Categories
AGENDA SUKANKINI

Muhammad Ziyad, jurulatih akur keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman, akui kesilapan

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Jaguh lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) Muhammad Ziyad Zolkefli serta jurulatihnya Mohd Faizol Harun, redha dengan keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman bagi merungkai isu melanda mereka berdua di Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos lepas.

Muhammad Ziyad berkata beliau menerima keputusan berkenaan dengan hati yang terbuka, dan mengakui beliau bersama jurulatihnya melakukan kesilapan tanpa disedari di Stadium Olimpik Tokyo itu.

“Saya reda dan bertanggungjawab atas apa yang berlaku, keadaan ketika itu agak sukar dan jurulatih untuk mempertahankan dakwaan kami tapi kami mengakui bahawa tanpa kami sedari, melakukan kesilapan seperti yang didakwa.

“Maafkan kami kerana mengecewakan semua dan percayalah bahawa kami sendiri tak mahu keadaan seperti itu. Kami akan menjadikan kesilapan tersebut sebagai pengajaran untuk masa akan datang,” katanya dalam satu video kepada media hari ini.

Sehubungan itu, juara Rio 2016 itu tekad enggan membiarkan insiden itu melemahkan semangatnya, malah akan lebih fokus mempersipakan diri bersaing dalam kejohanan disertai pada masa hadapan.

Sementara itu, Mohd Faizol mengambil sikap berlapang dada terhadap keputusan jawatankuasa yang diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah itu, dan akan bertanggungjawab atas kesilapan dilakukannya di Jepun.

“Seperti sedia maklum, sebelum ini bahawa saya bertanggungjawab atas perkara ini dan sebagai seorang jurulatih, dan sebagai orang yang paling dekat dengan Ziyad, kami bersetuju bahawa kami bertanggungjawab sepenuhnya.

“Saya juga memohon maaf dan berharap agar perkara ini tidak diperbesarkan dan sekiranya diberikan jawatan lagi, saya akan melakukan yang terbaik untuk Ziyad dalam pertandingan-pertandingan yang akan datang”, katanya.

Dalam pada itu, Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin percaya bahawa hasil siasatan ini dapat menjelaskan apa-apa kemusykilan orang ramai terhadap kes ini, dan menyatakan bahawa semua pihak harus memahami bahawa setiap temasya sukan akan terdapat garis panduan dan peraturannya tersendiri, yang setiap atlet harus mengikuti agar mengekalkan standard dan keadilan dalam setiap peserta atlet.

Megat D Shahriman juga menitikberatkan kepentingan siasatan dalam mempengaruhi masa depan Ziyad bersama staf bantuan, yang telah membantu atlet lontar peluru itu mencapai tahap tingginya dalam acara Paralimpik.

“Insiden malang ini tidak seharusnya berlaku, tetapi ini memberi peluang sebagai pengajaran berharga yang akan menjadi titik perubahan kepada semua pentadbir sukan, jurulatih dan terutamanya atlet, untuk mematuhi protokol ketat yang dilaksanakan bagi menjayakan pengurusan mana-mana acara sukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian, Megat D Shahriman memaklumkan MPM akan mengambil tindakan proaktif untuk memastikan bahawa semua atlet cukup fasih akan tatacara dan peraturan dalam setiap temasya yang dipertandingkan, bagi mengelakkan insiden sebegini.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan memaklumkan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang ditubuhkan bagi merungkai isu melanda Muhammad Ziyad, merumuskan atlet itu dan jurulatih Mohd Faizol Harun, tidak dapat membuktikan mereka sampai pada waktu ditetapkan di bilik panggilan.

Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia pada temasya sukan berprestij di Jepun itu.

Atlet berusia 31 tahun itu diklasifikasikan sebagai ‘DNS’, susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan, atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MB: Ziyad, anda tetap wira di hati rakyat Malaysia

SHAH ALAM, 1 SEPT: Seluruh rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian jaguh lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meskipun rayuan pingat emas yang dimenanginya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ditolak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitternya berkata beliau berharap Muhammad Ziyad meneruskan perjuangan dan tidak berputus asa selepas berjaya memecah rekod dunia dengan catatan 17.94 meter.

“Anda tetap wira di hati rakyat Malaysia, Ziyad! Persembahan yang cukup luar biasa yang memecahkan rekod dunia akan kekal terpahat di memori kami. Jangan putus asa, teruskan perjuangan. #DoaUntukZiyad #MAS,” tulisnya.

Jawatankuasa Rayuan Olahraga Para Dunia menolak rayuan Muhammad Ziyad untuk membatalkan keputusan akhir lontar peluru F20 pada temasya Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan atlet negara terlepas pingat emas acara berkenaan dan rayuan selanjutnya hanya boleh dibuat selepas temasya berkenaan berakhir.

Perkara itu diumumkan Olahraga Para Dunia dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Semalam, kemenangan Muhammad Ziyad dibantah oleh kem Ukraine selepas dikatakan lewat memasuki bilik panggilan sebelum pertandingan bermula.

Nasib sama menimpa atlet dari Australia, Todd Hodgetts dan Jordi Patricio dari Ecuador.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Pingat emas dibatalkan selepas bantahan pasukan Ukraine

SHAH ALAM, 31 OGOS: Kejayaan atlet lontar peluru paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli meraih pingat emas dalam kejohanan sukan Paralimpik Tokyo 2020 ditarik semula.

Kemenangan Muhammad Ziyad dibantah oleh kem Ukraine selepas dikatakan lewat memasuki bilik panggilan sebelum pertandingan bermula, lapor Berita Harian.

Semakan di laman Paralimpik Tokyo, Ziyad mendapat status ‘DNS’ sekali gus menyebabkan dia dianggap tidak layak beraksi sekalipun sebelum itu telah memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter.

Nasib sama menimpa atlet dari Australia, Todd Hodgetts dan Jordi Patricio dari Ecuador.

Susulan itu, pingat emas menjadi milik Maksym Koval yang melakukan catatan 17.34 meter sekali gus menjadi rekod dunia sementara pingat perak dirangkul Oleksandr Yarovyi yang mencatat balingan 17.30.

Gangsa dimiliki atlet dari Greece, Efstratios Nikolaidis yang melakukan catatan 15.93m.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Ziyad raih pingat perak di Dubai

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Juara melontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli gagal mempertahankan pingat emasnya dalam kategori lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2019, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Sabtu (Ahad di Malaysia).

Pemenang pingat emas para dunia 2017 itu hampir mempertahankan pingat emasnya selepas mencatatkan lontaran sejauh 17.03 meter (m) dalam cubaan kelimanya, sebelum dipintas oleh atlet Ukrain, Maksym Koval yang melakukan lontaran sejauh 17.11 m dalam cubaan terakhir untuk memperoleh emas, menurut laman sesawang The Paralympics, www.paralympic.org.

Efstratios Nikolaidis dari Greece membawa pulang gangsa selepas mencatat lontaran terbaiknya, pada 16.61m.

Bagaimanapun, lontaran sejauh 17.03m atlet para negara itu adalah rendah daripada rekod 17.29m yang pernah dicatatkannya pada Kejohanan Dunia 2017, di London, United Kingdom.

Untuk rekod, Muhammad Ziyad juga memenangi pingat emas dalam kejohanan sama pada edisi 2013 di Lyon, Perancis dan sebelum itu pingat gangsa pada edisi 2015, di Doha, Qatar.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Ziyad terima insentif MPS RM5,000

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 OKT: Atlet Paralimpik, Muhammad Ziyad Zolkefli menerima insentif RM5,000 daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebagai perhargaan diatas kejayaan membawa pulang pingat emas daripada Sukan Paralimpik 2016, Rio, Brazil.

Insentif kemengangan sukan itu disampaikan oleh Yang DiPertua MPS, Suliman Abd Rahman di upacara penutup dan penyampaian hadiah sempena kejohanan karnival sukan komuniti Selayang (SUKOMSEL) 2016, di Padang Awam Kampung Baru, Batu Caves, Ahad lalu.

Anak kelahiran Gombak itu meraih pingat emas dalam acara lontar peluru dengan rekod sejauh 16.84m sekali gus berjaya memadamkan rekod dunia yang dicatat Todd Hodgetts dari Australia sejauh 16.29m di Paralimpik London 2012.

2016 Rio Paralympics - Men's Shot Put - F20 Final - Olympic Stadium - Rio de Janeiro, Brazil - 10/09/2016.  Ziyad Zolkefli Muhammad of Malaysia celebrates winning the gold medal in the event.   REUTERS/Ricardo Moraes   FOR EDITORIAL USE ONLY. NOT FOR SALE FOR MARKETING OR ADVERTISING CAMPAIGNS.

Pengorbanan Ziyad yang nekad berhenti belajar di sebuah kolej swasta demi memburu impian menjadi atlet No. 1 dunia nyata berbaloi dengan kejayaannya itu.

Selain Ziyad, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang merangkul pingat emas dalam acara 100m T36 (Cerebral Palsy) dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) turut menyumbang emas.

Manakala, Siti Noor Radiah Ismail yang merangkul gangsa dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) memenangi pingat gangsa.

Ini adalah emas pertama negara sejak mula menyertai temasya itu pada 1972 di Jerman dan ia mengatasi pencapaian terbaik mereka meraih perak di Barcelona 1992 dan London 2012.

-nR-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Beri RM 50,000 Kepada Atlet Paralimpik Negara

SHAH ALAM, 10 OKT : Kerajaan Selangor akan memberikan insentif wang tunai RM 50,000 kepada dua atlet paralimpik negara yang meraih pingat pada Sukan Paralimpik London 2012, September lalu.

Exco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi berkata insentif itu akan diberikan mengikut pingat yang dimenangi.

Katanya, Hasihin Sanawi yang menang pingat perak dalam sukan memanah akan menerima wang tunai sebanyak RM30,000 manakala Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) akan menerima RM20,000.

“Kita juga harap kejayaan Hasihin dan Muhammad Ziyad dapat memberi kesedaran kepada ibu bapa untuk mempunyai lebih keyakinan untuk memberi pededahan kepada anak mereka yang kurang Upaya,? katanya selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Beliau berkata insentif itu akan diserahkan pada Majlis Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Selangor hujung tahun ini.

Dalam temasya sukan itu, Muhamad Ziyad, 22, menghasilkan pingat kedua Malaysia pada temasya edisi ke-14 dengan lontaran sejauh 15.21 meter.

Manakala, Hasihin hanya kalah kepada pencabar dari Itali, Oscar de Pellegrin dalam pusingan penentuan acara ?recurve? individu lelaki.

Pada Sukan Paralimpik 2008 di Bejing, Malaysia hanya memperoleh sebutir gangsa menerusi atlet wanita Siow Lee Chan dalam dalam acara powerlifting 56kg.