Categories
NASIONAL

AMK: Batalkan penyenaraian CCRIS 1.25 juta peminjam PTPTN

SHAH ALAM 24 APR: Kerajaan Persekutuan mesti menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau membatalkan penyenaraian di dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Pengerusi Biro Mahasiswa AMK, Fahmi Zainol, berkata anak muda terpaksa berhutang demi mendapatkan pendidikan tinggi untuk masa depan lebih baik.

ptptn student“Namun, kini dibelenggu masalah sebegini, bukannya bertambah baik, tetapi semakin teruk.

“Kegagalan 1.25 juta anak muda membayar semula pinjaman PTPTN, melambangkan kegagalan program PTPTN itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Fahmi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat AMK itu berkata mahasiswa sering kali menjadi mangsa di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Pelbagai masalah menimpa nasib mahasiswa. Bermula pemotongan belanjawan pendidikan negara dua tahun berturut-turut, biasiswa pendidikan dipotong RM812 juta, 744 pelajar berjaya dapat tajaan JPA ke luar negara ditarik biasiswa mereka apabila hanya ditaja dalam negara sahaja.

“Kini, mahasiswa tidak bayar pinjaman PTPTN dikenakan tindakan CCRIS tidak boleh untuk membuat pinjaman pembelian rumah ataupun kereta,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Laporan polis AMK berkaitan skandal 1MDB

OLEH : NIK NAZMI NIK AHMAD

Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan polis hari ini bertarikh 15 April 2016 berhubung skandal kewangan dan salah guna kuasa yang melibatkan 1MDB agar satu siasatan yang menyeluruh dapat dijalankan terhadap 1MDB dan juga mereka yang terlibat secara langsung atau langsung dengan skandal tersebut termasuklah terhadap Dato’ Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri, Arul Kanda selaku Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Jho Low, ahli-ahli Lembaga Penasihat 1MDB, pengurusan 1MDB dan lain-lain.

Berdasarkan Laporan Jawatankuasa Kira-kira (PAC) yang diterbitkan pada 7 April 2016 khusus berkenaan 1MDB, terdapat fakta-fakta yang dilaporkan menimbulkan lebih banyak tanda tanya terutamanya bayaran-bayaran yang dibuat oleh 1MDB yang dikatakan tidak mempunyai rekod pembayaran yang lengkap dan sebagainya.

Antaranya adalah:-

US$ 1.03 bilion kepada Good Star Limited
US$ 3.51 bilion kepada Aabar Investment PJS Limited
US$ 940 juta di BSI Bank Singapura
US$ 1.56 bilion pelaburan di dana pelaburan asing

AMK 1MDBBerdasarkan laporan-laporan di media massa, penjelasan oleh mereka (seperti yang disebut di atas) adalah tidak memuaskan dan gagal membuktikan bahawa transaksi tersebut dibuat secara telus dan dengan tujuan penubuhan 1MDB.

Oleh yang demikian, AMK membuat laporan ini agar pihak polis mempercepatkan analisa terhadap Laporan PAC dan menyiasat mereka yang berkenaan (Dato’ Seri Najib Razak, Arul Kanda, Jho Low dan lain-lain) berdasarkan perkara berikut:-

1. Laporan PAC tidak menjelaskan skandal 1MDB secara menyeluruh dan malah membuka lebih banyak persoalan kerana 1MDB masih terus memberi justifikasi dan kenyataan media untuk mengelak daripada menjawab soalan-soalan yang ditimbulkan oleh rakyat. Ini menimbulkan tanda tanya samada wujudnya elemen menghalang pihak berkuasa daripada menjalankan siasatan yang menyeluruh “obstruction of justice”.

2. Nama yang disebut-sebut sebagai yang bertangjawab yang menyebabkan berlakunya skandal 1MDB adalah bekas Ketua Pengarah Eksekutif 1MDB. Ini menimbulkan persoalan samada berlakunya konspirasi tersusun dikalangan mereka yang memegang jawatan sekarang untuk meletakkan beban atau tanggungjawab ke atas orang lain “conspiracy to conceal”.

3. Menurut laporan PAC dan juga dokumen-dokumen yang disebarkan secara meluas di internet menunjukkan Dato’ Seri Najib Razak menandatangani dokumen-dokumen 1MDB. Walaupun peguam beliau cuba menafikan penglibatan Najib Razak dan menghadkan liabiti beliau, tetapi itu hanya seolah-olah mengesahkan tandatangan Najib Razak.

Sekiranya benar, ini menimbulkan persoalan samada Najib Razak, Arul dan lain-lain sebenarnya cuai dan menyebabkan 1MDB berhutang puluhan bilion ringgit “negligence”.

Setakat ini, pihak polis telah menunjukkan kemampuan mereka untuk menjalankan siasatan begitu pantas. Sebagai contoh, Yang Berhormat Rafizi Ramli telah ditangkap dan dimasukkan dalam lokap dalam hanya tempoh 7 jam selepas laporan polis dibuat dan kemudian didakwa di Mahkamah dengan tiga pertuduhan dalam tempoh kurang 72 jam.

Laporan ini dibuat untuk membolehkan pihak polis menyiasat mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB bagi membolehkan tindakan undang-undang dapat diambil.

Laporan ini dibuat agar skandal 1MDB dapat dihentikan segera dan menyelamatkan rakyat Malaysia daripada terpaksa menanggung beban hutang 1MDB.

Laporan ini juga dibuat bagi menjaga nama baik dan maruah negara.
Sekian, terima kasih.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

Categories
NASIONAL

Bentuk gabungan bersama laksana agenda Reformasi

OLEH : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 FEB: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyeru rundingan bersama semua pihak membentuk gabungan besar berhadapan dengan Kerajaan Persekutuan dipimpin Umno Barisan Nasional.

Timbalan Angkatan Muda KEADILAN, Dr Afif Bahardin, berkata gabungan itu perlu bersatu berpaksikan agenda perubahan mewujudkan kerajaan adil, amanah dan jujur serta demi menyelamatkan Malaysia.

Katanya, kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menuntut supaya reformasi sistem dilakukan harus menjadi suntikan semangat kepada anak muda seluruh negara.

Selamat Malaysia“Tuntutan reformasi sistem ini adalah perjuangan panjang majoriti rakyat yang mahu menyaksikan perubahan. Krisis kepimpinan, ekonomi dan keyakinan berlaku ancaman masa depan negara dan kehidupan rakyat.

“Krisis negara hadapi sekarang bermula dengan masalah kepimpinan negara dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan akibatnya skandal 1MDB dan ‘derma’ RM 2.6 billion mengakibatkan keyakinan rakyat terhadap institusi pemerintah berada di tahap kritikal,” katanya.

Beliau berkata lebih parah ialah ketirisan, rasuah dan penyelewengan yang berterusan mengakibatkan negara bergelumang dengan masalah hutang dan pembaziran dana awam yang berleluasa.

“Keyakinan pelabur dan peniaga merosot menambahkan lagi kegawatan kepada krisis ekonomi yang kian meruncing dan menjadi bukti kegagalan pemerintah mengatasi krisis,” katanya dalam kenyataan.

Dr Afif berkata tindakan pemerintah mempergunakan jentera kerajaan menyekat suara tuntutan rakyat juga menjerumuskan lagi negara ke arah kehancuran.

Beliau yakin majoriti anak muda merentasi batas kaum, agama, ideologi dan pegangan politik mendambakan kerangka baru untuk membawa Malaysia ke hadapan.

“Masanya sudah tiba kita keluar daripada belenggu lama dan mencipta sejarah baru tersendiri,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

AMK zahir simpati mangsa pengeboman di Jakarta

SHAH ALAM 15 JAN: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menzahirkan rasa sedih atas peristiwa hitam yang menggugat keamanan dan keharmonian di Indonesia.

Timbalan Ketuanya, Dr Afif Bahardin, berkata ancaman terorisme bukan omong kosong tetapi kenyataan yang harus dihadapi dengan strategi berkesan melalui pelbagai kaedah.

Katanya, ekstremisme dieksport itu bukan sahaja sampai ke Eropah tetapi juga berjaya dibawa masuk ke rantau ini.

1477640_10153862083516797_6465354867592185848_n“AMK percaya pihak berkuasa Malaysia melakukan usaha mereka sebaik mungkin menghalang berlakunya serangan keganasan di bumi bertuah ini,” kata Dr Afif dalam kenyataan media.

Beliau berkata kaedah “hard power” oleh pihak berkuasa melalui risikan dan kawalan semata-mata tidak cukup dan hendaklah dibantu dengan “soft power” melalui pendidikan dan penjelasan.

Katanya, menjadi peranan pendidik, guru dan tokoh masyarakat setempat untuk memberikan kesedaran kepada rakyat bagi mereka mengatakan tidak kepada keganasan.

“Semua pihak diseru mengukuhkan jaringan hubungan sesama masyarakat supaya tidak wujud elemen radikal dan ekstremisme yang boleh membawa kepada tindakan keganasan di negara ini.

“AMK menyatakan solidariti bersama seluruh rakyat Indonesia yang sudah tentu terkejut dan marah dengan apa yang berlaku di Jakarta,” katanya.

Serangan bom dan senjata api yang berlaku di Sarinah Mall, Jakarta pada 14 Januari lalu mengakibatkan tujuh orang terbunuh, dua daripadanya adalah orang awam manakala lima orang di kalangan suspek pengganas.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

AMK kecam tindakan Kerajaan Sarawak halang Nurul Izzah

Oleh: Nik Nazmi Nik Ahmad

Angkatan Muda KEADILAN mengecam tindakan kerajaan negeri Sarawak yang telah menghalang Ahli Parlimen Pantai, Nurul Izzah Anwar daripada memasuki negeri tersebut tanpa sebarang alasan yang munasabah.

Sekali lagi kerajaan Sarawak telah menyalahguna kuasa untuk menghalang warga negara Malaysia sendiri sepertimana mereka menghalang Rafizi Ramli, Tony Pua dan Ambiga Sreenavasan.

Izzah SarawakTindakan ini bertambah mengecewakan kerana Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menterinya, Adenan Satem, sentiasa menggambarkan diri mereka sebagai kerajaan yang progresif dan terbuka, namun hakikatnya mereka tetap meneruskan budaya politik di bawah pentadbiran Taib Mahmud yang lalu.

Jelas kerajaan Barisan Nasional tidak kira di mana jua dan siapa sahaja pemimpinnya, tidak akan mampu berpegang pada prinsip demokrasi yang sebenar.

Tindakan yang memalukan ini hanya akan mencalarkan lagi kredibiliti mereka pada pandangan rakyat Malaysia.

* Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ketua AMK KEADILAN

Categories
NASIONAL

KEADILAN: Persekutuan sengaja besarkan isu Nurul Izzah

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 NOV: KEADILAN membidas tindakan‎ Kerajaan Persekutuan yang membesarkan isu gambar pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan anak perempuan bekas ketua kumpulan pemberontak Sulu, Jamalul Kiram III.

Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata tidak wajar untuk menuduh Ahli Parlimen Lembah Pantai itu sebagai pengkhianat sedangkan beliau antara yang paling lantang mengecam insiden pencerobohan Lahad Datu.

“Perlu diingatkan KEADILAN dan rakan pembangkang antara yang paling mengecam pencerobohan di Lahad Datu kerana kami percaya kerajaan Malaysia tidak berjaya menangani dengan teratur dan baik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

nik nazmiNik Nazmi berkata, Barisan Nasional (BN) sebenarnya cuba mengalih isu sebenar iaitu berkenaan pembebasan bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas gesaan sekumpulan pemantau daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“BN tidak seharusnya lari daripada perkara ini dan bagaikan sengaja hendak mengalihkan perhatian‎,” katanya.

Beliau turut mempertahankan tindakan Naib Presiden itu menghadiri program anjuran Manila yang menyokong Anwar dibebaskan.

Baru-baru ini, tercetus kontroversi selepas ‎gambar pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya terdedah.

Tindakan itu mengundang kritikan ramai pihak terutama pemimpin kerajaan yang menyatakan tindakan Nurul Izzah tidak wajar.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Serbu pejabat media calar kredibiliti negara

SHAH ALAM, 9 NOV : Serbuan terhadap dua pejabat media tempoh hari mencemar kredibiliti Malaysia sebagai negara demokrasi, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata media sepatutnya diberi ruang untuk bebas berfungsi tanpa sebarang tekanan atau pemerhatian melampau pihak kerajaan.

Malah, katanya tindakan itu juga mencemar kewibawaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis yang bertindak dalam serbuan terbabit.

serbu MKini“AMK mengecam tindakan SKMM dan polis yang menyerbu pejabat MalaysiaKini dan The Star Online.

“Kejadian ini menggusarkan kerana rakyat pasti akan melihat serbuan itu sebagai bersangkut-paut dengan kontroversi Kerajaan Persekutuan yang tidak berkesudahan,” katanya dalam kenyataan.

Nik Nazmi berkata, dua agensi terbabit juga perlu telus menerangkan mengapa tindakan itu diambil, sebelum keyakinan rakyat kian terhakis.

“Justeru, segala tindakan zalim terhadap institusi awam dan pihak pengkritik mestilah dihentikan dengan segera,” katanya.

Terdahulu, SKMM dan polis menyerbu dua agensi portal itu dan bertindak merampas dua buah komputer yang digunakan bagi menghasilkan laporan perpindahan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai tersebut, dimaklumkan adalah sebahagian daripada kumpulan penyiasat yang sedang menyiasat anak syarikat Kementerian Kewangan, SRC International.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, sudah pun mengesahkan bahawa pegawai tersebut dipindahkan secara dalaman di SPRM.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

PKR lancar buku Biru Muda untuk anggota baru

Angkatan Muda Keadilan (AMK) melancarkan ‘Buku Biru Muda’ untuk tujuan latihan dan pengkaderan anggota-anggota muda.

Buku Biru Muda yang mengandungi sejarah parti, Deklarasi Permatang Pauh, asas-asas perjuangan serta agenda ekonomi KEADILAN bakal menjadi bahan rujukan penting untuk anggota muda yang baru menyertai parti.

Biru MudaSebagai salah satu usaha untuk melatih angkatan muda yang berkualiti serta komited kepada perjuangan, satu Program Induksi KEADILAN (PIK) juga akan dijalankan setiap bulan untuk anak-anak muda yang baru menyertai KEADILAN.

Maka AMK menggalakkan anak-anak muda mendaftar sebagai anggota KEADILAN melalui cara atas talian iaitu dengan melayari: keanggotaan.keadilanrakyat.org.

Selain itu, dimaklumkan bahawa satu permohonan semakan kehakiman kes Fitnah Liwat II Dato’ Seri Anwar Ibrahim bakal disebut di Mahkamah Persekutuan bertarikh 16 November (Isnin) jam 9 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Sehubungan itu AMK mengumumkan bahawa kempen petisyen 1 Juta #BebasAnwar akan dilancarkan di peringkat seluruh negara.

IMG-20151017-WA0012Ini bertujuan memberikan kesedaran bahawa pembebasan Anwar Ibrahim merupakan satu kewajipan bagi mereka yang benci kepada kezaliman serta politik kotar dan ingin menegakkan keadilan dan demokrasi.

Hasil kutipan tandatangan daripada kempen seluruh negara buat peringkat ini akan diserahkan kepada Sekretariat “1 Juta Tandatangan #BebasAnwar” sebelum 16hb November dan diharapkan kesedaran rakyat yang kian tinggi dapat memberikan semangat baru dalam pendengaran semakan kehakiman ini.

AMK menegaskan sekali lagi bahawa pemenjaraan Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah satu konspirasi politik bagi menamatkan riwayat politik beliau sebagai Ketua Pembangkang dan bertujuan untuk mengekalkan kedudukan UMNO/BN yang kian tercabar dengan kebangkitan rakyat.

Rakyat khususnya anak-anak muda diseru supaya bersatu dan terus menolak cara politik korupt dan kotor UMNO/BN.

* Kaedah Menghantar Petisyen #BebasAnwar

1. Muat Turun Borang: http://tinyurl.com/BebaskanAnwar atau Laman web parti http://www.keadilanrakyat.org/petisyen-bebasanwar/

2. Kumpulkan tandatangan dan kembalikan kepada sekrerariat melalui:

a. HANTAR ke Tempat Pengumpulan: Ibu Pejabat KEADILAN, Tropicana

b. FAKS: 03-78830531 (Maisuri)

c. SCAN & EMEL: [email protected]

Categories
NASIONAL

Kadar muflis anak muda membimbangkan, rombak ekonomi negara

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 OKT: Peningkatan kadar muflis di kalangan anak muda adalah tragedi membimbangkan dan perlu dielakkan, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata jika keadaan itu berterusan, ia memberi kepada kadar kepenggunaan domestik yang diperlukan ketika ekonomi kurang stabil.

nik nazmiKatanya, bagaimanapun golongan muflis muda tidak wajar dipersalahkan kerana mereka menceburi perniagaan dan terpaksa berhutang ekoran terdesak.

“Jabatan Insolvensi Negara juga mengakui ketika ditemuramah Reuters bahawa golongan muda dibebankan hutang pelajaran dan perbelanjaan seperti pengangkutan dan tempat tinggal.

“Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), peningkatan kos sara hidup dan harga perumahan yang tinggi sehingga orang tak mampu miliki mengisyaratkan kegagalan pentadbir,” katanya dalam kenyataan media.

Baru-baru ini, Reuters memetik data daripada Standard And Poors yang menunjukkan Malaysia mempunyai kadar hutang persendirian tertinggi di antara 14 ekonomi Asia.

Data Jabatan Insolvensi Negara juga menunjukkan bahawa 5,547 individu muflis berumur bawah 35 tahun pada 2014, lebih dua kali ganda daripada 2005.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Exco Negeri berkata jumlah orang muflis di bawah umur 25 pada 2014 juga adalah 635 iaitu tiga kali ganda daripada tahun sebelumnya.

“Oleh itu, PKR dan rakan seperjuangan akan terus berjuang agar rakyat memperoleh kehidupan baik dengan memerangi rasuah dan kepincangan kepimpinan.

“Kita juga perlu rombak ekonomi negara dan lebih fokus kepada perkhidmatan dan modal insan, penyelidikan, pembangunan dan produktiviti,” katanya.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

Tol naik, BN tambah sengsara rakyat

Oleh: Fahmi Fadzil

Peningkatan kadar tol di lebih 10 lebuhraya adalah bukti kerajaan UMNO-BN cukup tidak sensitif terhadap realiti yang dihadapi rakyat biasa akhir-akhir ini.

Umum cukup terkejut dengan keputusan kerajaan ini, lebih-lebih lagi di kala suasana ekonomi yang muram, nilai mata wang ringgit yang lemah, pelbagai isu dan skandal kewangan yang membelenggu negara serta hutang negara yang menggunung.

plaza tolMalah peningkatan kadar tol ini sudah pasti akan menyebabkan harga barang meningkat, yang akan terus membebankan rakyat.

Kerajaan UMNO-BN perlu menghentikan rancangan untuk menaikkan kadar tol Khamis ini.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu membolehkan orang ramai meneliti perjanjian konsesi kesemua lebuhraya, serta mengkaji semula kadar tol sedia ada agar ia dapat dikurangkan.

Jika tidak, pentadbiran Najib Razak perlu bersedia untuk berhadapan sentimen rakyat yang sudah pasti semakin marah dan semakin bersedia untuk melakukan perubahan.

* Fahmi Fadzil adalah Pengarah Komunikasi merangkap Naib Ketua AMK

Categories
NASIONAL

700 skuad AMK & peguam bantu lancarkan Bersih 4.0

Oleh : NAEEM RAFFI

PETALING JAYA, 25 OGOS: Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara rasmi mengerahkan lebih 700 pasukan keselamatannya (Skuad) turun ke himpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 ogos ini.

Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Skuad berperanan memastikan perhimpunan dua hari satu malam itu berjalan lancar, aman dan selamat kepada semua pihak.

“AMK menyokong penuh himpunan Bersih 4 termasuk kesemua tuntutannya iaitu pilihan raya bersih, kerajaan bersih, hak membantah, mengukuhkan demokrasi berparlimen dan menyelamatkan ekonomi negara.

Skuad AMK“Atas keperluan memastikan perjalanan himpunan berlangsung aman, AMK mengerahkan Skuad yang telah menjalani latihan dan diberi taklimat berterusan tentang Bersih 4,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Ketua AMK, Tan Khar Hing dan Ketua Skuad, Rafizal Ahmad.

Rafizal yakin Skuad yang terlatih mampu menjamin himpunan berlangsung aman daripada pelbagai risiko keselamatan daripada provokasi.

“Skuad yakin kekuatan kami mampu memberi keselesaan kepada peserta himpunan.

“Mudah untuk mengenali kami, lihat sahaja baju rasmi berwarna hitam ini. Jumpa dan kami akan bantu sekiranya peserta ada masalah,” katanya.

Dalam kesempatan itu, AMK mengarahkan semua anggotanya menyertai Bersih 4 hujung minggu ini sama ada di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching.

Di Kuala Lumpur, AMK dijangka mula berhimpun di Sogo pada 2 petang (29 Ogos) sebelum berarak ke Dataran Merdeka bersama-sama peserta himpunan lain.

Selain Skuad, AMK turut mengerahkan barisan peguamnya untuk bertugas membantu pasukan guaman Bersih 4.

Selari dengan tuntutan Bersih 4, Nik Nazmi berkata AMK juga menuntut agar Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan ketika ini atas tuduhan fitnah dibebaskan serta merta dari penjara.

“AMK juga menyokong #langkahSiswa #OccupyParlimen dengan mahasiswa sudah mula berhimpun di bangunan Parlimen mengemukakan tuntutan kepada Perdana Menteri.

“AMK turut mengecam tindakan polis yang memanggil beberapa pemimpin AMK untuk siasatan berkenaan ‘Konvoi AMK- Bersih Merdeka’,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Bersih 4.0: Polis patut hormati hak rakyat berhimpun

Oleh: AFEEQA AFEERA

SERI KEMBANGAN, 23 OGOS: Polis perlu menghormati hak rakyat untuk berhimpun di ibu kota pada 29 dan 30 Ogos ini bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil kerana ia termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata mahkamah turut membenarkan perhimpunan diadakan asalkan ia berlangsung dalam keadaan aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Ketua Polis Negara (KPN) kena ingat saya sudah lawan kes Akta Perhimpunan dan menang, jadi mereka sepatutnya hormat hak perlembagaan untuk berhimpun.

Bersih 4 - Profile Photo-01“Rakyat hendak menunaikan hak untuk berhimpun dan saya yakin ramai akan turun pada 29 Ogos nanti,” katanya kepada pemberita di Visual Arts Expo 2015 di Mines International Exhibition and Convention Centre, di sini.

Mengulas cadangan KPN supaya perhimpunan itu diadakan di Stadium Bukit Jalil, Nik Nazmi berkata polis tidak berhak menghalang rakyat berhimpun di mana-mana kawasan sekalipun.

Beliau turut yakin amaran polis untuk menangkap peserta yang menyertai himpunan tidak akan mematahkan semangat mereka untuk berkumpul.

“Bersih 4.0 akan tetap dijalankan kerana rakyat memiliki hak untuk berhimpun.

“AMK akan memberi sokongan penuh kepada perhimpunan ini dan menggerakkan jentera untuk turun pada 29 Ogos ini,” katanya yang juga Exco negeri.

Bersih 4.0 akan bermula pada pukul 2 petang 29 Ogos dan berakhir pada jam 11.59 malam, 30 Ogos.

Ia bagi menuntut pilihan raya yang bersih, kerajaan bebas rasuah, hak untuk membantah, mengukuhkan demokrasi parlimen dan menyelamatkan ekonomi.

EZY