Categories
NASIONAL

AMK Desak PR Pecat Anggota Ingkar Arahan Parti

Shamsul Iskandar Kongres

PETALING JAYA, 25 MEI: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam ucapan dasarnya dalam Kongres AMK hari ini mendesak agar semua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) memecat mana-mana kepimpinan dan ahli parti yang ingkar arahan parti masing-masing.

“AMK mendesak semua parti komponen PR, baik PKR, DAP mahupun PAS memecatĀ  mana-mana pimpinan atau ahli yang gagal akur arahan parti dan tidak dibenarkan kembali semula ke dalam mana-mana parti komponen PR,” kata beliau.

Menurut Shamsul lagi, pendekatan memecat ahli yang ingkar ini harus diambil bagi memperkukuhkan ukhuwah PR sebagai sebuah entiti yang diyakini rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, beberapa ahli dan pemimpin parti komponen PR bertindak mengemukakan borang pencalonan masing-masing hingga menyebabkan berlaku pertembungan sesama sendiri.

Tindakan tersebut menyaksikan selain gagal merampas kerusi tradisi BN, PR juga kehilangan beberapa kerusi yang dimenangi dalam PRU-12 lalu.

Selain itu, terdapat juga beberapa anggota PR yang bertanding atas tiket bebas ekoran tidak berpuas hati apabila tidak dicalonkan.