Categories
SUKANKINI

UCL: Karim Benzema pastikan Real Madrid ke Kyiv

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 2 MEI: Real Madrid mara ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Bayern Munich menerusi agreget 4-3.

Pada aksi separuh akhir kedua di Santiago Bernabeu awal pagi tadi, Real dan Bayern masing-masing terikat 2-2.

Joshua Kimmich membuka jaringan seawal minit ketiga selepas menampan bola ke gawang Real bagi memastikan Bayern mendahului 0-1 dan menyamakan agreget 2-2.

Bagaimanapun, Karim Benzema meletakkan Real kembali di hadapan menerusi jaringan penyamaan lapan minit kemudian selepas menanduk masuk hantaran lintang Marcelo.

Bersambung babak kedua, Benzema sekali lagi menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol kedua Real pada minit ke-46 selepas mudah menolak bola masuk hasil kesilapan penjaga gol Bayern, Sven Ulreich.

Bekas pemain Real, James Rodriguez menjadikan kedudukan 2-2 buat Bayern selepas berjaya memperdaya pertahanan lawan pada minit ke-63.

Bayern yang hanya memerlukan satu lagi gol untuk mara ke final bagaimanapun gagal memecah kekebalan benteng pertahanan Real yang terus bertahan bagi kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
SUKANKINI

UCL: Real Madrid teruskan rekod kekecewaan Bayern Munich

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 26 APR: Real Madrid melakar satu lagi kebangkitan selepas menewaskan Bayern Munich 1-2 dalam aksi pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), awal pagi tadi.

Bagaimanapun, Bayern Munich terlebih dahulu dihadapan pada minit ke-28 menerusi jaringan Joshua Kimmich.

Bekas pemain Real Madrid, James Rodriguez memulakan gerakan dari tengah padang sebelum melorongkan bola kepada Kimmich yang melakukan rembatan terus menewaskan penjaga gol, Keylor Navas.

Usaha Real Madrid mendapatkan gol penyamaan akhirnya menjelma pada minit ke-44 menerusi rembatan kencang Marcelo dan gagal diselamatkan penjaga gol Bayern, Sven Ulreich.

Marco Asensio yang masuk pada awal babak kedua menggantikan Isco nyata memberikan impak bertenaga apabila meletakkan Real Madrid mendahului 1-2 pada minit ke-57.

Menerusi gerakan Lucas Vazquez, Asensio tenang mengawal bola sebelum melepaskan rembatan mudah ke gawang Bayern bagi menghampakan penyokong tuan rumah.

Bayern cuba bangkit menerusi beberapa percubaan tetapi ketangkasan Navas menafikan peluang pasukan tuan rumah.

Kedudukan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan dengan Real membawa kelebihan dua gol di gelanggang lawan bagi pertemuan kedua di Santiago Bernabeu, 2 Mei depan.

 

Kredit Foto: UEFA Champions League

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UCL: Keputusan seri memadai buat Bayern Munich

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 12 APR: Bayern Munich tenang melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menerusi kemenangan agreget 2-1 walaupun terikat tanpa jaringan menentang Sevilla. awal pagi tadi.

Kredit Foto: UEFA Champions League

Beraksi di laman sendiri, Bayern gagal memecah kebuntuan jaringan walaupun mempamerkan corak menyerang ke kubu Sevilla.

James Rodriguez dan Franck Ribery berpeluang menjaringkan gol buat Bayern tetapi ketangkasan penjaga gol Sevilla, David Soria menafikan hasrat itu.

Barisan serangan Sevilla yang diketuai Ever Banega dan Wissam Ben Yedder juga gagal melakukan penyudah untuk wakil Sepanyol itu mencipta kebangkitan.

Malang buat Sevilla apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Joaquin Correa diperintah keluar padang, pada minit akhir permainan.