Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Prof Diraja Ungku Aziz satu dalam sejuta, tiada galang ganti

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Tokoh pendidikan dan ekonomi tersohor negara Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia hari ini ibarat satu dalam sejuta, satu kehilangan yang tiada galang gantinya.

Allahyarham, yang lebih mesra dipanggil Pak Ungku, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 4.00 petang pada usia 98 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara kerana sakit tua.

Berita kematian Ungku Aziz menyentuh perasaan banyak pihak, terutamanya Universiti Malaya, yang begitu sinonim dengan Allahyarham. Menerusi laman sosial Facebook rasmi, universiti itu menyifatkan pemergian Ungku Aziz, naib canselor yang paling lama berkhidmat selama 20 tahun, suatu kehilangan yang tiada galang gantinya.

Banyak pihak menyifatkan pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat negara, melihat kepada sumbangannya dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, ekonomi, pembasmian kemiskinan dan gerakan koperasi negara.

Jasa dan sumbangan Ungku Aziz kepada umat Islam dan ekonomi orang Melayu tiada tolok bandingnya kerana Allahyarham merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap penubuhan Lembaga Tabung Haji (dulu dikenali sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji) pada November 1962.

Ungku Aziz yang dilahirkan pada 28 Januari 1922 di Hampstead, London mendapat pendidikan awal di Bukit Zaharah English School dan Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bahru. Pada tahun 1940 beliau berkhidmat sebagai pegawai dalam percubaan di bawah skim Pegawai Melayu Kerajaan Johor dan dihantar dengan biasiswa ke Raffles College, Singapura setahun selepas itu.

Menempa sejarah sebagai satu-satunya tokoh akademik yang bergelar Profesor Diraja Ekonomi, penglibatan beliau dalam dunia akademik bermula pada 1948 apabila dipinjamkan ke Raffles College berstatus penolong pensyarah.

Pada 1951, Ungku Aziz mendapat ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Malaya di Singapura dan setahun kemudian menjadi pensyarah Universiti Malaya di Singapura.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1956 sehingga 1957.

Allahyarham dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Ekonomi selama lima tahun mulai 1961 sebelum memegang jawatan Dekan Fakulti Sastera Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada April 1965 dan pada Disember tahun sama beliau menjadi Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran.

Pada 1966, allahyarham memperoleh ijazah doktor falsafah dalam bidang ekonomi dari Waseda University, Tokyo, Japan.

Pada 1 Okt 1968, Ungku Aziz menjadi naib canselor Universiti Malaya yang ketiga dan rakyat Malaysia pertama menyandang jawatan itu sehinggalah bersara pada 1988.

Komitmen Ungku Aziz dalam memperkasakan ekonomi masyarakat begitu signifikan. Selain penubuhan TH, Allahyarham merupakan penggerak koperasi negara dan merupakan presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) selama hampir 40 tahun iaitu dari 1971 hingga 2009.

Ungku Aziz dianugerahkan Profesor Diraja Ekonomi daripada kerajaan Persekutuan pada 1978, dan beliau juga menerima anugerah kehormat dari lebih 10 universiti dalam dan luar negara termasuk University of Pittsburgh, University of Warwick dan Chulalongkorn University, Bangkok.

Pada 1997, Ungku Aziz merupakan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1418 Hijrah.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama tokoh budaya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, lebih dikenali sebagai Azah Aziz yang meninggal dunia pada 2012. Seorang lagi isteri beliau ialah Rahaiah Baheran.

Kepakaran Ungku Aziz dalam bidang ekonomi turut diwarisi anak tunggal beliau Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Berhad dan wanita pertama yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi posting di akaun laman sosial Facebooknya tiga hari lepas dalam segmen Kenali Tokoh menyebut Ungku Aziz merupakan ahli ekonomi Melayu pertama, selain digelarkan The Renaissance Man kerana kepakaran beliau membuka pintu perkembangan khususnya dalam pembaikan dan pelaksanaan ekonomi negara.

Ramai pemimpin negara dalam ucapan takziah masing-masing menyifatkan kehilangan Ungku Aziz sukar dicari ganti. Semoga pencapaian Allahyarham akan menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi akan datang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Koperasi kekal berdaya saing ketika ekonomi mencabar

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Sektor perniagaan koperasi diyakini terus berkembang dan kekal berdaya saing di sebalik keadaan ekonomi semasa yang mencabar, kata Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Menurut beliau, ini kerana koperasi mempunyai ‘capture market’ yang sedia ada dan kekuatan jaringan pasaran pada skala yang besar.

“Dari segi konteks ASEAN misalnya, kita ada 65 juta ahli koperasi. Jadi itu satu pasaran yang cukup besar, ini kita belum bercakap di peringkat global yang ahlinya lebih daripada 1.5 bilion.

“…dan ini terbukti pada masa kegawatan ekonomi yang lepas, gerakan koperasi boleh ‘survive’ sebab itu juga institusi koperasi negara kita telah menjangkau lebih dari 100 tahun,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel, malam tadi.

Dalam pada itu, Abdul Fatah berkata sebanyak 180 gerai pameran daripada koperasi tempatan dan luar negara akan terlibat dalam Karnival Produk dan Perkhidmatan Koperasi (MACCOPS) yang berlangsung di Pusat Kovensyen Antarabangsa PERSADA, Johor dari 28 hingga 30 November ini, termasuk dari Singapura, Brunei, Indonesia, China, Thailand, Korea, Vietnam dan India.

Karnival yang memasuki edisi keempat itu bertujuan menyediakan platform terbaik bagi koperasi bekerjasama mencari rakan kongsi dengan koperasi tempatan dan antarabangsa serta syarikat multinasional.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Angkasa nafi terbabit sindiket tipu pinjaman

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) melalui anak syarikatnya MyAngkasa Az Zahra Sdn Bhd menafikan bahawa mereka terlibat dalam sindiket penipuan pinjaman seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal baru-baru ini.

Pengarah MyAngkasa Az Zahra Sdn Bhd, Mohamad Shaharul Mohamad Shariff berkata, nama dan logo Angkasa disalahgunakan oleh sindiket itu kerana ramai penjawat awam telah ditipu dengan modus operandi sindiket berkenaan.

“Kami menafikan laporan portal itu yang menyatakan Angkasa terbabit dalam sindiket penipuan pinjaman kerana Angkasa dan MyAngkasa Az Zahra baru-baru ini membangunkan satu portal dinamakan Portal My AzZahra dan ia dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada 25 Jauari lalu.

“Hanya koperasi yang disahkan dengan portal ini yang layak untuk memberi pinjaman dan Angkasa hanya memainkan peranan meluluskan pemotongan gaji pemohon,” katanya kepada Bernama semalam.

Beliau berkata kakitangan awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mendaftar di bawah Skim Potongan Gaji Angkasa (SPGA) dan ingin membuat pinjaman dengan koperasi perlu berbuat demikian dengan mana-mana 15 koperasi yang berdaftar dengan portal ini kerana operasinya terjamin selain mempunyai fungsi Audit Trail.

Mohamad Shaharul merujuk kepada satu laporan portal dalam talian mengenai kewujudan sindiket penipuan pinjaman menggunakan nama Angkasa untuk memalsukan penyata gaji peminjam dan menyerahkan hanya 50 peratus daripada keseluruhan jumlah pinjaman.

Beliau berkata Portal My AzZahra mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 dan semua data peribadi pemohon akan dilindungi di bawah akta itu dan portal ini juga menghimpunkan produk pembiayaan koperasi patuh syariah.

“Kewujudan portal ini adalah untuk meminimumkan penglibatan ejen atau orang tengah dengan menghubungkan pemohon terus kepada koperasi yang ada dalam portal ini serta mengelak kemungkinan penipuan oleh syarikat kredit atau along,” katanya.

Beliau turut menegaskan penglibatan koperasi dalam portal itu telah melalui proses penilaian yang ketat oleh Angkasa dan MyAngkasa Az Zahra, serta hanya koperasi yang berkelayakan dengan rekod bersih selain menawarkan hanya produk yang diluluskan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang dibenarkan menawarkan pinjaman.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

ANGKASA nafi asteroid hentam bumi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 3 JAN: Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) melalui Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) menegaskan berita berkaitan asteroid bakal menghentam bumi, pada 1 Februari adalah tidak benar.

ANGKASA dalam kenyataan berkata, asteroid yang dimaksudkan itu diberi gelaran ‘2002NT7’ dijumpai Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA), pada 2002.

“NASA sudah membuat pengiraan berdasarkan teori astronomi bahawa asteroid terbabit akan menghentam bumi pada 1 Februari ini dengan kebarangkalian kurang daripada satu peratus (%).

“Bagaimanapun, dengan pemantauan dan pengiraan semula, kebarangkalian asteroid itu menghentam bumi adalah amat kecil dan hampir mustahil berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai tidak perlu gusar atau bimbang berkaitan perkara ini dan diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan berita yang tular serta lebih berhati-hati dalam berkongsi maklumat.

Terdahulu, timbul pertanyaan dan reaksi orang ramai terhadap dakwaan NASA bahawa batuan angkasa itu dijangka menghentam bumi, pada 2019 dengan kelajuan 60,000 kilometer sejam.

Bagaimanapun, ramalan mengenai asteroid 2002 NT7 itu kemudian ditarik serta-merta oleh pihak NASA dan mereka akan membuat perkiraan semula serta mengesahkan bahawa ia bukan suatu ancaman kepada bumi.

NASA berkata, 2002 NT7 bakal melintasi bumi tanpa terjadi sebarang pelanggaran, iaitu dijangka pada 13 Januari ini.