti saya sebut semasa kempen pilihan raya lalu, antaranya kita sedang menyiapkan kiosk peniaga kecil di Bandar Baru Sungai Buloh.

“Kita juga bertemu dengan Dato’ Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) bagi melaksanakan pasar bertingkat menggantikan tapak pasar malam,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, beliau juga sering mengadakan program dialog dengan komuniti peniaga dan pelbagai bengkel anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) untuk mereka yang berminat memulakan perusahaan secara kecil-kecilan.

Terdahulu, Paya Jaras turut diiktiraf sebagai Hub Floris Sungai Buloh ekoran pertumbuhan pesat industri itu di beberapa lokasi strategik yang mampu menarik minat orang ramai daripada serata Selangor untuk ke Sungai Buloh.

Pengiktirafan itu bukan sahaja membantu mempromosi Sungai Buloh sebagai Hub Floris, malah turut menjana ekonomi masyarakat peniaga di sini khasnya mereka yang terlibat dalam perniagaan makanan.

Selain bidang perniagaan, Mohd Khairuddin turut menekankan aspek pendidikan di mana usaha mendapatkan bangunan baru Sekolah Rendah Agama Merbau Sempak giat dijalankan bagi menggantikan bangunan lama yang uzur.

“Kita telah buat permohonan dapatkan bajet ini dalam Belanjawan 2019 nanti,” katanya lagi.

Katanya, beliau turut mementingkan aspek kehidupan lebih selesa bagi masyarakat Paya Jaras dengan memastikan projek rumah mampu milik Rumah SelangorKu dijalankan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Mohd Khairuddin menganggap usaha merealisasikan projek Rumah SelangorKu di Paya Jaras merupakan antara fokus terpenting beliau dalam memastikan masyarakat di DUN itu memiliki kediaman sendiri.

Categories
SELANGOR

Piala Adun Paya Jaras Edisi Ke-8 semakin dapat sambutan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 11 SEPT: Pertandingan Bola Sepak Piala Adun Paya Jaras Edisi Ke-8 yang berakhir Ahad lalu mendapat perhatian hebat dalam kalangan belia di Paya Jaras.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, lebih menarik lagi apabila penganjuran kali ini disertai 28 buah pasukan daripada pelbagai kaum di Paya Jaras.

“Kita sangat bertuah kerana kita ada kemudahan stadium bagi melangsungkan perlawanan dan stadium ini juga menjadi tempat integrasi belia pelbagai kaum.

“Pada tahun ini, sambutan semakin hangat di mana kita mendapat penyertaan pelbagai bangsa dan etnik,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, kejohanan yang diperkenalkan sejak 2011 itu menawarkan hadiah wang tunai RM3,000 dan Piala Pusingan untuk pemenang tempat pertama.

Katanya lagi, selain pertandingan bola sepak, pihaknya juga akan memperbanyakkan program khusus untul golongan beliawanis.

Sementara itu, pasukan Belarau FC muncul juara apabila berjaya menewaskan pasukan D Damai FC dengan jaringan 2-0.

Hadiah-hadiah disampaikan Mohd Khairuddin sebaik tamat perlawanan akhir.

Categories
SELANGOR

Guru juga berperanan tegur wakil rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 4 JUL: Peranan guru-guru bukan sahaja mendidik pelajar di sekolah semata-mata tetapi turut memainkan peranan penting dalam masyarakat termasuk memberi teguran kepada wakil rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, hal ini kerana guru merupakan golongan dihormati dalam masyarakat termasuk wakil rakyat sendiri.

“Wakil rakyat berperanan membawa semua isu rakyat kepada kerajaan dan guru pula mempunyai peranan dalam mendidik masyarakat termasuk menegur segala kelemahan wakil rakyat,” katanya ketika menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Sekolah Menengah Agama Paya Jaras di sini, hari ini.

Ketika menyentuh isu pembangunan sekolah agama, Mohd Khairuddin yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor menggesa supaya Kerajaan Negeri terus memberi tumpuan memperkasakan sekolah agama di negeri itu.

Katanya, walaupun sebelum ini banyak usaha dijalankan Kerajaan Negeri tetapi masih terdapat sekolah agama yang masih ketinggalan dalam pelbagai aspek khususnya membabitkan pembangunan prasarana.

Categories
SELANGOR

Sekolah baru untuk anak-anak Paya Jaras

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman optimis merealisasikan hasrat penduduk memiliki sebuah sekolah baru di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Komitmen itu dinyatakan sebagai asas agenda utama kejayaan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), di Putrajaya.

Untuk itu beliau memaklumkan, keperluan menyiapkan sekolah itu akan diusulkan ke Peringkat Persekutuan, dalam tempoh terdekat.

“Agenda pertama Putrajaya (meliputi) aspek pendidikan. Kita akan usulkan kepada Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pembangunan Persekutuan (ICU) untuk menyiapkan segera Sekolah Kebangsaan di Saujana Utama,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook rasminya, semalam.

Dilaporkan, kepadatan jumlah pelajar di DUN itu tidak lagi mampu menampung kepadatan penambahan pelajar-pelajarnya.

Komitmen wakil rakyat itu, bagaimanapun mendapat maklum balas positif daripada pengguna media sosial.

Rata-rata, mereka menyambut baik usaha itu demi kelangsungan pendidikan anak-anak di Paya Jaras.

“Sokong YB (Yang Berhormat). Kami tak sabar atas segala pembaharuan dan perubahan itu agar membawa kepada yang lebih cemerlang,” tulis Zyreen Yusof.

“Tahniah. Moga dipermudahan segala urusan,” kata Mohd Rafiz.

Categories
SELANGOR

Khairuddin: Rakyat Paya Jaras restui penghijrahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 11 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman menyifatkan kejayaan beliau mempertahankan kerusi itu kerana pengundi merestui langkah beliau berhijrah ke parti KEADILAN.

Mohd Khairuddin berkata, beliau bukan sahaja berjaya mempertahankan kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, malahan berjaya meningkatkan majoriti pada PRU14 kali ini.

“Ini menunjukkan rakyat tak kisah saya bertanding atas tiket parti apa tetapi apa yang penting saya mampu berkhidmat kepada masyarakat di sini,” katanya.

Jelasnya, selain itu, kekuatan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai pemimpin yang peduli rakyat turut membantu beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zein Isma Ismail dan calon PAS, Hanafi Zulkapli.

Beliau turut menyifatkan langkah Mohamed Azmin memperkukuh dan memperluaskan program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sebagai garis panduan kerja ADN untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Apabila IPR diturunkan kepada ADN, mereka perlu buat program untuk pastikan kumpulan sasaran terima inisiatif sekali gus menunjukkan hala tuju kepada setiap ADN di Selangor,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohd Khairuddin diumumkan menang di kerusi Paya Jaras dengan majoriti 12,072 undi berbanding 5,522 pada PRU-13.

Categories
SELANGOR

Kemeriahan perlawanan akhir Piala ADN Paya Jaras bagai Liga M

OLEH NAZLI IBRAHIM

PAYA JARAS, 16 JAN: Perlawanan Akhir Piala ADN Paya Jaras membabitkan pasukan Rastana FC menentang SGB FC di Stadium Mini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini, mendapat sambutan luar biasa.

Kira-kira 1,000 penyokong kedua-dua pasukan hadir menyemarakkan lagi suasana dengan sorakan padu selain paluan gendang menghangatkan pelawanan akhir edisi ke lapan itu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, sambutan menggalakkan ini jelas membuktikan minat tinggi di kalangan belia di Paya Jaras dalam sukan bola sepak.

“Walaupun stadium kita tidak sebesar stadium Liga Malaysia tetapi saya lihat malam ini dah macam Liga Malaysia, sungguh hangat sekali dengan sokongan padu penyokong.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua pihak terutama kedua-dua pasukan yang berentap dalam perlawanan akhir tadi,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, selain menjadi mercu tanda baru di Paya Jaras, pembinaan Stadium Mini MBSA itu juga boleh dianggap mampu memberi suntikan sokongan moral kepada belia untuk terlibat dalam sukan bola sepak di Paya Jaras.

Katanya, beliau berharap supaya pasukan yang bertanding di peringkat lebih tinggi tidak melepaskan peluang untuk mengintai bakat-bakat muda yang beraksi dalam pertandingan ini untuk diketengahkan.

Katanya lagi, kejohanan Piala Adun Paya Jaras siri ke-9 akan bermula pada bulan Febuari nanti dengan menjangkakan penyertaan lebih banyak pasukan berbanding 30 pasukan pada kali ini.

Sementara itu, perlawanan akhir Piala Adun Paya Jaras dimenangi pasukan Rastana FC dengan jaringan 3-1 mengatasi pasukan SGB FC.

Juara pertandingan membawa hadiah wang tunai RM3,000 beserta piala iringan dan pingat manakala naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 bersama piala iringan dan pingat

Manakala di tempat ketiga telah dimenangi pasukan Belia DUN F3 selepas menewaskan D’Damai FC di tempat keempat dengan jaringan empat gol tidak berbalas.

Categories
SELANGOR

Kecanggihan Stadium Mini Paya Jaras jadi bualan

OLEH NAZLI IBRAHIM

PAYA JARAS, 15 JAN: Walaupun hanya stadium mini bernilai RM7 juta, namun Stadium Mini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Kampung Paya Jaras mula menjadi buah mulut penduduk Kampung Paya Jaras dan kampung sekitarnya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, ia berikutan kelengkapan stadium mini yang siap kira-kira dua minggu lalu itu memiliki piawaian stadium bagi perlawanan Liga Malaysia dengan sistem canggih dan terkini.

“Piala ADN Paya Jaras melangsungkan perlawanan akhir malam tadi di stadium yang baru disiapkan dan apa yang membanggakan, mutu dan piawaian stadium ini sangat baik seperti yang terdapat di stadium pertandingan Liga Malaysia.

“Hari ini bila saya turun ke kawasan semua orang bercakap tentang stadium ini. Saya ucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada Dato’ Menteri Besar kerana menyokong stadium ini, dan Dato’ Bandar serta mantan Dato’ Bandar MBSA yang banyak membantu kita di Paya Jaras,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya, selain mempunyai 500 tempat duduk berbumbung (grand stand) stadium mini itu turut dilengkapi sistem pengumpulan air hujan dengan tangki bawah tanah dan sistem solar di atas bumbung serta ruang bateri penyimpanan tenaga solar.

“Sistem pengumpulan air ini dibuat bagi mengelakkan air bertakung yang boleh merosakkan padang dan menggangu rentak permainan sama seperti yang ada di kebanyakkan padang pasukan Liga Malaysia,” katanya lagi.

Stadium itu juga dilengkapi lampu limpah bagi membolehkan perlawanan di sebelah malam diadakan, sistem 12 CCTV bagi tujuan keselamatan, bilik pengawasan, papan skor dilengkapi jam elektronik, bilik persalinan, podium VIP, petak pengawal, bilik rawatan, pejabat pengurusan dan stor.

Selain itu, stadium itu juga memiliki taman permainan kanak-kanak, lot parkir motorsikal berbumbung dan berkunci serta kawasan parkir kereta berpagar tinggi mengelilingi hampir 80 peratus padang .

“Saya tak menolak jika ada pasukan luar, misalnya pasukan beraksi dalam Liga Malaysia mahu menggunakan padang ini untuk latihan atau perlawanan boleh mohon tetapi fokus saya adalah untuk pembangunan bola sepak untuk belia di sini,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Stadium Mini Paya Jaras siap 2017

OLEH: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 APR: Warga Sungai Buloh bakal beroleh Stadium Mini Paya Jaras bernilai RM7 juta yang dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun hadapan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman, berkata ia menyediakan padang bola beserta ‘grand stand’ dengan kapasiti 400 tempat duduk.

Katanya, stadium itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan asas sukan lain.

khairuddin othman“Diharapkan selepas ini, anak muda kita khususnya belia Paya Jaras dapat mempamerkan kebolehan sebenar permainan bola sepak.

“Kalau sekarang ini, padang kurang baik banyak menjejaskan mutu permainan belia kita,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada 15 April lalu, Khairuddin bersama Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Harri Mohd Hassan melakukan lawatan ke tapak projek yang terletak di Paya Jaras Hilir.

Khairuddin berkata, projek itu merupakan projek menaik taraf padang sedia ada di situ yang kurang ‘selesa’.

“Kerja menaik taraf dijangka bermula pada tahun ini dan siap pada awal tahun hadapan.

“Saya harap ia dapat disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan seterusnya memberi manfaat kepada belia di sini,” katanya.

-nR-