Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belum ada senarai pendek, minggu depan bincang calon MB baru

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 MEI : Khabar angin tiga nama calon bakal Dato’ Menteri Besar Selangor yang hangat diuar-uarkan hanya khabar angin, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita akan bincang perkara ini, minggu depan. Belum ada sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika ditemui pada majlis bacaan yasin dan berbuka puasa bersama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Masjid Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin, Universiti Teknologi MARA, di sini, hari ini.

Ketika diminta mengulas sama ada jawatan berkenaan diberi kepada calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Parti Gerakan Demokrasi, Parti Amanah Negara atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Mohamed Azmin berkata, ia masih dalam perbincangan dan siapa yang layak, maka beliau akan memegang jawatan terbabit.

“Sama ada kekalkan kepada KEADILAN atau tidak, ia akan dibincangkan kerana masih ada masa lagi.

“Setakat ini, belum ada mana-mana nama disenarai pendek sebagai calon Dato’ Menteri Besar. Selepas sudah ada nama, baru kita akan serahkan kepada tuanku,” katanya.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengakui portfolio dipegang beliau kini amat berat dan perlu memberi fokus lebih berbanding, sebelum ini.

“Saya sudah maklumkan kepada tuanku. Apabila tuanku sudah berkenan dengan nama yang akan diserahkan itu, maka proses angkat sumpah akan dijalankan, secepat mungkin,” katanya.

Terdahulu, antara nama yang disebut sebagai calon Dato’ Menteri Besar adalah Exco Kerajaan Negeri iaitu Amirudin Shari dan Dr Shaharudin Badaruddin serta Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Putrajaya bakal semak semua projek mega

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 22 MEI: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan mengkaji semula semua projek mega terutama melibatkan proses perolehan dan pemberian tander.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, setiap projek perlu melalui proses tender terbuka yang dilakukan secara telus tanpa lagi mengamalkan rundingan terus.

“Kita akan melihat semula semua projek yang sudah diberikan Surat Setuju Terima (SST) oleh kerajaan terdahulu. Kita akan semak segala keperluan untuk proses penjimatan.

“Projek mega juga akan kita lihat sama ada boleh dilakukan rundingan semula berpandukan kepada undang-undang sedia ada selain projek yang diluluskan secara tergesa-gesa.

“Kita akan berikan tumpuan terhadap projek yang mempunyai kesan langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemua dengan pegawai Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Menurutnya, hutang negara kini hampir mencecah RM1 trilion dan ia merangkumi hutang keseluruhan negara.

Katanya, EPU mempunyai pasukan yang mantap untuk merangka pelan pembangunan dan melakukan beberapa agenda perubahan menerusi Pelan Hala Tuju Strategik baharu.

Dalam pada itu Mohamed Azmin menjelaskan semakan semula bajet juga akan dilakukan pada September ini.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Pelantikan Azmin Menteri Hal Ehwal Ekonomi penghormatan buat Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 MEI: Pelantikan Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi adalah penghormatan kepada rakyat Selangor.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, pelantikan Mohamed Azmin merupakan pilihan tepat berikutan beliau mempunyai rekod menerajui Kerajaan Negeri dengan cemerlang.

“Ini penghormatan buat negeri tetapi pada masa sama satu kehilangan buat rakyat Selangor.

“Saya yakin beliau akan menggunakan pengalaman dan kepakaran ada padanya untuk kepentingan rakyat keseluruhan,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Sementa, Dr Daroyah Alwi pula berkata, Mohamed Azmin berjaya menterjemahkan ucapannya menjadi kenyataan.

“Selain rekod yang dibuktikan melalui pencapaian di Selangor, dalam ucapannya beliau selalu berkata meminta penjawat awam menunggu beliau di Putrajaya apabila hari ini ianya dah menjadi kenyataan.

“Saya yakin rakyat akan menikmati pertumbuhan ekonomi lebih baik di bawah kementerian beliau seperti mana dinikmati rakyat Selangor sebelum ini,” katanya.

Daroyah berkata, sebelum ini Mohamed Azmin berjaya membawa pelaburan berbilion ringgit ke Selangor melalui lawatannya ke negara luar seperti Jepun dan beberapa negara lain.

Sementara itu, ADN Sekinchan, Ng Suee Lim menyifatkan pelantikan Mohamed Azmin menjadikan slogan Selangor Masa Hadapan Malaysia yang digunakan Pakatan Harapan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai kenyataan.

“Berdasarkan trek rekod perkhidmatan beliau pada penggal lepas menjadikan Selangor negeri contoh dan ini menjadikan slogan Selangor masa hadapan Malaysia sebagai kenyataan.

“Saya yakin beliau dapat membantu barisan kepimpinan di peringkat Putrajaya dengan berkesan untuk memacu ekonomi negara keseluruhannya demi kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Mohamed Azmin mulakan hari pertama tugas sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi

OLEH AFIX REDZUAN

PUTRAJAYA, 22 MEI: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali hari ini secara rasmi memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi di Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau tiba pada jam 7.45 pagi di perkarangan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kompleks B, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Mohamed Azmin kemudiannya menerima taklimat pengenalan bersama Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

=EZY-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mohamed Azmin berat hati tinggalkan Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, mengakui berat hati meninggalkan rakyat Selangor selepas bersetuju menerima jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Mohamed Azmin berkata, beliau turut terharu dengan sokongan padu yang diberikan rakyat Selangor terutama anggota perkhidmatan awam dan anak muda.

“Sesungguhnya Selangor amat dekat di hati sanubari saya. Saya amat terkesan dengan permintaan rakyat yang dizahirkan secara terbuka menerusi media sosial supaya terus kekal memimpin Selangor.

“Percayalah, saya akan terus bersama rakyat Selangor meneruskan kejayaan, kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini. Tetapi saya juga mempunyai tanggungjawab lebih besar terhadap negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Ini adalah seruan negara. Saya mempunyai tanggungjawab untuk memberikan khidmat dan bakti kepada bangsa juga negara,” katanya melalui kenyataan media, di sini, hari ini.

Memegang jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor sejak 2014, Mohamed Azmin turut menzahirkan rasa terima kasih di atas titah nasihat dan pedoman yang diberikan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sepanjang mengemudi pentadbiran Kerajaan Negeri.

Katanya, nasihat dan pedoman baginda memperkukuh keyakinan beliau bagi mengangkat Selangor ke tahap lebih tinggi.

“Terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang melantik saya menyertai kabinet. Saya menerima amanah dan tanggungjawab ini dengan kesedaran untuk melaksanakan reformasi ekonomi demi menyelamatkan negara daripada krisis akibat kecelaruan dasar pentadbiran, sebelum ini.

“Sebagai memenuhi aspirasi rakyat, saya komited kepada usaha membangun sebuah ekonomi yang kuat dan rancak, mencipta nilai, menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan Pelaburan Langsung Asing (FDI).

“Menjadi iltizam saya untuk memacu daya saing ekonomi negara demi meletakkan kembali Malaysia di kedudukan utama dalam kepimpinan ekonomi rantau ini. Saya juga bertekad untuk memastikan keadilan sosial terlaksana dengan kekayaan negara akan diagihkan secara adil dan saksama,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mohamed Azmin sah lepas jawatan Dato’ Menteri Besar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 21 MEI: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan, sekali gus melepaskan jawatan Dato’ Menteri Besar.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani berkata, Mohamed Azmin kekal memegang jawatan itu sehingga tempoh peralihan kuasa kepada Dato’ Menteri Besar baru dapat dijalankan dengan lancar dan teratur.

“Mohamed Azmin juga perlu mengemukakan senarai calon Dato’ Menteri Besar yang baru untuk penelitian dan perkenan baginda sebelum lantikan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Munir berkata, Mohamad Azmin sudah menyembah maklum kepada Sultan Sharafuddin dengan menyatakan persetujuannya menerima jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan, sebelum ini.

“Keputusan itu dibuat selepas mendapat penjelasan dan pengesahan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung skop kerja serta bidang kuasa kementerian yang baru.

“Proses terbabit dilaksanakan selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Perbincangan tumpu isu pelantikan di Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KLANG, 20 MEI: Pertemuan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, memfokuskan pelantikan beliau sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, di peringkat Persekutuan.

Ketika ditanya jumlah nama yang dibawa kepada baginda sebagai calon Dato’ Menteri Besar yang baru, Mohamed Azmin berkata, semua pihak perlu menunggu kenyataan rasmi pihak istana yang akan dikeluarkan, pada jam 9.00 pagi esok.

“Itu tidak (jumlah nama), kita tumpu yang Persekutuan sahaja dulu.

“Apa dibincangkan tadi berkenaan perkembangan semasa pengumuman perdana menteri untuk melantik saya memegang sebuah kementerian yang penting, di Persekutuan,” katanya kepada SelangorKini selepas beliau menghadiri Solat Tarawih bersama masyarakat Taman Keramat, di Masjid Al-Ansar, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, beliau turut menyembah maklum skop kerja sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi kepada baginda.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengangkat sumpah sebagai Dato’ Menteri Besar selepas Pakatan Harapan Selangor menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagaimanapun pada 18 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melantik Mohamed Azmin sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Categories
SELANGOR

Azmin ucap terima kasih kepercayaan PM

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 19 MEI: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang dipertanggungjawabkan kepada Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merupakan kementerian kanan sangat penting bagi memastikan ekonomi negara berkembang baik.

Mohamed Azmin berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kerana meletakkan kepercayaan kepada beliau untuk menjalankan tanggungjawab berat itu.

“Saya dah memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri dan saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas kepercayaan untuk menerajui kementerian kanan yang penting dan ini adalah kementerian baru,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Tun Mahathir di Yayasan Kepimpinan di sini, hari.

Katanya, pengumuman Tun Mahathir semalam amat mengejutkan beliau memandangkan beliau sebelum ini tidak memaklumkan butiran portfolio yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

“Beliau meminta saya kembali untuk memberikan beberapa cadangan tambahan untuk memastikan usaha membantu dan merancang pembangunan ekonomi Malaysia berjalan baik,” katanya.

Mohamed Azmin berkata beliau akan menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi membincangkan kedudukannya sebagai Dato’ Menteri Besar.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Azmin: Sehingga hari ini saya masih Dato’ Menteri Besar Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 19 MEI: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sedia melepaskan jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor sekiranya beliau diperlukan untuk membantu Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, sehingga kini beliau masih merupakan Dato’ Menteri Besar Selangor sehinggalah beliau bertemu dengan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau juga mengiktiraf kejayaan di Selangor dijadikan asas untuk memajukan negeri lain yang penting selain Pulau Pinang, Johor dan Selangor

“Saya akan menghadap DYMM Sultan Selangor dalam masa terdekat untuk membincangkan tugas baru yang dijelaskan PM dan kemudian saya akan memaklumkan secara rasmi tentang kedudukan terkini.

“Sehingga hari ini saya masih Menteri Besar Selangor, sekiranya keputusan dibuat untuk membantu Kerajaan Persekutuan saya akan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan di sini, hari ini.

Katanya, perkara itu perlulah dijalankan dengan teratur dan tertib kerana melibatkan jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor dan mandat yang besar diberikan rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Mohamed Azmin berkata, walaupun beliau pernah dimaklumkan berkenaan kedudukannya di Putrajaya sebelum ini tetapi beliau tidak diberikan penjelasan secara terperinci termasuk portfolio yang dipertanggungjawabkan.

Katanya, beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan Tun Mahathir kepada beliau untuk membantu memulihkan ekonomi negara dan kesemua negeri lain seperti mana beliau membangunkan ekonomi Selangor.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mohamed Azmin bertemu Tun M

PUTRAJAYA 19 MEI: Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia.

Beliau tiba pada jam 12 tengah hari di Yayasan Kepimpinan Perdana yang menjadi pejabat sementara Perdana Menteri selepas mengangkat sumpah pada 10 Mei lalu.

Semalam, Mohamed Azmin memberitahu pertemuan bersama Perdana Menteri akan membincangkan skop tugas yang akan diamanahkan kepadanya.

Beliau dijangka mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberikan keputusan sama ada kekal sebagai Dato’ Menteri Besar atau menerima pelantikan sebagai menteri.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin jumpa Tun Dr M malam ini bincang peranan di Putrajaya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, akan mengadakan pertemuan lanjut bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini atau selewat-lewatnya pagi esok bagi mendapatkan penjelasan berhubung bidang tugas kementerian untuk membantu pentadbiran, di Putrajaya.

Beliau sudah menyembah maklum kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung kedudukan beliau yang dipilih untuk menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi selepas diperkenan Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Namun, beliau belum dimaklumkan berhubung senarai Menteri Persekutuan yang baru dan hanya mengetahui perkara itu selepas mengetahuinya daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, sebentar tadi.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memberikan kepercayaan kepada saya menerajui sebuah kementerian yang kanan.

“Sudah tentu beban tugasnya agak besar dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

“Namun, saya sudah menyembah maklum kepada Sultan Selangor sebentar tadi berhubung maklumat yang dierolehi dan turut persembahkan kepada tuanku bahawa saya akan mengadakan pertemuan dengan perdana menteri, secepat mungkin.

“Mungkin malam ini juga untuk mendapat penjelasan lebih lanjut skop tugas yang diamanahkan kepada saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui media di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat, di sini.

Beliau akan mengadap Sultan Sharafuddin esok untuk mempersembahkan hasil pertemuan bersama perdana menteri bagi memutuskan apa peranan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan sama ada kekal di Selangor atau Persekutuan.

Mohamed Azmin berkata, beliau akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi esok berhubung hasil perbincangan bersama kedua-dua pihak.

“Segalanya tertakluk kepada perbincangan saya dengan perdana menteri.

“Memang dimaklumkan, perdana menteri mahu saya memainkan peranan di peringkat Persekutuan tetapi tidak dimaklumkan kementerian mana,” katanya.

Turut dipilih menjadi Menteri Persekutuan adalah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin yang bakal memegang portfolio Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sementara Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri bakal memegang portfolio Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Azmin sambut baik kerajaan baru bawah PAKATAN

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MEI: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menyambut baik enam kerajaan baru di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PAKATAN) dan berharap kerjasama lebih erat bersama Kerajaan Selangor.

Mohamed Azmin berkata, enam negeri baharu yang kini berada di bawah Kerajaan PAKATAN adalah Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Sabah termasuk Pulau Pinang.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, hanya Selangor dan Pulau Pinang, di bawah PAKATAN.

“Susulan keputusan bersejarah pada 9 Mei lalu, keluarga kita bertambah dengan dramatik dan kini lebih separuh negeri di Malaysia termasuk Kerajaan Persekutuan kini di bawah pentadbiran PAKATAN dan Warisan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, beliau sudah menghubungi rakan sejawat iaitu Menteri Besar Johor, Kedah, Negeri Sembilan dan Perak bagi mengucapkan tahniah.

“Saya berharap dapat berhubung dengan Ketua Menteri Melaka, Pulau Pinang dan Sabah tidak lama lagi.

“Menjadi harapan say,a kita akan terus maju ke hadapan bersama dalam semangat persaudaraan dan membentuk sinergi ke arah kemajuan dan kemakmuran bersama, dalam Malaysia Baharu,” katanya.