Categories
SELANGOR

Kacau Dodol Vaganza Semenyih pupuk kerjasama, kekal tradisi

OLEH HAFIZAN TAIB

SEMENYIH, 10 JUN: Program Kacau Dodol Vaganza Semenyih 2018, malam tadi, berjaya memupuk semangat kerjasama antara masyarakat setempat khususnya anak muda berbilang kaum dalam menjayakannya.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, program kali kedua itu juga berjaya menghidupkan kembali tradisi memasak dodol secara gotong royong yang diamalkan masyarakat pada masa lalu.

“Ia satu bentuk kerjasama menarik dan tahniah kita ucapkan kepada penganjur atas kejayaan ini serta mengumpulkan peserta untuk menghidupkan kembali budaya mengacau dodol beramai-ramai.

“Menariknya ia membabitkan masyarakat berbilang kaum dan disediakan satu kawah khusus untuk masyarakat bukan Melayu.

“Kita berharap akan dijalankan lebih banyak program seperti ini yang menggambarkan Selangor sebagai negeri berkebajikan menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.

Bertempat di Tapak Expo Mega Raya Setia Ecohill Taipan di sini, program anjuran Kelab Aktif Prihatin Selangor (PRIHATIN) itu turut mendapat kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Hulu Langat, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Semenyih, Persatuan Penduduk Taman Pelangi Semenyih.

Pengerusinya, Muhammad Hanafi Jalalludin berkata, pihaknya berjaya mengedarkan dodol sebanyak kira-kira 700 bekas kepada peserta dan pengunjung secara percuma di tapak expo berkenaan.

“Kita berbangga kepada ia melebihi jumlah disasarkan kerana kejayaan mengumpulkan ramai peserta hingga lebih kurang 300 anak muda untuk menyertai program kali ini.

“Berikutan itu, kita berjaya mengacau dan menyiapkan dodol sebanyak 16 kawah berbanding sasaran awal 10 kawah seperti tahun lalu,” katanya.

Program bermula kira-kira jam 2 petang dan berakhir lebih kurang 12 tengah malam tadi dengan semua peserta berpadu tenaga mengacau dan menyiapkan dodol secara tradisi untuk diedarkan kepada orang ramai yang mengunjungi tapak expo.

Berikutan kejayaan itu, PRIHATIN merancang menjadikannya sebagai acara tahunan dalam memeriahkan suasana menyambut Aidilfitri di kawasan ini.

“Kita harap dapat melaksanakan program ini pada tahun depan dan menjadikannya acara tahunan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pakatan pertikai cadangan naikkan tarif elektrik

tnb 2SHAH ALAM 26 SEPT: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak kerajaan Pusat memberi penjelasan mengenai cadangan kenaikan tarif elektrik yang dijangka dibuat tahun depan.

Desakan itu dibuat melalui kenyataan media bersama Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat.

Mereka berkata, perjanjian antara TNB dan Independent Power Producers (IPP) perlu disemak semula kerana caj yang dikenakan IPP kepada TNB keterlaluan.

“Ia kerana IPP mendapat subsidi Liquefied Natural Gas (LNG) daripada Petronas yang membolehkannya mendapat margin keuntungan besar dengan struktur kos rendah,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Azman Mohd mencadangkan kerajaan meningkatkan tarif elektrik kepada pengguna tempatan melebihi 200 kwh.

Mereka juga menuntut penjelasan kerajaan berkaitan LNG menjual petrol pada harga lebih murah sementara rakyat perlu berdepan dengan kenaikan harga bahan bakar itu.

Sejak 1997, kata mereka, kerajaan menetapkan harga gas dijual kepada IPP mengikut harga pasaran LNG RM49.12 per-juta BTU pada 2012 tetapi dijual RM10.70 kepada IPP.

Mereka juga kesal kerana IPP mendapat diskaun 80 peratus berbanding harga pasaran LNG hingga mengakibatkan kerajaan mengalami kehilangan pendapatan negara yang tinggi.

– FZL