Categories
SELANGOR

ADUN Permatang minta kebenaran permohonan TOL, Penyelaras DUN sudah rujuk PTG

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 NOV: Kerajaan Negeri diminta memberi semula kebenaran untuk permohonan lesen pendudukan sementara (TOL) memandangkan terdapat kebimbangan rakyat berhubung status tanah yang mereka duduki.

ADUN Permatang, Sulaiman Abdul Razak berkata, terdapat beberapa kampung yang masih lagi buntu berkenaan status tanah mereka selepas Kerajaan Negeri membuat polisi baru supaya permohonan TOL dibekukan.

permatang“Banyak tanah TOL yang masih tidak dapat pemilikan sebab kebanyakan mereka tinggal di kawasan yang dahulunya diberikan TOL tetapi bila di bawah Pakatan Rakyat (PR), TOL tidak boleh diperbaharui maka timbul kebimbangan di antara mereka yang tidak tahu ke mana mahu pergi,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, antara kampung yang berhadapan masalah TOL adalah Kampung Permatang, Kampung Sungai Yu, Kampung Raja Musa dan Kampung Baru Pasir Penambang.

Mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2013 berkata, Kerajaan Negeri tidak mengeluarkan TOL sehingga kegunaan tanah itu dimanfaat sepenuhnya bakal pemilik.

Hal itu kerana pemberian TOL tanpa perancangan yang betul akan menyukarkan Kerajaan Negeri menggunakan tanah itu bagi kegunaan lain seperti pelebaran jalan dan pembinaan parit.

yahya-shari-01Mengulas berkenaan masalah iitu, Penyelaras DUN Permatang, Yahya Sahri berkata, beliau sendiri sudah merujuk kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan mendapati terdapat keputusan baru yang diputuskan pentadbiran lalu, namun arahan masih belum dikeluarkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah.

“Saya sendiri sudah rujuk kepada pihak PTG memang ada keputusan Exco tetapi arahan daripada PTG belum sampai kepada Pejabat Daerah.

“Maknanya, setakat ini belum ada keputusan pemberian TOL,” katanya.

Beliau berharap pentadbiran Kerajaan Negeri yang baru di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dapat memberikan kebenarkan permohonan TOL bagi memudahkan penduduk dan pengusaha pertanian di kawasan kampung.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

15 tahun hidup tanpa bekalan air, selesai dalam masa 24 jam

IMG_0433SHAH ALAM, 2 SEPT: Selepas 15 tahun menggunakan tadahan air hujan, Aso Subramaniam, 33, kini boleh menarik nafas lega selepas campurtangan wakil rakyat Pakatan Rakyat menyelesaikan masalah yang sekian lama membelit keluarganya.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati S Manikavasagam dalam masa 24 jam berjaya mendapatkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyalurkan bekalan air bersih ke rumah Aso, yang sekadar dijanjikan oleh wakil rakyat dari parti-parti lain lebih 15 tahun lamanya.

“Terima kasih kepada Manikavasagam kerana dengan usaha beliau, selepas ini hidup saya dan sekeluarga akan menjadi lebih sempurna, tak perlu lagi tadah air hujan,” kata Aso.

Sebelum ini TV Selangor melaporkan Osa yang menetap di Kampung Baru Pasir Penampang masih tidak mendapat keperluan asas yang sempurna walaupun selepas 56 tahun negara merdeka.

Osa juga dikatakan pernah beberapa kali memohon bantuan daripada Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Karang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang.

Osa mendakwa beliau dijanjikan bekalan air dan elektrik sekiranya mengundi parti tertentu namun janji tinggal janji sehinggalah campurtangan pemimpin Parti Keadilan Rakyat itu.

Sementara itu, Manikavasagam berkata pemasangan oleh pihak kontraktor Syabas turut melibatkan kos kira-kira hampir RM1,000 yang akan ditanggung Manikavasagam sendiri.

Selain bekalan air, Manikavasagam juga akan memajukan permohonan agar rumah yang didiami Aso bersama isteri dan lima anak itu mendapat bekalan elektrik secepat mungkin.

Selain itu Manikavasagam turut membantu Osa memiliki tanah tapak rumah Osa yang masih berstatus Lesen Menduduki Sementara (TOL) melalui Skim Pemberian Geran yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Selangor.

“Syarat skim ini hendaklah sudah lebih 10 tahun mendiami di tanah yang dimohon, maknanya Osa memang layak sebab dia dah mendiami lebih 15 tahun,” jelas beliau.

– HM