Categories
AGENDA NASIONAL

Tujuh terperangkap insiden kepala air di Sungai Kedondong

SHAH ALAM, 17 SEPT: Tujuh lelaki terperangkap akibat arus deras susulan kejadian kepala air di kawasan batu di Sungai Kedondong, Batang Kali, dekat Kuala Kubu Bharu, malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata seramai sembilan lelaki melakukan aktiviti pendakian dan hanya dua sahaja yang melepasi sungai berkenaan.

“Kita menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.55 malam dan menggerakan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu ke lokasi kejadian.

“Anggota tiba pada jam 8.27 malam dan mendapati dua lelaki berjaya melepasi sungai itu, manakala tujuh lagi rakannya masih terperangkap,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata kesemua mangsa tidak lemas dan dilihat masih berada di kawasan batu berkenaan.

“Operasi menyelamat mangsa masih giat dilakukan anggota bomba,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus bersama kereta

KLUANG, 3 JAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila hilang selepas dihanyutkan arus bersama kereta Proton Waja dipandunya dalam kejadian di Batu 18, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang dekat Kluang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng berkata kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 5.30 petang ketika, Md Rajihan Junaidi, 28, sedang melalui jalan berkenaan bersama isterinya, Khairunnisa Ibrahim, 25, dengan memandu kereta.

“Mengikut keterangan dalam laporan polis yang dibuat Khairunnisa pada jam10.35 malam tadi di Balai Polis Kahang, dia dan suaminya (Md Rajihan) membuat keputusan untuk meredah banjir ketika sampai di laluan berkenaan sebelum kereta mereka dihanyut arus ke sebelah kanan jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Md Rajihan sempat memecahkan cermin kereta untuk menyelamatkan Khairunnisa, dan wanita itu berjaya diselamatkan orang awam, sebelum dia sendiri hanyut dibawa arus bersama dengan kenderaannya.

Low berkata pihak bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat sejurus selepas menerima laporan, namun keadaan air yang semakin deras serta cuaca gelap menyukarkan operasi.

– BERNAMA