Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: PKS boleh mula bincang dengan bank struktur pinjaman

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan penstrukturan semula pembiayaan untuk menyokong aktiviti perniagaan mereka sementara perlahan-lahan pulih daripada pandemik Covid-19, boleh mula berbincang dengan bank, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Beliau berkata bantuan kewangan yang disediakan bank termasuk pengurangan kadar faedah, lanjutan moratorium bersasar atau mengambil pinjaman baharu untuk menjana aliran tunai baharu bagi perniagaan baharu masing-masing.

Sejak Januari tahun ini, BNM telah menurunkan kadar dasar semalaman (OPR), secara kumulatif sebanyak 125 mata asas kepada 1.75 peratus, kadar paling rendah selama ia ditetapkan sejak 16 tahun lepas.

Sementara itu, moratorium yang berkuatkuasa pada 1 April, menyaksikan lebih 90 peratus peminjam memanfaatkan bantuan berkenaan dan setakat 31 Julai, berjumlah sehingga RM66.6 bilion.

Daripada jumlah itu, RM23.3 bilion telah dimanfaatkan oleh sektor perniagaan manakala sejumlah RM43.3 bilion oleh rakyat.

Pembayaran semula secara fleksibel itu akan berakhir pada 30 September, 2020 tetapi institusi perbankan dijangka menyediakan peminjam yang terjejas dengan cara lain atau bantuan bersasar.

“Bank-bank telah lama menyokong para pelanggan dan mereka tahu kekuatan pelanggan masing-masing. Mereka juga boleh menyesuaikan produk kewangan mengikut keserasian bagi membolehkan pelanggan terus berdaya maju,” kata beliau dalam taklimat kepada editor kanan pada Khamis.

Sehubungan itu, Nor Shamsiah menggesa PKS, tulang belakang ekonomi untuk menghubungi bank masing-masing dan mengadakan perbincangan,

Sebagai contoh, beliau berkata pandemik yang berlaku sekarang ini telah memberi peluang kepada mereka yang bergiat dalam sektor penjagaan kesihatan untuk menghasilkan alat pelindung diri bagi meningkatkan perniagaan mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan logistik turut memainkan peranan penting bagi mempercepatkan proses penghantaran.

Untuk suku kedua sahaja, bank telah menyediakan sokongan kewangan kepada perniagaan pada kadar yang rendah, mengagihkan sekitar RM181 bilion dengan RM56 bilion untuk PKS.

Sementara itu, ketika mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua, gabenor berkata, berkuatkuasa 1 September, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) akan mula menawarkan penyelesaian khusus bagi membantu PKS, termasuk PKS mikro untuk menguruskan hutang mereka dan mempromosikan pengurusan kewangan yang mantap.

Ini berikutan pemindahan fungsi Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SDRS) daripada BNM kepada AKPK.

“Dengan pemindahan ini, AKPK akan bertindak sebagai platform sehenti untuk kedua-dua individu dan PKS yang mencari perkhidmatan penyusunan semula hutang serta pendidikan dan nasihat kewangan,” kata Nor Shamsiah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu saham modal kecil, kesihatan

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, dipacu prestasi kaunter bermodal kecil dan indeks penjagaan kesihatan ketika pelabur beralih kepada saham bermodal kecik dan sederhana.

Pada 09.04 pagi, FBM Ace naik 0.77 peratus manakala FBM MSCS menokok 1.2 peratus.

Kaunter penjagaan kesihatan terus mencatat momentum pengukuhannya, didorong oleh saham-saham farmaseutikal ketika ia mencatatkan jumlah nilai dagangan terbesar sebanyak RM93.06 juta.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka menokok 0.35 mata kepada 1,587.33.

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 260 berbanding 102 manakala 280 kaunter tidak berubah, 1,345 tidak didagangkan dan 16 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 912.44 juta unit bernilai RM269.47 juta.

Sementara itu, seorang penganalisis ekuiti berkata saham-saham farmaseutikal itu menyaksikan peningkatan sejak semalam, didorong oleh sentimen optimis mengenai penemuan vaksin Covid-19.

“Pharmaniaga, Duopharma, Kotra dan Apex telah mencatat prestasi kukuh dan dijangkakan kaunter berkenaan akan meneruskan momentum sepertimana yang diraih oleh sektor sarung tangan getah.

“Bagaimanapun, memandangkan ini hanya membabitkan penggiat tempatan, pergerakan itu tidaklah mendadak seperti yang dialami sektor sarung tangan,” katanya.

Bagi saham bermodal kecil dan sederhana, beliau berkata pelabur kekal optimis dengan kaunter baharu juga mencatat kenaikan sejak disenaraikan.

Menurutnya, pelabur institusi juga kekal optimis terhadap prestasi pasaran dengan kaunter yang baharu disenaraikan turut mencatat kenaikan positif.

Syarikat yang baharu disenaraikan di pasaran ACE hari ini yang mewakili sektor pembinaan, kumpulan TCS merekodkan kenaikan 152 peratus sejak dagangan dibuka apabila ia menokok 35 sen kepada 58 sen.

Mengulas prestasi KLCI, firma pembrokeran Malacca Securities dalam nota penyelidikannya hari ini berkata indeks itu dijangkakan kekal dalam peringkat konsolidasi ketika aliran peningkatan yang dipacu oleh kaunter sarung tangan, berkemungkinan reda.

“Pada masa sama, penilaian lebih tinggi akan memacu peningkatan pada masa ini. Namun, pasaran yang didorong oleh mudah tunai mencukupi akan terus menyediakan lebih banyak peluang dagangan apabila aktiviti belian secara bergilir-gilir mendominasi senario pasaran semasa,” katanya.

Dari segi penilaian teknikal, keadaan tidak menentu kebelakangan ini berkemungkinan akan memanjangkan tempoh konsolidasi dengan paras rintangan kekal pada 1,615 dan seterusnya pada 1,620.

Paras sokongan pula dijangkakan pada 1,560 dan seterusnya 1,530.

Saham wajaran tinggi menyaksikan hampir dua pertiga komponen indeks tidak diniagakan manakala Top Glove naik lapan sen kepada RM24.78 dan Public Bank susut lapan sen kepada RM17.80.

Bagi saham aktif, hampir semua sektor mencatatkan dagangan positif dengan XOX naik satu sen kepada 19.5 sen, Bioalpha naik tujuh sen kepada 25 sen dan Boustead meraih setengah sen kepada 82 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 15.33 mata kepada 11,275.62, Indeks FBMT 100 menokok 10.62 mata kepada 11,111.30 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 30.97 mata pada 13,092.51.

FBM 70 pula meningkat 45.90 mata kepada 14,202.98 dan FBM ACE melonjak 59.46 mata kepada 7,733.50.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 14.78 mata kepada 13,419.93, Indeks Perladangan naik 1.94 mata kepada 7,034.33 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.47 mata kepada 140.34.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Covid-19: Penggiat sarung tangan kembali jadi tumpuan

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Kalangan penggiat industri sarung tangan berkemungkinan menjadi tumpuan semula berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku gelombang kedua pandemik Covid-19, demikian menurut Malacca Securities hari ini.

Menurut firma pembrokeran itu, penyusutan harga saham syarikat pengeluar sarung tangan getah baru-baru ini menunjukkan berlakunya penarikan diri pelabur namun permintaan terhadap produk dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan diunjurkan meningkat pada masa-masa akan datang.

“Peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang pada masa ini menghampiri 8.0 juta dan lebih 400,000 kematian, terus mengekang pemulihan ekonomi global.

“Jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital turut meningkat sejak beberapa hari lepas di beberapa bahagian dunia, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya gelombang kedua jangkitan pandemik itu,” kata firma itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

Pada 10.10 pagi ini, Top Glove susut 10 sen kepada RM16.80, Supermax berkurangan 27 sen kepada RM7.64, Rubberex sebaliknya menokok empat sen kepada RM3.18 dan Comfort Glove naik satu sen kepada RM2.94.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia, Filipina meterai MoU penjagaan kesihatan

KUALA LUMPUR, 31 JUL : Malaysia dan Filipina bersetuju untuk bekerjasama dalam pelbagai bidang penjagaan kesihatan melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di sini, hari ini.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata MoU itu ditandatangani oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Jabatan Kesihatan Filipina, Dr Francisco T.Duque III, semasa mesyuarat dua hala di Putrajaya, untuk membincangkan usaha mengukuhkan hubungan dua hala melalui kerjasama penjagaan kesihatan.

Di bawah MOU, Malaysia dan Filipina bersetuju untuk bekerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan utama; kesihatan reproduktif; pendidikan kesihatan; sumber manusia untuk pembangunan kesihatan; pemakanan; dan pertukaran maklumat mengenai isu-isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan.

Kedua-dua negara juga akan bekerjasama dalam pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit; kawalan kawal selia farmaseutikal; ubat tradisional, ubat herba, suplemen kesihatan dan produk kosmetik; peralatan perubatan; pelancongan kesihatan; penyelidikan kesihatan; dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Kumpulan Kerja Teknikal Bersama diketuai oleh para pegawai yang dilantik dari kementerian kesihatan kedua-dua negara akan melaksanakan MoU tersebut.

“Kedua-dua Menteri Kesehatan menekankan pentingnya meningkatkan kerjasama untuk menangani masalah kesihatan rentas sempadan di tengah persekitaran global yang pesat berubah.

“Kerjasama kesihatan antara negara-negara jiran adalah penting untuk cepat bertindak balas terhadap ancaman kesihatan awam dan mencegah risiko kesihatan yang lebih besar termasuk wabak dan daya tahan mikrob,” kata kedua-dua mereka dalam satu kenyataan bersama di sini hari ini.

Kedua-dua Menteri Kesihatan juga melahirkan harapan mereka bahawa hasil mesyuarat akan memperkukuh hubungan dan kerjasama dalam pengurusan isu rentas sempadan berkaitan kesihatan kedua-dua negara dan pelbagai pihak berkepentingan. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia raih kedudukan pertama kategori Penjagaan Kesihatan

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Malaysia menduduki tangga pertama dalam kategori Penjagaan Kesihatan bagi Indeks Persaraan Global Tahunan 2019, dengan skor 95 daripada 100 mata.

Memetik akhbar Costa Rica News, terdapat 13 hospital yang memperoleh akreditasi daripada Suruhanjaya Antarabangsa Bersama, di negara ini dan hampir kesemua doktor fasih berbahasa Inggeris.

Malah, kebanyakan doktor di Malaysia mendapat latihan di United Kingdom, Amerika Syarikat atau Australia, maka komunikasi adalah sempurna dan tidak menghairankan Malaysia menjadi destinasi pelancongan popular.

Costa Rica News berkata di Malaysia, seseorang itu tidak perlu membuat temu janji berjumpa dengan doktor pakar dan tidak perlu rujukan daripada pengamal perubatan, sebaliknya hanya ​​​​​​​perlu mendaftar di hospital serta menunggu giliran untuk bertemu pakar.

“Kemudahan di Malaysia ini menyebabkan kos rendah berbanding di Amerika Syarikat, namun bukan sahaja kos yang menjadi tarikan tetapi juga perkhidmatan.

“Ahli farmasi sama juga seperti kakitangan perubatan lain di Malaysia, terlatih dan bermaklumat. Rakyat Malaysia bersifat mesra tetapi yang lebih menarik ialah mereka benar-benar mengambil berat terhadap pesakit,” kata akhbar itu.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

FOMCA : Punca kesihatan tidak munasabah jadi alasan naik harga gula

fomca-GST(gula1)

SHAH ALAM 30 OKT :  Tindakan perajaan pusat menaikkan harga gula sebanyak RM0.34 sen atas alasan mengekang masalah diabeties di kalangan rakyat Malaysia adalah alasan remeh dan tidak munasabah.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata alasan kesihatan untuk menaikkan harga gula tidak tepat kerana diabeties berpunca daripada gaya hidup individu.

Katanya, kempen kesedaran penjagaan kesihatan perlu diperbanyak dan diperhebatkan bukan dengan tindakan menaikkan harga barangan keperluan itu, jika kerajaan pusat ingin menjaga kesihatan rakyat.

“Kita bimbang alasan sama akan diguna kerajaan untuk menaikkan harga barangan lain seperti tepung dan beras yang menyebabkan peningkatan kalori dalam makanan. Kerajaan mungkin menggunakan alasan peningkatan bagi menaikkan harga tepung,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Yusof berkata, kenaikan harga itu juga terlalu mendadak dan bakal memberikan kesan besar terhadap harga makanan dan minuman berasaskan penggunaan gula.

“Ia tidak sewajarnya dilakukan secara drastik dan mendadak kerana penyelarasan harga gula itu sewajarnya dibuat secara berperingkat supaya tidak memberi kesan besar kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menggesa kerajaan pusat memaklumkan rakyat jika berhasrat menaikkan harga minyak masak berikutan penarikan subsidi barangan itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan kerajaan pusat yang sengaja menyembunyikan kenaikan harga minyak masak dan memilih mengumumkan secara terbuka pemotongan subsidi gula, dalam sesi perbahasan Belanjawan Negara 2014, di Dewan Rakyat, semalam.

Anwar turut mempersoalkan tindakan berkenaan ketika pengeluaran minyak sawit sedang melonjak dan rakyat masih dikejutkan dengan kenaikan harga gula.

-NFN-