Categories
AGENDA NASIONAL

Pusat beli-belah ditutup kecuali bahagian jual makanan

SHAH ALAM, 30 MEI: Pusat beli-belah ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kecuali bahagian makanan dan pasar raya yang menyediakan produk makanan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media khas berkata sektor perniagaan itu dibenarkan beroperasi dari jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Perniagaan dibenar operasi ketika PKP:

1. Pusat membeli-belah ditutup kecuali premis, pasar raya, pasar raya besar dan ‘departmental store’ yang mempunyai seksyen makanan dan minuman, keperluan asas, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart dan restoran untuk bawa pulang dan penghantaran ke rumah.

2. Pasar raya, pasar raya besar, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, pasar mini dan kedai runcit serta ‘departmental store’ dibuka terhad kepada seksyen makanan, minuman dan keperluan asas sahaja

3. Restoran, gerai-gerai serta outlet makanan

4. Dobi (termasuk layan diri)

5. Kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan

6. Kedai cermin mata dan barang optik

7. Kedai hardware

8. Bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti

9. E-dagang (semua kategori produk)

10. Pemborongan dan pengedaran (semua kategori produk perkhidmatan perlu sahaja)

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Had dua jam sahaja di pasar raya, pusat beli-belah

PUTRAJAYA, 23 MEI: Tempoh pelanggan boleh berada di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam, berkuat kuasa 25 Mei ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata itu antara tatacara operasi piawai (SOP) yang dikemas kini bagi sektor perdagangan pengedaran termasuk peruncitan, pemborongan dan pengedaran, susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat semalam.

Turut dikemas kini ialah waktu operasi sektor perdagangan pengedaran termasuk semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan restoran dihadkan dari 8 pagi hingga 8 malam.

“Bagi kedai farmasi dan penjagaan diri pula, waktu operasi kekal dari 8 pagi hingga 10 malam kecuali yang tersenarai di bawah aktiviti yang tidak dibenarkan seperti spa, wellness dan perkhidmatan manicure dan pedicure,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata penambahbaikan lain yang dilaksanakan ialah mewajibkan had jumlah pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk kompleks beli-belah dalam satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan satu orang bagi setiap empat meter per persegi.

Had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran dan kompleks beli-belah termasuk pengurusan, operasi dan sokongan pula ditetapkan sebanyak 60 peratus, katanya.

Bagi premis peruncitan yang tersenarai di bawah sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (Hide) yang masih berisiko tinggi selepas penilaian risiko dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM), ia akan ditutup serta-merta selama tiga hari bagi tujuan sanitasi, katanya.

“Penambahbaikan dan sekatan tambahan ini akan berkuat kuasa pada 25 Mei ini di seluruh negara,” kata Nanta yang memohon pemain industri di bawah sektor perdagangan pengedaran memastikan pematuhan SOP tersebut oleh pekerja dan pelanggan.

“Pemilik-pemilik premis perniagaan juga hendaklah sentiasa proaktif, peka dan memastikan pematuhan SOP sentiasa berada di tahap yang maksimum bagi memastikan keselamatan premis masing-masing dan orang ramai dapat terpelihara,” katanya.

Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menggerakkan 2,262 pegawai penguat kuasa di seluruh negara untuk memastikan pematuhan SOP yang diperketatkan itu di semua premis perniagaan peruncitan, pemborongan, restoran dan pengedaran.

“Penguat kuasa KPDNHEP juga akan bertindak memperhebat pemeriksaan premis-premis perniagaan termasuk pada hujung minggu dan hari cuti,” katanya.

Beliau menegaskan KPDNHEP sebagai antara agensi yang diperturunkan kuasa bagi menguatkuasakan PKP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun.

“Kementerian juga tidak teragak-agak untuk mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara untuk menutup serta-merta mana-mana premis yang didapati tidak mematuhi SOP PKP yang diperketatkan ini,” katanya.

Nanta berkata kerjasama semua pihak pada masa ini adalah amat penting bagi memastikan penularan Covid-19 dapat diatasi segera di samping dapat mengekalkan kelangsungan ekonomi negara.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui e-mel kepada [email protected]

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Sektor runcit pulih separuh kedua 2020, didorong penggunaan tempatan

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Sektor runcit dijangka pulih pada separuh kedua 2020 didorong oleh penggunaan tempatan, dengan jualan dijangka meningkat kepada 80 peratus daripada paras sebelum Covid-19 pada suku keempat daripada 70 peratus pada masa ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata terdapat tanda pemulihan berikutan ekonomi dibuka semula mencatatkan angka pengangguran yang lebih baik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan.

Menurut jabatan itu, kadar pengangguran Malaysia pada Jun 2020 merosot bulan ke bulan kepada 4.9 peratus daripada paras tertinggi sebanyak 5.3 peratus pada Mei 2020 berikutan lebih banyak sektor, termasuk industri perkhidmatan, dibuka semula untuk memulihkan ekonomi negara selain membendung pandemik Covid-19.

“Tertakluk kepada sekatan pergerakan kedua, sektor itu akan kembali normal, dengan penggunaan tempatan menjadi pemacu pertumbuhan kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas sesi tertutup dengan peruncit di pusat beli-belah Sunway Pyramid semalam.

Mustapa berkata penting bagi rakyat Malaysia untuk menyokong produk tempatan berikutan industri pelancongan masih ditutup.

Beliau menjangka negara akan mencatatkan pemulihan ekonomi pada suku ketiga dan keempat, sejajar dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2020 Bank Negara sebanyak -3.5 peratus hingga -5.5 peratus selepas penguncupan 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia H.C. Chan berkata pada Julai, sebanyak 90 hingga 95 peratus daripada perniagaan runcit menyambung semula operasi dengan pengunjung pusat beli-belah mencecah 80 peratus daripada paras sebelum Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan galak pusat beli-belah hadkan pengunjung

SHAH ALAM, 21 JULAI: Pusat beli-belah digalak mengehad jumlah pengunjung bagi mengelak kesesakan sekali gus mencegah penularan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan tersebut belum diputuskan kerajaan dan terserah kepada pengurusan untuk membuat aturan.

“Jika mereka bimbang berlaku pelanggaran penjarakan sosial, mereka boleh buat aturan giliran kemasukan pengunjung,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bimbang tambahan 13 kluster baharu Covid-19 sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan mulai 10 Jun lalu.

Lebih membimbangkan katanya, kes wabak kembali mencatat dua digit sejak beberapa hari lalu dan situasi itu tidak boleh diambil mudah.

Semua sektor ekonomi dibuka berperingkat mulai 4 Mei lalu selepas ditutup hampir tiga bulan susulan penularan Covid-19.