Categories
AGENDA NASIONAL

Mohon CITF benarkan sijil digital SELangkah jadi dokumen pengesahan sementara

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan Selangor memohon Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membenarkan sijil digital Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) digunakan sebagai dokumen pengesahan buat sementara waktu.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia susulan aduan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) yang belum memperoleh sijil pengesahan di aplikasi MySejahtera walaupun sudah mendapat dos lengkap vaksin Covid-19.

Menurutnya setakat semalam, SELangkah menghantar 159,919 rekod peserta Selvax kepada MySejahtera namun 3,632 individu masih belum menerima sijil digital.

Dr Siti Mariah Mahmud. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dikhuatiri angka sebenar lebih ramai. CITF menjelaskan MIMOS Berhad (MIMOS) menghadapi masalah teknikal untuk mengintegrasi data peserta Selvax ke sistem MySejahtera.

“MIMOS juga perlukan masa mengatasi masalah itu namun tidak dapat memberi kepastian bila isu ini dapat diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Siti Mariah berkata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan membawa saranan itu ke Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

“Kita masih menunggu maklum balas dan berharap cadangan diluluskan segera demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya.

Pada Mac kerajaan memaklumkan individu lengkap vaksinasi diberikan sijil digital di MySejahtera sebagai bukti pengambilan vaksin dan ia menjadi keperluan pada masa depan.

Ketika ini kerajaan memberi kelonggaran kepada individu lengkap pelalian antaranya boleh berjemaah di masjid serta makan di kedai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan setuju beri vaksin kepada pelajar kelas peperiksaan

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) agar murid yang menduduki peperiksaan awam diberi keutamaan untuk divaksin telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) yang dipengerusikan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata ia susulan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak 12 tahun ke atas.

“Bagi vaksinasi guru, sehingga kini lebih 90,000 guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya dalam laman Facebook beliau, hari ini.

Radzi turut berkongsi satu video ringkas di mana Khairy memberi penjelasan mengenai perkara berkenaan.

Khairy berkata demikian dalam forum bertajuk ‘The Path to Herd Immunity: Up Close with YB Khairy Jamaluddin’ anjuran The Oxford & Cambridge Society Malaysia menerusi dalam talian, semalam.

Khairy berkata menurut data yang diterima daripada Kementerian Pendidikan (KPM) terdapat 357,000 pelajar Tingkatan Lima dan 47,000 guru yang mengajar pelajar Tingkatan Lima.

“Anak-anak yang menghadapi peperiksaan awam perlu kembali ke sekolah untuk persediaan menghadapi peperiksaan. Kami bekerjasama dengan KPM untuk memberi tumpuan pada tahun peperiksaan terlebih dahulu untuk memberi inokulasi kepada guru, kakitangan sokongan sekolah serta pelajar tahun peperiksaan,” katanya dalam forum itu.

Forum itu turut dimuat naik di YouTube.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Janji temu dos kedua vaksin di empat PPV Lembah Klang diawalkan

PUTRAJAYA, 5 JUN: Janji temu bagi penerimaan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Lembah Klang yang dijadualkan pada 8 Jun ini diawalkan ke 7 Jun di dua PPV baharu, demikian menurut Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

CITF dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mereka yang akan menerima dos kedua tersebut telah menerima dos pertama pada 17 Mei lepas di empat PPV iaitu Kompleks Sukan Desa Tasik, Kompleks Komuniti Muhibbah, Dewan Komuniti Manjalara dan Stadium Titiwangsa, dan dijadualkan menerima dos kedua pada 8 Jun.

Menurut CITF, empat PPV tersebut akan ditukarkan ke dua PPV baharu iaitu Kompleks Sukan Desa Tasik dan Kompleks Komuniti Muhibbah bertukar lokasi ke PPV Axiata Arena Bukit Jalil manakala Dewan Komuniti Manjalara dan Stadium Titiwangsa ke PPV Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Bagaimanapun, bagi tarikh janji temu untuk suntikan dos pertama mulai 7 hingga 24 Jun di empat PPV yang ditukarkan ke dua PPV berkenaan tidak berubah dan hanya melibatkan perubahan waktu.

CITF menjelaskan perubahan tarikh janji temu bagi dos kedua dan pertukaran lokasi PPV itu bertujuan mengelak kesesakan di PPV Mega yang akan dibuka Isnin ini sekali gus memastikan amalan penjarakan fizikal dipatuhi.

“Ia juga untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pengunjung terutamanya warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang divaksinasi di bawah Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” jelas CITF.

Empat PPV Mega yang akan dibuka 7 Jun ini ialah Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Axiata Arena Bukit Jalil, Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam yang mampu memuatkan kapasiti sebanyak 23,000 orang.

– BERNAMA