Categories
GLOBAL

Perang Ekonomi: Beijing tuduh Washington pembuli

BEIJING 25 SEPT: Amerika Syarikat (AS) dan China berbalas menguatkuasakan tarif ke atas barangan satu sama lain semalam ketika tiada petanda dua ekonomi terbesar dunia itu akan berundur daripada perang perdagangan yang dijangka turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi dunia.

Sejurus selepas tarif baharu itu berkuat kuasa, China menuduh AS sebagai ‘pembuli perdagangan’ dengan Washington menggunakan tarif untuk mengugut negara lain supaya tunduk kepada kemahuannya, lapor agensi berita Xinhua.

 

Beijing bagaimanapun berkata, ia bersedia untuk memulakan semula rundingan perdagangan dengan AS jika dialog tersebut ‘berdasarkan sikap saling menghormati dan ke­saksamaan’, kata Xinhua.

Tarif AS ke atas produk China bernilai AS$200 bilion (RM826 bilion) dan tarif Beijing terhadap AS$60 bilion (RM247.9 bilion) barangan AS dikuatkuasakan tengah hari semalam menurut waktu Asia.

Washington dan Beijing saling mengenakan tarif berjumlah AS$50 bilion (RM206.6 bilion) ke atas barangan satu sama lain awal bulan ini.

Produk China yang dikenakan cukai import baharu itu termasuk pembersih hampagas dan peralatan sambungan internet, manakala barangan AS yang dicukai Beijing seperti gas asli cecair serta pesawat.

Sementara itu, pakar-pakar ekonomi memberi amaran bahawa perang perdagangan yang semakin buruk itu akhirnya akan melumpuhkan pertumbuhan, bukan sahaja di AS dan China tetapi di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump memilih untuk terus berdegil. Beliau memberi amaran pada Sabtu lepas akan mengenakan tarif ke atas semua barangan China pada masa hadapan jika Beijing bertindak balas terhadap pelaksanaan tarif baharu itu atau gagal memenuhi tuntutan AS.

Import China adalah kurang berbanding AS, menjadikan Beijing sukar mengenakan tarif tambahan ke atas barangan AS lain pada masa hadapan.

Bagaimanapun, penganalisis-penganalisis berkata, China boleh menyekat eksport sesetengah barangan penting kepada AS dan menyukarkan syarikat AS beroperasi di negara itu.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

AS kutuk China isu penahanan etnik Uighur

WASHINGTON 22 SEPT: Amerika Syarikat mengutuk keras layanan China ke atas penduduk Islam Uighur, dalam langkah yang dilihat memburukkan hubungan antara kedua-dua kuasa besar itu yang sedia tegang.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, menyuarakan kebimbangan selepas laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggambarkan pengasingan beramai-ramai etnik Uighur itu dengan alasan menyekat propaganda ekstremisme di Xinjiang.

“Ratusan ribu dan kemungkinan jutaan penduduk Uighur ditahan tanpa rela dalam kem pendidikan semula dan dipaksa mengharungi indoktrin politik dan penderaan kejam lain.

“Kepercayaan agama mereka semakin merosot,” kata Pompeo dalam ucapan mengenai kebebasan beragama di seluruh dunia.

Dalam surat kepada Pompeo dan Setiausaha Perbendaharaan, Steve Mnuchin, anggota Kongres Republican dan Democrat, lewat bulan lalu menggesa sekatan dikenakan ke atas pegawai China susulan penahanan etnik Uighur.

Pompeo tidak menyebut sama ada AS akan mengambil langkah punitif.

Pompeo turut menyuarakan kegusaran mengenai nasib penganut Kristian di China, yang dikatakan beliau menjadi sasaran kempen kerajaan.

Kerajaan, katanya, menutup gereja, membakar Bible dan mengarahkan pengikut menandatangani dokumen menukar agama.

Dalam temubual awal minggu ini, Pompeo menggambarkan China sebagai ancaman lebih besar kepad AS berbanding Russia, berkata Beijing ‘tidak telus’.

“Ia tidak memberi layanan baik kepada harta intelektual kita, melayan minoriti agama dengan buruk,” katanya kepada Fox News.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

Tenggara AS banjir besar, ragut 13 nyawa di Carolina

NEW BERN, Amerika Syarikat 17 SEPT: Penduduk yang terjejas sehingga kehilangan tempat tinggal akibat Taufan Florence masih belum boleh menarik nafas lega biarpun ribut tersebut sudah reda.

Hal ini kerana, Florence mencetuskan hujan lebat luar biasa di bahagian tenggara Amerika Syarikat (AS), sekali gus menyebabkan banjir besar yang meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa setakat ini.

 

Menurut pihak berkuasa, lapan daripada 13 kes kematian berlaku di North Carolina termasuk tiga terkorban dalam banjir kilat dan dihanyutkan arus kuat, manakala selebihnya maut di South Carolina.

Florence melanda Wrightsville Beach, North Carolina pada Jumaat lalu dan dikategorikan sebagai taufan ketagori 1, namun membawa angin kencang menyaksikan banyak pokok dan tiang elektrik tumbang sehingga memaksa 20,000 penduduk berpindah dari kediaman ma­sing-masing.

Semalam, terdapat beberapa penduduk cuba pulang ke kediaman mereka dengan memandu atas jalan yang dinaiki air dan serpihan pokok tumbang.

Bagaimanapun, tindakan tersebut tidak dipersetujui Gabenor North Carolina, Roy Cooper yang menegaskan bahawa keadaan jalan raya kini tidak selamat dan berbahaya.

“Jalan-jalan di seluruh negeri kini dinaiki air dengan paras sungai semakin meningkat dan hujan juga belum reda,” katanya.

Beliau sebelum itu menyifatkan jumlah hujan yang turun ketika ini sebagai satu fenomena luar biasa apabila ada sesetengah kawasan yang hujannya diukur dalam meter dan bukannya inci seperti kebiasaan.

Dalam pada itu di New Bern iaitu bandar yang terletak berhampiran kawasan laut di North Carolina, banjir mulai surut dan banyak kemusnahan berlaku melibatkan kediaman dan premis perniagaan.

Pasukan penyelamat juga ber­tungkus-lumus mencari ser­ta menyelamat mangsa yang ter­perangkap akibat banjir.

SUMBER: AFP

 

Categories
GLOBAL

China tidak akan tunduk tuntutan rundingan Amerika

SHANGHAI 16 SEPT: China tidak akan tunduk kepada tuntutan Amerika Syarikat (AS) dalam mana-mana rundingan perniagaan, demikian menurut akhbar tempatan China Daily dalam satu ruangan editorialnya.

Komentar itu dibuat selepas para pegawai China mengalu-alukan pelawaan Washington untuk mengadakan perbincangan baharu.

China dan AS akan ke meja rundingan ketika terdapat kebimbangan tentang ancaman tarif baharu AS selepas Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin membuat jemputan untuk berunding kepada rakan sejawatannya di Beijing.

China Daily berkata, walaupun China ‘serius’ tentang menyelesaikan pertikaian perdagangan melalui perbincangan, ia tidak dipersetujui terima meskipun terdapat kebimbangan tentang pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kejatuhan pasaran sahamnya.

“Pentadbiran Trump tidak boleh menyalaherti penerimaan China sebagai akan tunduk kepada tuntutan A.S. China mempunyai keupayaan yang mencukupi untuk memacu ekonominya walaupun perang perdagangan berlarutan,” kata akhbar itu.

Jelasnya lagi, jika AS mengenakan levi baharu ke atas import China maka Beijing ‘tidak akan teragak-agak bertindak balas terhadap tarif A.S. untuk melindungi kepentingan China’.

Presiden AS, Donald Trump dalam Twitternya pada Khamis lalu berkata, AS berada pada ke­dudukan lebih baik dalam rundingan itu.

“Kami tidak berdepan dengan tekanan untuk membuat perjanjian dengan China tetapi mereka pula sebaliknya.

“Pasaran kita (AS) semakin meningkat, tapi mereka (China) merudum,” kata beliau.

Pentadbiran A.S. telah bersiap sedia dengan senarai akhir barangan import China bernilai AS$200 bilion (RM827 bilion) yang bakal dikenakan tarif sebanyak 10 sehingga 25 peratus pada hari-hari mendatang, sekali gus akan me­ningkatkan perang perdagangan antara dua negara ekonomi terbesar dunia.

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shu­ang memberitahu bahawa China menerima jemputan itu, dan kedua-dua negara sedang membincangkan butiran tersebut.

Perbincangan pusingan terakhir sebelum ini, antara para pe­gawai A.S. dengan China, gagal mencapai sebarang persetujuan.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
GLOBAL

Trump ugut mahu kenakan tarif semua barangan import China

FARGO, Amerika Syarikat (AS) 9 SEPT: Presiden AS, Donald Trump kelmarin mengancam akan mengenakan tarif ke atas kesemua barangan import China ke negara itu.

Tindakan itu kelihatan mengeruhkan lagi hubungan dagangan dengan Beijing yang sememangnya tegang sebelum ini.

Sebelum ini, AS me­ngumumkan tindakan mengenakan tarif ‘hukuman’ ke atas barangan China sedia ada berjumlah AS$50 bilion (RM207 bi­lion), manakala tarif tambahan sebanyak AS$200 bilion (RM830 bilion).

Pelaksanaan tarif itu dikatakan akan dikuatkuasakan secepat mungkin.

Trump semasa bercakap kepada wartawan di sini, berkata, terdapat tambahan tarif lain sebanyak AS$267 bilion (RM1.1 trilion) yang boleh dikenakan dalam notis singkat jika beliau mahu.

Ia akan merangkumi kesemua barangan import dari negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Kata-kata Trump itu bertentangan dengan kenyataan penasihat ekonomi atasannya, Larry Kudlow bahawa perbincangan dengan Beijing akan diteruskan untuk meredakan konflik.

“Ketika ini, China adalah satu masalah jauh lebih besar. Saya bertegas dengan China kerana saya perlu berbuat demikian,” kata Trump.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

Trump pecat peguam Rumah Putih Don McGahn

WASHINGTON 30 OGOS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan di Twitter semalam bahawa peguam Rumah Putih, Don McGahn akan meletak jawatan minggu depan.

Ia pemecatan terkini dalam beberapa drama penyingkiran pegawai kanan Rumah Putih selepas hubungan Trump dan McGahn tercalar akibat siasatan membabitkan campur tangan Russia dalam pilihan raya presiden 2016.

Pengumuman itu dibuat selepas senat AS mengesahkan pencalonan Brett Kavanaugh sebagai pengganti McGahn kepada Mahkamah Agung.

Trump mengumumkan pemecatan McGahn kurang dua minggu selepas beliau dilaporkan secara sukarela bekerjasama dengan penyiasatan Peguam Khas, Robert Mueller berhubung dakwaan campur tangan Russia dan kemungkinan berkomplot dengan Moscow untuk kempen Trump.

Russia menafikan sebarang campur tangan dalam pilihan raya presiden 2016 itu.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Perang perdagangan China, AS beri manfaat kepada Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) memberi kesan yang positif kepada Malaysia, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Menurutnya, minat syarikat daripada kedua-dua negara terbabit untuk melabur di negara ini semakin meningkat susulan perkembangan terkini itu.

“Saya rasa minat untuk melabur di Malaysia semakin meningkat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan sekarang akibat perang perdagangan antara China dan AS minat antara syarikat dari kedua-dua negara melabur di Malaysia semakin meningkat,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Chai Kim Sen berhubung implikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang boleh dimanfaatkan Malaysia bagi menangani kesan negatif perang perdagangan.

Ong berkata kementerian itu pada masa ini sedang membuat penilaian sama ada CPTPP boleh membawa lebih manfaat dari segi menarik pelaburan asing akibat dari perang perdagangan tersebut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Washington, Beijing berbalas tarif tambahan RM65.7 bilion

WASHINGTON 25 OGOS: Amerika Syarikat (AS) melaksanakan tarif tambahan berjumlah AS$16 bilion (RM65.7 bilion) terhadap barangan China semalam sekali gus mencetuskan tindak balas serupa oleh Beijing.

Langkah terbaharu itu melengkapkan pusingan pertama tarif berjumlah AS$50 bilion terhadap produk China yang disasarkan oleh Presiden AS, Donald Trump, manakala tindak balas serupa dilaksanakan oleh Beijing.

China secara tegas menentang tarif atau cukai import tersebut, namun ia tiada pilihan kecuali meneruskan serangan balasnya, kata Kementerian Perdagangan China dalam satu ke­nyataan.

Beijing melancarkan serangan balas dengan mengenakan tarif serupa terhadap produk AS seperti motosikal Harley Davidson, lori sampah dan ratusan barangan lain.

Kementerian Perdagangan China berkata, tarif AS itu jelas ‘disyaki me­langgar peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)’ dan menambah, Beijing akan mengemukakan saman terhadap Washington di WTO.

Peningkatan perang perdagangan itu berlaku ketika dua ekonomi terbesar dunia itu mengadakan perbinca­ngan rasmi pertama sejak perang perdagangan AS-China itu tercetus pada Jun lepas.

Trump melaksanakan langkah tarif itu untuk mengurangkan defisit perdagangan AS yang dianggap beliau sebagai mencuri dari rakyat negara kuasa besar tersebut.

Bagaimanapun, rakan-rakan perdagangan Washington lain telah me­lancarkan tindak balas secara agresif yang menjejaskan petani, pengilang dan pengguna AS

Dalam pada itu, pemilik-pemilik perniagaan AS semakin bimbang berhubung perang tarif tersebut yang mengakibatkan kenaikan harga kepada pengilang dan boleh menjejaskan ekonomi negara. –

SUMBER: AFP

Categories
EKONOMI

BNM: Malaysia dijangka terima kesan minimum perang perdagangan AS-China

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Malaysia dijangka menerima kesan minimum daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS)-China kerana negara ini adalah sebuah ekonomi terbuka yang kecil, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagaimanapun, jika perang perdagangan itu terus memuncak, seluruh ekonomi global akan menerima kesannya dan pertumbuhan dunia dijangka merosot sebanyak 0.5 peratus menjelang 2020, kata Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

“Meskipun begitu, satu daripada kekuatan ekonomi kita adalah kita mempunyai struktur ekonomi yang pelbagai.

“Justeru, walaupun eksport kita mungkin akan terjejas oleh pertumbuhan perlahan ekonomi global namun aktiviti domestik akan terus bertahan dan ini akan menyediakan asas bagi pertumbuhan dalam senario sedemikian,” katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2018, di sini, hari ini.

Mengenai aliran keluar besar-besaran dalam kalangan bukan pemastautin dalam suku kedua 2018, Nor Shamsiah berkata ini disebabkan terutamanya oleh faktor-faktor luaran.

“Faktor utamanya adalah berkaitan ketidakpastian tentang fasa penormalan dasar monetari Amerika Syarikat, keduanya ketegangan perdagangan dan ketiga perkembangan berkaitan lira Turki.

“Perkembangan luaran menjadi penyumbang utama bagi aliran keluar asing besar-besaran…bagaimanapun pada Julai dan Ogos, kita menyaksikan aliran keluar yang agak sederhana,” katanya.

Sementara itu Nor Shamsiah berkata pendedahan risiko Malaysia kepada krisis kewangan dan lira Turki yang meruncing adalah kecil.

“Sebagai contoh dari segi pendedahan hutang korporat kepada Turki hanya 0.17 peratus dan dari segi pendedahan kepada hutang dalam nilai lira Turki malahan lebih kecil pada 0.03 peratus daripada jumlah hutang luaran korporat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Pentagon: China luas operasi pesawat pengebom

WASHINGTON 17 OGOS: Tentera China telah meluaskan operasi pesawat pengebom milik mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerusi apa yang dilihat sebagai ‘latihan serangan’ terhadap Amerika Syarikat dan sekutunya.

Pentagon dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam berkata, penilaian itu didedahkan serentak dengan ketegangan memuncak AS-China berhubung aspek perdagangan dan ia terkandung dalam laporan tahunan yang memberi tumpuan kepada usaha China meningkatkan pengaruh mereka di peringkat global, mencakupi pertambahan perbelanjaan pertahanan, dianggarkan berjumlah AS$190 bilion (RM773 bilion).

“Sejak tiga tahun lalu, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) telah meluaskan kawasan operasi pesawat pengebom laut sekali gus menambah pengalaman tempur di kawasan penting maritim dan dipercayai berlatih untuk menyerang AS dan sekutu mereka,” kata laporan berkenaan.

Laporan itu dikeluarkan sebelum rundingan perdagangan antara kedua negara dan diharapkan mampu membantu mereka menyelesaikan konflik yang semakin memuncak, sekali gus mewujudkan ancaman terhadap kemungkinan berlakunya perang perdagangan.

Menurut laporan itu lagi, walaupun PLA terus meluaskan operasi, namun tidak dapat dipastikan apa mesej yang hendak disampaikan oleh Beijing menerusi pelaksanaan semua operasi pesawat terbabit.

Kedutaan China di Washington tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung perkara itu.

Pada tahun ini, pasukan tentera udara China mendaratkan pesawat pengebom milik mereka di beberapa kepulauan dan kawasan terumbu di Laut China Selatan, sebagai sebahagian daripada latihan di zon konflik itu.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
EKONOMI GLOBAL

Warga Kuwait bersolidariti dengan Turki, beli lira dan bercuti

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 15 OGOS: Sejumlah warga Kuwait menunjukkan rasa solidariti terhadap ekonomi dan kewangan Turki dengan membuat keputusan bercuti di negara itu serta membeli wang Lira ditengah-tengah kemelut sekatan Amerika Syarikat.

Di pejabat pertukaran wang di seluruh negara, warga Kuwait membeli lira Turki sebagai cara untuk menunjukkan sokongan untuk ekonomi Turki.

Agensi Berita Turki ANADOLU AGENCY, Mohamed al-Samri, seorang warga Kuwait, baru-baru ini membeli lira Turki sebelum bercuti akan datang di Turki.

“Tahun ini, lawatan saya akan sangat penting,” kata al-Samri, sambil menyatakan bahawa dia telah melawat wilayah timur laut Turki di Trabzon.

Mashaal al-Abdan, seorang lagi warga Kuwait, berkata beliau juga merancang untuk membantu Turki dengan melabur dalam lira Turki.

“Turki akhirnya akan mengatasi masalah ekonomi semasa,” al-Abdan meramalkan.

Abu Hashem, seorang warga Syria yang tinggal di Kuwait, berkata bahawa dia juga baru-baru ini membeli lira.

“Di bawah keadaan semasa, kita mesti bersama-sama dengan Turki,” katanya.

BACA: https://selangorkini.my/2018/08/turki-ancam-boikot-produk-elektronik-as-yakin-ekonomi-kukuh/

Mina Girgus, yang bekerja di sebuah biro pertukaran asing di Kuwait, berkata permintaan terhadap lira baru-baru ini meningkat dan banyak orang – bergantung kepada belanjawan mereka – memilih untuk membeli mata wang Turki.

Girgus menyatakan bahawa rakyat pelbagai bangsa – bukan sahaja Kuwait – membeli mata wang Turki, mendorong nilai lira untuk bangkit awal minggu ini.

“Penerbangan ke Turki ditempah sepenuhnya; sukar untuk membuat tempahan, “kata Kemal Kebse, pengarah Flynas Airlines dari Arab Saudi, sambil menambah harga tiket juga meningkat berikutan peningkatan permintaan.

Sementara itu, Persatuan Kerjasama Arab-Arab Ummah telah melancarkan kempen solidariti dalam usaha untuk menunjukkan sokongannya kepada Turki.

Dalam satu kenyataan, persatuan itu menyeru syarikat Arab – dan orang Arab – untuk bersama-sama dengan Turki. Sebagai sebahagian daripada kempen itu, sepuluh juta orang diminta untuk membeli lira Turki, memboikot produk A.S. dan mengelakkan membuat pembelian denominasi dolar.

Kempen itu juga menyeru perniagaan untuk memindahkan dana mereka dari A.S. ke bank Turki dan memindahkan pelaburan mereka dari A.S. ke Turki.

Mengenai media sosial, Juman al-Harbesh, seorang ahli parlimen Kuwait berkata: “Selain menjadi kewajipan masyarakat Islam, menyokong ekonomi Turki juga akan membantu mengembalikan keseimbangan ke rantau ini.”

Turki Kenakan Tarif Terhadap Amerika

Dalam perkembangan terbaharu, Turki telah menaikkan tarif ke atas beberapa produk asal Amerika, termasuk produk dan minuman alkohol dan tembakau, mengikut keputusan Presiden yang diterbitkan awal Rabu dalam warta rasmi.

Di bawah perintah itu, Turki akan menaikkan tarif kepada 100 peratus ke atas import produk.

Dekri baru meminda keputusan Presiden pada 11 Julai.

“Kadar cukai ke atas import sesetengah produk telah dinaikkan atas dasar timbal balas terhadap serangan sengaja pentadbiran A.S. terhadap ekonomi kita,” kata Naib Presiden Fuat Oktay di Twitter.

Antara produknya ialah kereta, beras, sesetengah produk alkohol dan tembakau dan beberapa produk kosmetik.

 

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Turki ancam boikot produk elektronik AS, yakin ekonomi kukuh

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 15 OGOS: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada 14 Ogos (Selasa) mengumumkan negara itu sedia untuk memboikot produk elektronik Amerika Syarikat.

Tindakan drastik itu adalah tindakan balas selepas Washington mengenakan sekatan dan kenaikan tarif ke atas Ankara berikutan penahanan seorang paderi AS.

Pengumuman itu datang dalam ucapan Erdogan dalam simposium yang dianjurkan oleh Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA) pada ulang tahun ke-17 pimpinan Parti Keadilan dan Pembangunan (AK).

“Kami akan memboikot produk elektronik Amerika,” kata Erdogan lapor Agensi Berita Turki ANADOLU AGENCY.

“Mereka tidak teragak-agak untuk menggunakan ekonomi sebagai senjata melawan kami, kerana mereka [juga] cuba dalam bidang diplomatik atau tentera, dan usaha untuk menaburkan ketidakstabilan sosial dan politik,” katanya.

Turki dan Amerika kini mengalami hubungan dingin setelah pengenaan sekatan Washington terhadap Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu dan Menteri Keadilan Abdulhamit Gul untuk tidak membebaskan Pastor Amerika Andrew Brunson, yang menghadapi tuduhan keganasan di Turki.

Presiden A.S., Donald Trump, pada Jumaat lalu memulakan serangan ekonomi ke Turki dengan menggandakan tarif A.S. pada import aluminium dan keluli Turki masing-masing kepada 20 peratus dan 50 peratus.

Gandakan Lebih Banyak Eksport

Melalui “serangan ekonomi” di Turki, Erdogan berkata: “Negara kita hari ini mempunyai salah satu sistem perbankan yang paling kukuh di dunia dalam semua aspek.”

Presiden itu berkata alasan untuk serangan ekonomi tidak ada kaitan dengan ekonomi Turki, tetapi di sebalik serangan tersebut terletak “beberapa rancangan lain.”

Untuk melawan serangan ini, Erdogan menekankan langkah ekonomi dan politik.

“Kami mengambil dan akan mengambil langkah-langkah yang perlu dalam ekonomi … Yang kedua, dan yang paling penting bagi saya, adalah untuk mengekalkan pendirian politik kita dengan kuat,” kata Erdogan.

Mengenai perkembangan ekonomi baru-baru ini di Turki, Erdogan berkata: “Sama ada orang tempatan atau asing, kawan atau musuh, sesiapa sahaja dapat melihat bahawa ada sesuatu yang aneh dalam data ekonomi kita.”

Presiden juga menggesa perniagaan untuk melakukan lebih banyak eksport.

“Saya menyeru kepada rakyat dan terutama sekali dunia perniagaan kita bahawa jawapan terbaik yang boleh anda berikan kepada hitmen ekonomi adalah dengan sepenuhnya yakin kepada perniagaan anda.

“Kita mesti menghasilkan lebih banyak, mengeksport lebih banyak, kerana tidak ada erti dalam mengunci [produk kami] dalam stor,” katanya.