Categories
GLOBAL

Trump suara sokongan 100 peratus terhadap Israel

WASHINGTON, 6 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyuarakan sokongannya terhadap Israel di tengah-tengah serangan udara yang berterusan di Semenanjung Gaza, lapor agensi berita Anadolu.

“Sekali lagi, Israel diserang kumpulan pemberontak Hamas. Kami menyokong Israel 100 peratus dalam mempertahankan rakyatnya,” tulis Trump di twitternya.

“Kepada penduduk Gaza – keganasan terhadap Israel hanya akan membawa lebih banyak kesengsaraan, TAMATKAN keganasan dan bekerja untuk ke arah keamanan – ia boleh jadi kenyataan!” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Amerika Syarikat digesa keluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’

KUALA LUMPUR, 14 APR: Malaysia membantah sekeras-kerasnya keputusan kerajaan Amerika Syarikat meletakkan Malaysia dalam Indikator ‘K’ seperti diumumkan dalam nasihat perjalanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 9 April lalu.

Justeru, Kementerian Luar (Wisma Putra) menggesa negara itu supaya segera mengeluarkan Malaysia daripada senarai itu dan akan memanggil Duta Amerika Syarikat di Malaysia untuk memberi penjelasan berhubung nasihat perjalanan baharu itu.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memberitahu indikator itu menunjukkan kebimbangan kerajaan Amerika Syarikat terhadap potensi penculikan atau situasi tebusan di kawasan-kawasan tertentu di wilayah timur Sabah.

Kementerian itu berkata, nasihat perjalanan baharu itu dilihat kurang objektif dan tidak mencerminkan hakikat sebenar di lapangan khusus situasi keselamatan di wilayah timur Sabah yang kekal selamat dan terkawal bagi pelancong.

“Ini bersandarkan kepada fakta bahawa angka ketibaan pelancong di Sabah meningkat kepada 5.5 peratus, iaitu memcecah 3.87 juta tahun lalu. Malah, angka insiden penculikan telah menurun secara ketara kepada hampir sifar,” katanya.

Menurutnya, kawasan timur Sabah terus menarik penyelam bertaraf dunia dan kejayaan itu adalah hasil langkah proaktif yang diambil oleh kerajaan Malaysia seperti meningkatkan rondaan, kerjasama keselamatan erat dengan negara-negara jiran dan pengaturgerakan strategik aset-aset keselamatan.

“Berdasarkan fakta-fakta ini, Malaysia menggesa Amerika Syarikat supaya lebih objektif dalam penilaiannya. Kami menggesa Amerika Syarikat segera mengeluarkan Malaysia daripada senarai ‘K’ itu,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

AS keluar amaran perjalanan tahap paling tinggi bagi Venezuela

WASHINGTON, 30 JAN: Amerika Syarikat (AS) meningkatkan amaran perjalanan bagi Venezuela ke peringkat paling tinggi, semalam dan menasihati pelancong supaya mengelak melakukan perjalanan ke negara itu.

Agensi berita Turki Anadolu yang memetik kenyataan Jabatan Negara AS berkata, amaran perjalanan yang dipertingkat ke Tahap 4 itu menggantikan nasihat perjalanan dikeluarkan minggu lalu.

Ia susulan Washington mengarahkan kakitangan kerajaan AS yang tidak penting dan anggota keluarga mereka supaya meninggalkan Venezuela.

“Jangan pergi ke Venezuela kerana terdapat jenayah, kekacauan awam dan infrastruktur kesihatan yang buruk selain penahanan serta penangkapan sewenang-wenangnya warganegara AS,” kata Jabatan Negara.

Jabatan itu berkata, kerajaan AS mempunyai keupayaan terhad untuk menyediakan perkhidmatan kecemasan kepada warganegara AS, di negara terbabit.

Katanya, jika pelancong masih berhasrat untuk ke Venezuela, mereka hendaklah mengelak demonstrasi atau melakukan perjalanan antara bandar, pada waktu malam.

Amaran itu dikeluarkan hampir seminggu selepas Presiden Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Juan Guaido mengisytiharkan kerajaan Presiden Nicolas Maduro sebagai tidak sah dan mengumumkan dirinya sebagai presiden sementara.

Tahap 4 adalah amaran tertinggi yang dikeluarkan AS dan menyatakan “Jangan Lakukan Perjalanan”, manakala Tahap 3 menasihati supaya perjalanan itu dipertimbang semula.

Awal bulan ini, Jabatan Negara turut mengeluarkan amaran perjalanan Tahap 2 ke China, dengan alasan terdapat larangan keluar yang menyebabkan warganegara Amerika tidak jadi meninggalkan negara itu.

AS sudah mengeluarkan amaran perjalanan Tahap 4 bagi 12 negara, sejak Julai tahun lalu.

*Sumber: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Petugas kesihatan AS dikuarantin, terdedah Ebola

LINCOLN 30 DIS: Seorang petugas kesihatan Amerika Syarikat (AS) yang mungkin terdedah kepada virus Ebola ketika merawat pesakit di Republik Demokratik Rakyat Congo tiba di AS semalam dan dikuarantin di Nebraska.

Petugas yang belum menunjukkan sebarang gejala Ebola setakat ini itu akan dipantau selama dua minggu di Pusat Perubatan Universiti Nebraska (UNMC) di Omaha, kata pusat berkenaan dalam satu kenyataan.

Identiti pesakit juga tidak didedahkan atas alasan peribadi.

Gejala seperti demam dan sakit di bahagian perut mungkin akan muncul dalam masa tiga minggu selepas terdedah dengan virus maut itu, kata Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit.

Sekiranya gejala mula menular, petugas berkenaan akan dipindahkan ke Unit Pembendunganbio Nebraska, salah satu unit khusus untuk merawat penyakit berjangkit di AS.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak Ebola di Congo adalah yang kedua terburuk pernah berlaku dan mengorbankan 356 orang daripada 585 yang dijangkiti sejak menular enam bulan lalu.

Pusat ini pernah merawat tiga pesakit yang terdedah dengan virus itu pada 2014 dan memantau beberapa lagi ketika penularan terburuk Ebola pada 2013 hingga 2016 di Afrika Barat dengan lebih daripada 28,000 kes disahkan.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Pentadbiran Trump kaji naikkan tarif kenderaan China kepada 40 peratus

WASHINGTON 29 NOV: Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS) Robert Lighthizer berkata beliau sedang mengkaji semua kaedah yang ada bagi menaikkan tarif AS ke atas kenderaan China kepada 40 peratus, kadar sama yang dikenakan China ke atas kenderaan yang dikeluarkan di AS ketika ini.

Lighthizer berkata demikian dalam satu kenyataan mengkritik tarif tinggi dikenakan China ke atas kenderaan AS itu, yang mana beliau mengambil tindakan itu atas arahan Presiden Donald Trump.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari sebelum Trump dijadual bertemu Presiden Xi Jinping pada Sidang Kemuncak G20 di Buenos Aires.

AS mengenakan 25 peratus tarif ke atas kenderaan China, tambahan kepada 2.5 peratus yang biasa dikenakan.

China merendahkan tarif untuk semua negara lain kepada 15 peratus, tetapi mengenakan tambahan 25 peratus ke atas kenderaan AS sebagai tarif tindak balas.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Anti vaksin punca campak menular di Amerika Syarikat

NORTH CAROLINA 21 NOV: Sebuah sekolah di sini dilaporkan mencatat kes penularan demam campak terbesar di Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh beberapa dekad lalu.

Agensi Berita Antarabangsa BBC News melaporkan, seramai 36 murid di Sekolah Rendah Asheville Waldorf disahkan menghidap demam campak dan sebahagian daripada komuniti di sekolah berkenaan merupakan golongan anti vaksin.

Golongan pelajar di sekolah tersebut dibenarkan tidak mengambil suntikan vaksin atas sebab-sebab ajaran agama.

Sektor perubatan AS sebelum ini menegaskan bahawa pengambilan suntikan vaksin adalah jauh lebih selamat berbanding menghidap demam campak.

Jurucakap Jabatan Kesihatan North Carolina menerusi satu kenyataan menyatakan bahawa penularan penyakit berjangkit itu merupakan kes terbesar pernah dicatatkan di AS sejak vaksin untuk mencegahnya boleh didapati.

Sebanyak 110 daripada 152 pelajar di sekolah berkenaan tidak mengambil suntikan vaksin untuk mencegah jangkitan virus varicella yang menyebabkan demam campak.

Menurut data negara, kira-kira 67.9 peratus murid tadika di sekolah tersebut mendapat pengecualian suntikan vaksin dari tahun 2017 hingga 2018.

Sekolah rendah berkenaan mendapat kerjasama penuh para pegawai perubatan tempatan dan ia mematuhi undang-undang negeri North Carolina.

Undang-undang negeri ini membenarkan penduduknya mengambil beberapa suntikan imunisasi termasuk mencegah demam campak dan penyakit beguk untuk kanak-kanak tadika.

Namun, North Carolina juga membenarkan pengecualian perubatan atas sebab-sebab ajaran agama yang dianuti penduduknya dan mewakili negeri yang paling besar diberikan pengecualian itu.

Dalam pada itu, daerah Buncombe yang menempatkan bandar Asheville mempunyai penduduk lebih 250,000 orang dan dikecualikan daripada mengambil suntikan vaksin atas alasan agama di AS.

Penolakan vaksin itu adalah disebabkan kebimbangan segelintir ibu bapa di negara ini terhadap kesan suntikan vaksin terhadap anak-anak mereka.

SUMBER: BBC NEWS

Categories
GLOBAL

CSIS: 13 pangkalan peluru berpandu tidak diisytihar Pyongyang

SEOUL, 13 NOV: Sebuah kumpulan pemikir Amerika Syarikat (AS) semalam mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 daripada anggaran 20 pangkalan peluru berpandu yang tidak diisytiharkan di Korea Utara, menjejaskan cabaran buat perunding negara Uncle Sam itu untuk memujuk Pyongyang melepaskan senjata nuklear dan peluru berpandu jarak jauh.

Dalam laporan dikeluarkan Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategik (CSIS) berpusat di Washington DC, penyelidik berkata, penyelenggaraan dan pembaikan kecil infrastruktur dipantau di sesetengah tapak walaupun rundingan sedang berlangsung.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden AS Donald Trump berikrar untuk berusaha ke arah gencatan senjata dalam pertemuan bersejarah Jun lalu di Singapura namun perjanjian itu tidak menggariskan butiran terperinci manakala rundingan hanya menunjukkan sedikit perkembangan.

Trump menulis di Twitter tidak lama selepas pertemuan itu ‘tiada lagi ancaman nuklear dari Korea Utara.’

Korea Utara mengisytiharkan kekuatan nuklearnya ‘lengkap’ serta menghentikan ujian peluru berpandu dan bom nuklear awal tahun ini namun perunding AS dan Korea Selatan belum membuat pengisytiharan sepenuhnya terhadap saiz atau skop program senjata Pyongyang atau janji menghentikan untuk mengerah senjata sedia ada.

Korea Utara berkata, ia menutup tapak ujian nuklear Punggye-ri dan kemudahan ujian enjin peluru berpandu Sohae. Ia juga meningkatkan kemungkinan menutup lebih banyak kemudahan serta membenarkan pemeriksa antarabangsa jika Washington mengambil ‘langkah bersesuaian,’ yang setakat ini tiada tanda.

Seorang jurucakap Rumah Biru presiden di sini, Kim Eui-kyeom berkata, pegawai perisikan Korea Selatan dan AS memantau rapat tapak menggunakan satelit tentera dan laporan CSIS tidak mengandungi maklumat baharu.

“Korea Utara tidak pernah berjanji menutup pangkalan peluru berpandunya. Ia tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian, rundingan yang menjadikan penutupan pangkalan peluru berpandunya satu mandotori,” kata Eui-kyeom.

Tapak dikenal pasti CSIS dalam laporannya berselerak dan terletak di kawasan terpencil, pergunungan di seluruh Korea Utara dan mungkin digunakan untuk menyimpan peluru berpandu balitisk pelbagai jenis, terbesar dipercayai berupaya menyerang mana-mana tempat di AS.

Laporan CSIS mendapati, Sakkanmol, tapak terhampir dengan sempadan Korea Selatan dan ibu kotanya di sini, jelas ‘aktif dan diurus dengan baik.’

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Jet pejuang F/A 18 AS terhempas di Laut Filipina

TOKYO 12 NOV: Sebuah jet pejuang Amerika Syarikat F/A 18, terhempas di Laut Filipina selepas mengalami masalah teknikal ketika melakukan penerbangan rutin, kata Tentera Laut negara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua juruterbang berjaya diselamatkan serta-merta dan berada dalam keadaan stabil.

Siasatan berhubung punca kemalangan itu juga sudah bermula.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Trump benarkan tentera tembak pendatang Amerika Tengah

WASHINGTON 2 NOV: Presiden Donald Trump membenarkan anggota tentera negara ini yang ditempatkan di sempadan Mexico menembak pendatang Amerika Tengah yang membaling batu ke arah mereka semasa mereka cuba menyeberangi sempadan secara haram.

Beliau memberitahu wartawan di White House bahawa terdapat satu kumpulan daripada beberapa ribu pendatang yang berjalan kaki dari Amerika Tengah melalui Mexico telah membanling batu secara `ganas’ ke arah polis Mexico.

“Kami tidak akan bersabar. Mereka baling batu ke arah tentera kami, tentera akan membalas balik. Saya telah memaklumkan kepada pihak tentera, anggaplah satu batu yang dibaling adalah satu raifal.’’

`Ketika mereka membaling batu seperti yang dilakukan terhadap tentera dan polis Mexico maka saya menyifatkannya sebagai satu raifal,’’ katanya. –

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

FBI pintas dua lagi bungkusan disyaki bom

LOS ANGELES 25 OKT: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berjaya memintas dua lagi bungkusan mencurigakan yang dialamatkan kepada ahli Kongres California, Maxine Waters, semalam.

Sebelum ini, FBI turut memintas bungkusan sama yang dialamatkan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan anggota Demokrat berprofil tinggi yang lain.

Katanya, dua bungkusan itu ditujukan kepada Waters, seorang wakil veteran Demokratik AS dari Los Angeles yang lantang mengkritik Presiden Republikan, Donald Trump.

Penemuan itu sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bungkusan disyaki bom sebanyak lapan dan kini disiasat FBI.

SUMBER: REUTERS

Categories
GLOBAL

Jutaan pekerja bakal hilang kerja jika sengketa perdagangan berterusan

LONDON 20 OKT: Perang perdagangan yang semakin sengit mengundang ‘risiko sebenar’ terhadap ekonomi global, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Roberto Azevedo dalam ucapannya di London kelmarin.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terlibat dalam kancah perang perdagangan dengan China. Beliau melaksanakan tarif bernilai berbilion-bilion dolar bagi menangani defisit perdagangan dengan Beijing dan membendung amalan perdagangan yang merugikan Washington.

Trump juga menyasarkan Kesatuan Eropah (EU), manakala Azevedo memberitahu pemimpin-pemimpin perniagaan dalam ucapannya di Mansion House bahawa perang perdagangan AS-China itu tidak menampakkan tanda akan reda, lantaran, beliau merayu kepada pemimpin-pemimpin dunia supaya kembali ke meja rundingan.

“Ketegangan yang kian memuncak dan berterusan ini mencetuskan risiko sebenar,” kata Azevedo dalam amarannya.

Amaran tersebut seiring dengan kenyataan pakar-pakar ekonomi bahawa kegagalan dalam kerjasama perdagangan antarabangsa akan menyaksikan lonjakan tarif yang akan meleburkan 17 peratus pertumbuhan perdagangan global dan 1.9 peratus pertumbuhan ekonomi dunia.

“Ini akan mengakibatkan pekerja, firma dan komuniti terjejas,” kata Azevedo.

“Berjuta-juta pekerja akan hilang pekerjaan dan perlu mencari pekerjaan baharu. Firma-firma pula terpaksa mencari produk dan pasaran baharu,” tambahnya.

Menjawab dakwaan bahawa amalan perdagangan berat sebelah tidak mendapat hukuman setimpal di bawah sistem sedia ada, Azevedo berkata, penyelesaian politik mengenainya perlu dicapai dan beliau mahu pemimpin-pemimpin dunia berusaha ke arah itu pada sidang kemuncak G20 di Argentina, bulan depan.

Trump sehingga kini menguatkuasakan tarif bernilai AS$250 bilion (RM1.03 trilion) terhadap barangan China yang diimport AS dan mengancam untuk bertindak lebih drastik.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

2 lagi jet pejuang F-35 bakal diterima Turki Mac 2019

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 2 OKT: Amerika Syarikat akan menghantar dua lagi jet pejuang F-35 ke Turki pada 2019, kata ketua tentera program F-35 pada Isnin.

Agensi Berita Turki ANADOLU NEWS AGENCY melaporkan bercakap kepada wartawan di Arlington, Virginia, Naib Laksamana Mat Winter, pegawai eksekutif bagi program F-35, berkata beliau menjangkakan kapal perang itu akan diserahkan pada bulan Mac.

Ankara merancang untuk memperoleh 100 jet pejuang F-35 pada tahun-tahun akan datang.

Mat Winter berkata dia tidak “melihat apa-apa petunjuk perubahan” dalam penghantaran 100 jet Turki.

“Pentagon mesti mengemukakan laporan kepada Kongres dalam masa 90 hari dari Akta Pengesahan Pertahanan 2019 yang diberlakukan,” tambahnya, merujuk kepada pindaan kepada Akta Kebenaran Pertahanan Nasional yang melarang penjualan F-35 ke Turki hingga Pentagon mengeluarkan laporan mengenai Hubungan Turki-Amerika.

Pesawat F-35 adalah jet jenis ‘stealth’ yang dibina oleh Lockheed Martin, dianggap sebagai salah satu peralatan ketenteraan AST yang paling mahal, dengan kos purata sekitar $ 100 juta.

Winter berkata pejabatnya telah menyediakan maklumat teknikal dan program untuk laporan itu dan akan mengemukakannya dalam masa 90 hari.

Turki bakal menerima dua jet pejuang F-35 yang pertama pada penghujung bulan Jun di sebuah majlis di Fort Worth, Texas.

Turki telah berada dalam program F-35 sejak tahun 1999. Industri pertahanan Turki telah mengambil peranan aktif dalam pengeluaran mereka, termasuk Alp Aviation, AYESAS, Kale Aviation, Kale Pratt & Whitney dan Turkish Aerospace Industries membuat bahagian untuk F-35 pertama jet pejuang.