Categories
NASIONAL

Ambiga:Permit BERSIH 3.0 – DBKL,Polis Belum Beri Jawapan

SHAH ALAM, 18 APR : Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum memberikan jawapan mengenai permohonan mengadakan Perhimpunan BERSIH 3.0.

Menurut Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Ambiga Sreenivasan, surat pemberitahuan bagi mengadakan BERSIH 3.0 dikemukakan kepada pihak DBKL dan PDRM pada hari Isnin 16 April lalu dan sehingga ke hari ini pihak berkenaan masih belum memberikan jawapan mengenainya.

Katanya, surat kepada DBKL bertujuan mendapatkan kebenaran menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi himpunan.

Manakala surat kepada PDRM bertujuan mendapatkan permit perhimpunan sebagaimana diminta beberapa pihak termasuk menteri dalam negeri.

” Surat telah dihantar pada lewat Isnin yang lalu dan seharusnya sampai kepada mereka pada hari Selasa, namun sehingga ke hari ini mereka masih belum memberikan apa-apa jawapan.

“Dan kita sedang menunggu jawapan,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Selain itu, Ambiga menyebut, Majlis Peguam Malaysia (BAR Council) akan turun menyertai BERSIH 3.0 dan memantau secara keseluruhan perhimpunan tersebut.

Perhimpunan BERSIH 3.0 ini bakal berlangsung pada 28 April 2012 di Dataran Merdeka bermula pada pukul dua petang  bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil.

Categories
NASIONAL

Majlis Peguam Minta PM Perbetul Masalah Daftar Pemilih

SHAH ALAM,4 APRIL : Majlis Peguam Malaysia menggesa Perdana Menteri membetulkan kelemahan yang wujud dalam pilihanraya seperti yang dilaporkan oleh Laporan Akhir Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC)  berhubung masalah daftar pemilih dan melaksanakan semua cadangan yang dikemukan sebelum pilihanraya yang akan datang.

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee berkata pembentangan laporan akhir PSC itu sepatutnya menjadi kesempatan menyerlahkan kerja yang dilakukan dalam tempoh enam bulan lalu untuk menyiasat kelemahan dalam sistem pilihan raya , mengenal pasti amalan terbaik dari seluruh dunia, dan mencadangkan pelaksanaan penyelesaian yang paling sesuai untuk mengukuhkan proses demokrasi.

“Badan Peguam Malaysia mengakui bahawa sesetengah daripada 22 cadangan PSC adalah positif, dan mewakili satu langkah ke arah yang betul, PSC telah terlepas peluang yang ideal untuk membuat syor yang komprehensif dan meluas untuk merealisasikan aspirasi rakyat Malaysia untuk pilihanraya yang bebas dan adil,” kata beliau dalam kenyataan medianya.

Menurut Lee, kelemahan yang paling penting laporan ini adalah kegagalan  untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan daftar pemilih.

“Ini adalah kebimbangan utama dan segera yang menimbulkan BERSIH 2.0. Langkah-langkah yang disyorkan oleh PSC berhubung dengan daftar pemilih tidak melahirkan kepercayaan dan keyakinan terhadap integriti dan ketepatan dalam senarai pemilih utama,” katanya.

Menurut beliau, di India, pengemaskinian daftar pemilih adalah satu proses yang berterusan, dengan semakan yang dijalankan sebahagiannya dengan cara penghitungan dari rumah ke rumah.

Majlis Peguam juga kesal apabila Speaker Dewan Rakyat tidak membenarkan pengenalan laporan minoriti laporan akhir PSC.

“Prosedur bagi Jawatankuasa Pilihan Parlimen di bahagian-bahagian lain Komanwel mengadakan peruntukan bagi kemasukan pandangan minoriti di dalam laporan utama.

“Walau bagaimanapun, ini tidak dibenarkan oleh majoriti dalam PSC, dan penyediaan laporan minoriti adalah berpatutan untuk menggambarkan pandangan yang berbeza dan ketiadaan konsensus,” ujarnya.