Categories
NASIONAL

Pendidikan Percuma: AMK Cadang Jumpa MB Selangor

SHAH ALAM 27 APR : Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia bercadang mengadakan pertemuan empat mata dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membincangkan berkenaan pendidikan percuma.

Menerusi satu kenyataan Setiausaha AMK, Julailey Jemadi menjelaskan pertemuan ini bertujuan berbincang dan menyampaikan sumbang saran tentang dasar pendidikan percuma, khususnya di Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat.

“AMK melihat isu ini sebagai urusan yang wajar disegerakan untuk membuktikan bahawa pentadbiran dan tatakelola kerajaan Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya, walaupun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan,”katanya.

Menurutnya lagi, isu ini sudah mendapat perhatian dari pelbagai pihak, bukan sahaja di peringkat kerajaan pusat dan negeri-negeri, malah wacana ini dibicarakan pada peringkat akademik, Universiti dan para ibu bapa di seluruh negara.

“Surat sudah dihantar kepada Pejabat Menteri Besar. Diharapkan  Menteri Besar mempunyai ruang untuk berdiskusi. AMK  yakin, setelah empat tahun mentadbir negeri Selangor. Menteri Besar mampu sekali lagi mendepani isu ini dengan merangka satu dasar pendidikan percuma, khususnya di semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dimiliki kerajaan negeri,”katanya.

Dalam kenyataan itu juga, AMK akan  sentiasa berada di belakang kepimpinan Menteri Besar dalam meneruskan agenda merakyatkan ekonomi dan pendidikan di negeri Selangor.

AMK juga yakin Selangor mampu menjadi model dan peneraju pendidikan percuma di peringkat nasional.

Categories
NASIONAL SELANGOR

AMK Puchong Daftar 4,000 Pengundi Baru

SHAH ALAM, 18 APRIL : Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman bakal berdepan dengan jalan sukar untuk mempertahankan kerusi DUN yang disandangnya, Seri Serdang untuk Pilihanraya Umum ke-13 akan datang apabila melihat peningkatan pengundi yang mendadak dicatatkan oleh Pakatan Rakyat di kawasannya.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Puchong sekurang-kurangnya berjaya mendaftar 4,000 pengundi baru sehingga suku tahun pertama tahun 2012.

Naib Ketua AMK Selangor, P.Saravanan berkata pihaknya sedang giat melipat gandakan usaha bagi mencapai sasaran 1,000 pengundi lagi untuk didaftarkan sebelum tempoh pilihanraya.

Saravanan menambah, pertambahan pengundi ini bakal memberi tamparan hebat kepada Umno-BN apabila terpaksa mengekalkan kerusi pemimpin harapan mereka pada Pilihanraya Umum akan datang.

“Saya percaya DUN Seri Serdang akan menjadi panas pada PRU-13 kerana adunnya adalah ketua pembangkang Selangor yang  dahulunya hanya memenangi kerusi ini dengan perbezaan 45 pengundi untuk menewaskan calon PAS hanya dengan perbezaan 45 pengundi.

“Kini pengundi baru dari kalangan anak muda dan pertengahan memberi reaksi positif untuk terus bersama kita.

“Perlu diingatkan, bahawa Satim hanya menang pada PRU-12 dengan menewaskan calon PAS dengan hanya kelebihan 45 undi,”ujarnya.

Mengulas lanjut, Saravanan yakin dengan usaha giat mereka selama ini mendekati dan menyantuni masyarakat akan disempurakan dengan undian berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Categories
NASIONAL

Pendedahan Terkini Skandal Scorpene, PM Dicabar Saman Asia Sentinel

SHAH ALAM, 12 APR : Perdana Menteri dicabar menyaman portal berita Asia Sentinel berhubung pendedahan skandal pembelian kapal selam Scorpene yang membabitkan peranan mendiang Altantuya Shariibuu dan sekutu rapatnya Abdul Razak Baginda.

Ketua Angkatan Muda Keadilan(AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak Datuk Seri Najib Abdul Razak menjawab artikel nukilan John Berthesen, “Gun Begins Smoke in Malaysian Sub Scandal” seperti yang disiarkan di 5 April lalu.

Artikel tersebut menyiarkan secara terperinci peranan mendiang Altantuya Shariibuu di dalam transaksi pembelian kapal selam Scorpene dengan beberapa fakta kontroversi.

Selain itu, artikel tersebut turut mendedahkan beberapa fakta melibatkan salah laku dan penyelewengan yang ketara di sebalik pembelian kapal selam Scorpene tersebut.

“Dalam transaksi yang bernilai US$1.2 bilion tersebut, fakta didedahkan melalui proses penyiasatan percaya bahawa sekurang-kurangnya sejumlah ?36 juta (RM144 juta) yang disalurkan melalui sebuah syarikat yang berpusat di Hong Kong, Terasasi (HK) Ltd yang dikendalikan oleh orang kanan Najib iaitu Abdul Razak Baginda, berakhir di ‘poket Najib’.

“Syarikat Terasasi ini yang bertempat di daerah Wan Chai, Hong Kong turut dikendalikan oleh bapa kepada Razak Baginda iaitu Abdul Malim Baginda,”katanya dalam satu kenyataan.

Malah, fakta-fakta seumpama ini digelapkan di dalam media Malaysia dan hanya diperoleh melalui siasatan media antarabangsa yang mempunyai akses siasatan yang lebih terperinci.

Justeru, AMK mencabar Najib untuk mebuat penafian terbuka secara spesifik dan menyaman John Berthesen serta Asia Sentinel sekiranya ia merupakan fitnah semata-mata.

“Fakta-fakta yang diperincikan oleh Asia Sentinel ini mempunyai kredibiliti dan harus dinafikan oleh Najib secara berfakta untuk membersihkan nama beliau selaku Perdana Menteri Malaysia,” jelas beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Ditambah dengan pengakuan bapa kepada mendiang Altantuya, Dr Shaaribuu Setev bahawa beliau pernah melihat gambar di antara  mendiang Altantuya, Razak Baginda dan Najib yang seolah-olah menggambarkan penglibatan Najib di dalam skandal ini.

Terdahulu, Najib telah bersumpah pada Ogos 2008 menafikan isu yang mengaitkan beliau dengan mendiang Altantuya yang dibunuh kejam pada Oktober 2006 lalu.

Categories
NASIONAL

Shuhaimi : Umno Ikut Peraturan, Tetapi Tak Bermoral

SHAH ALAM, 28 MAC : Penjualan tanah oleh segelintir pemimpin Umno-BN yang menyalahgunakan pengaruh mereka dalam pentadbiran lama adalah tidak bermoral walaupun transaksi mereka mengikut undang-undang.

ADUN Sri Muda, Shuhaimi Shafie menambah sesetangah kes penjualan tanah tersebut kepada syarikat swasta di mana pemimpin Umno itu ada kepentingan.

Shuhaimi juga berkata, kebanyakan pemimpin Umno-BN mematuhi peraturan yang betul semasa menjual tanah rizab Melayu, namun mereka mengambil kesempatan atas kedudukan yang dimiliki untuk mempercepatkan proses jualan tanah.

Menurutnya, situasi itu dilihat melibatkan isu penyalahgunaan kuasa ke atas jawatan yang dimiliki selain tidak menjaga kebajikan rakyat.

“Pemimpin Umno menggunakan undang-undang yang betul, tetapi cara mereka itu tidak kena dan dilihat membelakangkan rakyat.

?Mereka menggunakan pengaruh yang ada untuk mempercepatkan proses penjualan tanah yang berkemungkinan mengambil masa panjang untuk orang biasa.

Maka, atas faktor itu kita sifatkan ia sebagai salah satu isu penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.

Shuhaimi sebelum ini mendedahkan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Umno-BN terdahulu dalam isu pemberian tanah yang melibatkan beberapa bahagian Umno Selangor.

Beliau berkata, pendedahan tersebut merupakan reaksi daripada desakan ADUN Umno-BN dalam sesi Dewan Negeri Selangor baru-baru ini supaya beliau membuktikan dakwaan tentang penyelewangan Umno-BN.

Shuhaimi mendedahkan tiga kes, iaitu pemberian tanah Kerajaan kepada Umno Kota Raja pada tahun 2007 dan cubaan Ketua Umno Puchong, Datuk Satim Diman untuk menjual tanah rizab Melayu kepada syarikat bukan Bumiputera.

Satim juga didakwa telah menggunakan pengaruhnya di dalam pentadbiran Umno-BN yang lama bagi menjual tanah anak syarikat Kerajaan Negeri kepada sebuah syarikat swasta di mana beliau mempunyai kepentingan.

Shuhaimi berkata, pihaknya akan meminta Angkatan Muda Keadilan (AMK) untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu tanah di Jalan Bukit Kemuning.

“Umno Kota Raja tidak bayar seperti yang dibayar oleh orang lain. Dia bayar secara nominal iaitu seringgit sekaki dan menggunakan perkongsian geran bersama majlis untuk mendapat manfaat.

?Isu penyalahgunaan dana dan kuasa ini yang perlu diketengahkan supaya rakyat dapat menilai bahawa ia tidak bermoral,” katanya.

Categories
NASIONAL

‘Projek wahyu’ Jadi Lubuk Umno/BN Rompak Duit Rakyat

SHAH ALAM, 16 Febuari: Projek rundingan langsung yang juga dikenali sebagai ‘projek wahyu’ merupakan penyumbang terbesar ketirisan dan pembaziran wang rakyat tetapi dianggap sebagai lubuk duit bagi kroni Umno-BN di pelbagai peringkat.

Syarikat- syarikat yang memperolehi sesuatu projek juga kerap didapati tidak memiliki kelayakan dan pengalaman bersesuaian bagi menjalankan sesuatu projek yang dianugerahkan.

” Pemberian projek secara rundingan terus atau projek wahyu ini mudah dimanipulasikan, wang rakyat disalahgunakan dengan melantik kroni-kroni mereka menjalankan sesuatu projek dan merompak duit rakyat.

“Kita sering dengar berita, syarikat yang dapat projek rundingan terus akhirnya gagal menyiapkan sesuatu projek dengan sempurna dan akhirnya projek itu hanya beri peluang kroni pemimpin tertentu buat duit dan bukannya beri manfaat rakyat terbanyak,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin hari ini.

Shamsul turut tidak menolak isu kegagalan projek yang membabitkan National Feedlot Corporation (NFC) yang tercetus baru-baru ini juga sebagai sebahagian daripada akibat kecuaian dan ketidak telusan dalam memberi projek-projek kerajaan.

“Bagitu juga dengan isu pembaziran wang rakyat yang diumumkan Jabatan Audit negara berhubung pembaziran wang negara berjumlah lebih RM20 bilion setahun disebabkan oleh pemberian kepada kroni yang tidak berpengalaman.

“Akhirnya wang lesap projek tak terlaksana dan rakyat yang menanggung kesusahan,” katanya ketika dihubungi.

Dua hari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid mendapati kebanyakkan projek wahyu yang dikendalikan kerajaan BN dikategorikan tenat.

Azmi turut menyarankan agar kerajaan mengetatkan sistem pemilihan yang membabitan projek rundingan terus.

Antara projek-projek tersebut ialah projek pembinaan jalan raya luar bandar, sekolah, pelabuhan, landasan kereta api, penjara, kem tentera,pembekal makanan sekolah, pembekal peratan kementerian dan hospital dan penyelenggara bangunan.

Menurut Shamsul, kerajaan harus mencontohi kerajaan Selangor kerana menggunakan dasar tender terbuka.

“BN patut contohi Kerajaan PKR Selangor sekarang, setiap projek disaring dengan ketat dan telus bagi memastikan setiap sen wang yang dibelanjakan dapat memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

“Sebab itulah, walaupun Kerajaan Selangor tidak mendapat dokongan kewangan dari kerajaan pusat tetapi mereka berjaya menyimpan 1.9 bilion wang dari hasil yang mereka perolehi.” katanya.

Sementara itu pada Januari lalu, kerajaan pusat telah menggunakan wang rakyat sebanyak RM2.71 bilion untuk diberikan kepada Umno Selangor.

Wang tersebut tidak diserahkan kepada kerajaan negeri tetapi diberikan kepada pemimpin-pemimpin Umno di negeri itu untuk menumbangkan Pakatan Rakyat Selangor.

Wang rakyat yang sebegitu besar diperlakukan sewenang-wenangnya oleh Umno selangor tanpa di audit dan diketahui kemana wang tersebut disalur dan dibelanjakan.