Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota polis ditular meninggal dunia, tidak alami gejala semasa disuntik

IPOH, 5 APRIL: Anggota polis yang viral kononnya meninggal dunia selepas komplikasi vaksin Covid-19, tidak mengadu sebarang gejala selepas menerima vaksin dos pertama dan kedua.

Pengarah Kesihatan Perak Datuk Dr Ding Lay Ming tampil menjelaskan bahawa, anggota balai polis Gerik berusia lingkungan 50-an itu, menerima dos pertama pada 13 Mac lepas dan menerima dos kedua pada pukul 9 pagi Sabtu.

“Semasa penerimaan vaksin dos pertama itu, pesakit tidak mengadu sebarang gejala, begitu juga selepas menerima vaksin dos kedua, tiada gejala selepas 30 minit pemerhatian,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata anggota polis berkenaan yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan kencing manis itu mengadu sakit pada waktu tengah hari dan diberi rawatan awal di Hospital Gerik sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Jantung Hospital Taiping, kerana mengalami sakit jantung (Myocardial Infarct) dan keadaan pesakit kini adalah stabil.

“Orang ramai digesa supaya tidak menularkan sebarang berita yang belum sahih kerana dibimbangi menimbulkan kegusaran orang ramai,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid menafikan berita yang tular mendakwa anggota berkenaan meninggal dunia selepas dimasukkan ke unit kecemasan Hospital Gerik itu akibat pengambilan dos kedua suntikan vaksin Covid-19.

Kenyataan itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Junaidah June, bersama laporan dengan menyatakan bahawa berlaku kematian terhadap seorang warga polis daerah Gerik akibat pengambilan vaksin Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN arah siasatan terperinci anggota terlibat sindiket ‘cuci duit’

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengarahkan siasatan terperinci dilakukan susulan pendedahan kes sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram sehingga tertangkapnya beberapa anggota polis termasuk pegawai kanan.

Katanya, beliau telah mengarahkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk melakukan siasatan serta membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ketiga-tiga pengarah itu sedang jalankan tindakan masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata Jabatan Siasatan Jenayah juga diarahkan membantu SPRM dalam siasatan kes itu.

Beliau berkata masih banyak yang sedang disiasat SPRM dan mereka memerlukan ruang serta waktu untuk meneruskan siasatan kes berkenaan.

Abdul Hamid berkata demikian bagi mengulas siasatan terhadap 17 pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu oleh SPRM berkaitan sindiket perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.

Semalam, Bernama melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya mengesan ratusan syarikat dami yang diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket berkenaan.

SPRM turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

Kelmarin, sembilan pegawai kanan polis termasuk beberapa Ketua Polis Daerah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk membantu siasatan kes itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Sabah: 76 peratus keluar undi awal 55 pusat mengundi – SPR

KOTA KINABALU, 22 SEPT: Sebanyak 76 peratus daripada 16,877 pengundi awal terdiri daripada anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan itu selepas 55 pusat mengundi awal, yang dibuka serentak bermula jam 8 pagi tadi, ditutup pada 5 petang.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika meninjau proses pengundian awal PRN Sabah di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini memaklumkan seramai 270 pegawai dan anggota polis di negeri ini tidak dapat mengundi awal kerana mereka terpaksa melalui proses kuarantin.

Turut hadir meninjau perjalanan pengundian awal ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Abdul Ghani Salleh.

Semua pusat pengundian mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan menyediakan cecair pembasmi kuman dan pemeriksaan suhu badan.

Rakyat Sabah akan mengundi Sabtu ini untuk memilih kerajaan negeri yang baharu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Lima anggota polis cedera dalam insiden letupan bom di Songkhla

SONGKHLA, 13 DIS: Lima anggota polis cedera dalam satu letupan bom di Daerah Thepha, Songkhla semalam.

Ketua Polis Siasatan Jenayah Thepha Left. Pol Bancha Phadthaisong berkata ketika kejadian pada jam 3.45 petang (waktu tempatan), lima anggota polis sedang menaiki sebuah kenderaan pikap meronda di Jalan Thepha-Lamplai.

Beliau berkata sebutir bom buatan sendiri seberat 25 kilogram itu dipercayai dipasang dalam sebuah tong gas dan diletupkan.

“Kesemu mangsa dalam kenderaan pikap itu cedera dan digegaskan ke Hospital Thepha.

“Motif serangan ini dipercayai tindakan balas dendam kematian dua anggota militan pada bulan lepas,” katanya kepada pemberita di sini.

Bancha berkata kelima-lima anggota polis yang cedera kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata pihak berkuasa Thailand sedang berusaha menjejaki suspek yang terlibat dalam letupan ini.

-BERNAMA