Categories
NASIONAL

Mantan Naib Canselor Universiti Pertahanan Masuk PAS, Seru Bekas Tentera Laksana Perubahan

Mantan Naib Canselor Universiti Pertahanan Masuk PAS 01

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Mantan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional (UPNM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir Ismail Samion menjadi tokoh terbaru daripada bidang pertahanan negara menyertai Pakatan Rakyat hari ini.

Memilih PAS sebagai landasan perjuangan politik, Ismail pernah berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 38 tahun sebagai jurutera Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Komandan Akademi Tentera Malaysia (MAM).

Dasar perjuangan PAS berteraskan Islam menarik minatnya menyertai politik selepas membuat penilaian sejak lima tahun lalu.

Beliau turut menyeru semua bekas tentera mengikut jejaknya bersama membawa arus perubahan kepada negara.

Tambahnya lagi, sistem dua parti yang sedia ada kini adalah formula terbaik sekaligus memberikan peluang kepada rakyat memilih agar tidak ada suatu pihak merasakan mereka kebal selamanya.

“Saya sebenarnya melihat keadaan politik dan perlukan perubahan.

“Penjawat awam banyak yang cenderung masuk politik.

“Sejak lima tahun lalu saya menilai suasana politik.

“Inilah peluang terakhir. Saya cenderung kepada sistem dua parti agar rakyat dapat memilih,” katanya yang merupakan lulusan dari Universiti Reading di United Kingdom dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal pada tahun 1980.

Ismail menyerahkan borang penyertaan keanggotaan PAS kepada Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali sambil disaksikan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Pengarah Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham), Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi.

Beliau turut bersimpati dengan nasib bekas anggota tentera yang terpaksa bekerja keras meneruskan kehidupan selepas bersara.

Saran beliau sistem pendidikan kemahiran kepada mereka yang bakal bersara diberikan lebih awal dan bukannya enam bulan seperti yang diamalkan sekarang.

“Kita perlu bersedia lebih awal dan memberikan kursus kemahiran bukan enam bulan sebelum bersara. Masa terlalu pendek,” katanya.

Kejayaan dalam TUDM bermula sebagai jurutera senior di skuardon pengangkutan (helikopter) sehingga dilantik ke jawatan Penolong kepada Ketua Tentera Udara (kejuruteraan).

Beliau dilantik sebagai Ketua Jurutera TUDM dari tahun 1997 hingga tahun 2000 sebelum dilantik sebagai komandan MAM pada tahun 2001.

Apabila Akademi Tentera Malaysia (ATMA) dinaik taraf menjadi Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada tahun 2006, beliau telah dilantik sebagai Naib Canselor pertama.

Sebagai rekod, beliau merupakan jurutera pertama yang dilantik sebagai Naib Canselor sesebuah Intitut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Azhar Idrus Puji Kerajaan Selangor Berjaya Imarah Masjid

UAI di Desa Pandan 01

DESA PANDAN, 23 APRIL : Pendakwah bebas yang popular, Ustaz Azhar Idrus memuji Kerajaan Negeri Selangor sepanjang lima tahun mentadbir berjaya mengimarahkan masjid dan surau-surau negeri ini dengan majlis ilmu.

UAI di Desa Pandan 02Jelasnya, program atau kuliah agama di negeri Selangor mencatatkan kehadiran tertinggi di sekitar Lembah Klang.

“Selangor merupakan negeri nombor satu kehadiran ceramah paling ramai. Nombor dua Kelantan. Jadi kalau kita tukar Kerajaan Negeri Selangor tidak akan ada kuliah-kuliah seperti ini lagi di masjid.

“Adakah kita ingin ditutup kuliah-kuliah?” soal beliau di hadapan 1,000 hadirin.

Beliau berkata demikian dalam program santai sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 anjuran PAS Parlimen Titiwangsa bertempat di pekarangan Restoran Mamak Bistro, Desa Pandan.

Hadir sama, calon Parlimen Titiwangsa, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi yang bertemu dan beramah mesra bersama pengundi serta penyokong Pakatan Rakyat.

UAI di Desa Pandan 03Ustaz Azhar juga menasihatkan rakyat agar tidak takut mengundi merubah pimpinan kerajaan kerana rezeki manusia ditentukan Allah SWT.

“Ada orang kata, kita makan gaji dengan kerajaan kena sokong kerajaan dalam pilihan raya.

“Ada orang kata kalau tak makan gaji, semua kemudahan kerajaan yang bagi. Jadi wajib kita balas budi.

“Kita jawab, kalau bodoh duduk diam kerana tidak ada di dalam undi nanti kerajaan bertanding.

“Kerajaan tidak bertanding. Tolong cerdik sedikit. Kalau kita kena sokong kerajaan dalam pilihan raya bagaimana kerana dalam kertas undi hanya ada nama parti yang bertanding,” katanya sambil disambut gelak tawa orang ramai yang hadir.

Tambahnya lagi, soal pembinaan infrastruktur rakyat merupakan tanggungjawab semua kerajaan di dunia apabila memerintah.

“Sebagai contoh katanya, negara Rusia dan China yang dipimpin golongan yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan turut membina kemudahan kepada rakyat.,” katanya.