Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Had dua jam sahaja di pasar raya, pusat beli-belah

PUTRAJAYA, 23 MEI: Tempoh pelanggan boleh berada di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam, berkuat kuasa 25 Mei ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata itu antara tatacara operasi piawai (SOP) yang dikemas kini bagi sektor perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran, susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat semalam.

Turut dikemas kini ialah waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Bagi kedai farmasi dan penjagaan diri pula, waktu operasi kekal dari 8 pagi hingga 10 malam kecuali yang tersenarai di bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti spa, wellness dan perkhidmatan manicure dan pedicure,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata penambahbaikan lain yang dilaksanakan ialah mewajibkan had jumlah pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah dalam satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter per persegi.

Had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan kompleks beli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan pula ditetapkan sebanyak 60 peratus, katanya.

Bagi premis peruncitan yang tersenarai di bawah sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (Hide) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM), ia akan ditutup serta-merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi, katanya.

“Penambahbaikan dan sekatan tambahan ini akan berkuat kuasa pada 25 Mei ini di seluruh negara,” kata Nanta yang memohon pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran memastikan pematuhan SOP tersebut oleh pekerja dan pelanggan.

“Pemilik-pemilik premis perniagaan juga hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada di tahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara,” katanya.

Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menggerakkan 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara untuk memastikan pematuhan SOP yang diperketatkan itu di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, restoran dan pengedaran.

“Penguat kuasa KPDNHEP juga akan bertindak memperhebat pemeriksaan premis-premis perniagaan termasuk pada hujung minggu dan hari cuti,” katanya.

Beliau menegaskan KPDNHEP sebagai antara agensi yang diperturunkan kuasa bagi menguatkuasakan PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun.

“Kementerian juga tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk menutup serta-merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP PKP yang diperketatkan ini,” katanya.

Nanta berkata kerjasama semua pihak pada masa ini adalah amat penting bagi memastikan penularan Covid-19 dapat diatasi segera di samping dapat mengekalkan kelangsungan ekonomi negara.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui e-mel kepada [email protected]

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Harga siling RM1 pelitup muka dikuat kuasa Sabtu

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Harga siling runcit baharu RM1 bagi sekeping pelitup muka jenis tiga lapisan akan dikuat kuasa Sabtu ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata harga berkenaan ditetapkan selepas pihaknya mendapati bekalan pelitup muka jenis berkenaan mencukupi untuk menampung permintaan seluruh negara.

“Memandangkan RM1.50 harga siling selama ini telah sekian lama (ditetapkan) dan bekalan pelitup muka di pasaran adalah mencukupi hasil pemeriksaan dan pemantauan kementerian dan libat urus bersama pihak industri, pengilang dan juga peruncit yang menjualnya.

“Didapati juga walaupun harga siling sebelum ini RM1.50, ada yang menjual rendah dari harga itu, maka memang benar bekalan pelitup muka ini mencukupi di pasaran, oleh itu kementerian mengambil tindakan untuk menyemak semula (harga siling),” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Isnin lepas, Nanta pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, mengumumkan kerajaan bersetuju menetapkan harga siling baharu berkenaan bagi mengurangkan beban orang ramai susulan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak mulai 1 Ogos lepas.

Nanta berkata pihaknya memberi komitmen untuk terus menyemak harga dan menurunkan lagi harga siling runcit pelitup muka sekiranya keadaan membolehkan.

“Ia bergantung kepada bekalan, itu yang penting, sebab tak guna kita turunkan (harga) tapi (bekalan) tak dapat di pasaran. Kenapa tak dapat? Kalau harga pengeluaran masih tinggi maka orang mungkin tak dapat jual.

“Kita melihat kepada situasi dahulu, walaupun 80 sen tetapi nak beli pun tak ada. Kenapa? Ia kerana pengilang tempatan tak dapat tampung permintaan, jadi kita perlu import,” katanya.

Mengenai penguatkuasaan, Nanta berkata sesiapa yang didapati menjual lebih tinggi daripada harga siling, tindakan akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.

“Buat masa sekarang …dari segi pemantauan mungkin tidaklah (jual lebih tinggi dari harga siling) sebab kita tak buat secara mengejut. Berita ini (turun harga siling pelitup muka) saya dah umum hampir seminggu lepas di Parlimen, jadi memang penjual, peruncit, pemborong sudah mengetahui kita (kerajaan) akan turunkan harga siling,” katanya.

Sementara itu, KPDNHEP dalam satu kenyataan turut memaklumkan harga siling borong bagi pelitup muka jenis tiga lapisan juga diturunkan daripada RM1.45 seunit ke 95 sen.

Menurut kenyataan itu, dari 29 Jan sehingga Isnin lepas, sebanyak 47,703 pemantauan terhadap harga dan bekalan pelitup muka dijalankan yang menyaksikan 55 kes dibuka dengan nilai rampasan sebanyak RM536,951.40 dan jumlah kompaun RM392,400.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Harga pelitup muka akan turun lebih rendah daripada RM1.20

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menurunkan harga siling penutup muka lebih rendah daripada RM1.20, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya Alexander Nanta Linggi berkata harga siling pelitup muka tiga ply (lapis) akan diturunkan daripada RM1.50 seunit kepada RM1.20.

“Tetapi sekarang memandangkan maklum balas umum, kami dah bincang mungkin kita akan turun lagi bawah daripada RM1.20,” katanya menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di sini.

Khoo ingin tahu langkah yang diambil KPDNHEP bagi memastikan harga pelitup muka diturunkan.

Pada 23 Julai lalu, Nanta mengumumkan harga siling pelitup muka diturunkan kepada RM1.20 daripada RM1.50 seunit bermula 15 Ogos, manakala harga borong bahan itu yang ketika ini RM1.45 seunit juga diturunkan kepada RM1.15 bermula pada tarikh sama.

– BERNAMA